Thursday, January 6, 2011

Kerajaan Selangor perlu dapat perkenan Sultan Selangor - Dr Mahathir

SHAH ALAM - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu mendapatkan perkenan Sultan Selangor meskipun berjaya meminda Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif negeri itu kepada Sultan dan Menteri Besar.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perkara itu akhirnya terpulanglah, jika kerajaan negeri mendapat tandatangan Sultan Selangor ataupun sebaliknya kerana tanpa tandatangan dan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, pindaan itu tidak boleh menjadi undang-undang.

"Kerajaan Selangor memerlukan undi majoriti dua pertiga ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk membolehkan Undang-undang Tubuh Negeri dipinda.

Sama ada mereka dapat undi itu ataupun tidak, saya tak tahulah. Walau apapun, kalau tak dapat tandatangan daripada Raja, pindaan itu tidak boleh jadi undang-undang (meskipun ia diluluskan dengan
mendapat majoriti dua pertiga di peringkat DUN).

"Perkara ini akhirnya terpulang sama ada Raja bersetuju ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada "Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pemangunan Bangsa" di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir juga menasihatkan sesetengah pihak agar jangan mempolitikkan isu pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru.

"Sepatutnya Raja tidak terlibat (dalam pelantikan SUK) tetapi isu ini dipolitikkan.

Apa yang dilakukan oleh Raja (dalam memberi perkenan kepada pelantikan SUK) adalah berkenaan dengan pentadbiran.

Itu adalah tanggungjawab baginda.

Perkara ini dipolitikkan seolah-olah pegawai kerajaan mestilah memihak kepada parti dan sebagainya.

Dia (pegawai kerajaan) hanya menjalankan tugas dan apa juga keputusan kerajaan, dia terpaksa
melakukan dan tidak boleh bertindak secara bersendirian," katanya.

Pelantikan Mohamad Khusrin, 54, sebagai SUK baru berkuat kuasa 1 Jan lepas, mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

http://www.sinarharian.com.my/bterkini/8140.asp

Ditikam gagal lunas sewa rumah

Ditikam gagal lunas sewa rumah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim; Shamsul Munir Safini dan Noozieyantie ‘Alia Adnan

KUALA LUMPUR: Hanya kerana gagal melunaskan tunggakan sewa rumah selama sebulan, seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah akibat ditikam tiga kali di bahagian belakang badan, leher dan pipi oleh pemilik rumah terbabit di rumahnya di Jalan Ipoh di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, masih tidak sedarkan diri namun keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek berusia 41 tahun ketika pemilik rumah terbabit datang memungut duit sewa.

Menurut sumber, mangsa sudah menyewa rumah milik suspek berusia 41 tahun itu sejak setahun lalu.


“Disebabkan dia kini menganggur, mangsa tidak dapat melunaskan bayaran sewa terkini lebih RM400 menyebabkan tuan rumahnya berang sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, berkata kejadian itu disedari rakan mangsa berusia awal 30-an yang menumpang bermalam di rumah seorang lagi rakan mereka di bawah rumah mangsa sebaik terdengar bunyi bising.

“Disebabkan bimbang sesuatu berlaku, rakan mangsa (pengadu) segera naik ke rumah rakannya untuk melakukan pemeriksaan.

“Dia terkejut apabila mendapati mangsa terbaring di kawasan ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Zainuddin berkata, rakan mangsa segera menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah ambulans.

“Mangsa dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan. Mangsa cedera akibat ditikam di belakang badan, leher dan pipi namun keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, gerakan memburu suspek akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian berhampiran kawasan berkenaan namun senjata yang digunakannya masih belum ditemui.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah. Kita percaya ketika bergelut dengan mangsa, suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Dia (suspek) akan di bawa ke mahkamah esok (hari ini) untuk mendapatkan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ditikamgagallunassewarumah/Article

Adik tak puas hati

Adik tak puas hati

SEDIH...Lee (kanan) bersama Teng menahan kepiluan sambil mengepit gambar mendiang Teoh.
SEDIH...Lee (kanan) bersama Teng menahan kepiluan sambil mengepit gambar mendiang Teoh.

SHAH ALAM: “Selepas terlalu lama menunggu, ini saja keputusannya? Saya tidak berpuas hati,” kata Teoh Lee Lian, 31, adik mendiang Teoh Beng Hock, di luar Mahkamah Koroner, semalam.

Dia yang bertindak sebagai jurucakap keluarga, dilihat sungguh emosional sehingga menangis teresak-esak dan kadangkala seperti meraung apabila ditanya media mengenai reaksinya terhadap keputusan itu.


Malah, wanita itu yang hadir bersama ahli keluarganya dilihat mula mengalirkan air mata sebaik memasuki galeri awam di Mahkamah Koroner, jam 2.15 petang.

Lee Lian yang terlampau kecewa dengan keputusan itu berkata, dia akan mengadakan program jelajah ke seluruh negara sehingga Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian abangnya.

“Keputusan ini tidak membawa apa-apa makna,” katanya.

Ibu Teoh, Teng Shuw Hor, 57, yang cuba mengelak daripada dikerumuni media hanya berkata: “Siapa menyebabkan kematian anak saya, dia patut beri jawapan kenapa anak saya mati.”

Seperti prosiding terdahulu, Teng membawa bersama bingkai gambar dengan foto Teoh, 30.

Terdahulu, keputusan inkues yang sudah berlangsung lebih setahun setengah itu menarik perhatian ratusan wakil media tempatan dan antarabangsa, yang membanjiri pekarangan kompleks mahkamah sejak 11 pagi.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, Gobind Singh Deo berkata, keluarga mendiang Teoh akan memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan inkues yang mendapati kematian mangsa bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.


“Kami berpendapat keputusan ini tidak dapat diterima. Walaupun tiada elemen jenayah, tetapi mahkamah bersetuju bahawa wujudnya kecederaan di bahagian leher mangsa sebelum mendiang jatuh dari bangunan itu.


