Tuesday, July 13, 2010

Bayar isteri RM1,000

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
2010/07/13

AMPANG “Saya minta maaf,” kata dramatis terkenal Badrul Muhayat, 42, di Mahkamah Majistret di sini semalam selepas isterinya, Julia Daud, 29, bersetuju dengan bayaran kompaun RM1,000, kerana tuduhan mencederakan isterinya itu pada Mac lalu.

Dia berkata demikian di hadapan Majistret Wan Karimah Wan Ab Ghani selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dan mencapai kata sepakat menyelesaikan kes terbabit mengikut Seksyen 202 Kanun Acara Jenayah.


“Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan ini diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini bersetuju dan membenarkan kompaun RM1,000 dibayar kepada pengadu (Julia) dan mahkamah membebaskan orang kena saman (Badrul Muhayat) daripada tuduhan tersebut,” kata Wan Karimah.

Terdahulu prosiding ditangguhkan selama setengah jam selepas mahkamah memberi peluang kepada pihak pembelaan yang diwakili peguam bela Abdul Rashid Tasin berbincang dengan isteri tertuduh yang turut hadir di mahkamah.


Pihak Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurhusnita Mohd Radzi tiada bantahan dengan permohonan itu.


Ketika prosiding kembali berjalan, Wan Karimah bertanyakan kepada Julia sama ada dia bersetuju dengan kompaun dikenakan.


“Saya setuju dan saya mahu kompaun diserahkan di dalam mahkamah,” jawabnya.


Mahkamah kemudian memberi peluang kepada bekas model itu memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap isterinya.


Bagaimanapun, tertuduh atau nama penuhnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang hadir ke mahkamah dengan berkemeja biru memberi alasan, peguam yang mewakilinya telah berbuat demikian ketika awal prosiding berjalan.


Dia kemudian memohon maaf tanpa melihat Julia yang berdiri di sebelahnya selepas sekali lagi Wan Karimah bertanyakan sama ada dia mahu meminta maaf atas tindakannya itu.


Badrul kemudian menyerahkan wang kompaun berjumlah RM1,000 itu kepada isterinya di dalam mahkamah.


Dia yang popular dengan filem Harry Boy dan Azizah The Legend didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia Daud, 29, dengan menumbuknya di muka, menendang di perut dan memukulnya dengan menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki di rumah mereka di lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, di sini, jam 7 pagi, 24 Mac lalu.

Dia di dakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes kejadian berlaku selepas terjadi pertengkaran kecil antara pasangan suami isteri itu sehingga tertuduh bertindak mencederakannya. Pengadu kemudian membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.


Akhbar sebelum ini melaporkan Badrul Muhayat, yang diburu selepas dikatakan menghilangkan diri apabila isterinya membuat aduan polis mendakwa dibelasah dan dicederakan, ditahan di sebuah restoran di Taman Nirwana, dekat sini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayaristeriRM1_000/Article

Disamun, dicabul pemandu teksi

2010/07/13

KUALA LUMPUR: Malang buat seorang wanita lewat 20-an apabila dia bukan saja disamun seorang pemandu teksi, malah dipaksa melakukan seks oral.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, di Bukit Tunku, di sini, kelmarin, wanita terbabit yang bimbang dirogol dan dibunuh lelaki bersenjatakan pisau itu terpaksa akur.


Mangsa yang kerugian hampir RM5,000 ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, menyebabkannya mendapatkan bantuan orang ramai pulang ke rumah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disamun_dicabulpemanduteksi/Article

Kelentong jejaka sepi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/07/13

KUALA LUMPUR: Tidak perlu menuntut ilmu pengasih apabila seorang kasanova yang menggunakan nama samaran`jejaka kesepian’ hanya perlu mensasarkan golongan wanita berwajah kurang menarik tetapi kaya sebagai sasaran untuk dipikat sebelum harta mangsa dikikis sedikit demi sedikit.

