Showing posts with label Obesity and Overweight. Show all posts
Showing posts with label Obesity and Overweight. Show all posts

Tuesday, December 28, 2010

Wanita 292.1 kg makan 30,000 kalori



DONNA SIMPSON makan makanan 30,000 kalori pada Sabtu lalu.


NEWARK - Seorang ibu yang mempunyai dua anak di negeri New Jersey, Amerika Syarikat (AS), Donna Simpson memakan makanan mengandungi 30,000 kalori yang boleh mengenyangkan lebih 12 orang, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mengambil masa dua jam dan membelanjakan AS$231(RM717) untuk menghabiskan dua ayam belanda seberat 11.3 kilogram (kg), sejumlah daging, 6 kg kentang, lima buku roti, 2.2 kg herba, 1.8 liter kuah, 1.8 liter sos kranberi dan 9 kg sayur ketika makan malam Hari Krismas pada Sabtu lepas.

Simpson yang seberat 292.1 kilogram dan tinggi 1.57 meter itu merupakan ibu paling gemuk di dunia tetapi dia mahu menambahkan berat badannya sehingga 453.6 kilogram untuk bergelar wanita paling gemuk di dunia. - Agensi

Sunday, November 7, 2010

MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia.



MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia.


NATIONAL Science and Technology Authority dalam buku Guidebook on the Proper Use of Medical Plant menjelaskan buah pala mengandungi bahan-bahan yang bermanfaat untuk kesihatan.

Lebih menarik peranan bahan tersebut dikatakan cukup ampuh untuk mengatasi rasa mual, masalah muntah, insomnia, kekejangan dan sakit sendi.

EKSTRA: Penyelidik dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat, Dr. Peggy Mason, memberitahu coklat mampu merangsang sistem otak yang mengawal bahagian sedar individu yang dapat mengurangkan rasa sakit. Kandungan favanols dan flavanolds yang terdapat dalam coklat juga membantu mencegah penyakit kronik seperti strok, tekanan darah tinggi serta jantung.

Hutang punca gemuk

KAJIAN oleh pakar Jerman mendapati individu yang gagal melunaskan hutang mereka dalam tempoh yang ditetapkan berisiko sehingga dua kali ganda untuk mengalami kegemukan.

Ketua penyelidik, Eva Muenster dari Universiti Mainz membuat kesimpulan itu hasil penyelidikan ke atas 949 responden.

Kesemua responden itu ialah individu yang mendapat khidmat kaunseling berhubung hutang yang mereka tanggung.

Eva kemudian membandingkan keputusan tersebut dengan individu yang bebas hutang. Hasilnya, 11 peratus responden yang mempunyai banyak hutang mengalami obesiti berbanding 25 peratus responden yang bebas hutang.

Malah, 11 peratus responden tadi akan menghadapi masalah psikologi dan akan makan dalam kuantiti yang banyak untuk mengurangkan tekanan.

EKSTRA: Kajian Leningrad Scientific Conference mendapati sarang lebah propolis kaya dengan vitamin A dan B2. Ia juga mengandungi semua vitamin (kecuali vitamin K) dan 14 jenis mineral yang diperlukan oleh tubuh. Ahli kimia Britain, Prof. Arnold Buckett pula menjelaskan sarang lebah memiliki banyak khasiat lain eperti antikulat, antibakteria dan antivirus.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Wednesday, October 13, 2010

Produk sibutramine ditarik balik

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah mengeluarkan arahan menarik balik produk kesihatan yang mengandungi sibutramine dari pasaran kerana ia didapati mampu meningkatkan risiko kesan advers kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi PBKD, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata, keputusan menarik balik serta menggantung pendaftaran produk yang mengandungi bahan itu ialah berdasarkan kajian Sibutramine Cardiovaskular OUTcomes (SCOUT) bagi produk Reductil yang dijalankan oleh Abbot Laboratories.

"Kajian tersebut menunjukkan sibutramine mampu meningkatkan risiko advers kardiovaskular terutamanya ke atas pesakit obes dan berlebihan berat badan berbanding pesakit yang menjalani senaman dan kawalan pemakanan,'' jelasnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Friday, September 17, 2010

Bersenam bukan cara kuruskan badan

LONDON - Satu kajian menunjukkan bahawa bersenam bukannya cara terbaik untuk menurunkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian itu menyatakan penurunan bilangan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah dan peningkatkan bilangan orang menonton televisyen didapati bukan penyumbang kepada berat badan.

