Showing posts with label Tunku Abdul Rahman. Show all posts
Showing posts with label Tunku Abdul Rahman. Show all posts

Saturday, September 17, 2011

Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

Lim Hong Siang | Sep 15, 2011 03:13:30 pm

Serangan kerajaan terhadap "komunis" baru-baru ini, semata-mata untuk menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin dipertikai. Pengamat politik, Lee Ban Chen berkata kerajaan pada hakikatnya telah mempunyai pendirian, bahawa sumbangan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan "tidak dipertikai dan tidak dinafikan", ketika menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Beliau memetik dari buku Setiausaha Agung PKM, "Chin Peng: My Side of history", bahawa kerajaan melalui wakil polis, Rahim Noor pada ketika itu telah menyatakan pendirian tersebut. "Kalau kerajaan Malaysia sudah membuat perjanjian dengan CPM (PKM), dan mengaku mereka sudah ada sumbangan untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan negara kita... Jika itulah pendirian kerajaan, bermakna apa yang dikatakan Mat Sabu itu memang sesuatu yang tepat, dan sesuatu yang telah disetujui oleh kerajaan Malaysia. Jika itulah halnya, maka sekarang mengapa buat heboh?"

Malah, Lee Ban Chen (gambar kanan) mengambil contoh karikutur yang disiarkan dalam Utusan Malaysiapada 13 September 2011, mempertikaikan kerajaan bahawa mengapa tuduhan yang "sukar dibuktikan" ini dibenarkan selepas lebih 20 tahun perjanjian damai ditandatangani?

Maka soalan seterusnya adalah, "Adakah perjanjian Haadyai itu, kerajaan masih mengakui? Adakah kerajaan masih mematuhi apa yang telah ditandatangani? Kerana selama 20 tahun ini, pihak komunis tak ada buat apa-apa. Mereka cari makan, mereka buat kerja mereka, mereka pun jarang mengambil bahagian dalam arena politik."

Lee Ban Chen berasa hairan, "mengapa keadaan boleh menjadi begini?" Disebabkan komentar daripada Mat Sabu, komunis Malaya "yang tidak berbuat apa-apa (untuk 20 tahun ini)", diserang sebegitu, sehingga mencungkil luka bekas tentara dan bekas polis, seolah-olah ada serangan diadakan dari pihak komunis.

Beliau seterusnya mempersoalkan logik Perdana Menteri Najib Razak, bahawa Malaysia kini bekerjasama dengan Komunis China, kononnya "Komunis China sekarang komunis yang baik". "Saya tak tahulah, kerajaan kita nak berbaik dengan komunis China, tapi nak serang ideologi komunis, tak tahu itu logik apa? Kalau you kata komunis itu memang kejam, komunis China kejamlah! Tapi you tak kata begini..."

Lee Ban Chen berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis adalah Sasterawan Negara A.Samad Said, dan Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM, Arumugam. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

"Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah Buku Jingga sekarang!"

Selain itu, Lee Ban Chen (gambar bawah) turut mengisahkan sejarah bagaimana golongan agamawan, nasionalis dan sayap kiri boleh mencapai muafakat untuk merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, dan bersetuju dalam 10 perkara, termasuk "Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat".

"Ini sesuatu yang cukup istimewa pada masa itu. Sesuatu yang mendapat kerjasama semua bangsa dan berlatarbelakangkan ideologi yang berlainan. Ini suatu contoh bagaimana kita hendak merangka satu politik atau perlembagaan yang menyeluruh, kita harus berkompromi antara kaum... Dan mencapai sesuatu yang dapat diterima semua pihak. Ini sesuatu kejayaan yang besar gerakan rakyat masa itu. Tapi malangnya kerajaan British tidak terima..."

Malah Lee Ban Chen menganggap "Perlembagaan Rakyat" oleh AMCJA-Putera pada ketika itu, boleh diibaratkan bagai "Buku Jingga" oleh Pakatan Rakyat sekarang, memperlihatkan kematangan parti politik untuk bersepakat dengan kerangka tertentu pada peringkat itu untuk menentang penjajahan, katanya.

