Showing posts with label Boycott. Show all posts
Showing posts with label Boycott. Show all posts

Wednesday, January 14, 2009

Tindakan boikot barangan AS kena berhati-hati


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menyokong usaha memboikot barangan buatan Amerika Syarikat dialu-alukan tetapi perlu dilaksanakan berhati-hati.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pendekatan itu harus dilakukan dengan berhemah kerana jika tidak, boleh mendatangkan tindak balas negatif kepada negara.

Bagi memboikot sesuatu produk dari luar, khususnya Amerika Syarikat, harus dilaksanakan berhati-hati kerana kita mempunyai produk yang dieksport keluar.

“Kita harus menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan kita tapi dari segi memboikot sesuatu barangan kita perlu melihatnya satu persatu kerana langkah pemboikotan agak sukar dilakukan kerana banyak ahli perniagaan kita menjalankan perniagaan secara francais barangan Amerika Syarikat,”
katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Wangsa Tegap Sdn Bhd dengan The Ritz-Carlton Hotel Company LLC semalam.

Katanya, apa yang penting adalah perubahan sikap sendiri yang harus bersedia membeli barangan buatan tempatan dan tidak bergantung kepada barangan luar.

“Kita harus sedar kebanyakan perniagaan barangan francais dari Amerika Syarikat itu diuruskan sepenuhnya rakyat tempatan.

“Tindakan memboikot barangan tersebut secara langsung menjejaskan perniagaan mereka di samping memberi kesan pendapatan majoriti rakyat tempatan yang bekerja dengannya,”
kata Ong.

Beliau juga menekankan perlunya pendekatan stategik dalam menjayakan kempen tersebut dengan memberi keutamaan kepada penggunaan barangan tempatan, terutama pada sektor makanan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085805/Article/index_html

Friday, January 9, 2009

Jangan beli produk AS

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my

Dunia menentang keganasan ini, tetapi Amerika Syarikat tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.


--------------------------------------------------------------------------------

DI sebatang jalan, antara yang paling sibuk di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS), ratusan warga Palestin-Amerika berarak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai tanda bantahan pencerobohan tentera Israel ke atas Genting Gaza.

"Berhenti mengebom keluarga kami," jerit Inshirah Abusneineh di persimpangan Stevens Creek dan Winchester.

"Bebaskan Palestin! Bebaskan Palestin!" laung kumpulan tersebut.

Abusneineh, 34, dilahirkan di Baitulmaqdis dan datang ke AS ketika berusia empat tahun. Dalam tunjuk perasaan itu, beliau turut membawa empat orang anaknya menentang kezaliman Israel.

Adiknya, Khitam, 25, datang bersama dua orang anak kecil. Keluarga itu berdiri di hadapan kompleks beli-belah Valley Fair. Sesekali kereta bergerak laju dan sangat hampir dengan mereka.

"Kami masih mempunyai keluarga di Palestin. Kanak-kanak di sana dibunuh sedangkan mereka tidak berdosa," kata Abusneineh dalam nada sedih.

Lama-kelamaan bilangannya bertambah ramai disertai oleh generasi Pelestin-Amerika yang tinggal di Silicon Valley. Mereka terdiri daripada keluarga-keluarga muda yang menyorong kereta bayi, remaja, pelajar dan golongan profesional.

Seluruh warga dunia mengecam tindakan kejam Israel. Seperti biasa, dengan angkuh rejim zionis itu langsung tidak menghiraukan segala bantahan. Tunjuk perasaan berlaku di kebanyakan negara, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah banyak kali digesa agar mengusahakan gencatan senjata sesegera mungkin, sebelum lebih ramai kanak-kanak, wanita dan orang awam Palestin menjadi korban.



SEORANG lelaki memegang sepanduk dalam satu tunjuk perasaan di Anaheim, California, Amerrika Syarikat.
--------------------------------------------------------------------------------

Malangnya, setakat ini masih tidak ada penyelesaian konkrit dilaksanakan oleh mana-mana pihak. Israel terus mendabik dada dan bermegah kerana mendapat sokongan kuat daripada AS yang menjadi sekutunya.

Sokongan itu mendorong Israel terus galak membedil kawasan awam di Tebing Gaza.

