Showing posts with label Balkis. Show all posts
Showing posts with label Balkis. Show all posts

Tuesday, February 8, 2011

Balkis: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Hafiz Yatim
Feb 7, 11
4:32pm

Pejabat Peguam Negara hari ini gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membubarkan Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

zaharah kechik balkis selangorPanel tiga anggota yang diketuai oleh hakim Datuk Ramly Ali, bersama-sama hakim-hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Zaharah Ibrahim, membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara.

Kerajaan negeri Selangor diwakili oleh peguam, Derek Fernandez dan S Selvarajah manakala pendakwaraya kanan persekutuan Suzana Atan mewakili Pejabat Peguam Negara.


Isu mengenai Balkis mendapat liputan meluas apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa berlaku penyelewengan dana pertubuhan itu ketika ia diterajui Datin Seri Zaharah Kechik, isteri bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Kerajaan Selangor serta isteri Abdul Khalid, Puan Sri Salbiah Tunut, yang kini menjadi presiden Balkis, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan lima yang lain telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran agar semakan semula kehakiman dibuat bagi mengetepikan keputusan ROS itu.

Mereka memohon agar keputusan ROS pada 11 Februari 2009 yang membubarkan Balkis, diisytiharkan tidak sah dan terbatal serta memohon perintah agar pendaftaran pertubuhan itu dihidupkan semula.

Dalam hujahnya di Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos 2009 untuk memohon kebenaran memulakan inisiatif semakan semula kehakiman, peguam Selvarajah yang mewakili mereka, berkata anak guamnya telah menyumbang lebih RM6.8 juta kepada Balkis dan oleh itu berlaku pecah amanah apabila Balkis dibubarkan secara salah.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan plaintif untuk mengetepikan notis yang difailkan Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dengan alasan notis berkenaan tidak menggunakan nama perayu yang sewajarnya.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/155414

Saturday, December 20, 2008

Bekas AJK Balkis beri keterangan isu RM9.9 juta

Jimadie Shah Othman Dec 19, 08 11:43am
Bekas ahli jawatankuasa (AJK) Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) bersedia tampil secara sukarela memberi keterangan dalam siasatan awam berhubung jutaan ringgit dana badan tersebut.

Siasatan awam tersebut diadakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, dijadualkan tahun depan.

Anggota Selcat, Haniza Mohd Talha bagaimanapun tidak menyebut bilangan AJK Balkis yang menyatakan kesediaan memberi kerjasama selepas dihubungi jawatankuasa khasnya baru-baru ini.

Di samping itu, katanya kepada Malaysiakini, pihaknya juga akan memanggil bekas setiausaha Balkis, Datin Pon Ishak untuk memberikan keterangan.

Menurutnya lagi, sebagai bekas setiausaha badan itu, Pon mempunyai akses terhadap semua dokumen pertubuhan itu. Oleh itu, tambah Haniza, penjelasan Pon diperlukan.

Surat rasmi kepada Pon akan dikeluarkan, kata Haniza.

Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil jika Pon enggan hadir di depan siasatan awam itu, Haniza berkata:

"Kalau (beliau) di pihak yang benar, kenapa tidak mahu (tampil)?"

Dihubungi hari ini, seorang lagi anggota Selcat, Ismail Sani mengakui cadangan memanggil Pon dibuat dalam satu mesyuarat Selcat.

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui beberapa AJK lain yang bersedia memberikan keterangan secara sukarela dalam siasatan awam tersebut.

Ismail, yang juga wakil rakyat BN bagi Dusun Tua, tidak jelas sama ada Pon boleh diwajibkan hadir di depan Selcat untuk siasatan tersebut.

Balkis mencetuskan kontroversi apabila wang milik badan itu sejumlah RM9.9 juta, dilapor dipindahkan ke satu akaun lain sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Wang itu kemudiannya disalurkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

Yang dipertuanya Zaharah Kechik, yang juga isteri bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac untuk membubarkannya dan menutup akaun sehari kemudian.

Berhubung keperluan memanggil bekas yang dipertua Balkis, Haniza berkata, perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat Selcat.

"Tetapi ada niat, ada cadangan (memanggil Zaharah)," kata Haniza yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan.

Haniza berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Selcat yang dijadual bulan depan. Selcat kali terakhir bermesyuarat awal bulan ini.