Ketika mengulas "Perlembagaan Rakyat" pada tahun 1947, Arumugam (gambar kanan) berkata wujudnya dua golongan gandingan politik ketika itu, iaitu golongan progresif dari bawah, yang menjaga "kepentingan rakyat"; sementera satu lagi kombinasi politik dari atas, yang berasaskan perkauman, misalnya UMNO, MCA dan MIC. British memilih untuk berunding dengan golongan UMNO, MCA dan MIC, untuk mengetepikan golongan progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Baca: A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).


http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12256

A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

Lim Hong Siang | Sep 15, 2011 03:16:10 am

"Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Ini memang orang-orang yang berjuang. Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang. Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang. Dia menyambut. Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan."

"...Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya."

Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung "bagaimana kemerdekaan itu harus disambut".

A.Samad Said (gambar kanan), atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbarFikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam. Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa "British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah."

"Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman," katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British. Menurut beliau, British tidak berunding dengan "kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin" kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

"Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British," simpulnya di akhir ucapan beliau. Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan"; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah "kemerdekaan" pada gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

Kuasa diwarisi oleh golongan bangsawan

"Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan. Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun."

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran "Tun" kemudiannya.

"Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan," tegasnya. Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana "orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal..."

"Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan... Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja. Rakyat lain...hampir sama saja," katanya.

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan. Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu. Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.

Lee Ban Chen: UMNO mewarisi penjajahan

Sementara itu, penganalisa politik Lee Ban Chen menyifatkan kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 sebagai "kemerdekaan tiga suku", dan bukan "kemerdekaan yang tulen". Ini kerana British telah menolak perlembagaan rakyat ketika itu, sebaliknya memilih UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 untuk kerjasama.

Bagaimanapun, UMNO dalam Perikatan ataupun Barisan Nasional kemudiannya tidak mengisi nama dan bentuk kemerdekaan, sebaliknya mewarisi penggunaan akta-akta zalim dalam zaman penjajahan, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang merintangi proses reformasi dan pendemokrasian negara kita, kata Lee Ban Chen (gambar kiri).

Pak Samad turut bersetuju bahawa "kita sebenarnya masih dalam pemerintahan penjajahan", kerana undang-undang zalim yang digubal ketika zaman British masih kekal sehingga kini. Malah, Menteri Dalam Negeri siang-siang mengingatkan tentang ISA ketika menangani isu BERSIH 2.0.

Dengan nada menyindir, Pak Samad berkata "yang menjadi wira sentiasanya UMNO", sementara "orang awal yang berjuang semuanya tenggelam". "Dan paling mudah untuk mengatakan bahawasanya mereka semua ini kelompok komunis yang jahat, dan komunis yang ingin mencengkam...",dan pada waktu yang sama pula kita berbaik-baik dengan komunis (China) yang ada - antara beberapa "keanehan" yang sedang berlaku di negara dewasa ini, katanya.

Seorang lagi panelis dalam forum ini adalah Arumugam, selaku Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

Baca: Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).


http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12253

Tuesday, September 13, 2011

KELUARGA TUNKU KECEWA DENGAN MAT SABU

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 13TH, 2011

Anggota keluarga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hari ini menggesa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memohon maaf secara terbuka kepada mereka, berhubung kenyataannya mengenai Bapa Kemerdekaan itu.Anak saudara Tunku, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya berkata tindakan pemimpin PAS itu mempertikaikan perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam sejarah kemerdekaan negara mengguris hati seluruh anggota keluarga Almarhum.

“Mat Sabu (Mohamad) tidak perlu mempertikaikan hasil usaha Tunku Abdul Rahman kerana dia sepatutnya bersyukur dapat tinggal di negara yang aman ini dan jangan cuba ubah fakta dan putar belitkan sejarah negara ini,” katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu mencetuskan kontroversi apabila dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas menafikan peranan Tunku dalam membebaskan negara daripada penjajahan British.

Berdasarkan rakaman video ceramah itu yang petikannya disebarkan menerusi internet, antara lain Mat Sabu berkata: “…sejarah kemerdekaan kita tak kena tuan-tuan sekalian, sebab itu kita tengok pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi jahat. Siapa pegawai British? Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman…itu pegawai British…hak lawan British hak tu pula jadi pengganas.”

Mengulas lanjut, Tengku Zainol Rashid berkata dalam usaha memerdekakan negara, Almarhum Tunku serta beberapa pemimpin lagi mengambil risiko berbincang dengan komunis di Baling, Kedah serta ke London untuk menuntut kemerdekaan negara.

