Showing posts with label mStar. Show all posts
Showing posts with label mStar. Show all posts

Friday, October 7, 2011

Bajet 2012: Saya Mendengar Permintaan Anda - Najib

Khamis Oktober 6, 2011

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau gembira dengan penglibatan orang ramai dalam mengemukakan cadangan mengenai belanjawan kepada kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam persediaan pembentangan Belanjawan 2012 pada Jumaat ini, beratus-ratus cadangan diterima daripada rakyat dan organisasi-organisasi perwakilan di mana perkembangan itu amat menggembirakannya walaupun terpaksa mempertimbangkan setiap cadangan dikemukakan.

"Selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, pada minggu ini saya akan menyampaikan satu daripada amanat yang paling penting dalam mana-mana masyarakat demokratik iaitu perancangan bajet bagi tahun yang akan datang.

"Dalam persediaan bajet ini, saya dan kerajaan turut menjemput orang ramai untuk mengemukakan cadangan-cadangan mengenai bajet kepada kerajaan di mana ratusan cadangan telah diterima daripada rakyat Malaysia dan organisasi-organisasi perwakilan dan saya gembira dengan perkembangan ini, walaupun terpaksa mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan," katanya dalam entri terbaru "Menghitung Hari Ke Pembentangan Bajet" pada blog www.1Malaysia.com.my malam Rabu.

Najib berkata perkembangan itu menunjukkan pendekatan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bukanlah satu slogan tetapi adalah mengenai nilai-nilai murni termasuklah menilai cadangan dibuat orang ramai.

Beliau berkata proses menentukan belanjawan itu adalah berlatarbelakangkan kemajmukan dan kepelbagaian ekonomi di Malaysia di mana tidak ada satu jawapan atau jalan penyelesaian yang sudah tersedia yang boleh diguna pakai setiap kali.

Najib berkata pada dasarnya, Malaysia mempunyai ekonomi yang stabil dengan pertumbuhan kukuh berterusan dan pertumbuhan positif itu pula datang dengan cabarannya tersendiri iaitu harapan dan aspirasi rakyat yang tinggi kerana mereka mahu berupaya untuk merancang masa hadapannya dengan penuh yakin.

"Inilah Malaysia, sebuah masyarakat yang sedang mengharungi arus peralihan. Kita sedang mengalami, antaranya, peningkatan jangka hayat, pembandaran yang semakin pesat dan peningkatan pada tahap dan peluang pendidikan.

"Perubahan sosio-ekonomi ini turut memupuk satu Malaysia yang baru, yang dipenuhi dengan cita-cita dan aspirasi yang memberangsangkan.

"Inilah sesuatu yang saya anggap sebagai "masalah yang baik", yang menunjuk ke arah hadapan, mencabar kita untuk menguji tahap keupayaan masing-masing untuk melangkaui batas ke peringkat yang lebih tinggi.

"Inilah yang telah terkandung dalam visi pengasas-pengasas kita terdahulu, inilah yang telah mereka perjuangkan tanpa mengira penat lelah, sebelum dipertanggungjawabkan kepada kita untuk diteruskan. Inilah tanggungjawab yang saya bertekad untuk laksanakan bersama-sama anda semua," katanya.

Perdana Menteri berkata kemerosotan ekonomi global telah memberi kesan yang mendalam kepada negara-negara di seluruh dunia dengan Malaysia tidak terkecuali dalam mengalami impak kenaikan harga komoditi-komoditi sedunia dan dasar-dasar berpandangan singkat sesetengah ekonomi.

Najib berkata kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi satu isu yang begitu serius sehinggakan kerajaan telah mengambil tindakan untuk memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketujuh bagi menangani masalah itu kerana beliau sedar di Malaysia, kumpulan yang paling merasai impak dari isu itu adalah antara yang paling gigih bekerja.

Beliau berkata sepanjang dua tahun tujuh bulan menerajui negara, beliau keluar bertemu dengan seberapa ramai rakyat dan mendengar pelbagai keluhan dan cerita termasuk mengenai gaji yang mereka terima, sukarnya menabung untuk membeli rumah, mendapatkan pendidikan terbaik bagi anak-anak serta menampung keluarga dan orang tua mereka.

Katanya rintihan itu diceritakan kepadanya oleh pelbagai rakyat yang ditemui dan ini menguatkan lagi azam beliau untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.

"Namun begitu, ada satu perkara harus diperjelaskan: masalah-masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan serta-merta, dan tidak akan lenyap sepenuhnya. "Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana individu. Biarpun ada pihak yang cuba meyakinkan anda dengan sesuatu usul, namun mereka tidak pula menjelaskan apa kesan keseluruhannya terhadap anda," katanya.

Najib berkata adalah menjadi kewajipan bagi seseorang pemimpin untuk memilih keputusan yang terbaik bagi kepentingan orang ramai namun, kerapkali juga keputusan itu terpaksa melepaskan kesenangan jangka pendek demi kemakmuran jangka panjang.

Katanya beliau tidak akan menjanjikan penyelesaian yang serta merta tetapi akan berusaha untuk memastikan asas-asas kepada dasar sedia ada betul untuk memelihara pertumbuhan ekonomi, yang kini berada di paras yang diidamkan oleh negara-negara lain yang lebih maju.

Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan sektor pekerjaan dan untuk memastikan bahawa negara mempunyai dasar-dasar pekerjaan yang mengiktiraf perubahan realiti di Malaysia, terutama faktor jangka hayat yang meningkat, katanya.

Perdana Menteri berkata rata-rata rakyat yang ditemuinya faham apabila beliau menyatakan perkara-perkara sebegini malah mereka juga memahami bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan pada masa yang sama akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip 1Malaysia.

"Mereka faham bahawa sepanjang perjalanan kita ini, mereka digalakkan untuk berhubung dengan saya secara terus dan menyuarakan terus kepada saya tentang bagaimana dasar-dasar yang telah saya laksanakan mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka faham, dan saya pasti anda juga begitu," katanya.

Menyusuli pembentangan bajet Jumaat ini, katanya kerajaan akan meneruskan langkah untuk menjelaskan keputusan-keputusan ini kepada anda semua dan kesannya kepada semua rakyat Malaysia.

