Showing posts with label Kewaja. Show all posts
Showing posts with label Kewaja. Show all posts

Wednesday, December 22, 2010

Insaf ingat kematian

GOMBAK: “Kelahiran anak lelaki ini betul-betul menginsafkan saya dan mengingatkan pada kematian,” kata bekas pelayan pelanggan (GRO) yang mahu dikenali sebagai Suzie selepas melahirkan bayi lelaki seberat 3.2 kilogram (kg), di sebuah hospital swasta di sini semalam.

Suzie, 22, yang sebelum ini hamil luar nikah pernah berhasrat untuk menjual bayi dikandungnya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000. Namun, dia membatalkan hasrat itu selepas dipujuk wartawan Harian Metro dalam satu pertemuan tidak disengajakan dan kisahnya dipaparkan akhbar ini 9 Disember lalu.


Selepas melahirkan anaknya kira-kira jam 10 pagi semalam, Suzie yang ditemui Harian Metro berkata, dia insaf dan bertekad untuk membela serta membesarkan anaknya yang sihat dan cukup sifat itu walaupun tanpa suami di sisi.

“Saya akan cuba sedaya upaya keluar daripada kehidupan hitam sebagai GRO sebelum ini dan memulakan hidup baru sebagai ibu. “Ketika bertarung melahirkan bayi ini, saya hanya terfikir mengenai kesalahan dan dosa kepada ibu bapa yang sudah lama tidak ditemui,” katanya.


Sepanjang pertemuan bersama wartawan Harian Metro, Suzie hanya menangis dan tiada perkataan lain yang dapat digambarkan selain bersyukur kerana dia dibantu orang yang langsung tidak dikenalinya. “Mungkin pertemuan saya dengan kamu (penulis) mempunyai hikmah di sebaliknya,” katanya yang turut berterima kasih kepada Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) yang banyak membantunya kembali ke pangkal jalan.


Suzie berkata, kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam. “Saya kini akan lebih dekatkan diri dengan agama Islam dan membesarkan anak ini sebaik mungkin supaya tidak jadi seperti saya,” katanya.

Menceritakan pengalamannya ketika melahirkan bayi comel itu Suzie berkata, dia tidak menyangka begitu susah untuk melahirkan anak.


“Tidak sangka saya mengalami kesakitan luar biasa seperti ini, tidak seperti apa yang rakan-rakan lain ceritakan, rasanya saya tidak mahu melahirkan bayi lagi, cukuplah seorang ini.

“Sepanjang menanggung kesakitan untuk melahirkan bayi ini, saya berselawat dan membaca doa yang diajar mama (isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Bahrum) meminta Tuhan mengampunkan dosa saya dan menyelamatkan nyawa anak saya,” katanya.


Suzie yang kelihatan sedih dan pucat bagaimanapun mampu mengukir senyuman sebaik melihat bayi lelakinya itu dilahirkan dalam keadaan sihat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Insafingatkematian/Article/index_html

Wednesday, December 15, 2010

'Haram tetap haram'

KUALA LUMPUR: “Pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah salah, haram tetap haram,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, (gambar) ketika mengulas kenyataannya dalam Harian Metro terbitan Sabtu lalu.

Menurutnya, masyarakat diminta tidak salah faham dengan kenyataan beliau yang disiarkan akhbar ini terdahulu, seolah-olah beliau mengatakan pekerjaan Suzie sebagai GRO adalah tidak salah.


“Pekerjaan GRO itu memang haram dan tidak boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam. Maksud saya di sini ialah, jangan hanya tahu memaksa Suzie berhenti, tetapi apa peranan kita (pembaca) untuk mencarikan pekerjaan lain kepadanya. “Jangan terus menghina dan mencaci wanita yang bekerja sebagai GRO sebaiknya kita mencari alternatif untuk membantu wanita seperti itu mendapatkan pekerjaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, masyarakat perlu membantu golongan seperti itu keluar daripada kepompong dosa dengan membantu mereka mencarikan kerja yang berkat.


Masyarakat tidak seharusnya tahu menghukum tetapi dalam masa yang sama perlu mencari alternatif terbaik untuk membantu.


