Showing posts with label Open Tender - Public Tender. Show all posts
Showing posts with label Open Tender - Public Tender. Show all posts

Saturday, August 6, 2011

Kontraktor Melayu sanjung pendekatan Pulau Pinang

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 5 Ogos: Pemangku Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Dato' Izham Merican mengecam kenyataan Ketua Wanita MCA, Tan Cheng Liang yang sengaja menimbulkan isu perkuaman terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) kononnya anti Cina apabila memberikan peluang kepada kontraktor Melayu berbanding kaum lain menerusi sistem terbuka.

Jelasnya, sepertimana yang dinyatakan oleh Lim sendiri bahawa semua peluang yang diperolehi oleh kontraktor bumiputra berdasarkan kemampuan mereka sendiri bukan kabel politik sebagaimana yang menjadi amalan dulu.

Baginya, MCA begitu jahil tidak mengerti istilah tender terbuka yang membenarkan semua kaum dan bangsa bersaing untuk semua projek kerajaan negeri termasuk projek yang melebihi RM200 ribu dengan memilih harga yang paling baik dan berkualiti.

"Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya kenyataan yang berbaur sentimen perkauman. MCA sanggup menghina kontraktor melayu dengan perpepsi negetif sebegini. MCA seolah memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu sedangkan ia tertakluk kepada kemampuan kontraktor itu sendiri. Nak buat macamana kontraktor Melayu lebih terserlah dalam hal ini, " terangnya.

Walaupun ahli Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang banyak ahli Umno namun Lim sebagai Ketua Menteri nyata berjaya menampilkan dirinya profesional dengan mengenepikan fahaman politik dalam soal projek berbanding dulu mesti mendapat kebenaran Ketua Bahagian parti.

Menurut Datuk Izham lagi, dasar yang menjadi amalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyenangkan kerjasama antara ahli persatuan dengan Ketua Menteri yang bijak membezakan yang mana politik dan perniagaan.

"Kita sanjung pendekatan Ketua Menteri kerana membantu kontraktor bumiputra. Kejayaan itu bukan kerana rasuah sebaliknya kemampuan yang ada pada kontraktor itu berbanding kontraktor lain, " terang beliau.

Kaum lain kata beliau, tidak perlu bimbang kerana kebanyakan pembekal bukan bumiputra begitu juga pekerja mereka. Bila setiap tawaran diperolehi oleh kontraktor bumiputera maka kaum lain juga memperolehi keuntungan.

Setahu kami tambahnya, Lim merupakan tokoh pentadbiran yang baik maka beliau tidak akan sekali-kali mengenepikan kaum lain dalam semua aspek pembangunan apatah lagi perbinaan walaupun dicemuh oleh segolongan yang sengaja buat tidak faham dasar Kerajaan Negeri.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4744-kontraktor-melayu-sanjung-pendekatan-pulau-pinang

Thursday, February 10, 2011

Nurul Izzah: Jejantas apa RM70,422 semeter?

Nurul Izzah: Jejantas apa RM70,422 semeter?
Feb 8, 11 12:59pm

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mempersoalkan pembinaan jejantas berhawa dingin sepanjang 142 meter yang menghubungkan sekitar KLCC di ibu negara dengan nilai RM10 juta.

"Angka ini bermakna, secara purata RM70,422 digunakan untuk semeter (jejantas), jumlah yang menuntut penjelaskan sama ada wang awam digunakan... dan mesti diambil tindakan," katanya yang juga naib presiden PKR.

NONESemalam, ketika perasmian jejantas itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Holdings Sdn Bhd Hashim Wahir dilaporkan berkata, RM10 juta digunakan bagi menyiapkan pembinaan fasa pertama jejantas yang menghubungkan KLCC dengan Hotel Impiana itu.

Jejantas itu, yang dibuka kepada orang ramai pada hari yang sama tertutup dengan lapisan cermin dan dilengkapi sistem penghawa dingin dan eskalator bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Kemudahan itu dilaporkan sebahagian daripada projek menghubungkan jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dengan stesen pengangkutan awam bernilai 12 kilometer yang dijangka siap akhir tahun ini.

Projek yang masuk fasa kedua itu, dilaporkan dibiayai Petronas dengan sumbangan RM100 untuk laluan sepanjang enam kilometer manakala bakinya dibiayai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat-syarikat swasta.