“Persoalan tentang bagaimana Teoh mendapat kecederaan itu dan menemui ajalnya, masih menjadi tanda tanya dan mengganggu fikiran keluarganya. Kami perlu mendapat jawapan daripada SPRM,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Adiktakpuashati/Article

Catu beli minyak masak

KUALA LUMPUR: Pengguna mula gusar dengan masalah kekurangan minyak masak di pasaran sekarang apabila pasar raya dan pekedai runcit menaikkan notis tiada bekalan itu di premis mereka.

Keadaan ini menjadi lebih tegang apabila terdapat catuan pembelian dengan setiap individu hanya dibenarkan membeli dua botol besar minyak masak. Tinjauan Harian Metro di ibu kota mendapati kebanyakan pengguna mengeluh apabila pasar raya dan kedai runcit tiada bekalan itu. Pelajar institusi pendidikan tinggi swasta, Hasyimah Abdul Halim, 22, berkata walaupun masih mempunyai bekalan di rumah sewanya, dia tetap bimbang. “Dua hari lalu, saya membuat panggilan ke kampung untuk bertanya khabar keluarga. Ibu mengadu masalah bekalan minyak masak sejak seminggu lalu. “Syukur kami selalu beli dengan kadar yang banyak untuk kemudahan di rumah sewa,” katanya.


Pengguna, Hisham Abdullah, 45, berkata dia terpaksa membayar lebih untuk setiap peket minyak masak yang dibelinya di kedai. “Mula-mula, saya nak marah juga bila peniaga terbabit meletakkan harga lebih tinggi, tapi memandangkan bekalan minyak masak susah nak cari, saya diamkan saja,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Catubeliminyakmasak/Article

Tekanan melampau

BEBANAN dan tekanan tinggi yang terpaksa digalas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek mungkin antara faktor menjurus kepada peletakan jawatan.

Pendapat itu disuarakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb), Datuk Mumtaz Jaafar.


“Saya tidak tahu masalah sebenar beliau, tapi berdasarkan berita yang dibaca dan ditonton di televisyen, saya rasa dia menggalas bebanan tinggi,” kata Mumtaz.

Enggan mengulas lanjut isu dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu kerana bimbang dituduh campur tangan, Mumtaz bagaimanapun yakin psikologi anak didik Misbun, Datuk Lee Chong Wei tetap terjejas ketika mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik 2012 London.


“Memang tumpuan dia (Chong Wei) terjejas sekiranya tidak dapat berlatih dengan Misbun. Bukan mudah untuk seorang atlet serasi dengan sistem latihan seseorang jurulatih, saya amat memahami situasi ini,” kata Mumtaz sambil memberi gambaran situasi yang menimpa bekas pelari pecut negara Watson Nyambek yang ketika itu dilatihnya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tekananmelampau/Article

Chong Wei mahu ikut Misbun

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang bertindak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin.

Chong Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, berkata, tindakannya berbuat demikian kerana dia mahu kekal dilatih oleh Misbun, selain tiada persefahaman antara dirinya dan juga BAM.

"Saya akan ikut jurulatih, kalau dia kekal bersama BAM, maka saya akan ke kekal di BAM, tetapi jika dia keluar saya pun akan ikut jejak langkahnya," katanya yang dibentuk Misbun sejak usianya masih remaja.

Laporan sebuah akhbar kelmarin memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember 2010 yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM. Goh bagaimanapun, tidak menyatakan sebab peletakan jawatan tersebut.

Pemain berusia 28 tahun itu, turut mendedahkan masalah dengan pengurusan BAM sebagai punca kemelut tersebut berlaku.

Katanya, BAM hanya tahu mencari silap pemain, jika mereka tewas pada mana-mana pertandingan yang disertai, tetapi sekiranya kejayaan yang diraih mereka tidak pula menghargainya.

"Semua masalah ini melibatkan pengurusan BAM, mereka hanya tahu minta laporan kalau kita kalah dan jika kita menang, mereka tak minta laporan pun. Tidak pula mereka tanya bagaimana saya boleh menang," ujarnya.

Menurut Chong Wei, dia ada menghubungi jurulatihnya itu bagi meminta penjelasan mengenai peletakan jawatan tersebut.

"Saya ada hubungi jurulatih saya, dia minta semua orang hormati keputusan dia. Keputusan dia memang sudah muktamad. Saya pula akan ikut ke mana sahaja dia pergi.

"Saya sedih dengan keadaan ini, Misbun adalah jurulatih saya. Dia telah naikkan nama saya, daripada tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Tak mungkin saya tinggalkan dia bersendirian," tegasnya.

Chong Wei berkata, hari ini dia akan berangkat ke Taiwan tanpa ditemani Misbun bagi menghadapi Terbuka Taiwan dan hanya akan dibantu oleh seorang penolong jurulatih.
Walau apa juga keputusan selepas ini, jelas Chong Wei, dia akan menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang kini berada di luar negara untuk berbincang mengenai kemelut tersebut.

"Saya harap persiapan bagi menghadapi Terbuka Malaysia tidak terjejas dan masalah ini dapat diselesaikan segera, bukan mudah tukar jurulatih, saya telah bersama dengan Misbun terlalu lama," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada presiden yang kini berada di luar negara untuk memutuskan mengenai isu tersebut.

"Memang kita ada terima surat peletakan jawatan oleh Misbun dan kita juga telah edarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa sebagai makluman," katanya.
Chin Chai yang enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan itu, memberitahu, Nadzmi hanya akan kembali ke tanah air, esok.

Utusan Malaysia 3.1.2011

Misbun tak hadir

Oleh Mohd Hilmie Hussin

CERIA...Shabery (kiri) dan Nadzmi  selepas pertemuan bersama berhubung isu BAM dan peletakan jawatan Misbun di Putrajaya, semalam.
CERIA...Shabery (kiri) dan Nadzmi selepas pertemuan bersama berhubung isu BAM dan peletakan jawatan Misbun di Putrajaya, semalam.

KEMELUT membabitkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek mungkin tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat selepas jurulatih perseorangan negara itu tidak hadir dalam pertemuan dengan Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh di Bukit Kiara, semalam.

