Showing posts with label World Cup. Show all posts
Showing posts with label World Cup. Show all posts

Thursday, November 4, 2010

Paul II ganti sotong peramal Piala Dunia


SOTONG Paul II dipamerkan di Akuarium Sea Life Centre di bandar Oberhausen, Jerman semalam.


BERLIN - Sotong kurita Paul II menjadi pengganti seekor sotong peramal lapan perlawanan Piala Dunia 2010 yang mati 26 Oktober lalu di Akuarium Sea Life Centre di bandar Oberhausen, Jerman.

Paul II dipamerkan kepada jurugambar semalam dan ia kelihatan lebih malu berbanding sotong peramal Piala Dunia yang telah mati, Paul.

"Kami memperolehi sotong itu dekat Montpellier di selatan Perancis," kata jurucakap akuarium tersebut, Tanja Munzig.

Bagaimanapun, pihak akuarium menolak kemungkinan Paul II akan mengikuti jejak langkah Paul dengan membuat ramalan pertandingan bola sepak.

"Tidak ada sesiapa yang tahu lagi bahawa Paul II akan mengikuti jejak langkah Paul ," kata Munzig dalam satu kenyataan.

Paul mencipta kegemilangan apabila meneka dengan tepat lapan perlawanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan termasuk kemenangan Sepanyol ke atas Belanda pada perlawanan akhir. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Wednesday, October 27, 2010

Sotong peramal Piala Dunia mati


GAMBAR fail menunjukkan Paul membuka tudung sebuah kotak plastik yang mengandungi kupang dan lambang bendera Jerman semasa membuat ramalan perlawanan Piala Dunia antara Jerman dengan England di akuarium Sea LIfe di bandar Oberhausen, Jerman pada 25 Jun lalu.


FRANKFURT - Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.

Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.

Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.

Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi.

"Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya," kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.

Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

"Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu 'makam' sederhana yang kekal," kata pengurus tersebut.

Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.

Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.

Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.

Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.

Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.

Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.

Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.

Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.

Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Saturday, June 26, 2010

Kerajaan Akhirnya Tak Lulus Lesen Judi Bola

Published: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:10:00 AM
Updated: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:01:40 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akhirnya memutuskan bahawa Ascot Sports Sdn Bhd (Ascort Sport) tidak akan diberikan lesen bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

"Kerajaan mengambil keputusan tidak akan mengeluarkan lesen perjudian bolasepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Keputusan itu disokong sepenuhnya oleh MT dalam mesyuarat malam ini.

"Walaupun ada pihak yang sokong dan ada pihak yang menentang... tapi setelah kita ambil kita pelbagai aspek, jelas sekali bahawa sebahagian besar daripada rakyat tidak bersetuju lesen perjudian berkenaan dikeluarkan," katanya.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira soal kepentingan agama dan politik.

"Ini bukan soal (kepentingan) sosial ataupun ekonomi... tapi pertimbangan ini dari segi agama dan politik," katanya.

Menurut Najib, syarikat berkenaan telahpun dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu.

Sebelum ini kerajaan pernah mengeluarkan lesen perjudian kepada Ascot Sports pada 1989, namun syarikat itu menyerahkan kembali lesen berkenaan pada 1990 kerana mengalami kerugian.

Bagaimanapun kerajaan baru-baru ini mengumumkan untuk memberikan lesen perjudian kepada Ascot Sports atas beberapa aspek.

"Memang baru-baru ini kerajaan telah memberi kelulusan iaitu pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat tersebut.

"Niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram... pertaruhan haram, namun kerajaan pada masa yang sama mendapatkan pandangan umum sebelum lesen ini dikeluarkan.

"Kita mendapati masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka yang tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat terbabit, Najib berkata: "Kerajaan tak perlu berbuat demikian kerana terdapat akta di bawah Kementerian Kewangan yang membenarkan supaya sesuatu perjanjian itu dibatalkan... syarikat itu juga faham dengan keputusan ini."

Selain itu, Najib juga berkata kerjaaan mengambil pendirian bahawa orang Islam sememangnya tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti perjudian.

"Kerajaan menegaskan bahawa orang Islam sama sekali tidak dibenarkan terlibat dengan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi ahli lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan ini," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626000811&sec=mstar_berita

Wednesday, June 23, 2010

Enggan maaf suami

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

2010/06/23

KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan memaafkannya walaupun dia mahu pulang semula ke pangkuan kami,” kata ibu kepada tiga anak yang ditinggalkan suami selepas melarikan diri daripada ugutan lebih 10 ceti haram (along), Sabtu lalu.

Pilu hati seorang isteri apabila suami yang dikahwininya sejak 30 tahun lalu hanya meninggalkan sekeping nota memohon maaf kerana dia tidak mampu melangsaikan hutang along yang terlalu banyak dan meminta tidak mencarinya lagi.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lau Y K, 55, mendakwa pernah melangsaikan lebih RM80,000 hutang along yang dipinjam suaminya sejak 2008.


“Semua duit simpanan kami anak beranak sudah habis, malah saya terpaksa meminjam dengan sanak saudara dan kawan-kawan untuk melangsaikan hutangnya itu. Selepas semua harta kami tergadai, dia berjanji tidak akan meminjam dengan along lagi.


