Showing posts with label Parents Loves and Cares. Show all posts
Showing posts with label Parents Loves and Cares. Show all posts

Sunday, April 3, 2011

‘Sedia maaf jika dia lupakan ayah’

MUAR: “Saya bencikan dia dunia dan akhirat. Bagaimanapun, saya sedia maafkan jika dia sanggup lupakan ayah kandungnya,” kata Salmah, 54, ibu kandung Azli ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Salmah, tindakannya itu berpunca daripada perceraiannya dengan suami kira-kira 16 tahun lalu.


“Saya ditinggalkan sebatang kara, malah dibiarkan tanpa nafkah untuk menyara anak sedangkan dia (suami) lari bersama perempuan lain.

“Tanpa sebarang sebab atau pertikaian, saya diceraikan melalui surat,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurut Salmah, sejak itu, dia tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk menyara kelima-lima anak termasuk Azli.


Bagaimanapun, Salmah yang berpenat lelah membesar dan menyara anaknya itu tersentak apabila Azli menemui bekas suaminya semula lima tahun lalu dan mempelawa lelaki berkenaan tinggal bersama.

“Tindakannya membuatkan saya jauh hati kerana pengorbanan selama ini langsung tidak dihargai Azli. Tergamak dia membawa lelaki yang pernah menghancurkan hati saya tinggal bersamanya.


“Sejak itu saya sengaja buat cerita supaya Azli tertekan, seterusnya menghalau ayahnya daripada tinggal bersamanya,” katanya.

Azli tinggal bersama bekas suami Salmah di rumah lain menyebabkan ibu tunggal itu tidak mahu ke rumah Azli kerana terlalu benci untuk melihat wajah bekas suaminya.


“Hati saya pedih kerana dia melupakan saya selepas bertemu bapanya, malah bertambah pedih apabila kedua-duanya datang sekali,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011040203204620110402032046/Article/index_html

Benci lihat muka anak

Benci lihat muka anak

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.

MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.

“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.


Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.

“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.


“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.


Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.

Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.


Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.

Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.


“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.


“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.


Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.


Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.


Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.


“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.


Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bencilihatmukaanak/Article

Sunday, March 13, 2011

Doa ayah cepat mati

Doa ayah cepat mati

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.
BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.

PETALING JAYA: Dia anak tunggal dalam keluarga tapi kerana dendam kesumat sejak kecil berikutan sikap baran ayahnya, seorang wanita bertindak umpama ‘Si Tanggang’ apabila tergamak mendoakan kematian lelaki itu.

Episod dendam itu bermula sejak Sara, 40-an, masih kanak-kanak apabila mendakwa sering dipukul dan dimaki hamun oleh ayahnya, Pak Atan, 74, meskipun kesalahan hanya kecil.


Kemarahan wanita itu makin membara selepas ayahnya bernikah dengan perempuan seberang kira-kira tujuh tahun lalu, iaitu selepas tiga tahun kematian isteri yang juga ibu kepada Sara.

Kemuncaknya pada September lalu apabila Sara didakwa menghalau ayah dan ibu tirinya keluar dari rumah mereka di sini, hingga terpaksa membina pondok kecil serba daif di tepi rumah itu.


Menurut Sara, dia dan ayah tidak mungkin berbaik semula kerana terlalu banyak kenangan pahit bersama lelaki itu sejak kecil lagi.


“Mungkin orang nampak saya jahat bila saya katakan saya selalu berdoa supaya Allah cepat cabut nyawa ayah sebab tidak mahu menanggung dosa lagi apabila selalu berfikiran negatif terhadapnya.

“Biarlah kami dengan dunia masing-masing sebab ayah sudah mewasiatkan kepada saudara mara tidak membenarkan saya menyentuh atau melihat mayatnya jika dia meninggal dunia kelak,” katanya kepada Metro Ahad.


Dia berkata, punca perselisihan faham disebabkan sikap panas baran ayah sejak muda hingga kini.

Sejak kecil, dia sering dipukul dan dimaki hamun meskipun kesalahan dilakukan hanya kecil.


“Saya tidak rapat dengan ayah kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama ibu. Mana mungkin saya mengadu masalah bersama ayah yang baran tidak kira masa.


“Jika anak tunggal lain, pastinya mereka disayangi dan ditatang bagai minyak penuh, malangnya situasi itu tidak pernah terjadi kepada saya.


“Saya masih ingat sewaktu kecil, arwah datuk dan nenek (sebelah ayah) pernah bergaduh hingga menggunakan senapang selain mengeluarkan perkataan tidak sopan, dan sikap itu mengalir dalam tubuh ayah,” kata ibu kepada empat cahaya mata lelaki itu.


Menurut Sara, sikap ayah yang tidak boleh menerima pendapat orang lain dan merasakan diri selalu betul sungguh berbeza dengan sikap arwah ibu yang sentiasa sabar dan tenang.


“Tiada anak yang tidak sehaluan dengan bapa kandung tanpa sebab. Kadangkala kita terlepas pandang perkara remeh hingga tidak sedar kita membuatkan orang lain kecewa.


“Pernah saya diugut ayah jika buku laporan peperiksaan ada dakwat merah, dia menyuruh saya makan habuk buku selain dirotan hingga meninggalkan birat di punggung,” katanya kesal dengan sikap bapanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Doaayahcepatmati/Article/artikelMA

Muhasabah diri

KUALA LUMPUR: “Apabila berlaku situasi seperti ini, kedua-dua pihak harus bermuhasabah diri mencari penyelesaian supaya krisis ini tidak berpanjangan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mengulas mengenai sengketa Pak Atan dan anak tunggalnya.

Beliau berkata, perkara sedemikian tidak wajar berlaku disebabkan masyarakat sering didedahkan dengan natijah menjadi anak derhaka dan mereka harus mengambilnya sebagai iktibar.


“Hukum dunia, setiap perbuatan pasti akan ada balasan. Kita sering mendengar cerita seperti anak tidak mampu mengucap ketika menghadap sakaratul maut, wajah bertukar menjadi babi dan mati dalam keadaan mengaibkan akibat menderhaka kepada ibu bapa.