"Di samping itu, saya akan menulis susulan kepada blog ini mengenai bajet tersebut," katanya. -BERNAMA


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=%2F2011%2F10%2F6%2Fmstar_berita%2F20111006094910&sec=mstar_berita

Friday, July 8, 2011

Rita Tak Tahu Syarikat Berhutang RM10 Juta

Published: Khamis Julai 7, 2011 MYT 10:54:00 PM

SHAH ALAM: Anak sulung kepada pengasas kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengakui bahawa beliau tidak mengetahui bahawa syarikat yang diusahakan oleh ibunya mempunyai hutang jangka panjang dengan bank berjumlah RM10 juta.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau lebih mesra dipanggil Rita yang disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon juga mengakui bahawa, beliau tidak ingat bahawa akaun syarikat Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd juga menunjukkan beban kewangan semasa sebanyak RM2.4 juta.

Selain itu, beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, juga memberitahu tidak mengetahui bahawa syarikat berkenaan mempunyai rizab simpanan berjumlah RM1.9 juta pada Disember 2009.

Beliau juga tidak mengetahui pergerakan wang yang terdapat dalam akaun peribadi Sosilawati.

Meskipun begitu, Rita menafikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang akaun syarikat yang beralamat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Saya tahu, tetapi tidak dapat dipastikan jumlah yang tepat," kata lulusan Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.

Selain itu, anak sulung daripada enam beradik itu juga memberitahu, kali terakhir beliau memeriksa akaun syarikat adalah pada beberapa bulan yang lalu, namun tidak dapat memastikan tarikh tepat.

Manjeet: Adalah kamu tahu bahawa akaun yang diaudit mesti didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?

Rita: Saya tidak pasti.

Manjeet: Saya cadangkan bahawa carian di SSM pada Jun 2010 menunjukkan akaun terakhir yang difailkan adalah bagi tahun 2009?

Rita: Saya tidak pasti.

Saksi pendakwaan ke-15 itu juga mengakui bahawa beliau tidak mengetahui siapakan setiausaha syarikat Nouvelles.

Pada keterangan lain, Rita memberitahu bahawa beliau tidak menandatangani dokumen berkaitan akaun syarikat pada sekitar tahun 2010, yang diuruskan oleh ibunya.

Wanita berkulit cerah itu seterusnya mengakui bahawa beliau tidak mengetahui berapa banyak bidang tanah atau bangunan yang dimiliki oleh Nouvelles.

Rita juga memberitahu, Sosilawati mempunyai lebih daripada sebuah syarikat termasuk syarikat bernama 'Southern Symphony Sdn Bhd' dan salah seorang pengarahnya ialah anak lelaki sulung mangsa, Erwan Suwari Rizuwan.

Bagaimanapun, wanita berkulit cerah itu menambah, beliau tidak mengetahui bila syarikat itu ditubuhkan, siapakah setiausaha syarikat, perihal syarikat dan juga jika syarikat itu adalah aktif.

Rita seterusnya memberitahu, semasa beliau melanjutkan pelajaran di luar negara, ibunya akan tetap memaklumkan mengenai urusan syarikat menerusi panggilan telefon, termasuk mengenai urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.

Namun begitu, Rita berkata, perkara itu tidak diberitahu secara terperinci seperti harga belian, cara pembelian dilakukan mahupun dari mana ibunya mendapat duit untuk membeli tanah terbabit.

"Dia hanya beritahu beli tanah, tapi kenapa, kawasan atau di mana tanah saya tidak tahu," katanya.

Beliau juga memberitahu, tidak mengetahui jika ibunya, seperti yang dicadangkan oleh Manjeet membuat pelaburan sebanyak RM1.2 juta dalam pembelian tanah tersebut dan wang tersebut telah dikembalikan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-empat di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir juga menyaksikan saksi mengakui bahawa beliau tidak dapat mengingati sekiranya beliau ada menyerahkan sebarang dokumen kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan.

Rita juga turut diasak oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang menyifatkan keterangan beliau di mahkamah bersifat 'terpilih' kerana banyak menjawab 'tidak tahu' dan 'tidak pasti' kepada soalan yang diajukan oleh barisan pembelaan.

Perbuatan itu juga menyebabkan Manjeet dan Amer Hamzah menyifatkan perkataan 'tidak pasti' sebagai perkataan Bahasa Melayu yang 'bagus'.

"Saya tidak setuju. Saya cuba untuk ingat," jawabnya.

Jawapan Rita juga ditegur oleh Akhtar yang berkata: "Perkara itu hanya berlaku beberapa bulan. Ogos (waktu kejadian) hingga Jun tidak sampai setahun. Tidak pasti bukan satu jawapan.

"Cuba ingatkan. Tapi itu hak kamu untuk jawab 'tidak pasti' tapi cubalah untuk ingat. "

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Rita mengakui bahawa jawapan tersebut diberikan kerana beliau terlalu gugup.

"Saya terlalu gugup. Saya tidak boleh nak berfikir. Banyak benda yang saya lupa untuk beritahu. Saya cemas pada waktu kejadian dan juga bila saya mahu ingat semula," katanya.

Dalam kes ini, seorang peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Perbicaraan akan bersambung Jumaat.


http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/7/7/mstar_mahkamah/20110707225010&sec=mstar_mahkamah

Pembunuhan Banting: Gerak Hati Sahabat 'Sesuatu' Berlaku

Khamis Julai 7, 2011

SHAH ALAM: Nada suara jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang lembut kira-kira sejam sebelum beliau mati dibunuh menyebabkan gerak hati sahabat baiknya merasakan 'sesuatu' sedang berlaku terhadap pengasas produk kecantikan Nouvelles Vissages tersebut.

Tukang jahit, Habishah Bahari, 43, berkata, pada 30 Ogos 2010 Sosilawati telah menghubunginya sebanyak tiga kali bermula pada pukul 7.30 malam, iaitu semasa dia sedang berbuka puasa di rumah kawannya sebelum diikuti panggilan kedua dan ketiga yang berselang antara lima hingga 10 minit.

Katanya, pada kali pertama, Sosilawati menyuruhnya supaya memeriksa bilik air di rumah beliau di Taman Harmonis, Gombak, dekat sini bagi mencari kamera kerana dikatakan pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin atau Kamal telah mengambil gambar bogelnya.

"Selepas saya dapat panggilan itu, saya jadi hairan kerana tiada petunjuk yang Kamal boleh mengambil gambar beliau," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Saksi pendakwaan ke-16 yang sedang disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani seterusnya memberitahu, dua panggilannya kepada Sosilawati tidak dijawab, bagaimanapun Sosilawati ada menghubunginya kembali.