“Bagaimanapun, saya amat kecewa apabila mendapat tahu suami kembali berhutang dengan along dan tidak dimaklumkan berapa jumlah pinjamannya kali ini,” katanya pada sidang media di Wisma MCA semalam.


Difahamkan, suaminya, Liew Eng Far, 55, meninggalkan rumah sehelai sepinggang. Mangsa tidak menolak kemungkinan suaminya yang bekerja sebagai subkontraktor turut terbabit pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2010.


Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa bersama-sama tiga anaknya keluar dari rumah untuk melawat seorang saudaranya di Bukit Tinggi, Pahang, dekat sini kira-kira jam 8 pagi dan pulang semula ke rumah mereka di Subang Jaya, kira-kira jam 7 malam.


“Apabila tiba di rumah, saya melihat ada sekeping kertas putih yang diletakkan di atas meja makan. Saya amat terkejut selepas membaca kandungan nota yang ditinggalkan itu. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal. “Tiba-tiba kami didatangi tiga lelaki menjerit-jerit dan memaki hamun dari luar rumah. Saya menjelaskan kepada mereka suami tiada di rumah tetapi saya turut diugut agar mencari suami saya sehingga dapat,” katanya.


Difahamkan, mangsa seorang suri rumah kini terpaksa mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan tiga anaknya yang masih bersekolah dan melangsaikan beberapa hutang sebelum ini.


“Saya tidak akan berpindah dan tidak takut dengan ugutan dan ancaman along terbabit. Kenapa perlu takut kerana saya tidak bersalah, demi anak-anak kerana bimbang pelajaran mereka akan terjejas,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Engganmaafsuami/Article

Patah 2 gigi

Oleh Amir Abd Hamid

2010/06/23

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar negara ini yang menuntut di University of Sunderland, London, cedera di seluruh badan termasuk patah dua gigi depan akibat dibelasah sekumpulan samseng mabuk di sana yang berang kerana pasukan bola sepak England hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan Piala Dunia menentang Algeria, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Hasfarisi Abu Hassan (gambar), 24, dikatakan sedang berjalan pulang ke kediamannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan apabila tiba-tiba sekumpulan lima samseng berusia antara 17 dan 20 tahun menyerangnya di SP Marks Road, Sunderland, jam 11.40 malam (waktu United Kingdom).


Khairul Hasfarisi ketika dihubungi Harian Metro semalam, berkata dia tidak menyangka perkara begini boleh berlaku kepadanya.


“Saya memang sudah nampak sekumpulan lelaki mabuk yang bising marah-marah selepas pasukan bola sepak England bermain buruk pada hari itu.


“Tiba-tiba mereka yang mabuk membaling tin arak ke arah kepala saya...tetapi saya sempat mengelak. Tindakan saya mengelak balingan tin arak itu menyebabkan mereka geram lalu mengejar saya,”
kata pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Perangkaian itu.


Menurutnya, dua daripada lima lelaki itu kemudian menariknya hingga terjatuh sebelum memijak kepala dan hampir seluruh badannya.


Dalam keadaan kelam-kabut mempertahankan diri, kata Khairul Hasfarisi, mulutnya ditumbuk bertubi-tubi sehingga menyebabkan dua batang gigi atas bahagian depan patah.


Katanya, dia dibelasah hampir 10 minit sebelum tidak sedarkan diri dan terbaring di tengah jalan.


“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan dalam keadaan sakit serta mulut berdarah saya berjalan ke rumah. Sebaik tiba di rumah saya menghubungi polis sebelum ambulans datang membawa ke hospital berdekatan.


“Ini pengalaman terburuk sepanjang sembilan bulan menuntut ilmu di sini (England). Syukur Alhamdulillah ujian sinar-X mendapati saya tidak mengalami kecederaan dalaman yang teruk,”
katanya yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di United Kingdom, Profesor Madya Dr Rosman Abdullah, berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi media.

Menurutnya, MSD akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patah2gigi/Article

PDRM minta bantuan Interpol, Aseanpol

2010/06/23

MIRI: Melarikan diri dan bersembunyi di luar negara tidak bermakna tujuh bookie bola sepak Piala Dunia 2010 termasuk seorang bergelar Datuk terselamat daripada terus menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.

Malah, polis akan terus memburu penjenayah terbabit dengan bantuan pihak berkuasa di luar negara khususnya Interpol dan Aseanpol.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan segala kepakaran Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Cawangan Khas (SB) untuk mengesan suspek.


“Mereka lari ke luar negara tidak bermakna mereka boleh sembunyi buat selama-lamanya, kerana hubungan pihak berkuasa dengan negara jiran dan pihak polis antarabangsa melalui risikan dan sebagainya adalah cukup baik.


“Mereka boleh lari, tapi tidak mungkin akan dapat bersembunyi selama-lamanya,”
katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Miri, di sini, semalam.


Menurut Hishammuddin, usaha mengesan individu terbabit perlu kerana kemungkinan mereka turut terbabit dalam kegiatan jenayah lain yang mendedahkan negara ini kepada pelbagai ancaman lain seperti keganasan, pemerdagangan manusia dan pemalsuan wang haram.


