Showing posts with label MyKad dan Passport. Show all posts
Showing posts with label MyKad dan Passport. Show all posts

Friday, August 5, 2011

Tukar warganegara: Penjelasan JPN meragukan

Nazri Abdullah KUALA LUMPUR, 4 Ogos: PAS mempersoalkan kenapa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil masa sehingga 7 bulan mengemaskini data barunya yang melibatkan pertukaran status penduduk tetap kepada warga negara.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, adalah sangat mencurigakan apabila begitu lama masa diambil JPN mengemaskini datanya apatah lagi berlaku sekaligus terhadap ribuan penduduk tetap semalam

"Macamana sudah 7 bulan, sistem baru update. Bukan satu pulak tu, beribu data sekaligus.

"Tak kan semua datang ambik kad sama-sama pada satu masa. Ini sesuatu yang meragukan," katanya yang juga Pengerusi Pemulihan dan Mobilisasi Pemuda PAS.

Beliau mempersoal demikian sebagai membidas penjelasan Ketua pengarah JPN, Datin Jariah Mohd Said berhubung pendedahan pertukaran status individu bernama Mismah, daripada penduduk tetap kepada warganegara hanya dalam masa empat jam.

Jariah dalam kenyataannya semalam berkata, Mismah sebenarnya telah mendapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982 dan telah diluluskan taraf kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011.

Namun yang mengejutkan banyak pihak semalam apabila Mismah yang dikesan berstatus penduduk tetap dalam senarai JPN didaftar sebagai pengundi di Ijok.

Selepas Malaysiakini melaporkan isu tersebut pada pagi semalam, semakan sebelah petang ke atas nama Mismah menunjukkan status beliau sudah bertukar menjadi warganegara.

"Ini yang kita ragui dengan penggunaan sistem biometrik. Data JPN tidak diupdate dan SPR terima bulat-bulat," kata Suhaizan lagi.

Sehubungan itu juga Dewan Pemuda PAS mahu mana-mana individu yang mengenali Mismah yang bernombor kad pengenalan 640704715238 dan mengudi di Dun Ijok, agar dapat menghubungi mereka.

Kediaman Mismah beralamat di No 12A, Desa Coalfields, Tuan Mee, ijok, Kuala Selangor.

Selain Mismah, 52 lagi kes serupa di kesan oleh PAS Titiwangsa.

Mereka pagi semalam mahu menyerahkan memorandum kepada JPN ekoran mendapati 52 penduduk tetap didaftar sebagai pengundi.

Ketika sampai ke JPN, kesemua nama yang dilampirkan itu bagaimanapun telah bertukar status menjadi warganegara.

Selain kes itu, PAS juga mendedahkan 1,597 lagi pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di laman web JPN sebagai penduduk tetap.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4723-tukar-warganegara-penjelasan-jpn-meragukan

Wednesday, August 3, 2011

Suruhanjaya perlu siasat Pagi MyPR petang MyKad?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.

Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.

Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.

"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :

Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.


(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)

Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai “Sedang Dalam Pameran Rang” seperti di bawah :

Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.

Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.

(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)

"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada “server” JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.

"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4675-suruhanjaya-perlu-siasat-pagi-mypr-petang-mykad

Wednesday, July 27, 2011

IC klon ancam keselamatan negara

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan terdapat rakyat negara ini yang mempunyai dua kad pengenalan berbeza.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut serta, penolong setiausaha, Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Pilihan Raya, Mohd Sany Hamzan dan Exco, Suhaizan Kaiat.

Pada sidang media selepas itu, Khairul Faizi memberitahu kewujudan dua kad pengenalan pada seorang individu itu bukan sahaja akan membolehkan individu tersebut mengundi dua kali, malah boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita nak polis buat siasatan benar atau tidak, berlaku pemberian dua kad pengenalan kepada seorang individu.

"Sekiranya benar berlaku kita nak pihak polis ambil tindakan kepada pegawai JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) ke yang terlibat melakukan penyelewengan ini," katanya.

Laporan polis itu adalah merujuk kepada dua kes yang berlaku melibatkan individu bernama Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam yang disemak melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mariam memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 720616025472 dan 720610025738, tetapi mempunyai no kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510.

Sehubungan itu beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling.

Dua nombor kad pengenalan baru Murugan pula adalah 731002025877 dan 731002025201 yang juga mempunyai dua kali hak mengundi.

