Showing posts with label Neighbours and Neighbourhood. Show all posts
Showing posts with label Neighbours and Neighbourhood. Show all posts

Tuesday, February 8, 2011

Perogol jiran dijel 15 tahun

KOTA BHARU: “Tertuduh bukan saja menyebabkan trauma kepada mangsa yang berfikiran seperti usia enam tahun, malah lebih memberi kesan teruk apabila perbuatannya menyebabkan kelahiran seorang anak,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Rofiah Mohamad sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Mokhtar Hassan, 52, yang didapati bersalah merogol seorang remaja lembam, empat tahun lalu.

Bekas pengawal keselamatan itu didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun pada April 2006.


Berdasarkan pertuduhan, mangsa yang juga jiran tertuduh, dirogol pada waktu siang di rumah berhampiran tadika Berdang, Kampung Berdang, Jeli.

Akibat perbuatan sumbangnya, mangsa melahirkan bayi pada 12 Februari 2007.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.


Pada prosiding semalam, tertuduh diwakili peguam, Faizal Abdul Rahman manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan itu serius.


Katanya, tertuduh mengambil kesempatan terhadap jirannya sendiri selain keadaan mangsa yang tidak seperti remaja lain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perogoljirandijel15tahun/Article/index_html

Hilang sabar dituduh pikat isteri jiran

AMPANG: Tidak tahan dengan kerenah jiran yang suka membuat kacau, seorang lelaki yang selama ini bersabar akhirnya membuat laporan polis apabila dia sekeluarga diugut bunuh oleh jirannya itu.

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Dagang, di sini, Jumaat lalu dan mangsa, seorang ahli perniagaan berusia 40-an mendakwa sebelum ini dia sering diganggu jirannya itu dan dia pernah dituduh cuba memikat isteri serta menantu jirannya itu.


Menurut sumber, mangsa bagaimanapun hilang sabar dan akhirnya membuat laporan polis selepas dia sekeluarga diugut bunuh.

“Ketika itu, mangsa berada di rumah kira-kira jam 7 malam sebelum jiran dan anaknya sengaja cuba menyakitkan hati dengan meletakkan kereta di depan rumahnya.


“Mangsa yang ingin menegur perbuatan itu bagaimanapun dimaki hamun selain diugut akan dipukul,” katanya.


Sumber berkata, ketika kekecohan itu ramai jiran lain yang keluar untuk melihat apa yang berlaku dan rakan anak jirannya itu sengaja cuba memalukan mangsa apabila mereka memekik dan menuduh mangsa cuba memikat isterinya.

“Mangsa bagaimanapun tidak pedulikan suspek sebelum jirannya datang meluru dan menendang motosikalnya.


Menurutnya, jirannya itu kemudian bertindak samseng dan meminta anaknya menunggu di depan rumah mangsa bertujuan untuk menakutkannya.

“Mangsa yang bimbang dengan keadaan itu menghubungi polis dan tidak lama kemudian anggota peronda tiba dan cuba menenangkan keadaan sebelum meleraikan pergaduhan itu,” kata sumber.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hilangsabardituduhpikatisterijiran/Article/index_html

Thursday, October 28, 2010

Hukum gantung kerana bunuh jiran

GEORGETOWN - Seorang wanita pengsan sebaik suaminya dijatuhi hukuman mati mandatori atas kesalahan membunuh jirannya, empat tahun lalu.

Sharifah Maimunah Isa Ismail, 47, pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya selepas keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman.

Sebaik mahkamah ditangguhkan, wanita itu mula menangis kerana gagal menahan sebak dan tiba-tiba rebah kerana pengsan sehingga menimbulkan sedikit kekecohan di dalam kamar.

Tetuduh, Omar Sharif, 50, kelihatan tenang sewaktu mengusap isterinya dan duduk berhampirannya sehingga wanita itu sedar kira-kira lima minit kemudian.

Sebelum itu, Abdul Halim berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, penjual nasi tomato di Taman Tun Sardon, dekat sini.

Sepanjang kes itu, mahkamah menilai dan meneliti keterangan 22 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

“Berdasarkan keterangan, tertuduh yang juga saksi pembelaan tidak konsisten dan jelas mereka-reka cerita untuk mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan mangsa sebenarnya dibunuh pembantu gerainya, seorang warganegara Myanmar, Farouk Khan, 25," kata Abdul Halim.