Misbun yang sepatutnya hadir di Pejabat BAM langsung tidak menjawab sistem pesanan ringkas (SMS) serta panggilan daripada Pengurus Besar, Kenny Goh mengenai pertemuan itu. Difahamkan Misbun masih belum bersedia untuk bertemu sesiapa dalam tempoh dua tiga hari ini.


Kegagalan Misbun untuk hadir dalam pertemuan dengan Nadzmi itu mendorong Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Presiden BAM itu hadir di kementeriannya di Putrajaya untuk memberikan penjelasan.

Jangkaan yang segala teka-teki berhubung kemelut peletakan jawatan Misbun itu akan terjawab di situ, bagaimanapun meleset apabila hanya Ahmad Shabery hadir di sidang media selepas pertemuannya dengan Nadzmi.


Nadzmi yang diiringi tiga orang kuat persatuan - Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat), Datuk James Selvaraj (Pengarah Prestasi Tinggi) dan Kenny - memilih untuk melarikan diri daripada wartawan tanpa memberi sebarang ulasan.


Malah, dalam sidang media itu, Ahmad Shabery juga gagal memberikan sebarang tanda positif kerana beranggapan selagi Nadzmi belum bertemu Misbun, segala-galanya tidak dapat dipastikan.

“Saya tidak dapat menjelaskan segala butiran mengenai perjumpaan saya dengan Nadzmi kerana tidak sesuai dibincangkan di sini. Tapi, yang pasti pertemuan beliau (Nadzmi) dengan Misbun yang sepatutnya berlaku hari ini (semalam) tidak menjadi kenyataan,” kata Ahmad Shabery.

“Jadi, saya rasa tidak wajar sebarang kenyataan dibuat kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan.


“Walau apapun keputusan yang diambil, saya harap semua pihak mengutamakan kepentingan kepada negara.”

Ahmad Shabery kemudian mendedahkan yang beliau akan menemui Misbun di lokasi yang dirahsiakan, malam tadi untuk mendengar sendiri daripada mulut jurulatih itu mengenai tindakannya meletakkan jawatan.

Ahmad Shabery yang akan bertolak ke Sarawak hari ini berkata isu itu perlu ditangani dengan berhati-hati kerana beliau tidak mahu sebarang keputusan memalapkan badminton negara.


Beliau berkata, Nadzmi tenang ketika bertemunya, tapi mengakui buntu kerana Misbun tidak memberi sebarang alasan mengenai tindakannya meletakkan jawatan.


Ahmad Shabery turut menolak andaian negara terpaksa mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei andainya pemain itu turut meninggalkan BAM kerana pemain nombor satu dunia itu masih sandaran terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik 2012 London.


“Jika Chong Wei keluar dari BAM, dia tetap membawa nama negara apabila beraksi di mana-mana pertandingan, terutamanya di kejohanan utama. Dia juga berhak untuk terus menerima bantuan daripada MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya.


Apabila ditanya bilakah isu ini akan berakhir, Ahmad Shabery pantas meminta wartawan agar tidak meminta beliau memberikan tempoh waktu tertentu kerana penyelesaian terhadap kemelut ini mungkin mengambil masa.

http://www.hmetro.com.my/articles/Misbuntakhadir/Article

Belum ada penyelesaian


AHMAD SHABERY (empat dari kiri) berbincang sesuatu dengan Nadzmi di pejabatnya di Putrajaya semalam.


PERTEMUAN di antara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh bagi membincangkan isu berhubung peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek masih belum ada jalan penyelesaian.

Sebaliknya Shabery berkata, pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya semalam adalah untuk mendengar penjelasan daripada Nadzmi sendiri selaku presiden BAM berhubung isu yang sedang melanda badan induk itu ketika ini.

"Saya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu ini kerana saya baru mendengar penjelasan daripada presiden BAM sahaja.

"Saya fikir lebih elok saya mendengar penjelasan daripada Misbun pula dan selepas itu nanti barulah sebarang keputusan boleh dibuat," kata Shabery ketika sesi sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Nadzmi di Putrajaya semalam.

Ditanya apakah yang dibincangkan dengan Nadzmi sepanjang pertemuan selama sejam itu, Shabery menjawab: "Tidak elok rasanya saya dedahkan perbincangan kami pada sidang media ini.

"Seperti yang saya maklumkan, saya mahu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara ini," ujar Shabery.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkian bahawa keputusan yang dibuat Misbun untuk meletak jawatan adalah berpunca daripada salah faham di antara jurulatih tersebut dengan pihak pengurusan BAM.

"Mungkin ada salah faham dalam beberapa keputusan yang dibuat baik Misbun mahupun pihak pengurusan BAM sendiri," jelas Shabery.

Shabery turut mengingatkan Misbun agar setiap keputusan yang dilakukannya perlulah memikirkan demi kepentingan sukan badminton tanah air.

"Saya tidak mahu isu-isu seperti ini menjejaskan pembangunan sukan badminton negara dan sekaligus terus malap tanpa sebarang kejayaan di pentas antarabangsa," tambah Shabery.

Sementara itu, hasrat pihak media untuk bertemu dan mendengar penjelasan daripada Nadzmi tidak kesampaian selepas presiden BAM itu bergegas pulang sejurus tamat perbincangan beliau bersama Shabery.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Bunuh, rogol, rasuah & nilai Melayu

Hishamuddin Rais
Jan 3, 11
3:10pm

Dunia Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah, sekali emak meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan nilai telah berlaku.

Lonjakan nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh tok lebai atau oleh sasterawan negara atau cikgu sekolah. Nilai ini bukan datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggungjawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.

Struktur ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United Malays National Organisation. Selama hampir 30 dahulu, Mahathir Mohamad melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memasukkan satu nilai dan budaya baru dalam roh manusia Melayu.

Tiga puluh tahun sebelum hari ini, manusia Melayu adalah manusia pertanian. Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian. Justeru, nilai yang dilahirkan oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai mesra masyarakat pertanian.

Apabila DEB diperkenalkan, dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun 70-an, manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan kota. Dari kampung yang permai, manusia Melayu telah mula memasuki pekan dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.

