Showing posts with label MAKAF - Karate M'sia. Show all posts
Showing posts with label MAKAF - Karate M'sia. Show all posts

Friday, January 7, 2011

Pendirian Makaf tidak berubah


MOHD. ALI (tengah) mendengar penjelasan daripada atlet karate negara mengenai kontrak jurulatih, P. Arivalagan yang tidak disambung oleh Makaf di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.


PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) tetap meneruskan hasrat untuk melantik jurulatih luar dari Iran bagi melatih atlet karate senior negara.

Situasi itu hampir pasti menyebabkan jurulatih negara ketika ini, P. Arivalagan membimbing skuad junior.

Bagaimanapun, Presiden Makaf, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diputuskan selepas Makaf mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 25 Januari ini.

"Kita bersetuju dengan ketetapan Jawatankuasa Teknikal Makaf bagi melantik Vahid Khajeh Hosseini sebagai jurulatih negara untuk melonjakkan prestasi atlet karate di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Makaf di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka semalam.

Mesyuarat selama dua jam yang berakhir pada pukul 2.30 pagi semalam turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Makaf, Datuk Mohd. Noor Nordin Abdullah dan Setiausaha Agung. Clement Soo.

Mohd. Ali berkata, beliau berpuas hati dengan laporan teknikal yang dibentangkan pada mesyuarat itu untuk melantik jurulatih luar manakala kontrak Arivalagan tamat pada 31 Disember lalu.

"Kita menghargai sumbangan beliau (Arivalagan) selama tujuh tahun bersama Makaf sebagai seorang jurulatih yang bagus tetapi kita mahu lebih bagus lagi dengan melantik Vahid kerana matlamat kita selepas ini ialah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan Makaf untuk tidak menyambung kontrak Arivalagan tidak dipersetujui oleh majoriti atlet karate.

Ketika diminta mengulas isu tersebut, Mohd. Ali berkata, kesemua atlet dan jurulatih sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan diminta tidak mengulas kontrak Arivalagan sehingga 25 Januari ini.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, November lalu, Arivalagan menerima pujian kerana anak didiknya, R. Puvaneswaran memenangi pingat emas dalam acara kumite lelaki bawah 55 kilogram. Satu lagi pingat emas disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara kata lelaki.

Menurut Mohd. Ali, MSN telah mengurangkan peruntukan tahunan Makaf sebanyak 30 peratus tahun ini dan atas sebab itu, ia tidak berupaya menampung dua jurulatih sekali gus.

"Oleh itu, sekiranya MSN bersetuju, Arivalagan yang menerima RM7,000 sebulan sebagai jurulatih akan disambung kontrak setahun sekiranya dibiayai oleh MSN untuk melatih skuad junior," katanya.

Vahid, 48, jurulatih skuad kebangsaan Iran ketika ini, ditawarkan gaji sebanyak US$5,000 sebulan untuk tempoh kontrak selama dua tahun.

Beliau dijangka memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan bermula 1 Februari ini sekiranya diluluskan oleh MSN.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada Kejohanan Dunia ialah pada 2002 iaitu ketika di bawah bimbingan jurulatih dari Iran, Ali Reza.

"Kita tidak boleh jamin untuk mendapat pingat pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada tahun depan tetapi peluang lebih besar sekiranya skuad negara dibimbing oleh Vahid," katanya.

Mohd. Ali berkata, Malaysia mensasarkan memenangi pingat pada Kejohanan Dunia di Belgrade, Serbia pada Oktober tahun lalu tetapi gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, beliau berkata, Melaka akan menganjurkan Kejohanan Karate Dunia peringkat junior dan kadet di MITC Ayer Keroh pada November tahun ini. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Wednesday, January 5, 2011

'Mereka dengki saya'

P ARIVALAGAN mendakwa pemecatannya sebagai jurulatih karate negara dipercayai didalangi lima ahli Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang mendendaminya selain berhasrat menyingkirkannya.

Arivalagan yang sudah menjawat jawatan itu sejak 2005 mendakwa kontraknya tidak dilanjutkan berkuatkuasa 31 Disember lalu.


