Friday, September 5, 2008

Gadis hilang selepas memasuki tandas awam

Ditulis oleh Editor
Tuesday, 02 September 2008



KUALA TERENGGANU: Dia mulanya meminta kebenaran ibu untuk ke tandas di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum menghilangkan diri sejak Sabtu lalu.


Manisah Mamat, 20, dari Kampung Kijing, Marang, disedari hilang oleh ibunya, Romah Sulong, 41, apabila anak gadisnya itu tidak keluar sebaik memasuki tandas wanita di perhentian bas berkenaan, kira-kira jam 11 pagi hari kejadian.


Menurut Romah, sebelum kejadian, dia dan anak tunggalnya itu pergi ke Pasar Besar Kedai Payang untuk membeli barang keperluan menyambut Ramadan dan apabila selesai membeli-belah, mereka ke perhentian berkenaan untuk menunggu bas pulang ke rumah.


“Ketika itu, dia memberitahu mahu ke tandas tetapi selepas menunggu agak lama dia tidak juga keluar, saya meninjau ke dalam tandas dan terkejut serta bingung apabila mendapati dia tiada.


“Sebelum itu, ada dua pemuda bergaduh berhampiran tandas berkenaan menyebabkan saya terleka dan tidak menyedari langsung kehilangannya itu,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, semalam.


Menurutnya, dia sudah membuat aduan kehilangan itu di Ibu Pejabat Polis Dareah Marang sebelum membuat aduan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu - MyMetro


http://buletinonline.net/

Jawaban Mahathir terhadap Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas daripada Shaharir


Friday, August 29, 2008

jawaban kpd Dr. Mahathir tentang bahasa Inggeris


Jawaban Mahathir terhadap Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas daripada Shaharir


(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya (dan dikirimkan) pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya dipaparkan kembali satu persatu di sini dan pandangan balas saya terus diberikan perkara demi perkara itu)


Mahathir 1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan
Melayu, tidak utamakan bahasa saya.


Jawaban Shaharir:
Pertama: Maknanya dasar beliau itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada UMNO!?
Kedua: Memang beliau wajar menerima tuduhan yang disebutkannya itu kerana jelas makna “semangat kebangsaan” beliau berbeza daripada kebanyakan orang; dan makna “utamakan bahasa” beliau juga amat berbeza daripada sesiapa pun. Beliau suka memutarbelitkan isu dengan ayat lojik yang betul tetapi berimplikasi kabur dengan harapan orang terperangkap.
Umpamanya “semangat kebangsaan ialah semangat yang mengutamakan bangsa” tetapi beliau menterbalikannya “orang yang tidak mengutamakan bangsa ialah orang yang tidak bersemangat kebangsaan”. Lojiknya betul tetapi beliau menyelewengkan makna “bangsa” pula kerana beliau tidak menerima “bahasa menunjukkan bangsa” atau lebih dalam lagi “bahasa jiwa bangsa”. Lagi satu, “Orang yang mengutamakan bahasanya bermakna bahasa lain berada ditangga bawah”, atau terbaliknya “Orang yang tidak meletakkan bahasa lain ditangga bawah bermakna orang itu tidak mengutamakan bahasa sendiri”; tetapi Dr. Mahathir lari daripada dua-dua bentuk ayat yang secara lojiknya betul ini dengan mengatakan “Orang yang ingin menguasai bahasa lain tidak bermakna dia tidak mengutamakan bahasanya sendiri”. Betul, tetapi dia menutup orang menumpukan kepada cara menguasai bahasa lain itu, sedangkan cara itu kalau salah, seperti yang dilakukannya itu, jelas bukan sahaja tidak mengutamakan bahasa sendiri tetapi menyisih, mengembiri atau mematikan langsung bahasa sendiri. Inilah sebenarnya cara beliau dalam dasar pendidikan beliau yang tidak membenarkan bahasa sendiri digunakan dalam sains dan matematik itu kerana dasar beliau itu menjadikan lebih daripada 60% peratus pelajar sekolah berada di aliran Inggeris (lebih drp 70% subjek bagi pelajar aliran sains menjadi dalam bahasa Inggeris). Beliau Berjaya mengalih pandangan orang kepadas hakikat ini.


Mahathir 2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.


Jawaban Shaharir:
Baiklah.


Mahathir 3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.


Jawaban Shaharir:
Pertama: Seperti yang disebut di atas,Dr. Mahathir memang berpegang pada makna “semangat kebangsaan” yang salah. Sesuatu dasar yang membelakangi bahasa B padanya tidak bertentangan dengan “semangat kebangsaan B” . Ini suatu pendirian yang aneh dan tidak akan berlaku di mana sahaja bangsa di dunia ini. Bayangkan B itu Perancis, Jerman, Inggeris atau Jepun dan sebagainya. (tetapi jangan bayangkan negara-negara di Afrika, India, Filipina, dsbnya; iaitu negara-negara yang parah terjajah dan mundur atau yang tidak layak menjadi model kemajuan). Sudah pastinya bangsa B ini akan menentang sekeras-keras kepada pemimpinnya yang mahu menjadikan bahasa bukan bahasa B sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik, walaupun hujah yang muluk-muluk dapat diutarakan akan kewajaran dasar itu. Di Malaysia ini suku kaum China umpamanya tidaklah begitu marah kepada Dr. Mahathir dengan dasar pendidikannya itu kerana Dr. Mahathir telah bertindak lembut terhadapnya dengan membenarkan bahasa Cina juga boleh terus digunakan. Kalau dia berkeras sama seperti terhadap suku kaum Melayu, maka Dr. Mahathir layak dituduh “tidak bersemangat kebangsaan Malaysia” oleh semua kaum di Malaysia. Nasib baik Dr. Mahathir tidak mendapat tentangan yang keras daripada orang Melayu (UMNO terutamanya) pada masa dia berkuasa dahulu kerana sifat Melayu UMNO yang feudal (“Ketua mesti betul!”).