Perubahan yang dibawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan, bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru, roh manusia Melayu ini pada tahun-tahun 90-an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu peniagaan.

Sistem ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation, sistem kapitalis ini telah diubahsuai. Sistem kapitalisme ini tidak lagi menjadi satu perniagaan bebas, tetapi kapitalisme kroni. Kapitalisme jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga untuk menerima dana dan kontrek dari kerjaaan. Kapitalisma kroni inilah yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada manusia Melayu.

Asas nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National Organisation ialah mengumpul pangkat, darjat, harta dan kekayaan. Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.

Mementingkan kontrak dan tender

Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.

Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.

Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.

Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).

Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes 'rogol bawah umur' ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.

Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.

Ketika tulisan ini ditulis, satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak dibincangkan dalam laman sesawang. Telah diperkatakan bahawa seorang menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu dikatakan terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.

Sama ada kes ini sahih atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana manusia Melayu baru ini telah menjadi lali. Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama dua tahun.

Nilai salah dan benar

Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.

Mari kita lihat satu lagi kes klasik yang telah membuktikan lonjakan perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik kepada Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan ini.

Malah dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi, perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih model yang terbunuh. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Persoalan yang timbul di sini, bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi arahan agar model ini dbunuh. Bukan ini yang ingin dibincangkan. Apa yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.

Ketulian dan kelalian perasaan tiga juta ahli parti United Malays National Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh melihat melihat kontrak dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.

Jalur nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan 'juruagama' United Malays National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib Razak ini suci dan bersih, maka tiga juta manusia Melayu ini juga akan mengangguk menerima perkara ini umpama wahyu.

Nilai baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak menjadikan mereka merasa kebal.

Anjakan nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan. Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram. Akhirnya, tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua mereka.

Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.

http://malaysiakini.com/columns/152272

Guan Eng saman Utusan kerana memfitnahnya

Guan Eng saman Utusan kerana memfitnahnya
Susan Loone
Jan 6, 11
3:29pm

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP.

NONELim memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember lalu yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang 'rasis' dan 'anti-Melayu' dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu.

Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya.

NONEKehadiran Lim hari ini diiringi peguam yang juga ADUN Dato Keramat, Jagdeep Singh Deo dan juga beberapa ahli exco dan ADUN yang lain.

Mengenai jumlah pampasan yang dituntut, Lim berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk menentukkannya.

"Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan,” katanya kepada wartawan.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/152617

MB: Hadir tak bermakna rela

MB: Hadir tak bermakna rela
Jimadie Shah Othman
Jan 6, 11
11:05am

Kehadiran menteri besar dan seluruh exco kerajaan Selangor ke majlis angkat sumpah Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) yang baru tidak bermakna tindakan itu direlakan, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.

NONE"Memandangkan hari ini juga ditetapkan untuk majlis angkat sumpah Datuk Khusrin, kami ingin menegaskab kehadiran kami tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA(Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) terhadap pentadbiran kami.

"Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan SUK belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," katanya dalam kenyataan bertulis kepada media yang diedarkan di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

Katanya, kerajaan negeri juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

“Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai,” katanya.

Menurut Khalid, kerajaan negeri Selangor juga kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam isu tersebut.

“Media perdana pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

NONE“Justeru, kehadiran seluruh exco kerajaan negeri hari ini di dalam majlis penuh istiadat iaitu Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) Darjah kelas Pertama kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor - sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor,” katanya.

Menurut Khalid oleh kerana hari ini juga ditetapkan untuk majlis angkat sumpah Khusrin, kehadiran beliau dan anggota exco tidak bermakna mereka rela dengan tindakan arbitrasi SPA.

NONE“Kita juga telah memberi maklum kepada Sultan bahawa pentadbiran kerajaan negeri akan mengadakan sidang dewan negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.,” katanya.

Khalid berkata tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh mereka menderhaka dengan sultan.

“Sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan,” akhiri kenyataan media itu.

http://malaysiakini.com/news/152576

PKR: Penafian Rais, mengapa tiada siasatan?

Jan 6, 11 1:54pm

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak bertindak atau menyiasat penafian Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berhubung kes rogol amah, lapor TV Selangor.

NONE"Sebagai respon kepada penafian Rais Yatim terhadap isu ini, saya mempersoalkan tindakan Rais yang seolah-olah cuba menyalahkan pihak Pakatan Rakyat, bloggers dan media bahawa kononnya insiden ini ialah ciptaan permainan politik berkepentingan.

“Wanita Keadilan menganggap ini sebagai satu tuduhan keras dan Rais patut segera memohon maaf," kata Zuraida (kiri) dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut Ketua Wanita PKR, Rais dan kabinet Umno-BN bersikap sambil lewa dan berbaur politik dengan mengabaikan siasatan kes sejak beberapa tahun dahulu sebelum disensasikan semula oleh internet.

Semalam Rais buat pertama kali sejak kes ini didedahkan Wikileaks dan laman web beberapa minggu lalu menafikan beliau terlibat dalam kes rogol seorang amah berbangsa Indonesia tiga tahun lalu.

rais yatim and umnoPada hari yang sama juga, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pimpinan Badrul Hisham Shaharin membuat laporan polis menggesa siasatan dilakukan.

Zuraida turut mempersoalkan kelesuan, dan tindakan dari Menteri Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat Datuk Shahrizat Abdul Jalil walaupun Malaysia menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw).

Oleh itu adalah perlu bagi Shahrizat mengambil serius mengenai kes mendiskrimasikan wanita di peringkat tertinggi ini.

NONE"Setakat ini belum lagi dengar dari pihak Shahrizat walaupun telah tandatangani Cedaw.

"Atas dasar itu, Kementerian Wanita menampakkan kelesuan ini bila kali pertama mereka begini.. ini menunjukkan mereka tidak tegas dan tiada 'political will' dan sering terbengkalai setengah jalan," katanya.

Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang menambah beliau akan mengajukan hal ini ke Parlimen untuk disiasat Kaukus Pekerja asing dan Imigran di bawah ahli parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau juga telah berhubung dengan NGO Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta yang sebelum ini telahpun menemuramah dan mendapatkan pengakuan dari amah tersebut.

http://malaysiakini.com/news/152603

Rais Yatim nafi tuduhan perkosa amah Indonesia

Rais Yatim nafi tuduhan perkosa amah Indonesia
Jan 5, 11 3:40pm

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim hari ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

"Saya menafikan sebarang dakwaan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

rais yatim pc 020709 01Katanya, "tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya, susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Menurut Rais, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."

"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan dakwaan salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek,
berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.

Rais berkata, perkara berkenaan adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.

Tambah ahli parlimen Jelebu itu, laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lalu susulan pendedahan blogger itu adalah bukti bahawa dakwaan tersebut bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan.

"Dakwaan pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks." katanya.

http://malaysiakini.com/news/152496

Kronologi surat mengenai pelantikan SUK S'gor

Jan 6, 11 12:52pm

Berikut adalah kronologi perutusan surat mengenai isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di antara Jabatan Perkhidmatan Awam, SUK, Menteri Besar dan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor.


3 Disember 2010

Surat rujukan JPA(S) 328/2/1-1 Klt.22/(73) dari JPA mencadangkan tiga (3) nama untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru kepada Datuk Ramli Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


3 Disember 2010


Surat rujukan IPK.Sel.(S)1095/6 Jld. 44 dari SUK Selangor memanjangkan tiga (3) calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor kepada Datuk Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.


10 Disember 2010


Surat rujukan (37)dlm.Pej.DYMM.Sul.Sel.M/3/301.Jld.19 dari Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor menyatakan perkenan Tuanku mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kepada Datuk Ramli Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


17 Disember 2010


Datuk Menteri Besar Selangor mengutus surat kepada DYMM Sultan Selangor mengesyorkan tiga (3) nama untuk calon Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


21 Disember 2010


Surat rujukan (65)dlm.Pej.DYMM.Sul.Sel.M/3/01.Jld.19 dari Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor menyampaikan satu (1) salinan surat kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, iaitu surat rujukan (37)dlm.Pej.DYMM.Sul.Sel.M/3/01.Jld.19 bertarikh 10 Disember 2010, mengenai perkenan DYMM Sultan Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.


27 Disember 2010

Ketua Setiausaha Negara mengumumkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di dalam akhbar-akhbar tempatan.


27 Disember 2010

YAB Datuk Menteri Besar Selangor mengutus surat kepada DYMM Sultan Selangor mohon mengadap bagi membincangkan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

(DYMM Sultan Selangor sedang bercuti dalam tempoh ini dan kembali bertugas pada 3 Januari 2011).

http://malaysiakini.com/news/152594

KSN pertahan pelantikan Khusrin

Jan 5, 11 7:57pm

Dalam satu kenyataan 10 perenggan hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan menjelaskan proses pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri (SUK) yang baru.

mohamad sidek hassan chief secretary of governmentMenurutnya, kerajaan Selangor telahpun dirunding berhubung pelantikan Khusrin itu melalui SUK terdahulu Datuk Ramli Mahmud.

Katanya, rundingan itu dijalankan secara "profesional" dan hanya melibatkan beliau sebagai pengerusi Lembaga Kenaikan Pangkat dan juga Ramli.

Menurut Mohd Sidek, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam melalui surat bertarikh 23 November 2010 kepada Ramli memaklumkan bahawa KSN dan JPA telah mengenalpasti dan memperakukan tiga calon untuk dipertimbangkan sebagai calon SUK yang baru.

"Salah seorang daripada tiga calon itu adalah Datuk Mohd Khusrin Munawi," katanya sambil menambah cadangan mereka dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman, sifat-sifat peribadi dan faktor kesesuaian.

Surat tersebut juga, katanya, juga memohon supaya nama mereka dirujuk untuk pertimbangan dan persetujuan Kerajaan Selangor.

Beliau berkata, JPA melalui surat bertarikh 3 Disember 2010 kepada SUK ketika itu sekali lagi memperakukan tiga calon yang sama untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan SUK yang baru.

Surat tersebut juga, katanya, memohon mendapatkan perkenan Sultan Selangor yang menurutnya sebagai sebagai satu amalan.

"SUK Selangor ketika itu, melalui surat bertarikh 13 Disember 2010, kepada JPA telah memaklumkan bahawa nama tiga calon itu telahpun dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan Baginda telah perkenan supaya Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik sebagai SUK yang baru," tegasnya lagi.

Mohd Sidek juga menegaskan bahawa Perlembagaan Negeri Selangor tidak menetapkan syarat untuk Sultan Selangor meluluskan suatu pelantikan SUK negeri.

NONEOleh itu, katanya, perkenan oleh Sultan Selangor dalam pelantikan Khusrin bukanlah sesuatu keperluan undang-undang di bawah perlembagaan negeri, tetapi ia lebih kepada suatu kelaziman dan sembah takzim.

Di samping itu, tambahnya, Perkara LII, Perlembagaan Negeri Selangor 1959 tidak menyatakan sebarang keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor dirundingi sebelum sesuatu pelantikan SUK dibuat.

Oleh itu, tegas Mohd Sidek, ketiadaan rundingan dalam melantik SUK Selangor tidak menjejaskan pelantikannya.

"Namun begitu mengikut amalan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai urus setia Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam mengemukakan cadangan nama-nama kepada kerajaan negeri yang berkenaan melalui Setiausaha Negeri sebagai courtesy," tegasnya.

Berikut adalah kenyataan penuh KSN:

Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah diperuntukkan dalam Pelembagaan Negeri Selangor 1959 dalam Perkara LII (1) yang menyatakan bahawa:

“Lll. There shall be constituted the offices of State Secretary, State Legal Adviser and State Financial Officer; and the appointments there to shall be made by the appropriate Service Commission from amongst the members of any of the relevant public services”.