Menurut kajian itu, kanak-kanak yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta akan menghabiskan masa untuk berlari di taman permainan.

Menurut seorang pakar dari Universiti Aberdeen, Profesor John Speakman, pada tahun 1950an, tidak ada seorang pun yang membeli sebuah basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj.

Namun, katanya, ketika ini ramai orang yang menggunakan basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj untuk menguruskan badan.

Justeru, katanya, seseorang manusia kini bukannya tidak aktif jika dibandingkan 20 tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan masalah kegemukan sebenarnya disebabkan seseorang itu makan terlalu banyak dan bukannya kurang melakukan senaman. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Wednesday, July 7, 2010

Pernah minum 20 tin Coke sehari



BENTUK badan terkini Lisa McKay.


LONDON - Berat seorang wanita, Lisa McKay meningkat dengan mendadak sehingga mencecah 120.6 kilogram (kg) gara-gara ketagihannya meminum minuman berkarbonat Coca-Cola sebanyak 20 tin sehari, lapor sebuah akhbar semalam.

Akibat ketagihannya itu, dia sanggup bangun pada pukul 4 pagi untuk minum minuman tersebut.

Pada usia 24 tahun, McKay perlu membeli dua kerusi ketika menaiki kapal terbang dan akan berasa keletihan walaupun berjalan sejauh beberapa meter.

Namun akhirnya, ibu kepada dua orang anak itu terpaksa menjalani satu pembedahan di Hospital Dolan Park kerana masalah kegemukannya. Selepas pembedahan itu, dia mengharamkan minuman Coca-Cola di rumahnya.

Kini, McKay sudah berjaya mengurangkan hampir 63.5kg berat badannya.

"Bukan senang menghilangkan ketagihan minum Coke. Saya mengalami simptom yang serius seperti menggeletar selepas berhenti meminumnya," kata McKay yang turut gemar memakan makanan ringan dan snek.

Dia menyedari perlu melakukan sesuatu mengenai berat badannya apabila badannya tersangkut di kawasan permainan kanak-kanak ketika menemani anaknya dan menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang memalukan.

"Saya sekarang hanya mengambil 1,000 kalori sehari.

"Saya makan dua keping roti bakar untuk sarapan, sebiji pisang dan oren pada waktu makan tengah hari dan menjadikan sayur-sayuran sebagai juadah makan malam," kata McKay. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Saturday, April 10, 2010

Penemuan

Obesiti kerana cacat genetik?



DALAM sebuah penyelidikan di Britain, sekumpulan saintis telah membuat kesimpulan bahawa ketiadaan segmen tertentu dalam asid dioksiribonukleik (DNA) boleh menyebabkan rasa lapar yang melampau.

Kehilangan segmen itu menggalakkan sikap terlebih makan, penambahan berat badan dan seterusnya mengakibatkan obesiti di kalangan kanak-kanak. Dr. Sadaf Farooqi dari Universiti Cambridge, dan Dr. Matt Hurles dari Wellcome Trust Sanger Institute, telah membuat kajian ke atas 300 DNA kanak-kanak obes.

Kajian tersebut meneliti genom setiap kanak-kanak lalu menemui keadaan mutasi yang dinamakan varians nombor salinan (CNV). Ia adalah satu segmen penting dalam DNA yang sama ada mengalami duplikasi atau hilang terus daripada gen. Segmen itu dipercayai mempunyai peranan penting dalam menentukan penyakit-penyakit genetik.

Apabila data itu dibandingkan dengan lebih 7,000 sukarelawan yang dikawal tahap kesihatan mereka, kajian tersebut menunjukkan bahawa CNV dalam rantaian DNA kanak-kanak obes bersifat unik. Walau bagaimanapun, keadaan itu dianggap penemuan terpencil dan hanya ditemui dalam kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak obes.