Kes tersebut dedahkan Suhaizan dan mendapat respon daripada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar seperti disiar oleh akhbar The Star bertarikh 24 Julai 2011 dengan tajuk EC: Help us purge 'clones' from electoral roll.

Wan Ahmad antara lain menyatakan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR dan meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Suhaizan dalam pada itu berkata, beliau yakin kes itu berlaku akibat kecuaian JPN itu sendiri yang telah mengeluarkan dua kad pengenalan baru daripada satu kad pengenalan lama.

Akibat dari itu katanya, SPR menerima data yang salah dari JPN sekaligus membenarkan seorang pemilih mempunyai hak mengundi lebih daripada sekali.

"Sebab itu saya kata pilihan raya di Malaysia ini ruang manipulasi terlalu banyak dan ianya mudah digunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Biometrik tak atasi undi lebih sekali

Mengulas penggunaan sistem biometrik oleh SPR pada pilihan raya akan datang, Suhaizan dengan tegas berkata ianya tidak praktikal buat masa ini.

Ia kerana memerlukan SPR membersihkan pengkalan data terlebih dahulu agar tidak diragui sebelum dilaksanakan.

Ianya juga perlu kepada pengkala data sepusat agar semua tempat mengundi boleh mengakses pengkalan data pusat untuk mengesan sebarang pertindihan.

Sekiranya tiada pengkalan data sepusat, ianya akan mendedahkan kepada manipulasi pihak tertentu.

"Macam Mariam Binti Su, dia ada dua kad pengenalan. Maknanya dia boleh mengundi di dua tempat, dan melalui biometrik, Mariam Binti Su ini boleh mengundi di kedua dua tempat itu kerana mempunyai kad pengenalan yang sah," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4559-ic-klon-ancam-keselamatan-negara

Monday, March 28, 2011

Tidak perlu lapor polis jika hilang MyKad

PUCHONG - Jika sebelum ini orang ramai yang kehilangan MyKad atau pasport perlu membuat laporan polis namun kini mereka tidak perlu berbuat demikian.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, mereka yang kehilangan kedua-dua dokumen itu hanya perlu ke Jabatan Imigresen atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan baru mulai 1 Mac lalu.

"Mengikut rekod sebanyak empat juta laporan polis telah dibuat sehingga hari ini.

"Kita tidak mahu lagi menyusahkan pihak polis dan mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban mereka," katanya selepas Majlis Penyerahan Pangkat Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sini semalam.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Saturday, March 5, 2011

JPN disaman kerana nombor MyKad bertindih

JPN disaman kerana nombor MyKad bertindih
Regina Lee & Hafiz Yatim
Mac 3, 11
1:37pm

Mendapatkan kad pengenalan adalah hak setiap rakyat Malaysian di negara ini.

Namun bagi pemandu teksi Mohammad Daud Salleh, 42, ia adalah permulaan mimpi ngerinya, apabila beberapa tahun lalu mendapati seseorang lain juga telah diberikan nombor pengenalan yang sama oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perkara itu diketahuinya pada 2005, ketika cuba menggantikan kad pengenalan plastiknya dengan MyKad yang mempunyai cip.

Bermula detik itu, beliau terpaksa berulang-kali ke ibu pejabat JPN di Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut itu dan akhirnya diberikan kad yang baru.

Namun mimpi negerinya tidak berakhir selepas itu.

Pada 2007, beliau diberikan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan yang dialamatkan ke rumahnya di Gombak. Alasan mereka, Mohammad Daud 'didapati' memandu laju dengan kereta yang bernombor pendaftaran WLY3910 - kereta yang didakwa tidak dimilikinya.


Beliau kemudian mengambil keputusan menjalankan 'siasatan' sendiri dengan berkunjung ke Bank Negara dan Public Bank untuk menyemak staus pinjaman kereta berkenaan dan memaklumkan bahawa beliau tidak pernah meminjam ataupun memiliki kereta tersebut.

Beliau juga berkunjung ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya dan terkejut apabila ditunjukkan salinan MyKad yang tertera nombor yang sama dengan yang dimilikinya tetapi dengan gambar serta alamat yang berlainan.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/157578

Friday, December 10, 2010

Muflis hilang MyKad

KANGAR: Gara-gara kehilangan MyKad tujuh tahun lalu, seorang kakitangan sebuah syarikat pengeluar minuman tempatan, di sini, bukan saja diisytiharkan muflis, malah turut menanggung beban hutang hampir RM200,000.

