Showing posts with label Foreign Student. Show all posts
Showing posts with label Foreign Student. Show all posts

Monday, January 10, 2011

Buang ibu demi kekasih asing

Buang ibu demi kekasih asing

Oleh Muhd Izawan Baharin

TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.
TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.

KUALA LUMPUR: “Selama membesarkan dia, saya tak pernah terfikir yang dia tergamak membuang ibu sendiri,” rintih seorang ibu yang kini hidup merempat sejak enam bulan lalu selepas ‘dibuang’ anak perempuan tunggalnya akibat penangan cinta lelaki Iran.

Ibu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 47, kini menumpang berteduh di rumah rakan dan berpindah-randah dari satu kediaman ke kediaman lain di Seremban, Negeri Sembilan serta Selayang di sini, dengan hanya membawa lima helai pakaian.

“Saya tidak menumpang lama di rumah orang dan berpindah-randah dari rumah rakan ke rumah rakan lain selepas tinggal dua atau tiga hari. Saya tidak ada sesiapa dalam hidup ini. Selepas suami meninggal dunia pada 2008, hanya anak perempuan tunggal itu yang menjadi tempat saya bergantung.

“Namun, perkenalannya dengan seorang lelaki Iran menerusi Internet mengubah hidup saya. Saya dihambat lelaki itu keluar dari rumah manakala anak pula langsung tidak peduli, malah ‘menghiris’ hati saya apabila sanggup meminta saya pergi jauh daripada hidupnya,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup bahagia, malah perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki tempatan menghadiahkannya seorang cucu lelaki.


“Saya tidak bekerja, tetapi mujur arwah suami meninggalkan sedikit wang dan sebuah kereta kepada saya.

“Begitu juga dengan anak perempuan saya, dia berkahwin dan mempunyai kerja yang baik dengan gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Dia juga membeli sebuah apartmen di Subang Jaya dan meminta saya tinggal di situ selepas kematian suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hidupnya musnah selepas anaknya jatuh cinta dengan seorang pelajar sebuah kolej swasta warga Iran berusia 25 tahun kira-kira dua tahun lalu.

“Demi pelajar kolej swasta itu, anak saya sanggup meninggalkan suami, berhenti kerja dan duduk serumah dengan lelaki itu.

“Dia berubah, nasihat saya dibalas dengan kata-kata kesat, malah kunci apartmen miliknya yang menjadi tempat tinggal saya ditukar apabila saya keluar ke rumah rakan selepas dimintanya atas alasan kawan kekasihnya yang datang dari Iran mahu menumpang sementara waktu,” katanya.

Ani berkata, ketika cuba bertanyakan mengapa kunci ditukar, lelaki Iran terbabit menghalaunya keluar dari apartmen itu di depan anaknya dengan alasan dia cuba mengganggu kehidupan mereka.

“Saya tidak ada sesiapa di dunia ini kecuali anak saya. Dia nyawa dan jiwa saya, tetapi semuanya musnah sekelip mata disebabkan orang asing.

“Kereta milik saya juga dilelong bulan lalu kerana bayaran ansuran tertunggak dan sejak Jun lalu, saya menumpang ihsan rakan, tetapi berapa lama boleh berteduh di rumah orang menyebabkan saya sering berpindah-randah selepas beberapa hari.

“Mungkin satu hari nanti, saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak memiliki apa pun, sudahlah tiada harta, anak kesayangan pula membuang saya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Buangibudemikekasihasing/Article

Thursday, December 9, 2010

Jerat cinta lelaki Pakistan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja ditipu puluhan ribu ringgit, malah sudah terlanjur dengan lelaki warga asing dari Pakistan yang kononnya mahu berkahwin dan memberikan kesenangan kepadanya.

Semuanya bermula melalui perkenalan di sebuah laman sosial Julai tahun lalu sebelum dia jatuh cinta selepas dijanjikan kemewahan luar biasa kepadanya.