Kedua dan ini lebih penting lagi: Dr. Mahathir membuat andaian orang tidak mungkin fasih dalam bahasa lain jika dia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri. Dia juga sengaja membuat andaian yang salah, dan diulang-ulangnya pada mana-mana kesempatannya, bahawa orang bersemangat kebangsaan tidak hirau bahasa lain dan tentu maksudnya bahasa Inggeris, malah kadang kala ditegaskan nasionalis ini tiak mahu orang lain menguasai bahasa Inggeris dan Berjaya seperti nasionalis itu. Sungguh jahat! Dia sengaja cuba memfitnahkan bahawa selama 30 tahun lebih ini orang Malaysia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri (tentu bahasa Melayu maksudnya) tidak berjaya dalam sains dan matematik dan tiada fasih berbahasa Inggeris ke tahap yang sewajarnya.Semua ini semata-mata prangsangka buruknya sahaja atau kejahilannya mengenali ahli sains dan matematik Malaysia selama ini. Tentunya apabila kita kata “ahli sains dan matematik Malaysia” ini bermakna orang Malaysia yang dahulunya belajar sains dan matematik sekolah hingga universiti dalam bahasa Melayu, atau sekurang-kurang belajar sains dan matematik sekolah dalam bahasa Melayu tetapi kemudian berkarya ilmu sains atau matematiknya di arina antarabangsa (menerbitkan karyanya dalam jurnal atau pascasidang dalam bahasa Inggeris di samping bahasa Melayu). Ahli sains dan matematik ini sudah ribuan banyaknya! Tentunya kita belum berjaya mendapat Hadiah Nobel, tetapi ini bukan kerana bahasa. Hadiah Nobel boleh dimenangi oleh orang yang tidak berapa tahu bahasa Inggeris pun! Telaahlah senarai pemenang Hadiah Nobel ini. Lagi pun, adakah Negara Membangun yang memang dasar pendidikannya semuanya sejak tadika bukan dalam bahasa sendiri, tetapi bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, yang diagungkan oleh pemimpinnya masing-masing, selama ini sudah melahirkan ahli sains atau ahli matematik yang menerima hadiah sains atau matematik yang besar-besar yang mungkin menjadi kayu ukur Dr. Mahathir ?


Mahathir 4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?


Jawaban Shaharir:
Ini Dr. Mahathir sengaja menyelewengkan maksud hadith ini sahaja. Dia pun memang tahu! Pemimpin Zaman Tamadun Islam dahulu, apatah Nabi Muhamad SAW, tidak pernah mengajar orang-orang di Timur Tengah atau di wilayah tamadun itu dalam bidang sains dan matematik dalam bahasa “China” (atau Hindia atau Yunani dsbnya) walaupun mereka tahu dalam bahasa-bahasa itulah ilmunya tinggi pada masa itu. Hadith ini semua orang tahu maksud sebenarnya cuma sengaja dipermainkan oleh Dr. Mahathir untuk membodohkan orang Malaysia yang disangkanya sebahagian besarnya masih boleh diperbodohkan begitu. Hadith ini memang telah pun kita laksanakan sejak zaman Tun Razak dahulu lagi. Dr. Mahathir meneruskan tradisi ini dengan mengukuhkan lagi melalui penghantaran pelajar ke negara-negara yang sistem pendidikannya sains dan matematiknya bukan dalam bahasa Inggeris sekali pun; dan ini dapat dilakukan dengan jayanya walaupun sistem pendidikan kita dalam bahasa Melayu sepenuhnya.


Mahathir 5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.


Jawaban Shaharir:
Ini betul dan memang menjadi hukum pembinaan tamadun. Malangnya kita (terutamanya pada zaman Dr. Mahathir berkuasa) tidak percaya pada hukum ini, lalu lambatlah kita membina pusat terjemahan yang boleh melaksanakan hukum itu. Pada akhir-akhir regimnya sahaja barulah ditubuhnya (atas desakan puluhan tahun) Institut Tejemahan Negara tetapi belum pun sempat bergerak, Institut itu dijadikan tak relevan olehnya dengan menjadi bahasa Melayu, bahasa yang haprak, yang tidak layak membawa ilmu, menerima ilmu, mengungkap ilmu dan dibangunkan menjadi bahasa ilmu. Kononnya kita lupakan dahulu bahasa Melayu, kita ajar semua dalam bahasa Inggeris dan lepas itu baru ramai yang boleh terjemah seperti yang cuba dibayangkannya berlaku di dalam Tamadun Islam itu. Dr. Mahathir sengaja memutar belit fakta. pendidikan sains dan matematik (apa ilmu pun) pada Zaman Tamadun Islam itu bukan dalam bahasa ilmu masa itu (yang disebut oleh Dr. Mahathir bahasa Yunani). Bahasa ini diketahui oleh segelintir sarjana pada masa itu, dan sarjana-sarjana inilah yang dimobilisasi oleh khalifah untuk melaksanakan gerakan penterjemahan besar-besaran itu. Penterjemahan ilmu ke dalam bahasa sendiri oleh para sarjana dan pendidikan dalam bahasa sendiri dilakukan serentak! Model Dr. Mahathir, kalau betullah begitu model dan wawasannya, iaitu “tinggal dahulu bahasa sendiri dan kemudian apabila sudah maju dalam bahasa asing maka barulah kita kembali kepada bahasa sendiri”, adaslah satu wawasan di kahyangan. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah tamadun di mana-mana dan isya Allah mustahil berlaku pada masa akan datang (walaupun kita masih boleh bermain-main melaungkan “Malaysia boleh”!). Sebenarnya, sejak awal lagi dan semakin ramailah orang sangsi akan “niat murni” Dr. Mahathir yang ingin memajukan bangsa Melayu dengan dasar seperti lamunannya itu… Katanya “dia sebenarnya mahu bangsa ini menghayati bahasa Inggeris sahaja …. Dia sebenarnya terpesona dengan gaya Inggeris…Kalau akhirnya orang Malaysia tak pandai sains dan matematik pun tak apa, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia rata-rata petah berbahasa Inggeris…. “biar pape ase bergaye”….(“pape” dalam ilmu tetapi tetap boleh “bergaye” semacam mat saleh!). Dia tak mahu macam Jepun yang tak tahu bercakap Inggeris!”. Yang lain lagi menuduhnya dasarnya beliau itu sebenarnya dimotivasikan oleh kehebatan implikasi kewangannya sahaja!


Mahathir 6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.


Jawaban Shaharir:
Setuju! Namun dia perlu berhati-hati dengan ungkapan “percaya kepada kuasa-kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam” itu kerana Islam juga mewajibkan umatnya percaya kepada benda ghaib (Jin, Syaitdan, Malaikat dan Yang Maha Berkusa). Satu daripada kelemahan besar sains sekarang ialah tidak mengiktiraf makhluk yang gaib ini dan berpegang pada falsafah Tabiisme atau lebih teruk lagi ateisme.


Mahathir 7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.


Jawaban Shaharir:
Betul! Tetapi orang yang telah ada asas ilmu seperti (pada masa iyu) para paderi itu memang sepatutnya demikian. Semua bangsa yang ingin maju demikiannlah. Selama ini pun, pada tahap tertentunya, kita, iaitu para rakyat yang berpengetahuan lebih tinggi daripada orang awam mempelajari sesuatu bahasa untuk mencungkil ilmu dalam bahasa itu. Cuma tahap keghairahan kita tidak sama dengan mereka di Eropah dahulu… itulah satu drp puncanya kita lambat maju sehingga Dr. Mahathir menggelabah dan tidak sabar untuk melakukan sesuatu tetapi tersalah fikir atau langkah itu. Beliau tidak mendapat iktibar sepenuhnya daripada sejarah Tamadun Eropah itu sendiri.