Mangsa, Syed Idris Syed Agil Alhabshi, 53, berkata, identitinya digunakan secara haram oleh individu tidak dikenali untuk membeli sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero pada 2007 yang kemudian dilelong pihak bank berikutan gagal menjelaskan ansuran bulanan.


Selain hutang ansuran tertunggak kenderaan itu, dia yang berasal dari Arau, dekat sini, turut menanggung hutang bil telefon dengan sebuah syarikat telekomunikasi mencecah RM2,000 selepas identitinya digunakan untuk mendaftar talian berkenaan.

Menurutnya, dia hanya menyedari beban ditanggungnya itu selepas menerima surat tuntutan pinjaman daripada peguam dilantik pihak bank pada 28 September 2007, menyatakan Mitsubishi Pajero miliknya sudah dilelong.


“Selepas lelongan itu, saya perlu menjelaskan baki ansuran pinjaman mencecah RM187,000,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, institusi kewangan terbabit turut memaklumkan namanya sudah disenarai hitam berikutan tunggakan pinjaman untuk membeli kenderaan berkenaan.

Selain itu, menurutnya, dia turut menerima surat tuntutan hutang bagi bil telefon bernilai RM1,831 yang tidak pernah digunakannya berikutan individu tidak bertanggungjawab menggunakan MyKad miliknya untuk mendaftar talian berkenaan.


“Terkejut dengan perkara itu, saya terus membuat laporan polis selepas mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kehilangan MyKad saya pada 2003.

“Kini, akibat beban hutang berkenaan saya diisytihar muflis atas pinjaman yang tidak pernah dibuat sekali gus berdepan kesulitan membuat pinjaman lain termasuk menjadi penjamin bagi membeli kereta baru anak saya,” katanya.


Katanya, dia sudah menghubungi bank terbabit termasuk wakil syarikat telekomunikasi berkenaan memaklumkan perkara itu, namun hingga kini dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.


“Saya sendiri bingung kerana kedua-dua pihak itu mengakui kesilapan dan berjanji menyelesaikannya. Bagaimanapun, hingga sekarang, saya masih lagi disenarai hitam akibat hutang pinjaman berkenaan,” katanya.


Menurutnya, dia berharap pegawai bank terbabit lebih prihatin untuk menyelesaikan masalahnya dan semua maklumat termasuk surat pembatalan tuntutan serta laporan polis berhubung kehilangan MyKad sudah diserahkan sejak beberapa tahun lalu.

Tuesday, December 7, 2010

'Saya dah buntu'

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Sudah hampir lima tahun saya naik turun macam-macam jabatan dan jumpa macam-macam orang atasan untuk selesaikan kes ni. Kes tak juga selesai malah saya dihimpit macam-macam masalah.

“Saya sudah penat dan tak tahu nak buat apa lagi,” kata, Zilah Mahmood, 33, yang mendakwa identitinya dipergunakan pihak tertentu untuk tujuan pembelian dua kenderaan.


Katanya, namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sejak lebih tujuh tahun lalu bagi pembelian kereta Kia Spectra dan Proton Wira di dua institusi perbankan terkemuka di negara ini namun hanya disedarinya kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila dirinya diisytiharkan muflis oleh institusi perbankan terbabit yang mendakwa dirinya gagal melunaskan hutang pinjaman pembelian kereta Proton Wira berjumlah hampir RM40,000.


“Semuanya bermula pada 2006 apabila tiba-tiba saya dapat surat kompaun letak kereta dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu.


“Nama tertera pada surat itu memang nama saya tapi masalahnya kereta Kia Spectra itu bukan saya punya. Saya bukan setakat tak ada kereta, lesen kereta pun tak ada pada masa itu malah tak tahu memandu pun.

“Dari situ saya mula tahu ada orang gunakan nama saya dan saya sudah pergi ke macam-macam jabatan dan biro untuk mengesan siapa dalang di sebalik semua ini tetapi semua pihak seakan-akan tidak mahu membantu,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Zilah berkata, ketika dia sedang berusaha mendapatkan bantuan guaman untuk menyelesaikan kes berkenaan, bank terbabit tiba-tiba menghantar surat meminta dia menjelaskan hutang pinjaman kereta Kia Spectra terbabit bernilai kira-kira RM70,000 atau dia akan diisytiharkan muflis.