Lelaki berusia 40-an terbabit didakwa bijak bermain psikologi selain gemar menggunakan himpunan cerita sedih meruntun jiwa yang sengaja dicipta untuk menagih simpati mangsa memberikan wang kepadanya Malah suspek dikatakan bijak menggunakan pendekatan agama dan isu ketuhanan untuk membuat mangsa jatuh hati dan percaya bahawa dia benar-benar ikhlas untuk menjalinkan persahabatan.


Namun segalanya terbongkar selepas suspek diberkas polis kerana dipercayai menipu enam gadis dan wanita tempatan selain meniduri kebanyakan gadis dikenali melalui Internet itu.


Dalam kes terbaru, seorang wanita yang juga ahli perniagaan barangan kulit turut tampil mendakwa menjadi mangsa suspek sama menyebabkan dia kerugian hampir RM300,000 selepas sembilan bulan berkenalan.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Qi Qi, 34, berkata, dia mula mengenali lelaki penipu berkenaan yang berasal dari Singapura selepas berkenalan melalui laman sembang sosial di internet Ogos tahun lalu.


Menurutnya, lelaki terbabit menggunakan nama sama ‘lonelyman 88’ mendakwa dirinya bujang dan bekerja pengurus di sebuah syarikat di republik berkenaan.


“Hasil perkenalan singkat itu, saya percaya dengannya apatah lagi lelaki itu sering berbicara soal agama dan kejujuran setiap kali berbual melalui telefon atau e-mel.


“Lelaki itu bersungguh-sungguh mahu bertemu saya di Pulau Pinang sebelum kami bertemu dua bulan selepas berkenalan. Ketika itu langsung tidak terdetik di hati saya, dia mempunyai rancangan jahat untuk menipu,” katanya ketika ditemui semalam.


Menurutnya, penipuan terancang itu bermula apabila lelaki berkenaan menagih simpatinya dengan mendakwa ibu tirinya dimasukkan ke wad kecemasan hospital selepas diserang sakit jantung.


“Dia mendakwa memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan ibu tirinya itu yang didakwa akan diarah keluar dari hospital sekiranya gagal menjelaskan kos bayaran rawatan tertunggak.


“Selain itu, dia turut membuat cerita sedih kononnya tidak dibayar gaji majikan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia tidak mempunyai wang bagi membayar ansuran kereta, kad kredit serta memperbaharui cukai kenderaan,”
katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Turut hadir Ketua Biro MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, rentetan cerita sedih itu terus berlanjutan apabila suspek mendakwa bapa saudaranya mati selain dia sendiri terbabit kemalangan jalan raya pada 6 Februari lalu sebelum diisytiharkan muflis oleh bank.


“Semua kisah sedih diceritakan itu membuatkan saya simpati sebelum menghulurkan bantuan kewangan berulang kali melalui pindahan wang ke bank hingga mencecah kira-kira RM294,662.


“Namun, mula mengesyaki ditipu apabila lelaki terbabit memberikan alasan tidak logik setiap kali saya meluahkan hasrat melawat ibu tirinya di hospital.


“Susulan itu, saya membuat empat laporan polis termasuk dua laporan di Balai Polis Jurong, Singapura. Suspek ditahan polis Daerah Petaling Jaya baru-baru ini sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kelentongjejakasepi/Article

Ada Penawar Bagi Mengawal Darah Tinggi

Published: Jumaat Julai 9, 2010 MYT 4:36:00 PM

KUALA LUMPUR: Bilangan penghidap penyakit darah tinggi yang berjumlah lebih satu bilion orang di seluruh dunia dijangka meningkat kepada 1.56 bilion orang menjelang 2025.

Ia adalah satu masalah kesihatan tanpa petanda awal ataupun simptom, oleh itu lazimnya dirujuk sebagai 'pembunuh senyap'. Atas alasan ini, ramai yang tidak sedar akan kehadiran masalah kesihatan ini sehingga mereka berjumpa doktor.

