Showing posts with label Marriage - Thailand. Show all posts
Showing posts with label Marriage - Thailand. Show all posts

Thursday, March 24, 2011

Ditinggal lepas nikah 3 bulan

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bimbang rahsia perkahwinan keduanya di negara jiran diketahui isteri pertama, seorang pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan Islam di Ranau, Sabah sanggup meninggalkan isteri baru tanpa nafkah zahir dan batin hanya selepas beberapa bulan mereka bernikah.

Malah, lelaki berusia 50-an itu turut membiarkan isteri keduanya hidup tanpa status yang sah apabila enggan mendaftarkan perkahwinan mereka di sini walaupun mengetahui ia menyalahi undang-undang syariah.


Wanita malang itu yang hanya ingin dikenali sebagai Khadijah, 53, berkata, dia sanggup berkahwin dengan lelaki itu kerana terlalu mempercayainya yang mempunyai latar belakang agama tinggi dan berasa suaminya itu akan bertanggungjawab serta berlaku adil.

Menurutnya, mereka bernikah pada 30 Julai tahun lalu di Narathiwat, Selatan Thailand dan kira-kira sebulan selepas itu dia dengan usaha sendiri mendaftarkan pernikahan mereka di jabatan agama, namun suaminya enggan menandatangani dokumen dengan memberikan pelbagai alasan.


“Sebelum kahwin macam-macam dia janjikan, hingga sanggup memberi mas kahwin RM15,000. Tapi tidak sangka selepas tiga bulan bernikah dia meninggalkan saya tanpa sebarang nafkah serta turut bersikap dingin terhadap saya hingga kini. “Dia langsung tidak mempedulikan saya sekarang dan apabila ditanya mengapa, dengan selamba dia mengatakan mereka tidak boleh hidup bersama kerana cara hidup mereka berbeza,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.


Khadijah berkata, dia berasa dipermainkan dan lebih teruk suaminya seperti tidak mahu mengaku yang mereka sudah berkahwin dengan beberapa kali menghantar SMS mengatakan pernikahan di negara jiran itu tidak sah dan mereka tiada sebarang ikatan atau hubungan lagi.

Menurutnya, dia tidak sangka seorang berjawatan tinggi dalam pertubuhan Islam yang boleh dikatakan berstatus pendakwah serta mengetahui mengenai hukum agama serta undang-undang syariah tergamak melakukan perkara sedemikian. Katanya, dia kini malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan yang mengetahui mengenai perkahwinan mereka dan perkara itu juga mengganggu kehidupan hariannya.


“Jika benar dia sudah tidak mahu ada apa-apa hubungan, saya harap perpisahan itu dilakukan mengikut cara yang betul dengan mendaftarkan terlebih dulu perkahwinan dan kemudian barulah bercerai cara baik melalui proses yang betul.

“Macam mana nak bercerai sedangkan pernikahan kami tidak didaftarkan dan saya percaya dia mengetahui perkara itu, tetapi sengaja berbuat demikian kerana takut perkahwinan kami diketahui isteri pertama selain bimbang kedudukannya terjejas ekoran melakukan kesalahan mengikut undang-undang syariah ,” katanya.


Menurutnya, dia masih menyayangi suaminya dan jika boleh ingin mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan perkahwinan mereka serta berharap suami lebih bertanggungjawab dengan tidak lepas tangan dengan apa yang sudah berlaku. Khadijah berharap agar pengalaman pahitnya itu dijadikan iktibar kepada wanita lain supaya tidak terpedaya dengan kedudukan seseorang itu hingga sanggup membelakangkan undang-undang.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ditinggallepasnikah3bulan/Article/index_html

Monday, March 14, 2011

Nikah datuk ‘kacak’

Nikah datuk ‘kacak’

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

KULIM: Menggunakan umpan tersalah mendail nombor telefon, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun melalui detik mencemaskan apabila mendakwa dinikahkan dengan pemilik nombor telefon berkenaan dalam tempoh perkenalan hanya kira-kira lima bulan.

Lebih mengejutkan, ‘suami’ yang mendakwa lelaki kacak berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pegawai bank itu seorang datuk berusia 63 tahun yang juga penoreh getah.