Katanya, sejurus kemudian, dia pergi ke Bank Negara untuk memeriksa status muflisnya selain meminta pihak Bank Negara mengambil tindakan terhadap bank terbabit.


“Alangkah terkejutnya saya apabila saya dimaklumkan saya sudah pun dimufliskan oleh sebuah bank lain, bukan bank yang sedang saya selesaikan kesnya. “Saya pun segera ke bank yang dimaksudkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dan sekali lagi nama saya digunakan oleh pihak tertentu untuk pembelian kereta jenis Proton Wira.


“Mana mungkin saya mampu memiliki dua kereta pada satu masa sedangkan gaji saya pun tidak sampai RM1,000 sebulan. Saya pun pelik macam mana dua bank ini boleh meluluskan pinjaman kenderaan sedangkan saya tuan punya badan tak tahu apa-apa malah tandatangan yang ada dalam dokumen perjanjian juga bukan kepunyaan saya. “Saya harap masalah ini dapat segera diselesaikan dan pihak bertanggungjawab tolonglah ambil tindakan. Saya mahu pihak bersalah dihadap ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.


Segala prosedur sudah dilakukan bagi membersihkan namanya daripada pengisytiharan muflis malah laporan polis juga dilakukannya hampir 10 kali sepanjang lima tahun ini namun layanan diterima daripada pihak berkaitan amat menyedihkan.


Zilah ketika ditemui turut memberitahu dia pernah kehilangan kad pengenalan pada 2001 yang mungkin salah satu faktor namanya digunakan bagi pinjaman kenderaan terbabit.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes itu selesai.


Penyebab itu berdasarkan maklumat pihak bank yang memberitahu penjamin bagi pembelian kereta jenis Kia Spectra juga pernah mengadu dia tidak pernah menjamin kenderaan terbabit serta pernah kehilangan kad pengenalan.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes berkenaan selesai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadahbuntu/Article/index_html

Wednesday, October 6, 2010

Terkejut diminta bayar hutang

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak yang menetap di luar negara dan pulang bercuti menjenguk keluarganya awal bulan lalu terkejut apabila diminta menjelaskan hutang sewa sebuah premis sebanyak RM3,600 yang kononnya tertunggak selama empat bulan daripada seorang wanita.

Bukan itu saja, lelaki terbabit, Chia Meng Kean, 32, turut menerima surat amaran dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memintanya menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM2,312.37 bagi bayaran bil elektrik premis wanita terbabit di Senawang, Negeri Sembilan.

“Selama 10 tahun saya menjadi tukang masak di restoran Jepun di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, England, Australia dan Singapura. Jarang sekali pulang ke tanah air kerana kesibukan bekerja.

“Namun, percutian saya selama dua bulan untuk melawat isteri dan anak-anak dikejutkan dengan hutang piutang yang saya sendiri tidak tahu, menyebabkan masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini,”
katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang kini menjadi tukang masak di sebuah hotel di Kepulauan Bermuda mengetahui mengenai hutang piutangnya apabila menerima surat perjanjian sewa dari pemilik premis itu yang dialamatkan ke kediaman di Cheras, di sini.

“Saya kemudian bersemuka dengan pemilik premis itu namun mereka mendakwa segala urusan penyewaan dilakukan menerusi ejen hartanah. Premis itu rupa-rupanya dijadikan kafe siber sejak setahun lalu.

“Ejen hartanah yang ditemui pula gagal mengecam wajah saya namun berkeras memberitahu dia membuat salinan kad pengenalan asal bagi surat perjanjian dan menafikan berlakunya penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sepanjang tahun ini pihaknya menerima 26 aduan daripada mangsa yang mendakwa kad pengenalan mereka disalahgunakan membabitkan kerugian sebanyak RM1.88 juta.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terkejutdimintabayarhutang/Article

Monday, July 26, 2010

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain

2010/07/26

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.


“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.


“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.


Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.


“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.


“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,”
katanya.


“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PengawaltidakbolehpegangMyKadoranglain/Article

Friday, June 25, 2010

Sijil lahir bukan makna rakyat Malaysia

2010/06/25

KUALA TERENGGANU: Mempunyai sijil kelahiran tidak bermakna seseorang individu itu secara automatik mendapat kewarganegaraan Malaysia kerana ia dikeluarkan kepada semua individu yang lahir di negara ini.

