Showing posts with label ILMAM - IKRAM - JIM - GMI - SAMM - etc. Show all posts
Showing posts with label ILMAM - IKRAM - JIM - GMI - SAMM - etc. Show all posts

Saturday, November 5, 2011

PEMIMPIN LEMAH PUNCA KETIRISAN KEWANGAN

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengambil perhatian terhadap Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini terutamanya yang menyentuh soal amanah.Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemimpin seharusnya memelihara amanah atau kepercayaan yang diberikan kepada mereka.Katanya, Laporan Ketua Audit Negara merupakan semakan kepada amanah yang diserahkan kepada pemerintah, penjawat awam dan mereka yang berurusan dengan mereka.

Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda supaya laporan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen.

Katanya, Ikram begitu prihatin terhadap dapatan-dapatan yang dilaporkan berhubung kelemahan pengurusan kewangan kementerian/jabatan, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang berkenaan seperti berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan, pembelian harga barangan dan perkhidmatan yang berganda-ganda lebih tinggi daripada harga pasaran dan lain-lain bentuk ketirisan kewangan yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

“Ikram berpandangan punca utama ketirisan kewangan ialah kurangnya penghayatan terhadap sifat amanah yang dituntut untuk dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya kepada Harkahdaily.

Begitu juga, katanya kelemahan-kelemahan yang sama dilaporkan masih berlaku seolah-olah tiada kesedaran dan tindakan proaktif yang bersungguh-sungguh di pihak yang berkenaan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan agar lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

Salah satu persoalan yang ditimbulkan, ujarnya ialah pembelian 257 buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan yang didakwa harganya 6 kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran di mana Kementerian Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.

Ini, ujarnya adalah sebagaimana soalan yang ditimbulkan oleh salah seorang Ahli Parlimen kepada Menteri Pertahanan di sidang Parlimen baru-baru ini.

“Namun agak menghairankan apabila Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang hal ini sedangkan beliau sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011 lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Ikram mencadangkan penambahbaikan dan peningkatan kawalan dalaman terhadap urustadbir dan pengurusan kewangan negara ke arah yang lebih baik seperti berikut:

1. Menghayati dan mengamalkan sifat amanah dalam setiap urusan kewangan negara dan kerajaan

2. Mengamalkan sikap telus dan bertanggungjawab dengan menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan secara tertutup sebaliknya mengamalkan sistem pembelian dan pemerolehan secara terbuka

3. Menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan melalui agen atau orang tengah sebaliknya membuat urusan secara terus dengan pembekal atau pengilang

4. Mengambilkira pandangan pakar dalam proses pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan yang khusus seperti peralatan kejuruteraan tinggi (high precision engineering), peralatan perubatan, robotik dan sebagainya bagi mengelakkan pembaziran melalui pembelian yang tidak perlu

5. Mengambil tindakan untuk melaporkan atau merujuk kes-kes penyelewengan kuasa dan kelemahan-kelemahan yang ketara dalam urustadbir dan pengurusan kewangan yang melibatkan kerugian kewangan seperti mana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan

6. Memperkasakan SPRM sebagai satu badan yang bebas dengan memperuntukkan kuasa pendakwaan turut diberikan kepada mereka dan bukan hanya kepada Pejabat Peguam Negara

7. Mempertingkatkan kemampuan anggota penyiasatan yakni SPRM dan pihak polis di dalam menjalankan siasatan berhubung salah laku pengurusan kewangan dengan menguasai teknik-teknik terbaru sepertiforensic auditing atau forensic accounting.

8. Memperkenalkan polisi whistle-blowing dan menggalakkan samada anggota pekerja sektor awam atau swasta maju ke hadapan melaporkan kepincangan dan penyelewengan dalam urusan kewangan yang berlaku kepada pihak berkuasa di mana mereka ini dilindungi oleh satu undang-undang khas serta diberikan ganjaran yang setimpal hasil daripada maklumat yang diberikan.

Beliau berkata, Ikram percaya dengan sifat amanah yang diterapkan dan langkah-langkah penambahbaikan yang dicadangkan di atas diharapkan kelemahan-kelemahan yang sama yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam laporan tahunannya akan dapat diminimumkan seterusnya menyumbang ke arah urustadbir kewangan negara yang lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

http://www.kl-today.com/2011/11/pemimpin-lemah-punca-ketirisan-kewangan/

Monday, July 25, 2011

ISU CINCIN ROSMAH MASIH DIRAGUI

POSTED BY ADMIN ON JULY 25TH, 2011

Setelah negara dikejutkan dengan pembelian cincin berlian RM24.45 juta oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur, pelbagai penafian dan cara dibuat untuk melenyapkan pendedahan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).Ini termasuk menyatakan tuduhan itu sebagai palsu dan mendakwa berlian tersebut dibawa masuk ke negara ini hanya bagi tujuan pameran yang kononnya sulit pada 17-19 April 2011.