Bagaimanapun, remaja itu yang bekerja di sebuah pasar raya, dekat sini, ‘bernasib baik’ kerana ketika dinikahkan kononnya di sebuah pejabat agama di Thailand, dia dalam keadaan ‘uzur’ menyebabkan suaminya terpaksa menyimpan hajat menjamah tubuh gadis itu untuk sementara waktu.

Begitupun, selepas empat hari bernikah, remaja terbabit menyatakan hasrat berpisah dengan suaminya sebelum membuat laporan polis dan jabatan agama.


Ketika mendedahkan pengalamannya, remaja yang mahu dikenali sebagai Lis berkata, dia berkenalan dengan warga emas terbabit Oktober lalu apabila lelaki itu mendakwa tersilap mendial nombor telefonnya.

Bermula saat itu, katanya, lelaki terbabit kerap menghantar SMS serta berbual dengannya walaupun mereka tidak pernah berjumpa.

Menurutnya, sejak berkenalan, lelaki itu kerap menambah nilai kredit telefon bimbitnya selain memasukkan wang ke akaun adiknya untuk kegunaan termasuk membeli-belah.


“Dia kerap tambah nilai telefon saya selain memasukkan wang ke dalam akaun adik untuk kegunaan saya dan memberitahu dia berusia 30-an, masih bujang dan bekerja sebagai pegawai bank.

Beberapa minggu lalu, kami membuat keputusan untuk berjumpa di stesen bas dekat sini. Sebaik saya tiba, lelaki itu bersama rakannya membawa saya ke Thailand untuk bernikah,” katanya.


Lis berkata, selepas empat hari bernikah dia berasa tidak sedap hati sebelum meluahkan hasrat tidak puas hati terhadap perkahwinannya dan minta berpisah.


“Saya bingung bagaimana proses pernikahan itu berlaku dan kerana tidak puas hati saya membuat laporan di Balai Polis Kulim kerana rasa tertipu dan mungkin dipukau,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kulim pada 7 Mac lalu.


Sementara itu, lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, dia tertarik dengan remaja itu yang pandai mengambil hati selain suka mendengar suaranya.


Menurutnya, sepanjang proses pernikahan dengan remaja itu, tidak berlaku sebarang paksaan, malah semua dokumen berkaitan ada dalam simpanannya.


“Saya menikahinya di Thailand dan memiliki semua dokumen yang diperlukan, malah ketika bernikah tidak berlaku sebarang paksaan. “Sejak menikahinya kami tidak pernah bersama kerana dia datang bulan,” katanya.


Warga emas itu berkata, dia mempunyai anak berusia tujuh bulan hingga 30 tahun dan remaja itu isteri keduanya.


Menurutnya, dia sudah bernikah empat kali, tetapi tidak kekal lama dan bercerai.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) untuk memastikan kesahihan status perkahwinan pasangan itu.


Sementara itu, jurucakap PADK berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan susulan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Nikahdatuk__8216_kacak__8217_/Article

Thursday, February 24, 2011

Bapa Mertua Masih Tak Restu Perkahwinan Raisuddin Hamzah

Khamis Februari 24, 2011

Gambar fail menunjukkan Raisuddin (kiri) dan Siti Fatimah.

SHAH ALAM: Walaupun peristiwa penyanyi popular tahun 80-an, Raisuddin Hamzah bernikah kali kedua di Selatan Thailand telah empat tahun berlalu, bapa wanita terbabit masih tidak merestui perkahwinan itu yang dibuat tanpa pengetahuannya.

Suberi Abdullah, 51, berkata, Raisuddin yang dikenalinya sejak tahun 2002 apabila sering datang ke kedai makan yang diusahakannya juga tidak pernah memaklumkan hasrat untuk berkahwin dengan anaknya, Siti Fatimah.

“Selain itu, mereka tidak sepadan dari segi umur dan ia melibatkan maruah keluarga saya,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Dia yang disoal oleh peguam syarie Nor Azmi Mohd Ariff yang mewakili Raisuddin, 55, dan Siti Fatimah, 25, seterusnya memberitahu bahawa dia hanya dimaklumkan mengenai perkahwinan itu beberapa bulan selepas ia berlaku.