Mahathir 8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.


Jawaban Shaharir:
Selama ini kita tidak demikian; dan kerajaan di bawah Dr. Mahathir dahulu sekali-kali tidak menggalakkan para ilmuwan Malaysia melakukan seperti yang berlaku di Eropah itu. Ilmuwan kita mengejar apa yang Dr. Mahathir impikan (menerusi wawasan kahyangannya yang bergaya itu). Inilah hasilnya…. kita ada “sarjana” (ribuan banyaknya dalam satu-satu bidang seperti sains matematik, sains hayat, kejuruteraan… ) yang tidak pernah menterjemah hingga tamat usianya! Penyelesaian daripada Dr. Mahathir ialah “paksa semua orang belajar dalam bahasa Inggeris”… lupakan terjemahan..lupakan bahasa sendiri.. apa tujuan Dr. Mahathir bawa sejarah Tamadun Islam dan Tamadu Eropah itu?!


Mahathir 9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.


Jawaban Shaharir:
Ini tidak berapa betul! Sarjana-sarjana Eropah dahulu yang menguasai bahasa Arab itu sama ada mereka sudah pun berilmu dalam bahasa Latin atau mereka belajar ilmu dalam bahasa Arab dan Latin (dwi-bahasa) hanya di peringkat universiti sahaja. Di sekolah umpamanya mereka tetap belajar dalam bahasa mereka sendiri atau bahasa Latin (walaupun pemimpinnya sedar Latin ialah bahasa yang mengandungi ilmu yang lebih inferior daripada yang ada di dalam bahasa Arab) tetapi mereka berwawasan dan beriltizam membina ilmu untuk bangsanya dalam bahasa Latin (bahasa jiwanya, bahasa rasmi agamanya). Akhirnya mereka agak berjaya sehingga pada satu tahap, malah dapat mengalahkan sains Tamadun Islam kerana kealpaan umat Islam, tetapi yang masih tidak memuaskan para pemimpin mereka sehinggalah masing-masing bangsa di Eropah itu membangun ilmu dalam bahasa kebangsaan masing-masing. Apa yang Dr. Mahathir belajar daripada sejarah Eropah ini? Lagi sekali Dr. Mahathir pandai membuat kesimpulan yang pendek itu untuk mengelirukan rakyat yang pernah berada di bawah telunjuknya dahulu.


Mahathir 10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.


Jawaban Shaharir:
Ayat pertama itu tentu mungkin dan patut! Tetapi ayat kedua itu berniat jahat semata-mata! Dia tahu ayat kedua itu tidak pernah berlaku pada orang Inggeris pun. (Sarjana Inggeris masih menterjemah buku atau makalah ilmu dalam bahasa-bahasa lain, malah jauh lebih banyak daripada kita lakukan selama ini). Kita sebenarnya sudah buktikan selama 30 tahun lebih ini bahawa “segelintir” itu agak banyak sehingga jika dasar kerajaan di bawah Mahathir dahulu berwawasan yang tepat keadaan bangsa kita sekarang lain daripada yang ada sekarang ini.


Mahathir 11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.


Jawaban Shaharir:
Dr. Mahathir membuat rumusan yang melulu untuk menegak benangnya yang basah atau tujuan mencapai hasrat yang dicita-citanya yang tersasar itu sahaja. Dr. Mahathir tidak membuat kerja rumah yang cukup. Apa bezanya sains dan matematik yang di ajar di sekolah dan universiti (ijazah pertama) sekarang dengan zaman beliau dahulu (50 tahun dahulu)?. Kalkulus yang diajar di sekolah dan di universiti sekarang ialah ilmu abad ke-17 dan ke-18 dan tidak berubah sebab perkara itu masih tetap menjadi asas yang perlu. Begitu juga dengan asas-asas fizik, kimia dan biologi. Yang berbezanya hanyalah aspek pengiraan dalam ilmu-ilmu itu kerana 50 tahun dahulu komputer belum ada, malah ilmu sains komputer dan teknologi maklumat amnya belum ada. Namun dalam bidang pengiraan (sains komputer dan teknologi maklumat amnya) di peringkat asasnya yang perlu diajar di sekolah atau di universit peringkat pertama tiadalah perubahan sepantas yang cuba ditakut-takutkan oleh Dr. Mahathir itu. Dia sengaja memomok-momokkan orang seperti menakut-nakutkan kanak-kanak dengan cerita-cerita hantu-jembalang sahaja yang pencerita itu sendiri tidak pernah mengalaminya!Benar kadar perubahan ilmu sekarang jauh lebih pantas daripada abad ke-15 dahulu tetapi kadar kemampuan pelajar dan guru serta penyelidik sekarang menangani perubahan ini juga demikian, senahagiannya kerana teknologi juga. Jadi kesannya yang sebenar tidaklah menakutkan seperti yang cuba ditakuti oleh Dr. Mahahtir. Jika gambaran Dr. Mahathir itu benar, semua negara terutamanya negara-negara di Eropah tidak akan ada lagi dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris! Ternyata bahasa rasmi Kesatuan Eropah pun bukan bahasa Inggeris sahaja, malah terlampau banyak sehingga mereka mahu mengurangkan kepada 4 atau 5 bahasa sahaja.


Mahathir 12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.


Jawaban Shaharir:
Ini cerita daripada periwayat hantu yang disebut di atas. Teori baru yang terbukti berguna dan berjadi hanya berlaku jarang sekali, banyak bidang sains dan matematik berlaku perubahan teorinya dalam kalaan puluhan tahun, malah sains komputer yang dianggap terpantas itu pun biasanya dalam kalaan 3 atau 4 tahun (itu pun teknologinya sahaja). Yang digambarkan oleh Dr. Mahathir itu ialah tesis baru yang belum mencapai tahap yang patut dikuasai oleh kebanyak orang di universiti, apatah lagi di sekolah. Ia berlaku di kalangan sarjana berkenaan sahaja; dan sarjana tidak pernah menghadapi masalah bahasa yang ditakuti dan menakutkan orang oleh Dr. Mahathir itu. Berkenaan dengan “algorizmi” (sepatutnya alkhwarizmi atau algoritma) lagi lambat munculnya. Yang diajar di sekolah atau di universiti hingga kini masih yang asasnya yang dicipta ratusan tahun dahulu lagi (zaman belumada komputer lagi!). Teori dalam astronomi lagi lambat perubahannya, teori yang terbaik setakat ini (terutamanya oleh orang Barat) ialah ciptaan sarjananya lebih daripada 70 tahun dahulu (iaitu teori Einstein dan teori quantum) dan “algorizmi” untuk mengira ke angkasa lepas tidak banyak berubah sejak pertama kali Amerika barjaya ke Bulan (1974). Ilmu-ilmu yang lama inilah yang perlu dikuasai oleh pelajar kita sebelum mereka boleh belajar sendiri kelak. Persoalannya dalam bahasa apakah yang teraiknya? Takkanlah dalam bahasa yang pelajar tidak tahu atau tidak selesa? Lojik mana yang Dr. Mahathir pakai?l


Mahathir 13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.


