Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts
Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

PPSMI TIDAK JAMIN MALAYSIA MAJU

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 1ST, 2011

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali (gambar) berkata dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjamin Malaysia menjadi negara maju.“Dasar Kerajaan Umno ini , bila ada menteri datang, ada saja dasar baru dan ini akan merosakkan masa depan anak bangsa kita. Ini kerana kita dari awal lagi menegaskan bahawa dasar ini sebenarnya tidak akan menjamin Malaysia menjadi sebuah negara maju,”

“Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman (contohnya) tidak mengajar subjek dalam Inggeris, malah mempertahankan bahasa ibunda mereka,” kata Azmin ketika ditemui di parlimen semalam.

Mengulas tentang Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) yang tidak bersetuju dengan pemansuhan dasar tersebut, beliau berkata kerajaan perlu berbincang dengan badan itu.

“Saya kira kementerian mesti bertanggungjawab untuk bertemu dengan semua pihak. Ini kerana sebarang perancangan dasar mestilah dibuat secara terperinci, tidak tergesa-gesa dan bukan kerana kepentingan politik tetapi kepentingan anak bangsa,

“Kita mesti hormati pandangan mereka namun jika perancangan ini dibuat dari awal, supaya ada pertimbangan bagaimana dasar-dasar baru hendak dilaksanakan. Saya kira mereka boleh menerimanya,” kata Azmin.

Menurut ahli Parlimen Gombak terdapat satu kajian dari Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam teknologi dan sains, mata pelajaran seperti Matematik dan Sains perlu diajar dalam bahasa ibunda.

Azmin turut membidas pimpinan Umno kerana perlaksanaan terburu-buru PPSMI yang hanya untuk mewujudkan kontrak bagi kroni mereka, sebelum dasar itu ditarik balik.

Menurutnya lagi, dasar itu juga dibuat tanpa perancangan yang teliti seperti guru yang tidak cekap dan terlatih.

“Perlaksanaan dasar dalam negara sentiasa dibuat tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh terutamanya dengan pihak yang mempunyai kepakaran,”kata beliau.

http://www.kl-today.com/2011/11/ppsmi-tidak-jamin-malaysia-maju/

Wednesday, August 3, 2011

Konsesi 12 tahun, masih tidak untung?

Posted by admin on August 2nd, 2011

Putrajaya menegaskan Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus bertanggungjawab ke atas segala masalah dihadapi syarikat itu termasuk isu kewangan sehingga terpaksa mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji. Malah Putrajaya terkejut syarikat itu tidak “membuat duit” sedangkan jualan buku teks sekolah di seluruh negara menerusi Kementerian Pelajaran terjamin.

Ekoran masalah kewangan dialaminya syarikat itu gagal mencetak buku dan mengarahkan kesemua pekerja bercuti tanpa gaji mulai semalam.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran juga menegaskan kerajaan ada membayar sejumlah wang kepada Dawama, dipercayai berjuta-juta ringgit dan tiada sebarang bayaran tertunggak buat masa sekarang.

“Dawama harus bertanggungjawab (atas apa yang berlaku sekarang),” kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menerusi akaun Twitter beliau hari ini, mengulas isu krisis DBP-Dawama sekarang.

Wee berkata meskipun kerajaan berbuat demikian tetapi Dawama berhadapan dengan masalah kewangan.

“Dawama mencetak buku teks dan Kementerian Pelajaran bayar, jualan terjamin tetapi masih tidak dapat membuat duit (untung). Siapa yang harus dipersalahkan?” kata beliau menjawab soalan beberapa pemegang akaun Twitter pagi ini.

Sebelum ini, Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang menggesa agar kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DBP dan mengembalikan fungsi asal agensi Kementerian Pelajaran itu.

GDB berkata langkah kerajaan menswastakan urusan mencetak, mengedar dan memasarkan terbukti gagal, dan sudah tiba masanya aktiviti itu terletak di bahawa DBP sendiri selaku sebuah badan berkanun kerajaan.

Ia mahu fungsi asal DBP dikembalikan kepada kedudukan sebelum September 2002.

Bagaimanapun Wee menambah Kementerian Pelajaran akan mengadakan pertemuan dengan pekerja-pekerja Dawama jika perlu.

Dalam satu kenyataan kepada media semalam, pekerja-pekerja Dawama mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran campur tangan menyelesaikan kemelut yang menyebabkan hampir 400 orang telah diarah mengambil cuti tanpa gaji.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit berkata, tindakan pengurusan syarikat itu amat keterlaluan kerana menyebabkan kesemua kakitangan kehilangan mata pencarian.

Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.

Tegas Zainal, pihaknya juga mahu agar DBP menamatkan konsesi dengan Dawama dalam kadar segera.

Jelas beliau, tindakan itu akan membolehkan kesemua kakitangan kembali bekerjasa seperti biasa.

“Kalau kita lihat di dalam surat cuti tanpa gaji, alasan yang diberi bahawa Dawama sudah tidak mampu untuk membiayai operasi harian termasuk bayaran gaji kepada kakitangan dan kita terkejut dengan alasan yang tidak munasabah ini.

“Ini kerana sejak mendapat konsesi, Dawama memperoleh tender kerajaan yang pendapatannya dianggarkan puluhan juta ringgit, jadi kami berharap pihak berwajib menyiasat perkara ini dan kami juga mahu supaya konsesi ini ditamatkan dengan segera supaya DBP boleh mengambil alih operasi,” katanya.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Wee juga berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas Dawama jika syarikat itu gagal membekalkan buku teks kepada sekolah sebelum sesi persekolahan 2012/13 bermula.

“Saya tidak kisah. Tindakan undang-undang akan diambil jika syarikat atau pemiliknya gagal membekalkan buku! Itu sebab kami enggan membayar sebarang wang pendahuluan kepada Dawama sebagaimana diminta,” kata Wee lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mahu membawa krisis Dawama-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke Parlimen untuk rakyat sendiri mengetahui kedudukan kewangan syarikat itu.

Tegas Azmin, tindakan Dawama itu tidak mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan sehingga menyebabkan pekerja hilang punca pencarian, terutamanya menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.

“Kalau Dawama kata mereka tidak dapat keuntungan, tidak mengapa… kita akan bawa perkara ini di Parlimen dan kita akan minta agar akaun syarikat ini dibentangkan di Parlimen.

“Saya akan kaji perkara ini dan saya bersama pimpinan akan bangkitkan perkara ini di Parlimen, kita juga mahu tahu apa yang berlaku… adakah benar perjanjian konsesi ini menyebabkan syarikat tidak mendapat keuntungan,” katanya pada sidang media di depan pejabat Dawama di Hulu Klang di sini.



http://www.kl-today.com/2011/08/konsesi-12-tahun-masih-tidak-untung/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...