Tambah Suberi, 50, semasa itu anak sulungnya itu yang sedang menuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Batang Berjuntai pulang ke rumah mereka yang terletak di Hulu Kelang, dekat sini.

“Siti Fatimah beritahu saya bahawa Raisuddin mahu berjumpa dengan saya. Saya jumpa dia di sebuah kedai makan di Ukay Perdana, Ampang dan Raisuddin cakap dia dah kahwin dengan anak saya. Saya beristifar,” katanya.

Suberi seterusnya memberitahu, Raisuddin tidak menunjukkan sebarang dokumen yang boleh membuktikan perkahwinan tersebut telah berlaku.

Pada keterangan lain, Suberi mendakwa Raisuddin ada menyatakan hasrat untuk meminang Siti Fatimah untuk dikahwinkan dengan anak lelakinya.

“Raisuddin kata pada saya, Pak Lang (panggilan saksi) kalau boleh saya nak pinang anak Pak Lang ini dengan anak saya. Waktu itu, saya kata anak saya masih lagi belajar,” katanya.

Suberi juga mengakui bahawa Siti Fatimah ada berkawan dengan seorang anak doktor sejak pertengahan tahun 2006.

Menjawab soalan peguam syarienya, Mohd Roshdan Sujak pula, Suberi memberitahu doktor tersebut ada berbincang mengenai hubungan anak mereka, tetapi tiada kata putus dicapai memandangkan Siti Fatimah masih belajar.

“Selepas Siti Fatimah bernikah, saya dapat tahu bahawa dia telah berhenti dan tidak menamatkan pengajian,” tambah Suberi.

Sementara itu, menjawab soalan Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin, saksi mengakui bahawa dia tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan Raisuddin mahupun bermusuh dengan bapa kepada penyanyi popular, Siti Sarah itu.

Suberi sedang memberi keterangan pada permohonannya untuk membubarkan perkahwinan antara Siti Fatimah dan Suberi yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 dengan berwalikan hakim mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Selaku plaintif, Suberi menamakan Siti Fatimah sebagai responden pertama dalam permohonannya diikuti oleh Raisuddin.

Zainor Rashid menetapkan kes disambung semula pada 13 April depan untuk mendengar keterangan responden-responden.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/2/24/mstar_hiburan/20110223195024&sec=mstar_hiburan

Sunday, January 30, 2011

Setiap hari dibelasah

Setiap hari dibelasah

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.
BUKTI... surat mahkamah, laporan polis dan surat pengesahan perkahwinan di Thailand.
SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.
SAKIT... Alina menunjukkan bahagian badan yang lebam angkara suami.

KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama ‘binatang’.

Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan.

Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, ‘dipercepatkan’ bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin.

Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam ‘dihasilkannya’ hanya masalah dalaman rumah tangga.

Lelaki itu turut mengugut akan membelasah wanita terbabit dengan lebih teruk jika membocorkan rahsia perkahwinan mereka kerana bimbang tidak disahkan dalam jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Ikuti apa disifatkan sebagai ‘diari neraka’ oleh seorang wanita berusia 23 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alina sepanjang bersama lelaki dikenali sebagai ‘Mr L’, 27.


  • 14 Julai 2010

    “Saya menaiki bas untuk bertemu bakal suami di sebuah negeri di utara tanah air. Saya tiba jam 4 pagi, tetapi dia tidak dapat dihubungi. Saya menunggu sehingga jam 8 pagi di stesen bas.

    Saya kemudian nekad ke pejabat tempat dia bekerja dan menemuinya. Dia bawa saya ke dalam kereta dan dalam perjalanan di dalam kereta, tanpa disangka-sangka dia mengamuk dan membelasah saya. Saya dipukul dan ditumbuk, malah kepala dihentak ke papan pemuka kereta sehingga papan itu pecah.

    Dia mengamuk kerana tidak suka kedatangan saya. Dia menganggap saya cemburu dan menyangka saya datang bertemunya untuk memastikan dia tiada perempuan lain. Sebelum itu memang saya tahu dia ada perempuan lain.

    Selepas puas membelasah saya sehingga lebam, dia meninggalkan saya di sebuah stesen bas dan menyuruh saya tidur di surau. Saya tidak tidur kerana takut dan hanya duduk di sebelah seorang pengawal keselamatan wanita di stesen bas berkenaan sementara menunggu hari siang.”