“Apakah kejadian itu tidak mampu membuka hati kita?” katanya ketika dihubungi.


Noh berkata, Tuhan tidak zalim dan setiap kejadian pasti ada punca dan hikmah tersendiri, sebaliknya hanya manusia yang selalu alpa dengan perbuatan zaman lampaunya.


“Jangan sesekali kita melupakan Tuhan kerana Dia pasti melupakan kita, jangan memberikan rezeki haram kepada anak kerana tidak berkat selain memberi impak negatif apabila dewasa kelak.

“Ayah juga perlu tegur kesilapan anak dan sering mengingatkan mereka mengenai balasan Allah dunia akhirat dan bagi pihak si anak pula mereka tidak akan mencium bau syurga jika tidak meminta ampun daripada ibu bapa dan mereka harus ingat reda Allah adalah reda ibu bapa terhadap anak,” katanya.


Menurut Noh, jika kejadian ini berterusan si anak boleh didakwa di mahkamah syariah disebabkan gagal memberi nafkah kepada bapanya.

Katanya, jika si anak enggan bertaubat dan memohon ampun serta melakukan solat sunat taubat, tidak mustahil anaknya akan melakukan perbuatan sama apabila dirinya tua.


“Dunia ini ibarat roda. Ada masa kita di bawah dan di atas, sebab itu apabila berada di puncak jangan bongkak serta bangga dengan apa dimiliki kerana semua ini hanya pinjaman.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muhasabahdiri/Article/artikelMA

Anak tunggal berubah

PETALING JAYA: “Macam mana anak yang dijaga dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang memperlakukan saya begini? Binatang pun tahu makna sayang,” luah Pak Atan, 74, yang tinggal di pondok daif bersama isterinya di sini sejak September lalu, selepas dihalau anak kandungnya.

Lebih menyedihkan, pondok berkenaan hanya terletak bersebelahan rumah didiami wanita itu bersama suami dan empat anaknya.


Menceritakan peristiwa perit itu, Pak Atan berkata, dia tidak menyangka anaknya, Sara, 40-an, tergamak menghalaunya kerana sejak kecil dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa.

Sama ada daripada segi pendidikan agama, pelajaran dan keperluan harian, semuanya cuba dipenuhi meskipun terpaksa bertarung nyawa demi memberikan sesuap nasi kepada anak tunggal kesayangannya.


“Siapa tak sayang anak, ditambah dia satu-satunya zuriat kurniaan Tuhan kepada kami. Pendek kata, dialah racun dialah penawar.


“Sejak berkahwin dan memiliki pekerjaan baik membuatkannya semakin kurang ajar dan bongkak hingga lupa siapa saya,” katanya dalam nada kecewa ketika ditemui Metro Ahad di pondok buruknya.

Menurut Pak Atan, semuanya berpunca apabila dia meminta pertolongan anaknya membayar bil elektrik berjumlah RM250 yang sebelum ini dilakukan olehnya.


Itupun disebabkan dia mahu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sumatera, Indonesia melawat saudara maranya di sana.

Sepanjang menduduki rumah miliknya, Pak Atan tidak pernah meminta wang anaknya untuk membayar bil elektrik, air mahupun cukai pintu.


Selepas tiga minggu pulang ke Malaysia, Pak Atan menyangka anak tunggalnya sudah menjelaskan bil berkenaan, namun hairan kerana tiga bulan selepas itu dia tidak menerima bil elektrik seperti selalu.


“Kami mempunyai lapan rumah sewa (setinggan) yang disewakan kepada penduduk dengan kadar RM200 sebulan. Kebiasaannya saya turut membayar bil elektrik mereka sekali.


“Waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah bulan seterusnya apabila menerima bil dengan catatan tunggakan berjumlah hingga RM7,000.


“Disebabkan terlalu terkejut, saya tanya dia dan terkedu apabila secara tiba-tiba dia meninggikan suara dan bercakap kasar menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya. “Akibat tidak mampu membayar bil, bekalan elektrik dipotong dan kami duduk dalam kegelapan buat sementara waktu hinggalah rakan menantu memberikan bantuan menyambung semula,” katanya yang bergantung hidup hasil jualan surat khabar, tanaman herba Mas Cotek dan menjual baju.


Sejak itu, hubungan Pak Atan dan anaknya dingin, malah hasutan daripada pihak ketiga juga menyebabkan situasi bertambah tegang.


“Perkataan seperti mampus, sial, kurang ajar dan orang tua kedekut sudah sebati dengan diri saya sampaikan sudah lali. Jika anak orang lain duduk serumah bersama ibu bapa tidak pernah meminta duit membayar bil, namun situasi sebaliknya berlaku kepada saya disebabkan anak terlalu berkira,” katanya yang turut mengakui anaknya sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menghamburkan kata-kata kesat.


Selain itu, menurut Pak Atan, antara punca lain menyebabkan perbalahan antara dia dan anaknya juga disebabkan perkahwinan keduanya dengan orang seberang kira-kira tujuh tahun lalu.


“Anak saya memang tidak suka perkahwinan saya bersama isteri kedua disebabkan dia bukan orang tempatan. Sebab itu saya mengalah dan berpindah selepas dihalau bagi mengelak perbalahan menjadi lebih teruk,” katanya yang kematian isteri pertama yang juga ibu kepada anak tunggalnya akibat kanser usus 10 tahun lalu.


Tinjauan ke pondok Pak Atan mendapati rumah itu hanya berlantaikan permaidani tanpa simen, tanpa peralatan memasak lengkap, tiada perabot dan paling berbahaya melihat sambungan wayar elektrik daripada rumah anaknya yang mengundang risiko.


“Di sinilah tempat saya dan isteri berlindung daripada hujan dan panas. Tanah yang digunakan ini asalnya adalah bukit, tetapi saya tarah dan ratakan untuk dijadikan tempat tinggal.


“Anak kandung tidak sudi menjaga, padahal rumah yang diduduki itu milik saya yang dibina hasil titik peluh sendiri,” katanya sayu.