Lima pengawal flu di dapur

BANYAK bahan makanan di dapur boleh mengurangkan kerengsaan simptom penyakit tersebut seterusnya mempercepatkan proses pemulihan. Antaranya:

Garam: Selain menjadi ubat kumur untuk meredakan tekak yang sakit, garam sangat berkesan untuk masalah hidung tersumbat. Larutan garam yang suam boleh disedut masuk melalui rongga hidung untuk memberi kelegaan pernafasan dan mencegah jangkitan resdung.




Halia: Teh halia berkesan membunuh kuman dan meredakan masalah perut. Halia yang digunakan dalam produk mandian juga merangsang sistem limfa dengan mempercepat proses penyingkirannya.

Bawang putih: Banyak kajian telah mengesahkan bahawa bawang putih mentah memiliki nilai antikulat, antibakteria dan antivirus. Penggalak daya ketahanan tubuh ini juga boleh meningkatkan pendarahan, maka mereka yang mengambil ubat berkaitan pendarahan perlu berhati-hati ketika menyertakan bawang putih ke dalam diet mereka.

Madu: Bahan yang memiliki nilai pemulihan tinggi ini meredakan batuk dan meningkatkan imunisasi. Campuran madu dan jus limau segar adalah ubat batuk semula jadi.

Buah oren: Vitamin C dalam jus oren yang diminum setiap hari mampu memendekkan durasi selesema. Setiap 1,000 miligram vitamin C yang diambil setiap enam jam boleh mengurangkan atau mencegah simptom flu dengan berkesan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Saturday, August 22, 2009

Dulu gemuk, kini menawan


BERAT badan Needham pernah mencecah 115 kilogram.




NEEDHAM kini mempunyai tubuh yang menawan.


LONDON - Ketika bergelar mahasiswi pada usia 18 tahun, berat badan Leanne Needham mencecah 115 kilogram (kg) sekali gus memaksanya ponteng kuliah kerana tiada kerusi yang sesuai untuk dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, Needham yang kini berusia 21 tahun dinobatkan sebagai gadis yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak pada tahun ini oleh pusat kecantikan Slimming World.

Dalam tempoh dua tahun, dia berjaya mengurangkan berat badan lebih 44 kg dengan kerap bersenam dan banyak memakan buah-buahan dan sayuran selain pasta serta telur.

"Saya berazam melakukan perubahan kerana malu dengan keadaan diri saya. Apabila anda gemuk, keyakinan diri anda menjadi rendah dan perasaan anda mudah terganggu," katanya.

Needham menerima wang tunai £2,000 (RM11,687) dan sebuah pemain cakera video digital (DVD) selepas memenangi pertandingan itu yang terbuka kepada golongan berusia antara 15 dan 21 tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Saturday, August 15, 2009

Dua bayi korban terbaru H1N1

Ogos 14, 09 3:18pm
Dua bayi berusia dua bulan, seorang daripadanya tidak mempunyai tanda-tanda demam atau sesak nafas, menjadi sebahagian perangkaan terbaru korban wabak selesema A (H1N1), menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 56 kes hari ini.

Dua dewasa yang turut meninggal dunia akibat virus tersebut mengalami masalah kesihatan, seperti kencing manis dan kegemukan.

Maklumat perinci lima kes kematian yang diedarkan oleh Kementerian Kesihatan kepada media seperti berikut:

Pertama, seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan, pada usia kandungan 27 minggu, dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos lalu kerana demam, batuk, selesema dan susah bernafas selama tiga hari.

Keadaan bayi semakin teruk dan diventilasi. Swab tekak diambil dan rawatan antivirus diberikan pada 6 Ogos. Bayi meninggal dunia kelmarin dan ujian influenza A (H1N1) adalah positif.

Penyebab kematian adalah pneumonia.

Kedua, seorang lagi bayi dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos setelah didapati berada dalam keadaan tidak memberikan tindak balas serta pucat.

Sebelum itu, bayi tersebut mula meragam dan kurang minum susu sejak 5 Ogos tetapi tidak mempunyai demam, batuk atau sesak nafas. Keadaan bayi kritikal dan dikejarkan ke unit rawaan rapi (ICU).

Keputusan ujian influenza A (H1N1) didapati positif pada 8 Ogos, hari beliau meninggal dunia.

