Showing posts with label Fire Tragedy. Show all posts
Showing posts with label Fire Tragedy. Show all posts

Friday, July 29, 2011

Hospital Kuala Lumpur terbakar, satu pesakit maut

Jul 29, 11 1:33pm

Wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur terbakar tengah malam tadi menyebabkan seorang pesakit maut, dipercayai akibat terhidu asap tebal.

Pihak pentadbiran HKL ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kejadian itu tetapi akan hanya mengeluarkan kenyataan petang ini setelah maklumat sebenar mengenai kenyataan itu diperoleh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi, berkata kebakaran dikatakan berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam dan pihak Bomba menerima panggilan setengah jam kemudian.

"Anggota bomba tiba tujuh minit selepas mendapat panggilan dan ketika itu petugas HKL sedang bertungkus lumus memadamkan api serta mengeluarkan asap dari bilik itu kerana cuba menyelamatkan pesakit lelaki berkenaan.

"Selepas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan asap dari bilik tersebut, mangsa didapati sudah tidak bernyawa.

"Pesakit lain yang berada di luar bilik berkenaan terpaksa dipindahkan ke bilik lain kerana dibimbangi asap tebal akan membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Azizan berkata, dua jentera bomba dari Balai bomba Chow Kit dan Sentul dengan 20 anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171405

Wednesday, December 15, 2010

6 dibaham bebola api

6 dibaham bebola api

Oleh Nazdy Harun

MANGSA LETUPAN...(atas dari kiri) Mohd Hamzah, Alias, Mohd Fauzi dan Zamri manakala (bawah) Mohd Rishauddin dan Mohd Arif dirawat di HSNZ.
MANGSA LETUPAN...(atas dari kiri) Mohd Hamzah, Alias, Mohd Fauzi dan Zamri manakala (bawah) Mohd Rishauddin dan Mohd Arif dirawat di HSNZ.

KUALA TERENGGANU: “Saya nampak satu bebola api menuju ke arah kami ketika saya dan rakan dalam proses menamatkan syif di pelantar minyak Bekok C.

“Saya dan lima rakan lain terkena bebola itu menyebabkan kami mengalami lecur di beberapa anggota badan termasuk di muka,” kata Alias Abdullah, 52, seorang daripada enam pekerja yang terbabit dalam kebakaran pelantar minyak milik Petronas, kira-kira 200 kilometer dari perairan Terengganu.

Dia yang mengalami lecur kecil di muka menceritakan kejadian itu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam kelmarin, seramai 108 pekerja berada di pelantar itu, tetapi hanya enam pekerja mengalami kecederaan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada paip gas yang bocor.

Menurut Alias, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia bersama rakan tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat bebola itu meluru laju ke arah mereka.

“Kami diberikan rawatan awal di pelantar minyak sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke hospital ini untuk rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami tidak begitu parah dan hanya mengalami lecur akibat disambar api pada muka,” katanya.

Selain Alias, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Rishauddin Ismail, 37, Mohd Hamzah Abdullah, 32, Mohd Fauzi Ibrahim, 37, Mohd Arif Farimi, 28, dan Zamri Wagiman, 32.

Mohd Hamzah ketika menceritakan kejadian itu kepada Ahmad Said pula berkata, api menyambar mereka pada hujung waktu bertugas di pelantar itu.

“Ketika itu kami sibuk menyiapkan tugasan dan saya tidak tahu bagaimana kebakaran itu boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Petronas Carigali Sdn Bhd dalam kenyataan akhbar berkata, kejadian berlaku di pelantar Bekok C yang berkedudukan 200 kilometer dari pantai Semenanjung Malaysia sejurus selepas tengah malam dan api berjaya dikawal pasukan tindakan kecemasan pelantar terbabit.

“Terdapat 108 pekerja di pelantar itu ketika kejadian dan enam daripadanya mengalami kecederaan dan dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan. Baki 102 pekerja lagi dipindahkan ke pelantar berhampiran,” katanya.


Menurut kenyataan itu, aktiviti di Bekok C dihentikan sementara dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ahmad Said yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau bersyukur kerana kemalangan itu tidak mengorbankan nyawa.

“Mujur pelantar tidak meletup akibat kejadian itu kerana bilangan pekerja ketika kejadian ramai,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/6dibahambebolaapi/Article

Wednesday, February 18, 2009

Identiti pembakar hutan didedahkan

Identiti pembakar hutan didedahkan


SPOWART


MELBOURNE - Identiti satu-satunya suspek yang didakwa sengaja membakar hutan di Australia didedahkan kepada umum semalam.