Hipertensi, istilah perubatan bagi tekanan darah tinggi, menunjukkan bahawa jantung berfungsi melampaui had lazim, menyebabkan tekanan tinggi pada jantung dan arteri.

Pertubuhan Malaysia bagi Hipertensi mentakrif hipertensi sebagai keadaan di mana tekanan sistolik adalah lebih daripada 140 mmHg atau tekanan diastolik melampaui 90 mmHg. Secara tipikal, bacaan tekanan darah tinggi sebanyak tiga kali diperlukan dalam tempoh beberapa minggu untuk mendiagnosis keadaan ini.

Darah tinggi boleh menyumbang kepada sakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan aterosklerosis. Jika keadaan ini tidak dirawat atau tidak diuruskan, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat lagi untuk bekalan darah beroksigen yang cukup ke organ dan tisu untuk memenuhi keperluan tubuh.

EMPAT DARIPADA 10 ORANG ADA DARAH TINGGI

Di Malaysia, empat daripada 10 warga dewasa mengalami tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus daripada mereka berjaya mengawal tekanan darah masing-masing.

Kos langsung dan tidak langsung dalam merawat tekanan darah tinggi masing-masing dianggarkan RM2,719 dan RM7,511 bagi setiap pesakit pada 2009.

Selain daripada itu sehingga 85 peratus daripada pesakit mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal tekanan darah, yang menunjukkan perlunya rawatan kombinasi ubat yang berkesan. Ini jelas sekali satu masalah besar kesihatan umum.

"Bagi para doktor, cabaran terbesar ialah mengawal tekanan darah dan mengekalkannya pada paras yang sesuai," kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sim Kui Hian semasa sidang media baru-baru ini.

Dr Sim, yang juga pakar perunding kardiologi berkata situasi ini menunjukkan perlunya terapi baru bagi tekanan darah tinggi.

MENGAWAL HIPERTENSI

Hypertensi perlu dikawal sepanjang hayat seseorang dan boleh diuruskan melalui sedikit perubahan dalam gaya hidup atau terapi ubat-ubatan. Perubahan kecil dalam gaya hidup boleh membantu dalam menguruskan dengan berkesan paras tekanan darah seperti mengurangkan pengambilan garam dan alkohol, bersenam dan hentikan tabiat merokok.

Tiada siapapun harus memandang remeh akan keadaan ini khasnya dengan simptom-simptom penyakit ini tidak ketara. Mereka dengan usia yang semakin meningkat dan daripada keluarga dengan sejarah penyakit itu perlu lebih berwaspada.

Para pesakit dengan tekanan darah tinggi luarbiasa mungkin mengalami rasa pening atau pendarahan melalui hidung. Bagaimanapun, tanda-tanda ini secara tipikal tidak muncul sehingga tekanan darah mencapai paras yang boleh mengancam nyawa.

TERAPI UBAT

Mereka yang menghidapi hipertensi kini antara lain mempunyai pilihan dalam merawat masalah ini menggunakan ubat Rasilez (aliskiren) - satu ubat yang boleh mengekalkan tekanan dengan konsisten bagi tempoh lebih 24 jam. Ini satu pertimbangan rawatan yang penting, kerana banyak ubat bagi tekanan darah tinggi tidak mempunyai kesan berterusan, khasnya semasa awal pagi apabila tekanan darah meningkat.

Pesakit mengalami kesan yang lebih baik dengan mengekalkan 91 peratus daripada kecekapan dalam mengawal tekanan darah walaupun jika terlepas satu dos ubat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd, Avinash Potnis.

Ia berfungsi dengan menyekat RAAS (sistem renin angiotensin aldosterone), inovasi utama dalam merawat tekanan darah tinggi bagi lebih sedekad.