Habishah: Saya tanya pada dia, 'Kak Wati, kau cakap apa ni, aku tak faham?' dan dia jawab 'Tak pe, kau pergi dulu kat rumah aku, masuk bilik dan periksa bilik air. Nanti balik aku cerita'.

Idham: Selepas itu, kamu ada terima panggilan lain?

Habishah: Ya, saya ingat selepas saya menunaikan solat Maghrib. Dia cakap 'Shah (panggilan saksi), Kak Wati tak balik tiga hari, pergi Genting Highlands.

Wanita yang memakai baju kemeja berwarna putih dan bertudung hitam itu kemudiannya memberitahu, secara tiba-tiba dia merasa risau, berdebar-debar dan tidak sedap hati selepas mendengar panggilan terakhir tersebut.

"Saya tidak sedap hati kerana dia cakap 'Kak Wati' dengan nada yang lembut... (semasa ini, nada suara Habishah mula tersekat-sekat dan dilihat mengesat air matanya menyebabkan Idham memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk saksi menenangkan diri).

"Biasanya kalau dia susah hati atau ada masalah, dia akan bahasakan diri sebagai 'Kak Wati'. Selalunya dia akan cakap 'aku'. Jadi, bila dia bercakap begitu, saya dapat rasa macam ada sesuatu yang menyebabkan beliau susah hati," kata saksi yang mengenali mangsa sejak belasan tahun lalu.

Seterusnya, saksi memberitahu bahawa dia telah bertolak ke rumah Sosilawati pada sekitar pukul 11 malam, 30 Ogos 2010 dan berjumpa dengan dua anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari dan Erni Rineelawati dan berada di sana kira-kira dua jam.

Katanya, dia memilih untuk ke rumah mangsa pada waktu itu kerana dia tahu rumah tersebut akan kosong ekoran anak-anak Sosilawati berbuka puasa di luar.

"Selalunya begitu, jika Sosilawati ada, beliau selalu memasak, jadi anak-anak akan makan di rumah," katanya.

Pada keterangan lain, Habishah memberitahu, Sosilawati ada memberitahu beliau akan ke Banting, dekat sini untuk berjumpa peguam bernama 'Pathma' untuk menukar tarikh cek semasa mereka berdua dalam perjalanan pulang dari Johor selepas menghadiri majlis bersempena Hari Wanita pada 25 Ogos 2010.

Katanya, Sosilwati mahu menukar tarikh cek untuk dipercepatkan kepada sebelum Hari Raya Aidilfitri dan turut mengajaknya untuk menemani beliau.

"Tapi saya tidak temankan beliau kerana waktu itu saya sibuk. Selalunya beliau akan telefon, tapi beliau tidak buat begitu. Jadi, saya rasa saya tidak ikut.

"Saya ada telefon beliau pada pukul 5 petang dan Kak Wati kata 'Aku dah bergerak ke Banting. Aku tunggu kau, kau tak datang pejabat aku. Aku nak cepat'," katanya.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Habishah menafikan bahawa tindakannya pergi ke rumah Sosilawati selepas dia menerima panggilan pertama bukan kerana dia beranggapan perkara itu tidak penting.

Habishah: Saya kena berbuka puasa, sebagai seorang Muslim saya kena solat dan saya kena siapkan kerja saya.

Manjeet: Apa yang lebih penting? Kerja atau sahabat yang kamu kata macam ahli keluarga?

Habishah: Kerja saya lebih penting.

Selain itu, Habishah juga kelihatan tidak begitu menyenangi cadangan yang diutarakan oleh Manjeet bahawa dia telah berbincang dengan anak-anak Sosilawati mengenai apa yang perlu dijawab di dalam mahkamah.

Ini kerana menurut Manjeet, mereka semua berada di dalam sebuah bilik di mahkamah yang berkunci dari dalam dan turut diawasi oleh dua pengawal peribadi yang dikatakan diupah oleh anak Sosilawati.

"Saya duduk di situ kerana saksi disuruh duduk di situ!," jawab Habishah dalam nada yang agak keras menyebabkan mereka yang berada di mahkamah ketawa.

Pada perbicaraan yang masuk hari ke-empat, saksi yang menetap berhampiran dengan rumah Sosilawati juga menafikan bahawa dia berbohong di dalam mahkamah.

Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad pula, Habishah memberitahu dia tidak akan terus membuat laporan polis sekiranya mendapat ugutan gambar bogelnya mahu disebarkan, sebaliknya akan berfikir apakah langkah yang terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Dia juga mengakui tidak tahu mengapa Sosilawati perlu membawa seorang peguam dan pegawai bank jika tujuan utama mangsa ke sana hanya untuk menukar tarikh cek kerana perkara tersebut boleh diuruskan menerusi panggilan telefon.

Habishah sedang memberi keterangan terhadap peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan Kamaruddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Perbicaraan akan bersambung Jumaat.


http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/7/7/mstar_mahkamah/20110707221246&sec=mstar_mahkamah

Noh, Mizz Nina Berbulan Madu Di UK

Jumaat Julai 8, 2011

Pasangan ini diraikan dengan tema Jepun kerana kedua-dua mereka meminati muzik dan animasi Jepun.

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti yang baru sahaja diijabkabulkan pada 1 Julai lalu, Noh Salleh dan Mizz Nina merancang untuk berbulan madu di United Kingdom (UK) dan Rome pada 17 Julai depan.

Jelas Nina, mereka merancang untuk berbulan madu di negara itu berikutan kedua-dua tempat tersebut merupakan destinasi impian yang sering diimpikan untuk berbulan madu bagi pasangan yang baru berumah tangga.

"Kami merancang untuk ke United Kingdom dan Rome selama dua minggu dan akan bertolak pada 17 Julai ini iaitu selepas selesai majlis persandingan di Miri, Sarawak.

"Kedua-dua tempat itu merupakan destinasi yang memang saya impikan untuk pergi berdua berbulan madu," katanya pada sidang media selepas majlis persandingan mereka di DoubleTree Hotel, di sini, Rabu.

Majlis persandingan yang diadakan untuk media dan rakan-rakan artis itu bertemakan pakaian Jepun.

Manakala pakaian pengantin berwarna krim keemasan dengan gabungan ciri-ciri budaya Melayu dan Jepun direka khas oleh pereka fesyen terkenal Micheal Ong.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah keluarga kedua-dua belah pihak termasuk rakan-rakan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Jiwa, Yuna, Faizal Tahir dan Ella.