Pendedahan itu dilakukan ketika pihak berkuasa menggesa orang ramai yang berang dengan perbuatan tersebut supaya bertenang dan meminta mereka menghormati proses undang-undang.

Suspek pembakar hutan itu dikenali sebagai Brendan Sokaluk, 39, dan pernah bertugas sebagai ahli bomba sukarelawan.

Lelaki itu kini ditahan di satu lokasi rahsia oleh pihak polis demi keselamatannya selepas dia ditahan minggu lalu kerana terbabit dalam insiden kebakaran di negeri Victoria.

Seorang peguam, Helen Spowart mewakili suspek yang melakukan kebakaran itu di sebuah mahkamah majistret.

Menurut pihak polis, jumlah kematian akibat kebakaran itu dilaporkan sebanyak 189 orang sejak 7 Februari lalu dan angka tersebut dijangka meningkat.

Kesnya disebut di mahkamah yang sesak dengan wartawan dan orang ramai tetapi suspek memilih untuk berada dalam kawalan polis dan tidak menghadiri perbicaraan.

Sokaluk ditahan pada Jumaat lepas dan menghadapi satu pertuduhan membakar dengan sengaja sehingga menyebabkan kematian dan satu dakwaan memulakan kebakaran.

Dia boleh dihukum penjara maksimum 25 tahun atas tuduhan pertama dan 15 tahun bagi tuduhan kedua.

Selain itu, lelaki tersebut turut didakwa kerana memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sunday, February 15, 2009

Angin kencang landa New York - Tiga maut, beberapa buah rumah terbakar


ANGGOTA-ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran 12 buah rumah di Woodhaven, Queens kelmarin.


NEW YORK - Angin kencang mewujudkan suasana huru-hara di kawasan perumahan Queens di sini sehingga mencetuskan kebakaran yang memusnahkan beberapa buah rumah, lapor sebuah akhbar semalam.

Angin selaju 96 kilometer sejam itu menyebabkan pokok tumbang manakala debu berterbangan dari beberapa buah kawasan pembinaan kelmarin.

Seorang penduduk Pulau Staten, Robert McGee, 59, mati setelah ditimpa dinding konkrit setinggi 18 meter.

Dua orang wanita turut terbunuh akibat ditimpa dahan pokok tumbang di New Jersey.

Angin turut menyebabkan kebakaran yang menjilat 12 rumah di Woodhaven sehingga memaksa penduduk setempat tinggal sehelai sepinggang.

Pihak polis percaya kebakaran itu adalah akibat puntung rokok yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.

Seramai 170 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di 96th Street, Atlantic Avenue sebelum ia dapat dikawal dalam tempoh sejam.

Philip Cueva yang sedang memandu apabila dia melihat asap keluar dari blok apartmennya di 96th Street, Atlantic Avenue.

"Terdapat banyak asap. Apabila saya tiba, semua orang keluar. Pertama kali ayat yang keluar daripada mulut saya adalah syukur, anak saya selamat," katanya.

Seramai dua anggota bomba cedera manakala dua orang awam mengalami cedera ringan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Friday, February 13, 2009

Polis Australia syak orang sama laku kebakaran hutan


ALEXANDRA - Beberapa orang yang dipercayai melakukan pembakaran hutan dengan sengaja sehingga menyebabkan 21 penduduk terbunuh disyaki melakukan pembakaran kedua pada Sabtu lalu sehingga mengakibatkan lebih 100 orang maut, kata polis semalam.

Sekurang-kurangnya 181 orang terbunuh apabila hutam di selatan Australia terbakar tetapi angka kematian dijangka meningkat kepada lebih 200 penduduk.

Polis menyatakan dua orang ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran itu tetapi tidak memberitahu dakwaan yang bakal dikenakan.

"Kami percaya kebakaran di Churchill sengaja dilakukan," kata Ketua Polis Victoria, Christine NIxon kepada wartawan stesen televisyenNine Network.

Beliau menyatakan demikian dengan merujuk kepada kejadian 21 orang terbunuh dalam kebakaran pertama.