"Novartis bangga untuk memperkenalkan ubat baru ini dalam memerangi penyakit yang mengancam dan semakin berleluasa ini," . - BERNAMA

http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2010/7/9/mstar_rencana/20100709163453&sec=mstar_rencana

Video Lucah : Hukuman Luna Maya Mungkin Ringan Kerana Mengaku

Selasa Julai 13, 2010

JAKARTA: Pengakuan terbuka model Cut Tari dengan rela merakamkan adegan seks bersama Ariel Peterpan boleh menyebabkan penyanyi lelaki itu akan berhadapan dengan hukuman yang lebih berat.

Portal Inilah.com melaporkan, tindakan Cut Tari yang mengaku melakukan aksi tersebut sebenarnya bijak kerana langkah itu membolehkan hakim mengenakan hukuman ringan ke atasnya.

"Pengakuan Cut Tari membuatkan Ariel akan berhadapan dengan hukuman berat tetapi untuk diri Cut Tari sendiri mungkin hukuman sedikit ringan kerana dia sedia mengaku," kata juru cakap polis, Brigider Jeneral Saud Usman Nasution, Isnin.

Katanya keputusan menjatuhkan hukuman terletak kepada kebijaksanaan hakim tetapi seandainya dia mengaku, Ariel akan berhadapan dengan hukuman lebih ringan," katanya.

Sejak video porno itu tersebar, hanya Cut Tari yang mengaku terlibat melakukan perbuatan tidak bermoral itu manakala Ariel dan Luna Maya masih lagi membisu walaupun mereka ditahan sebagai tertuduh.

Ariel dilaporkan masih lagi memberi jawapan berbelit-belit ketika siasatan kes berkenaan dibuat.

Sementara itu Ariel yang berada dalam tahanan memberitahu perasaan kurang senangnya dengan laporan berita termasuk kononnya dia telah mati.

"Paling yang dikesalkan Ariel mengenai laporan sesetangah media yang kadangkala tidak benar terutamanya mengenai khabar angin kematiannya," jelas rakan Ariel Garding Marten.

Gading Marten datang meziarahi Ariel bersama ayahnya Roy Marten dengan membawa makanan dan buah-buahan. Kedua-duanya juga memberitahu dapat berbual dan bergurau dengan bekas vokalis Peterpan itu.

Namun ketika ditanya sama ada Ariel berniat meminta maaf seperti Luna Maya dan Cut Tari, mereka enggan mengulas tentang perkara itu.

"Kami tidak berbicara tentang kes ini, kita perlu tahu Ariel sedang menerima hukumanya sekarang iaitu dihukum secara sosial," jelasnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/7/13/mstar_hiburan/20100712180347&sec=mstar_hiburan

Tak sanggup adik didera



Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/07/13

KUALA LUMPUR: “Saya tak tergamak melihat adik saya terus didera suaminya,” kata Azril Adzlee Ali, 30, abang angkat kepada wanita yang suaminya didakwa mempunyai hubungan intim dengan juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau lebih dikenali sebagai Tom.

Azril mendakwa, adiknya yang dipanggil Ayien, 23, sering menjadi mangsa deraan suaminya. Malah, dia mendakwa Tom, 25, yang tinggal serumah dengan pasangan itu turut mendera adiknya.


Harian Metro semalam melaporkan mengenai pergaduhan berlaku di antara anggota keluarga Ayien, suaminya dan Tom di tepi jalan raya berhampiran restoran berdekatan Balai Polis Damansara di Damansara Utama. Kejadian itu disaksikan orang ramai dan wartawan yang sebelum itu dipanggil keluarga angkat Ayien untuk mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan susulan dakwaan Tom, Ayien dan suaminya dalam program hiburan televisyen, kelmarin yang mendakwa mereka difitnah. Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, berlaku tumbuk-menumbuk dan sepak terajang sehingga Tom serta beberapa individu lain cedera.