Pasangan pengantin diarak menuju ke pelamin dengan paluan gendang tepat pukul 9 malam dan seterusnya dihiburkan dengan lagu dari kumpulan muzik Indonesia Sore.

Pelamin berkonsepkan Jepun dipilih oelh pasangan mempelai ini.

Kata Nina, pemilihan konsep tersebut adalah kerana kedua-dua mereka meminati muzik, animasi, budaya dan makanan negara matahari terbit itu.

"Kami berdua memang meminati dunia kepada muzik, kartun animasi dan budaya masyarakat Jepun. Lagi pula moyang saya juga berketurunan Jepun," kata Nina.

Sementara itu, Noh berkata, selepas bergelar suami dia kini lebih bahagia biarpun sedar tanggungjawabnya kini bertambah.

"Saya gembira kerana semuanya berjalan lancar dan saya kini saya sudah mempunyai komitmen serta tanggungjawab baru yang perlu dipikul.

"Bapa mertua saya ada meninggalkan pesanan agar menjaga Nina dengan baik dan mereka menyokong kerjaya kami dari belakang," ujarnya.

Dalam pada itu, Noh berkata dia berasa bersalah kerana tidak memberikan perhatian sepenuhnya kepada kumpulan Hujan kerana sibuk dengan persiapan perkahwinan.

"Saya rasa bersalah kerana banyak masa dihabiskan dengan persiapan dan terpaksa mengabaikan mereka seketika. Nasib baik juga mereka memahami situasi ini.

"Insya-Allah selepas semuanya selesai dan selepas pulang dari berbulan madu saya akan fokus kepada album baru kami," katanya.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/7/8/mstar_hiburan/20110707161008&sec=mstar_hiburan

Monday, July 4, 2011

Sukar Menjadi Mukmin Sejati Dalam Dunia Artis - Azmil Mustafa

Isnin Julai 4, 2011

Wajah Azmil sewaktu tahun 1994.

PETALING JAYA: Pelakon Azmil Mustafa mendakwa sukar bagi seseorang itu untuk menjadi mukmin sejati sekiranya mereka bergelar artis.

Dia berkata selama bergelar artis dia mengakui banyak dosa yang telah dilakukan.

"Saya rasa agak susah untuk menjadi seorang mukmin apabila hidup sebagai seorang artis kerana seperti yang kita tahu kehidupan artis lebih terdedah kepada keseronokan.

"Saya akui pelbagai dosa yang telah saya lakui sepanjang menjadi artis. Sehingga sekarang, ada yang masih menganggap saya sebagai artis dan mengenali saya dengan nama Ali Setan," ujarnya dalam satu temubual di Hotel De Palma, Ampang ketika meraikan mangsa Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat.

Tambahnya: "Saya menganggap situasi ini sebagai lumrah hidup. Jadi, saya perlu berhati-hati dalam menjaga tingkah laku.

"Saya juga gemar bergaul dengan rakan artis yang suka berkongsi tentang kehebatan Rasulullah seperti kumpulan Rabbani."

Bagaimanapun, Azmil belum bersedia untuk berdakwah kepada rakan artis lain kerana bimbang sekiranya timbul konflik pada masa hadapan.

"Saya sudah faham dan lalui pengalaman menjadi artis, jadi saya takut untuk berdakwah di kalangan mereka.

"Lagipun saya belum cukup kuat untuk bergaul dengan mereka semula. Saya rasa halangannya terlalu berat dan bimbang andai saya gagal untuk berdakwah kepada mereka," ujarnya lagi.

Sejak berubah, dia membawa diri ke Syria dan menetap di sana bersama-sama keluarga selama lima tahun.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, Azmil yang kembali ke negara ini sejak lima bulan lalu memilih untuk menetap di sini selama-lamanya.

"Saya akan melakukan kerja yang menjurus ke arah kebaikan dan terlibat dengan pertubuhan yang bergerak secara bebas.

"Saya merancang untuk melakukan sebuah majlis dengan media untuk menceritakan tentang pengalaman saya selama berada di Syria," ujarnya yang turut mengakui hilang punca pendapatan sepanjang lima bulan kembali ke negara ini.

Dia yang baru menjalani pembedahan jantung akui sering menghadapi masalah kesihatan.

"Saya tetap bersyukur dengan kurniaan Allah dan setelah menjalani pembedahan jantung, doktor menasihatkan saya agar tidak terlalu aktif dan banyak berehat di rumah.

"Bagaimanapun, saya akan meluangkan masa jika dijemput memberikan usrah dan berkongsi pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya akan cuba bawakan perspektif yang kontemporari seiring dengan dunia sekarang," jelasnya.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/7/4/mstar_hiburan/20110703182755&sec=mstar_hiburan

Thursday, June 30, 2011

‘Saya Tidak Tahu Karnival Itu Anjuran PKR’ - Wardina

Published: Rabu Jun 29, 2011 MYT 12:46:00 PM
Updated: Rabu Jun 29, 2011 MYT 1:15:01 PM

Wardina

AMPANG: Pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot,32, atau Wardina menjelaskan tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat yang diadakan di Desa Mentari, Petaling Jaya dekat sini 26 Jun lalu adalah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wardina berkata, kehadirannya pada majlis tersebut atas jemputan seorang individu yang memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.

“Saya sepatutnya hadir pada sebelah siang tetapi disebabkan sibuk dengan aktiviti lain, saya dijemput menghadiri pada sebelah malamnya kerana diberitahu ramai orang sedang menunggu.

“Dalam jemputan itu saya diminta memberi ceramah mengenai institusi kekeluargaan tanpa dimaklumkan majlis berkenaan adalah anjuran pertubuhan politik termasuklah kehadiran wakil rakyat pembangkang,” katanya di Kelab Darul Ehsan di sini, Rabu.

Wardina berkata demikian bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Turut hadir peguamnya Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim.

Wardina (tengah) berbincang dengan peguamnya, Muhammad Hanif Harun (kiri) dan Iylia Iqbal Ibrahim.

Jelas Wardina, sewaktu dia tiba di majlis itu kelihatan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan dia telah diminta duduk sebelah wakil rakyat tersebut.

“Pada majlis itu saya hanya sempat memberi ceramah selama kira-kira sepuluh minit dan sebelum acara tamat, saya terus meninggalkan majlis selepas mendapat sedikit bayaran daripada pihak penganjur,” ujarnya.

