Showing posts with label Penangdaily com. Show all posts
Showing posts with label Penangdaily com. Show all posts

Sunday, July 10, 2011

Dalih KPN nafi polis cedera Anwar

Sabtu, 09 Julai 2011 20:39
Ditulis oleh Insyirah Zain

Ketua Polis Negara menafikan bahawa pihaknya mengenakan tangkapan awam ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi sehingga mengakibatkan Ketua Pembangkang itu dicedera dan terlantar di hospital sekarang.

"Dia tak ada di Pudu. Di situ saja ada gas pemedih mata. Itu tidak benar," kata Tan Sri Ismail Omar ketika diminta bertanggungjawab atas kecederaan Anwar.

Ismail turut menafikan bahawa Anwar ditahan Polis pada petang tadi kerana menyertai perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) di ibunegara.

Pun begitu tegasnya, Ismail mengesahkan sebanyak 1,401 orang ditahan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu, dua naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub.

Turut ditahan pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin dan anggota parlimen Subang Sivarasa Rasiah.

Dalam sidang media di Bukit Aman petang ini, Ismail mengambil kesempatan menafikan segala laporan negatif terhadap polis, termasuk apa yang dirujuknya sebagai "berita angin".


Dilaporkan, salah seorang pegawai peribadi Anwar (gambar atas) turut tercedera ketika mempertahankan Anwar yang berdepan dengan sekumpulan polis.

Penangdaily.com dilaporkan, Ahli Parlimen Shah Alam (gambar bawah) Khalid Samad (Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor) turut menjadi mangsa tindakan agresif Polis.

Laporan berkaitan: snipets countdown BERSIH



http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/dalih-kpn-nafi-polis-cedera-anwar.html

Tiada akses kepada peguam yang ditahan

Sabtu, 09 Julai 2011 17:32
Ditulis oleh Hajee

Fadiah Nadwa Fikri dari Lawyers for Liberty berkata polis menggunakan Seksyen 28A (8) - yang menafikan hak akses kepada peguam ke atas mereka yang ditahan semasa Himpunan Bersih 2.0 hari ini.

Katanya, tidak kurang 1,000 orang ditahan hari ini dan ada yang ditempatkan di Pulapol.

Menurut Fadiah tindakan kerajaan itu jelas mencabuli Perkara 5 Perlembagaan


http://www.penangdaily.com/index.php/Kolumnis-1/tiada-akses-kepada-peguam-yang-ditahan.html

AGONG PERKENAN TERIMA MEMO TAPI POLIS HALANG: PAK SAMAD

Sabtu, 09 Julai 2011 20:50
Ditulis oleh BURAQS

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk menerima memorandum dari perwakilan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) tetapi POLIS menghalangnya hari ini.

"Ketika mengadap Seri Paduka pada minggu lalu, Seri Paduka bersetuju membenarkan gabungan 62 NGO itu menyerahkan memorandum mereka bagi menuntut pembaharuan pilihan raya hari ini. Baginda bertitah boleh. Itu sebab saya ikut (perwakilan) hantar memo," katanya pada sidang akhbar.

"Saya ambil keputusan untuk nanti hantar surat untuk beritahu kesediaan Agong terima memo today dilayani dengan baik oleh polis... Bukan salah saya, tapi oleh polis." jelas sasterawan Negara itu.

Beliau juga membidas keganasan yang digunakan polis pada himpunan hari ini sambil menyifatkan ia keganasan yang paling teruk pernah disaksikannya.
"Saya menyaksikan tembakan gas itu amat rambang dan kasar. Saya menyaksikan beberapa wanita yang jatuh dan huru-hara, itu tidak pernah ditengok.

"Dulu walaupun saya menghadapi gas tapi yang ini adalah gas yang kejam sekali dan dahsyat."

Bagi beliau, acara ini cukup berkarya kerana di sebalik pelbagai halangan dan hambatan, rakyat tidak takut meluahkan perasaan mereka.