Situasi bertambah sebak apabila penulis menyaksikan cucu Pak Atan hanya menggunakan tingkap dapur untuk berkomunikasi atau meminta wang saku daripada datuknya untuk membeli makanan ringan mahupun belanja sekolah.


Penulis berasa pelik melihat hubungan yang masih baik antara cucu dan datuknya, Pak Atan menjelaskan pertalian antara empat cucunya akan tetap utuh disebabkan mereka tidak bersalah, malah tidak mengerti situasi sebenar.


“Beginilah kehidupan saya. Apabila cucu perlukan duit, mereka akan meminta daripada saya dan Alhamdulillah hubungan saya dan mereka tetap baik hingga kini.


“Mereka cucu saya dunia akhirat. Biarlah perselisihan faham ini hanya membabitkan saya dan ibu mereka,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaktunggalberubah/Article/artikelMA

Saturday, February 26, 2011

Pasangan biar anak mati kebuluran

TAIPEI: Pasangan rakyat Taiwan didakwa membiarkan bayi mereka mati kebuluran berikutan terlalu obses dengan permainan dalam talian hingga lupa untuk memberi makan bayi itu secara teratur, kata polis, semalam.

Bayi berusia setahun itu mempunyai berat empat kilogram atau separuh berat bayi seusianya ketika pasangan terbabit melaporkan kematiannya awal minggu ini.


Menurut akhbar harian Apple Daily, polis menemui bayi perempuan itu hanya tinggal tulang dan kulit dengan mata yang cengkung di katilnya bersebelahan skrin komputer dengan laman permaianan dalam talian masih terpasang. Pendakwa raya akan menyiasat mengenai punca kematian bayi itu dan akan memastikan sama ada ibu bapanya yang berusia awal 20-an itu bertanggungjawab atas kematian bayi malang itu.

Mereka menghadapi hukuman penjara dua tahun jika didapati bersalah atas dakwaan itu. - AFP


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pasanganbiaranakmatikebuluran/Article/index_html

Sunday, February 20, 2011

Tuduh anak pembawa sial

Tuduh anak pembawa sial

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

KEJAM...Shatini menunjukkan kesan dera di kedua-dua lengan akibat dipukul bapa.
KEJAM...Shatini menunjukkan kesan dera di kedua-dua lengan akibat dipukul bapa.

ULU TIRAM: Seorang kanak-kanak perempuan dianggap pembawa sial kerana berpenyakit kulit sejak dilahirkan, dilayan lebih teruk daripada haiwan dan menjadi mangsa deraan bapa kandungnya di Taman Puteri Wangsa di sini, sejak lebih 10 tahun lalu.

Bapa kanak-kanak berusia 12 tahun itu bukan saja memukulnya menggunakan kayu serta topi keledar, malah kanak-kanak malang itu dicucuh dengan besi panas.


Bagaimanapun, perlakuan kejam lelaki berusia 40-an itu terdedah selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Shatini mengadu nasib malang menimpanya kepada jiran sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tengah hari semalam.

Shatini yang menghidap penyakit kulit di kaki dan tangan didapati mempunyai 20 kesan luka lama dipercayai akibat penderaan fizikal.


Menurut Shatini, bapanya memberi alasan dia diperlakukan sedemikian kononnya untuk mendidiknya lebih berdisiplin.


“Saya sudah lali dengan sikap panas baran bapa yang kerap memukul, menendang, memijak dan memaki hamun saya menggunakan perkataan lucah hampir setiap hari setiap kali pulang kerja.

“Berbeza dengan adik perempuan yang berusia lapan tahun, ibu dan bapa memanjakan dan menyayanginya kerana dia tidak memiliki sebarang kecacatan seperti saya,” katanya.


Shatini diberhentikan sekolah ketika tahun lima mendakwa, penderaan terbaru dialaminya kelmarin, selepas ibu bapanya bertengkar.

Menurutnya, bapanya yang menuduh dia punca masalah itu memanaskan besi sebelum menekap besi itu pada tumitnya.


“Selepas itu, ibu (berusia 30-an) pula memukul saya menggunakan paip PVC pada paha,” katanya.


Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, sejak lebih setahun lalu, dia diarah tinggal di rumah dan membersihkan rumah ketika bapa serta ibunya keluar bekerja di Singapura.


“Bapa bekerja di bahagian pembersihan manakala ibu sebagai pengawal keselamatan. Saya hanya dibenar makan nasi dan lauk yang disimpan berhari-hari, kononnya bagi menjimatkan perbelanjaan.


“Ibu dan bapa mengatakan ia perlu dilakukan supaya mereka boleh mengumpul wang bagi mengubah suai rumah,” katanya.


Menurut Shatini, dia pernah bersekolah di sekitar bandar raya ini sehingga tahun empat sebelum dihantar ke Butterworth, Pulau Pinang, untuk tinggal bersama saudara ibu serta bersekolah di sana.


Bagaimanapun, ia hanya untuk setahun sebelum dibawa pulang ke Johor awal tahun lalu, dengan alasan mahu disekolahkan di sini.


“Itu semua hanya alasan kerana sebenarnya saya dijadikan tempat bapa melepaskan geram,” katanya.


Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, selepas Shatini diselamatkan pihaknya melaporkan kes dera itu di Balai Polis Pelangi Indah.


“Kanak-kanak itu akan diberi perlindungan dan kesnya akan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.


“Dia sudah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan JKM juga akan mendapatkan maklumat daripada ibu bapanya secepat mungkin,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Balai Polis Pelangi Indah mengesahkan menerima laporan itu dan akan mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu dalam tempoh terdekat.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tuduhanakpembawasial/Article

Friday, February 4, 2011

“Saya tidak pernah dera mereka”


KUALA TERENGGANU – Penderaan didakwa empat beradik di daerah Setiu dilakukan bapa mereka sendiri yang mendapat liputan meluas akhbar harian mendorong bapa kepada kanak-kanak malang itu tampil membuat pengakuan kepada Sinar Harian setelah dibebaskan pihak berkuasa tanpa sebarang jaminan.