NONEDalam kenyataan hari ini, Nurul Izzah berkata, walaupun gembira dengan kemudahan baru beliau berkata, masih banyak persoalan yang perlu dijawab, terutamanya oleh Menteri wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik (kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

"Berapa sebenarnya angka pembinaan jejantas itu? Ekoran jejantas itu berhawa dingin, berapa kos pengurusan dan operasi dan apakah kosnya akan sentiasa meninggkan ekoran kenaikan harga elektrik?

"Adakah syarikat berkaitan kerajaan(Petronas, KLCC Holdings Sdn Bhd, DBKL, and Prasarana) terlibat, adakah projek itu dibuat secara tender terbuka yang mana pilihan yang lebih murah dapat dikenalpasti?" soal Nurul Izzah bertubi-tubi.

Beliau bagaimanapun menegaskan mengalu-alukan pembinaan kemudahan asas untuk pejalan kaki di negara ini ekoran kenaikan harga barang dan petrol, selari dengan gesaan "ubah gaya hidup".

"Akhir sekali, perkara ini juga menguatkan alasan supaya jawatan datuk bandar boleh dipilih supaya beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada (hal ehwal) Kuala Lumpur," tambahnya.

http://malaysiakini.com/news/155474

Tender terbuka kontrak pembersihan MPSJ dialukan

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 10 Feb: Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mula melaksanakan tender terbuka untuk kontrak pembersihan dialu-alukan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat namun mereka meminta yang dipertuanya menjawab rungutan yang menjadi isu.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud berkata, terdapat aduan daripada kalangan mereka terlibat yang tidak berpuas hati dengan bentuk pemilihan syarikat kontraktor yang didakwa tidak telus.

"MPSJ mempunyai 180 zon yang memerlukan kepada 180 tender yang disertai 7,000 permohonan daripada 1,124 syarikat yang membolehkan MPSJ mengutip wang jual borang sebanyak RM300 ribu dan mampu menjimatkan RM3.5 juta.

"Persoalannya sekarang bagaimana daripada 648 syarikat yang disenaraipendekkan itu dipilih; mereka mendakwa ada kebocoran berlaku dalam sistem, perkara inilah yang menjadi pertikaian mereka terlibat.

"Kerana itu, kami mencadangkan agar dilakukan sistem cabutan atau undian bagi memilih mereka dalam kalangan senarai pendek agar kebarangkalian untuk bersifat adil lebih dekat supaya semua pihak berpuas hati," tegasnya.

Dr Mariah bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membangkitkan persoalan ini di dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam di Pusat Dagangan World Wide, dekat sini pagi tadi.

Turut bersama mengemukakan isu ini adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Low Goh Burne, Adun Meru, Dr Abd Rani Osman dan Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor (MBSC), Khairul Anuar Othman.

Sementara itu, Khalid berkata, isu ini menjadi penting kerana sebarang tindakan yang tidak melalui prosedur yang ditetapkan akan menimbul masalah kepada banyak pihak.

"Kami mahu YDP MPSJ menjawab persoalan, kenapa hendak dilaksanakan segera jika mekanisma pemilihan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan banyak pihak?

"Sewajarnya sebelum dilaksanakan, sistem ini mestilah dirujuk dan diluluskan oleh beberapa pihak termasuk kertas untuk penelitian mesyuarat kerajaan negeri (exco).

"Kami tidak terlibat di dalam urusan ini tetapi setelah mendengar rungutan banyak pihak, ia mesti dijawab oleh YDP berkenaan agar isu ini dapat segera berakhir," tegasnya.

Meskipun tindakan tersebut, jelasnya, dilakukan oleh MPSJ namun kesan negatif yang timbul sudah tentu akan membabitkan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Dalam isu sama, Dr Rani berkata, pemilihan tender tersebut mestilah berdasarkan ketelusan tidak kira kontraktor itu dari mana-mana parti politik sekali pun asalkan sistem itu bersih pelaksanaannya dan dilihat bersih.

Beliau juga berharap selepas ini, biarlah kawasan pembersihan itu diberikan kepada syarikat dan kontraktor di daerah tempat operasi mereka sebagai contoh; kawasan kerja di Meru, berilah kepada syarikat dari Meru.

Dr Rani turut bersetuju dengan saranan Low yang mencadangkan mereka yang memegang jawatan di semua majlis perbandaran diberikan tempoh berkhidmat sekitar tiga tahun sahaja.

Katanya, dengan cara itu, banyak perkara negatif seperti penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan dan kebajikan rakyat lebih diutamakan daripada kepentingan kroni.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30790:tender-terbuka-kontrak-pembersihan-mpsj-dialukan&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...