Showing posts with label Proses Sulh (perundingan). Show all posts
Showing posts with label Proses Sulh (perundingan). Show all posts

Sunday, November 7, 2010

Rita Rudaini Mahu Tuntut Nafkah Daripada Aidil

Ahad November 7, 2010

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,32, berkemungkinan akan memfailkan tuntutan nafkah anak dan isteri terhadap suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, selepas mendakwa lelaki itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md. Zain berkata, tuntutan itu mahu dibuat selepas meneliti tuduhan daripada Aidil yang menuntut Rita kembali taat kepadanya serta memohon hak penjagaan kekal anak mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun tiga bulan.

Kata Mohd Zaidi, perkara itu masih lagi dalam pertimbangan kerana Rita bersedia untuk berbincang dengan Aidil bagi menyelesaikan kes melibatkan rumah tangga mereka itun secara baik.

“Anak guam saya menimbangkan untuk mengemukakan tuntutan itu kepada Aidil selepas melihat tuduhan yang dikemukakan oleh Aidil melalui mahkamah sebelum ini adalah tidak berasas,” katanya.

Pada 26 Oktober lalu Aidil Zafuan yang juga ketua pasukan bola sepak Negeri Sembilan memfailkan permohonan sulh (perbincangan) di mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, termasuk menuntut hak penjagaan anak secara kekal (hadhanah).

Rita Rudaini dan Aidil Zafuan

Aidil juga menuntut perintah isteri taat (nusyuz) terhadap Rita.

Dalam mStar online 28 Oktober lalu, Aidil menafikan membuat tuntutan berkenaan sebaliknya kunjungan dia ke mahkamah untuk menangguhkan perintah tersebut yang dibuat ketika mereka menghadapi masalah rumah tangga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Notis yang dikemukakan Aidil itu tidak diterima Rita kerana ia dipercayai dialamatkan di kampung wanita itu di Utan Aji, Kangar, Perlis.

Sementara itu Rita berkata dia telah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 2 November lalu bersama peguamnya untuk mendapatkan notis tuntutan yang dikemukakan Aidil.

Notis itu turut menuntut Rita menghadiri majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember ini di mahkamah yang sama.

Kata Rita dia terkejut selepas mendapati Aidil membuat sepuluh tuntutan termasuklah memohon mendapatkan hak penjagaan kekal anak mereka serta memohon Rita kembali taat kepada suami.

Rita berpendapat jika Aidil membuat tuntutan sedemikian, ia bermakna suaminya itu sudah tidak menyayanginya lagi dan dia bersedia untuk diadili di mahkamah.

“Saya kena kuatkan semangat dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah selepas suami sanggup membuat tuntutan itu,” katanya yang sedang mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Tindakan Aidil itu kata Rita amat memeranjatkan kerana hubungan mereka yang keruh sebelum ini sebenarnya telah kembali pulih dan dia tertanya-tanya apakah motif Aidil membuat tuntutan sedemikian.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/7/mstar_hiburan/20101104234053&sec=mstar_hiburan

Wednesday, October 27, 2010

Bincang cara baik

SULH proses perbincangan secara baik bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian. Pelaksanaan prosiding sulh bermula apabila Mahkamah Syariah menerima permohonan di bawah bidang kuasa malnya.

Ia termasuk permohonan cerai atau sesuatu tuntutan akibat perceraian iaitu nafkah isteri (idah, mutaah atau harta sepencarian) serta nafkah dan hak jagaan anak.


Kedua-dua pihak pihak akan berbincang dan capai persetujuan secara bersama dan persetujuan itu direkodkan sebagai perintah mahkamah. Jika tiada persetujuan, kedua-dua pihak boleh meneruskan dengan perbicaraan.


Majlis sulh akan dipengerusikan seorang Pendaftar, supaya setiap pihak dapat cuba mencari perdamaian tanpa dipengaruhi orang lain atau peguam. Proses ini juga lebih mudah daripada perjalanan proses mahkamah yang mempunyai pelbagai protokol.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bincangcarabaik/Article/index_html

Saturday, May 22, 2010

Bertemu selepas setahun berpisah


AUDREY memeluk Alya selepas permohonannya untuk berjumpa anaknya itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan seorang ibu, Audrey Amira Goon Abdullah, 33, untuk berjumpa dengan anaknya yang berusia empat tahun setelah terpisah sejak lebih setahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abdul Latif ketika memutuskan demikian turut menasihati bapa kanak-kanak terbabit, Ablen Rosmon Hamid, 34, supaya membenarkan anak-beranak itu bertemu atas dasar kemanusiaan.

