Showing posts with label Landslide. Show all posts
Showing posts with label Landslide. Show all posts

Friday, December 26, 2008

Tabung tanah runtuh kurang sambutan

Oleh YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my



ANTARA barangan yang dijual untuk Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa kurang mendapat sambutan dan perhatian daripada masyarakat setempat.

Berdasarkan pungutan sejak dimulakan 6 Disember lalu, hanya RM160,000 sahaja dapat dikumpulkan dan tidak 'semeriah' tabung bencana yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kutipan tidak memberangsangkan itu ada kaitan dengan persepsi negatif orang kaya tidak perlu dibantu.

"Ini tanggapan yang salah, sesiapa sahaja yang menghadapi bencana alam seperti ini (tragedi Bukit Antarabangsa), sudah pasti mereka akan merasai kesusahan juga," ujarnya selepas majlis pelancaran jualan amal tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa semalam.

Menurut Ismail, kebanyakan masyarakat menganggap mangsa-mangsa yang tinggal di kawasan Bukit Antarabangsa terdiri daripada golongan orang berada dan tidak perlu dibantu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Wednesday, December 24, 2008

JMG buat kajian


Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


KAJI...kakitangan JMG membuat kajian geofizik, geologi
dan hidro geologi di Bukit Antarabangsa, semalam.


HULU KLANG: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang melaksanakan kajian mengenal pasti punca tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini dari aspek geologi.

Pengarahnya, Zakaria Muhammad, berkata laporan mengenai kajian yang dilaksanakan selama sebulan bermula dari tarikh kejadian itu bakal diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa yang diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Cerun.

Menurutnya, enam kakitangan JMG terdiri daripada pakar geologi dan geofizik berterusan melakukan kajian berkenaan sejak hari pertama kejadian pada 6 Disember lalu.

Antara skop kajian itu, katanya, meliputi geofizik, geologi dan hidro geologi di kawasan berlakunya tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa serta kawasan sekitarnya.

“Keputusan awal mengenai kajian itu diserahkan kepada JKR Cawangan Cerun dalam masa seminggu. JMG turut melaksanakan bagi menentukan air bawah tanah,” katanya.

Menurutnya, antara peralatan digunakan JMG untuk kajian berkenaan ialah Makintosh Probe bagi mengenal pasti lapisan bawah tanah dan berapa ketebalan antara runtuhan dengan batuan dasar.

Zakaria berkata siasatan geologi itu berterusan dalam tempoh tertentu dan hanya dijalankan ketika cuaca baik atas sebab risiko bahaya berlaku kejadian tidak diingini.

Kakitangan JMG, katanya, bertungkus-lumus membuat kajian terbabit bermula dari jam 8 pagi hingga lewat petang setiap hari.

Tinjauan Harian Metro di lokasi zon merah tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini mendapati pakar geologi dan pakar geofizik JMG sedang melaksanakan kajian.

Sebanyak 136 blok penandaan koordinat dilaksanakan dengan jarak 20 meter setiap satu bagi kajian butiran peta dasar.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223083203/Article/index_html

Sunday, December 21, 2008

15 kawasan cerun bukit di Ampang berisiko - MB Selangor


Ahad Disember 21, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Lima belas kawasan cerun bukit di seluruh Ampang dekat sini termasuk Bukit Antarabansga, lokasi tragedi tanah runtuh dua minggu lalu, telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri Selangor sebagai berisiko.


Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti lima daerah di Selangor yang mempunyai kebarangkalian untuk berlaku tanah runtuh.


Kawasan-kawasan itu ialah Bukit Antarabangsa, UKAY Heights, Taman Hijau, Taman Hillview dan Dataran UKAY yang terletak di bahagian Dewan Undangan Negeri Bukit (DUN) Antarabangsa.


Kawasan terbabit dalam DUN Hulu Kelang ialah Taman Melawati, UKAY Perdana dan Taman Kemensah.


Dua kawasan dalam DUN Lembah Jaya ialah Taman TAR dan Bukit Sungat Seputih.


Dalam DUN Teratai lima kawasan dikenal pasti iaitu Bukit Teratai, Bukit Permai, Taman Saga, Taman Mega dan Bukit Segar.


"Kerajaan negeri sedar keperluan usaha jangka panjang bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang telah mengorbankan empat nyawa sementara satu masih hilang.


"Pemantauan agensi kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan cerun bukit di seluruh Ampang yang berisiko,"
kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media di lokasi tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa di sini pagi ini.


