Showing posts with label Infant Choking. Show all posts
Showing posts with label Infant Choking. Show all posts

Sunday, March 20, 2011

Lagi bayi mati tersedak susu


INILAH pusat jagaan di Shah Alam tempat Adelia didakwa tersedak susu sebelum meninggal dunia.


KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri, Muhammad Nizzam Aminuddin dan Fariza Tukir tidak akan dapat melupakan detik hitam dalam hidup mereka pada Rabu lalu apabila menerima panggilan kecemasan mengatakan anak bongsu mereka, Adelia yang baru berusia dua bulan sedang nazak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Shah Alam, Selangor.

Pada waktu itu, mereka sibuk memilih pakaian untuk Adelia di sebuah pasar raya di Shah Alam.

Muhammad Nizzam, 34, masih ingat dia bersama isterinya berkejar ke Pusat Perubatan Darul Ehsan di Seksyen 14 selepas pengurusan taska memaklumkan arwah dihantar ke sana dari sebuah klinik di Seksyen 10.

Mangsa sebelum itu dipercayai tersedak ketika diberi minum susu botol oleh kakitangan taska itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Saturday, October 2, 2010

'Kesal pemilik taska tak diambil tindakan'

2010/10/02

PUTRAJAYA: “Kami kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap pemilik taska berkenaan walaupun laporan dibuat kepada pihak terbabit sehingga seorang lagi bayi menjadi mangsa kecuaian kakitangan terbabit,” kata Sofia Noor Yahya, 27.

Sofia Noor, ibu kepada bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah taska dikatakan milik anak seorang kenamaan bergelar Datuk di Presint 18, di sini, Julai tahun lalu.

Katanya, dia amat terkejut apabila mengetahui tragedi sama berlaku terhadap anak pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin yang menghantar bayi mereka di taska berkenaan, sekali gus menunjukkan tiada sebarang tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Katanya, selepas tragedi menimpa anak sulungnya, Muhammad Syamil Nazhan Saiful Afzan, Julai tahun lalu dia membuat laporan kepada JKM selepas mengetahui taska itu tidak berdaftar.


“Mereka (JKM) berjanji menyiasat dan membuat pemantauan. Bagi saya pemantauan tidak perlu dilakukan kerana sudah terang-terangan ia tidak mempunyai lesen.


“Sepatutnya JKM terus memberhentikan operasi taska terbabit, tetapi tiada sebarang tindakan diambil hingga hari ini dan kes sama berulang terhadap pasangan terbabit,”
katanya ketika ditemui di kediamannya di Presint 11 di sini, semalam.


Sofia Noor berkata, dia enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska berkenaan selepas kematian anaknya kerana tidak mahu bedah siasat dijalankan.


Anak sulung pasangan Sofia Noor dan Saiful Azhan Abdul Rashid meninggal dunia 7 Julai 2009 selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan taska terbabit, dan pada 20 September anak bongsu pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin, Noramirah menerima nasib sama di taska itu.


Difahamkan pemilik taska terbabit pernah beberapa kali memohon lesen, tetapi tidak mendapat kelulusan atas beberapa alasan termasuk tidak mengasingkan bayi dengan kanak-kanak.


Apa yang menghairankan, katanya, peraturan ditetapkan taska terbabit yang tidak membenarkan penjaga masuk ke dalam premis mereka juga amat diragui.


“Saya pelik kenapa mereka tidak membenarkan kami masuk ke dalam taska dan meminta kami menyerahkan anak kepada pengasuh di depan pintu taska saja.



“Selain itu, saya juga turut dimaklumkan kebanyakan bayi di situ dibedung sebelum diberikan susu dipercayai bagi mengelakkan bayi bergerak,”
katanya.


Sofiah Noor juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu menyebabkan bayi tersedak susu hingga meninggal dunia.


Malah, katanya ketika dia menghantar anaknya ke taska berkenaan tahun lalu, hanya mempunyai dua pengasuh dan seorang penyelia untuk menjaga tujuh bayi dan 10 kanak-kanak.

Apa yang menyedihkan, katanya pemilik taska berkenaan membuat cerita kononnya anaknya tidak sihat ketika dihantar ke taska terbabit dan alasan sama diberikan terhadap kes pasangan suami isteri terbabit.

“Jadi kami minta taska itu ditutup. Selagi taska itu tidak ditutup dan penyelia masih bersikap endah tidak endah, kejadian sama mungkin berulang lagi. Pada masa sama saya menasihatkan ibu bapa supaya selidik latar belakang taska terlebih dulu sebelum menghantar anak ke taska,” katanya.