Jawaban Shaharir:
Ini mengulang-ngulang benda yang sama…. Menakut-nakutkan tentang benda yang sama… hantu yang sama.. Cuma di sini lagi banyak Dr. Mahathir cuba bercakap benda yang nampaknya dia tak berapa tahu. Sains atom tidak banyak berubah sejak awal abad ke-20 ini kerana kadar penemuan atau pembinaan teori barunya memakan masa yang panjang kalaannya seperti yang disebut sebelum ini. Teori Bohm (tentang atom) yang dikatakan sedang membina kubu-kubu persaingan dengan teori sebelumnya dicipta pada 1950-an dan berkemuncakkan pada tahun 1980-an dahulu (nah! Memakan masa 30 tahun dan masih tak menang!... menunjukkan lambatnya perkembangan sains bidang ini). Sains halus, jika dimaksudkannya nano-sains, sebenarnya bukan sains baru tetapi sains awal abad ke-20M; yang barunya (dan belum berjaya) ialah teknologi berasaskan sains itu. Jika sains halus itu bermaksud sains makhluk halus, orang Melayu sudah tidak perlu kepada Barat, malah Barat sedang menterjemah ilmu ini (dari Timur) ke dalam bahasa-bahasa mereka. Nampak macam yang dalam kendong kita sedang berciciran dan yang dikejar mengikut Dr. Mahathir tak dapat-dapat!


Mahathir 14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.


Jawaban Shaharir:
Kalau Dr. Mahathir tidak berprasangka buruk dan membuat sedikit aritmetik kedudukan buku-buku ilmu dalam bahasa Inggeris sekarang, nescaya dia tidak akan bercakap dengan nada kalah seperti itu terutamanya jika dia berwawasan yang betul terhadap pembangunan sesebuah tamadun, bukan sekadar berwawasan begayo” seperti Wawasan 2020 itu sahaja [iaitu berwawasan bukan dalam bahasa sendiri dan bercakap segalanya dalam acuan sendiri tanpa takrif yang betul tentang acuan itu].
Secara amnya bilangan buku ilmu dalam bahasa Inggeris sekarang yang mungkin sesuai dipertimbangkan untuk diterjemahkan ialah sekitar 400 buah buku setahun dalam sesuatu bidang besar seperti sains matematik (termasuk sains komputer dan teknologi maklumat amnya), sains hayat, sains fizis (termasuk kimia dan geologi), sains kejuruteraan dan sains kesihatan dan perubatan. Dalam setiap bidang ini sekarang ini dianggarkan ada kira-kira 1000 orang sarjananya (yang ada ijazah Sarjana sekurang-kurangnya) yang banyak dahulunya belajar dalam bahasa Melayu tetapi tidaklah debek bahasa Inggerisnya (malah semuanya boleh menterjemah Inggeris-Melayu). Ini bermakna dengan dasar-dasar yang betul, kita tidaklah tidak mampu menghasilkan sebuah buku terjemahan setahun bagi setiap 2 orang sarjana. Di samping itu para sarjana ini juga tentunya boleh menghasilkan karya aslinya dalam bahasa Melayu, jika pengiktirafan terhadap penulisan buku tidak seperti yang berlaku selama ini. Ini belum lagi mengambil kira sarjana dari alam Melayu yang tentu sahaja boleh dimobilisasikan oleh Institut Terjemahan Negara itu umpamanya. Cara ini yang dilakukan pada Zaman Tamadun Islam dan Tamadun Eropah yang selalu disebut oleh Dr Mahathir dan disebut di sini juga (di atas tadi) tatepai nampaknya tidak pernah menjadi iktibar beliau.
Dengan teknologi penterjemahan yang ada, kadar penerbitan penterjemahan ini tentunya “secara teorinya kacang” sahaja. Anggaran perbelanjaan setiap buku sekarang pun amat murah berbanding dengan cara lama, dan biasanya sarjana memang tidak menagih bayaran kerja penulisannya, asalkan pengiktirafan akademik yang sewajarnya diinstitusikan. Dengan dasar-dasar yang betul seperti pengiktirafan bertaraf akademik kepada para penterjemah dari kalangan ahli akademik itu, peruntukan pembangunan untuk “penterjemahan Negara” yang patut diwujudkan itu amatlah kecil berbanding dengan peruntukan projek pembangunan mega-mega selama ini. Pokoknya wawasan pemimpin negara yang betul sahaja yang diperlukan, iaitu yang pastinya bukan wawasan ala Dr.Mahathir itu.


Mahathir 15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.