Perkenalan dengan lelaki dikenali dengan nama Malik, 24, pada mulanya hanya atas dasar kawan sebelum lelaki itu cuba memikat wanita berusia 26 tahun itu bagi membantunya dalam perniagaan yang kononnya bakal mendapat keuntungan luar biasa.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, ketika dihubungi berkata, dia kenal lelaki berkenaan yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara manakala dia ketika itu sudah bekerja di sebuah syarikat petroleum.


Katanya, selepas beberapa lama berkenalan, lelaki itu mula menceritakan perniagaan dan pelaburan yang kononnya menjamin keuntungan berlipat ganda dan mahu dia membantunya. “Dia mula meminta saya membantunya dalam perniagaan dan memperkenalkan saya dengan tiga lagi rakan serta saudaranya yang juga pelajar dan masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar.


“Mereka meminta saya membuka sebuah syarikat perniagaan menggunakan nama saya dan dijanjikan kedudukan pengarah di syarikat berkenaan,” katanya.

Dalam tempoh setahun itu Malik menggunakan hampir RM11,000 wang Ida dan berjanji membayarnya, namun janji hanya tinggal janji.


Menurutnya, dia mula sedar ditipu pada Oktober lalu apabila lelaki itu gagal dihubungi.

Katanya, syarikat yang didaftarkan atas namanya itu juga tidak beroperasi dan percaya lelaki itu hanya mahu menggunakannya bagi mendapatkan wang serta membuka syarikat berkenaan.


“Saya juga memberi kereta Proton Persona milik saya kepadanya konon untuk kegunaan perniagaan kami, namun dia menggunakannya bagi disewakan kepada pelanggan untuk mendapatkan wang poket.


“Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia mula menjauhkan diri dan keluar dari rumah yang kami tinggal bersama di Kondominium Villa Putra di sini,” katanya.


Ida berkata, mereka tinggal bersama sejak pertengahan tahun lalu dan terlanjur akibat pujuk rayu mahu menjadikan dirinya isteri dalam masa terdekat, namun selepas bertanyakan perkara berkenaan, lelaki itu mula memberi alasan tidak munasabah.


Katanya, ia lebih buruk apabila mendapat tahu seorang gadis tempatan yang juga teman wanita rakan lelaki itu yang dikenali dengan nama Waheed Abas juga sudah mengandung akibat termakan janji manis rakannya itu dan terpaksa menggugurkan kandungannya.


Ida berkata, dia mengambil tindakan membuat laporan polis kerana bimbang ramai lagi gadis tempatan menjadi mangsa lelaki berkenaan mendapatkan wang dan memuaskan nafsu mereka.


Menurutnya, dia membuat dua laporan polis pada Oktober dan bulan lalu berkenaan penipuan empat lelaki warga asing berkenaan dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya sebelum lebih ramai wanita lain terjebak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JeratcintalelakiPakistan/Article/index_html

Sunday, November 7, 2010

Pesona cinta Afrika

Pesona cinta Afrika

Oleh MOHD NUR ASNAWI DAUD dan ISKANDAR SHAH MOHAMED


PORAK PERANDA... warga Afrika menggoda isteri Johan melalui SMS.
PORAK PERANDA... warga Afrika menggoda isteri Johan melalui SMS.

SEREMBAN: Hampir saban hari dia melihat isterinya berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) tapi menganggap ia perkara biasa pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Namun, situasi yang dianggap biasa itu menjadi ‘racun’ dalam rumah tangga Johan, 40-an, apabila isterinya rupa-rupanya menjalin hubungan sulit dengan lelaki Afrika.

Lebih menyedihkan kakitangan kerajaan itu, ‘selera’ isterinya sangat pelik apabila mudah terpengaruh dengan ayat manis dan bentuk fizikal ‘Awang Hitam’.

Wanita berusia lingkungan 40-an yang mempunyai perniagaan sendiri itu dikatakan dua kali terpedaya dengan janji manis dua lelaki Afrika untuk sehidup semati hingga sanggup melakukan apa saja, termasuk menggadai barang kemas.

Malah, pasangan berkenaan pernah bercerai gara-gara penangan asmara lelaki Afrika pertama sebelum diberi peluang kedua oleh suaminya.