Bagaimanapun, bagi warga asing mereka perlu membuat rujukan kewarganegaraan anak dilahirkan itu di negara asal.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang pemuda, Mohamad Firdaus Othman, 20, buntu apabila usahanya mendapatkan MyKad tidak berhasil meskipun mempunyai sijil kelahiran negara ini.


Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Abu Bakar A Rahman berkata, setiap kelahiran bayi di negara ini diberikan sijil kelahiran sebagai tanda kelahiran itu berlaku di negara ini.


Merujuk kepada kes Firdaus yang kedua-dua ibu bapanya warga Thailand, Abu Bakar berkata, dia tidak layak mendapatkan MyKad kerana ibu bapanya bukan rakyat negara ini.


Katanya, walaupun Firdaus dilahirkan di negara ini, itu tidak bermakna dia mendapat kewarganegaraan secara automatik, tetapi sekiranya salah seorang ibu atau bapanya warga tempatan, dia layak mendapat kewarganegaraan.


Beliau berkata, pemuda terbabit boleh memohon mendapatkan kewarganegaraan, tetapi perlu mengikut prosedur serta syarat yang ditetapkan perlembagaan negara.


“Remaja berkenaan a warga Thailand dan sepatutnya selepas kelahirannya 20 tahun lalu, keluarganya perlu ke negara asal membuat segala dokumen kewarganegaraan bagi mengelak kesulitan seperti dialami sekarang.


“Saya merasakan dia boleh merujuk semula kepada pihak berwajib negara asal ibu bapanya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SijillahirbukanmaknarakyatMalaysia/Article

Friday, June 19, 2009

IC hijau: Buktikan status ibu bapa


KERATAN Kosmo! semalam.


JOHOR BAHRU - Buktikan status ibu bapa terlebih dahulu.

Demikian tegas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor ketika mengulas dakwaan Azman Abdullah, 29, pemilik kad pengenalan hijau yang mengalami kesukaran terutama ketika berurusan dengan bank seperti yang dilaporkanKosmo! semalam.

Pegawai Pendaftaran Bahagian Kad Pengenalan, JPN Johor, Masam anak Makong berkata, Azman sewajarnya sedia maklum dengan kad pengenalan hijau tersebut gara-gara gagal mengesahkan status sama ada ibu atau bapa kandungnya dilahirkan di Malaysia.

"Itu sahaja hak dia (Azman). Selagi pengadu gagal menyediakan dokumen mengesahkan ibu atau bapa kandungnya dilahirkan di Malaysia, dia hanya layak diberikan kad pengenalan hijau walaupun memiliki sijil kelahiran di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! melaporkan rintihan Azman yang mempersoalkan status kad pengenalannya yang mempunyai tarikh luput pada tahun 2013.

Azman yang dipelihara oleh keluarga angkat sejak kecil mendakwa tidak mengetahui di mana ibu dan bapa kandungnya berada dan mula berdepan masalah itu setelah bapa angkatnya meninggal dunia empat tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Thursday, June 18, 2009

IC hijau sukarkan hidup


AZMAN menunjukkan sijil kelahiran dan kad pengenalan hijau yang menimbulkan masalah kepadanya di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Warganegara Malaysia bukan, Indonesia pun bukan.

Begitulah dilema yang dihadapi Azman Abdullah, 29, gara-gara memiliki kad pengenalan hijau yang mempunyai tarikh luput pada 2013 sekali gus menyukarkannya membuat segala urusan.

Azman yang merupakan seorang pendandan rambut berkata, dia hanya memperoleh kad pengenalan hijau tersebut sekitar Oktober tahun lalu walaupun memiliki sijil kelahiran.

Kad pengenalan itu pun katanya, hanya diperoleh selepas penat 'turun naik' ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor sejak empat tahun lalu.

"Lebih teruk saya diperlakukan seperti 'bola' apabila ditendang ke sana ke mari. Sudah bertahun saya dihantui masalah ini dan tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan.

"Pinjaman di beberapa bank juga ditolak gara-gara kad pengenalan," ceritanya di sini semalam.

