Showing posts with label Batu Karang and Batu Hempedu. Show all posts
Showing posts with label Batu Karang and Batu Hempedu. Show all posts

Sunday, January 25, 2009

Doktor potong kaki, tangan bekas ratu


"BRIDI sebelum tangan dan kakinya dipotong."

--------------------------------------------------------------------------------

SERRA – Seorang bekas peserta ratu cantik Brazil, Mariana Bridi kehilangan kedua-dua belah tangan dan kakinya selepas dijangkiti sejenis bakteria berbahaya, lapor sebuah akhbar semalam.

Bridi, 22, menjalani beberapa pembedahan pada minggu ini selepas dijangkiti kuman tersebut yang merebak ke dalam saluran darah dan dia kini berada dalam keadaan kritikal.

Kekasih Bridi, Thiago Simoes berkata, model itu jatuh sakit pada 30 Disember lalu dan doktor memberitahu dia mengalami masalah batu karang sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Dua hari selepas itu, Bridi yang juga seorang model dimasukkan semula ke sebuah hospital di bandar Serra selepas keadaannya bertambah buruk.

Doktor kemudian mendapati darah tidak mengalir di kedua-dua belah tangan dan kaki wanita itu akibat satu jangkitan oleh bakteria yang dikenali sebagai pseudomonas aeruginosa.

Pakar kemudian memutuskan untuk memotong kedua-dua kaki Bridi dan pada Selasa lalu kedua-dua belah tangan wanita malang itu juga terpaksa dipotong.

Mata kanannya turut buta dan dia kini dalam proses untuk menyaman hospital itu.

Bridi sebelum ini memasuki peringkat akhir pertandingan Ratu Cantik Brazil pada 2006 dan 2007 selain pernah mewakili Brazil dalam pertandingan Ratu Cantik Antarabangsa Bikini 2007 di China. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Thursday, January 22, 2009

Doktor keluarkan batu karang gergasi


SEORANG doktor, Judit Csorba (kiri) menunjukkan batu karang gergasi yang berjaya dikeluarkan dari perut Sandor Sarkadi (kanan) di Hospital Kenez Gyula, Hungary.

--------------------------------------------------------------------------------



DEBRECEN - Sekumpulan doktor di Hungary terkejut besar apabila mengeluarkan seketul batu karang sebesar buah kelapa kecil dari perut seorang pesakit, lapor sebuah akhbar semalam.

Pesakit berkenaan, Sandor Sarkadi dirawat di bilik pembedahan Hospital Kenez Gyula di sini kira-kira 250 kilometer ke timur ibu kota Hungary, Budapest kelmarin.

Keputusan untuk melakukan pembedahan terhadap pesakit itu dilakukan selepas doktor mendapati terdapat bonjolan besar dalam perutnya menerusi pemeriksaan X-ray.

Pihak hospital memberitahu, pembedahan mengeluarkan batu karang gergasi bersaiz 17 sentimeter dengan berat 1.125 kilogram itu berjalan lancar tanpa pesakit menghadapi sebarang komplikasi.

Batu karang terbentuk dalam berbagai saiz iaitu dari sekecil bijirin sehingga sebesar bola golf.

Bagaimanapun, kes yang menimpa Sarkadi mengejutkan pihak hospital kerana saiz batu itu begitu besar.

Kebanyakan batu karang akan dibuang secara semula jadi dari tubuh manusia menerusi proses perkumuhan dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...