Jawaban Shaharir:
Ini yang sengaja Dr. Mahathir tidak atau buat-buat tidak faham-faham asalkan orang hanyut bersamanya dalam wawasan sebenarnya, iaitu menjadikan Malaysia ini bangsa yang kononnya lebih tahu berbahasa Inggeris daripada bangsa-bangsa lain yang bukan Anglo-Saxon dan pada masa yang sama dia tidak berpa kesah jika rakyat Malaysia memandang rendah atau tidak peduli kepada bahasa sendiri. Sejauh mana orang ramai sebenarnya lebih ramai/banyak boleh mencapai ilmu menerusi bahasa Inggeris itu (berbanding dengan menerusi bahasa sendiri) mungkin tidak begitu dipedulikannya. Persoalannya di manakah sandaran orang seperti Dr. Mahathir ini lakukan untuk mengatakan dengan mengajar Sains dan Matematik dalam bukan bahasa sendiri (di sini Inggeris) bagi lebih drp 90 % rakyat Malaysia ini (yang tidak menggunakan bahasa Inggeris di rumahnya) maka semakin ramailah rakyat Malaysia nanti faham sains dan matematik dalam bahasa itu dan seterusnya boleh mendapatkan sendiri ilmu itu kemudiannya menerusi teknologi maklumat? Siapa yang belajar sendiri tentang sains kependudukan umpamanya jika dia telah faham kalkulus sekolah? Siapa yang buka internet mencari ilmu baru tentang atom dan naoteknologi jika dia tidak faham hukum Newton pun? Pastinya orang mahir berabuk bercakap bahasa Inggeris sekarang pun jika dia tidak faham kalkulus sekolah tidak akan berbuta demikian! Hukum akal mana yang dia pakai: belajar dalam bahasa yang bahasa yang pelajar tidak selesa lebih baik daripada belajar dalam bahasa yang pelajar lebih selesa? Hasil kajian mana yang dia pakai yang menunjukkan pelajar berbahasa ibunda A lebih baik belajar dalam bahasa bukan ibundanya B? Hasil penyelidikan siapakah yang menunjukkan pelajar yang lebih selesa dalam bahasa A akan lebih berminat atau lebih berdaya cipta kelak jika belajar dalam bahasa bukan A? Jika semua soalan ini negatif jawabannya, apa maknanya Dr. Mahathir kata “jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris” ? “Kita” tu siapa dan berapa keratkah? Hebat sangatkah sains dan matematik orang Melayu di Singapura atau di Brunei kerana mata pelajaran ini begitu lama diajar dalam bahasa Inggeris? Sudah berpuas hatikah kita dengan prestasi sains dan matematik bangsa-bangsa di Afrika yang pendidikan seluruhnya dalam bahasa Inggeris sejak begitu lama sehingga secara tak langsung kita pun mahu mengikut jejak langkahnya? (Sebenarnya,contohnya, Nigeria dan Afrika Selatan baru berusaha untuk menggunakan bahasa sendiri dalam pengajaran sains dan matematik anak bangsanya!). Apa hebatnya sains dan matematik di Filipina yang begitu lama rakyatnya belajar ilmu ini dalam bahasa Inggeris? Adakah pendemokrasian sains dan matematik di Hindia begitu bagus berbanding dengan Tiongkok kerana pendidikan sains dan matematik di Hindia telah lama dalam bahasa Inggeris dan Tionghua masih dalam bahasanya sendiri; dan adakah pencapaian sains dan matematik di Hindia lebih baik drpd Tiongkok? …. dan terlampau banyak soalan yang jawabannya terang-terang menyangkal pandangan Dr.Mahathir itu.


Mahathir 16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.


Jawaban Shaharir:
Memang betul! Tetapi apa muslihatnya beretorik begini?


Mahathir 17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.


Jawaban Shaharir:
Amat betul! Tetapi apa guna leteran begini?


Mahathir 18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.


Jawaban Shaharir:
Sebahagian besarnya betul! Tetapi Dr. Mahathir tidak boleh menangkap borong semuanya bahawa ilmu sains dan matematik sekarang “bukan ilmu sekular”. Ilmu mengikut Islam ialah pengetahuan yang tidak menghakis iman sedangkan banyak teori dalam sains dan matematik sekarang bukan sahaja boleh menghakis iman tetapi jelas mencabar beberapa ajaran utama Islam. Kita perlu mengajar sains dan matematik kepada orang Islam supaya dia faham bukan sekadar matannya sahaja tetapi faham juga selok-belok ketakserasiannya dengan Islam sehingga orang Islam terpanggil untuk memperbaikinya dan seterusnya menjadi nakhodanya. Itu yang pernah dilakukan pada zaman Tamadun Islam dahulu dan Dr. Mahathir hanya buat-buat tak tahu sahaja. Dalam hubungan ini, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak membantu mendidik orang Melayu khususnya ke tahap yang diingini ini, kerana bahasa Inggeris itu membawa nilai-nilai kesekularan tersendiri yang sudah teradun dalam pengolahan penyampaian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu. Diakui bahasa Inggeris pun semakin menjadi satu daripada bahasa yang berkesan untuk penyampaian Islam tetapi gaya ini masih belum meresap ke dalam penyampaian sains dan matematiknya.Malah berdasarkan tinjauan yang dibuat beberapa kali yang mendapati lebih daripada 90% ahli sains teori Barat kini adalah ateis atau apeduli agama (kalau sekular lagi tinggi!), maka gaya penulisan sains dalam bahsa Inggeris khasnya tidak mungkin akan berubah kepada yang teis atau peduli agama, makalah semakin sebaliknya.


Mahathir 19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.


Jawaban Shaharir:
Lagi sekali Dr. Mahathir membuat andaian palsu, iaitu bangsa yang mengutamanya bahasanya sendiri adalah bangsa yang mengabaikan ilmu, bangsa yang kolot dan lemah, dan sebagainya itu. Lupakah dia tentang nasib bangsa Inggeris itu sendiri? Begitu juga dengan bangsa-bangsa yang dianggap maju dalam sains dan matematik sekarang, bangsa yang manakah yang tidak mengutamakan bahasanya sendiri? Sebenarnya orang yang rela bangsanya dihina dan sebagainya yang dikatakan dan dilakukan oleh Dr. Mahathir sedang berlaku pada orang Melayu sekarang ini pun (sejak 2003) kerana dasar bahasa yang menabaikan bahasa Melayu sedangkan tahap pencapaian sains dan matematik orang Melayu ada tanda-tandanya yang semakin merosot sebagaimana yang dipaparkan oleh para penyelidik yang tidak terikat pada kepentingan politik semasa.


Mahathir 20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.


Jawaban Shaharir:
Siapa yang tidak bersetuju dengan pandangan ini?


Mahathir 21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.


Jawaban Shaharir:
Pemimpin dan pejuang yang dibayangkan oleh Dr. Mahathir ini sukar dicari di Malaysia ini kerana sebahagian besar sejarah pasca-merdeka Malaysia ini berada di bawah zaman pemerintahan beliau. Dalam zaman pemerintahannya yang lama itu, beliau mungkin merasakan banyak benda yang dia buat yang tidak disukai ramai tetapi tetap dilakukan demi tidak “membiarkan bagsanya kolot dan hina” . Ini perasan beliau sahaja dengan menganggapkan setiap tindakan tidak popularnya tetap dilakukan kononnya demi kebaikan bangsanya, nasionalis sebenarnya, dan tidak penyempatnya dia. Orang boleh berhujah balik bahawa dasarnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan sains dan matematik sekolah dilakukan demi sebaliknya sahaja. Umpamanya, penyempat (pandai mengambil peluang situasi yang muluk-muluk)! Takrif nasionalis siapakah yang yang ciri-cirinya mengizinkan pengabaian kebudayaan sendiri? Dia patut menilai semula perasannya itu atas sebab-sebab yang telah diutarakan sebelum ini yang memberi kesimpulan bahawa tindakan tidak popularnya itu sebenarnya “membiarkan bagsanya kolot dan hina”. “Kolot dan hina” kerana dasar itu berkebarangkalian yang amat kecil akan melahirkan bangsa yang mampu mencipta ilmunya sendiri dan berkebudayaan sendiri.