Azman mendakwa, akibat masalah yang sama, dia terpaksa melupakan hajat untuk membuat pinjaman bagi membeli kereta dan rumah gara-gara status kad pengenalan hijau miliknya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Friday, May 22, 2009

Terima bil telefon ‘hantu’

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas hanya dua bulan MyKadnya hilang, seorang pelajar tersentak apabila menerima bil telefon ‘hantu’ berjumlah ribuan ringgit yang dihantar sebuah syarikat telekomunikasi secara berterusan sehingga kini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa didakwa menggunakan empat nombor telefon bimbit berbeza disediakan syarikat itu sejak sembilan bulan lalu walaupun tidak pernah mendaftar talian berkenaan.

Lim You Sun, 20, yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota mendakwa masalah itu bermula Oktober tahun lalu apabila dia menerima empat penyata bil telefon meminta melunaskan pembayaran talian yang digunakannya sepanjang bulan berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat semua penyata bil berlainan nombor berjumlah lebih RM3,000 itu didaftar menggunakan nama saya serta dipos ke kampung halaman di Melaka. 

“Perkara itu dianggap tidak munasabah kerana saya hanya menggunakan satu nombor telefon bimbit dan ia kemungkinan didalangi seseorang yang menggunakan MyKad saya untuk pendaftaran semua talian berkenaan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, dompet miliknya berisi MyKad dan dokumen lain hilang selepas pulang dari sebuah pasar malam di Cheras pada 30 Julai tahun lalu.

Kata Lim, dia cuba menghubungi semua nombor itu dan mendapati dua daripadanya sudah ditamatkan perkhidmatan. 

“Saya seterusnya pergi ke syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan perkara sebenar dan meminta membatalkan pembayaran bil telefon itu.

“Bagaimanapun, kakitangan syarikat itu seolah-olah tidak mengendahkan permintaan saya dan masih menghantar bil sehingga ke hari ini yang mencecah RM9,000,”
katanya yang turut membuat dua laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521054731/Article/index_html

Tuesday, April 7, 2009

Pasport, MyKad palsu RM200


Pasangan suami isteri rakyat asing yang ditahan 
kerana kegiatan membuat 
dokumen palsu.



Inilah pelbagai dokumen termasuk pasport palsu yang dirampas di sebuah apartmen di Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR - Satu pasport dan MyKad masing-masing boleh dibeli pada harga serendah RM200.

Itulah harga yang ditawarkan oleh pasangan suami isteri rakyat asing yang menjalankan kegiatan memalsukan pelbagai dokumen termasuk pasport dan MyKad di sebuah apartmen di Bukit Jalil di sini.

Kegiatan yang didakwa bermula sejak dua tahun lalu itu terbongkar selepas pihak imigresen yang melakukan intipan sejak sebulan lalu menyerbu tiga unit apartmen itu serentak pada pukul 11 pagi semalam.

Dalam serbuan tersebut, imigresen menahan pasangan suami isteri iaitu lelaki Bangladesh dan wanita Indonesia yang masing-masing berusia 39 dan 24 tahun.

Dua daripada rumah yang diserbu itu dijadikan pejabat yang digunakan oleh pasangan itu untuk menyimpan dan memproses pelbagai dokumen palsu.

Jurucakap imigresen berkata, ketika soal siasat suspek lelaki itu mendakwa dia dan pasangannya telah menjalankan kegiatan tersebut sejak dua tahun lalu.

Bersama-sama suspek itu, imigresen telah merampas ratusan buku pasport pelbagai negara, MyKad palsu serta kertas yang mempunyai kepala surat Jabatan Imigresen.

Turut dirampas ialah cop Jabatan Imigresen, komputer, mesin pencetak dan mesin memproses MyKad.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Tak pakai tapi kena bayar bil


NIK NOR WAHIDA terpaksa tanggung bil yang bukan miliknya.


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar, Nik Nor Wahida Nik Rahim, 22, terkejut menerima dua bil telefon pasca bayar yang tidak pernah digunakannya berjumlah lebih RM1,000.

Beliau yang menerima bil tersebut daripada sebuah syarikat telekomunikasi pertengahan bulan lalu mendapati, talian tersebut didaftarkan pada pertengahan bulan Disember tahun lalu atas namanya sedangkan beliau tidak pernah berbuat demikian.

Menurutnya, beliau mengesyaki talian telefon tersebut telah didaftarkan atas namanya oleh warga asing kerana MyKadnya sebelum ini hilang pada Disember tahun lalu.

"MyKad saya tercicir di sebuah tandas kompleks beli-belah pada awal Disember dan individu yang menjumpainya mungkin telah menggunakannya untuk mendaftar talian telefon itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...