Showing posts with label Intolerable and Chastises(dera). Show all posts
Showing posts with label Intolerable and Chastises(dera). Show all posts

Thursday, February 12, 2009

Teman lelaki pukul, gigit Rihanna


GAMBAR menunjukkan Rihanna duduk dekat Brown dalam parti praanugerah Grammy di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES - Jeritan penyanyi popular, Rihanna dapat didengari dalam panggilan kecemasan kepada pihak polis pada malam dia didakwa dipukul oleh teman lelakinya, Chris Brown, lapor sebuah akhbar semalam.

"Pihak kami merekodkan bunyi seorang wanita sedang menjerit," kata seorang detektif Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Deshon Andrews tetapi dia enggan mendedahkan dengan terperinci.

Namun, polis mengesahkan penyanyi berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan fizikal kerana terdapat kesan bengkak dan calar pada muka di samping tanda bekas gigitan di bahagian tangan dan jarinya. Menurut laman berita TMZ.com, penyanyi yang popular dengan laguUmbrella itu dirawat pada awal pagi di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di sini.

Polis mengkategorikan kes itu sebagai serangan domestik manakala Brown, 19, didakwa mengugut Rihanna sewaktu pertengkaran mereka sehingga menyebabkan pasangan tersebut tidak hadir pada majlis anugerah Grammy Ahad lepas.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$50,000 (RM180,210) sementara menunggu perbicaraan kes itu pada 5 Mac depan.

Berikutan insiden pada hujung minggu lalu itu, Rihanna terpaksa menangguhkan konsert di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung esok manakala tarikh baru konsert tersebut akan diumumkan dua minggu lagi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Mangsa bogel dakwa mungkin buta


WARTAWAN Kosmo! hanya dapat berbual dengan wanita yang dibogelkan kekasih Perancis dari luar pintu bilik hotelnya di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Wanita yang mendakwa dibogelkan oleh kekasih warga Perancis di luar bilik hotel di sini pagi Isnin lalu mendakwa dia telah dipukul dan mungkin hilang penglihatan.

“Saya mungkin buta,” katanya kepada wartawan Kosmo! semalam tanpa mahu membuka pintu biliknya di Hotel Bunga Raya di sini yang menjadi ‘rumahnya’ sejak tiga bulan lalu.


KERATAN Kosmo! semalam.


Sejak berita mengenai insiden itu tersiar, dia berkurung dalam bilik itu dan hanya memesan makanan daripada kakitangan hotel.

Dia juga enggan bertemu sesiapa, tidak mahu menunjukkan lukanya serta menolak bantuan wartawan untuk menghantarnya ke hospital.

“Saya tak mahu keluar, tak mahu buka pintu,” kata wanita berusia 46 tahun itu walaupun selepas dipujuk kira-kira setengah jam di tingkat dua hotel tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Thursday, January 22, 2009

‘Mak meluru masuk bilik ikat mulut saya’


KUALA LUMPUR: “Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu saya sedang melakukan kerja sekolah subjek Matematik. Tiba-tiba mak (ibu tiri) terus saja menerpa ke dalam bilik tidur dan mengikat mulut saya dengan kain lampin,” kata remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa didera ibu tirinya.

Mangsa, yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) penghujung tahun ini berkata, dia yang masih terpinga-pinga terkejut apabila ibu tiri menekap seterika yang masih panas di bahagian kanan paha serta betis kirinya.

Menurutnya, dia hanya berupaya menangis tersedu-sedu dan merayu ibu tirinya supaya menghentikan perbuatan kejamnya itu.

Dia mendakwa, beberapa minggu sebelum kejadian 15 Januari lalu itu, ibu tirinya turut membelasah dengan batang pancing milik ayahnya.

“Tubuh saya memang sudah biasa dipukul, tapi saya tidak menyangka mak sanggup bertindak kejam dengan menekup seterika panas.

“Sejurus kemudian saya ke rumah rakan berdekatan mengadu nasib sebelum keluarga rakan melaporkan kejadian kepada pihak polis,”
kata pelajar sebuah sekolah menengah di Jalan Ipoh itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091055/Article/index_html

Ibu tiri tekap seterika


Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Akibat tidak tahan menjadi mangsa dera ibu tiri sejak setahun lalu, termasuk dipukul dengan batang besi dan tubuhnya ditekap dengan seterika, seorang remaja perempuan terpaksa membocorkan kejadian menimpanya kepada jiran bagi mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, jiran yang bersimpati dengan nasib menimpa membawa mangsa untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.