Bapanya yang dikenal sebagai Pak Nik berkata, dia cukup kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya menuduh mendera keempat-empat anaknya.

“Saya terkejut apabila tiba di balai polis Setiu, ditangkap atas tuduhan mendera anak saya, kerana semua itu adalah tidak benar seperti apa yang dilaporkan oleh anak saya, Tengku Khatijah, 14.

“Saya tidak pernah mendera mereka kerana dalam soal mendidik anak, tiada istilah dera tetapi hanya untuk kebaikan mereka pada masa akan datang supaya menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat,” katanya sambil berlinangan air mata mengenangkan nasib yang menimpanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa dibenarkan merotan atau memukul anak mereka bagi tujuan mendidik, tiada ibu bapa yang sanggup merotan atau memukul anak-anak sehingga sampai ke tahap mendera.

“Budak-budak bukan dia tahu apa pun, orang cakap kena pukul, dera, dia iyakan saja sedangkan pukul untuk mendidik itu adalah berbeza maksudnya malah saya yakin, semua ibu bapa faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khatijah mengenai cucuh api rokok, Ayah Nik berkata, luka akibat api rokok seperti yang didakwa anaknya itu benar, tetapi ketika kejadian itu berlaku dalam keadaan tidak sengaja.

“Pada hari itu, ada kawan saya datang rumah dan sedang leka berbual sambil menghisap rokok, secara tidak sengaja api rokok terkena tangannya kerana ketika itu dia berada di belakang saya.

“Saya tidak membawa dia ke klinik kerana tidak mempunyai duit untuk mendapatkan rawatan malah hanya membiarkan lukanya sembuh sendiri tetapi ada juga menggunakan ubat tradisional,” katanya.


Pernah bagi anak kepada keluarga angkat


Akibat kemiskinan, Pak Nik pernah menyerahkan empat anaknya kepada keluarga angkat tetapi tidak bertahan lama kerana keluarga angkat tidak tahan dengan kerenah mereka.

“Pernah beberapa kali keluarga angkat mengambil anak saya untuk dijaga kerana saya hidup miskin, tetapi hanya bertahan dua minggu kerana kenakalan anak-anak yang menyebabkan keluarga itu tidak sanggup menjaga mereka,” katanya.

Orang kampung pernah menuduh saya tidak pandai mendidik anak tetapi pada hakikatnya pelbagai cara dilakukan untuk memastikan mereka menjadi seorang anak yang baik.

“Hanya keluarga angkat yang pernah menjaga mereka sahaja memahami keadaan saya yang terpaksa menahan sabar menghadapi kerenah mereka berempat,” katanya.


Miskin punca anak melarikan diri


Dia merasakan masalah kemiskinan adalah punca berlakunya pergolakan itu sehingga menyebabkan anaknya lari dari rumah dan menuduh dia mendera mereka.

“Saya tinggal di pondok usang yang tidak berdinding dan hanya melakukan kerja menanam pokok buah-buahan seperti pisang, betik dan sebagainya untuk menyara keluarga.

“Bantuan daripada mana-mana pihak tidak pernah dapat sedangkan ada beberapa jabatan pernah datang untuk mengambil gambar keadaan rumah saya tetapi tiada sebarang tindakan susulan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di kafe Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu semalam.

Pengakuan itu dibuat apabila tersebarnya kisah empat beradik Tengku Khatijah, 14, Tengku Siti Noras’syakirren, 10, Tengku Mohd Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy’adah, 8 yang mendakwa didera bapanya di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712183.asp

Tuesday, February 1, 2011

Adu polis anak curi wang

AMPANG: Bukan saja kuat berjudi, malah suka mencuri. Itu yang dilakukan seorang anak yang gemar bermain mesin judi dan mencuri wang bapanya sehingga memaksa warga emas terbabit membuat laporan polis, Jumaat lalu.

Difahamkan, warga emas terbabit pada mulanya meletakkan wang tunai kira-kira RM300 dalam saku baju yang kemudian digantung dalam bilik tidurnya, namun terkejut apabila mendapati ia hilang selepas bangun daripada tidur di rumah mereka di Kampung Tasik Permai, di sini.


Menurut sumber, kerana tidak berpuas hati dan mengesyaki anak lelakinya yang berusia lingkungan 20-an itu mencuri wangnya, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

“Mangsa mengesyaki anaknya itu mengambil wang berkenaan kerana terdesak akibat ketagihan mahu bermain judi malah sebelum ini wang yang disimpan pernah hilang,” katanya.


Beliau berkata, mangsa memperoleh wang berkenaan dengan mencari besi buruk sebelum menjualnya di kedai barang lusuh. “Mangsa tidak mengesyaki wang terbabit dicuri orang lain kerana tiada tanda rumahnya diceroboh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Adupolisanakcuriwang/Article

Sunday, January 30, 2011

Isteri tentera tembak kepala 2 anak suka mengumpat

TAMPA: Seorang isteri tentera menembak mati anak lelakinya yang dalam perjalanan ke sesi latihan bola sepak sebelum memandu pulang dan melepaskan tembakan ke kepala anak perempuannya yang sedang belajar, kata polis semalam.

Julie Powers Schenecker mendakwa, dia mengambil keputusan itu kerana bosan apabila kedua-dua anaknya ‘kurang ajar’.


Jurucakap polis, Laura McElroy, berkata Julie mengaku membunuh selepas pihak berkuasa menemuinya berlumuran darah di belakang rumah.

“Ibu Julie menghubungi polis kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila dia gagal dikesan selepas mengadu tertekan serta bosan dengan kerenah anaknya,” katanya.


Suami Julie, Parker Schenecker, kini bertugas di Qatar dan dimaklumkan mengenai kejadian itu semalam.


Ketika disoal siasat Julie, 50, mendakwa dia mengambil tindakan itu kerana kedua-dua anaknya selalu mengumpatnya.

Setakat ini polis tidak mengesyaki Julie ada motif lain.