Menurut Wardina, dia terkejut apabila kehadirannya telah dimanipulasikan sehinggalah ada pihak menuduh kononnya dia cenderung kepada PKR selain menyokong perhimpunan haram, Bersih.

Tambahnya, lebih memalukan gambar-gambar silamnya yang tidak bertudung telah disiarkan di beberapa blog dengan lemparan kata-kata yang kurang enak selepas insiden berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan yang saya tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik apatah lagi menyokong demonstrasi jalanan.

“Malah saya lebih sedih apabila gambar-gambar lama saya tidak bertudung disiarkan menerusi bloq yang mana ia boleh memalukan saya dan keluarga sedangkan saya sudah berubah,” ujarnya.

Gambar yang menimbulkan kontroversi apabila Wardina (kanan) bersama ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (dari kiri) dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ditanya adakah dia mempunyai hubungan baik dengan mana-mana pemimpin politik pembangkang, kata Wardina sebagai seorang selebriti dia berhak berbaik dengan sesiapa sahaja.

Wardina turut menjelaskan, tekanan yang berlaku disebabkan insiden berkenaan membuatkan dia terpaksa mengambil keputusan berehat daripada menjadi pengacara Malaysia Hari Ini di TV3 selama dua bulan.

Kata Wardina, tindakan itu bukanlah hukuman yang dikenakan stesen televisyen berkenaan sebaliknya ia adalah keputusan dia sendiri untuk membolehkan isu itu kembali reda selain mahu menceriakan semula kehidupannya.

“Saya tidak akan menjadi ceria jika saya dibebani dengan masalah. Jadi, adalah lebih baik saya berehat seketika dan perkara itu telah dipersetujui oleh pihak TV3,” katanya.

Sementara itu peguamnya Iylia Iqbal Ibrahim meminta pemilik bloq yang menyiarkan gambar-gambar Wardina tidak bertudung agar mengeluarkannya segera dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan ke atas mereka diambil.

Katanya, tindakan itu perlu untuk menjaga reputasi Wardina yang terjejas dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan gara-gara salah faham tersebut.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=%2F2011%2F6%2F29%2Fmstar_hiburan%2F20110629124051&sec=mstar_hiburan

Friday, June 17, 2011

Kanser: Punca, Rawatan Dan Pencegahan Daripada Perspektif Perubatan Ekologi

Khamis Jun 16, 2011

KUALA LUMPUR: Dr V.M. Palaniappan kini berusia 73 tahun tetapi penampilan serta semangat beliau tidak menunjukkan usia sebenar.

Lebih mesra dikenali sebagai Dr Palani, bekas profesor ekologi Universiti Malaya ini masih mampu membaca tanpa menggunakan kaca mata, tiada masalah dengan pendengaran malahan dapat menggigit dan mengunyah makanan keras dengan set gigi beliau yang masih dalam keadaan baik.

Pemikirannya masih tajam, beliau bercakap lancar dengan suara yang tegas dan tiada pula kedut atau kerut di muka mahupun anggotanya.

"Tekanan darah saya ialah 117/67 dan kadar denyutan nadi ialah 65," kata Dr Palani kepada penulis selepas pelancaran buku ke-16 beliau bertajuk 'Barah: Punca, Rawatan dan Pencegahan' di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi Dr Palani, awet muda hanya satu daripada aspek Sistem Penyembuhan Ekologi (EHS) yang beliau rintis 36 tahun lepas.

Lebih penting lagi, pengamal perubatan tradisional ini percaya EHS adalah kunci bagi pencegahan dan penyembuhan kepada banyak masalah kesihatan termasuk penyakit yang digeruni seperti barah.

HIPOTESIS ALTERNATIF DR PALANI Walaupun berlatar belakang saintifik, Dr Palani mencabar fahaman konvensional akan asal-usul penyakit termasuk barah dan kaedah rawatan mereka.

Dan bercakap mengenai kanser, berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian beliau, Dr Palani telah muncul dengan hipotesis sendiri mengenai asal-usul barah.

"Semua kanser berpunca daripada kalsium bebas berlebihan yang terkumpul pada tisu-tisu lembut oleh kerana kurang buang air (tidak kira kuantiti air yang diminum), makan dengan cepat, banyak berpeluh, mengelakkan daripada makanan dan buah-buahan bersifat asid, pendedahan yang kurang atau berlebihan pada sinaran matahari, terlalu banyak memakan makanan yang kaya atau yang diperkayakan dengankalsium dan sembelit kronik.

"Oleh itu semua jenis kanser berpunca kerana kalsium yang terkumpul dalam sel-sel dan ia boleh dicegah," dan menambah kata bahawa masih belum ada penawar bagi kanser sehingga kini kerana masyarakat saintifik mencari jawapan di tempat yang salah.

Dalam bukunya sebelum ini Dr Palani menjelaskan bahawa pengambilan kalsium secara berlebihan menyebabkan obesiti serta gangguan kesihatan lain. Beliau juga menunjukkan bahawa kekurangan kalsium boleh menyebabkan osteoporosis. ADAKAH DR PALANI MEMPUNYAI JAWAPANNYA Dr Palani dalam bukunya menjelaskan punca dan rawatan bagi 31 jenis kanser serta langkah-langkah pencegahan kanser. Untuk menyokong hipotesis ini beliau menunjukkan lebih 360 rujukan dalam bidang onkologi.

Beliau mendakwa bahawa EHS mampu menyembuh hingga kanser paling berbahaya yang telah sampai ke Peringkat III, tanpa menggunakan steroid, kemoterapi, krioterapi, radiasi, pemindahan sel stem, rawatan hormon, skala nano dan/atau terapi genetik seperti terapi telomerase, melalui pembedahan dan tanpa pembedahan.

Bagi Dr Palani tiada tempat bagi ubat-ubatan ataupun rumusan kimia untuk menyembuh kanser atau mana-mana penyakit lain. Ia lebih mengenai pengurusan sistem fisiologi dan mencapai pH atau imbangan asid alkali yang tepat.

Para pesakit kanser perlu elakkan makanan dan minuman yang diperkaya dengan kalsium dan beliau sebaliknya mengesyorkan lebih banyak pengambilan karbohidrat dan lemak. Beliau tidak mengesyorkan diet yang kaya dengan protein kerana ini akan menghakis kalsium tulang. Sebaliknya makanan berasid yang melarut atau menuetral kalsium disyorkan, dan yang sangat berciri alkali ada baiknyadielakkan.