"Sebagai bapa, saya percaya kamu ada sifat perikemanusiaan, beri dia berjumpa dengan anak yang dikandungnya. Sekiranya kamu menguruskan perkara ini secara baik, kamu tidak perlu membuang masa untuk datang ke mahkamah," katanya kepada pegawai eksekutif teknologi maklumat itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Rindu terubat

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/05/22

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya dua jam, seorang ibu reda selepas penantiannya selama setahun setengah berakhir apabila berjumpa dengan anak perempuan berusia empat tahun yang sebelum ini di bawah jagaan suami selepas mereka berpisah.

Audrey Amira Goon Abdullah, 33, dapat berjumpa dengan Alya Natasha selepas Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, mengeluarkan perintah terhadap suaminya, Abien Rosmon Hamid, 34, membawa kanak-kanak itu ke mahkamah, semalam.


Sebelum ini, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Abien selepas lelaki itu yang juga pegawai eksekutif teknologi maklumat, dua kali gagal hadir dalam prosiding membabitkan hak jagaan anak mereka.


Mahkamah yang sama juga pada masa itu meletakkan nama Abien ke dalam senarai hitam bagi membolehkan polis membuat tangkapan sekiranya ditemui berikutan Audrey sendiri gagal menemui lelaki dan anaknya itu.


Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif, semalam, peguam syarie Dorina Abdullah yang mewakili Audrey Amira memohon anak guamnya diberi peluang berjumpa dengan Alya secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa.


Hakim Syarie Mohd Radzi memberi peluang kepada Audrey Amira berjumpa dengan Alya selama dua jam dan menasihati Abien bersikap budiman dan adil bagi membolehkan pertemuan dua beranak itu berjalan lancar.


“Bapa mana tidak sayang anak, tetapi dia ibu yang mengandung dan melahirkan anak itu. Berilah peluang kepada ibu seminggu atau dua, kamu boleh pergi sendiri ke rumah Audrey Amira dan lihat sendiri jika benar dia ada cubaan merosakkan akidah anak itu, kemukakan bukti kepada mahkamah.


“Syurga anak di bawah tapak kaki ibu. Berbaik sangka dan berilah kesempatan kepada mereka berdua. Kamu jangan kacau pula pertemuan mereka,”
katanya.


Sementara itu, peguam syarie Mohd Nor Md Din yang mewakili Abien memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan Syariah mengeluarkan perintah bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, terkhilaf dalam keputusan menyerahkan hak jagaan anak kepada Audrey Amira.

Mohd Nor berkata, pihaknya sebelum ini mengemukakan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengeluarkan hak jagaan anak diberikan kepada Audrey Amira.

Kes hak jagaan anak itu diteruskan melalui Majlis Sulh. Bagaimanapun, jika tidak dapat sebarang penyelesaian, perbicaraan akan dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rinduterubat/Article

Wednesday, June 3, 2009

Hari ni, hari kau

Oleh Kasdi Ali dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my

IPOH: Penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy secara sinis menyatakan segelintir pihak mungkin berpuas hati dengan keadaan menimpanya berhubung kisah keretakan rumah tangga dan tuntutan cerai isterinya, Maizawati Zainal.

“Pihak yang nak mencabar kredibiliti (saya) sebagai pendakwah, pihak kawan dan lawan, mungkin sekarang berpuas hati dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Syariah Perak di sini, semalam.

Apapun, menurutnya, semua pihak perlu menunggu keputusan mahkamah.

Namun, dia mengutamakan keadaan kondusif, ketenangan, kedamaian untuk menghadapi sebarang perkara.

“Ia (apa yang berlaku) sedang dicatur tuan punya dunia...tidak apalah, mungkin hari ni hari kau, esok-esoklak hari aku. (Begitupun, bagi saya) apa-apa keputusan dalam keadaan maaruf,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan menyindir tindakan isterinya menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada umum.