  • 15 Julai 2010

    “Saya sekali lagi ke pejabat bakal suami dan disambut dengan kata makian dan sekali lagi saya dipukul. Saya kemudian ‘disimpan’ di rumah mak cik angkatnya.”


  • 16 Julai 2010

    “Pada sebelah pagi, tiba-tiba bakal suami membawa saya ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin. Dia bimbang saya membuat laporan polis berhubung perlakuannya. Dia yakin pihak berkuasa akan menganggap saya berdepan masalah rumah tangga jika membuat laporan polis.

    Pada masa sama, dia mengugut akan memukul saya dengan lebih teruk jika saya tidak merahsiakan perkahwinan kami. Kerana terlampau takut dipukul dan sayangkannya, saya ikuti kehendaknya dengan harapan dia akan berubah selepas kami bergelar suami isteri.

    Tanpa dokumen perjalanan sah, saya masuk ke Thailand bersama bakal suami dan apabila tiba di lokasi tempat berkahwin semuanya sudah disediakan. Kami dinikahkan.”


  • 17 Julai sehingga 23 Julai 2010

    “Saya dan suami masih menetap di rumah mak cik angkat suami. Sangkaan saya dia berubah, tetapi saya tetap dipukul. Jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Bertambah-tambah lebam di badan saya.”


  • 24 Julai sehingga 29 Julai 2010

    “Saya dibawa ke rumah sewa suami. Lagilah teruk perangainya. Saya dipukulnya sesuka hati. Bukan saja menggunakan kaki dan tangan, dia turut menggigit saya. Sebelum pergi kerja jika ada yang tidak kena, saya dipukul. Selepas pulang daripada kerja, saya sekali lagi dipukul. Saya dapat tahu dia masih ada hubungan dengan teman wanitanya dan jika dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya menjadi mangsa lepas geramnya.

    Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut. Jika saya menjerit ketika dipukul, saya dibelasah dengan lebih teruk. Satu ketika, entah apa anginnya dia bersetuju dengan permintaan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur menziarahi keluarga saya dan memberitahu perkara sebenar.

    Dia bersetuju untuk ke Kuala Lumpur sambil kakinya memijak kepala saya.”


  • 30 Julai sehingga 1 Ogos 2010

    “Di rumah ibu bapa saya, dia memberitahu hal sebenar dan mengakui memukul saya atas alasan saya terlalu cemburu. Pandai dia berlakon, sampai menangis-menangis dan berguling-guling seperti orang kena sawan.

    Ibu bapa saya mempercayainya dan menasihati saya. Suami saya turut dinasihati supaya tidak lagi memukul saya dan dia berjanji akan berubah.”


  • 2 Ogos sehingga 27 Ogos 2010

    “Kami kembali ke utara di rumah sewanya. Pada awalnya, dalam satu dua hari saya tidak dipukul, tetapi dibuat bagaikan tawanan di rumah. Selepas itu setiap hari saya dipukul. Selepas saya dipukul, dia pujuk, selepas itu keesokannya dia pukul lagi.

    Hampir tiga minggu saya dilayan umpama hamba abdi. Paling menyedihkan, dia menyedari saya sudah lama tidak datang bulan dan dia menjadi bertambah ganas.

    Dia belum mahukan cahaya mata dan kerana bimbang saya mengandung dia suruh saya buat pelbagai perkara, antaranya makan nanas muda. Apabila datang anginnya dia belasah saya dengan menendang perut saya.

    Mujur saya tidak mengandung, jika mengandung entah apa berlaku kepada kandungan saya. Kerana tidak tahan menjadi hamba abdi, saya hubungi keluarga supaya mengambil saya. Pada 27 Ogos, saya kembali ke Kuala Lumpur dan dia memberitahu akan berkunjung ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri untuk menyelesaikan masalah kami.

    Saya sudah membencinya dan tidak mahu lagi bersamanya. Saya dapat tahu, dia sanggup memukul saya kerana dihasut teman wanitanya.”