Namun, wanita berkenaan tidak serik dan menjalin percintaan dengan lelaki Afrika lain, dipercayai rakan kepada kekasih pertamanya.

Perkara itu dibongkar Johan ketika ditemui wartawan Metro Ahad di satu lokasi di Nilai, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Johan, dia mula menyedari perubahan sikap isterinya pada pertengahan Jun tahun lalu.

“Mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun semakin hari dia semakin pelik. Bila terima panggilan telefon, dia berlari dan bercakap jauh daripada saya dan anak.

“Malah, dia (isteri) dilihat sering bermain SMS dan kerap termenung seorang diri,” katanya yang dikurniakan lima anak hasil perkahwinan dengan isterinya sejak 20 tahun lalu.

Menceritakan lanjut mengenai kisah malang menimpa keluarganya, Johan berkata, isterinya dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki Afrika yang belajar di kolej swasta di sekitar Nilai.

Katanya, perkenalan itu berlaku selepas isterinya bertemu lelaki berkenaan atas urusan kerja di rumah warga Afrika itu di Nilai dan mereka dipercayai bertukar-tukar nombor telefon.

“Sejak itu, lelaki warga Afrika berkenaan menggoda isteri saya melalui SMS sebelum mereka disyaki menjalin hubungan cinta selepas beberapa lama pertemuan itu.

“Rahsia isteri terbongkar selepas saya berjaya menghidu perbuatannya beberapa hari sebelum Aidilfitri tahun lalu. Dia mengaku keluar berjumpa lelaki Afrika terbabit, menyebabkan kami bertengkar. Saya cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina lebih 20 tahun namun gagal, menyebabkan kami bercerai hujung tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Johan berkata, isterinya mula menunjukkan perubahan sikap membuatkan hatinya terbuka untuk menerima semula isterinya sebagai teman hidup selain demi masa depan anaknya dan mereka berkahwin kali kedua Jun lalu selepas lelaki Afrika itu pulang ke negara asalnya.

Menurutnya, isterinya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima anaknya.

“Bagaimanapun, janjinya hanya bertahan kira-kira tiga bulan apabila dia sekali lagi terpedaya dengan cinta palsu seorang lelaki warga Afrika, dipercayai rakan kepada teman lelakinya sebelum itu.

“Saya syak dia (lelaki Afrika itu) seolah-olah menyerahkan isteri saya kepada rakannya selepas pulang ke negara asal,” katanya.

Johan berkata, lelaki warga Afrika terbabit yang petah berkata-kata itu mendakwa dirinya ahli perniagaan dan seolah-olah ingin mempergunakan isterinya untuk kesenangan hidupnya.

Katanya, daripada apa yang dia tahu, isterinya sanggup menggadai barang kemas dipercayai untuk membantu lelaki terbabit.

“Yang menyedihkan saya, isteri sekali lagi mengulangi perangai lama dan keluar dengan lelaki Afrika terbabit tanpa diketahui tujuan. Malah, adiknya pernah terserempak isteri saya jalan beriringan dengan lelaki Afrika itu di bandar ini.

“Rumah tangga saya sekali lagi bergolak dan isteri saban hari menuntut supaya dia diceraikan, dipercayai selepas terpedaya dengan cinta palsu lelaki Afrika itu. Sehingga sekarang saya masih cuba mempertahankan rumah tangga demi anak.

“Saya mendedahkan perkara ini bukan bertujuan mengaibkan sesiapa atau membuka pekung di dada, namun sekadar ingatan kepada golongan wanita, terutama berstatus isteri orang, supaya tidak mudah cair dengan cinta palsu lelaki Afrika yang ingin mempergunakan diri untuk kesenangan mereka,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Johan membuat tiga laporan polis mengenai perbuatan lelaki Afrika itu yang memporak-perandakan keluarganya.

http://www.hmetro.com.my/articles/PesonacintaAfrika/Article

Friday, November 5, 2010

Kasanova Nigeria dipenjara


Khairun Azhan (kiri) dan Samuel dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang kasanova Nigeria yang sanggup mengurung seorang wanita Filipina dan mencederakan mangsa menerima balasan di Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Dia yang merupakan pelajar kolej swasta di negara ini memperdayakan mangsa yang berusia 45 tahun selepas menaburkan janji untuk mengahwininya selepas berhubungan di Internet.