Lebih mengecewakan, kelompok kumpulan yang tidak menyukainya itu bukanlah mereka yang arif mengenai sukan karate tetapi menduduki kerusi jawatankuasa itu selepas menang dalam pemilihan persatuan.

“Mereka dengkikan saya sedangkan mereka sebenarnya tidak terlalu arif dalam sukan karate. Apakah pencapaian saya selama ini tidak cukup? Adakah saya selalu gagal membimbing anak buah saya? Jawapannya pasti tidak.


“Selain kelima-lima individu ini, saya yakin anggota Makaf lain masih mahu saya memegang jawatan ini berdasarkan pencapaian semasa pasukan kumite.


“Walaupun sedar ia sudah lama berlaku, saya ketepikan semua masalah ini dan tidak mencampur adukkannya ketika membimbing skuad negara,” katanya.

Selepas negara dikejutkan dengan pengunduran jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, P Arivalagan pula menerima tamparan apabila dipecat.


Selama Arivalagan bertindak sebagai jurulatih kumite, sentuhan bekas atlet negara itu tidak pernah mengecewakan apabila terbaru dia berjaya membimbing R Puvaneswaran meraih emas di Sukan Asia Guangzhou dengan kumite menyumbang dua lagi perak.

Sebelum itu, berderet sudah anak buah Arivalagan melakar kejayaan termasuk meraih lima emas pada Sukan Sea Laos dan tugasnya itu tiba-tiba saja bakal diganti jurulatih daripada Iran.


Apa yang membimbangkan Arivalagan ketika ini, kemelut melibatkan pemecatannya itu merebak kepada barisan atlet negara yang enggan berlatih selepas mengetahui kedudukannya.


“Anak buah saya kecewa dengan keputusan ini. Sehingga pagi tadi (semalam) mereka bertekad enggan berlatih sebagai tanda memboikot keputusan Makaf.


“Bagaimanapun, saya berjaya memujuk mereka dan akhirnya kami dapat menjalankan latihan singkat sekitar setengah jam saja. “Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang tindakan ini akan berterusan,” katanya.


Yang pasti, Arivalagan kini menunggu panggilan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetahui situasi sebenar dan selama itu juga, dia bertekad untuk melatih atlet kumite negara seperti biasa.


Sementara itu, Setiausaha Agung Makaf, Clement Soo menyerahkan perkara itu kepada barisan exco Makaf yang akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.


“Pada pandangan saya pertimbangkanlah sumbangan Arivalagan selama ini. Kita perlu bersikap adil kepada individu yang seringkali mengharumkan nama negara.


“Janganlah layan beliau dengan cara begini, apabila tidak diperlukan ditendang begitu saja,” katanya yang menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak.


Ditanya hasratnya untuk turut berundur, Clement berkata, sekiranya pandangannya itu tidak dapat diterima barisan exco Makaf, beliau bersedia melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 21 tahun itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekadengkisaya/Article/index_html

Atlet karate ugut keluar skuad negara

MAJORITI atlet karate bersetuju keluar dari skuad kebangsaan sekiranya Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal dengan keputusan tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan, P Arivalagan.

Salah seorang atlet, L Kunaselan berkata, dia dan rakan lain terkejut serta kecewa dengan tindakan Makaf dan berharap badan induk itu mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.


“Arivalagan sudah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya.

Kunaselan berkata, mereka sudah berbincang dan mengambil keputusan menarik diri jika Makaf kekal dengan keputusan menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.


Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai Makaf, esok, bagi membincangkan isu Arivalagan.


Kunaselan, antara empat nama awal yang disenaraikan menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Incheon 2014, berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

“Tidak wajar Makaf memberi alasan mengambil jurulatih Iran dengan tujuan meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.


“Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia Guangzhou. Tidak adil jika jasanya tidak dinilai Makaf,” katanya.

Di Guangzhou, Malaysia di bawah bimbingan Arivalagan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.


Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan Sea 2007 dan Sukan Sea 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atletkarateugutkeluarskuadnegara/Article/index_html

'Selesai masalah dengan bijak'





SEMUA permasalahan yang timbul dalam persatuan-persatuan sukan di negara ini perlu ditangani dengan bijaksana bagi mengelak atlet menjadi mangsa keadaan.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

“Kalau boleh, saya mahu kerajaan kurang campur tangan (dalam menyelesaikan masalah yang timbul). Kita (Kementerian Belia dan Sukan) mahu memberi kebebasan kepada persatuan-persatuan sukan membuat keputusan dan membina sistem yang baik dalam bidang sukan mereka.

“Bagaimanapun, kerajaan berhak untuk mengambil tahu apa punca atau sebab isu seperti ini berlaku. Saya tidak mahu ia mengganggu kemajuan sukan kita di masa depan,” katanya merujuk kepada isu P. Arivalagan yang kontraknya sebagai jurulatih karate tidak diperbaharui oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan akan digantikan oleh jurulatih luar negara serta isu tindakan mengejut Datuk Mis- bun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih badminton kebangsaan.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya semalam selepas majlis pelancaran pasu- kan rali Proton R3 dan penyera- han Jalur Gemilang kepada pasukan berkenaan yang akan menyertai Kejohanan Rali Antara Benua (IRC) dan Kejohanan Rali Asia Pasifik.

Mengenai isu peletakan jawatan Misbun, Ahmad Shabery berkata, beliau sedang memikir- kan cara bagaimana isu berke- naan dapat ditangani.

“Saya masih menunggu untuk berbincang dengan Datuk Nadz- mi Salleh, (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) untuk berbincang mengenai apa yang berlaku.

“Saya ingatkan dapat bertemu beliau di sini (Pusat Kecemerla- ngan Proton) untuk berbincang. Kita akan adakan pertemuan dalam masa terdekat.

“Selama ini kita hanya menggunakan satu model – semua pemain, semua jurulatih mesti mengikut sistem BAM. Kita mungkin akan cari satu sistem yang lebih liberal dengan membenarkan mana-mana perseorangan atau jurulatih untuk mempunyai sistemnya sendiri,” kata- nya.

Ahmad Shabery berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat bergantung kepada perbincangan beliau dengan Nadzmi dan Misbun nanti.

Mengenai isu Arivalagan pula, Ahmad Shabery berkata, beliau akan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan laporan mengenainya.

“Tahun lepas, karate antara sukan yang menunjukkan kemajuan dan membawa kejayaan cemerlang pada Sukan Asia.

“Apabila timbul perkara-perkara seperti ini, kita hendak tahu adakah ini membawa kebaikan (mendapatkan khidmat jurulatih luar negara) atau wujud faktor- faktor yang lain,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Tinggalkan skuad negara


ARIVALAGAN (kiri) telah banyak mengorbankan tenaga untuk melahirkan atlet berwibawa.


ATLET karate negara mengancam untuk meninggalkan skuad kebangsaan jika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kekal dengan keputusan mereka memecat jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan.

Majoriti atlet karate negara bersetuju untuk berbuat demikian jika jurulatih yang telah banyak membantu mereka meraih kejayaan kepada negara disingkirkan.

Salah seorang atlet, L. Kunaselan berkata beliau dan rakan-rakanya terkejut serta kecewa dengan tindakan yang diambil oleh MAKAF dan berharap badan induk itu akan mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.

“Arivalagan telah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya semalam.

Kunaselan berkata, mereka telah berbincang sesama sendiri dan mengambil keputusan untuk menarik diri jika MAKAF masih kekal dengan keputusannya untuk menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai MAKAF Khamis ini bagi membincangkan isu Arivalagan.

Kunaselan antara empat nama awal yang disenaraikan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Beliau berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

Katanya, adalah tidak wajar bagi MAKAF memberi alasan mengambil jurulatih dari Iran bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia, Guangzhou pada November lalu. Adalah tidak adil sekiranya jasa beliau tidak dihargai oleh MAKAF,” katanya.

Pada Sukan Asia 2010 Di Guangzhou, skuad karate negara di bawah bimbingan Arivalagan menang dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R. Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.

Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan Sukan SEA 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...