Punca kematian "myocarditis, hepatitis and renal impairment" berkaitan H1N1.

Ketiga, wanita 49 tahun, yang obes dan mengalami masalah diabetes dan batuk kering. Beliau mendapat demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas pada pertengahan Julai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital pada 29 Julai setelah tidak pulih walaupun mendapat rawatan di klinik swasta.

Beliau yang dirawat sebagai pneumonia dibenarkan pulang pada 3 Ogos - bagaimanapun dimasukkan semula ke wad empat hari kemudian untuk rawatan batu kering setelah dikesan berpenyakit tersebut.

Beliau kemudiannya disyaki H1N1 dan diberi antivirus pada 8 Ogos. Keadaan pesakit bertambah teruk dan meninggal dunia 11 Ogos. Sebab kematian: pneumonia teruk.

Keputusan ujian mendapati pesakit itu positif H1N1.

Keempat, lelaki 57 tahun yang mengalami diabetes mula batuk dan selesema pada 2 Julai tetapi tidak sembuh setelah mendapat rawatan.

Pada 3 Ogos, sekali lagi pesakit mendapat rawatan di klinik setelah mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan seterusnya dimasukkan ke hospital pada hari yang sama dan diberikan rawatan antivirus.

Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada 5 Ogos dan beliau meninggal dunia seminggu kemudian akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Kelima, lelaki 19 tahun yang dimasukkan ke wad pada 7 Ogos setelah demam dan batuk selama dua hari dan telah diberikan rawatan antivirus.

Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada keesokan harinya. Beliau diserang sesak nafas teruk dan meninggal dunia pada 11 Ogos akibat pneumonia.



myocarditis - inflammation of the myocardium (the muscular substance of the heart).
renal impairment - kidney failure or disability.
hepatitis - inflammation of the liver, caused by a virus or a toxin and characterized by jaundice, liver enlargement, and fever.
pneumonia - inflammation of the lungs with congestion.
sepsis - local or generalized invasion of the body by pathogenic microorganisms or their toxins: dental sepsis; wound sepsis.

http://www1.malaysiakini.com/news/110559

Tuesday, August 11, 2009

Kisah orang gemuk


URIBE kini mengikuti diet ketat dan juga sesi senaman ringan. Foto dirakam oleh AP semasa satu temu bual di kediaman Uribe di Monterrey, Mexico pada Mac lalu.


MANUEL Uribe, 44 pernah menggemparkan dunia apabila memiliki berat badan 597 kilogram. Berat itu telah melayakkannya untuk disenaraikan sebagai lelaki paling berat di dunia oleh Guinness Book of Records.

Lelaki tersebut menghadapi masalah obesiti yang serius sejak 1992 dan pernah cuba membunuh diri beberapa kali kerana kecewa dengan keadaan dirinya. Uribe dikatakan mula tidak menghiraukan berat badannya dan menjadikan makanan sebagai cara melepaskan tekanan selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Namun, lelaki yang pernah meminta pertolongan dunia untuk menurunkan berat badannya pada tahun 2006 itu sekali lagi mencatatkan namanya di dalam Guinness Book of Records sebagai lelaki yang kehilangan berat badan paling banyak.

Sehingga penghujung tahun 2008, Uribe telah berjaya menurunkan hampir 360 kilogram dan masih meneruskan usahanya untuk menguruskan badan.

"Saya bangga kerana tersenarai dalam buku Guinness Book of Records sebagai lelaki tergemuk dunia. Saya juga gembira kerana telah menurunkan berat badan dengan banyak," katanya.

Biarpun masih tidak mampu berjalan, Uribe mengakui bahawa dia berjaya mengurangkan berat badan setelah mengikuti program diet yang dikenali sebagai The Zone. Program itu bertujuan mengimbangkan hormon melalui pengambilan karbohidrat dan protein, selain menggunakan abah-abah untuk latihan angkat berat.

Sewaktu berusia 22 tahun, berat badannya mencecah 132 kilogram. Angka itu kemudiannya naik mendadak pada Mei 2006 sehingga mencecah 550 kilogram.


CUBA bergerak aktif dengan menguruskan diri mengikut kemampuan.