Janji-janji cinta kasanova yang menyamar sebagai seorang duda bangsa Amerika Syarikat itu telah mendorong mangsa datang ke Malaysia dari Filipina.

Namun impian wanita itu untuk dikahwini lelaki kasanova itu berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia dikurung di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Tertuduh, Oparaugo Uchenna Samuel, 27, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku bersalah melakukan jenayah itu pada Disember tahun lalu.

Di mahkamah sama, teman wanita Samuel yang merupakan rakyat tempatan, Nurrul Atika Baharuddin, 21, dan rakan pasangan itu, Khairun Azhan Mohammed Aziddin, 25, pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Nurrul Atika dan Khairun Azhan dijatuhi hukuman itu setelah mereka mengaku bersalah tidak melaporkan perbuatan Samuel.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Friday, July 9, 2010

253 andartu ditipu RM4j



Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/09

KUALA LUMPUR: Dengan hanya bermodalkan komputer peribadi, sekumpulan pelajar kolej swasta dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM4.7 juta melalui janji manis dan perkenalan singkat dengan rakan di laman sosial.

RAMPAS...Rohaimi menunjukkan  komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
RAMPAS...Rohaimi menunjukkan komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
Pelajar terbabit terdiri daripada warga asing mensasarkan golongan andartu sebagai ‘rakan baik selamanya’ dalam laman sosial itu sebelum memperdaya mereka kononnya ingin menghantar bungkusan hadiah istimewa berupa barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman), Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kumpulan terbabit dikenali sebagai ‘African Scam’ dikesan bergiat aktif sejak awal tahun ini dan sehingga kini, sudah memperdayakan 253 mangsa membabitkan kerugian RM4.7 juta.

“Setakat ini, polis sudah menahan 21 pelajar warga asing terbabit dalam beberapa siri serbuan dalam tempoh dua minggu lalu di sekitar Jalan Ampang, Puchong dan Kajang hasil laporan dibuat mangsa.

“Daripada tangkapan itu, 16 daripadanya warga Nigeria, masing-masing seorang lelaki warga Ghana, Ivory Coast dan seorang wanita warga Botswana, serta Filipina. Turut ditahan seorang wanita tempatan,”
katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu memperdaya wanita warga tempatan berpendidikan tinggi dan berpangkat eksekutif berusia 40-an hingga 50-an sebagai mangsa mereka.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai sejumlah RM42,979, 13 komputer riba, sebuah komputer meja, 16 telefon bimbit dan satu pena pemacu.

“Turut dirampas lima slip bank, tiga ikat mata wang AS$100 palsu, tiga ikat kertas potong kosong dipercayai akan dicetak sebagai wang palsu, satu cop keselamatan, serta salinan dokumen bertajuk ‘United State of America Federal Reserve Note Anti Breeze’ untuk tujuan penipuan.

“Semua tangkapan dan rampasan itu hasil intipan dan risikan polis selama seminggu terhadap mereka yang terbabit selepas menerima maklumat mangsa,” katanya.

Rohaimi berkata, sindiket itu didalangi warga Afrika dan semakan ke atas nombor akaun bank digunakan untuk mengikis wang mangsa didaftarkan atas nama warga tempatan dipercayai turut bersubahat.

Wednesday, July 7, 2010

Awang Afrika perdaya andartu


WARGA Afrika kini boleh dilihat di mana-mana sahaja di negara ini dan sebahagiannya licik memperdayakan wanita tempatan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kegiatan jahat dua lelaki Afrika yang giat memperdayakan wanita berusia terutama andartu dengan berpura-pura ingin menghantar bungkusan mengandungi barangan berharga sebagai tanda cinta terbongkar apabila kedua-duanya ditahan di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Kedua-dua suspek warga Nigeria dan Ivory Coast berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan pukul 11 malam 24 Jun lalu selepas terpedaya dengan perangkap dipasang polis yang menjadikan seorang wanita berusia 50 tahun sebagai umpan.