Azril berkata, dia perlu memberi penjelasan mengenai kejadian itu yang didakwanya susulan daripada penderitaan Ayien yang mengadu sering didera suaminya. Katanya, walaupun berstatus adik angkat, hubungan dia dan keluarganya dengan Ayien sebenarnya seperti keluarga kandung kerana mereka menjaga Ayien sejak umurnya satu tahun.


“Ayien dan suaminya sudah dua tahun berkahwin, tapi suaminya bermasalah. Selepas berkahwin kehidupan mereka tak tentu arah. Malah, semasa Ayien mengandung, dia bekerja mencari rezeki menyara keluarga,” katanya.


Menurut Azril, kejadian Ayien sering dipukul suaminya diketahuinya selepas Ayien menghantar SMS kepada keluarga suaminya dan mereka memanjangkan SMS itu kepada keluarga angkatnya.


“Selepas dimarahi bapanya, suami Ayien bawa adik (Ayien) ke ibu kota. Sejak itu kami putus hubungan dengannya selama dua minggu. Disebabkan bimbang keselamatannya, kami buat laporan polis. “Kami makin marah dan kecewa apabila mendapat tahu suami Ayien ada hubungan dengan Tom. Keadaan adik saya (Ayien) ketika ini sekejap baik dan sekejap tidak. Saya rasa dia keliru serta trauma,” dakwanya. Bagaimanapun, Azril enggan mengulas mengenai tindakan keluarganya memukul Tom, seperti dilaporkan akhbar semalam dengan alasan dilarang bapanya daripada berbuat demikian.


“Kita tunggu siasatan polis selesai kerana saya tidak mahu mengganggu kerja polis dengan memberi komen. Apa yang saya ceritakan ini mengenai penderitaan dialami adik saya,” katanya.

“Kami membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan membawa Ayien membuat pemeriksaan kesihatan untuk membuktikan dia sememanga didera,” katanya.


Dia juga tidak memberi kerjasama apabila Harian Metro meminta menemubual Ayien dengan alasan wanita itu memerlukan rehat kerana masih dalam pantang melahirkan anak.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis dibuat keluarga Ayien dan laporan sama turut diterima daripada Tom.


“Kita masih menyiasat setiap laporan itu dan mengkaji motif sebenar pergaduhan itu berlaku,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksanggupadikdidera/Article

Wartawan Cerita Pengalaman Dicekik Dan Ditendang Kerana Mahu Selamatkan Tom

Selasa Julai 13, 2010

Tom

PETALING JAYA: Wartawan Utusan Malaysia, Raja Intan Dianna Raja Azham,25, mengalami bengkak pada rusuk kirinya dan lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul ketika mahu meleraikan pergaduhan melibatkan juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lepas, Raja Intan cuba membantu Tom yang diserang sekumpulan lelaki sehingga membuatkan dia turut mengalami kecederaan.

Kata Raja Intan, walaupun Tom adalah saudaranya dia bukan mahu masuk campur urusan penyanyi itu sebaliknya atas sifat kasihan melihat sekumpulan lelaki cuba membelasah penyanyi tersebut.

"Saya bersimpati terhadap Tom apabila melihat seorang daripada lima lelaki meluru kearahnya lalu menyepak bahagian pipi kanan dia.

"Kerana kasihan saya cuma membantu tetapi saya pula yang turut dicederakan," ujarnya ketika dihubungi Mstar Online di sini, Isnin.

Dalam kejadian di Damansara Ahad lepas, Tom cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai akibat selisih faham selepas dia membuat kenyataan dalam rancangan Melodi yang dia sebenarnya tidak mengganggu rumah tangga orang.

Raja Intan

Sebelum ini Tom dikatakan menyebabkan rumah tangga seorang wanita dengan suaminya bergoyang kerana dia mempunyai hubungan dengan suami wanita berkenaan yang juga kekasih lamanya.

Kata Raja Intan, pada mulanya dia berada pada deretan kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Bagaimanapun selepas melihat isteri kepada lelaki yang dikaitkan dengan Tom itu cuba menyelamatkan penyanyi itu daripada dipukul, dia turut membantu.