Usaha mendapatkan reaksi Zaharah dan Pon setakat ini belum berjaya.

Selain mereka berdua, pemimpin-pemimpin utama badan itu termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua dan Surami Sapuan (bendahari) bersama enam AJK.

Malaysiakini kelmarin melaporkan, siasatan awal Selcat terhadap enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sewaktu pemerintahan Barisan Nasional menunjukkan ada "kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut".

Siasatan jawatankuasa itu mendapati terdapat sumbangan wang yang besar kepada badan itu setiap bulan - nilai transaksinya ada yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

Ditanya sekali lagi syarikat terbabit, beliau tetap enggan mendedahkan butiran syarikat dan jumlah sumbangan besar tersebut.

Enam GLC yang menyumbangkan wang kepada Balkis ialah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC).

Jawatankuasa khas Selcat ditubuhkan tahun ini oleh kerajaan Pakatan Rakyat bagi memantau selia dan memeriksa kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan urusan pentadbiran Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza dan Ismail, jawatankuasa itu dianggotai empat lagi anggota DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), dan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang).

Selcat juga sedang menyiasat perbelanjaan boros 56 wakil rakyat BN penggal lalu sebanyak RM26.6 juta dalam tempoh dua bulan awal tahun ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/95118

Wednesday, December 17, 2008

MB: Adun BN belanja RM27 juta dalam dua bulan



Andrew Ong May 23, 08 5:36pm



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan 90.6 peratus daripada peruntukan bagi kawasan masing-masing dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini

Menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM26,634,844.33 dan baki yang tinggal ialah RM2,907,155.76.

Khalid kemudiannnya memberitahu pecahan peruntukan bagi setiap kawasan pilihanraya dan baki yang tinggal.

Katanya, sebahagian besar Adun BN masing-masing membelanjakan RM492,800 dan Khalid berkata, beliau akan menyiasat perkara tersebut.

Malah, katanya, Speaker Dewan Undangan Negeri yang lalu, yang bukannya seorang Adun, turut membelanjakan RM600,000.

Sehubungan itu, Khalid mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas mengenai kecekapan, akauntabiliti dan keteluasan ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.

Ekoran perbelanjaan besar dalam tempoh dua bulan pertama ini, kini tidak ada lagi peruntukan yang tinggal bagi 36 kerusi dewan undangan negeri yang kini dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat - PKR-DAP-PAS - untuk dibelanjakan sepanjang tahun ini.


Dalam titah perasmian sidang DUN Selangor Rabu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa baginda memandang serius perbelanjaan peruntukan Adun bagi tahun 2008 yang habis dibelanjakan dalam dua bulan pertama tahun ini.

Kontroversi Balkis

Menjawab soalan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) mengenai kontroversi Balkis, Khalid berkata beliau telah berusaha mendapatkan jawapan mengenainya dari Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menteri besar berkata, beliau telah menghantar tiga pucuk surat kepada ROS sejak April lalu, untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pembubaran Balkis.

Bagaimanapun, katanya, sehingga sekarang beliau belum menerima sebarang jawapan dari ROS.

Katanya, Balkis perlu memperjelaskan mengenai aktiviti-aktiviti tertentu yang dianjurkan dengan sokongan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata Khalid, puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk perkara-perkara seperti cenderahati untuk 'VVIP', mengadakan festival dan majlis makan malam.

Salah satu daripadanya, dedah menteri besar, ialah perbelanjaan sebanyak RM279,000 untuk membeli pakaian sukan untuk ahli Balkis.

Khalid berkata, mereka menggunakan Galeri Hafiz Sdn Bhd. Dua bayaran terbabit - RM158,000 dan RM121,000 - adalah untuk menyediakan pakaian sukan untuk lelaki dan wanita.

Menjawab soalan tambahan oleh Jenice Lee (DAP-Teratai), Khalid berkata, kerajaan berpandangan bahawa Balkis masih belum dibubarkan secara rasmi.

Balkis adalah persatuan isteri-isteri wakil rakyat di Selangor.

http://www1.malaysiakini.com/news/83343

DUN S'gor siasat jutaan wang Balkis

Jimadie Shah Othman Dec 17, 08 10:58am



eksklusif Satu siasatan awam akan diadakan terhadap sumbangan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri
sewaktu pemerintahan Barisan Nasional.