Difahamkan, remaja terbabit yang berusia 15 tahun turut dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat luka pada beberapa bahagian tubuh, termasuk paha dan betis selepas laporan polis dibuat.

Menurut jiran mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari pada Jumaat lalu, anaknya membawa balik remaja berkenaan ke rumahnya di Rumah Panjang, Jinjang Utara, Kepong di sini.

“Anak saya memang berkawan dengan mangsa kerana kami berjiran dan saya tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya.

“Namun, saya amat terkejut apabila remaja itu memberitahu dia didera ibu tirinya sejak setahun lalu, serta menunjukkan kesan tubuhnya yang ditekap dengan seterika,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, remaja terbabit memberitahu ibu tirinya memukulnya walaupun dia melakukan kesalahan kecil sehingga mendakwa dia terlalu takut dengan ibu tirinya.

“Selepas mengetahui kejadian itu, saya menemaninya membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang, Kepong.

“Saya mendapati nafasnya tersekat-sekat ketika menceritakan semula perbuatan kejam yang dilakukan ibu tiri terhadapnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dibuat jiran mangsa di Balai Polis Jinjang.

“Polis menahan ibu tiri mangsa untuk membantu siasatan pada hari laporan polis dibuat remaja berkenaan dengan ditemani jirannya pada Jumaat lalu dan dia (ibu tiri) diikat jamin sehari selepas ditahan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120073423/Article/index_html

Tuesday, January 13, 2009

Polis cari suri rumah bantu kes dera amah


KUALA LUMPUR: Polis berusaha mengesan seorang suri rumah yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes dera seorang pembantu rumah dari Sabah, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata Effasheila Edris, 24, dari Kampung Sipitang, Sabah menghilangkan diri selepas suaminya menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan kes dera dan perkosa pembantu rumah itu.

“Suri rumah itu dipercayai menghilangkan diri bersama dua orang anak kembarnya sejak Khamis lalu selepas pembantu rumah terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, gambar Effasheila sudah disebarkan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suri rumah itu berasal dari kampung sama dengan pembantu rumah terbabit.

Khamis minggu lalu seorang pembantu rumah membuat laporan dia didera secara fizikal sehingga luka di seluruh anggota badan dan dirogol enam kali, selain tidak diberi makan selama tiga hari. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113090422/Article/index_html

Sunday, November 16, 2008

Pendam perasaan kerana takut


Oleh ISMAIL MUHAMAD
am@hmetro.com.my



KOTA BHARU: Perasaan takut serta kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai undang-undang menyebabkan ramai wanita yang didera suami secara mental dan fizikal tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa.

Peguam syarie, Che Rosmah Mohd Zain, berkata ramai wanita yang didera suami juga tidak mengetahui saluran yang ada untuk merujuk masalah mereka dan lebih rela memendam perasaan.

Menurutnya, kekurangan maklumat dan pengetahuan mengenai undang-undang juga menyebabkan golongan itu tidak mengetengahkan masalah mereka.

“Bagaimanapun, dengan sesi penerangan berkaitan prosedur dan undang-undang yang diadakan, wanita kini mula memahami dan mengetahui hak mereka bagi menangani masalah dihadapi kepada pihak berkuasa,” katanya pada Seminar Rumah Tangga Berkat di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.


Pada seminar itu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mas kahwin dan Implikasinya Dalam Perkahwinan’.

Ahli panel lain terdiri daripada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Mohd Azhar Abdullah dan Kadi Jajahan Kota Bharu, Suratemi Mat Yusoff.

Seminar itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan negeri bagi memberi penjelasan mengenai konsep sebenar rumah tangga berkat bermula daripada proses memilih jodoh hingga berlangsung perkahwinan.

Ia juga bertujuan melahirkan masyarakat yang faham berkaitan amalan perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan.

Beliau berkata, pasangan yang menghadapi masalah perlu segera merujuk masalah mereka kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan.

“Melalui cara itu, pihak berkuasa dapat memanggil pasangan suami isteri untuk diberi kaunseling bagi mengelak masalah menjadi lebih serius terutama dalam kes dera yang begitu kurang dilaporkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115174134/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...