“Jangan menghina GRO. Mereka yang sudah menyesal dan sempat bertaubat kita cuba bantu mereka. Tidak baik menghina dan mencaci mereka. Jangan terus menghukum tetapi hulurkan tangan memberi bantuan dan kasih sayang,” katanya.

Terdahulu, beliau menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie supaya bersama-sama menadah tangan mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Haramtetapharam/Article/index_html

Sunday, December 12, 2010

Beri dia masa, bukan paksaan

KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.

Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.


“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.


“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.


“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.


“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Beridiamasa_bukanpaksaan/Article

Saya nak berubah, tapi sukar

Saya nak berubah, tapi sukar

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya hanya tahu layan lelaki. Saya tak minta untuk menjual tubuh, tetapi itu saja pekerjaan mampu saya lakukan kerana saya tak bersekolah tinggi,” kata Suzie kepada Harian Metro ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Gombak, di sini, semalam.

Pelayan pelanggan (GRO) berusia 22 tahun itu diselamatkan wartawan Harian Metro Rabu lalu apabila dia yang sarat mengandung sembilan bulan mahu menjual bayinya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000.


Bagaimanapun, dia dapat dipujuk wartawan supaya tidak meneruskan niat itu dan bersetuju memasuki Kewaja untuk mendapatkan perlindungan dan bimbingan sebelum melahirkan bayinya.

Suzie berkata, sejak berusia 17 tahun dia sudah terjebak dengan kancah maksiat dan mampu hidup selesa, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dia hamil anak luar nikah kerana kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam.


“Sebenarnya saya nak berubah, tapi kehadiran anak ini mengubah fikiran saya. Bagaimana saya mahu menyara anak ini nanti, jadi pilihan yang ada hanya kembali ke pekerjaan asal sebagai GRO,” katanya.


Ketika ditemui semalam Suzie tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupannya kelak jika anak yang bakal lahir itu mengetahui pekerjaannya.

Katanya, dia tidak mahu terus bergelumang maksiat dan dosa, tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu menyara anaknya kerana hanya pekerjaan sebagai GRO mampu memberi pendapatan lumayan.


“Bayangkan dalam seminggu saya mampu mendapat RM3,000 hanya dengan melayan beberapa lelaki. Jika saya mencari pekerjaan lain, saya takut anak ini akan menderita tak cukup makan,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik dari Selayang di sini, tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan kerana sudah selesa hidup mewah dengan bergelumang maksiat.


“Setiap kali melihat wanita bertudung, terdetik hati untuk berubah, tapi sukar mengenangkan pekerjaan saya lakukan ini, malah kebanyakan rakan saya juga GRO dan hidup kami sudah sebati dengan dosa.


“Saya akan cuba menipu anak ini nanti dengan mengatakan saya kerja kilang atau apa-apa saja, asalkan dia tak tahu pekerjaan sebenar saya,” katanya.


Suzie juga berharap ada pihak sudi membantunya keluar dari kancah hina itu. Katanya, di Kewaja dia digalak memperbanyakkan amal ibadat dan mengingati Tuhan memandangkan rasa sakit untuk bersalin diibaratkan seperti bertarung dengan maut.


“Saya lebih tenang di sini, tidak lagi diganggu panggilan daripada 'ibu ayam' yang minta saya melayan pelanggan yang ketandusan kasih sayang itu, malah saya berharap hidup akan lebih bererti apabila anak ini lahir kelak,” katanya. Dia yang masih menyimpan hasrat untuk kembali menjadi GRO masih dipujuk pihak Kewaja supaya tidak mengulangi dosa silamnya selain memberi dorongan agar mencari pekerjaan lebih baik.


Ini berikutan dia malu dan menganggap masyarakat tidak dapat menerimanya lagi walaupun jauh di lubuk hatinya ingin memulakan kehidupan baru bersama bayi yang bakal dilahirkan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sayanakberubah_tapisukar/Article

Friday, December 10, 2010

Bayi ditempah RM22,000

Bayi ditempah RM22,000

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin.
INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin.