Mayat Calyx Powers Schenecker, 16, ditemui di bilik tidur tingkat atas rumahnya, manakala adiknya, Powers Beau Schenecker, 13, dalam kenderaan pelbagai guna suspek.

Afidavit penahanan menyatakan, Julie melepaskan dua tembakan di kepala anak lelakinya ketika dalam perjalanan menghantar mangsa menjalani latihan bola sepak.


Apabila pulang, Julie membunuh anak perempuannya pula. - AP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteritenteratembakkepala2anaksukamengumpat/Article/index_html

Thursday, January 27, 2011

4 beradik dihalau ke hutan

4 beradik dihalau ke hutan

Oleh Hadzlan Hassan

DI SINI...bangsal yang dijadikan tempat tidur empat beradik selepas dihalau bapa mereka.
DI SINI...bangsal yang dijadikan tempat tidur empat beradik selepas dihalau bapa mereka.

SETIU: Gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang gaji hasil kerja sambilan di kedai makan kepada bapanya, empat beradik iaitu tiga perempuan berusia lapan, 10 dan 14 tahun serta seorang lelaki berusia tujuh tahun terpaksa bermalam dalam hutan ketika hujan lebat berhampiran Kampung Guntung dekat sini, selepas dihalau bapa mereka yang panas baran, awal pagi semalam.

Selain itu, kakak sulung berusia 14 tahun yang sudah tidak bersekolah mendakwa turut diterajang lelaki berusia 59 tahun itu sebelum tiga lagi adiknya dihalau keluar dari rumah mereka di Kampung Saujana di sini, kira-kira jam 1 pagi.

Lebih memeranjatkan, penderitaan empat beradik yang terpaksa berlapar sepanjang malam dalam kesejukan itu membongkar kejadian lebih tragis kerana mereka sebenarnya sering didera lelaki terbabit apabila disepak, diterajang, ditumbuk, dihentak dengan hulu parang serta dicucuh puntung rokok.

Kesan kecederaan semua mangsa terbongkar selepas mereka dibawa ke Hospital Setiu (HS) di sini, untuk rawatan lanjut.

Sejarah hitam empat beradik itu berakhir apabila diselamatkan orang ramai yang menemui mereka di sebuah wakaf di Kampung Guntung, selepas dihalau lelaki berkenaan yang ‘naik hantu’ gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang diminta.

Lelaki terbabit juga dikatakan berang dengan tindakan seorang daripada anaknya menghantar SMS kepada ibu mereka yang melarikan diri dari rumah sejak September tahun lalu.

Harian Metro difahamkan, walaupun ibu kanak-kanak berkenaan meninggalkan mereka, dia masih berhubung melalui telefon dan sejak ketiadaannya, kehidupan empat beradik itu tidak terurus.

Semua kanak-kanak berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan hutan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

Mereka kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu yang kemudian memaklumkan jabatan itu tidak mempunyai kuasa sebelum mereka menghubungi Balai Polis Permaisuri.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang kelihatan amat letih dan lesu sebelum menghantar mereka ke HS untuk pemeriksaan kesihatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketika dirawat, detik hitam empat beradik terbabit terungkai apabila mereka didapati mempunyai kesan lebam dan luka lama dipercayai akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan berkata, semua kanak-kanak itu kini ditempatkan di HSNZ selepas dirujuk dari HS.

“Laporan polis itu dibuat orang ramai yang terserempak dengan kumpulan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan letih sebelum menghubungi polis meminta bantuan.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dimaklumkan dan membawa semua mangsa ke hospital untuk rawatan sebelum didapati mengalami kecederaan disyaki akibat didera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Susulan aduan itu, beliau berkata, kira-kira jam 7.15 malam semalam, polis menahan bapa kanak-kanak terbabit dan perintah reman terhadapnya akan dipohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/4beradikdihalaukehutan/Article

4 Tengku dakwa didera


EMPAT beradik yang mendakwa menjadi mangsa dera, dari kiri Tengku Siti Nor Asy'adah, Tengku Khatijah, Tengku Siti Noras'syakirren dan Tengku Mohd. Al-Moqarobin di IPD Setiu semalam.


SETIU - Empat beradik terpaksa lari dari rumah selepas mendakwa sering didera bapa kandung sendiri dalam kejadian di Kampung Beris Tok Ku di sini semalam.

Difahamkan Tengku Khatijah Tengku Mamat, 14, Tengku Siti Noras'syakirren, 10, Tengku Mohd. Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy'adah, 8, meninggalkan rumah mereka kira-kira pukul 1 pagi sebelum berjalan kaki sejauh lapan kilometer menuju ke Kampung Guntong Luar dekat sini.

Bagaimanapun, empat adik beradik malang itu ditemui dalam keadaan keletihan dan basah kuyup di sebuah wakaf di tepi jalan oleh seorang pesara tentera berusia 44 tahun kira-kira pukul 7 pagi.

Menurut Tengku Khatijah, mereka terpaksa melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap panas baran bapa mereka yang berusia 58 tahun itu.

"Kami tak sanggup lagi hidup bersama bapa kerana perangai bapa tidak seperti orang lain. Lebih baik kami lari dari rumah daripada terus terseksa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Sunday, January 16, 2011

Bahagia jadi mama

KUALA LUMPUR: “Saya nak jadi mama (ibu) yang baik kepada anak saya. Dia permata hati dan saya sangat berbahagia menjalani kehidupan bersamanya...tak nak mengimbas lagi perkara lalu,” kata Salsabila Yunan, 17, yang kisahnya menjadi perhatian ramai pada penghujung 2009 apabila nekad mengikut kekasihnya dan berkahwin di Pulau Lombok, Indonesia.

Dalam kunjungan wartawan akhbar ini ke rumahnya semalam, jelas dapat dilihat betapa mendalam kasih sayang Salsabila atau Bella kepada anaknya, Sakura Afifi Abdullah yang kini berusia hampir tujuh bulan.


Dia yang pernah membintangi beberapa drama tempatan termasuk Gerak Khas, Renjis, Ke Syurga Cinta dan iklan Ribena, berkata sejak melahirkan Sakura Afifi di Hospital Selayang pada jam 7.40 malam 22 Jun tahun lalu, dia tidak boleh berenggang dengan anaknya itu.

