Showing posts with label Santau dan Racun. Show all posts
Showing posts with label Santau dan Racun. Show all posts

Monday, December 20, 2010

Tubuh akta kawal sihir

KUALA LUMPUR: Penggunaan sihir atau ilmu hitam yang berleluasa di negara ini sewajarnya mendorong pihak berkuasa mengkaji keperluan penubuhan akta baru yang bertujuan mengawal perbuatan itu bagi memberi pembelaan sewajarnya kepada mangsa.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata bagaimanapun sejauh mana keberkesanan dan kesan daripada akta itu perlu diteliti secara mendalam supaya tidak ada pihak teraniaya. “Menggubal akta tidak susah, tetapi sejauh mana keberkesanan dan kesan akta itu perlu diteliti supaya tidak ada pihak teraniaya selepas hukuman dijatuhkan berikutan bukti dikemukakan di mahkamah tidak memihak si mangsa.


“Dalam semua peruntukan akta jenayah termasuk undang-undang Islam, pertuduhan ke atas tertuduh perlu berasas dan dibuktikan melalui perbuatan seperti peralatan dan barangan yang digunakan untuk menghantar sihir terbabit,” katanya ketika dihubungi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tubuhaktakawalsihir/Article/index_html

5 polis derita santau

5 polis derita santau

Oleh Asmah Rusman dan Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.

Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.


Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan itu seorang daripada rakannya paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras seolah-olah diisi pasir dan batu.

“Saya dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau yang digunakan berbeza. Kata bomoh, kami berempat ditujukan santau angin yang menyebabkan kami sakit perut.


“Orang yang menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan kami.


“Kami dinasihatkan supaya tidak makan di restoran kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan kami setiap kali kami datang ke restoran berkenaan,” katanya.

Hafis berkata, mereka berlima menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional selepas doktor gagal mengesan punca mereka sakit perut dan kerap demam.


Menurutnya, kejadian itu mula mereka sedari awal bulan lalu apabila seorang rakan terbabit memberitahu dia menerima SMS amaran berbunyi ‘siaplah korang, salah satu jarum akan kena pada kau dan kawan-kawan kau yang lain...tunggu je lah hari mati korang’.

“SMS itu dihantar seorang daripada suspek sindiket mencuri motosikal yang saya dan rakan-rakan tumpaskan Mei lalu dan dia kini masih dalam proses pengadilan.


“Namun, saya tak ambil berat sangat mengenai SMS itu kerana hal ugut-mengugut dan amaran sudah lumrah dalam kerjaya kami,” katanya.


Bagaimanapun, kata Hafis, telahannya meleset apabila selang seminggu kemudian, dia menerima khabar seorang rakannya yang terbabit dalam usaha melumpuhkan sindiket mencuri motosikal itu sakit teruk akibat penyakit misteri.


“Bomoh mengatakan penyakit itu ada kaitan dengan seekor katak puru yang diletakkan dalam kawasan rumahnya dan haiwan itu digunakan sebagai ‘alat’ untuk memastikan ilmu hitam yang ditujukan kepada mangsa lebih berkesan.


“Lebih menakutkan, bomoh berkenaan memberitahu jika katak itu tidak ditemui, kawan saya itu sukar dipulihkan dan akan menemui ajal perlahan-lahan,” katanya.


Hafis berkata, bimbang keadaan rakannya itu, mereka mencari katak dimaksudkan sepanjang malam sehingga ia ditemui di bawah tangga rumah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.


Dia mendakwa, mereka bernasib baik kerana katak puru itu ditemui awal kerana keadaannya yang tinggal nyawa-nyawa ikan menandakan rakannya mungkin menemui ajal pada bila-bila masa.


Sebelum itu, Hafis berkata, anak rakannya pernah bercerita mengenai beberapa kejadian pelik berlaku di rumahnya seperti mendengar seseorang mengorek tanah dan menanam sesuatu di luar rumah.


“Selepas rakan pertama itu menderita sakit perut, saya dan tiga rakan lain pula mengalami masalah sama. Kami pergi ke hospital, tapi doktor tidak dapat mengesan punca penyakit kami.


“Kami terpaksa merujuk pengamal perubatan alternatif dan kami dimaklumkan perut kami sakit disebabkan perbuatan khianat,” katanya. Hafis berkata, walaupun lebih sebulan kejadian itu berlaku, dia dan rakan-rakan belum sembuh sepenuhnya kerana bisa akibat cucukan daripada barangan kotor yang dihantar itu belum dikeluarkan sepenuhnya.

http://www.hmetro.com.my/articles/5polisderitasantau/Article

Friday, September 24, 2010

CAP gesa haram carbofuran

2010/09/24

GEORGETOWN: Kementerian Pertanian digesa mengharamkan penggunaan racun makhluk perosak carbofuran iaitu racun makhluk perosak ‘carbamate’ dipercayai racun paling bahaya di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris, berkata carbofuran mempunyai kadar keracunan paling tinggi kepada manusia berbanding racun makhluk perosak lain yang mana seperempat sudu teh (1 mililiter) carbofuran boleh membawa maut.