Dia kemudian mencecah berat maksimum dalam hidupnya iaitu 597 kilogram. Dia berazam untuk mengurangkan berat badan bagi memastikan dirinya boleh hidup lebih lama dan menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Akhirnya, Uribe bertemu jodoh dengan balu kepada rakan baiknya iaitu Claudia Solis. Wanita itu begitu setia dalam membantunya meneruskan misi menurunkan berat badan.

Tidak pernah bangun daripada katilnya selama lima tahun, dia akhirnya boleh keluar rumah menggunakan kren khas dan dibawa bersiar-siar menggunakan sebuah van yang telah diubah suai.

Uribe juga sudah boleh menggerakkan badan, melakukan regangan serta senaman ringan. Bagaimanapun dia masih tidak boleh berjalan dan berhasrat untuk menurunkan berat sehingga mencecah berat badan normal mengikut ketinggiannya.

Sementara itu, wanita yang pernah mencatatkan sejarah sebagai wanita yang paling berat dunia, Rosalie Bradford juga memegang rekod sebagai wanita yang paling banyak kehilangan berat badan.

Dilahirkan pada tahun 1943, Rosalie mencatat berat badan tertingginya 544 kilogram pada tahun 1987. Menghabiskan masa lapan tahun terbaring di katilnya, dia mula bersenam mengikut kemampuan berikutan menerima sokongan daripada teman-teman dan seorang guru, Richard Simmons.

Biarpun pada awalnya hanya mampu menepuk tangan mengikut rentak lagu daripada video aerobik Simmons, dia berjaya menurunkan berat badannya pada sebanyak 90 kilogram pada awalnya.

Rosalie yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) bertarung dengan masalah obesiti sejak kecil lagi. Ditinggalkan oleh ibu bapanya ketika usia enam tahun, anak kecil itu kemudiannya dibesarkan oleh keluarga angkat.


URIBE masih sukar mengatakan tidak pada makanan.


Apabila ibu angkatnya meninggal dunia ketika usianya mencecah 12 tahun, Rosalie menjadikan makanan sebagai jalan penyelesaian. Ketika bersekolah di gred lapan, badannya sudah seberat 63 kilogram.

Setiap hari, dia mengambil 10,000 kalori termasuk kopi, 10 keping keju, lima keping lempeng, telur dan kepingan daging, separuh kek coklat, satu mangkuk kentang lenyek dengan daging khinzir, sandwich, piza saiz besar bersama keju dan banyak lagi.

Masalah berat badan Rosalie membawa kepada keracunan darah pada kaki yang menyebabkan dia terpaksa melalui 12 pembedahan dan memerlukannya berehat selama 18 bulan. Keadaan ini membuatkannya semakin tertekan dan menjadikan makanan sebagai 'penawar'.

Tidak dapat bangun dari katil menyebabkan semua aktiviti dilakukan di dalam bilik, termasuklah menyambut Krismas. Untuk memandikan Rosalie sahaja memerlukan masa selama dua jam kerana terlalu banyak bahagian badannya yang perlu dibersihkan.


ROSALIE BRADFORD


Rosalie pernah mencuba untuk menurunkan berat badan tetapi gagal. Sehinggalah seorang teman menulis kepada Richard Simmons pada tahun 1989 untuk meminta pertolongan.

Dengan bantuan Richard, dia berjaya menurunkan sebanyak 331 kilogram. Rosalie akhirnya pada tahun 1992 berupaya menurunkan berat badannya kepada 136 kilogram. Bermakna, dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak lebih 400 kilogram.

Malangnya, Rosalie menemui ajal ketika menjalani salah satu daripada lima sesi pembedahan yang dilakukan bagi membuang kulit berlebihan. Dia mengalami komplikasi ringan yang membawa kepada maut dan menghembuskan nafas terakhir pada 26 November 2006 pada usia 63 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Tuesday, May 26, 2009

Jadi kurus selepas dipukau


GAMBAR menunjukkan Marion menjadi kurus selepas menjalani teknik rawatan hipnosis.



MERSEYSIDE - Seorang wanita Britain, Marion Corns hilang berat badan sebanyak 25.40 kilogram dengan menggunakan kaedah hipnosis atau pukau, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia menggunakan kaedah pukau itu di sebuah klinik pada minggu lalu di Sepanyol selepas gagal menguruskan badan dengan menggunakan pendekatan diet dan senaman.