Malangnya pada waktu itu dia pula yang ditendang pada bahagian rusuk selain dicekik oleh seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan. "Beberapa perempuan yang berada disitu turut menjerit serta memaki hamun saya agar tidak masuk campur kerana saya orang luar

"Mereka juga ada memberi ugutan kepada saya agar beredar dari situ," jelasnya yang kini masih trauma dengan kejadian tersebut.

Bagaimanapun kata Raja Intan dia terselamat apabila tiba-tiba rakan Tom muncul dengan sebuah kereta menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyelamatkan diri.

"Kejadian yang berlaku itu lebih kurang 5 minit tetapi baju saya habis koyak rabak, seorang kawan Tom datang dengan kereta dan menyuruh kami bertiga memasuki kereta tersebut.

"Kami terus menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan," ujarnya yang mendapat cuti sakit akibat tragedi itu.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/7/13/mstar_hiburan/20100712195459&sec=mstar_hiburan

Insiden Tom Diserang : "Ada Pihak Hendak Malukan Saya Depan Wartawan"

Selasa Julai 13, 2010

Luka diwajah Tom akibat dibelasah sekumpulan lelaki

PETALING JAYA: Juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom,23, menganggap insiden diserang oleh ahli keluarga isteri bekas kekasihnya di hadapan pihak media, Ahad, adalah salah satu usaha untuk menjatuhkan maruahnya.

Tom yang dihubungi Mstar Online berkata, perbuatan itu adalah tidak adil kerana pada mulanya keluarga wanita berkenaan berjanji untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara yang baik.

“Saya terkejut begitu ramai pihak media datang sehingga insiden saya dipukul itu dirakamkan. Ia memalukan saya tetapi saya menganggap saya tetap tidak bersalah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Ahad, Tom dipanggil oleh keluarga isteri kepada bekas kekasihnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah melibatkan mereka. Perbincangan itu diadakan di Damansara Utama dekat sini.

Perbalahan itu dikatakan berpunca apabila keluarga wanita tersebut tidak berpuas hati selepas melihat komen Tom menerusi rancangan Melodi TV3, kononnya dia difitnah menjalinkan hubungan dengan suami orang.

Bagaimanapun dalam perbincangan yang diaturkan itu, ketika Tom hendak bercerita keadaan sebenar, dia telah diserang dengan cara dipukul dan ditendang oleh abang kepada isteri bekas teman.

Katanya, perbuatan ahli keluarga wanita berkenaan adalah tidak bermaruah kerana gagal menyelesaikan masalah dengan baik seperti yang diinginkan sebaliknya mahu perkara berkenaan diperbesarkan dengan adanya pihak media.

"Segala cerita yang mengatakan saya ada hubungan dengan suami wanita itu adalah satu fitnah walaupun lelaki berkenaan pernah menjadi kekasih saya sebelum dia berkahwin. Saya sedih belum sempat habis berbincang, salah seorang lelaki datang menendang saya.

“Kalau saya benar-benar buat salah, takkanlah isteri kepada bekas kekasih saya itu datang untuk menyelamatkan saya daripada terus dipukul oleh ahli keluarganya?” soal Tom.

Ini semua adalah fitnah nak jatuhkan saya. Mereka tidak puas hati dengan fitnah tersebut lantas memanggil wartawan agar menyaksikan perbincangan itu. Tapi belum pun sempat untuk berbincang perkara tidak diduga telah terjadi.

Kata Tom lagi, akibat insiden itu dia menjadi trauma dan tidak mungkin akan berbincang dengan keluarga berkenaan pada masa akan datang. "Saya cuba buat baik, tetapi ini yang dibalas mereka. Saya tidak ada kana mengena dengan masalah yang berlaku dalam keluarga tersebut tapi sayangnya saya pula yang menjadi seperti kambing hitam.