Salad yang tidak dimasak mengandungi banyak kalsium dan oleh itu tidak disyorkan. Beliau juga mengesyorkan meminum 2.5 liter air yang ditapis setiap hari untuk mengeluarkan kalsium berlebihan selain menggalakkan tabiat buang air secara liberal.

Beliau juga berkata air yang ditapis ini boleh digantikan dengan air hujan atau air suling bagi meningkatkan lagi penyingkiran kalisum berlebihhan daripada tubuh. SENAMAN UNTUK SEMBUH Menurut beliau, mereka yang sihat hanya perlu mendedahkan tubuh pada sinaran matahari sederhana. Bagaimanapun, mereka dengan sista, fibroid, gumpulan, tumor lain, dan/atau kanser harus elakkan pendedahan kepada cahaya matahari secara keterlaluan kerana tubuh menghasilkan vitamin D yang membantu membebaskan molekul kalsium yang akan mengikat dengan sel-sel malignan.

Oleh itu sista, gumpulan dan tumor bertumbuh lebih cepat dan membahayakan lagi keadaan.

Lagipun, sinaran kuat matahari mendorong peluh yang banyak hingga menyebabkan seseorang kurang membuang air dan ini boleh menyebabkan kalisum terkumpul dalam tubuh.

EHS juga mencadangkan beberapa latihan yang tidak menyebabkan seseorang berpeluh seperti meniup udara, menarik nafas dan menggosok tubuh. Banyak lagi penyelesaian yang ditawarkan di bawah EHS dalam buku beliau dan terpulang kepada pembaca untuk menilainya.

Walaupun pembaca mungkin bingung dengan banyak daripada petua rawatan Dr Palani yang di luar kelaziman, mereka tidak boleh lupa bahawa banyak daripada cadangan beliau ini turut dikongsi oleh rakan-rakannya dalam dunia saintifik.

Contohnya Carmen Rodriguez dari American Cancer Society menunjukkan peranan kalsium dalam kalsium prostat.

Mereka yang mengambil 2000 mg atau lebih kalsium sehari menghadapi empat kali lebih risiko mengalami kanser prostat berbanding mereka yang mengambil kurang 50mg.

Buku ini menawarkan banyak penjelasan terperinci mengenai pelbagai jenis kanser, punca dan rawatan bagi mereka, dan para pembaca boleh menilai sendiri alternatif yang ditawarkan dalam buku ini (vmpalani@streamyx.com). - BERNAMA


http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2011/6/16/mstar_rencana/20110616121727&sec=mstar_rencana

Saturday, April 2, 2011

Shiney Ahuja Dihukum Penjara Kerana Rogol Pembantu Rumah

Jumaat April 1, 2011

Shiney Ahuja dikerumuni wartawan berhubung kes rogol pembantu rumah.

MUMBAI: Sebuah mahkamah di India pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun ke atas pelakon Bollywood, Shiney Ahuja,37, selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada Jun 2009.

Selain rogol, pelakon itu turut didakwa mengugut dan mengurung pembantu rumahnya itu.

Hakim PM Chouhan mendapati pelakon itu bersalah selepas mendengar keterangan daripada pihak polis, tidak hanya merujuk kepada pengakuan mangsa sahaja sebagai bukti, lapor agensi media Press Trust, Rabu.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah di Bollywood itu bagaimanapun membantah hukuman tersebut dan akan merayu di Mahkamah Tinggi Mumbai, menurut peguamnya, Srikant Shivade kepada wartawan.

Mahkamah melakukan persidangan secara tertutup dan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Ahuja yang membintangi beberapa filem Bollywood termasuklah Hazaaron Khwaishein Aisi (A Thousand Desire), Gangster dan Life In Metro.

September tahun lalu, seorang pembantu rumah berusia 20 tahun telah mengadu dirogol dan minta ia dilaporkan kepada polis melalui seorang wanita yang membawanya bekerja dengan bintang filem tersebut.

Akibat laporan itu, Ahuja telah direman untuk siasatan sehingga dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Selepas keluar dari penjara, dia sempat membintantgi filem terbarunya.

Ahuja merupakan pelakon terbaru di India yang ditahan sejak beberapa tahun lalu selepas Sunjay Dutt yang didapati bersalah kerana membeli senjata melalui satu sindiket pengeboman berani mati pada tahun 2007.

Sebelum itu pada tahun 1993, pelakon Salman Khan juga didapati bersalah kerana memburu haiwan yang dilindungi di India. - AFP


http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_hiburan/20110331180921&sec=mstar_hiburan

ADUN Lenggeng Bersalah Terima Rasuah

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim (tengah) dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan mengorek pasir dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Seremban, Jumaat.

Published: Jumaat April 1, 2011 MYT 6:12:00 PM
Updated: Jumaat April 1, 2011 MYT 6:17:49 PM

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan mengorek pasir dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, turut mendenda Mustafa sebanyak RM20,000 mengikut kesalahan tersebut.

Mahkamah mendapati Mustafa, 51, yang merupakan penggal pertama dipilih sebagai wakil rakyat melakukan kesalahan berkenaan pada 3 Mac lalu.

Bagaimanapun peguamnya merayu supaya hukuman itu ditangguhkan. Hakim Amran membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000.


http://www.mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_mahkamah/20110401181058&sec=mstar_mahkamah

Dua Muka Dikesan Pada Kamera Tersembunyi - Abdul Khalid

Jumaat April 1, 2011

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis mendedahkan bahawa dua wajah dikesan dalam rakaman kamera tersembunyi yang diletakkan di pejabatnya Ogos lalu.

Beliau berkata rakaman yang diperiksa oleh seorang penyiasat persendirian dan staf kerajaan negeri menunjukkan dua orang itu sedang menukar bateri kamera.

"Ketika memeriksa rakaman dengan lebih teliti, perakam suara yang dibina dalam kamera itu mendedahkan nama lelaki yang disebut 'Fais'," katanya kepada wartawan selepas menghadiri sidang dewan negeri di sini, Khamis.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata beliau masih perlu melihat rakaman itu tetapi mahu memberikan penyiasat itu masa yang secukupnya untuk menyiapkan siasatan.

Beliau berkata laporan polis tidak akan dibuat ketika ini oleh kerana kerajaan negeri ingin menyiasat insiden itu terlebih dulu.