Daerahh-daerah yang mempunyai kebarangkalian untuk berlaku tanah runtuh ialah Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Petaling.


"Perlu diingatkan bahawa penjagaan kawasan cerun bukit adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah itu sendiri.


"Oleh itu, kerajaan negeri akan menulis surat kepada semua pemilik tanah cerun bukit di Selangor untuk mengingatkan mereka akan tanggungjawab ini,"
katanya.


Namun katanya jika pemilik-pemilik tanah berkenaan enggan mengambil tindakan susulan, kerajaan negeri akan mengambil alih penyelenggaraannya berdasarkan peruntukan Perkara 13 (A) Kanun Tanah Negara.


"Kita akan selenggara dan kemudiaan kita akan kenakan caj kepada pemilik tanah yang degil itu," katanya.


Dengan itu, pemilik tanah akan mengambil kira risiko yang ada sebelum membuat keputusan membina bangunan di atas tanah cerun bukit.


"Kami juga akan mengumumkan kawasan tanah cerun bukit yang dimiliki kerajaan negeri dan anak syarikat di mana kerajaan negeri akan mengambil tanggungjawab penuh dalam penjagaan cerun bukit," katanya lagi.


Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata buat masa ini kerajaan negeri masih belum mempunyai angka sebenar jumlah penduduk dan unit perumahan yang dikenalpasti berisiko.


"Sebenarnya risiko yang dikenalpasti bukanlah keseluruhan kawasan yang disenaraikan itu.


"Contohnya bukan semua perumahan dalam Taman Mega itu berisiko, ada kawasan-kawasan tertentu sahaja,"
katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


Namun katanya kerajaan negeri akan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menjalankan bancian bagi kawasan-kawasan tersebut.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/21/mstar_berita/20081221144124&sec=mstar_berita

Friday, December 19, 2008

Laporan tanah runtuh: JKR minta maaf atas kekeliruan prosedur


Jumaat Disember 19, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kekeliruan yang timbul mengenai laporan geoteknikal keadaan Bukit Antarabangsa.


Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Judin Abddul Karim berkata, terdapat kekeliruan yang memberi tanggapan bahawa laporan itu akan terus diberikan kepada Khalid.


Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya tidak bertujuan untuk menimbulkan sebarang kesulitan kepada Menteri Besar dalam usaha membantu penduduk Bukit antarabangsa.


"Dalam usaha penyediaan laporan, JKR terpaksa mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara National No.20 Polisi dan Mekanisme Mengenai Pengurusan Bencana dan Relif bagi operasi keselamatan di Bukit Antarabangsa.


"JKR diarahkan untuk memaklumkan sebarang maklumat terkini tentang tahap keselamatan dikawasan runtuhan terus kepada pihak polis sebagai ketua komander supaya tiada percanggahan dalam penyampaian maklumat," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkanhari ini.


Beliau berkata, laporan itu perlu diserahkan terus kepada pihak polis bagi memberi pandangan tentang faktor-faktor lain yang perlu dititikberatkan sebelum mengeluarkan sebarang arahan kepada penduduk.


Kata beliau lagi, pihak polis kemudiaannya akan memberikan laporan tersebut kepada Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana.


Judin berkata, senarai kawasan-kawasan yang tidak selamat telahpun dikenal pasti.


"Walau bagaimanapun kawasan-kawasan lain yang tidak disenaraikan juga perlu dipantau dari semasa ke semasa untuk menentukan tahap keselamatan cerun-cerun di kawasan tersebut," katanya.


Semalam, Kerajaan Selangor melahirkan rasa kesal dengan tindakan JKR yang tidak menyerahkan laporan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lepas.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, tindakan itu amat mengelirukan kerana akan menyulitkan lagi usaha kerajaan negeri untuk membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh dengan segera.


"Hal pengurusan tanah adalah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.


"Oleh itu, membelakangkan pihak kerajaan negeri hanya akan merugikan mangsa kejadian tanah runtuh dan diharapkan agensi-agensi kerajaan bersikap lebih profesional dalam mengendali perihal tragedi ini," menurut kenyataan itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abd. Jalil Hassan berkata, beliau tidak mengetahui kandungan laporan status keselamatan tanah di kawasan tersebut yang telah diserahkan oleh Pegawai Daerah kepadanya tengah hari tadi.


"Kita menanti daripada Pejabat Daerah dan juga pejabat Menteri Besar .