“Pengalaman bersama Fifi (panggilan manja Sakura Afifi) menyedarkan saya susah payah membesarkan seorang anak. Memang penat sebenarnya, namun saya bahagia. Seronok membawa Fifi jalan-jalan keliling rumah. “Semua kawan sebaya saya berebut nak dukung Fifi sebab saya seorang saja yang sudah ada anak,” katanya.


Bella berkata, dia sudah memutuskan hubungan dengan Hafiz Sukma, 31, lelaki Lombok yang dinikahinya di pulau itu sebelum dia dibawa pulang Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno ke tanah air pada 23 Februari tahun lalu dalam keadaan hamil lima bulan.


Bella memberitahu, dia tidak mahu lagi mengingati perkara lalu dan apa yang difikirkan kini hanyalah perancangan membesarkan anaknya.

“Saya sedang memikirkan sama ada mengikuti kelas kemahiran solekan atau membantu perniagaan kantin kakak saya (Faridah, 51),” katanya.

Walaupun terlepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) gara-gara terjebak janji manis pemuda Lombok ketika masih di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Batu Muda, dekat sini, Bella reda dengan ketentuan nasibnya.

“Sudah berkali-kali saya menangguhkan untuk bekerja sebab belum mampu berenggang dengan Fifi. Jika bekerja mesti kena hantar anak ke rumah pengasuh sebab ayah dah uzur,” katanya.

Sementara itu, ayah Bella, Yunan Mat Ayat, 78, berkata, dia berharap anaknya dapat mempelajari erti kehidupan sebenar selepas bergelar ibu.

Menurutnya, perasaan sayangkan anak itulah menyebabkan dia tidak malu merayu pelbagai pihak termasuk polis, Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno serta dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat Migrant Care serta Kijang Care apabila Bella tidak pulang pada 7 Ogos 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bahagiajadimama/Article/index_html

Monday, January 10, 2011

Buang ibu demi kekasih asing

Buang ibu demi kekasih asing

Oleh Muhd Izawan Baharin

TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.
TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.

KUALA LUMPUR: “Selama membesarkan dia, saya tak pernah terfikir yang dia tergamak membuang ibu sendiri,” rintih seorang ibu yang kini hidup merempat sejak enam bulan lalu selepas ‘dibuang’ anak perempuan tunggalnya akibat penangan cinta lelaki Iran.

Ibu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 47, kini menumpang berteduh di rumah rakan dan berpindah-randah dari satu kediaman ke kediaman lain di Seremban, Negeri Sembilan serta Selayang di sini, dengan hanya membawa lima helai pakaian.

“Saya tidak menumpang lama di rumah orang dan berpindah-randah dari rumah rakan ke rumah rakan lain selepas tinggal dua atau tiga hari. Saya tidak ada sesiapa dalam hidup ini. Selepas suami meninggal dunia pada 2008, hanya anak perempuan tunggal itu yang menjadi tempat saya bergantung.

“Namun, perkenalannya dengan seorang lelaki Iran menerusi Internet mengubah hidup saya. Saya dihambat lelaki itu keluar dari rumah manakala anak pula langsung tidak peduli, malah ‘menghiris’ hati saya apabila sanggup meminta saya pergi jauh daripada hidupnya,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup bahagia, malah perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki tempatan menghadiahkannya seorang cucu lelaki.


“Saya tidak bekerja, tetapi mujur arwah suami meninggalkan sedikit wang dan sebuah kereta kepada saya.

“Begitu juga dengan anak perempuan saya, dia berkahwin dan mempunyai kerja yang baik dengan gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Dia juga membeli sebuah apartmen di Subang Jaya dan meminta saya tinggal di situ selepas kematian suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hidupnya musnah selepas anaknya jatuh cinta dengan seorang pelajar sebuah kolej swasta warga Iran berusia 25 tahun kira-kira dua tahun lalu.

“Demi pelajar kolej swasta itu, anak saya sanggup meninggalkan suami, berhenti kerja dan duduk serumah dengan lelaki itu.

“Dia berubah, nasihat saya dibalas dengan kata-kata kesat, malah kunci apartmen miliknya yang menjadi tempat tinggal saya ditukar apabila saya keluar ke rumah rakan selepas dimintanya atas alasan kawan kekasihnya yang datang dari Iran mahu menumpang sementara waktu,” katanya.

Ani berkata, ketika cuba bertanyakan mengapa kunci ditukar, lelaki Iran terbabit menghalaunya keluar dari apartmen itu di depan anaknya dengan alasan dia cuba mengganggu kehidupan mereka.

“Saya tidak ada sesiapa di dunia ini kecuali anak saya. Dia nyawa dan jiwa saya, tetapi semuanya musnah sekelip mata disebabkan orang asing.

“Kereta milik saya juga dilelong bulan lalu kerana bayaran ansuran tertunggak dan sejak Jun lalu, saya menumpang ihsan rakan, tetapi berapa lama boleh berteduh di rumah orang menyebabkan saya sering berpindah-randah selepas beberapa hari.

“Mungkin satu hari nanti, saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak memiliki apa pun, sudahlah tiada harta, anak kesayangan pula membuang saya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Buangibudemikekasihasing/Article

Monday, January 3, 2011

'Pulanglah anakku...'

MELAKA: Sesi persekolahan baru yang dibuka hari ini bukan saja menimbulkan rasa terkilan kepada sepasang suami isteri apabila anak perempuan mereka tidak hadir ke sekolah, tetapi turut bimbang berhubung keselamatan dirinya sejak keluar rumah pada pertengahan bulan lalu.

Ini berikutan pelajar tingkatan empat, Siti Nurhazan Azhari, 16, menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah keluarganya di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang khabar berita.


Ibunya, Halimah Mistam, 50, berkata, dia dan suaminya, Azahari Awang, 45, berasa risau dengan keadaan diri anak ketiga daripada enam beradik itu yang gagal dikesan sehingga kini selepas dilihat kali terakhir berbual melalui telefon di hadapan rumah mereka oleh adik lelakinya, Luqman Hakim, lapan tahun.

Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya, dia dan suaminya sentiasa berasa tidak tenteram dan susah hati, malah sukar melelapkan mata setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang tidak diketahui berada di mana sekarang.


Menceritakan mengenai kehilangan Siti Nurhazan, Halimah berkata, anak perempuannya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju tidur putih, selain tidak membawa sebarang pakaian serta kad pengenalan dan wang ketika itu.


Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Isyak di ruang tamu, manakala suaminya baru saja keluar minum di warung berhampiran rumah dan Siti Nurhazan berada di depan rumah kira-kira jam 11.20 malam sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

Katanya, berdasarkan cerita anak keempatnya, Shahrin Al-Hafiz, 12, dia ternampak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna kelabu memecut laju di lorong berhampiran rumah mereka kira-kira lima minit selepas Siti Nurhazan dilihat di depan rumah.


“Anak saya juga mengatakan, dia ternampak kakaknya di dalam kereta itu dan kakaknya dilihat menoleh ke belakang. Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa orang ada dalam kereta berkenaan.

“Sebaik diberitahu, saya terus menghubungi suami dan berusaha menghubungi melalui telefon bimbitnya beberapa kali, tetapi tidak dijawab. Kami menelefonnya sehingga jam 2 pagi (keesokan harinya) tetapi telefon itu dimatikan,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, Siti Nurhazan tidak pernah keluar malam dan dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana khususnya pada waktu malam.


Katanya, sebelum itu, dia juga tidak menunjukkan tanda merajuk malah sebelum kehilangannya, dia sempat membeli kasut dan pakaian di Pasar Tani Pekan Telok Mas bagi digunakan untuk majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 26 Disember lalu.


Katanya, dia dan isteri merayu bantuan serta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak mereka agar menghubunginya di talian 016-6605774 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pulanglahanakku/Article/index_html

Saturday, December 25, 2010

Menantu tidak setaraf

Menantu tidak setaraf

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.
TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.

JOHOR BAHRU: Umpama filem Tan Sri P Ramlee ‘Antara Dua Darjat’, seorang bapa didakwa cuba memisahkan perkahwinan anak perempuannya yang bergelar ustazah disebabkan enggan menerima menantu yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Lantaran tidak merestui perkahwinan itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul mendakwa bapanya memaksa dia membuat laporan polis mengatakan suaminya memukau, memukul serta mengancam nyawanya.


Terbaru, kata Nurul, bapanya membuat permohonan kepada Jabatan Pelajaran supaya dia ditukar mengajar di sekolah lain ajar dia berjauhan dengan suaminya.

Menurut Nurul, dia berkawan dengan suaminya selama enam tahun sebelum mengambil keputusan kahwin lari di Thailand kerana keluarga terutama ayah tidak menerima calon pilihan hatinya sebagai menantu.


“Sejak itu saya dibuang keluarga apabila SMS dan panggilan telefon saya tidak dibalas. Masalah makin teruk apabila ayah mencampuri urusan rumah tangga dan mengadu perkara tidak elok kepada pengetua sekolah tempat saya mengajar.


“Saya ingatkan campur tangan pihak sekolah membantu meleraikan kekusutan itu, tetapi menjadi lebih teruk apabila ada kakitangan sekolah menjadi sebagai mata dan telinga melaporkan kepada keluarga mengenai tindak tanduk saya.

“Saya pernah dihalang daripada berjumpa suami selama sebulan dan ayah memaksa saya membaca nota mendakwa suami memukau, memukul dan mengancam keselamatan saya ketika berada di balai polis,” katanya.


Kata Nurul, bapanya menolak hasrat mereka berkahwin disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan suami yang memiliki STPM sedangkan dia berkelulusan ijazah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Hubungan kami ditolak kerana saya anak sulung dan bapa berharap saya bertemu jodoh dengan pilihan hati mereka berbanding suami yang mempunyai STPM dan bekerja sendiri,” katanya.


Suaminya yang mahu dikenali sebagai Daim berkata, walaupun mendapat tentangan keras daripada bapa mentua, dia berusaha mencari jalan perdamaian, namun dibalas dengan cubaan memisahkannya dengan isteri.


“Bapa mentua pernah memfailkan perintah kami berpisah di mahkamah syariah berdasarkan laporan polis yang kononnya dibuat oleh isteri sebelum ini.


“Saya mengambil keputusan mendaftarkan perkahwinan secara sah di Mahkamah Tinggi Syariah Johor sebelum perintah mahkamah sama menyatakan perkahwinan kami sah pada 30 November 2010,” katanya.


“Saya dan keluarga sanggup datang ke rumah mentua tetapi kedatangan kami tidak disambut kerana mereka enggan membuka pintu rumah,” katanya.


Daim berkata, usaha memisahkan mereka tidak setakat itu saja apabila bapa mentuanya turut memohon pertukaran tempat mengajar isterinya ke sebuah sekolah di utara Semenanjung.


“Berbekalkan lima laporan polis berkenaan bapa mentua melakukan permohonan pemindahan isteri untuk bertugas di Pulau Pinang dan bertemu dengan pelbagai pihak mencapai hajatnya.


“Saya menghantar surat kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kementerian Pelajaran di Putrajaya serta permohonan secara on-line di laman web kementerian bagi membatalkan pertukaran terbabit.


“Namun, permohonan itu ditolak dengan surat mengarahkan isteri saya mendaftarkan diri di negeri itu pada 1 Januari 2011.


“Kini, kami buntu dan tidak tahu ke mana lagi tempat mengadu. Kami tertekan dengan masalah ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Menantutidaksetaraf/Article

DERITA




SEMENYIH – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul itulah ungkapan yang terpaksa dilalui oleh Nasnawati Aswi, 28, melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung anaknya Noraisah Zulhairi, 10 bulan yang mengalami masalah bahagian kepala yang semakin membesar.