Apatah lagi selepas negara Uncle Sam itu menolak resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

Awal minggu ini, Iran dan Bahrain menggesa negara-negara Islam menjadikan minyak sebagai senjata menamatkan perang. Brigadier Jeneral Mirfaysal Bagherzadeh dari unit tentera elit Iran menyatakan tidak mustahil Iran akan memulakan 'kempen' itu, biarpun tidak mendapat sokongan daripada pengeluar utama minyak seperti Arab Saudi.

"Minyak adalah faktor penekan penting kepada sekutu-sekutu Israel untuk menghentikan perang yang tidak adil ini," kata Bagherzadeh kepada agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Hasan Qashqavi berkata: "Kami menyokong apa juga tindakan yang dapat merealisasikan dua perkara iaitu pemberhentian pencerobohan secara serta-merta dan menamatkan kepungan ke atas Gaza."

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Politik, Sejarah dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menegaskan bahawa dunia menentang keganasan itu tetapi AS tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.



DUA orang kanak-kanak Palestin mengangkat beg sambil melintasi runtuhan bangunan akibat bedilan tentera Zionis.
--------------------------------------------------------------------------------

Rusia dan China mengambil keputusan keras membantah tindakan Amerika. Malangnya, kedua-dua negara itu terhutang budi dengan AS atas sokongan ekonomi yang disalurkannya.

Alternatif lain ialah negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bertindak keras dan agresif ke atas Israel. Dengan melancarkan perang, mungkin ada harapan situasi akan berubah.

Andainya negara-negara Arab hanya bersikap diplomatik, keadaan tidak akan ke mana kecuali ada unsur mereka bertindak secara kolektif. Namun, ia perlu melibatkan negara Arab yang besar seperti Mesir, Turki dan Arab Saudi.

Apa yang berlaku sememangnya satu jenayah perang yang amat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan dan sebagainya. Dunia boleh memulaukan apa-apa sahaja barangan dari Israel atau AS, tetapi inisiatif itu tidak praktikal.

"Kita mungkin boleh pulaukan produk makanan, kosmetik atau pakaian. Tetapi masalahnya, kita terpaksa bergantung kepada Amerika untuk mendapatkan alat-alat perubatan, senjata, jentera dan kejuruteraan. Jadi, tindakan boikot nampaknya mungkin tidak berhasil," kata Mohammad Agus.


PEGAWAI perubatan cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Hospital al-Syifa di Bandar Gaza.
--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya, Malaysia boleh mendesak PBB untuk melaksanakan rundingan. Namun, katanya, jika hendak buat mesyuarat Majlis Keselamatan, Malaysia perlu pastikan penglibatan negara-negara OIC dan negara besar yang lain.

"Selain itu, Malaysia boleh membantu masyarakat Palestin selepas pasca peperangan dengan cara membina kembali negara Palestin, ekonomi dan warganya," jelasnya lagi.

Mohammad Agus turut menyifatkan peperangan itu sebagai satu lagi bentuk pembersihan etnik. Selagi undang-undang dunia dikawal oleh Amerika, dunia tidak akan aman. Justeru, dunia memerlukan kuasa yang mampu 'mengancam' kekuatan Amerika.

Lebih memburukkan keadaan, sewaktu masyarakat Palestin berjuang dengan lontaran batu dan senjata sekadar ada, tentera Israel pula dilengkapi dengan pelbagai senjata moden, pesawat pejuang dan kereta kebal.

Malah, kezaliman Israel terserlah apabila mereka berkemungkinan menggunakan bom kimia fosforus. Berdasarkan Perjanjian Geneva 1980, bom yang boleh membuatkan sesiapa terkenanya melecur itu diharamkan sama sekali penggunaannya ke atas orang awam.

Sebenarnya, rejim Israel sangat bersedia untuk berperang. Buktinya, laporan Middle East Online menyatakan tentera Israel telah menjalani latihan selama 18 bulan dalam model bandar Gaza yang didirikan di pangkalan tentera Tsehilim di Gurun Negev, selatan Israel berhampiran sempadan Gaza.

"Tentera kami tahu semua lorong belakang di mana individu sasaran menyembunyikan diri," jelas jurucakap tentera Israel, Avi Benayahou.