Justeru itu, satu borang dikeluarkan yang dinamakan K2 oleh pihak Kastam di Raja Malaysia, bagi membuktikan berlian berkenaan dibawa keluar ke Singapura selepas empat hari memasuki negara ini (gambar bawah).

Namun sebuah blog mendedahkan bahawa borang tersebut menimbulkan banyak keraguan, termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.

Blog yang bernama edyesdotcom.blogspot.com mendakwa, borang itu ditandatangani seorang pegawai kastam yang mempunyai nama seakan Perdana Menteri iaitu Abd Najid Razak.

Borang K2 yang ditandatangani oleh Pegawai Kastam bernama Abd Najid Razak.

Maklumat yang tertera pada borang itu menunjukkan pegawai tersebut berkhidmat sebagai Penguasa Kastam cawangan pemeriksaan penumpang di KLIA.

Namun menurut blogger itu, pegawai tersebut sebenarnya bertugas di Cawangan Perkhidmatan/Latihan (Latihan) yang bertempat di Aras 9 Selatan, Kastam Putrajaya berdasarkan cop yang bertindan pada borang itu.

Menurutnya, beliau mengesahkan maklumat itu yang dikenalpasti dari laman web rasmi Kastam Diraja Malaysia yang dikemaskini hingga Julai 2011.

“Saya telah membuat pemeriksaan dilaman portal rasmi, dan walaupun dengan maklumat yang terhad. Maklumat tentang pegawai yang diragui itu dapat dikesan,”

“Ini kerana tidak munasabah, seorang pegawai yang jelas namanya bertugas di Putrajaya menurunkan tandatangan ke atas borang K2 tersebut yang berada di KLIA,” kata penulis blog itu.

Pada 13 Julai lalu Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang berhubung pembelian berlian ‘Natural Fancy Blue-Gray Cushion Cut Diamon’ berkenaan.

Chegubard mendedahkan bukti pembelian cincin itu didapatinya melalui skrin sistem maklumat Kastam Diraja Malaysia (KDRM), yang tertera nama Rosmah sebagai pengimport daripada syarikat beralamat di New York, Jacob & Co.


http://www.kl-today.com/2011/07/isu-cincin-rosmah-masih-diragui/

Friday, July 15, 2011

SPRM digesa siasat dakwaan Rosmah beli cincin RM24j

SPRM digesa siasat dakwaan Rosmah beli cincin RM24j
Susan Loone
Jul 14, 11
9:05am

Sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang berhubung dakwaan pembelian sebentuk cincin oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

samm police report on rosmah diamond ring 130711 badrul hisham shaharinKetua SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Menurut Badrul, yang popular dengan panggilan Chegubard, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai“Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Harga barangan itu diletakkan pada RM24,458,400, dakwanya.

Antara maklumat tertera pada cetakan komputer itu adalah:

Nama Barangan:
Natural Fancy Blue Gray Cushion Cut Diamond
Nama Pengekspot: Jacob & Co dari New York
Nama Pengimpot: Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan Jeremi Beh Sin Tee
Tarikh Impot: 6-04-2011
Tempat Impot: KLIA

Sehubungan itu, Badrul menggesa SPRM mengadakan siasatan secara terperinci dan telus sebelum menyatakan hasil siasatan.

"Kita mendesak SPRM untuk tampil menyatakan hasil siasatan mereka kepada umum kerana ini melibatkan bukan sedikit jumlah wang rakyat Malaysia."

Beliau berkata cetakan maklumat yang diperolehi "hampir mustahil" untuk dipalsukan.

samm police report on rosmah diamond ring 130711 group"Hampir mustahil untuk seseorang membekalkan butiran penerbangan, nama pegawai kastam yang bertugas, nama pengimport dan sebagainya," kata beliau.

"Ini mengingatkan kita kepada negara jiran kita yang pernah dihancurkan oleh seorang wanita pertama yang bernama Imelda Marcos. Kita tidak mahu negara kita jadi begitu.

“Cukuplah rakyat yang terseksa. Kita tidak mahu orang yang bernama sebagai wanita pertama bersikap sedemikian rupa." tambahnya.

Badrul turut menggesa Rosmah tampil memberi penjelasan bersabit dakwaan itu, khususnya mengenai cetakan maklumat pengisytiharan Kastam yang diperolehinya.

Beliau juga berkata syarikat Jacob dan Co yang dikatakan mengeksport cincin itu, turut dikaitkan dengan barangan perhiasan yang diguna oleh isteri Perdana Menteri.

