Showing posts with label Hudud dan Qisas. Show all posts
Showing posts with label Hudud dan Qisas. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

LIWAT ISTERI BAWAH TA’ZIR BUKAN HUDUD

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 23RD, 2011

Dr Khairuddin Razali

Liwat isteri menurut Mazhab Syafie adalah perlakuan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir. Menurut al-Imam al-Syarbini:- seorang tokoh Mazhab Syafie- “Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani –salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’I al-Sana’i`:

“dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, m/s 24. Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.

Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.

Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)

Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“ (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)

Seksyen 14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/

Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.

Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal? Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud.
Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.

Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negative kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir? Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.

Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof –salah seorang tokoh mazhab Hanafi-.

Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

http://www.kl-today.com/2011/10/liwat-isteri-bawah-tazir-bukan-hudud/

Saturday, October 22, 2011

Zulkifli Noordin ‘jahil murakkab’ tentang hudud

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas), Zulkifli Noordin menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri. Tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu.

Menurut beliau berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat.

"Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat.”

Adalah suatu yang malang bagi profesion guaman di negara ini mempunyai seorang peguam seperti Zulkifli Noordin yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.

Daripada kenyataan beliau di atas adalah jelas bahawa Ahli Parlimen yang "bebal" syariah ini nampaknya terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan. Mereka yang tidak, seperti dikatakan oleh Abul A'la Maududi, mengetahui ABC mengenai undang-undang syariah mungkin dapat diragukan oleh orang yang ragu seperti Zukifli Noordin.

Hujah beliau yang mengatakan bahawa seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan alasan- alasan berikut.

Pertamanya seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

Jika dilihat kepada seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.

Seksyen 15 Enakmen yang sama memperuntukkan “ Sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.

Hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan ( lihat seksyen 13 (2) Enakmen yang sama dan rejam sehingga mati bagi yang Muhsan (lihat seksyen 12 ( 2 ) Enakmen yang sama.

Adalah jelas di dalam memperuntukkan hukuman bagi kesalahan liwat sama dengan hukuman hadd ke atas penzina pihak penggubal undang-undang syariah Terengganu telah mengambil pendapat Imam Malik, Syafie dan Imam Ahmad yang berpandangan bahawa liwat wajib dikenakan hukuman hadd seperti hadd ke atas pesalah zina disebabkan “li wujudin ma’na al-zina fihi” ( kerana kewujudan makna zina padanya) .

Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan seksyen 14 Enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa “selain daripada isterinya” suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd.

Kebodohan hujah tersebut timbul kerana beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir. Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud.

Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?

Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah di dalam bukunya yang terkenal “Tasyri’ Janaie” terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia “menggunapakai hartanya ” mengikut kehendaknya. Dan prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd (idraul hudud bisyubhah).

Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir.

Jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh gapah membaca keseluruhan Enakmen tersebut dia akan pasti dapat melihat seksyen 3 Enakmen yang sama (apa yang dipanggil proviso ) yang menyatakan secara jelas.

“Dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”

Seksyen 3 Enakmen tersebut sekaligus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli Noordin cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ianya hanya satu kesalahan takzir. Dan Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.

Jika Zulkilfli jujur dalam hujahnya beliau sepatutnya mengkritik “hudud Umno”. Dalam undang-undang yang Umno gubal di Wilayah Persekutuan liwat hanya salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.

Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya TIDAK dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum

Renungan kepada Zulkifli Noordin: Undang-Undang mana yang lebih melindungi wanita? Ingatlah saudara Zulkifli hanya kerana anda berkopiah bukan bermakna anda layak bercakap tentang undang-undang hudud. Berhentilah jadi jahil murakkab (orang jahil yang tidak tahu dia jahil).


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/6117-zulkifli-noordin-jahil-murakkab-tentang-hudud

Saturday, October 15, 2011

HANYA MUSLIM JAHAT TAKUT HUDUD

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 15TH, 2011

Pertamanya tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling menghormati dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti komponen. Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan dapat direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja dalam Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar.

Tulisan ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha, menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu takut.

Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan (kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam. Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri, tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.

Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama.

Namun, jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran).

Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey “semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka.

Dalam kes qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri seolah-olah tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap dakwaan liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka kata ini bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga JAWI ( Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk dilibatkan atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang berkata bila ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan perjalanan tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik supaya orang non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam.

Apa yang susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam mendakwa DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr Munawar Anees seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah syariah? Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan perjalanan kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya digunakan demi menegakkan keadilan.

Satu ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju? Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya. Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim?

Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.

Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?

Apa pun, tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat menghadapi isu ini. PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan kepada rakyat menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad bekal mengadap Allah di akhirat kelak.

http://www.kl-today.com/2011/10/hanya-muslim-jahat-takut-hudud/

Saturday, August 20, 2011

Apa perlu Akta Jenayah Aqidah?

Thursday, 11 August 2011 14:25 Editor


- Laksanakan Hudud dan Qisas
KUALA TERENGGANU
– Pas mempersoalkan cadangan mewujudkan Akta Jenayah Akidah bagi tujuan mengelak murtad sama ada ia sesuai atau tidak dengan kehendak syariat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, walaupun menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga akidah umat, namun akta tersebut perlu diberi perincian untuk memastikan ia benar-benar selari mengikut syariat yang telah ditetapkan.

“Dalam undang-undang yang ada di Malaysia, tiada menyebut sebarang hukum berkait dengan murtad.

“Kita tidak tahu apa isi kandungan berdasarkan akta yang dicadangkan itu sama ada ia menepati syariat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, Pas tidak menolak hasrat tersebut yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah dalam usaha menjaga akidah umat Islam,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan atau dibentangkan di Parlimen bagi memastikan tiada usaha memurtadkan orang Islam berlaku di negara ini.

Beliau berkata, akta itu diperlukan untuk membendung gejala murtad, malah usaha memesongkan akidah orang Islam itu seolah-olah bukan rahsia lagi.

Dalam masa sama, walaupun menganggap cadangan tersebut baik, Abu Bakar menegaskan ia bukan isu baru kerana Pas sendiri sudah lama memperjuangkan hukum hudud dan salah satunya untuk memerangi gejala murtad.


Bagaimanapun, be-liau mendakwa kerajaan belum berhasrat melaksanakan syariat Islam apabila ia tidak diberi perhatian dan sering memberi jawapan yang tidak meyakinkan

“Kalau mereka melihat kepentingan menjaga akidah umat Islam, sudah tentu perkara yang begitu lama diperjuangkan Pas dilaksanakan terutama berhubung hudud dan qisas.

“Apabila kita panjangkan isu ini, mereka (kerajaan Persekutuan) beri pelbagai jawapan seperti akan mengkaji secara mendalam, akan ambil cada-ngan untuk dipertimbangkan atau dilaksanakan dan ada juga jawapan bahawa ia tidak sesuai dengan negara kita,” katanya.


Beliau berkata, Pas yang masih kukuh dengan perjuangan untuk mengembangkan syiar Islam pernah menggubal undang-undang jenayah di peringkat negeri sesuai dengan syariat Islam ketika memerintah Terengganu pada penggal 1999-2004.


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3897:apa-perlu-akta-jenayah-aqidah-laksanakan-sahaja-hudud-dan-qisas&catid=36:berita-nasional&Itemid=84

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...