Berdasarkan Perkara LII Perlembagaan Negeri Selangor, perkataan 'appropriate Service Commission' adalah merujuk kepada Suruhanjaya Pelantikan yang membuat pelantikan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada pegawai-pegawai awam Persekutuan daripada Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan Suruhanjaya Pelantikan mereka adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana Perkhidmatan PTD itu adalah terjatuh di bawah perkara 132(2)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu 'the general public service of the federation'. Perkara ini dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan.

Fasal 5(B)(i) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa:

'Walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135 dan Perkara 139 dan Perkara 141A, semua kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Suruhanjaya Pendidikan yang ditubuhkan di bawah Perkara 139 dan 141A, selain kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, boleh dijalankan oleh suatu lembaga yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.” Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong telah membuat peraturan yang dinamakan sebagai Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 2010 [P.U.(A)75/2010] bagi menjalankan kuasa SPA khusus berkaitan dengan pemangkuan dan kenaikan pangkat pegawai awam Persekutuan. Oleh itu, penempatan Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah dibuat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang saya selaku Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan, sebagai suatu kuasa yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan merupakan 'appropriate Service Commision' menurut Perkara LII (1) Perlembagaan Negeri Selangor. Kenyataan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat dari segi undang-undang.

Perlembagaan Negeri Selangor tidak menetapkan syarat untuk Sultan Selangor meluluskan suatu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Oleh itu perkenan oleh Sultan Selangor dalam pelantikan Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi bukanlah sesuatu legal requirement di bawah Perlembagaan Negeri Selangor tetapi ia lebih kepada suatu kelaziman dan courtesy untuk Sultan memperkenankan sesuatu cadangan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang akan menjadi ketua pentadbir di negeri Baginda. Dalam proses itu, jika mana-mana nama, jika ada yang dipersembahkan untuk pertimbangan Sultan Selangor adalah juga sebagai suatu kelaziman dan courtesy sahaja. Apa yang sah dari segi undang-undang ialah pelantikan yang dibuat oleh 'appropiate Service Commission' atau oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa SPA seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 144(5B)(i) dan [P.U.(A)75/2010]. Oleh itu, pelantikan Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi sebagai SUK Selangor adalah teratur dan sah dari segi undang-undang.

Di samping itu, Perkara LII, Perlembagaan Negeri Selangor 1959 tidak menyatakan sebarang keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor dirundingi sebelum sesuatu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat. Oleh itu, ketiadaan rundingan dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Selangor tidak menjejaskan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu. Namun begitu mengikut amalan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai urus setia Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam mengemukakan cadangan nama-nama kepada kerajaan negeri yang berkenaan melalui Y.B. Setiausaha Negeri sebagai courtesy.

Misalnya Y.Bhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam melalui surat bertarikh 23 November 2010 kepada Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Selangor ketika itu telah memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha Negara dan JPA telah mengenal pasti dan memperakukan 3 orang calon untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru. Salah seorang daripada 3 orang calon itu adalah Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi. Cadangan 3 orang calon yang dikemukakan itu adalah berdasarkan kelayakan, pengalaman, sifat-sifat peribadi dan faktor kesesuaian.

Ketiga-tiga calon itu diyakini akan dapat menjalankan tugasan dan tanggungjawab dengan berkesan dan berwibawa serta berintegriti sekiranya dipilih untuk menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Surat bertarikh 23 November 2010 (Lampiran A) juga seterusnya memohon supaya nama 3 orang calon itu dirujuk untuk pertimbangan dan persetujuan Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya JPA melalui surat bertarikh 3 Disember 2010 (Lampiran B) kepada Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu sekali lagi memperakukan 3 orang calon yang sama untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Surat tersebut juga memohon mendapatkan perkenan Sultan Selangor (sebagai amalan). Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu melalui surat bertarikh 13 Disember 2010 (Lampiran C) kepada JPA telah memaklumkan bahawa nama 3 orang calon itu telahpun dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan Baginda telah perkenan supaya Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Dalam proses pelantikan ini saya tidak mengambil input politik dalam urusan pelantikan tersebut dan tidak merujuk kepada mana-mana Anggota Pentadbiran Persekutuan termasuk YAB Perdana Menteri. Urusan tersebut dilaksanakan secara profesional yang hanya melibatkan Ketua Setiausaha Negara (dan Lembaga Kenaikan Pangkat) dengan Kerajaan Negeri Selangor. Pelantikan Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor adalah mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 2010 serta amalan, di mana terdapat elemen konsultasi dengan Kerajaan Kerajaan Selangor melalui YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Proses konsultasi ini dilaksanakan dalam proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi negeri-negeri lain yang berkaitan sama ada negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional ataupun yang tidak ditadbir oleh
Barisan Nasional termasuk pelantikan Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


Tidak timbul isu penolakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana pelantikan Y.Bhg. Datuk Mohd Khusrin bin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri bukan merupakan pelantikan oleh kerajaan Persekutuan tetapi dibuat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturana Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 2010 [P.U.(A) 75/2010].

Dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai Persekutuan di peringkat negeri, saya selaku Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Lembaga Kenaikan Pangkat yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak mengambil input politik dalam urusan pelantikan tersebut dan tidak merujuk kepada mana-mana Anggota Pentadbiran Persekutuan termasuk Y.A.B. Perdana Menteri. Urusan tersebut dilaksanakan secara profesional yang hanya melibatkan saya selaku Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Lembaga Kenaikan Pangkat dengan kerajaan negeri yang berkenaan melalui Setiausaha Kerajaan negeri berkenaan.

http://malaysiakini.com/news/152555

Minta solat hajat, kami dah tak larat - Dr Halimah

Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Jan: Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini.

"Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."


Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.


"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30204:minta-solat-hajat-kami-dah-tak-larat-dr-halimah&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

PAS dan DAP tidak mungkin pecah - Subky








Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Penulis veteran, Haji Subky Latif yakin hubungan PAS dan DAP tidak akan putus walaupun usaha ke arah itu sedang diusahakan oleh musuh kedua-duanya.

Katanya, hubungan baik PAS dan DAP yang diasaskan oleh bekas pemangku Setiausaha Agung DAP, Mendiang Fan Yew Teng akan kekal selama-lamanya.

