Showing posts with label FELCRA. Show all posts
Showing posts with label FELCRA. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Saman Felcra: PAS tidak terlibat dengan konsultan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Sept: PAS mengingatkan peserta Felcra yang ingin memfailkan saman terhadap institusi tersebut bahawa parti tidak terlibat dengan mana-mana konsultan yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu mereka.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) mengingatkan demikian ekoran menerima maklumat daripada peserta Felcra mengenai khidmat konsultan yang ditawarkan.

"Saya nak mengingatkan peserta-peserta Felcra bahawa PAS tidak bertanggungjawab kepada mana-mana elemen ataupun individu-individu yang cuba mengambil kesempatan kononnya mereka ini konsultan yang boleh membantu peserta Felcra untuk memudahkan urusan mereka seperti menyiapkan fail kes, sukat kebun peneroka dan sebagainya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Lajnah tersebut sebelum ini bersama NGO di bawahnya, badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) sebelum menyatakan bahawa mereka akan menyaman Felcra secara besar-besaran selepas Aidilfitri.

Mereka mendakwa Felcra mengagihkan jumlah dividen yang tidak munasabah kepada penerokanya termasuk salah guna wang koperasi Felcra yang turut didakwa tidak berdaftar.

Mazlan sebaliknya berkata, PAS secara sukarela ingin membantu peserte Felcra menuntut hak mereka selain mengenakan bayaran yang setimpal kepada peguam yang menguruskan kes mereka.

"Saya sudah terima aduan daripada peserta, ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menawarkan diri mereka sebagai konsultan.

"Bagi PAS, khidmat kita ialah berasaskan kebajikan yang PAS tawarkan kepada rakyat. Kalaupun ada bayaran ianya bayaran yang ditentukan oleh peguam sahaja, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan nak kenakan bayaran," katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tambahnya, aduan tersebut diterima dariapda peserta Felcra di Perak dan menyifatkan tindakan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan sebagai tidak wajar.

"Sudahlah peneroka ini susah, ditipu tiba-tiba ada pulak pihak yang mengambil kesempatan untuk menawarkan khidmat dan mengenakan bayaran-bayaran tertentu.

"Bapa yang mengumpulkan maklumat, kalau ada kawasan yang perlu disukat, Bapa akan berurusan dengan pejabat tanah dengan bayaran yang setimpal," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5387-saman-felcra-pas-tidak-terlibat-dengan-konsultan

Friday, August 26, 2011

PAS akan saman Felcra besar-besaran

NONE





Jimadie Shah Othman
Ogos 25, 11
12:22pm

PAS sedang merancang menyaman Felcra secara besar-besaran kerana didakwa mengagihkan jumlah dividen yang tidak masuk akal kepada penerokanya.

Pengerusi lajnah tanah dan pembangunan Wilayah parti Islam itu Mazlan Aliman berkata, pihaknya mendapat aduan terdapat peneroka yang hanya mendapat RM200 sahaja untuk tempoh tiga bulan.

pas to sue felcra 250811 press conference panellists"Jumlah ini terlalu rendah dan tidak masuk akal. Biasanya kalau 5 ekar tanah, boleh dapat keuntungan RM2,000 sebulan," katanya.

Felcra membayar dividen - pendapatan yang ditolak kos perladangan - kepada penerokanya empat kali setahun atau setiap tiga bulan.

Anggota jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, aduan yang sama diterima daripada enam negeri dengan kes yang paling banyak di Perak.

Jumlah peneroka yang akan tampil ke mahkamah bagi tujuan itu tidak didedahkan buat masa ini.

"Kita jangkakan saman itu akan dibuat selepas raya ini," katanya lagi.

'Koperasi tak daftar'

Menurut Mazlan, saman itu akan menjadikan kes Mohamad Ramli Sanji lawan Felcra yang menyaksikan peneroka di Perak itu menang dalam samannya dua minggu lalu.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Mazlan mendakwa masalah pengurusan Felda berpunca apabila peneroka tidak dimaklumkan jumlah pendapatan peribadi mereka.

NONE"Peserta tidak tahu jumlah pendapatan mereka sebab dikira secara lump sum (dicampur semua sekali).

"Contohnya dia umum pendapatan (semua peneroka) RM200,000, tanpa memaklumkan mengikut tan (diperoleh peneroka)," kata Mazlan.


Beliau juga mengkritik pemberian kuasa yang besar kepada Koperasi Felcra bagi menjalankan urusan itu sehingga kuasanya didakwa "lebih besar daripada ibu pejabat Felcra" sendiri.

"Koperasi Felcra ini lagi pun tidak didaftar. Jadi ia tidak diaudit dan tidak ada siapa hendak semak," dakwanya sambil memberitahu fakta itu diketahui hasil maklumat yang diberitahu mahkamah dalam perbicaraan Mohamad Ramly.