NONE"Jacob & Co merupakan sebuah syarikat yang berpengkalan di New York. Beberapa barang keluarannya yang terpapar dalam web sitenya, kita dapat padankannya dengan beberapa perhiasan yang sering dipakai oleh Rosmah Mansor," katanya.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana pengimport cincin berlian itu mendapat pengecualian cukai bagi membawa masuk perhiasan itu.

"Adakah suami individu yang dinamakan di atas menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kewangan untuk memperolehi cukai kosong itu?" soalnya.


http://malaysiakini.com/news/169870

Thursday, June 16, 2011

Bukan ketaatan membuta tuli

Che Asmah Ibrahim
Jun 13, 11
9:58am

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap penubuhan Kelab Taat Suami yang dilancarkan baru-baru ini.

Pada dasarnya sebagai pertubuhan dakwah, dan kebajikan yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat, Wanita IKRAM mengalu-alukan usaha pelbagai pihak termasuk Kelab ini yang ingin mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

Namun Wanita IKRAM begitu kesal dengan kenyataan Dr. Rohaya Mohamad, Naib Presiden kelab tersebut yang mengumpamakan isteri sebagai objek seks dan perlu menjadi pekerja seks bagi suami sebagai tanda ketaatan kepada suami disamping mengelakkan suami daripada berlakucurang.

Dalam majlis pelancaran itu juga, Dr Rohaya dilaporkan sebagai berkata isteri harus baik dan taat kepada suami walaupun didera sebagai tanda ketaatan kepada suami.

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak tepat, menghina dan merendahkan martabat wanita serta boleh mengakibatkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap kedudukan dan peranan sebenar wanita sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menunjukkan faktor utama perceraian ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

1. Ajaran Islam selaku sistem hidup yang lengkap, adil dan menyeluruh serta rahmat bagi sekalian alam telah memartabatkan wanita sebagai rakan kongsi lelaki yang mempunyai hak-hak yang sama walaupun mungkin berbeza peranan dalam pelbagai bidang kehidupan baik dari sudut individu, berkeluarga dan kehidupan bermasyarakat.

2. Ketaatan wanita kepada suaminya adalah dalam rangka dan batasan ketaatan kepada Allah. Ini bukanlah suatu ketaatan membuta tuli sehingga merelakan segala perbuatan suami walaupun ternyata suami telah berbuat kedurhakaan terhadap Allah.

Rasulullah SAW bersabda “Tiada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Bukhari dan Muslim).

Peringatan Allah dalam surah An Nisa 4:34 wajar menjadi ingatan bagi kita semua:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.

"Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukul mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).

"Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

3. Meletakkan kesalahan semata-mata kepada isteri dalam memberikan layanan seksual kepada suami sebagai punca lelaki berlaku curang adalah satu pandangan yang amat dangkal. Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab, masalah akhlak dan sosial, masalah ekonomi dan masalah seksual adalah punca utama perceraian di kalangan pasangan Islam.

Kajian dibuat syarikat Pfizer pada tahun 2008 pula menunjukkan 62 peratus lelaki dan 73 peratus wanita di negara ini yang tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Dengan itu, kepentingan untuk para suami menjalankan peranan mereka dengan sempurna dan memberikan perhatian yang lebih teliti dalam memenuhi keperluan lahir dan batin isteri mereka juga perlu ditekankan.

4. Wanita IKRAM menerima dan menyedari bahawa poligami dibenarkan dalam Islam sebagai satu institusi yang mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan sekiranya dijalankan dengan betul berlandaskan syarat yang digariskan syara' dalam semua peringkat perlaksanaannya.

Persepsi masyarakat perlu diperbetulkan selain pengamal poligami terutama golongan lelaki perlu mendapat pendidikan dan latihan sebelum mengamalkannya.

5. Semua pihak lelaki dan wanita, suami dan isteri haruslah kembali berpegang dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadisnya yang masyhur; “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Al Quran menunjukkan kita “ Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” At Taubah 9:71

Semoga dengan ini kita dapat membetulkan persepsi kita tentang peranan wanita dalam Islam disamping memperbaiki kehidupan berkeluarga dalam usaha kita untuk mempertahankan institusi keluarga ini sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera

Penulis, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim adalah Timbalan Ketua Wanita-wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia


http://malaysiakini.com/letters/166709

Monday, February 14, 2011

Ya Maulidur Rasul, tidak Hari Valentine

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine.

Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah.

Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu.

Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya.

Di samping itu, ujar mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi.

Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.

“Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine.

Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial.

“Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya.

Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu.

Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan.

Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya.

Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam.

Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine.

“Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30855:ya-maulidur-rasul-tidak-hari-valentine&catid=1:utama&Itemid=50

Tuesday, February 1, 2011

NGO, pembangkang serbu kedutaan Mesir di KL

NGO, pembangkang serbu kedutaan Mesir di KL
Jan 31, 11 11:58am

Sekumpulan NGO dan parti pembangkang pagi ini mengadakan bantahan di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menunjukkan kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dalam menuntut regim Mubarak turun dari tampuk kuasa.

Kumpulan 70 orang itu berhimpun kira-kira 10.45 pagi di tempat letak kereta di depan Taman Tasik Ampang Hilir sebelum berarak pada jam 11.05 pagi ke kedutaaan sambil melaungkan slogan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak).

Kelihatan juga slogan presiden negara itu Hosni Mubarak - yang dilukis lambang Zionis di dahinya - diarak.

NONE"Perhimpunan itu sebagai tanda kebersamaan rakyat Malaysia dengan rakyat Mesir. Kami mahukan pemerintah Mesir menghentikan layanan ganas mereka dan berhenti membunuh rakyat Mesir," kata bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu kepada pemberita.

Walaupun berjaya berunding dengan kira-kira 50 polis yang mengawal keadaan, kumpulan itu tidak berjaya menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan kerana tiada wakil yang tampil untuk menerimanya.

"Tiada seorang pun yang datang menerima memorandum kami. Jadi, bagi pihak semua NGO dan parti politik di sini, kita akan hanar dokumen ini melalui peti surat mereka," kata pengerusi biro antarabangsa PAS Syed Azman Syed Ahmad.

Antara kumpulan terlibat dalam perhimpunan itu, pemimpin PAS, PKR, PSM, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Suara Rakyat Malaysia dan beberapa warganegara Mesir, kebanyakannya pelajar.

NONEKumpulan itu turut merancang sebuah lagi perhimpunan di kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat ini.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa mereka sudah sampai pada tahap "tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab secara khusus.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/154953

Kes harga barang dan Mesir: Demo besar-besaran Jumaat ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Selepas perhimpunan secara kecil-kecilan di depan kedutaan Mesir semalam, PAS bersama 71 NGO dan parti politik akan berhimpun di kedutaan Amerika pula selepas solat Jumaat, 4 Februari ini.

Ini kerana, mereka menganggap Amerika adalah sekutu rapat kepada regim Husni Mubarak yang sedang dihalau keluar oleh rakyat Mesir sekarang.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataannya berkata, perhimpunan kali ini akan dibuat secara besar-besaran.

Selain Amerika, mereka juga mensasarkan kerajaan Malaysia apabila menaikkan lagi harga minyak Ron 97 sebanyak 10 sen lagi kepada RM2.30.

Menurut sumber kenaikan ini amat melampau dan mencekik pengguna di Malaysia kerana harga kosnya tidak setinggi itu.

"Harga Kos minyak Ron97 pada masa ini(semasa kenaikan minyak) adalah RM2.03 sahaja. Harga dijual oleh pengeluar minyak kepada pengusaha adalah RM2.3856. Harga Jual pula adalah pada harga RM2.50," kata satu sumber.

Ini bererti satu keuntungan yang berganda telah diambil oleh pengusaha yang dipercayai ada melibatkan keuntungan untuk pihak-pihak yang berkepentingan.

Kenaikan ini disifatkan sebagai hadiah untuk pengundi Tenang kerana telah memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihan raya kecil Ahad baru-baru ini.

"Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri juga diminta untuk mengerahkan semua anak - anak muda bangkit menyatakan semangat kebersamaan kita disamping kita turut akan menyatakan bantahan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semakin menjadi - jadi dalam negara kita," kata Nasrudin dalam kenyataannya.

Tempat berhimpun ialah di dua lokasi iaitu Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji dan sejurus solat Jumaat, semua akan berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk menyatakan dua bantahan itu.

Timbalan Presiden PAS dan Tuan Hj Mohd Sabu AJK PAS Pusat dan pimpinan - pimpinan pemuda PAS dijangka akan memimpin perhimpunan ini.

"Pertama, isu penangkapan, kekerasan dan pembantaian regim Mesir ke atas rakyat mesir yang menuntut perubahan di negara mereka.

"Kedua, isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan utama rakyat dalam negara kita," katanya dalam kenyataan itu.

Antara 71 pertubuhan yang turut serta dalam perhimpunan ini adalah ILMAM, Ikram, JIM, GMI, SAMM dan lain - lain ] termasuk kompenan parti politik Pakatan Rakyat seperti AMK dan lain-lain.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30642:-kes-harga-barang-dan-mesir-demo-besar-besaran-jumaat-ini&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...