"Saya fikir amat berjaya kerana hampir dua minggu rintangan, tapi saya terperanjat lihat ribuan, hampir 50,000. Dari segi itu, masyarakat memang berjaya," katanya.


http://www.penangdaily.com/index.php/Selebriti/agong-perkenan-terima-memo-tapi-polis-halang-pak-samad.html

SUHAKAM KECAM TINDAKAN KERAS POLIS

Sabtu, 09 Julai 2011 17:34
Ditulis oleh Hajee

Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah mengecam tindakan keras pihak berkuasa ketika
berdepan dengan peserta Himpunan Bersih 2.0 hari ini.

Pasukan polis bukan sahaja tidak menghormati hak rakyat untuk berhimpun tetapi juga menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital Tung Shin.

Ketika ditanya apakah sepatutnya respons rakyat terhadap tindakan tersebut, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memilih wakil yang boleh melindungi hak mereka.

Sementara itu setakat 4.30 petang tadi, Tian Chua yang ditahan di Balai Polis Jinjang berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih ditahan dalam trak polis.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/suhakam-kecam-tindakan-keras-polis.html

Gas Pemedih mata meragut satu nyawa, manakala seorang patah kaki

Sabtu, 09 Julai 2011 14:53
Ditulis oleh Insyirah Zain

AlFatihah
Himpunan Bersih 2.0 hari ini mencatat sejarah duka apabila seorang peserta meninggal dunia ekoran terkena semburan meriam air dan gas pemedih mata oleh Polis.

Baharuddin Ahmad, 58, dikhabarkan terkena tembakan meriam air dan gas pemedih mata semasa berkumpul dengan rakan-rakan dan keluarganya di KLCC.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada kira-kira 2.30 petang tadi.

Baharudin dikatakan terjatuh dan pengsan terkena gas pemedih mata oleh polis.

Sumber bagaimanapun gagal mengenal pasti identiti mangsa tersebut kerana polis mengerumui mayat lelaki itu sehingga sukar diakses oleh wartawan.

Beliau telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi disahkan meninggal dunia. Jenazah beliau masih di HKL untuk dibedah siasat.

Menurut rakan beliau, Suhaimi Long, Baharudin pengsan selepas terkena gas pemedih mata.

Beliau dibawah ke HKL, tempat anak perempuannya (Baharudin) bertugas sebagai seorang doktor.

Sementara itu, Penghulu Mukim Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan Encik Alias Mat Ideris berkata, seorang rakannya KArim Dahalan, 51, mengalami patah kaki semasa bergelut ekoran semburan meriam aai polis di kawasan Puduraya.

Karim kini turut dirawati di hospital berkenaan.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/kematian-sulung-rakyat-di-bersih-20.html

Friday, July 8, 2011

TINDAKAN KERAS TERHADAP BERSIH 2.0 AKAN BERI KESAN PADA PRU: DR M

Khamis, 07 Julai 2011 22:00
Ditulis oleh HAJEE

Tindakan keras kerajaan terhadap Bersih 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil) boleh menjejaskan peluang mereka untuk menang pada pilihan raya umum akan datang, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bahawa pengundi mungkin berpaling menentang Umno-BN jika mereka merasakan bahawa kerajaan sedang mencabuli hak-hak mereka.

"Apa sahaja yang kerajaan lakukan (sekarang), ia akan dipantulkan pada pilihan raya. Jika mereka (pengundi) merasakan bahawa kerajaan ini menindas, mungkin kerajaan akan kehilangan undi," katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

"Tetapi ada beberapa orang yang berfikir bahawa kerajaan terlalu lembut ... contohnya, (ada yang bertanya) "Mengapa mereka harus membenarkan demonstrasi di dalam dewan?"

Mahathir bagaimanapun, mengelak sama ada kerajaan telah keterlaluan dalam tindakan keras ke atas Bersih, sambil berkata "itu sekadar pendapat".

"Saya fikir kerajaan berpendapat mereka perlu mengambil tindakan keras, sesetengah orang berfikir kerajaan tidak seharusnya mengambil tindakan keras. Malah di dalam kerajaan, terdapat beberapa (orang) yang setuju, dan ada beberapa (orang) yang tidak; ini adalah perkara biasa," katanya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan telah mengambil tindakan keras ke atas aktivis dan penyokong Bersih.

Untuk demonstrasi, Mahathir berkata bahawa mereka hanya boleh dibenarkan jika sudah tidak mempunyai jalan lain.