Pada Ogos 2010, Menteri Besar mendedahkan bahawa sebuah kamera ditemui tersembunyi di pejabatnya yang merakam aktivitinya.

Beliau berkata beliau mengesan kamera Fuji itu pada belebas di balik tirai di pejabatnya bila baterinya lemah dan beliau mendengar suatu bunyi.

Mengulas isu lain, Abdul Khalid menolak dakwaan pembangkang bahawa pendapatan negeri mengalami defisit.

Beliau berkata Selangor telah mencapai lebihan RM124.2 juta tahun lalu berbanding RM65.9 juta pada tahun 2009.

Abdul Khalid, yang juga Adun Ijok, berkata jabatan kewangan negeri Selangor melaporkan bahawa akaun pendapatan diumumkan pada akhir tahun sebaliknya menunjukkan bahawa Selangor mengutip RM732.2 juta tahun lalu berbanding RM608.1 juta pada 2009, meningkat sebanyak 24.3 peratus.

Adun Sungai Burong Syamsuddin Mohd Lias membidas kerajaan negeri kerana penurunan 26.3 peratus kutipan hasil kepada RM1.3 bilion tahun lalu dari RM1.764 bilion pada 2009. -BERNAMA


http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_jenayah/20110401120234&sec=mstar_jenayah

RON 97 Naik 20 Sen Tengah Malam Ini (Jumaat)

Published: Jumaat April 1, 2011 MYT 7:24:00 PM
Updated: Jumaat April 1, 2011 MYT 8:24:55 PM

PETALING JAYA: Harga petrol RON 97 sekali lagi dinaikkan dan kali ini sebanyak 20 sen - menjadikan harganya RM2.70 seliter selepas tengah malam Jumaat.

Harga RON97 sekarang ialah RM2.50 seliter.

Kali terakhir ia dinaikkan ialah pada 4 Januari lalu iaitu sebanyak 10 sen. Sebelum itu ia telah pun mengalami kenaikan iaitu sebanyak 15 sen pada 1 Disember tahun lalu -menjadikan harganya mencecah paras RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari.

Bagaimanapun, harga minyak petrol RON 95 kekal pada paras RM1.90 seliter.

RON97 kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan diapungkan mengikut harga pasaran. Walaupun ia tidak lagi di bawah kawalan kerajaan, namun kerajaan masih memberi subsidi antara 17 sen hingga 18 sen seliter.

Semalam (Khamis) dalam pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan media, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Katanya, tahun lalu sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk petrol dan diesel sahaja mencecah RM7.61 bilion.

Untuk tahun ini katanya, jumlah itu dianggarkan mencecah RM10 bilion dan mungkin akan naik kepada RM14 bilion seandainya kerajaan pertahankan harga RON95 pada paras sekarang untuk tempoh sepanjang tahun.


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_berita/20110401192147&sec=mstar_berita

Friday, April 1, 2011

Awas Peniaga! Akta Baru Kawal Harga Melampau Kini Berkuatkuasa...

Khamis Mac 31, 2011

KUALA LUMPUR: Akta baru yang dinamakan Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010 yang memberi kuasa kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengheret peniaga yang menaikkan harga barangan atau makanan secara sembarangan ke mahkamah akan mula berkuatkuasa mulai Jumaat 1 April.

Di bawah akta ini, individu/peniaga yang didapati mengenakan harga yang ditafsirkan sebagai ‘melampau’ ke atas pengguna boleh dicaj di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga maksima RM100,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika disabitkan bagi kesalahan kedua pula, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksima sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi taklimat mengenai isu bekalan dan harga barangan kepada pengarang-pengarang kanan media tempatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Plaza Sentral di sini, Khamis berkata, bagi mana-mana syarikat pula, jika didapati bersalah di bawah akta baru ini boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kali kedua.

Menurut beliau, sebuah majlis di bawah kementeriannya yang dinamakan Majlis Penasihat Harga (MPH) dan diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan kes-kes di bawah akta ini.

MPH turut dianggotai oleh wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, wakil daripada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan-dewan perniagaan.

Katanya lagi, akta baru ini diwujudkan bagi mengantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang dahulunya memerlukan barang-barang yang dikawal harga digazetkan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil ke atas mereka yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Tetapi kini dengan wujudnya akta baru ini, kita tidak perlu lagi menunggu sesuatu barangan itu digazetkan terlebih dahulu sebagai barangan kawalan untuk kita mengambil tindakan,” ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, seramai 1,200 pegawai penguatkuasa di bawah kementeriannya akan ditugaskan memantau aduan dan membuat pemeriksaan harga melampau dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengenakan caj yang diluar harga munasabah ke atas pengguna.

Beliau berkata, para pengguna juga boleh membuat aduan kepada kementerian menerusi talian 1-800-886-800.

Di bawah akta yang lama, mana-mana individu yang didapati bersalah menaikkan harga di atas para munasabah atau dibenarkan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua pula boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM25,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Untuk syarikat pula, mereka boleh dikenakan dengan bagi kesalahan pertama sehingga maksimum RM25,000 dan RM50,000 bagi kesalahan kali kedua.

Diminta memberi contoh apa yang dimaksudkan sebagai “harga melampau”, Ismail Sabri menjelaskan, seandainya seorang peniaga menggenakan caj minuman ais kosong sehingga RM1.20 atau RM1.00 segelas kepada pengguna sedangkan kosnya tidak sampai tahap itu, mereka boleh dikenakan caj atau didakwa di mahkamah di bawah akta ini sekiranya terdapat aduan daripada pengguna dan hasil siasatan mendapati aduan itu benar.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/31/mstar_berita/20110331203607&sec=mstar_berita

Monday, March 28, 2011

Zul Huzaimy, Isteri Cerai Talak Dua

Isnin Mac 28, 2011

Zul Huzaimy

PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon popular Zul Huzaimy, 33, Nor Dalilah Muhammad, 29 mengesahkan mereka sudah bercerai talak dua dan didaftarkan pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kajang.

Menurut Dalilah sebelum itu, mereka pernah mengalami konflik pada hujung tahun 2009 dan masing-masing telah menetapkan syarat untuk berbaik semula selepas kejadian berkenaan.

"Memang selepas itu Zul banyak berubah dan dia tidak seperti dahulu. Malah selepas penceraian tersebut, Zul berhasrat untuk merujuk semula dan merancang ingin melangsungkan perkahwinan secara rasmi.