Difahamkan, wanita yang merupakan seorang kerani itu telah kerugian RM109,000 selepas diperdaya dua lelaki tersebut sejak September tahun lalu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Lebih malang apabila lelaki Nigeria tersebut cedera di mukanya apabila dilanggar oleh sebuah motosikal ketika hendak melarikan diri dari sebuah hotel dalam operasi yang diketuai Inspektor Joel Teo Tan Yam bersama lapan anggota dan pegawai.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, pemeriksaan mendapati dua suspek tersebut memasuki negara ini dengan menggunakan pas pelajar dan menjalankan kegiatan penipuan itu sebagai kerja sampingan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tuesday, June 29, 2010

Budak 13 tahun sehebat Spiderman


HIBIKI KONO menunjukkan kemahirannya memanjat dinding dengan menggunakan peralatan yang dicipta daripada mesin hampagas di King's College School, Cambridge baru-baru ini.


CAMBRIDGE - Impian seorang budak lelaki untuk menjadi hebat seperti wira pujaannya, Spiderman tercapai setelah dia mencipta sejenis alat yang dapat membantunya memanjat dinding, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak lelaki itu, Hibiki Kono, 13, memanjat dinding sekolahnya baru-baru ini dengan menggunakan pad pelekap yang direka daripada mesin pembersih hampagas yang dibeli di sebuah pasar raya.

Hibiki menghabiskan masa lima bulan untuk menghasilkan peralatan tersebut di kelas rekaan teknologi di sekolahnya, King's College School di sini, Britain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Wednesday, June 23, 2010

Patah 2 gigi

Oleh Amir Abd Hamid

2010/06/23

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar negara ini yang menuntut di University of Sunderland, London, cedera di seluruh badan termasuk patah dua gigi depan akibat dibelasah sekumpulan samseng mabuk di sana yang berang kerana pasukan bola sepak England hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan Piala Dunia menentang Algeria, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Hasfarisi Abu Hassan (gambar), 24, dikatakan sedang berjalan pulang ke kediamannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan apabila tiba-tiba sekumpulan lima samseng berusia antara 17 dan 20 tahun menyerangnya di SP Marks Road, Sunderland, jam 11.40 malam (waktu United Kingdom).


Khairul Hasfarisi ketika dihubungi Harian Metro semalam, berkata dia tidak menyangka perkara begini boleh berlaku kepadanya.


“Saya memang sudah nampak sekumpulan lelaki mabuk yang bising marah-marah selepas pasukan bola sepak England bermain buruk pada hari itu.


“Tiba-tiba mereka yang mabuk membaling tin arak ke arah kepala saya...tetapi saya sempat mengelak. Tindakan saya mengelak balingan tin arak itu menyebabkan mereka geram lalu mengejar saya,”
kata pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Perangkaian itu.


Menurutnya, dua daripada lima lelaki itu kemudian menariknya hingga terjatuh sebelum memijak kepala dan hampir seluruh badannya.


Dalam keadaan kelam-kabut mempertahankan diri, kata Khairul Hasfarisi, mulutnya ditumbuk bertubi-tubi sehingga menyebabkan dua batang gigi atas bahagian depan patah.


Katanya, dia dibelasah hampir 10 minit sebelum tidak sedarkan diri dan terbaring di tengah jalan.


“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan dalam keadaan sakit serta mulut berdarah saya berjalan ke rumah. Sebaik tiba di rumah saya menghubungi polis sebelum ambulans datang membawa ke hospital berdekatan.


“Ini pengalaman terburuk sepanjang sembilan bulan menuntut ilmu di sini (England). Syukur Alhamdulillah ujian sinar-X mendapati saya tidak mengalami kecederaan dalaman yang teruk,”
katanya yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di United Kingdom, Profesor Madya Dr Rosman Abdullah, berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi media.