Bagaimanakah kaedah pukau itu berjaya menguruskan badannya?

Di klinik itu, ketika berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau dipukau, dia diberitahu bahawa tubuhnya dimasukkan sejenis alat yang mampu mengurangkan jumlah makanan yang dimakannya.

Walaupun Marion mengetahui tidak ada sebarang peralatan yang dimasukkan ke dalam tubuhnya namun otaknya menguasai pemikirannya bahawa peralatan itu sudah berada di dalam perut.

Seorang doktor dari Scotland, James Braid menggunakan istilah hipnosis pada 1841 selepas mengkaji teknik bersantai dan bertafakur yang digunakan dalam perubatan serta amalan agama di Asia.

Pada masa sama, seorang lagi doktor dari Scotland, James Esdaile menggunakan teknik sama seperti hipnosis bagi menenangkan pesakitnya ketika pembedahan.

Kes ganjil Marion itu dianggap sebagai kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan perubatan alternatif. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Monday, April 27, 2009

Pembaris plastik ubah si gemuk jadi kurus


SARAH semasa gemuk dan selepas menjadi kurus.


BEKAS pelajar sekolah, Sarah Evans, 19, hilang 49 kilogram (kg) berat badannya berbanding 89 kilogram dahulu hanya kerana penangan dilibas pembaris plastik oleh rakannya selain diperli dengan gelaran 'budak gemuk'.

Sarah memberitahu, dia mengambil masa tiga tahun untuk mendapatkan berat badan idealnya sekarang.

"Berkat usaha gigih, rejim diet serta senaman yang teratur, saya berjaya mengubah diri ibarat seekor itik yang hodoh kepada seekor angsa yang sangat cantik dan menawan.

"Malah apabila melihat gambar-gambar sewaktu sekolah dahulu, seperti tidak percaya itu adalah diri saya sendiri," katanya.

Beliau yang kini aktif memperagakan pakaian dan aksesori sudah pun menandatangani kontrak peragaan bersama agensi model terkenal, Vibe.

Malah, Sarah 'si gemuk' yang dahulunya sering dibuli pernah memasuki pertandingan ratu cantik, Miss Wales dan berjaya mara ke pusingan separuh akhir.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Thursday, January 15, 2009

Makin ramai gemuk


KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti adalah trend yang amat membimbangkan di Malaysia pada masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

Beliau berkata, melakukan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan masih belum mencukupi untuk meningkatkan tahap kesihatan di negara ini.

“Malahan kita perlu melakukan perubahan drastik dan menggunakan pendekatan baru dalam pembangunan kesihatan dan dasar kesihatan,” katanya di sini.

Dr Ismail berkata, masalah utama dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan kesihatan awam berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit di negara ini ialah perubahan sikap.

“Bagaimana kita nak mengubah masyarakat supaya berminat dan komited untuk berubah sikap,” soalnya.

“Kita telah sebarkan pelbagai maklumat melalui media, seminar dan perbincangan, tetapi masih lagi belum berjaya.”

Beliau menggesa pakar Kesihatan Awam agar menjalankan penyelidikan dan menjalin rangkaian dengan rakan mereka dalam sektor dan bidang lain di dalam negara dan antarabangsa untuk merumuskan strategi inovasi untuk menangani cabaran berkenaan.

Dr Ismail berkata, juga wujud kebimbangan awam mengenai isu seperti keselamatan makanan, pencemaran alam sekitar akibat agen kimia dan kesan perubahan iklim terhadap kesihatan.

“Impak perubahan iklim mempunyai kaitan langsung dengan penyakit bawaan vektor, bawaan air dan bawaan makanan yang menjejaskan pembiakan, pembangunan dan survival mikrob dan vektor, yang akan menjejaskan tahap dan masa penularan wabak penyakit.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjangkakan dan mengambil langkah untuk merumuskan strategi inovasi untuk mengurangkan ancaman itu,”
tegasnya.

Beliau menggesa mereka untuk mula memikirkan strategi itu sekarang daripada menunggu pihak lain untuk mempelawa mereka agar mula memikirkan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091025/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...