MAYAT kanak-kanak yang terkorban akibat kezaliman tentera Israel.
--------------------------------------------------------------------------------

Israel menggunakan alasan lapuk untuk menceroboh Genting Gaza iaitu mempertahankan diri daripada serangan roket pejuang Hamas ke penempatan Yahudi.

Ironinya, Hamas adalah parti kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Palestin menerusi pilihan raya, namun ia dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Washington serta beberapa negara barat lain.

Sudah memasuki minggu kedua, serangan ganas Israel menimbulkan persoalan. "Apakah maknanya kemenangan perang ini bagi kedua-dua pihak?" soal bekas Kolonel Pasukan Pertahanan Israel, Eitan Azani.

"Ramai pejuang Hamas yang mati? Kejatuhan kerajaan Hamas atau apa? Semua orang berada dalam situasi yang rumit," ujarnya lagi.

Israel menegaskan tindakannya bertujuan untuk memusnahkan pusat persembunyian senjata, tapak pelancaran roket dan menghambat pejuang Hamas keluar dari lokasi perlindungan mereka.

Biarpun begitu, adakah Israel akan berpuas hati jika pejuang Hamas menghentikan serangan roket atau memusnahkan ratusan terowong ke Mesir yang didakwa menjadi 'lorong bekalan' senjata dan makanan kepada Hamas.

Bagi Hamas dan penduduk Palestin pula, hidup sudah menjadi kemenangan buat mereka. Mampu bertahan serangan gerombolan tentera yang terkuat di rantau itu pastinya sesuatu yang membanggakan.

Tetapi, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, hari pertama pencerobohan sahaja telah membunuh 30 penduduk awam Gaza. Sehingga kini, lebih 500 nyawa sudah melayang.

Peperangan itu juga telah mengakibatkan krisis kemanusiaan kian meruncing apabila penduduk kehabisan makanan dan minuman. Bandar Gaza dan pusat perubatan utamanya, Hospital Shiffa, juga bergelap tanpa bekalan elektrik.

Hospital-hospital kini bergantung kepada generator apabila sebanyak 12 saluran bekalan elektrik tidak lagi berfungsi. Tanpa tenaga elektrik untuk menggerakkan pam, 70 peratus penduduk Gaza berdepan keputusan bekalan air. Bukan itu sahaja, krisis tenaga ini boleh mengakibatkan air kumbahan memasuki kawasan perumahan dan pertanian.

"Sistem air dan kumbahan di Gaza sudah lumpuh. Orang ramai tidak lagi mempunyai bekalan air dan kumbahan membanjiri jalan raya," jelas Timbalan Pengarah Penyedia Utiliti Air Gaza (CMWU), Maher al-Najjar.

Al-Najjar juga memberitahu sebanyak 48 daripada 120 buah perigi langsung tidak boleh digunakan akibat ketiadaan elektrik. Sementara 45 buah perigi lagi tidak mampu beroperasi sepenuhnya dan terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa hari lagi.



KEPULAN asap menyelubungi ruang udara daerah Rafah. Tiada siapa yang dapat menduga sampai bila perang ini akan berlarutan.
----------------------------------------------------------------
Kamel Kafarna, penduduk kampung Beit Hanoun, memberitahu keluarganya sudah kehabisan gandum dan tepung, selain gas memasak. Biarpun begitu, pensyarah kejuruteraan ini tidak berani keluar rumah kerana bimbang ditembak.

"Gila! Peluru dan roket melintas di atas kepala. Saya yakin semua orang awam terbunuh kerana kesilapan dan anda tidak tahu anda akan jadi mangsa seterusnya," kata isteri Kafarna.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Israel perlu dipaksa keluar Gaza - PM


PELANGGAN sebuah kedai runcit di Keramat, Kuala Lumpur, Aktilah Ariffin mencari minuman sambil melihat poster boikot produk keluaran Amerika dan Yahudi yang ditampal oleh pengusahanya.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Sebarang resolusi oleh Perhimpunan Agung Khas Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) dalam sidang khasnya hari ini (kira-kira 5.30 pagi waktu Malaysia) di New York perlu memastikan Israel dipaksa keluar dari bumi Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kerana mengadakan sesi itu yang disarankan oleh banyak negara termasuk Malaysia, beliau berkata, Amerika Syarikat tidak harus menghalang apa-apa usul yang bakal menyentuh Israel yang telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 27 Disember lepas.