"Bagaimanapun, mungkin kami tidak ada jodoh, perancangan itu tidak menjadi dan kami berpisah secara baik. Anak kami, Awal Haziq, 5, pun dah faham dengan keadaan yang berlaku," katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Tambah Dalilah, walaupun umum tidak tahu tentang hal penceraian mereka, rakan-rakan terdekat serta keluarganya sudah pun mengetahui hal tersebut.

Zul bersama Dalilah dan anaknya, Awal. Foto KOSMO!

Berikutan penceraian itu kata Dalilah mereka tidak berhasrat membuat sebarang tuntutan hak penjagaan anak mahupun harta sepencarian kerana kedua-dua mereka sudah bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan bersama.

"Kami tak mahu membawa isu hak penjagaan anak dan pembahagian harta sehingga ke mahkamah kerana ia akan jadi lebih rumit. Tentang nafkah pula, saya tidak kisah jika Zul mahu beri ataupun tidak.

"Rumah yang diduduki kami sebelum ini pula berkemungkinan akan dijual," tuturnya.

Ditanya adakah kemungkinan mereka akan berbaik semula Dalilah memberitahu tidak akan berbuat demikian kerana mereka mahu membawa haluan sendiri.

"Kami dah tidak ada kaitan suami isteri lagi dan hanya akan bercakap tentang hal anak sahaja.

Lagipun saya ada dengar cerita yang dia sudah pun ada seseorang. Apa pun, saya mendoakan kebahagian diri serta kerjayanya," ujar Dalilah.

Sementara itu, Zul gagal dihubungi mStar untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya tentang penceraiannya itu.

Gosip keretakan rumah tangga Zul Huzaimy sudah kedengaran sejak tahun lalu tapi pelakon itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia adalah kisah peribadi yang tak perlu dihebohkan.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/28/mstar_hiburan/20110327190308&sec=mstar_hiburan

Mayat Isteri Dalam Almari: Nasib Suami Diketahui 12 April

Published: Isnin Mac 28, 2011 MYT 7:37:00 PM

SHAH ALAM: Nasib seorang pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed sama ada dia akan diarahkan untuk membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan membunuh dan menyembunyikan mayat isterinya di dalam almari pakaian akan diketahui pada 12 April depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki selepas beliau mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak pada Isnin.

Mohafri, 38, didakwa atas tuduhan membunuh Fazlina Ahmad, 38, yang merupakan seorang eksekutif swasta antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini.

Tertuduh ditangkap pada 3 Januari 2010.

Dia yang mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan mangsa kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori, sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh yang mendakwa kematian mangsa disebabkan oleh serangan asma adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau berkata, kematian itu diakibatkan oleh kelemasan selepas organ pernafasan luaran mangsa iaitu hidung dan mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat.

Tambah Rosidah, perkara itu juga disokong menerusi keterangan yang diberikan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Khairul Anuar Zainun yang turut berpendapat mangsa mati antara satu ke satu setengah minit selepas pita itu dilekatkan.

Menurutnya lagi, meskipun tiada keterangan secara langsung yang dapat menjuruskan tertuduh dengan jenayah tersebut, terdapat pelbagai keterangan ikut keadaan yang dapat mengaitkan tertuduh.

"Antaranya hubungan tertuduh dengan mangsa sememangnya tidak baik dan mereka dalam proses untuk bercerai. Teman wanita tertuduh juga mengakui bahawa mereka sepatutnya bertolak ke Thailand pada hari kejadian untuk berkahwin di sana.

"Jika benar mangsa terkena serangan asma, mengapa tertuduh tidak mendapatkan bantuan dan mengapa pula tertuduh perlu menghalang pembantu rumah mereka, Yayok daripada memasuki bilik dan menghampiri almari?

"Tertuduh juga tidak pulang ke rumah apabila diberitahu bahawa mangsa hilang dan hanya ditangkap beberapa hari kemudian. Tidak adakah sekelumit perasaan terhadap mangsa sebagai isterinya yang masih sah dan ibu kepada anak-anaknya?," tambah Rosidah.

Bagaimanapun, peguam Hisyam Teh Poh Teik menghujahkan bahawa berlaku kelompangan dalam kes pendakwaan apabila pihak pendakwaan tidak memanggil Yayok sebagai saksi sedangkan wanita daripada Indonesia itu merupakan seorang saksi penting.

"Yayok berada di dalam rumah tersebut semasa kejadian bunuh didakwa berlaku. Semasa tertuduh mencari ubat asma mangsa, Yayok tinggal bersendirian dengan mangsa selama empat atau lima minit.

"Yayok juga diketahui mempunyai masalah dengan mangsa," katanya dan menambah tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada pita-pita pelekat bersaiz 35 sentimeter lebar yang ditemui pada mangsa.

"JIka benar tertuduh adalah individu yang melekatkan pita pelekat tersebut, sudah pastilah kesan DNA atau cap jarinya akan tertinggal pada pita pelekat," tambah Hisyam.

Selain itu, Hisyam juga menimbulkan persoalan mengenai kehadiran profil DNA yang tidak dikenali pada pita pelekat tersebut yang telah ditandakan sebagai 'Male 1'.


http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/3/28/mstar_mahkamah/20110328193537&sec=mstar_mahkamah

Tuesday, March 22, 2011

Kereta Terbakar Ketika Isi Minyak, Sebabkan Stesen Minyak Terbakar

Isnin Mac 21, 2011

ALOR SETAR: Sebuah stesen minyak di Jalan Sultanah di sini terbakar dalam kejadian awal pagi ini dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang terbakar ketika mengisi minyak.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Mohd Noor Din berkata kejadian berlaku kira-kira 4.20 pagi menyebabkan pemiliknya kerugian RM160,000.

Katanya pihaknya menerima panggilan pada 4.26 minit pagi dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian.

"Tiga jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Ketika sampai di tempat kejadian api marak dengan cepat dari sebuah kereta yang menyambar pam minyak sehingga menyebabkan stesen minyak itu terbakar 30 peratus dan memusnahkan sebuah pam minyak," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Isnin.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiga pekerja dan pemilik kenderaaan berkenaan yang berada di tempat kejadian sempat menyelamatkan diri.

Punca kejadian masih disiasat. -BERNAMA


http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/3/21/mstar_jenayah/20110321143234&sec=mstar_jenayah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...