“Selepas ini sesiapa ada masalah bolehlah ke stesen televisyen untuk mengadu dan stesen televisyen boleh menjadi mahkamah kedua,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah menetapkan kes tuntutan perceraian itu disebut semula pada 15 Julai ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mengadakan proses sulh (rundingan) supaya kes dapat diselesaikan secara baik.

Mengenai penangguhan kes itu, Akhil berkata, ia disebabkan dokumen tidak siap dan tuntutan tidak dibuat secara terperinci oleh kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Akhil, 40, masih menaruh harapan isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan baik.

“Benda ni (kes tuntutan perceraian) ana (saya) nak selesaikan dengan cara paling maaruf (baik),” kata bekas vokalis kumpulan rock D’Riyadh itu.

Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hai turut berkata pelbagai pihak, terutama rakan serta saudara-mara, termasuk di kalangan ahli keluarga Maizawati memberi sokongan moral kepadanya dalam menghadapi kes berkenaan.

Sementara itu, Maizawati yang membawa enam anaknya, termasuk empat hasil perkongsian hidup dengan bekas penyanyi rock itu ke mahkamah, berkata dia tidak ada sebarang masalah untuk bersemuka dan berbincang dengan suaminya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

“Ini semua ketentuan Allah, selepas ini saya serahkan kepada peguam...kita tengok apa yang berlaku.

“Saya tidak boleh bagi komen, harap semua bersabar dan tengoklah pada 15 Julai nanti (sama ada akan bercerai atau tidak). Saya akan teruskan hidup macam biasa sehingga 15 Julai,” katanya juga enggan mengulas ketika ditanya perasaannya apabila bersemuka dengan Akhil semalam selepas kali terakhir bertemu Februari lalu.

Dia kemudian meninggalkan mahkamah menaiki Proton Gen.2 berwarna jingga bersama semua anaknya.

Sementara itu, Akhil mulanya cuba mengawal dirinya dengan hanya melemparkan senyuman kepada lima daripada enam anaknya ketika berjalan di hadapan mereka sebelum memasuki mahkamah untuk prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Maizawati, 33.

Dia bagaimanapun tidak dapat lagi membendung naluri kebapaannya apabila mengambil kesempatan memeluk dan mencium anak bongsunya, Muhd Shatiri Hidayatullah, 2, ketika menuju ke kereta selepas berakhir prosiding.

Ketika itu, Muhd Shatiri didukung anggota keluarga Maizawati dan tidak bersama ibu dan lima beradik lain.

Tempoh pelukan dan ciuman kasih sayang selama beberapa saat itu digunakan sepenuhnya Akhil sebelum dengan wajah berat hati meninggalkan Muhd Shatiri.

Maiza, Akhil setuju proses sulh


MAIZA bersama lima anaknya yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Ipoh semalam. Gambar kecil, Akhil.





IPOH - Pendakwah dan penyanyi Akhil Hayy, 40, dan isterinya, Maizawati Zainal, 33, memohon Mahkamah Rendah Syariah menetapkan satu tarikh baru bagi membolehkan proses sulh (penyelesaian secara baik) di antara mereka berhubung segala tuntutan berkaitan selepas penceraian diselesaikan.

Hakim Syarie, Mohd. Ridhuan Yusof bersetuju dengan permohonan tersebut dan menetapkan 15 Julai sebagai tarikh sebutan semula.

Maizawati atau mesra dipanggil Maiza diwakili peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais manakala Akhil tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding kes berkenaan selama hampir dua jam selepas Akhil tidak menghadirkan diri.

Akhil yang tiba di kompleks mahkamah pada pukul 10.35 pagi terus mengadakan perbincangan bersama dua peguam Maiza di sebuah bilik khas selama satu jam.

Lima daripada enam anak hasil perkongsian hidup Akhil dan Maiza turut hadir semalam.

Akhil yang ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau sedaya upaya akan menyelesaikan kes yang difailkan isterinya itu dengan cara paling makruf, penuh kedamaian dan memuaskan hati semua pihak.

"Kredibiliti dan imej saya sebagai pendakwah sudah terjejas dan mungkin kawan mahupun lawan akan berpuas hati dengan penyelesaian yang akan saya buat nanti," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Tuesday, November 18, 2008

Proses tuntut nafkah Wan Nor Azlin tertangguh, suami tidak hadir



Selasa November 18, 2008

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



PETALING JAYA: Ekoran suami pelakon Wan Nor Azlin, 40 tidak menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini, maka proses Sulh (perundingan) mengenai tuntutan nafkah yang difailkan gagal dibicarakan hari ini.