"Setakat ini mereka masih belum memberi maklum balas dan saya berharap ia akan dilaporkan segera kepada orang ramai," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/19/mstar_berita/20081219162747&sec=mstar_berita

Selangor persoal JKR, Ikram enggan serah laporan

Jumaat Disember 19, 2008

Khalid: Tindakan agensi itu bercanggah janji semasa dialog bersama mangsa tanah runtuh


Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor mempersoalkan keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang enggan memberikan laporan geoteknikal dan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) berhubung status keselamatan Bukit Antarabangsa ekoran tragedi tanah runtuh dua minggu lalu.


Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan agensi tersebut bercanggah dengan apa yang dijanjikan JKR kepada kerajaan negeri ketika sesi dialog bersama dua kumpulan wakil penduduk Ahad lalu.


"Sewaktu kedua-dua dialog itu berlangsung, JKR telah menyatakan persetujuannya untuk memberi laporan tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri membuat pengumuman tentang status keselamatan lima kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa dan langkah-langkah susulan yang perlu diambil.


"Bagaimanapun, JKR hari ini memaklumkan bahawa laporan-laporan tersebut tidak akan diserahkan kepada kerajaan negeri.


"Keputusan ini amat mengelirukan dan dikesali kerana ini akan menyulitkan usaha kerajaan negeri membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh tersebut secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Khalid berkata, umum mengetahui bahawa hal-hal pengurusan tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.


"Justeru, tindakan membelakangkan kerajaan negeri hanya akan merugikan mangsa kejadian tanah runtuh.


"Oleh itu, diharap agensi-agensi kerajaan bersikap lebih profesional dalam mengendalikan hal ini," katanya.


Bagaimanapun kata Khalid, beliau akan mengumumkan langkah-langkah yang perlu diambil sebaik sahaja menerima laporan tersebut dan bersedia mengguna pakai setiap kaedah yang dirasakan perlu.


"Kerajaan negeri juga akan terus memantau keadaan kawasan tanah runtuh itu dan memberi jaminan akan meneruskan usaha bersama dengan agensi-agensi berkaitan supaya nasib mangsa kejadian tanah runtuh ini akan terbela," katanya.


Ahad lalu, Khalid berkata, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai status tahap keselamatan kawasan-kawasan sekitar tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa esok.


Katanya, pengumuman itu meliputi sama ada kawasan tersebut selamat untuk dihuni dan penduduk terbabit boleh kembali ke rumah mereka atau pun sebaliknya.


Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, sebanyak 14 unit banglo telah tertimbus dan turut mengorbankan empat nyawa.


KOMEN PENDUDUK


Sementara itu, penduduk di kawasan tersebut amat berharap laporan yang dikeluarkan esok akan membolehkan mereka kembali semula ke kediaman masing-masing.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy berkata, walaupun kawasan itu kini bermasalah termasuk keadaan rumah dan jalan yang perlu diperbaiki, namun mereka tetap mahu kembali semula bagi menjalani rutin harian seperti biasa.


"Kita faham keadaan sesetengah rumah yang perlu diperbaiki. Mungkin ada rumah yang penghuninya dibenarkan pulang, mungkin ada yang belum kerana masalah bekalan air.


"Tapi saya difahamkan, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) akan memastikan masalah bekalan air di kawasan kami diselesaikan sama ada hari ini atau esok," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.


Ketika ditanya kemungkinan hasil laporan menunjukkan mereka tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing- masing, Muneandy berkata, beliau berharap perkara itu tidak akan berlaku.


"Taman Bukit Mewah adalah tempat yang selamat kerana kedudukannya agak jauh iaitu kira-kira 500 meter dari tempat tanah runtuh itu," katanya.


Beliau juga menolak cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya kerajaan mengadakan satu akta bagi penyelenggaraan pembangunaan di kawasan lereng bukit seperti yang diamalkan di Hong Kong.


"Kita tidak payah ikut Hong Kong. Kita ada jawatankuasa sendiri dan kita juga ada surat untuk memanggil pakar bagi memastikan kawasan Bukit Antarabangsa ini selamat," katanya.


Muneandy berkata, untuk tujuan itu, tindakan-tindakan awal akan diambil oleh JKR dan tuan punya di kawasan itu.


"Hari-hari kita ada taklimat dengan JKR dan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan kita memang setuju dengan tindakan yang diambil oleh kedua-dua badan itu," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/19/mstar_berita/20081218212335&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...