“Kepetahan dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman dalam berkata-kata berjaya meyakinkan pihak British untuk menyerahkan negara ini kepada kita serta memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Tanah Melayu dan nikmat kemerdekaan itu kita kecapi sehingga hari ini.

Beliau juga membidas Mohamad yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik.

“Anggota politik di negara ini tidak perlu memainkan isu seperti ini untuk kepentingan sesebuah parti politik semata-mata sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan terhadap rakyat. Saya berharap isu ini tidak akan timbul lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga mahu kerajaan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bagi dijadikan pengajaran kepada orang lain dan mengelak perkara sama berulang.


http://www.kl-today.com/2011/09/keluarga-tunku-kecewa-dengan-mat-sabu/

Dr M: Sejarah di sekolah kurang tepat

Sep 11, 11 2:34pm

Matapelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

tunku abdul rahman merdeka declaration 261004Beliau berkata subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam sukatan matapelajaran berkenaan.

"Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

"Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah dan apa yang berlaku dahulu...berlakulah," katanya mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat.

Mohamed Khaled berkata sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya 'Historical fact and fiction'.

mahathir perdana global peace pc 080107 adjustedTun Mahathir berkata sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.

"Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175453

Profesor keliru, kemudian kelirukan orang

Prof Dr Abdul Aziz Bari
Sep 10, 11
10:26pm

ULASAN Saya fikir profesor-profesor itu keliru dan kemudian mengelirukan orang. Profesor Datuk Dr Zainal Kling orang sosiologi dan Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim orang sejarah. Status jajahan (colony) dan negeri lindungan (protectorates or protected states) adalah konsep undang-undang antarabangsa.

NONEBeza antara konsep-konsep itu tidak jelas pada orang biasa. Apa beza antara Melaka dan Pulau Pinang - strait settlements - dan negeri-negeri Melayu seperti Selangor dan Perak? Atau antara kita dengan India yang merupakan tanah jajahan British? Tidak nampak.

British kekalkan status raja - dan negeri mereka - sebagai protectorate kerana mereka hendak mengelakkan penentangan sebagaimana di India. Sebab itu British perkenalkan indirect rule di sini dengan meletakkan residen sebagai penasihat sultan (yang sebenarnya memaksa).

British mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa negeri mereka kekal di tangan Melayu dengan mengekalkan sultan. Tetapi pemerintahan dan pentadbiran sebenar dijalankan oleh British melalui residen mereka.

malaysia indepence merdeka tunku abdul rahman declare 290806Ini bermakna di atas kertas - yakni teori - memang sultan dan negeri Melayu tidak dijajah (kalau dijajah maka (kedudukan) sultan akan dihapuskan sebagaimana di India dan Burma). Tetapi praktik dan kenyataannya ialah British yang membuat keputusan.

Hatta urusan agama pun dikacau - meskipun perjanjian melarang ini. Contohnya apa yang dilakukan oleh Sir Andrew Clarke kepada Raja Muda Perak yang mengetuai majlis agama di Perak.

Berlindung di sebalik Sultan

Sebab itu penentangan kepada pentadbiran British yang dibuat oleh orang-orang seperti Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain mudah dipatahkan kerana nama sultan digunakan.

malayan union billboardPada hakikatnya mereka semua menentang British tetapi mereka berlindung di sebalik sultan. Kita akur bahawa sultan diberi pelbagai kemewahan dan gelaran oleh British. Mereka juga bergaduh sesama sendiri untuk menjadi raja.

Meskipun begitu British akhirnya tidak selesa dan cuba memansuhkan kedudukan raja melalui Malayan Union. Ini ditentang oleh orang Melayu.

Sekiranya Malayan Union itu dilaksanakan sempurnalah penjajahan British dari segi teori dan praktik.

Tetapi itu tidak berlaku (Zainal Kling Silap; Malayan Union tidak pernah dilaksanakan).

zainal klingSebagai contoh, undang-undang yang dibuat sebelum merdeka di sisi perlembagaan adalah undang-undang yang dibuat oleh Sultan. Ini kerana dewan adalah lantikan sultan dan undang-undang itu ditandatangani oleh sultan. Tetapi apakah itu apa sebenarnya berlaku?

Tentu tidak kerana sultan hanya menurunkan tandatangan sahaja. Rang undang-undang itu dibuat oleh British. Tetapi di sisi undang-undang ia adalah buatan sultan, bukan British.