KUALA LUMPUR: “Bayi ini sudah ditempah pada harga RM22,000,” kata seorang wanita yang kini menunggu masa untuk melahirkan kandungannya itu kepada dua wartawan Harian Metro yang bertemu dengannya di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Dia yang memperkenalkan diri sebagai Suzie, 22, berkata satu pasangan suami isteri bukan Islam menyatakan hasrat membeli bayi berkenaan ketika kandungannya masih berusia lima bulan.

Pertemuan tanpa dirancang itu berlaku ketika penulis menikmati makan malam apabila ternampak Suzie bersama seorang rakan sekerjanya mencari meja untuk menjamu selera di restoran sama.

Melihat keadaan Suzie yang sarat mengandung sembilan bulan itu, penulis menawarkan tempat untuk dia duduk semeja.

Dalam perkenalan singkat itu, wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) terbabit mula menyatakan hasrat untuk menjual bayinya sejurus dilahirkan kelak kepada pasangan suami isteri berkenaan.

“Saya sayangkan bayi ini, tetapi kerana kos sara hidup tinggi di ibu kota, saya terpaksa menjualnya,” katanya ketika pertemuan itu.

Menurutnya, dia nekad mahu menjual bayi dikandungnya itu kerana berasakan tidak mampu menjaganya apabila dilahirkan kelak.

Selain itu, katanya pasangan terbabit mendakwa akan menanggung segala kos bersalin termasuk pembedahan dan perubatan serta mendapatkan sijil beranak sah buat bayi yang bakal dilahirkannya itu.

Mendengar cerita itu, penulis menasihatinya tidak berbuat demikian dan memujuknya ke Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) di Gombak, untuk bersalin dan dijaga sepanjang berpantang.

Tiga minggu selepas pertemuan pada awal November lalu itu, Suzie dibawa ke rumah berkenaan selepas dia bersetuju cadangan penulis.

Sebaik tiba di Rumah Kewaja, Suzie kelihatan keberatan untuk tinggal di pusat itu, tetapi selepas dipujuk pemilik rumah perlindungan berkenaan, dia bersetuju menginap di situ dan menjalani kehidupan baru.

Wanita terbabit mengakui terdetik rancangan untuk menjual bayi dalam kandungannya itu selepas teruja dengan jumlah wang ditawarkan pasangan berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, menurut Suzie, dia didatangi pasangan suami isteri itu ketika melepak di Bukit Bintang dan mereka mendakwa sudah berkahwin, tetapi tidak dikurniakan anak.

“Pasangan itu menghampiri saya kerana perasan perut saya besar. Ketika itu, usia kandungan baru lima bulan.

“Saya bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam terkemuka, namun takdir mengubah hidup saya apabila berjumpa teman lelaki yang mendakwa mahu mengahwini dan mengubah diri saya kepada kehidupan lebih baik,” katanya ketika ditemui semula di rumah perlindungan itu.

Difahamkan, dia memilih jalan hitam dengan bekerja sebagai GRO selepas terpengaruh kehidupan mewah seorang rakan.

Tambahan pula, Suzie mendakwa dia dilahirkan dalam keluarga pincang dan tidak pernah menerima perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa menyebabkannya keluar rumah dan memulakan hidup sendirian.

Menceritakan bagaimana dia boleh mengandung anak luar nikah, Suzie berkata semuanya bermula apabila mengenali seorang lelaki berusia 30-an di kelab malam tempatnya bekerja.

Selama dua tahun hubungan Suzie dan lelaki itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri sehingga satu hari dia mengetahui lelaki terbabit sudah berkahwin.

“Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri teman lelaki saya dan sebaik ditanyakan perkara itu, teman lelaki saya mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Hancur luluh hati ini apabila mengetahui perkara itu, namun kerana sayang kepadanya, saya bersabar sehingga satu hari saya disahkan hamil,” katanya.

Namun, apabila mengetahui perkara ‘gembira’ berkenaan, dia ditinggalkan lelaki terbabit kerana tidak percaya anak yang dikandungnya itu hasil hubungan cinta mereka.