"Jika anda mahu berdemonstrasi, lakukan apabila sudah tiada cara lain untuk menyuarakan pandangan," katanya, sambil menambah bahawa tuntutan pilihan raya Bersih dapat diselesaikan dengan cara yang lain.

Beliau juga berkata demonstrasi adalah hak kebebasan yang dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi.

Walau bagaimanapun, dengan melihat Mesir sebagai contoh, beliau memberi amaran bahawa perhimpunan yang berterusan mungkin mempunyai kesan yang menjejaskan sesebuah negara.

"Anda perlu berhati-hati setiap kali anda melakukan perkara ini. Saya baru pulang dari Mesir ... mereka melakukan demonstrasi besar untuk menumbangkan kerajaan. Tetapi selepas itu, mereka masih melakukan demonstrasi," katanya.

Mahathir menambah bahawa sebagai kesan daripada demonstrasi yang berterusan di sana, negara itu telah mengalami kemerosotan ekonomi.

Beliau juga berkata bahawa dia mengetatkan kawalan demonstrasi dari kedua-dua belah pihak politik ketika beliau berkuasa.

"Pada tahun 1986, apabila Umno mahu menunjukkan kekuatan, mereka mahu membawa masuk 500,000 orang ke Kuala Lumpur. Kami menghalangnya. Bukan sahaja kepada pembangkang, kita juga menghalang walaupun dari pihak kerajaan," katanya.

Bagaimanapun beliau mengelak apabila merujuk kepada komen pedas anak perempuannya Marina Mahathir terhadap penghapusan Bersih.

"Saya tidak selalunya bersetuju dengan anak perempuan saya, tetapi itu adalah haknya. Saya memberikan kebebasan demokrasi. Saya tidak ada pendapat (mengenai dirinya)," katanya sambil ketawa.

Marina sebelum ini mengutuk kerajaan seperti "negara dunia ketiga", dan menyerang pihak-pihak tertentu yang melakukan serangan peribadi terhadap Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/tindakan-keras-terhadap-bersih-20-akan-beri-kesan-pada-pru-dr-m.html

Tuesday, July 5, 2011

Himpunan Bersih 2.0 ke stadium

Selasa, 05 Julai 2011 13:45
Ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob

Selepas mengadap Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) bersetuju untuk berdemontrasi di stadium pada Sabtu ini, tetapi masih belum menentukan stadium pilihan.

Presidennya Datuk S Ambiga berkata "ya", keputusan tersebut disifatkannya sebagai "tolak-ansur" demi menjunjung titah khas khas Seri Paduka.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin (presiden Jamaah Islah Malaysia, JIM) turut menyertai delegasi tersebut. Tidak kelihatan seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat turut menyertai delegasi tersebut.

Mereka dipercayai khalayak mahu menjelaskan hasrat murni Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman pada Sabtu ini di ibunegara bermula 1.30 petang tadi.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/bersih-20-mengadap-agong-di-istana.html

Empat sasterawan negara gesa bebas semua tahanan BERSIH

Selasa, 05 Julai 2011 12:51
Ditulis oleh Nujumraja

Empat sasterawan negara tampil menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadual Sabtu ini dibebaskan segera.
Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.

"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.

Mereka berkata, sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

Setakat hari ini, sekurang-kurang 23 orang masih ditahan polis berkaitan perhimpunan BERSIH dengan enam daripadanya bawah ordinan darurat.

Sementara itu, keempat-empat mereka turut membela seorang lagi rakan mereka Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (atas, kanan sekali) yang disiasat polis ekoran bacaan puisinya "Unggun-Bersih" yang dibacakan dalam majlis pelancaran BERSIH 2.0 sebelum ini.

"Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi.

"Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini," katanya.


http://www.penangdaily.com/index.php/Politik/empat-sasterawan-negara-gesa-bebas-semua-tahanan-bersih.html

Bersih 2.0: Mahaguru Gayong nasihat Omardin ingat Allah

Khamis, 30 Jun 2011 00:40
Ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob

Kenyataan pendiri Pertubuhan Seni Silat Lincah Lincah Malaysia (PSSLM) Mahaguru Tan Sri Omar Din Mauju mengancam 300,000 rakyat yang dijangka menyertai perhimpunan aman pada 9 Julai di ibu negara ditegur sendiri oleh rakan seperguruannya.

Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa berkata, pengamal silat yang sebenar tidak akan bermegah-megah dengan ilmunya dan mengancam keselamatan orang lain, sebaliknya hanya mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk manfaat agama, bangsa dan negara.

Malah, mana-mana pengamal silat yang dengan sengaja menakut-nakutkan orang lain untuk menunjukkan kekuatan, pasti akan menerima balasan daripada Allah.

"Orang yang hendak buat kacau kita tidak galakkan. Kalau mereka hendak tunjuk megah, Allah Taala akan bagi balasannya," ujarnya, dipetik dari blog Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Omardin berkata, "Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut."

Penangdaily difahamkan, Omardin mengeluarkan ugutan kepada Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan supaya menghentikan hasrat mengadakan perhimpunan aman tersebut kerana khuatir tidak dapat mengawal 'emosi' anak-anak didiknya jika mereka 'bertembung' pada perhimpunan itu nanti.

Kenyataan Omardin itu disiar akhbar milik Umno, Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

Bercakap lebih lanjut, Cikgu Majid berpendapat tujuan Bersih adalah berhimpun secara aman untuk menuntut keadilan, justeru tidak ada sebab mana-mana pertubuhan silat memusuhi peserta himpunan itu.

"Kita tak berfikir yang mereka (Bersih) akan menimbulkan masalah. Kita tak anggap begitu. "Apa-apa tindakan yang kita mahu ambil hendaklah berpaksikan keadilan yang sebenarnya," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid juga memberi jaminan bahawa penuntut Silat Gayung Pusaka sendiri tidak akan mengancam dan menakut-nakutkan orang lain daripada menyertai mahupun menghindari perhimpunan tersebut.

"Saya pun tak akan izinkan anak-anak Gayung buat kacau pada perhimpunan begini," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid adalah Pengarah dan Gurulatih Utama Pusaka Gayong Malaysia dan masih mengekalkan gelaran 'Cikgu" walaupun beliau sendiri sebenarnya bertaraf seorang mahaguru dalam dunia persilatan.

Cikgu Majid adalah murid kanan pengasas Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan menuntut seni silat Melayu itu di Woodlands, Singapura.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/bersih-20-omar-din-dinasihat-ingat-allah.html

Marina Mahathir pertikai tindakan Polis tangkap 200 penyokong BERSIH

Isnin, 04 Julai 2011 19:27
Ditulis oleh Buraqs



Datin Paduka Marina Mahathir membidas tindakan polis menangkap hampir 200 penyokong Himpunan Aman Bersih 2.0 dengan menyifatkannya sebagai satu tindakan pihak yang takut tanpa bersebab.

“Hanya mereka yang takut akan menangkap orang yang memakai kemeja-T,” beliau memberitahu sidang media bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan Bersih.

Sejak minggu lalu, polis menangkap sesiapa sahaja yang memakai kemeja T kuning dengan logo Bersih atas alasan ia memudaratkan keselamatan negara. Tangkapan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.

Enam daripada mereka termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jeyakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Marina, anak sulung mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan polis melancarkan penangkapan beramai-ramai itu.

“Saya ingin bertanya kepada orang ramai, jika terserempak dengan sesiapa memakai kemeja -T yang tertera dengan perkataan Bersih, adakah mereka akan terdorong untuk keluar dan menimbulkan kacau bilau,” kata Marina.

“Kita pernah melihat perkataan yang jauh lebih teruk dicetak pada baju-baju di seluruh negara tetapi ia tidak pula mempengaruhi kita untuk menghisap ganja,” tambah beliau.

Marina ditanya mengenai rekod Tun Mahathir yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap puluhan orang dalam Operasi Lalang tahun 80an.

Marina mengaku ayahnya menggunakan ISA tetapi menegaskan Mahathir tidak menggunakan undang-undang zalim itu untuk menangkap orang semata-mata kerana memakai baju tertentu.



http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/marina-mahathir-pertikaikan-tindakan-polis-tangkap-200-penyokong-bersih.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...