  • http://www.hmetro.com.my/articles/Setiapharidibelasah/Article/artikelMA
  • Perkahwinan bukan mi segera

    KUALA LUMPUR: “Perkahwinan bukan seperti mi segera, cepat dimasak dan boleh dinikmati serta-merta,” kata pakar motivasi dan kaunseling, Dr Rubiah K Hamzah berhubung penderitaan ditanggung Alina akibat didera suami.

    Menurutnya, perkahwinan adalah satu ibadat dan tuntutan agama untuk tempoh panjang, bukan didorong hawa nafsu bagi menghalalkan seks semata-mata.


    “Lihat apa berlaku pada Alina dan pasangannya. Pada saya, perkahwinan mereka terlalu terburu-buru. Mereka memilih jalan singkat berkahwin di Songkhla dan kini timbul dua masalah, si suami tidak bertanggungjawab manakala si isteri menderita didera.

    “Dalam hal ini, mangsa tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Sebab itu saya katakan perkahwinan ini satu ibadat, jika bukan niat kerana Allah, hancurlah rumah tangga itu nanti,” katanya ketika dihubungi.


    Dr Rubiah berkata, masyarakat perlu sedar dan belajar daripada perkahwinan yang hanya didorong hawa nafsu, lebih-lebih lagi kes begini semakin membimbangkan.


    “Saban hari, pelbagai masalah membabitkan rumah tangga terlalu mudah ditatap di media dan akhbar. Bagaikan satu trend yang tiada kesudahannya.

    “Pihak berkuasa perlu memikirkan satu formula untuk menangani masalah ini supaya tidak melarat dan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.


    Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPGSM), Musa Awang berkata, Alina sewajarnya mengambil tindakan undang-undang akibat penderitaan ditanggungnya.

    Katanya, undang-undang di negara ini lengkap dan mangsa boleh mendapatkan khidmat peguam untuk memudahkannya menangani masalah terbabit.


    “Bagaimanapun, daripada segi perundangan syariah di negara ini, mahu tidak mahu mereka perlu mengesahkan perkahwinan terbabit sebelum tindakan susulan dilakukan, misalnya jika ingin menuntut perceraian.


    “Apapun, mereka masih boleh merujuk masalah itu kepada polis atau pihak berkuasa tertentu berikutan tindakan suami mendera mangsa,” katanya.


    Selain itu, Musa berkata, masalah dihadapi Alina dan suami tidak akan timbul jika melangsungkan perkahwinan secara sah di negara ini.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkahwinanbukanmisegera/Article/index_html

    Saturday, January 22, 2011

    Dibuang suami seperti sampah

    Dibuang suami seperti sampah

    Oleh Idris Musa
    idris@hmetro.com.my

    KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah mengejar harta dan lelaki berpangkat pada usia muda, seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akhirnya berdepan bahana dibuang suaminya seperti sampah.

    Lebih memilukan, suaminya, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat besar di ibu kota mula mengabaikannya ketika dia sarat hamil anak pertama.


    Siswi yang dikenali sebagai Suzie, 20-an, amat terkejut dengan sikap suaminya yang tidak mahu mengakuinya isteri yang sah, malah bersikap seperti mereka tidak pernah kenal selepas menjejaki lelaki bergelar Datuk berusia 50-an itu di pejabatnya.

    Mendedahkan kepincangan itu, peguam syarie, Datuk Zaidi Zain berkata, siswi terbabit pelajar tahun tiga sebuah universiti awam berasal dari sebuah kampung di pantai timur. “Apabila berjinak-jinak dalam persatuan mahasiswa dan bertemu ramai pihak di pelbagai syarikat bagi tujuan persatuan, dia teruja untuk mendekati golongan berpangkat sehingga terpaut dengan seorang CEO menyebabkan hubungan mereka makin rapat.


    “Enam bulan kemudian, dia memutuskan untuk berkahwin dengan Datuk terbabit, namun ibu bapanya di kampung membantah dengan alasan dia perlu menyelesaikan pengajian di universitinya terlebih dulu.


    “Pada masa sama, dia digula-gulakan dengan aneka barang mewah membuatkannya gelap mata dan nekad melawan cakap ibu bapa.

    “Mereka kemudian berkahwin di negara jiran kerana tidak mendapat restu keluarga,” katanya. Beliau berkata, ibu muda itu sanggup datang berjumpanya di ibu kota walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan bayi semata-mata mahu meminta bantuan bagi mendapatkan pembelaan.