“Saya serahkan kepada masyarakat untuk menilai dan saya yakin kebenaran akan muncul satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamaed ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Walau bagaimanapun sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan dibuat.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/7/13/mstar_hiburan/20100712183819&sec=mstar_hiburan

Anak dirasuk nafsu iblis

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/07/13

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila menyaksikan sendiri kekejaman anak lelakinya berusia awal 20-an merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun di rumah mereka sehingga gadis berkenaan mengandung, baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila jeritan dan rayuan wanita berusia awal 40-an itu yang cuba menghalang tindakan keji anak lelakinya tidak diendahkan.


Malah, tindakannya mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali langsung tidak dihiraukan seolah-olah anak lelakinya dirasuk hantu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam hujung bulan lalu di sebuah taman perumahan di Setapak Jaya di sini, mangsa yang juga seorang pelajar dikatakan dirogol empat kali dalam bilik berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis kelmarin selepas lelaki terbabit enggan bertanggungjawab terhadap perbuatannya sehingga dia kini disahkan mengandung.


Menurut sumber, semuanya bermula apabila pelajar terbabit dipelawa ke rumah suspek untuk mengenali ahli keluarganya.


“Mangsa tidak keberatan mengikut suspek ke rumah berkenaan kerana ibu teman lelakinya juga ingin mengenali remaja berkenaan.


“Selepas tiba di rumahnya dan berkenalan dengan ibu suspek, teman lelakinya itu bagaikan dirasuk hantu apabila memaksa remaja terbabit masuk ke biliknya,”
katanya.


Sumber itu berkata, keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum suspek mengheret tangannya masuk ke bilik dan mengunci pintu.


“Ibu suspek yang menyedari perbuatan itu mengetuk pintu, menjerit sambil merayu kepada anak lelakinya supaya tidak melakukan perbuatan buruk ke atas gadis berkenaan.


“Malah, ibu suspek berusaha membuka tingkap di bahagian belakang bilik berkenaan untuk mengintai perbuatan anaknya,”
katanya.

Menurut sumber itu, sebaik membuka sedikit tingkap bilik berkenaan, dia terkejut sebaik melihat anaknya bergelut untuk merogol teman wanitanya.


“Ibu suspek berlari semula ke pintu bilik berkenaan dan berulang kali mengetuknya, namun anaknya langsung tidak mengendahkan panggilannya,” katanya.


Sumber itu berkata, suspek merogol remaja berkenaan empat kali sebelum menghantarnya pulang ke rumah.


“Pada mulanya, mangsa tidak membuat laporan polis kerana suspek mendakwa akan bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu dengan mengahwininya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lelaki terbabit mungkir janji apabila enggan bertanggungjawab atas perbuatannya selepas remaja berkenaan disahkan mengandung.


“Remaja terbabit memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya, namun suspek berkeras enggan bertanggungjawab walaupun rundingan secara baik dilakukan keluarga mangsa,” katanya.


Berikutan itu, mangsa bersama ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, kelmarin, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Difahamkan, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya semalam bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes terbabit sudah dirujukkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakdirasuknafsuiblis/Article

Sunday, July 11, 2010

Sengat tebuan rawat penyakit


HOMEOPATI yang bersifat holistik semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia yang mahukan rawatan alternatif.


BAGI individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi.

Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.

Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.

Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.

Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.

"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam.

Sotong

"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya.

"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.

Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.

"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah.

"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.

Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.

"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.

Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.

Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.


NIK FAIRUZ


"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam.

"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

Murah

Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.

Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.

Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.

"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim.

"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.


RAWATAN homeopati banyak menggunakan ubat-ubatan berasaskan herba.


Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.

"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan.

"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

2 pendaki Everest kini bergelar Datuk


IMBAS kembali. Magendran dan Mohanadas memegang Jalur Gemilang sebaik tiba di puncak Gunung Everest pada tahun 1997.