“Ia racun makhluk perosak neurotoksik dan berupaya merangsang sistem saraf yang antara lain menyebabkan loya, pening dan keliru manakala pendedahan pada kadar terlalu tinggi boleh menyebabkan gangguan pernafasan dan kematian,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CAPgesaharamcarbofuran/Article

Saturday, March 6, 2010

Artis dakwa disantau amah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/03/06

JOHOR BAHRU: “Buat masa ini, saya hanya mampu melakukan beberapa perkara iaitu menjamah makanan, pergi ke tandas dan baring semula kerana badan kepanasan dan sentiasa berpeluh seperti duduk atas bara api.

“Ia mengakibatkan saya berhenti kerja dan terpaksa merahsiakan keadaan kesihatan daripada isteri dan anak-anak kerana tidak mahu membebani mereka atau melihat mereka bersedih,” kata bekas penyanyi kumpulan Grand yang terkenal dengan lagu duet bersama Syura berjudul Bila Cinta Didusta, Amy atau nama sebenarnya, Zuraimi Remeng, 34.


Zuraimi yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang ahli perniagaan menderita akibat penyakit misteri sejak lebih sebulan lalu dipercayai akibat terkena santau angin ‘dikirim’ bekas pembantu rumah warga Indonesia majikannya yang sudah pulang ke negara asal kerana disyaki tidak berpuas hati.


Amy yang pernah bernaung di bawah Fantasia Music City (FMC) berkata, masalah bermula kira-kira sebulan lalu apabila beberapa helai pakaiannya yang diletak di bilik tidur disediakan majikannya di Larkin di sini, hilang.


Katanya, lebih pelik lagi kehilangan pakaian itu berlaku selepas seorang pembantu rumah di situ, pulang ke Indonesia.


“Saya tidak menuduh pembantu berkenaan melakukannya, namun ketika mendapatkan rawatan dengan pakar perubatan tradisional, dia mengatakan saya mungkin menjadi mangsa santau angin dari seberang,” katanya.

Zuraimi berkata, dia tidak pernah berselisih faham dengan wanita berusia 50-an itu, namun pembantu rumah itu dipercayai tersinggung apabila majikannya memberi layanan baik padanya.


Menurutnya, wanita terbabit disyaki iri hati apabila majikannya menyerahkan tugas menguruskan tabung kecemasan di rumah itu beberapa bulan selepas bekerja di situ.


“Bibik (pembantu rumah) pernah kata, tunggulah hingga dia pulang ke Bandung dia boleh kenakan individu yang menyakiti hatinya ketika bekerja di situ.


“Saya menjangka bibik hanya berjenaka, tetapi terkejut apabila dimaklumkan seorang pakar perubatan tradisional gangguan pada kesihatan saya angkara perbuatan sihit dari jauh,”
katanya.


Beliau berkata, meskipun sudah melakukan ujian darah beberapa kali di hospital awam, doktor gagal mengenal pasti penyakit dihidapi menyebabkan dia tidak dibekalkan sebarang ubat.


Menurutnya, dia bukan saja kehilangan berat badan sehingga 15 kilogram, malah mengalami masalah lupa ingatan dan hilang pendengaran.


“Saya bukan individu yang mudah percaya ilmu hitam, namun apabila perkara itu melanda diri sendiri, saya terpaksa akui menjadi mangsa buatan orang kerana hingga kini pihak hospital tidak dapat mengesahkan jenis penyakit dialami.


“Saya juga tidak dapat tidur hingga ke pagi kerana rasa gelisah dan mengerang sakit tidak putus-putus,”
katanya yang bergantung pada beberapa rakan menjaganya di kediaman di Jalan Padi Ria 17, Bandar Baru Uda.


Zuraimi berkata, dia juga menerima beberapa tawaran menjadi pengacara beberapa program di sekitar bandar raya ini selain mennyanyi dalam kumpulan kugiran, tetapi terpaksa menolak hingga kesihatannya pulih. “Saya sabar menghadapi dugaan ini kerana percaya Allah akan membalas perbuatan jahat individu terbabit.


“Saya juga berdoa supaya sembuh secepat mungkin dan pulang ke pangkuan keluarga kerana terlalu merindui isteri dan empat orang anak,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Artisdakwadisantauamah/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...