Siasatan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mendapati ada "kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut".

Anggota Selcat, Haniza Mohd Talha berkata siasatan awal jawatankuasa itu mendapati terdapat sumbangan wang yang besar kepada badan itu setiap bulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan berkata, nilai transaksinya ada yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

Beliau bagaimanapun enggan menyerahkan butiran syarikat dan jumlah sumbangan tersebut.

Isu Balkis mencetuskan kontroversi apabila wang milik badan itu, dilapor dipindahkan ke satu akaun lain sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Yang dipertuanya Zaharah Kechik, yang juga isteri bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (foto kanan), dilaporkan memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac untuk membubarkannya dan menutup akaun sehari kemudian.

Wang itu, dilaporkan berjumlah RM9.9 juta, telah disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

'Hadiah mahal'

Ketika dihubungi Malaysiakini, Haniza berkata, terdapat sumbangan yang perlu disiasat seperti peruntukan membeli pakaian, pakaian sukan dan "hadiah yang mahal-mahal".

Sehubungan itu, katanya, beberapa pegawai tertentu daripada kesemua enam GLC di Selangor akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan awam tersebut.


Sekarang Selcat dalam proses menyediakan soalan bagi siasatan itu, kata Haniza (foto kiri), yang juga naib ketua Wanita PKR.

Tambahnya, siasatan itu dijangka diadakan awal tahun depan atau paling lewat sebelum pertengahan 2009.

Haniza menjelaskan, siasatan awal memakan kira-kira lapan bulan kerana Selcat tidak dibenarkan melihat akaun Balkis.

"Jadi, kita terpaksa semak (satu persatu) akaun GLC di seluruh Selangor," katanya.

Mengikut undang-undang pendaftaran pertubuhan, tambah Haniza, hanya penjawat badan itu sahaja dibenarkan mengakses akaun Balkis.

Wakil rakyat itu bagaimanapun menegaskan, Selcat tiada sebarang kuasa pendakwaan jika ada pihak yang didapati bersalah.

"Jika cukup bukti, perkara itu akan dikemukakan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis," katanya.

Jawatankuasa khas Selcat ditubuhkan tahun ini bagi memantau selia dan memeriksa kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan urusan pentadbiran kerajaan Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza, jawatankuasa itu dianggotai lima lagi ahli DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Selcat juga sedang menyiasat perbelanjaan boros 56 wakil rakyat BN penggal lalu sebanyak RM26.6 juta dalam tempoh dua bulan awal tahun ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/94982

Siasatan wakil BN boros RM26.6 juta


Jimadie Shah Othman Dec 17, 08 11:15am



Jawatankuasa pilihan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kini sedang menyiasat pemborosan semua wakil rakyat BN sebanyak RM26.6 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menurut seorang anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), siasatan terhadap perbelanjaan besar ini antara dua kes yang dijalankan olehnya.

Satu lagi kes, yang sudah siap siasatan awal, melibatkan sumbangan jutaan ringgit kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sejak penubuhannya pada 1985.

Haniza Mohd Talha berkata, jawatankuasa khas itu masih lagi menyiasat penggunaan RM26,634,844 juta atau 90.6 peratus peruntukan untuk wakil rakyat di negeri itu menjelang pilihanraya umum Mac lepas.

Siasatan itu mengambil masa kerana membabitkan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN sesi lepas, tambahnya.



Selcat dibentuk oleh DUN Selangor tidak lama selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, antaranya untuk menyiasat kes pemborosan ini.

Dalam persidangan pertama dewan itu Mei lepas, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan butiran pemborosan tersebut (lihat carta) yang ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sewaktu majlis perasmian.

Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi seorang wakil rakyat hanya berbaki RM2.9 juta sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, katanya.

Abdul Khalid dilaporkan berkata, Speaker DUN lalu Tan Sri Onn Ismail yang bukannya seorang wakil rakyat BN sesi lepas turut membelanjakan RM600,000.

Jawatankuasa khas Selcat bertujuan memantau selia dan memeriksa kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza, jawatankuasa itu dianggotai lima lagi ahli DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

http://www1.malaysiakini.com/news/94985
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...