    “Si suami berani bertindak demikian kerana perkahwinan mereka di negara jiran tidak didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini.

    “Dia memang mendesak suaminya melakukan pendaftaran, tapi pelbagai alasan diberikan. Suaminya mula tidak mengendahkannya selepas mengetahui dia hamil dan tidak dapat lagi mengikuti kuliah.


    “Sikap dingin suaminya tidak habis begitu saja, malah bayaran sewa kondominium mewah yang dihuninya tidak dibayar lagi, bahkan kemewahan lain termasuk kereta yang diberikan konon atas dasar cinta sebelum ini ditarik balik,” katanya. Zaidi berkata, firmanya sudah menghantar surat kepada suami wanita terbabit untuk perbincangan, tetapi masih tidak mendapat maklum balas.


    “Selepas mendapatkan persetujuan wanita itu, baru-baru ini kami memfailkan permohonan cerai taklik di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Buat masa ini, kami tunggu sebutan pertama kes yang dijangka pada bulan depan,” katanya.

    http://www.hmetro.com.my/articles/Dibuangsuamisepertisampah/Article

    Saturday, December 25, 2010

    Menantu tidak setaraf

    Menantu tidak setaraf

    Oleh Mohamad Fahd Rahmat
    am@hmetro.com.my

    TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.
    TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.

    JOHOR BAHRU: Umpama filem Tan Sri P Ramlee ‘Antara Dua Darjat’, seorang bapa didakwa cuba memisahkan perkahwinan anak perempuannya yang bergelar ustazah disebabkan enggan menerima menantu yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

    Lantaran tidak merestui perkahwinan itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul mendakwa bapanya memaksa dia membuat laporan polis mengatakan suaminya memukau, memukul serta mengancam nyawanya.


    Terbaru, kata Nurul, bapanya membuat permohonan kepada Jabatan Pelajaran supaya dia ditukar mengajar di sekolah lain ajar dia berjauhan dengan suaminya.

    Menurut Nurul, dia berkawan dengan suaminya selama enam tahun sebelum mengambil keputusan kahwin lari di Thailand kerana keluarga terutama ayah tidak menerima calon pilihan hatinya sebagai menantu.


    “Sejak itu saya dibuang keluarga apabila SMS dan panggilan telefon saya tidak dibalas. Masalah makin teruk apabila ayah mencampuri urusan rumah tangga dan mengadu perkara tidak elok kepada pengetua sekolah tempat saya mengajar.


    “Saya ingatkan campur tangan pihak sekolah membantu meleraikan kekusutan itu, tetapi menjadi lebih teruk apabila ada kakitangan sekolah menjadi sebagai mata dan telinga melaporkan kepada keluarga mengenai tindak tanduk saya.

    “Saya pernah dihalang daripada berjumpa suami selama sebulan dan ayah memaksa saya membaca nota mendakwa suami memukau, memukul dan mengancam keselamatan saya ketika berada di balai polis,” katanya.


    Kata Nurul, bapanya menolak hasrat mereka berkahwin disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan suami yang memiliki STPM sedangkan dia berkelulusan ijazah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

    “Hubungan kami ditolak kerana saya anak sulung dan bapa berharap saya bertemu jodoh dengan pilihan hati mereka berbanding suami yang mempunyai STPM dan bekerja sendiri,” katanya.


    Suaminya yang mahu dikenali sebagai Daim berkata, walaupun mendapat tentangan keras daripada bapa mentua, dia berusaha mencari jalan perdamaian, namun dibalas dengan cubaan memisahkannya dengan isteri.


    “Bapa mentua pernah memfailkan perintah kami berpisah di mahkamah syariah berdasarkan laporan polis yang kononnya dibuat oleh isteri sebelum ini.


    “Saya mengambil keputusan mendaftarkan perkahwinan secara sah di Mahkamah Tinggi Syariah Johor sebelum perintah mahkamah sama menyatakan perkahwinan kami sah pada 30 November 2010,” katanya.


    “Saya dan keluarga sanggup datang ke rumah mentua tetapi kedatangan kami tidak disambut kerana mereka enggan membuka pintu rumah,” katanya.