Perasaan sayu dan hiba setiap kali anaknya merintih kesakitan pada waktu malam dan ia adalah peneman hidup Nasnawati yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa bersama suaminya yang hanya bekerja kampung.

Menurutnya, pada peringkat awal kelahiran puteri tunggalnya itu lahir dalam keadaan normal sebagai bayi yang lahir namun perubahan di bahagian kepala anaknya yang semakin membesar dikesan ketika berusia lima bulan.

“Kehidupan kami sekeluarga pada awalnya sungguh ceria dan bahagia dengan kelahiran anak pertama ini namun apabila berusia lima bulan berlaku perubahan kesihatan terutamanya di bahagian kepala anak.

“Menyedari masalah berkenaan saya merujuk kepada klinik berhampiran yang seterusnya menyuruh masalah ini dirujuk kepada Hospital Kajang untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, doktor memaklumkan keadaan anak saya hanya mampu dirawat apabila ia berusia satu tahun kerana bimbang sebarang kemungkinan yang berlaku sekiranya pembedahan dilakukan”, katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 3, Bangi Lama.

Nasnawati berkata, anak perempuannya hanya memakan makanan bijirin yang diberikan namun setiap kali makanan berkenaan disuapkan ia dikeluarkan balik menyebabkan keadaan anaknya bertambah susut.

“Setiap malam saya menangis apabila mendengar rintihan anak, namun saya gagahkan juga demi kehidupan masa hadapan dan menganggap ianya sebagai dugaan dalam meneruskan kehidupan.

“Anugerah ini akan tetap saya pelihara dan jaga sebaik mungkin kerana ia adalah rezeki daripada Allah,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8554318.asp

Dua beradik peluk kekasih

Dua beradik peluk kekasih

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gerak hati seorang ibu yang ingin melihat keadaan dua anak gadisnya sebaik terjaga daripada tidur kira-kira jam 3.30 pagi membawa kepada penemuan mengaibkan apabila dua beradik berusia 13 dan 15 tahun itu didapati tidur berpelukan bagai suami isteri bersama teman lelaki masing-masing.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Sri Gombak Indah, dekat sini, pada awal pagi Rabu lalu dan ia sesuatu yang amat mengejutkan ibu terbabit serta suaminya kerana tidak menduga anak gadis mereka yang masih bersekolah berani bertindak sedemikian.


Sedih dan kecewa dengan apa yang dilihatnya, ibu berkenaan lantas memberitahu suaminya dan si ayah turut tergamam melihat kedua-dua anak gadisnya tidur berpelukan dengan lelaki bukan muhrim dalam sebuah bilik.

Selepas dikejutkan daripada tidur, dua beradik itu dan teman lelaki masing-masing yang berusia 17 dan 20 tahun memohon maaf serta merayu supaya dimaafkan, namun si ayah yang terlalu kecewa nekad melaporkan kejadian itu kepada polis.


Polis menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Menurutnya, kekasih gadis terbabit yang ditahan polis ketika kejadian kini reman hingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai rogol kerana kedua-dua gadis terbabit masih di bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam lusa untuk menghadapi pertuduhan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Duaberadikpelukkekasih/Article

Langsung tak takut ibu bapa

KUALA LUMPUR: “Tindakan dua anak gadis bawah umur itu melakukan perbuatan tidak senonoh bersama pasangan masing-masing dengan berkongsi bilik di dalam rumah menggambarkan mereka tidak takut langsung dengan ibu bapa mereka,” kata tokoh agama, Datuk Dr Haron Din.

Beliau yang juga Penaung Pusat perubatan Islam Darussyifa’ menyifatkan hal itu berpunca daripada longgarnya sistem pemantauan keluarga dan masyarakat, selain budaya kehidupan remaja kini yang semakin terdedah rangsangan hawa nafsu.


“Walaupun ibu bapa sudah memberi pendidikan agama, perkara ini tidak memberi kesan. Jika dalam rumah sendiri pun mereka berani untuk melakukan perbuatan terkutuk itu, kita tak dapat bayangkan apa yang mampu mereka lakukan sekiranya berada di luar rumah seperti di tempat sunyi atau kawasan melepak mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Haron berkata, perasaan malu seperti sudah terhakis dari dalam diri dua remaja terbabit sehingga boleh bertindak di luar batasan tanpa memikirkan kesan selepas itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Langsungtaktakutibubapa/Article/index_html

Wednesday, December 22, 2010

Pelajar kejururawatan ‘ghaib’ ikut teman lelaki

BATU PAHAT: Seorang pelajar kejururawatan di sebuah kolej di Kuala Lumpur tidak pulang ke asrama kolejnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, selepas keluar makan makan bersama teman lelakinya, awal bulan ini.

Ibunya, Rosidah Abdullah, 46, berkata, berdasarkan maklumat rakan serumah, anaknya Rozalia Fatin Ainie Razali, 18, keluar bersama Faizal dengan menunggang motosikal pada 6 Disember lalu.


“Bagaimanapun, Fatin tidak kembali dan tiga hari kemudian, rakannya menghubungi kami.

“Kami terkejut kerana rakannya mengatakan Fatin tidak hadir kuliah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Bengkok, di sini, semalam.


Menurut Rosidah, suaminya, Razali Ahmad, 52, yang bergegas ke Kuala Lumpur, menghubungi penjaga asrama dikenali sebagai Suraya, tetapi wanita terbabit gagal memberikan kerjasama kerana menguruskan orang tuanya di hospital.


“Suraya memaklumkan suami boleh mendapatkan maklumat melalui penjaga pos asrama, tetapi dia juga tidak perasan kerana ramai penghuni keluar dan masuk.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, iaitu pada 11 Disember, Fatin menghubungi kami melalui SMS menyatakan dia menghadiri kuliah dan akan menghubungi mereka malam itu,” katanya.


Bagaimanapun, Fatin gagal menghubungi keluarganya seperti dijanjikan dan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kelmarin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Fatin diminta menghubungi talian 016-7450173, 017- 7149384 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarkejururawatan__8216_ghaib__8217_ikuttemanlelaki/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...