(Proses Sulh ialah satu perundingan damai atau kaunselling secara Islam yang dianjurkan bagi pasangan yang mempunyai masalah rumahtangga).


Pada pukul 9.15 pagi tadi, Azlin yang sebelum ini menerima ugutan daripada 'ah long' termasuk rumahnya disimbah cat, telah berkunjung ke Mahkamah Syariah di Petaling Jaya untuk bincang dengan pihak mahkamah di Dewan Sulh selama sejam 45 minit.


Menurut peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan, hasil perbincangan tersebut, mahkamah menetapkan kes tersebut akan di bawa kepada 15 Disember ini, di mana prosiding tuntutan nafkah akan diteruskan.


Kata Fakhrul, disebabkan suami Azlin gagal menghadirkan diri, mahkamah juga akan mengeluarkan saman kepada Yazli pada bila-bila masa mulai hari ini melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan keluarganya di Batu Gajah, Perak.


"Jika suaminya gagal menghadirkan diri sekali lagi pada 15 Disember ini, pukul 2 petang di mahkamah ini, kita akan berikan dua pilihan kepadanya. Sama ada meneruskan perbicaraan ini tanpa suaminya atau keluarkan waran tangkap untuk dia datang pada hari itu juga.


"Kalau pihak mahkamah tak dapat bawa dia secara peribadi, kami akan melakukan serahan gantian seperti mengiklankan dirinya di akhbar-akhbar dan serata tempat,"
jelas Fakhrul.


Dalam pada itu, Azlin berkata, dia menjangkakan suaminya akan memberikan respons dan hadirkan diri pada hari ini selepas dia menghantar surat kepada PPIM dan keluarga suami di Perak.


"Saya hantar surat kepada PPIM pada 30 Oktober lalu tetapi mereka tidak mahu menerimanya apabila mengetahui surat itu dari mahkamah. Kata mereka, kalau surat peribadi, suami saya mahu menerimanya.


"Surat di kampung juga dihantar tetapi dihantar semula ke mahkamah pada minggu lalu dengan mengatakan suami saya tidak dapat hadir kerana keluarganya tidak dapat menghubunginya,"
tutur Azlin lagi.


Dalam nada yang tenang, Azlin masih mengharapkan suaminya kembali ke sisinya dan anak-anak.


"Saya berasa kesal sebab suami tidak mahu memberikan kerjasama. Kenapa dia berdegil untuk berbincang tentang hal ini, tetapi apabila kes 'ah long' dia muncul pula?.


"Saya berharap sangat dia datang sebab tak nak panjangkan kes ini.


"Kenapa mesti nak menyorok? Saya bukan 'ah long' tetapi isteri dia. Apa-apa yang berlaku, saya perlu bertanggungjawab.


"Sekurang-kurangnya balik dan jengahlah anak-anak di rumah.


"Apa pun, saya tak nak putus asa. Saya terpaksa lawan sebab saya merupakan ibu dan bapa untuk anak-anak kami.


"Nafkah yang saya minta bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga nafkah zahir dan batin iaitu kasih sayang.


"Saya sedia menerima dia asalkan dia berubah dari sikap lamanya. Ibu bapa merupakan 'role model' anak-anak dan bertanggungjawab terhadap mereka,"
ujar Azlin yang baru mendapat tawaran berlakon beberapa buah telefilem.


"Saya tak tawar hati. Kalau tak, mesti saya dah minta cerai....," luah Azlin selepas keluar dari Dewan Sulh di mahkamah tersebut.


Tuntutan nafkah terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38 difailkan pada 29 Oktober lalu kerana tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan rumah sehingga ke hari ini sejak 10 Julai lalu.


Jelas pelakon yang pernah dilanda kontroversi ini, tuntutan itu juga dibuat kerana semua perbelanjaan rumah termasuk tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.


Kata Azlin, melalui duit lakonan sahaja dia gunakan untuk menyara anak-anak dan dirinya.


Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang 'ah long'.


Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.


Mohd. Yazli pula menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 'ah long' selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_berita/20081118083645&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...