Apa pun undang-undang itu, selagi tidak dimansuhkan oleh parlimen atau DUN, sah sehingga sekarang.

Jenayah Muhyiddin, Shahidan

UFMS (Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu) ini pada hakikatnya sama dengan FMS (Negeri-negeri Melayu Bersekutu).

Cuma oleh kerana mereka di luar kerangka rasmi itu maka nama penasihat British itu diberikan nama lain. Dan pengaruh serta tinggalan British di UFMS pun kurang.

Sebab itu tulisan jawi, cuti hari Jumaat mereka kekalkan. Johor ada askar sendiri. Sebab itu juga mereka ada perkhidmatan tadbir sendiri.

Tidak seperti di Selangor, Perak atau Pulau Pinang yang pakai PTD dan sekarang dimanipulasi sepenuhnya oleh BN untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

mahathir and muhyiddin yassinJenayah yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Shahidan Kassim masa mereka jadi Menteri Besar ialah mereka hapuskan cuti Jumaat itu.

Ini untuk membodek Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau pinda perlembagaan untuk lembikkan Raja-Raja pada 1993!

Jawatan Pesuruhjaya Tinggi (High Commissioner) itu diwujudkan selepas kedua-dua format itu dihapuskan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948.

Tiada lagi Bapa Kemerdekaan?

khoo kay kim anti auku gma 141006 pointingKesilapan Zainal dan Khoo (kiri) alah mereka mengitar konsep yang bukan bidang mereka. Sedangkan sejarawan sendiri mengatakan British yang mentadbir Tanah Melayu.

Lebih lucu, jika apa yang mereka dakwa itu benar, untuk apa kita sambut merdeka?

Dan lebih malang lagi Tunku Abdul Rahman kehilangan gelaran: beliau bukan lagi bapa kemerdekaan kerana kita tidak pernah dijajah....!!

Tikus baiki labu atau sokong bawa rebah.

Lucu sekali Majlis Profesor (saya tidak jadi ahli) tidak tahu apa yang mereka bebelkan. Mereka ramai-ramai keroyok Mat Sabu... lain yang dia cakap lain pula yang majlis ini tangkap...


http://malaysiakini.com/news/175430

Saturday, September 10, 2011

Polis sebelum merdeka bukan pegawai British

Abdul Rahim Sabri
Sep 9, 11
7:07pm

Majlis Profesor Negara (MPN) berkata pegawai kerajaan, termasuk polis dan tentera Melayu yang bertugas sebelum kemerdekaan, bukan pegawai British dan tidak boleh dikatakan berkhidmat untuk Ratu England.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN Profesor Dr Zainal Kling berkata, polis dan tentera British hanya merujuk kepada anggota pasukan itu yang dibawa masuk dari luar dan mempunyai kewarganegaraan Britain sahaja.

british coldstream guardKatanya, ini ekoran status British yang masuk ke Tanah Melayu bukan sebagai penjajah tetapi sebagai penaung kepada negeri dan pemerintahan Raja Melayu yang kekal sehingga sekarang.

"Jadi semua pegawai yang diambil pada zaman itu sampai sekarang adalah pegawai negeri Melayu yang dibayar gaji oleh negeri Melayu dan dikatakan pegawai negeri Melayu.

"Maka semua polis, tentera dan pemimpin politik kita, pada masa itu adalah pegawai negeri Melayu," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Zainal berpendapat pegawai polis yang berkhidmat di Johor termasuk ketika peristiwa Bukit Kepong adalah pegawai yang bekerja dengan kerajaan negeri itu.

Salah, amat serong, tidak betul

"Oleh kerana kuasa polis kita adalah kuasa persekutuan, kuasa pemerintah adalah (bawah) pesuruhjaya tinggi British pada masa itu, jadi nak menuduh mereka itu pegawai British dan wajib dibunuh maka itu satu tafsiran yang salah, amat serong dan tidak betul," katanya.

bukit kepong the movie 060905 jins shamsuddin with bren gunZainal menjawab soalan pemberita berhubung sama ada pegawai polis yang berkhidmat untuk Ratu British sewaktu peristiwa Bukit Kepong yang berlangsung pada tahun 1950.

Isu sejarah peristiwa Bukit Kepong hangat diperkatakan susulan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilapor mendakwa pejuang yang terlibat menyerang "polis British" sebagai wira termasuk Mat Indera.