    Daim berkata, usaha memisahkan mereka tidak setakat itu saja apabila bapa mentuanya turut memohon pertukaran tempat mengajar isterinya ke sebuah sekolah di utara Semenanjung.


    “Berbekalkan lima laporan polis berkenaan bapa mentua melakukan permohonan pemindahan isteri untuk bertugas di Pulau Pinang dan bertemu dengan pelbagai pihak mencapai hajatnya.


    “Saya menghantar surat kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kementerian Pelajaran di Putrajaya serta permohonan secara on-line di laman web kementerian bagi membatalkan pertukaran terbabit.


    “Namun, permohonan itu ditolak dengan surat mengarahkan isteri saya mendaftarkan diri di negeri itu pada 1 Januari 2011.


    “Kini, kami buntu dan tidak tahu ke mana lagi tempat mengadu. Kami tertekan dengan masalah ini,” katanya.

    http://www.hmetro.com.my/articles/Menantutidaksetaraf/Article

    Friday, July 16, 2010

    Cari suami hilang sahkan sijil nikah

    Oleh Irma Ernany Mohd
    am@hmetro.com.my
    2010/07/16

    SANGLANG: Seorang ibu muda merayu supaya suaminya pulang ke pangkuan keluarga bagi menyelesaikan masalah pengesahan sijil nikah mereka untuk memastikan masa depan anak mereka terbela.

    Nor Diana Md Zin, 23, dari Kampung Tok Mengkula, di sini berkata, suaminya Shaiful Nazri Saad, 27, tidak pulang ke rumah sejak kematian ibu Nor Diana, Som Ahmad, tujuh bulan lalu dan mengabaikan tanggungjawab terhadap tiga anak mereka yang berusia antara satu hingga empat tahun.


    Nor Diana yang juga isteri kedua Shaiful menghadapi masalah kerana sijil nikah yang dikeluarkan di Thailand belum mendapat pengesahan dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), menyebabkan pendaftaran kelahiran ketiga-tiga anaknya juga menghadapi masalah.


    Menurutnya, dia dan suaminya berkahwin secara rahsia di Thailand sejak lima tahun lalu kerana usianya yang masih muda dan selepas berkahwin, dia mendapati dirinya ditipu kerana suaminya yang berasal dari Kampung Megat Dewa, sebenarnya sudah berkahwin dengan wanita lain.


    “Saya pernah meminta suami untuk membuat pengesahan sijil itu namun dia melambat-lambatkan urusan berkenaan sehingga dia menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.


    “Malah, suami juga tidak memberi nafkah untuk anak-anak dan saya terpaksa bekerja di kedai makan di Alor Setar dan berulang-alik setiap hari,” katanya.


    Katanya, pendapatannya sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan juga tidak cukup untuk membiayai kehidupan mereka sekeluarga kerana dua anaknya, Aina Arisya, 3 tahun, dan Aifan Daniel, setahun lima bulan terpaksa diserahkan kepada pengasuh dengan upah RM150 sebulan.


    Anak sulungnya pula, Aiman Haris, 4, kini dijaga kakak iparnya.


    “Saya pernah pergi ke rumah mentua saya, namun diberitahu suami tidak tinggal di situ dan mereka enggan memberitahu di mana suami saya tinggal menyebabkan saya mengalami tekanan kerana sehingga kini masih tidak berjumpanya.


    “Keluarga mentua pula seperti tidak menerima saya dan anak-anak dan pernah sewaktu arwah ibu saya baru meninggal dunia, saya bersama anak-anak menumpang sekejap di rumah mentua kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan untuk anak-anak, namun keluarga mentua masih enggan menerima mereka,” katanya.


    Nor Diana berkata, kehidupannya kini diibaratkan kais pagi makan pagi kerana tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, malah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula masih tidak mendapat sebarang maklum balas sejak empat bulan lalu.

    “Apa yang saya risaukan ialah keadaan anak-anak yang semakin membesar dan akan memasuki alam persekolahan tidak lama lagi. Sekiranya suami masih enggan pulang dan menguruskan soal pengesahan sijil nikah dan sijil pendaftaran kelahiran anak, sudah tentu mereka akan tercicir dalam pelajaran,” katanya.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Carisuamihilangsahkansijilnikah/Article

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...