Mahathir 22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.


Jawaban Shaharir:
Slogan “Bahasa jiwa bangsa” kini sudah dikelirukan oleh tingkah-laku Dr. Mahathir selama ini kerana padanya ilmu dan bahasa terpisah sifatnya. Padanya bahasa menjadi jiwa bangsa hanya dalam kebudayaan yang sempit bagi sesuatu bangsa itu sahaja, dan kebudayaan yang sempit itu pun tidak penting kalau bangsa itu tidak berilmu. Beliau menganggap ilmu itu neutral malah terpisah daripada bahasa. Bahasa tidak mewarnai ilmu dan ilmu tiada sumbangannya bahasa. Pada Dr. Mahathir ilmu yang sedia ada ini (apatah lagi yang hendak dicipta nanti) dalam bahasa apa pun memberi makna yang sama sahaja. Pandangan sempit dan salah ini ditambah pula dengan sikapnya yang tidak memasukkan ilmu sebagai komponen jiwa bangsa yang terpenting itulah menjadikan “bahasa jiwa bangsa” itu tidak perlu dipedulikan lagi. Tidak hairanlah dia merasakan slogan “Bahasa jiwa bangsa” itu tidak tepat, tidak kena, dan kolot, sehingga dia tambah satu ayat lagi itu. Inilah berbezanya Dr. Mahathir dengan kebanyakan ilmuwan seluruh dunia.


Shaharir b. M.Z. (Dr., Mantan Profesor matematik fizik, UKM & dan mantan Profesor Matematik UMT)BBBangi, 28/08/08


http://shaharirbmz.blogspot.com/2008/08/jawaban-kpd-dr-mahathir-tentang-bahasa.html

Pak Arab Kena Tipu lebih 20 Tahun

6/28/2008 10:12:00 PM


Ini adalah graf yang dipaparkan dalam wawancara Paul Van Eeden tentang punca kenaikan harga minyak adalah disebabkan oleh pembetulan kepada bekalan US Dollar berlebihan.





Oleh kerana Paul Van Eeden bukan islam, maka dia tidak mengambil berat soal umat Islam.


Apabila kita melihat pada graf di atas, ia menunjukkan bahawa harga minyak adalah terlalu rendah sejak 1986 sehingga 2008.


Warna kuning ialah harga minyak, dan warna putih adalah wang US Dollar yang dikeluarkan.Pada tempoh 22 tahun itu, Amerika mempunyai lebih kuasa beli untuk membeli minyak daripada negara arab.


Harga minyak adalah "Dirt Cheap".


Bayangkan mereka ada banyak US Dollar akibat daripada cetakan sendiri, akan tetapi harga minyak adalah murah bagi mereka.


Mudah bagi mereka, nak minyak cetak duit lagi. harga tetap rendah pada tempoh 22 tahun itu.


Paul Van Eeden juga mempunyai graf sebegini untuk harga emas. Kena baca kisah konspirasi menurunkan harga emas dengan memalsukan maklumat bilangan emas pada bank pusat.


Dalam tempoh 22 tahun ini, Pak Arab kena tipu kerana menjual minyak pada harga yang begitu murah.


Negara pengeluar minyak patut berasa lega apabila harga minyak berada pada tahap sepatutnya.


Kalau ikut graf itu USD 120 adalah harga patut.


Selebihnya barulah boleh salahkan sepekulator atau permintaan berlebihan dari negara China dan India.


Akan tetapi, akhirnya OPEC pula bersetuju tingkatkan pengeluaran. Mungkin Pak Arab akan kena tipu lagi?


Harga minyak di Malaysia tinggi? Itu hanya salah Dasar Matawang Ringgit.


Masih ingat lagi kenapa Saddam Menyerang Kuwait pada tahun 1992?Perang teluk Pertama?


Ketika itu Kuwait sibuk mengeluarkan minyak melebihi kuota yang sepatutnya sehingga harga minyak rendah.


http://hasbullah.pit.my/

Emas Turun, Minyak Turun, Saham Turun, Apa yang Naik?

Oleh: Hasbullah Pit
Pengkritik Bebas


Ramai yang suka harga minyak turun, termasuklah Shahrir Samad.


“Saya memang seronok melihat harga minyak di pasaran dunia turun, walaupun dijangka adanya kekangan berikutan masalah Gustav dan politik di Eropah dan sebagainya.


“Saya tidak boleh ramal tapi harapannya macam yang lain. Tetapi alhamdulillah nampaknya harga minyak di paras yang stabil dan saya harap ia akan berterusan stabil dan menurun sedikit supaya kita dapat pula satu berita baik sebelum hari raya.


Kalau kita lihat dalam 2 bulan sebelum ini, semua harga komoditi turun, Minyak, Emas, itu ini.Saham juga kebanyakan turun.


Hai, kalau semua turun apa yang naik?


Jawapannya ialah USD.
USD cuba bangkit dari kejatuhan berterusan sejak lebihkurang setahun yang lalu, Dan ini menyebabkan banyak harga turun.


Sampai bila dia hendak turun?
Mari lihat carta USD berbanding euro.





USd telah naik melebihi purata 200 harinya berbanding euro. Menunggu masa ia akan tergolek, paling kurang ia akan berada pada tahap warha hijau (purata 200 hari).


Sekiranya USD akan tergolek pada tahap purata 200 hari, ianya lebih kurang pada nilai ketika mac 2008.
Harga minyak dunia akan ikut lebih kurang sama pada harga minyak dunia ketika mac 2008 dulu.


Mana bagus, USD rendah atau tinggi?
Bagi orang yang duduk di tempurung matawang yang terikat dengan USD, mereka akan bergembira apabila USD naik.
Bagi mereka "harga minyak turun".
Itulah Pemikiran orang yang duduk dibawah tempurung rigggit.
Tak kira penyokong BN atau Pakatan Rakyat.
Lebih kurang sama.


Bagi saya, harga minyak dalam USD yang tinggi adalah baik untuk negara-negara pengeluar minyak.
Pengukuhan dollar sementara ini hanya akan memberi peluang mereka memenuhkan tangki mereka sahaja.
Bila Dollar Tinggi, mereka boleh beli minyak dalam keadaan "dirt cheap". Baca, Pak Arab kena Tipu lebih 20 tahun.
Kini Pak Arab kena tipu beberapa bulan lagi.


Anwar sibuk belanjawan defisit atau tidak.
Katanya tidak perlu defisit.
Kalau harga minyak dunia tinggi, maka tak perlu defisit.
Bagi saya, ketika mewah tak perlu defisit, ketika sukar, barulah defisit lebih.