Menurutnya, MSD akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patah2gigi/Article

Thursday, April 29, 2010

Dibelasah separuh mati

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin menjadi hero bagi mempertahankan maruah kekasih Melayunya daripada diusik sekumpulan penyangak miang, seorang pelajar Nigeria parah dibelasah lebih 10 lelaki tempatan yang ‘naik hantu’.

Difahamkan mangsa yang berusia 20-an dipukul beramai-ramai oleh samseng bersenjatakan botol arak, besi dan topi keledar ketika menyerang mangsa di hadapan sebuah restoran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar kolej singgah di sebuah restoran di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, untuk menjamu selera.


Menurutnya, mangsa ditemani seorang lagi rakan lelakinya warga Afrika berusia 20 tahun ketika keluar bersama teman wanitanya itu.


“Namun ketika sedang berbual dengan kekasihnya, seorang lelaki tempatan yang duduk tidak jauh dari meja makan mangsa bertindak nakal mengusik gadis itu tanpa menghiraukan kehadiran lelaki Afrika berkenaan.


“Tindakan berulang kali suspek menyebabkan lelaki Afrika itu bangkit sebelum menegur perbuatan kumpulan lelaki berkenaan mengganggu teman wanitanya,”
katanya.


Namun, teguran mangsa menyebabkan seorang daripada suspek berang sebelum meluru lalu menghentam kepala mangsa dengan botol arak sekuat hati hingga pecah.


“Pada masa sama, beberapa rakan semeja suspek juga meluru sebelum membelasah mangsa dan rakan lelakinya beramai-ramai di hadapan teman wanita mangsa. “Ketika itu, gadis terbabit hanya mampu menjerit ketakutan dan meminta tolong, namun beberapa pelanggan lain yang berada berhampiran restoran itu tetapi enggan menghulurkan bantuan,” katanya.


Menurutnya, tidak berapa lama kemudian muncul lima motosikal model Honda EX5 dinaiki lima lagi rakan suspek yang turut sama membelasah dua pelajar Afrika berkenaan.

“Berdasarkan laporan, seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau menikam perut seorang mangsa selain mencederakan muka pelajar berkenaan yang dibelasah separuh mati.


“Difahamkan, seorang mangsa cuba lari sebelum dikejar kumpulan suspek. Mangsa bagaimanapun terjatuh di kawasan meletak kereta berhampiran sebelum dibelasah sekali lagi dengan besi dan topi keledar,”
katanya.


Menurutnya, suspek yang puas membelasah mangsa sehingga cedera parah kemudian melarikan diri dengan meninggalkan mangsa dalam keadaan pengsan.


“Pada masa sama seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian menghubungi pusat kawalan polis Kuala Lumpur memaklumkan kejadian itu sebelum polis bergegas ke sana.

“Susulan itu, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.


Berdasarkan laporan polis, seorang mangsa yang berjaya lari menaiki kereta pulang ke rumahnya di Ampang. Mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital oleh pengawal keselamatan di pangsapurinya.


“Suspek juga melarikan barang berharga mangsa antaranya pasport, dompet duit, telefon bimbit dan jam tangan yang semuanya bernilai RM2,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dibelasahseparuhmati/Article

Friday, July 24, 2009

Peniaga sambilan mengaku samun pelajar warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyamun seorang pelajar warga Indonesia sebanyak RM7,000, minggu lalu.

Mohd Fairuz Sa’adom, 24, bagaimanapun mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Mohamad Sakeri Mamat.

Tertuduh yang juga peniaga sambilan didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyamun Irvan Fauzi Syahputra, 18, dengan bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Lot 146, Jalan Keramat, Sentul, jam 4.30 petang, 16 Julai 2009.


Berdasarkan kertas pertuduhan, antara barang yang disamun dari Irvan yang tinggal di rumah abangnya ketika itu ialah sebuah komputer riba, telefon bimbit, sebuah dekoder jalur lebar, tiga kamera dan beberapa pakaian yang nilai semuanya kira-kira RM7,000.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes.