Mengimbau kembali kejadian yang menimpa anaknya, beliau berkata pada hari kejadian pemilik taska hanya meminta dia ke taska berkenaan dengan segera tanpa memaklumkan apa yang terjadi.


“Sebaik tiba di sana, saya diberitahu bayi saya sudah dibawa ke hospital menyebabkan saya bergegas ke unit kecemasan Hospital Putrajaya dan mendapati anak saya sedang dirawat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesalpemiliktaskatakdiambiltindakan/Article

Bapa terkejut bayi jadi biru


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Akibat keletihan dan tertidur selama dua jam, seorang bapa hanya mampu menitis air mata apabila bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaannya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Hadif Hameedullah Mohd Najib diberi minum susu oleh bapanya sebelum diberi pula minum air yang diisi dalam botol.

Namun, bayi itu dipercayai tidak sedarkan diri sewaktu bapanya tersedar dari tidur kira-kira jam 1 tengah hari di rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju.

Difahamkan, bapa bayi itu berusia 29 tahun mengambil alih menjaga anaknya kerana sedang bercuti. Ketika kejadian, bapa terbabit yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, cemas apabila mendapati anak bongsunya itu tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa kemudian mencabut botol susu yang berada pada mulut anaknya selepas mendapati bayi itu kebiruan, selain keluar air dari mulutnya.

“Dia menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru di sekolah berhampiran sebelum bergegas menghantar bayi mereka ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan.

“Doktor memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut dan dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tapi siasatan diteruskan. Polis juga mendapatkan keterangan daripada bapa mangsa yang juga saksi kejadian kerana bersama-sama mangsa ketika itu,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut bapanya selepas bedah siasat untuk dikebumikan.

Kejadian ini kali ketiga dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu. Pada 21 September lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan mati tersedak susu selepas dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya.

Dalam kejadian kedua pada Ahad lalu pula, seorang bapa dikatakan memangku bayi lelakinya, Mohamad Ayub selepas diberi susu ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Manik Urai, Kuala Krai ke ibu negara.

Difahamkan, kedua-duanya kemudian tertidur dan hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada dalam kereta api akibat tersedak susu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaterkejutbayijadibiru/Article

Friday, September 24, 2010

Bayi Tiga Bulan Tercekik Botol Susu

Jumaat September 24, 2010

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan yang berusia tiga bulan menemui ajal yang dikatakan akibat tercekik botol susu yang diberikan pengasuhnya di sini Selasa lalu.

Selepas diberikan susu, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz dibiarkan bersendirian sementara pengasuhnya memasak di dapur.

Bapa bayi berkenaan Mohd Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata pada hari itu, isterinya Haney Usmiza Abdul Hamid, 30, seperti biasa menghantar bayi mereka kepada pengasuh pada pukul 8 pagi sebelum pergi kerja.

"Farisha baru sahaja sembuh daripada selesema dan isteri saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pengasuh tersebut.

"Kemudian kira-kira 10.30 pagi, isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anak kami tidak sedarkan diri.

"Isteri saya bergegas ke rumah pengasuh tetapi dimaklumkan jiran pengasuh itu, bayi saya sudah dibawa ke Hospital Putrajaya.

"Di unit kecemasan, isteri saya dimaklumkan bayi kami sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Fairuz berkata Farisha adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan dihantar untuk dijaga pengasuh berkenaan sebaik isterinya habis pantang selepas bersalin.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa pengasuh berkenaan mempunyai sijil latihan dan lesen untuk mengasuh kanak-kanak serta dipantau sebulan sekali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia.

Selain Farisha, pengasuh tersebut yang mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam penjagaan kanak-kanak, turut menjaga lima kanak-kanak lagi.

Fairuz berkata beliau menganggap kejadian tersebut sebagai takdir dan belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu.

"Pengasuh itu juga sudah memohon maaf. Namun saya berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi dan semua pengasuh perlu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh yang turut mengunjungi keluarga mangsa hari ini berkata, pihak bertanggungjawab perlu bertindak tegas dalam perkara tersebut dengan memastikan semua pengasuh sama ada pengasuh di rumah atau Taska diberikan latihan sepatutnya untuk mengelakkan lebih banyak kejadian yang sama berlaku. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/24/mstar_jenayah/20100924152100&sec=mstar_jenayah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...