Sebelum itu, di Parlimen, Perdana Menteri Kevin Rudd menyatakan kira-kira 2,000 hingga 5,000 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran yang berlaku pada Sabtu lalu di negeri Victoria, selatan Australia. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Thursday, February 12, 2009

Proton Waja Tiba-tiba meletup

Tiba-tiba meletup




akibat masalah enjin." title="MUSNAH...Proton Waja yang meletup dan terbakar
akibat masalah enjin." height="195" width="300" border="0">
MUSNAH...Proton Waja yang meletup dan terbakar 
akibat masalah enjin.


GEORGETOWN: Orang ramai gempar apabila Proton Waja tiba-tiba meletup dan musnah terbakar ketika diletakkan di hadapan kondominium mewah di Jalan Sultan Ahmad Shah, berhampiran cawangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), malam tadi. 

Kebakaran dipercayai bermula jam 7.50 malam itu menyebabkan letupan beberapa kali, dipercayai berpunca daripada masalah enjin yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak lewat petang, semalam.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan berada dalam kenderaan berkenaan dan pemiliknya tidak dapat dikesan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd Khairi Baharuddin, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8 malam dan tiba lima minit kemudian, namun 90 peratus daripada kereta terbabit didapati rentung.

Katanya, sebaik menerima panggilan, tujuh anggota dengan satu jentera bergegas ke tempat kejadian sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian. 

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik dan punca kereta terbabit terbakar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212091142/Article/index_html

Al-Quran tidak dimakan api


HAKIMI menunjukkan al-Quran yang tidak hangus selepas rumahnya terbakar di Taman Seroja, Kangar semalam.


KANGAR – Senaskhah al-Quran ditemui masih dalam keadaan elok meskipun terlibat dalam kebakaran yang menyebabkan empat deretan rumah di tingkat atas hangus dijilat api di Taman Seroja di sini awal pagi semalam.

Penemuan itu mengejutkan pemiliknya, seorang pengawal keselamatan, Hakimi Harun, 49.

Menurut Hakimi, kitab tersebut ditemui ketika dia sedang melakukan kerja-kerja membersih rumahnya selepas operasi memadam kebakaran selesai dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.

Katanya, apa yang menghairankannya, hanya kulit al-Quran itu sahaja terbakar tetapi ayat-ayat suci di dalamnya langsung tidak terjejas bahkan tidak basah terkena air bomba.

“Semua barangan di tingkat atas seperti buku sekolah, katil dan almari pakaian rentung menjadi arang tetapi al-Quran itu ditemui dalam keadaan yang masih elok malah tidak basah terkena air sewaktu operasi memadam dijalankan.

“Penemuan ini mengagumkan saya dan ini menunjukkan tanda kebesaran Allah. Saya akan terus memelihara kitab suci ini,” katanya ketika ditemui.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Api hutan Australia bagaikan lahar


SEBUAH kawasan belukar masih terbakar di Lembah Kiewa di Pergunungan Alps, Australia semalam.


HEALESVILLE - "Saya sedar orang ramai terbunuh di sekeliling kami, saya sedar," kata Annette Smit ketika menceritakan mengenai ribut api yang memusnahkan kediamannya di Australia dan hampir meragut nyawanya.

Beliau menyatakan demikian ketika angka kematian akibat kebakaran hutan di negeri Victoria, selatan Australia meningkat kepada 181 orang.

"Ketika itu berlaku hujan api, ia bagaikan lahar," kata Smit kepada sebuah akhbar tempatan mengenai kebakaran hutan terburuk di Australia yang berlaku pada hujung minggu lalu itu.

Sebahagian hutan masih lagi terbakar manakala sebahagian kawasan berjaya dipadam oleh anggota-anggota bomba.

Polis mengesyaki kebakaran itu dilakukan dengan sengaja.

"Anda tidak dapat melihat arah tujuan anda, apa yang anda dapat lihat hanyalah jalan raya," kata Smit ketika dia dan pasangannya cuba melarikan diri dengan kereta mereka tetapi kenderaan itu meletup akibat bahang panas.

Dia dan pasangannya merupakan antara mangsa terselamat di kawasan paling teruk terjejas akibat kebakaran itu di bandar Kinglake Barat, Victoria.

Dia berkata, mereka tiada pilihan melainkan mencari tempat berlindung bersama-sama jiran lain ketika api semakin marak.

"Kami memecahkan sebuah tingkap dan berlindung di bawah rumah. Kira-kira 10 orang berusaha memadamkan kebakaran di rumah itu bagi memastikan kami selamat," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...