Adakalanya saya kelakar melihatkan langkah-langkah Kerajaan Malaysia. Suasana berubah mengikut bulan ke bulan.
Mengapa?


Belanjawan negara dibuat mengikut kalendar bulan 1 hingga 12.
Tahun kewangan PETRONAS berakhir pada mac.
Penyata keluar dalam bulan 6.


Kebiasaannya apa yang kita lihat, Kerajaan seolah-olah risau tak cukup duit berdasarkan perolehan kerajaan yang lalu. Ketika belum nampak lagi berapa PETRONAS nak bayar, cepat-cepat dia akan risau melihat subsidi yang banyak.
Akan tetapi selepas keuntungan diumumkan, maka akan berlaku pesta 1 bilion sana, 1 bilion sini, 2 bilion sana 2 bilion sini.


Kalau hujung tahun berlaku banjir, mengelupur nak korek duit daripada mana, kerana setiap jabatan dah habiskan peruntukan. Nasib baik ada tabung khas.


Saya lebih suka melihat harga minyak dunia berada di paras yang sepatutnya iaitu dalam anggaran 125-130 USD, Tetapi ringgit mesti kukuh. Barulah kita boleh beli Petrol RM 1.40 tanpa subsidi.


Sebenarnya membanding kan USD dengan Euro untuk melihat kenaikan dollar adalah tidak berapa tepat, kerana polisi Euro tidaklah ketat sehingga tidak diinflasikan langsung.


Mari lihat carta, USD berbanding DOllar Australia pada tempoh yang sama.






Bagi saya, Dolar Australia hampir adalah wang kertas yang paling hampir dengan emas, kerana dia tak cetak berleluasa, dia kawal kredit betul-betul. Nampak ketara Dollar dinaikkan sebegitu rupa berbanding Dollar Australia.


Jadi apa anda perlu buat?
Kalau ada duit, beli emas sekarang.


Sumber: http://hasbullah.pit.my/


http://kampusnegara.net/

IPTA Malaysia, antara cita-cita bangsa dan globalisasi akademia!

Sumber: instinctive-stage G3.0


OLEH kerana UiTM ini didirikan atas cita-cita kebangsaan, maka banyak pihak khususnya warga Universiti sendiri telah mengkritik kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyarankan 10% kouta kemasukan ke UiTM patut dibuka kepada bukan bumiputera.


Naib Canselor UiTM, Dato’ Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah kecewa dengan kenyataan tersebut. Lebih 5000 mahasiswa Melayu telah berdemontrasi mengangkat sepanduk “Roboh UiTM robohlah bumiputera”, “Pertahankan Hak Kita!” dan beberapa banner lagi di Shah Alam.


Sejarah Penubuhan


Apabila saya menyelidikan sejarah perkembangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), memang tidak dapat dinafikan bahawa Universiti ini memang didirikan atas cita-cita memperkasakan kebolehupayaan bumiputera dalam bidang profesional dan separa profesional.


Pada tahun 1950, Rural Industrial Devolopment Autority (RIDA) telah ditubuhkan demi menggalas misi nasional ini. Atas hasrat tersebut, Dewan Latihan RIDA telah ditubuhkan pada November 1956.


Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan agak kemudian, iaitu pada 1965. Selepas itu, maktab tersebut telah diserap di bawah MARA, dikenali sebagai Maktab MARA.


Maktab MARA ini telah mengalami pelbagai tranformasi pendidikan hatta diangkat sebagai Institut Teknologi MARA (iTM); kemudiannya menjadi Universiti – UiTM pada tahun 1996.


Sehingga kini, UiTM telah menerima hampir 100% kemasukan bumiputera Melayu; bumiputera Sabahan dan Sarawakian demi memastikan Melayu profesional dan separa profesional boleh bedaya saing dalam pentas sosio-ekonomi Malaysia selepas graduan. Ini sejarah ringkas perkembangan UiTM.


Cita-cita bangsa vs keperluan global


Walaupun demikian, cita-cita nasional ini tidak mungkin boleh direalisasikan jika kita terlalu mengamalkan dasar ultra-Melayu; termasuk di Universiti.


Universiti seharusnya tidak boleh disamakan dengan parti yang memperjuangkan satu-satu cita-cita nasionalism/racism/cauvenism; walaupun cita-cita penubuhan Universiti itu telah dilangsungkan sendiri oleh parti-parti kebangsaan tersebut.


Ini kerana Universiti seharusnya menjunjung kebebasan akademik dan wajar mempunyai autonomi tersendiri. Kehormatan Universiti berlaku apabila ilmu ditinggikan dan masyarakat seganinya sebagai menara gading.


Untuk mencapai tahap ini, tidak dapat tidak Universiti seharusnya bergerak secara bebas, semulajadi dan berobjektif baik. Cendekiawan berilmu wajib diangkat ke tempat selayaknya, tidak kira dia datang dari bangsa mana sekalipun.


Calon-calon mahasiswa yang menjadi sebahagian warga akedemia Universiti juga seharusnya diuji kebolehupayaan minda mereka secara saksama; kerana mereka adalah komuniti terbaik yang bakal menggalas tanggungjawab akademia selepas graduan kelak.


Untuk merealisasikan dunia akademia seumpama ini, ada pihak mengatakan bahawa cita-cita ini terlalu ideal. Ada banyak halangan dan ranjau semulajadi dalam pembangunan Universiti-Universiti ini.


Salah satunya, kebanyakan Universiti yang ada di negara kita hari ini kebanyakan dibina atas nama cita-cita politik kepartian tertentu.


Menjelang Pilihanraya Umum atau Kecil, parti-parti tertentu acapkali menjadikan wawasan membina satu-satu Universiti setempat sebagai manifesto pilihanraya bagi calon-calon mereka.


Kata mereka, Universiti adalah mercu pembangunan prasarana dan ekonomi setempat. Malah, Universiti ini menjadi sumber inspirasi masyarakat setempat untuk maju dalam bidang pendidikan dan sebagainya.


Dahulu, kita boleh melihat pembinaan UiTM merupakan salah satu pillot test yang klasik bahawa Universiti dibina atas cita-cita politik UMNO – iaitu untuk memelihara/melahirkan profesional Melayu/Bumiputera sebagaimana yang digagaskan dalam DEB.