Mazlan mengesyaki, kegagalan Felcra membayar dividen tinggi kepada peneroka ekoran pengurusannya yang didakwa membelanjakan wang secara tidak sepatutnya dan tidak hanya urusan berkaitan pengurusan ladang.

Perkara itu, dakwanya, termasuk perbelanjaan lawatan pegawai Felcra ke pelbagai tempat dan acara sambutan pihak kenamaan yang memakan belanja besar.


http://malaysiakini.com/news/174060

Monday, August 15, 2011

Waris menang saman Felcra

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Seorang waris kepada peserta Felcra di Tapah, Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Kes beliau antara yang mendapat bantuan dan sokongan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan nasib peserta Felcra.

Kemenangan rakyat

Sementara itu, menurut pengerusi Bapa yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perak, Tuan Haji Razman, beliau menganggap kemenangan tersebut sebagai kemenangan rakyat.

Beliau menyatakan, kes itu menjadi penyuntik semangat kepada NGO itu untuk terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta mendapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4909-waris-menang-saman-felcra

Thursday, July 28, 2011

Mahkamah Rayuan sahkan pembebasan KP Felcra

Jul 28, 11 5:05pm

Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Felcra, Datuk Mustapa Juman, daripada tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM40 juta.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan bahawa tiada sebab bagi panel itu untuk campur tangan dengan fakta dapatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan mengenai pembabitan Mustapa dalam pemindahan wang.

Oleh itu, Hakim Sulaiman yang bersidang berhubung rayuan itu dengan Hakim-Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohamed Apandi Ali menolak rayuan akhir yang dibawa pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Mustapa.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, bagi pihak pendakwaan dan peguam bela V Rajadevan dan Mohd Fozi Md Zain yang mewakili Mustapa.

Rajadevan memberitahu pemberita bahawa mahkamah sudah memutuskan bahawa tidak berlaku pecah amanah kerana arahan memindahkan wang bukan datang daripada responden (Mustapa).

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Mustapa, 64, kelihatan menangis dan memeluk peguamnya.

Pada 3 Disember, 1999, Mustapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang Felcra berjumlah RM40 juta di Pejabat FELCRA, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 6, 7 dan 9 Mei, 1997.

Pada 15 Mei, 2009, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 Mac 2006 yang melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171331

Thursday, November 11, 2010

Selepas Felda, PAS bawa isu Felcra ke SPRM

Jimadie Shah Othman
Nov 9, 10
7:27pm

PAS terus mengasak isu berkaitan peneroka dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu-isu berkaitan Felcra, antaranya projek ladang getah di sebuah pulau di Sabah yang didakwa bernilai RM167 juta.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Mazlan Aliman membuat laporan itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Menurut Mazlan (kanan), beliau mengadu supaya SPRM menyiasat projek agropolitan di Pulau Banggi, Kudat itu kerana disyaki terdapat unsur penyelewengan, antaranya didakwa dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memgambil kira kesesuaiannya.

"Saya pergi ke sana sendiri pada 26 Oktober lepas, saya ambil gambar, pokoknya masih kecil. Sepatutnya selepas tiga tahun ditanam, ia sudah sebesar paha.

"Ini macam tak cukup zat," katanya sambil memberitahu menyerahkan gambar berkenaan kepada SPRM sebagai bahan bukti.

Mazlan - yang membuat laporan itu atas nama Badan Bertindak Bagi Warga Felcra (BAPA) - mendakwa tiada kajian terperinci dibuat selepas projek di atas tanah seluas 2,000 ekar itu dimulakan pada tahun 2006 lalu.

"Sepatutnya kena ambil kira kemasihan tanah, tiupan angin dan penempatan pekerja. Ini pekerjanya duduk di pulau, tetapi pegawainya duduk di Kudat.

"Setiap hari kena naik feri untuk ke pulau," katanya sambil mempersoalkan keberkesanan tempat tersebut dipilih.

Menurut Mazlan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, selain ladang, tanah itu turut memuatkan takungan air dan kawasan penempatan pekerja ladangnya.

Tambahnya, aduannya pada jam 11.30 pagi tadi diterima oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustapar Ali.

Ditanya tentang dakwaaan terdapat sekurang-kurangnya 22 lagi salah laku Felcra yang ditimbulkannya sebelum ini, Mazlan berkata akan mendedahkannya sedikit semi sedikit.

"Kita mahu beri peluang SPRM menjalankan tugasnya dengan selesa," kata Mazlan yang terkenal kerana banyak 'membongkar' isu melibatkan peneroka kelapa sawit di Felda sebelum ini.

http://malaysiakini.com/news/147744
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...