“Penjenayah ini boleh mengeksploit sepenuhnya kemudahan dunia tanpa sempadan menerusi wang yang mereka peroleh daripada kegiatan berkenaan,” katanya.


Katanya, jumlah pertaruhan judi bola di setiap negara di Asia mencecah A$10 bilion. Semalam polis mendedahkan pertaruhan judi bola di Malaysia sejak 11 Jun lalu membabitkan nilai RM300 juta.


Melalui Ops Soga di seluruh negara, polis sudah melakukan 156 serbuan dan menahan 120 anggota sindiket pertaruhan haram termasuk bookie serta kaki judi berusia 15 hingga 73 tahun.


Terdahulu, Hishammuddin berada di Sarawak sempena dalam rangka lawatan meninjau keperluan asas untuk pasukan keselamatan di Sarawak yang dijanjikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Antara yang diberi keutamaan bagi polis kontinjen Sarawak termasuk kebajikan, jenayah dan sosial.


Berhubung permohonan MyKad di Sarawak, Hishammuddin berkata, banyak permohonan sudah diterima dan proses kelulusan kini berjalan lancar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PDRMmintabantuanInterpol_Aseanpol/Article

Thursday, June 10, 2010

Wang judi RM1 bilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/06/10

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti empat sindiket perjudian Internet bola sepak tanpa lesen didalangi individu bergelar ‘Datuk’ membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion bagi perlawanan Piala Dunia yang berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini menubuhkan satu pasukan khas dalam operasi dikenali ‘Ops Sogar’ bagi menggempur sindiket terbabit yang turut didalangi beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

“Kami percaya sindiket ini beroperasi di seluruh negara membabitkan wang pertaruhan mencecah RM1 bilion dan bergiat di kalangan orang tempatan. Namun kami sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak.

“Bagi menjaga kepentingan awam, kami mengarahkan semua pegawai di semua kontinjen menggempur mana-mana sindiket yang menganjurkan pertaruhan.

“Buat masa ini kami sudah mengesan empat sindiket terbesar yang turut didalangi mereka bergelar Datuk,“
katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut didalangi ‘along’ yang menawarkan pinjaman haram sepanjang pertaruhan itu dilakukan.

“Kami percaya, selain melakukan pertaruhan di kafe perjudian siber, mereka turut mempunyai lokasi tertentu sebagai markas operasi dan unit pemantauan kami akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya memberi amaran kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan. Selain mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram juga turut dikenakan bagi menyita semua harta mereka jika sabit kesalahan,”
katanya.

Sementara itu, di lobi Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hukuman yang boleh diambil mengikut akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian,” katanya.

Lee berkata, terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu ‘online casino’ dan ‘online sports betting’ yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan mengikut undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata, bagi pencegahan di peringkat antarabangsa, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang membabitkan negara Asean.

“Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444,” katanya.

Friday, May 21, 2010

Batalkan saja!

Oleh Amirul Haswendy Ashari
am@hmetro.com.my
2010/05/21

KUALA LUMPUR: “Batalkan lesen judi Piala Dunia 2010 atau mansuhkan Akta Pertaruhan Pool dan Akta Perjudian Rumah Terbuka!” desak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira Perkasa) berikutan pemberian lesen konsesi berbilion ringgit itu kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi mengendalikan pertaruhan judi bola sepak sempena temasya sukan itu Jun ini.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah, berkata isu ini bukan sekadar ‘halal atau haram’, tapi ia dilihat satu tindakan yang boleh menggugat kestabilan sosial.


“Parti pemerintah dan parti pembangkang boleh menggunakan kuasa yang diberi rakyat untuk membuat tindakan dengan mengusulkannya di Parlimen.


Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wira Perkasa hanya mampu mendesak pihak terbabit untuk memansuhkan akta itu kerana kuasa terletak di tangan Ahli Parlimen,”
katanya.


Arman ditemui pada sidang media anjuran Wira Perkasa mengenai bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi Piala Dunia 2010 di ibu pejabat pertubuhan itu di sini, semalam.


Beliau turut meminta isu itu tidak dipolitikkan melalui bantahan jalanan dan demonstrasi kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.


Beliau mencabar Pakatan Rakyat (PR) terutama Pas dengan sokongan DAP untuk membahas bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi terbabit di Parlimen. Menurutnya, sebelum ini DAP pernah difahamkan turut tidak bersetuju pemberian lesen judi itu.


“Jika mereka tidak bersetuju, gunakan saluran betul dan sekiranya benar mereka membangkang pemberian lesen judi itu, ini bermakna mereka mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya.


Atas desakan itu, Wira Perkasa kini mengambil inisiatif mengumpul 40 ribu tanda tangan orang ramai yang bersetuju membantah pelaksanaan lesen judi Piala Dunia untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang minggu hadapan.

Pertubuhan itu juga memohon badan NGO lain yang bersetuju dengan bantahan itu untuk turut serta memperjuangkan tindakan mereka itu.


Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata Kementerian Kewangan sudah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Batalkansaja_/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...