Katanya, peranan Farouk adalah lebih kepada pembantu sahaja manakala Omar adalah ‘master mind’ yang melakukan pembunuhan itu semata-mata untuk mendapatkan barang kemas dan hasil jualan barang milik mangsa.

“Keterangan pihak pembelaan pula hanya bersifat penjelasan kepada mahkamah bagi membuktikan tertuduh tidak mempunyai masalah kewangan untuk membunuh mangsa.

“Namun, ia tidak boleh dianggap sebagai bukti munasabah kerana tidak semestinya orang miskin melakukan pembunuhan. Oleh itu, keterangan saksi pembelaan tidak cukup kukuh untuk dipertimbangkan bagi menimbulkan kesahihan dalam kes ini,” katanya.

Omar didakwa membunuh Faridah Mohd Sharif, 46, antara jam 11 pagi dan 2 petang di rumah No 307-I, Jalan Datuk Keramat, dekat sini, dalam pergelutan meragut barang kemas milik mangsa.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir manakala Omar pula diwakili peguam, N Agilan.

Tiada sesalan di wajah pembunuh


DI rumah inilah Faridah dibunuh oleh Omar (gambar kecil) sebelum mayatnya dibuang di kawasan belukar di Persiaran Minden, George Town pada 12 September 2006.


GEORGE TOWN – “Nasiblah!” Selain ungkapan tersebut, seorang peniaga makanan, Omar Shaari ternyata tidak menunjukkan sebarang sesalan pada wajahnya selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini semalam.

Omar, 49, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas didapati bersalah membunuh jirannya, Faridah Mohd. Sharif, 46, yang mayatnya ditemui hampir reput di kawasan belukar di Persiaran Minden di sini empat tahun lalu.

Kata-kata ringkas Omar itu ternyata menyentap perasaan galeri awam apatah lagi ditambah dengan tindakannya tersenyum sambil mengangkat bahu ke arah abang kandung, isteri dan anaknya yang turut berada di situ selepas mendengar penghakiman Abdul Halim.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Penjual nasi bunuh rakan dihukum mati

GEORGETOWN: Seorang penjual nasi tomato dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas bersalah membunuh rakan sepermainannya empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi Georgetown, di sini, semalam.

Tertuduh, Omar Shaari, 49, berasal dari Perak didakwa membunuh Faridah Mohd Shariff, 46, di rumah bernombor 307-1, Kampung Makam, Jalan Datuk Keramat antara jam 11 pagi dan 2 petang pada 12 September 2006.


Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan pada akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.


Beliau berkata, pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir, berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah serta tuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Pembelaan dikemukakan pada sesi pembelaan diri adalah bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepada pembelaannya, oleh itu, saya menjatuhi hukuman gantung sampai mati kepada anda,” katanya, semalam.


Menurutnya, tertuduh yang diwakili peguam bela N Ahilan mereka-reka cerita dan cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan menyatakan Faridah sebenarnya dibunuh oleh pembantunya yang juga seorang warga Myanmar, Farouk Khan, 25.

Katanya, keterangan tertuduh yang mendakwa Farouk menarik dan membuang mayat mangsa di kawasan belukar di Minden Heights tanpa bantuan sesiapa tidak masuk akal apatah lagi Farouk tidak mengenali mangsa.


“Sebenarnya tertuduh adalah dalang sebenar dalam melakukan jenayah ini dan Farouk hanya seorang pembantu kepadanya, ia dibuktikan melalui keterangan saksi yang menyatakan melihat sebuah kereta berada di hadapan rumah tertuduh sewaktu hari kejadian.


“Keterangan kedua-dua isteri tertuduh pula hanya menjelaskan keluarga mereka tiada sebarang masalah kewangan, ia adalah tidak berkaitan dengan kesalahan jenayah malah tidak menjejaskan keterangan saksi utama pendakwaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjualnasibunuhrakandihukummati/Article/index_html

Wednesday, September 15, 2010

Jiran Bunuh Ustazah, Anak Dihadapkan Ke Mahkamah

Rabu September 15, 2010

SEREMBAN: Jiran kepada seorang ustazah dan anaknya yang ditemui mati di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lepas, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh dua beranak itu.