Suzie yang pada mulanya mahu menggugurkan kandungannya ‘menyimpan’ janin terbabit kerana kononnya mahu teman lelaki bertanggungjawab, tetapi lain jadinya, sehinggalah didatangi pasangan berkenaan yang ingin membeli bayi itu.

Dia yang kini tinggal beberapa hari saja untuk bersalin, mengakui insaf dan tekad untuk membela bayinya itu sendiri selepas diberi suntikan semangat dan bimbingan agama sepanjang tempoh ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/BayiditempahRM22_000/Article

Bantu kembali ke pangkal jalan

KUALA LUMPUR: “Ada sedikit perubahan pada Suzie berbanding hari pertama dia di rumah ini, dulu berpakaian seksi, tetapi kini memakai pakaian muslimah,” kata pengasas Kem Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, 45, mengenai perubahan Suzie.

Beliau berkata, bukan mudah mengubah seseorang yang sudah 17 tahun bergelumang maksiat hingga kini mengandung anak luar nikah, namun pihaknya kini sedaya upaya memulih akidah dan rohani Suzie supaya menjadi wanita solehah.

“Kami cuba membantunya kembali ke pangkal jalan walaupun tugas ini sukar memandangkan pekerjaan Suzie sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya memerlukan tempoh masa lama untuk memberi pemahaman mengenai Islam dan adat Melayu kepadanya.

“Suzie datang daripada keluarga yang agak pincang, namun Alhamdulillah di sebalik kerjayanya sebagai seorang pelayan pelanggan (GRO), dia masih mampu mengucap kalimah syahadah dengan lancar dan tahu asas Islam,” katanya.


Menurut Yahya, dalam tempoh tiga minggu Suzie ditempatkan di rumah ini (Kewaja), agak sukar juga pada mulanya untuk mendidik Suzie memandangkan dia wanita yang agak keras kepala dan sukar untuk diajar.

“Namun, ini mungkin ujian Tuhan untuk kami suami isteri kerana sudah lali dengan masalah remaja yang kuat memberontak.

“Mungkin Tuhan masih sayangkan Suzie maka dia dilorongkan ke rumah ini untuk berubah dan tidak mustahil anaknya yang bakal lahir menjadi insan berguna pada agama dan negara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantukembalikepangkaljalan/Article/index_html

Bantu kembali ke pangkal jalan

KUALA LUMPUR: “Ada sedikit perubahan pada Suzie berbanding hari pertama dia di rumah ini, dulu berpakaian seksi, tetapi kini memakai pakaian muslimah,” kata pengasas Kem Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, 45, mengenai perubahan Suzie.

Beliau berkata, bukan mudah mengubah seseorang yang sudah 17 tahun bergelumang maksiat hingga kini mengandung anak luar nikah, namun pihaknya kini sedaya upaya memulih akidah dan rohani Suzie supaya menjadi wanita solehah.

“Kami cuba membantunya kembali ke pangkal jalan walaupun tugas ini sukar memandangkan pekerjaan Suzie sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya memerlukan tempoh masa lama untuk memberi pemahaman mengenai Islam dan adat Melayu kepadanya.

“Suzie datang daripada keluarga yang agak pincang, namun Alhamdulillah di sebalik kerjayanya sebagai seorang pelayan pelanggan (GRO), dia masih mampu mengucap kalimah syahadah dengan lancar dan tahu asas Islam,” katanya.


Menurut Yahya, dalam tempoh tiga minggu Suzie ditempatkan di rumah ini (Kewaja), agak sukar juga pada mulanya untuk mendidik Suzie memandangkan dia wanita yang agak keras kepala dan sukar untuk diajar.

“Namun, ini mungkin ujian Tuhan untuk kami suami isteri kerana sudah lali dengan masalah remaja yang kuat memberontak.

“Mungkin Tuhan masih sayangkan Suzie maka dia dilorongkan ke rumah ini untuk berubah dan tidak mustahil anaknya yang bakal lahir menjadi insan berguna pada agama dan negara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantukembalikepangkaljalan/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...