Showing posts with label Mat Kilau. Show all posts
Showing posts with label Mat Kilau. Show all posts

Saturday, September 10, 2011

Kalau tak pernah dijajah, kenapa sambut merdeka

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Sept: “Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam bidasan sinis sebagai reaksi spontan kepada kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

“Sekiranya benar begitu, jadi maksudnya 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka. Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?” sindir beliau lagi.

Malaysiakini melaporkan bahawa Zainal berhujah berkata “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”

“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.

Beliau turut mendakwa adalah kesalahan yang amat besar jika rakyat menyebut negara kita terjajah selama 400 tahun kerana menurutnya sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.
"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.

"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.

Berdasarkan hujah Zainal, Tuan Ibrahim bertanya secara sinis ‘adakah tarikh merdeka sebenar ialah apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia ke 2?’

“Rakyat semakin ‘fening’ di bawah pemerintahan Umno. Sebenarnya ini menandakan bahawa pemikiran rakyat masih terjajah dengan pelbagai fakta mengelirukan,” kata beliau.

Sementara itu, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir hujah yang dibuat Dr Zainal.

“Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar..” tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.

“Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada..” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar turut menyindir Zainal dengan soalan-soalan bertubi di blognya.

“Saya ingin tanya profesor yang mahir sejarah itu, apakah yang dilakukan oleh British semasa mereka melindungi Tanah Melayu dalam tempoh itu mereka tidak melaksanakan kerja-kerja menjajah Tanah Melayu.

“Siapa yang mengawal kewangan, hasil bumi serta menjaga keselamatan? “Bukankah pihak British. Apakah pengertian dilindingi berbanding dengan dijajah?

“Bukankah British melantik suruhanjayanya di negeri-negeri yang bertindak menjadi Pegawai Daerah yang mempunyai kuasa eksekutif?

Apakah hanya kerana tidak ada catatan itu maka ia diterima sebagai tidak kena dijajah atau digoreng oleh British. Semudah itukah penerimaan dan pentafsiran kita. Bukankah selama 'melindungi' itu penjajah membunuh ramai pahlawan Melayu, seperti Tok Janggut, Tok Sago dan lain-lain?

“Atau sejarah baru akan ditulis oleh Zainal dan sekutunya akan membuangkan pengikhtiraf mereka dibunuh penjajah itu sebagai penderhaka atau dalam semangat sehari dua ini komunis?” soal beliau lagi.

Jika benar apa yang dihujahkan Dr Zainal, Sayuti bertanya bagaimana pula dengan hakikat negara menyambut hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun?

“Kenapa tidak disebut atau Prof Kling maaf Zainal Kling mencadangkan kepada kerajaan ditukar menjadi sambutan hari ditidak dilindungi? Seharusnya beliau menerusi sekutunya sudah lama membuat cadangan dan bantahan apa dilakukan kerajaan itu?” soal beliau dengan sinis.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5327-kalau-tak-pernah-dijajah-kenapa-sambut-merdeka

Friday, September 9, 2011

Kajian: Mat Indera bukan komunis








Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian tersebut adalah Latihan Ilmiah untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem”.

Tambahnya, tujuan kajian tersebut adalah untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong, Muar.

Menurutnya, meskipun kajian tersebut adalah dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Haji Nawi Idrus, Ketua Pengawal Kampung (Home Guard) dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.

“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.

“Setakat kajian PPP, mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Di dalam kajian tersebut, ujarnya pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:

“Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”

Selain daripada itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.

“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.

Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Haji Ibrahim Jubah dan Haji Muhammad Yassin Muhammad (bapa Tan Sri Muhyiddin).

Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.

Malah, katanya menurut pengkaji lagi pada mukasurat 30, Haji Muhammad Yassin bin Muhammad begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

“Fakta ini sekaligus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD, bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.

Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA, sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.

Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.

“Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal,” ujarnya.

Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” mukasurat 357-358:

“Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat Nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Dato’ Dol Said di Naning, Dato’ Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu”.

Justeru, tegas Ahmad Zuhdi, PPP melihat kenyataan Tan Sri Abdul Samad Idris itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5301-kajian-mat-indera-bukan-komunis

Saturday, September 3, 2011

Mat Kilau Pahlawan Melayu

June 22, 2010
Oleh Anak Waris | Kategori Pejuang Bangsa, Sejarah

Pahlawan terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

mat_kilau
Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.

Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.

Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.

Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

mat_kilau2

Wajah Mat Kilau selepas dijumpai semula

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.

Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.

Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

mat_kilau4

Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

Dipetik dari Nakhoda Hitam, Keris Warisan

Artikel sama yang berkaitan:

  1. Raja Haji Pahlawan Teragung Nusantara Raja Haji-Yang Dipertuan Muda Riau IV-adalah pahlawan Melayu yang amat termashur. Beliau berperang melawan penjajah Belanda sejak...
  2. Pahlawan Melayu yang Hilang – Si Bongkok Baru ini, penulis ada berjumpa dengan sahabat dari selatan – Johor dan bersembang panjang, maklumlah dah lama...
  3. Dato’ Bahaman – Penentang Inggeris di Pahang Asal Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah orang besar yang...

Sub topik:


http://resam-melayu.com/2010/06/mat-kilau-pahlawan-melayu.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...