Ali Tan Abdullah, 34, dituduh membunuh Norliza Ishak, 35, dan anaknya Amirul Ayman Mohd Yusof, 10, di B5-1-09B, Flet Win Min, Pasar Baru, Port Dickson di antara 3.15 petang, 2 September hingga 10.15 pagi, 3 September lepas.

Ali Tan, pekerja pemasang paip gas industri, didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Majistret M. Mageshwary kemudian memutuskan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah kerana kes pembunuhan itu berlaku di kawasan itu.

Beliau menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Tertuduh diwakili peguam John Fernandez. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/15/mstar_mahkamah/20100915121232&sec=mstar_mahkamah

Bunuh jiran untuk bayar hutang


DI rumah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson inilah tempat Norliza dan anaknya mati dibunuh pada 3 September lalu.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN - Polis merungkai kes pembunuhan seorang ustazah dan anaknya di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lalu yang dipercayai dilakukan oleh jiran mereka.

Jirannya itu, seorang lelaki berumur 34 tahun, dikatakan membunuh dan menyamun Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutangnya.

Suspek yang telah 12 hari direman sejak 6 September lalu dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

"Jiran mangsa dipercayai menghadapi masalah kewangan selepas tidak mendapat kontrak pemasangan paip gas sejak beberapa lama.

"Hasil samun terhadap mangsa kesemuanya berjumlah RM2,800. Suspek telah menggunakan untuk membuat bayaran hutang tertunggak seperti pembayaran rumah, kereta dan sebagainya,"
kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Angkara jiran dekat rumah

Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/09/14

SEREMBAN: Siasatan polis mendapati kes bunuh seorang ustazah dan anak lelakinya di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, awal bulan ini, bermotifkan samun dengan suspek menggunakan taktik konon tertinggal kunci sebelum memasuki rumah mangsa untuk menyusup masuk melalui tingkap belakang.

Suspek berusia 34 tahun yang juga jiran mangsa kemudian mengikat tangan dan menutup mulut dua beranak itu, Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, menggunakan tali, pita pelekat serta kain sarung sebelum meletakkan mereka dalam bilik mandi rumah terbabit.

Suspek dikatakan turut bertindak kejam dengan membuka air pancuran mandi sebelum menghempap mangsa menyebabkan mereka sukar bernafas dan meninggal dunia. Suspek melarikan barangan peribadi mangsa termasuk barang kemas, telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai dan menjual sebahagian barangan itu bernilai ribuan ringgit di kedai pajak gadai.


Suspek menyimpan wang itu dalam akaun bank miliknya dipercayai bagi melunaskan hutang termasuk membabitkan pembayaran ansuran kenderaan dan bil lain.


Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh yang berkata, suspek, seorang mualaf, mengaku semua perbuatan itu sepanjang proses soal siasat dijalankan terhadapnya sejak dalam tahanan polis.

“Suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan berpura-pura tertinggal kunci dalam rumahnya dan perlu memasuki kediaman mangsa untuk memanjat masuk melalui tingkap belakang di bahagian dapur. “Sejurus memasuki rumah dua tingkat itu, suspek kemudian menghentak mangsa menggunakan siku dan mengikat kedua-dua tangan mangsa.


“Anak lelaki mangsa yang menyedari perkara itu bertindak menjerit sebelum tangannya turut diikat. Dua beranak itu seterusnya diletakkan dalam bilik mandi dengan kepala serta mulut ditutup dengan kain dan pita pelekat,” katanya pada sidang media, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh.


Menurutnya, hasil penahanan, suspek turut membawa kepada penemuan semula beberapa barangan milik mangsa yang dicuri iaitu barang kemas, tiga telefon bimbit, sebuah komputer riba dan pemain ‘laystation serta sejumlah wang tunai. “Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas melakukan samun kerana mempunyai masalah kewangan selepas tidak mempunyai kontrak kerja beberapa bulan,” katanya yang turut memberitahu isteri dan anak suspek tiada di rumah ketika kejadian kerana berada di Sabah.


Beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kes kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.


Ditanya sama ada wujud unsur rogol dan liwat dalam kejadian itu, Osman berkata, pihaknya masih menunggu laporan DNA bagi mengesahkan perkara berkenaan.


“Berdasarkan laporan bedah siasat, ada kecederaan pada kemaluan kedua-dua mangsa yang disahkan mati akibat sesak nafas, namun kami masih menunggu keputusan ujian,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Angkarajirandekatrumah/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...