Subky berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis memperingati mendiang Fan Yew Teng di Dewan YMCA, Brickfield malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh DAP dengan penasihatnya, Lim Kit Siang menjadi tuanrumahnya. Kira-kira 250 tetamu dari pelbagai kalangan menyertai majlis malam tadi.

Turut serta isteri beliau, Dr Noeleen Hayzel dan pasangan kembar anak mereka Lilianne Fan dan Pauline Fan. Dr Noeleen adalah Penolong Setiausaha Agung dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangasa Bersatu (PBB) untuk Asia dan Pasific.

Fan Yew Teng yang juga kolumnis kolumnis Harakah, meninggal dunia pada 7 Disember lepas di Bangkok selepas menderita cancer tulang dan prostat.

Menurut Subky, jasa paling besar yang ditinggalkan oleh Fan Yew Teng adalah sebagai penghubung PAS dengan masyarakat Cina di negara ini.

"Ketika PAS takutkan Umno dan DAP takutkan MCA, Fan Yew Teng lah yang menghubungkan PAS dengan orang-orang Cina di negara ini.

"Hasilnya, PAS dan DAP kini tak mungkin dipecahkan lagi dan ia bermula dari mendiang Fan Yew Teng," kata Subky dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

AJK PAS Pusat, Muhamad Anuar Tahir yang turut berucap di majlis itu sebagai bekas Setiausaha Agung Abim memberitahu, Fan Yew Teng pernah menjadi kakitangan kontrak Abim di samping guru Bahasa Inggeris untuk ahli Abim.

(Gambar: Antara yang memenuhi dewan YMCA bagi memperingati Fan Yew Teng)

Mendiang juga pernah bersama-sama dengan beliau menggerakkan kempen anti Perancis apabila kerajaan negara itu mengharamkan pemakaian scaf untuk wanita Islam.

"Niat saya untuk membeli kereta jenis Citroen pada ketika itu terpaksa saya batalkan kerana kami sedang kempen anti Perancis dan apabila saya ditempelak oleh mendiang Fan.

"Hajat untuk memakai Citroen hanya dapat saya penuhi beberapa tahun kemudian...namun selepas kematian Fan, saya telah menjual kembali kereta itu kerana teringatkan beliau," cerita Anuar Tahir penuh imosi.

Seorang lagi bekas pemimpin Abim, Dr Mohamad Nor Manuty yang kini Ketua Penerangan PKR memberitahu, semasa beliau menjadi Presiden Abim, Fan Yew Teng dikenali sebagai Ustaz Fan.

"Bayangkan, apabila ada masa lapang di pejabat Abim, Fan ini sentiasa memenuhkannya dengan membaca al Quran dan terjemahannya.

"Semasa satu simposium tentang Profesor Dr Hamka di Indonesia, Fan turut membentangkan satu kertas kerja mengenai ulamak Islam tersohor ini. Saya diberitahu, kertas beliau antara yang terbaik mengenai Hamka," cerita Dr Mohamad Nor kepada para hadirin.

Ketika ditemui selepas majlis ini, Haji Subky memberitahu Harakahdaily, Fan Yew Teng dikatakan pernah diura-urakan mahu memeluk Islam.

"Saya melihat kalau tidak memeluk Islam pun, dia antara orang bukan Islam yang sangat kenal dan rapat dengan Islam," katanya lagi.

Di samping mereka, turut berucap di majlis itu adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, isterinya Dr Noeleen dan anaknya Lilianne serta adiknya Farn Seong Than di samping ramai lagi pemimpin politik dan NGO yang rapat dengan beliau.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30209:pas-dan-dap-tidak-mungkin-pecah-subky&catid=1:utama&Itemid=50

CAP bimbang minyak masak tidak cukup

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap pengeluar minyak masak bagi menangani masalah kekurangan bekalan itu yang semakin menular ke seluruh negara.

Walaupun menteri berkenaan memberikan jaminan kepada pengguna bahawa harga minyak masak tidak akan berubah pada waktu ini dan jaminan bekalan yang mencukupi tetapi ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Menurut Presidennya, SM Mohamed Idris, tindakan tegas terhadap pengeluar perlu diambil memandangkan terdapat mereka yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan.

"Sikap pengeluar yang lebih mementingkan keuntungan ini telah membebankan rakyat biasa yang terpaksa berdepan dengan ketiadaan bekalan minyak masak terutama sekali minyak masak yang dijual dalam bentuk paket kecil.

"Dalam perkara ini kerajaan perlu bertindak tegas dengan membatalkan dengan segera lesen pihak pengeluar yang melakukan kegiatan ini demi untuk memastikan jaminan keselamatan makanan negara terjamin," katanya.

Tinjauan yang dibuat di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Pulau Pinang juga ujarnya mendapati bekalan minyak masak terutama sekali di dalam bungkusan paket kecil tidak dapat diperolehi oleh pengguna.

"Isu bekalan minyak masak di dalam paket kecil sering menjadi masalah kerana pihak pengeluar tidak dapat menaikkan harganya kerana ia dikategorikan di bawah barangan kawalan harga.

"Kerajaan juga perlu menangani segera masalah ini kerana ia juga melibatkan jaminan keselamatan makanan negara yang amat penting sekali kerana ia merupakan keperluan asas bagi rakyat," tambahnya.

Jika bekalan minyak masak mencukupi di pasaran sudah tentu pengguna tidak akan melakukan pembelian panik akibat dicetuskan oleh kekurangan bekalan di pasaran dan kebimbangan akan berlakunya kenaikan harga.

Oleh itu kerajaan perlu memastikan keadaan bekalan sentiasa terkawal dan terjamin terutama sekali bekalan minyak masak dalam paket yang mampu dibeli dan menjadi keperluan utama golongan bawahan.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap kegiatan orang tengah yang sering memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan terutama sekali di peringkat ladang sehinggalah kepada pihak pengilang.

"Ini semua melibatkan masalah sistem pemasaran sedia ada yang perlu disemak semula oleh kerajaan terutama sekali dalam masalah yang melibatkan sistem pengedaran daripada peringkat pengeluar sehinggalah kepada pengguna.