Zainal juga berkata, dakwaan menyatakan dua pemimpin awal Umno Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman sebagai pegawai British adalah salah kerana "mereka adalah pemimpin negara".

MPN merupakan majlis bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ditubuhkan tahun lalu bagi memberi pandangan berhubung perkara berbangkit berkaitan sejarah.

Ia dianggotai kira-kira 1,600 profesor daripada pelbagai institut pengajian di seluruh negara.


http://malaysiakini.com/news/175345

Friday, September 9, 2011

Mat Sabu: Kalau referendum, Tunku tak jadi PM

Mat Sabu: Kalau referendum, Tunku tak jadi PM
Jimadie Shah Othman
Sep 8, 11
7:28am


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mungkin berdepan kontroversi baru apabila berkata, sekiranya diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi perdana menteri yang pertama.

mat indera forum 070911Ini kerana, tambahnya, pengaruh pejuang kemerdekaan sayap kiri – yang rata-rata dikehendaki British dan pertubuhan mereka diharamkan – amat kuat ketika itu.

“Kalau dibuat referendum antara Tunku Abdul Rahman, (pengasas Umno) Datuk Onn (Jaafar) dan (pemimpin kiri) Burhanudin Helmy, sudah tentu Burhanudin Helmy akan jadi perdana menteri Malaysia yang pertama.

“Tetapi mereka ini (golongan kiri) ditangkap, diburu dan pertubuhan mereka diharamkan,” katanya yang sebelum itu sinis apabila merujuk kemerdekaan tanah air sebagai “merdeka in bracket”.

malaysia indepence merdeka tunku abdul rahman declare 290806Mempertahankan sumbangan golongan itu dalam menuntut kemerdekaan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak menolak pemimpin Umno dibariskan tetapi tokoh-tokoh lain juga tidak harus diketepikan.

“Perayaan merdeka ini sudah macam perayaan Umno. Cuba di televisyen letak sekali gambar Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau... Barulah rakyat terpanggil merayakan hari kemerdekaan.

mat indera forum 070911“Ini Umno saja raya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan hampir 500 orang yang hadir dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut menjadi ahli panel forum tersebut ialah kolumnis dan bekas aktivis mahasiswa Hishamudin Rais dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

'Chin Peng atau Henry Gurney baik?'

Mohamad berkata, walaupun ada antara aktivis haluan kiri, seperti Rashid Maidin dimomokkan sebagai komunis dan tidak percaya pada agama, perkara itu tidak betul sama sekali.

NONE“Dulu ada seorang menteri besar melawat kem (pemimpin Parti Komunis Malaya – PKM) Rashid Maidin dan beri bantuan kepadanya di Selatan Thailand.

“Dia terkejut, masuk saja sana, ada surau. Petang-petang Rashid Maidin mengajar bahasa Melayu dalam tulisan jawi yang telah dimusnahkan United Malay National Organisation (Umno),” katanya.

Pergi lebih jauh, Mohamad juga menimbulkan persoalan sama ada benar bekas pemimpin kanan PKM Chin Peng seorang pengganas.

sir henry gurney 240609Sedangkan, menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas pesuruhjaya British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang menjalankan usaha membuka perkampungan baru Yahudi di Palestin sebelum dihantar ke Malaya.

“Chin Peng bunuh Henry Gurney (kanan) yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?

“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri,” katanya yang terkenal dengan kelucuannya itu.

Estet, lombong British

Terus mempertahankan kenyataan kontroversinya – bahawa Mat Indera yang penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukan “polis British” – Mohamad berkata, beliau kini menemui buku yang ditulis seorang bekas pegawai polis tentang peranan pasukan keselamatan pada era British.

NONEDalam buku itu, tambahnya, bekas pegawai polis itu sendiri mengakui antara tugas polis pada masa itu menjaga kepentingan British di estet dan lombong British.

“Lebih separuh daripada buku ini tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Ini polis yang tulis, bukan aku,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.

Setelah diserang bertubu-tubi di media arus pertama sebelum ini, Mohamad pernah mempertahankan pendapatnya menggunakan buku terbitan Yayasan Warisan Johor berjudul Pengukir Nama Johor sebelum ia dinafikan yayasan bawah kerajaan negeri itu semalam.


http://malaysiakini.com/news/175123
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...