PULAU PINANG - Dua pendaki yang berjaya mengharumkan nama negara setelah menakluk puncak Gunung Everest mendapat penghormatan apabila menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

N. Mohanadas, 49, dan M. Magendran, 47, antara 176 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-72 semalam.

Mereka merupakan rakyat Malaysia pertama (pasukan pertama) yang berjaya mendaki Gunung Everest pada 23 Mei 1997.

Mohanadas yang ditemui selepas itu berkata, perasaannya sebak menerima anugerah berkenaan sama seperti ketika berjaya menakluki Gunung Everest.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Bapa kembalikan Siew Qing



SIEW QING (kanan) yang diketemukan semula dengan ibunya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan Nicole Soo Siew Qing, 3, yang dipercayai dilarikan oleh bapanya untuk dijual gara-gara gemar berjudi dan berhutang dengan ah long akhirnya terjawab apabila bapanya tampil menyerahkan anaknya itu kembali.

Soo Kian Keong, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori tampil di Biro Pengaduan Awam MCA selepas mengetahui perkara tersebut melalui media ekoran tindakan ibu kanak-kanak itu, Kristina, 34, yang merupakan warga Indonesia membuat laporan polis baru-baru ini.

Kian Keong berkata, dia tidak pernah berniat untuk menjual anaknya itu tetapi tertekan setelah bertengkar dengan isterinya itu yang didakwa mengalami masalah mental selepas melahirkan Nicole.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Bukan jual anak

2010/07/11

KUALA LUMPUR: “Memang saya berhutang dengan along, tetapi bukan sampai hendak jual anak kepada mereka,” kata Soo Kian Keong, 35, menafikan dakwaan isterinya, Kristina, 34, yang menuduh dia melarikan anak perempuannya, Nicole Soo Siew Qing berusia tiga tahun untuk menyelesaikan hutang.

Soo yang hanya mengetahui berita mengenai dakwaan isterinya semalam berkata, dia tiada niat menjual anaknya tetapi tertekan selepas bertengkar dengan Kristina yang juga warga Indonesia.


Pemandu lori itu sebaliknya mendakwa Kristina mengalami masalah mental selepas melahirkan Nicole dan mereka sering bertengkar.


“Saya bukan nak jual anak saya sebab nak bayar hutang... memang saya ada hutang dengan along, tapi hutang itu dah nak selesai,” katanya kepada pemberita di Wisma MCA, semalam.


Kristina membuat laporan kepada biro itu apabila Soo dan Nicole tidak pulang ke rumah selepas membeli makanan. Soo berkata, beliau kini dalam proses bercerai dengan Kristina dan akan memohon hak penjagaan terhadap Nicole manakala anak bongsunya Aby Soo Chean Keat, sembilan bulan, akan dijaga oleh isterinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bukanjualanak/myMA/myArticle/

Nampak lembaga sebelum sakit


SHAHDAN (kanan) menerima kunjungan tetamu sewaktu dirawat di Hospital Jengka semalam.


MARAN - Seorang daripada anggota operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas, Timothy Hoo Seng Heng, 29, dikatakan ternampak satu lembaga wanita berambut panjang muncul dari air sebelum dia sendiri meninggal dunia kelmarin.

Mangsa sempat memberitahu keluarganya bahawa dia ternampak lembaga itu selepas seorang bomoh merendam sebatang buluh ke dalam air di kawasan perkelahan Lubuk Yu dalam usaha mencari mangsa lemas, Mohd. Azhar Azizam.

Bapanya, Ho Hok Kee, 60, berkata, selepas melihat lembaga itu, anaknya demam dan berjumpa dengan ketua kampung Sungai Jerik, Lim Sin Lai yang memintanya jangan lagi ke tempat tersebut.

"Tapi anak saya tetap juga pergi ke sana kerana urusan operasi mencari dan menyelamat sebelum dia sakit dan meninggal dunia," katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...