"Kekurangan bekalan minyak masak ini tidak seharusnya berlaku di negara kita kerana Malaysia merupakan negara pengeluar dan pengeksport utama produk minyak sawit dunia," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30207:cap-bimbang-minyak-masak-tidak-cukup&catid=1:utama&Itemid=50

Harga minyak masak tidak akan naik?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Rakyat mungkin menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, namun setiap kali janji begitu keluar dari mulut pihak kerajaan, tidak berapa lama sesudah itu harganya akan naik seperti yang berlaku kepada harga minyak petrol.

“Adakah ianya akan berulang kepada harga minyak masak, kita tunggu dan lihat,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa harga bahan tersebut akan dinaikkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina kelak.

"Sehubungan itu, kepada pengguna yang panik membeli (minyak masak) secara banyak, cukuplah buat kerja itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Bagi Khalil, walaupun begitu krisis kekurangan minyak masak berlaku di negara ini, antara pengeluar utama minyak sawit dunia ini agak meruncing dengan mendapat liputan meluas media.

Katanya, sesetengah tempat harga siling yang ditetapkan RM2.50 iaitu harga kawalan yang sekarang telah mencecah RM3.50 sekilogram.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, ada alasan bahawa kenaikan itu adalah seiring dengan kenaikan harga kelapa sawit yang mencecah harga tertingginya sejak beberapa minggu lepas.

“Demikianlah pelbagai masalah yang membelit rakyat 1Malaysia dengan slogan rakyat didahulukan, setiap nafas yang disedut dan dihembuskan adalah wajah yang suram dengan tekanan hidup yang akan berterusan selagi BN memerintah Malaysia,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30202:harga-minyak-masak-tidak-akan-naik&catid=1:utama&Itemid=50

Kuin: MB Kedah janji beri kerjasama pada SPRM

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 6 Jan: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berjanji akan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan penyelewengan di dalam anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

Pemuda Barisan Nasional (BN) melalui ketuanya, Badrol Hisham Hashim telah membuat laporan kepada SPRM pada 3 Disember lalu yang mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Azizan dalam kenyataan akhbar berkata, beliau menyerahkan sepenuh keyakinan kepada SPRM dan turut berjanji tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti bersalah.

Beliau juga meminta pihak yang membuat laporan (pemuda BN) agar bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada SPRM serta bersedia untuk menyerahkan semua bukti bagi membantu siasatan.

Namun, Azizan juga mahukan SPRM bersedia untuk menafikan dakwaan atau mendedahkan hasil siasatannya jika tidak berlaku penyelewengan seperti laporan tersebut.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30200:kuin-mb-kedah-janji-beri-kerjasama-pada-sprm&catid=1:utama&Itemid=50

Minyak naik untuk bela korporat, rakyat melarat

Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON 97 sebanyak 10 sen bermula tengah malam tadi dilihat untuk membela korporat dengan membiarkan rakyat hidup semakin melarat.

Sehubungan itu, PAS merakamkan perasaan sedih yang menimpa kepada rakyat Malaysia kerana terpaksa membayar kos hidup yang mahal dengan kenaikan harga minyak RON 97 sebanyak sepuluh sen menjadikan sekarang harga RM2.40 sen seliter bermula tengah malam 4 Januari 2011.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelum pilihan raya kecil (PRK) Galas, minyak RON 97 naik 15 sen, selepas BN menang pilihanraya kecil RON 95 pula naik 5 sen.

Katanya, senario yang sama juga akan berlaku sebelum dan selepas PRK Tenang pada 30 Januari 2011 jika BN menang.

Menurutnyas, menjadi kelaziman biasa, ketika minyak naik kerajaan memberi alasan untuk mengurangkan subsidi petrol untuk 27 juta rakyat sebanyak RM11 bilion, tetapi untuk penjana bebas (IPP) milik kroni tidak dikurangkan subsidi sebanyak RM19 bilion.

Rakyat Malaysia, ujarnya tidak dengar sepatah perkataan daripada pemimpin yang kononnya rakyat didahulukan akan menarik balik subsidi untuk IPP.

“Apa yang kita kedengaran ialah subsidi untuk rakyat ditarik setiap bulan dengan kenaikan harga minyak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, kerajaan yang ada tidak pernah memikirkan penderitaan dan keperitan rakyat sehingga berkerut dahi membayar yuran sekolah anak di awal pengajian.

Baginya, belum sempat bernafas, datang pula berita kenaikan harga minyak RON 97.

“Layaklah singkatan BN, ialah barang naik, bila naik baru naik, berapa naik, banyak naik dan BN - Bala Nanti,” ujarnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30198:minyak-naik-untuk-bela-korporat-rakyat-melarat&catid=1:utama&Itemid=50

Kes Teoh: Inkues putuskan 'open verdict'

Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 5 Jan: Koroner Azmil Muntapha Abas yang membacakan keputusan kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak dapat memutuskan samaada mendiang dibunuh atau membunuh diri, justeru mengumumkan kes tersebut "open Verdict".

Azmil ketika membuat penghakiman terbuka tersebut berkata masih ada isu-isu yang belum diselesaikan pada kes bunuh diri dan menegaskan bahawa untuk menentukannya secara telahan adalah tidak boleh diterima.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Ekoran itu juga, ahli keluarga mendiang menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi mendapatkan keadilan TBH.

Sebelum itu, suasana penuh sesak di tingkat dua, bangunan Mahkamah Majistret Shah Alam ekoran menunggu keputusan inkues kematian pembantu politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock.

Selain anggota keluarga Teoh dan peguam yang mewakili pelbagai pihak, turut kelihatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama barisan exco dan beberapa pemimpin pakatan rakyat.

Antaranya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua, Naib Presiden baru PKR, Nurul Izzah Anwar dan AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkely Ahmad.

Para petugas media dan orang ramai mula memenuhi perkarangan mahkamah sejak jam 1.45 petang tadi.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30193:kes-teoh-inkues-putuskan-open-verdict-&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...