Sekarang, kita boleh juga melihat hal yang sama berlaku. Menjelang Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir, 2005, UMNO dan Barisan Nasional telah mewar-warkan pembinaan sebuah Universiti di peringkat negeri tersebut jika mereka memenangi pilihanraya tersebut – iaitu Universiti Darul Naim / Universiti Malaysia Kelantan


Hal demikian juga berlaku di Terengganu, Perlis, Pahang dan sebagainya sehingga lahir UDIM, UMP, UNIMAP dan sebagainya. Impaknya, halatuju asasinya seringkali diganggu serta tercenderung pada kepentingan politik kepartian tertentu.


Jadilah sebagaimana UiTM, tidak boleh menerima 10% kemasukan non-bumiputera kerana kononnya untuk mempertahankan status quo Melayu serta cita-cita kepartian UMNO itu sendiri.


Walhal, adakah dengan berbuat demikian, UiTM boleh sahaja menjadi Universiti yang disegani semua pihak?


Dunia dan masyarakat akademia di Malaysia sedang membincangkan Universiti APEX, takkan UiTM nak membincangkan ‘Universiti Melayu Klasik’?


Tidak cemburukah apabila melihat USM hari ini telahpun mendapat peluang mewarnai Universiti APEX diperingkat nasional dan global?


UM, UPM dan UKM dalam senarai pencalonan. UiTM dalam senarai apa…


Universiti dan Cabaran Globalisasi


Pada tahun 2005, UM pernah dinobatkan Universiti ke-69 dari 189 Universiti-Universiti terkemuka dunia oleh THES. Tahun berikutnya rekod pencapaian tersebut gagal dipertahankan.


Peristiwa tersebut telah pun menjadi isu panas di Parlimen hatta di bilik-bilik Kuliah seluruh IPT Malaysia.


Dalam suatu laporan post moterm oleh Menteri Pengajian Tinggi pada waktu tersebut, Dato’ Dr. Shafie Salleh; beliau menyatakan bahawa antara faktor berlakukan kejatuhan rekod pencapaian terbaik UM tersebut disebabkan Universiti itu tidak memenuhi krateria globalisasi Universiti itu sendiri.


Ada banyak krateria dibanding-bandingkan. Antaranya, status satu-satu Universiti ini akan unggul apabila telah menerima kunjungan ramai penuntut serta pensyarah pelawat dari seluruh negara.


Lihat dan kita boleh berfikir bersama. UiTM dan Universiti-Universiti yang masih diikat dengan paradigma lama boleh memilih untuk terus dalam kerangka klasik (cita-cita kebangsaan sempit) atau bersedia menerima persaingan akademia secara sihat di peringkat lebih global?


Kita boleh memilih untuk terus memelihara emosi kebangsaan yang cuba ditiupkan oleh segelintir kepemimpinan Universiti kita; atau lebih fokus dan bersikap objektif demi memartabatkan Universiti kita di persada antara bangsa?


Globalisasi Universiti masih perlukan kouta


Apabila kita menjurus pada wawasan yang global, bukanlah bermakna kita boleh terus longgar dalam memelihara kepentingan-kepentingan Universiti kita.


Kita tidak boleh seratus peratus bergantung pada meritokrasi atau membuka seluas-luasnya kemasukan untuk calon-calon sarjana luar negara atau bangsa-bangsa lain.


Ini kerana meritokrasi ada juga kesan buruknya, salain memacu daya saing secara sihat dalam dunia kependidikan.


Kuota diperlukan, tetapi bukan atas nama politik atau bangsa Melayu. Kuota diperlukan atas nama keperluan. Maksud keperluan di sini adalah imbangan masyarakat bandar dan luar bandar.


Masyarakat bandar mempunyai kebolehan prasarana pendidikan yang jauh lebih baik berbanding masyarakat luar bandar. Maka, sudah pasti pencapaian akademik mereka turut dibantu secara semulajadi berbanding masyarakat luar bandar.


Jalan keluar pada realiti ini adalah wujudkan suatu kouta untuk mesyarakat luar bandar atas nama keperluan.


Jika falsafah kouta seumpama ini dipegang, tidak timbul Universiti ini terlalu ultra-Melayu, kolej Universiti itu cauvenisme.


Ini kerana kouta kemasukan ke Universiti tersebut akan memelihara semua kepentingan kaum; kerana masyarakat luar bandar sah terdiri oleh Melayu, Cina, India, Sarawakian, Sabahan serta rumpun-rumpun etnik kecil yang lain.


Ya! Kouta bukan dikira berdasarkan asobiyyah, tetapi keperluan (masyarakat luar bandar yang majmuk).


Mari kita berfikir!


Apabila Naib Canselor UiTM tidak berputus asa menentang cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim, kita berasa semacam ada yang pelik dan tidak kena.


Dahulu (2003), ketika bekas Perdana Menteri Malaysia, (Tun) Dr. Mahathir Mohammad telah mencadangkan 10% hingga 15% kouta kemasukan ke MRSM dibuka kepada non-bumiputera, mengapa beliau tidak membantah cadangan tersebut.


GPMS, TERAS, DBP dll ada membantah. Mereka tidak percaya saranan tersebut demi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu MRSM.


Mereka melihat Tun sedang cuba memulihkan imej dan popularitinya yang kian terhakis pasca REFORMASI ’98.


Mereka juga memandang saranan tersebut adalah suatu propaganda demi meraih semula simpatisme masyarakat Melayu kepada UMNO sendiri.


Sejata propaganda asobiyyah telahpun memakan karear politik Tun sendiri. Demi membendung kemarahan Melayu, Tun mula reverse psychological apabila berjanji bahawa kouta kemasukan ke UiTM terjamin dan tidak dibuka kepada non-bumiputera.


Isu ‘UiTM dan pembukaan kouta 10% kepada non-bumiputera’, saya tinggalkan untuk sama-sama kita berfikir. Siapa benar, siapa salah, cukuplah kita tersenyum selapas membaca post kecil ini. -END


————————-


P/S: Jangan bersikap lebih sudu dari kuah!!!


http://kampusnegara.net/

Pak Samad Ismail meninggal dunia


Sep 4, 08 2:12pm


kemaskini 6:50pm Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.58 petang tadi di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu.


Kesihatan keadaan allahyarham semakin merosot hari ini, dengan buah pinggangnya sangat lemah, kata anaknya Nuraina.


"Keadaannya tidak bagus langsung, walaupun mesin dialisis sudah dipasang ia tidak menunjukkan perubahan.


"Malah doktor memberitahu buah pinggang ayah sangat lemah ketika ini dan hari ini doktor akan melakukan dialisis lagi untuk melihat perkembangan seterusnya," katanya tengah hari tadi.


Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru. yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.


Keadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.


Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, esok.Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.


Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.


Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.


Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).


Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.


Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.


Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.


Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.


Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.


Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).


Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.


Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.


Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).


Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).


Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).


Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).


Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.


Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.


Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.


Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.


Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.


Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.


Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.


http://www1.malaysiakini.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...