"Kita telah cadangkannya (perhimpunan)... jadi biasanya Malaysia akan terlibat (berkaitan resolusi),'' katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perhimpunan khas itu yang telah disentuh oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis perasmian Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDRF) di sini semalam yang dirasmikan oleh Abdullah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Wednesday, January 7, 2009

Ganti produk import

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my



MESRA...Shahrir bersalaman dengan kakitangan KPDNHEP
pada Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri,
semalam.


PUTRAJAYA: Pengilang dan pengeluar barangan tempatan digalakkan memperkenalkan produk jenama bernilai bagi menjayakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang akan dilancarkan 16 Januari ini, bagi merancakkan pertumbuhan permintaan domestik, sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap produk import.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata jenama bernilai membabitkan pengenalan produk baru berkualiti tinggi setanding barangan import dan boleh diperolehi dengan harga rendah.

“Pemilik jenama biasanya meletakkan jenama produk masing-masing sama ada premium atau pertengahan berasaskan kepada harga dan kualiti iaitu harga menjadi penentu kualiti barangan terbabit, jadi apabila kita minta me reka turunkan harga mereka akan menganggap tindakan itu akan merosakkan jenama.

“Sebagai contohnya, Petronas mempunyai jenama premium, tetapi mereka tak akan mengurangkan harga kerana bimbang menjejaskan jenama tetapi mereka boleh memperkenalkan jenama bernilai yang baru, supaya pengguna boleh mendapatkan produk alternatif berkualiti pada harga rendah.

“Jadi, kita berharap lebih banyak jenama baru yang bernilai diperkenalkan sepanjang 2009 untuk menjayakan kempen terbabit.

“Ini bermakna pengguna boleh mendapat produk sama dengan yang diimport manakala pemilik jenama tidak perlu mengorbankan jenama masing-masing,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri di kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Jelaing Mersat dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Shahrir berkata, selain mengurangkan import, kempen yang berlangsung selama setahun itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa barangan buatan Malaysia berkualiti tinggi

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092421/Article/index_html

Iran haram syarikat kaitan Israel


TEHERAN – Kerajaan Iran semalam mengharamkan beberapa syarikat antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Israel daripada beroperasi di negara berkenaan.

Langkah tersebut merupakan satu bentuk sokongan terhadap pejuang-pejuang Hamas di Palestin yang kini sedang berjuang menentang pencerobohan tentera Israel.

Beberapa ulama Iran menuduh beberapa syarikat antarabangsa seperti Nestle mempunyai saham yang dimiliki oleh warga Israel dan mahu syarikat itu diharamkan di Iran. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Kempen boikot produk Yahudi dilancar


MA’AMOR (tiga dari kiri) dan ahli-ahli PPIM bersemangat ketika melancarkan kempen memboikot barangan Yahudi di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak orang ramai memboikot produk Yahudi sebagai membantah kekejaman negara itu terhadap Palestin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ma’amor Osman berkata, satu kempen memboikot produk keluaran syarikat milik Yahudi akan dimulakan Jumaat ini di Masjid Negara, sebagai isyarat yang jelas kepada Israel dan negara sekutunya supaya tidak terus menzalimi penduduk negara Islam berkenaan.

“Boikot ini adalah bagi membantah kebiadapan dan kezaliman Israel dan sekutunya ke atas rakyat Palestin dan saya harap semua rakyat negara ini turut serta dengan tidak menyokong produk- produk Yahudi,’’ katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Ma’amor turut menggesa Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk menarik balik sijil halal yang diberikan kepada syarikat pengeluar produk terpilih milik Yahudi.

“Perbuatan mereka menzalimi penduduk Palestin terutama wanita dan kanak-kanak jelas tidak halal dan menyokong produk keluaran itu seolah-olah menyokong perbuatan mereka yang bencikan keamanan dan keadilan sejagat.

“Selain itu, pelancaran boikot ini antara lain adalah bagi menggalakkan orang ramai untuk menyokong penggunaan produk keluaran tempatan terutama membabitkan perniagaan kaum bumiputera,’’
katanya.

Ma’amor berkata, negara mempunyai produk tersendiri yang setanding dengan produk negara luar, terutama produk-produk makanan yang tidak kurang hebatnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...