Tuesday, June 23, 2009

Cedera lawan peragut

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Sepasang kekasih warga Korea yang menaiki sebuah motosikal cedera apabila berani melawan seorang peragut yang turut menunggang sebuah motosikal di Jalan Gudwara, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam ketika Kim Jun Sub, 25, bersama teman wanitanya, Kim Eun Hee, 23, kedua-duanya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perjalanan membeli-belah di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Jun Sub ketika ditemui berkata, dia sedang menunggang motosikal Honda C70 apabila sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha ditunggang seorang lelaki berkulit gelap menghampiri kenderaannya cuba menarik beg teman wanitanya yang berada dalam raga motosikal.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian itu secara spontan menarik semula beg berkenaan menyebabkan berlaku tarik menarik antara dia dan peragut sehinggakan motosikal ditunggang bergoyang ke kiri dan kanan.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh lalu terseret sejauh 20 meter di atas jalan menyebabkan dia dan teman wanitanya cedera sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian itu.

“Bagaimanapun, peragut itu tidak berjaya mengambil beg tangan teman wanita yang mengandungi wang tunai dan barangan penting lain.

“Kejadian itu cukup menakutkan dan saya mengambil keputusan tidak menunggang motosikal lagi dan berhasrat menjual motosikal ini,”
katanya.

Jun Sub berkata, dia berada di negeri ini sejak enam bulan lalu dan bersyukur kerana terselamat daripada maut kerana mereka mungkin terjatuh dan dirempuh kenderaan lain.

Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurutnya, berikutan kejadian itu dia dan teman wanitanya cedera di badan, muka dan tangan dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid ketika dihubungi, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan memanggil kedua-dua mangsa untuk mendapatkan keterangan lebih lengkap dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090622064001/Article/index_html

Wednesday, June 10, 2009

Wanita terkecil dunia di TV


JYOTI bergambar bersama rakan-rakan sekolahnya di Nagpur, tengah India.


MUMBAI - Seorang pelajar India yang merupakan wanita paling kerdil di dunia, Jyoti Amge menerima undangan untuk muncul dalam sebuah program televisyen Britain terbitan Channel 4 esok, lapor sebuah akhbar semalam.

Jyoti yang berketinggian 0.59 meter (23.5 inci) dan berusia 15 tahun selain memiliki saiz badan lebih kecil berbanding seorang anak saudaranya yang berusia dua tahun.

"Apabila saya memberitahu umur saya, ramai orang yang tidak mempercayainya," kata wanita kerdil itu.

Pelajar itu memiliki berat badan 5.4 kilogram iaitu meningkat empat kilogram berbanding beratnya semasa lahir.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi seorang aktres apabila dewasa dan dianggap sebagai selebriti di tempat kelahirannya, Nagpur, tengah India.

"Ketika berusia tiga tahun, saya sedar saya berbeza dengan kanak-kanak lain.

"Saya tidak takut atau kesal dilahirkan sebagai orang kerdil malah saya berasa bangga dengan perhatian yang diberikan," katanya - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Sunday, March 1, 2009

Pelajar asing boleh kerja sambilan


PELAJAR asing boleh bekerja sambilan tetapi hanya selepas mereka lulus tapisan 
keselamatan oleh polis. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Warga asing yang memiliki pas pelajar dibenarkan bekerja sambilan tidak melebihi 20 jam seminggu dalam sektor tertentu semasa cuti semester.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu dibenarkan demi mengelak unsur diskriminasi yang mungkin dirasakan di kalangan pelajar asing di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

"Mereka boleh bekerja selama 20 jam seminggu sama ada dalam sektor perhotelan, stesen minyak, pasar mini mahupun restoran,'' katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) di Dewan Rakyat semalam.

Namun Syed Hamid menegaskan, pelajar asing itu hanya boleh bekerja selepas melalui tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia dan hanya selepas itu pas kerja dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Bagi pelajar tempatan, Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran untuk mereka bekerja sambilan tetapi kaedah pelaksanaannya bergantung pada budi-bicara universiti masing-masing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...