Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts
Showing posts with label Kuala Lumpur. Show all posts

Monday, July 18, 2011

MP PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo' meninggal dunia'

Jul 17, 11 2:31pm

Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

dr lo' lo' ghazaliBerita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.

Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana tempoh parlimen sudah melepasi tiga tahun.

Kerusi Titiwangsa hanya akan diisi apabila pilihan raya umum diadakan.

sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.



http://malaysiakini.com/news/170184

Friday, June 17, 2011

10,000 penduduk mahu MRT bawah tanah

10,000 penduduk mahu MRT bawah tanah
Fadzly Esa
Jun 17, 11
3:55pm

Lebih 10,000 penduduk Damansara di ibu negara membantah pembinaan keretapi Aliran Transit Massa (MRT) yang membina landasan atas melintasi kawasan kejiranan mereka.

Bantahan itu dinyatakan melalui petisyen yang diusahakan oleh Gabungan persatuan penduduk dan rukun tetangga Lembah Klang yang dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan terkini.

Menariknya mereka tidak menolak terus kemudahan MRT, sebaliknya mahu ia dibina di bawah tanah, seperti yang dilaksanakan di negara maju.

Gabungan itu mewakili tujuh persatuan penduduk dan rukun tetangga Damansara menyerahkan petisyen penduduk Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Damansara Utama, Damansara Kim, Mutiara Damansara dan Kota Damansara.

Petisyen itu diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Utama, Lim See Meng kepada Pengurus pegawai perhubungan awam dan media Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Leong Shen Li di Plaza Sentral, hari ini.

Ditemui selepas penyerahan petisyen itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Mohd Hatim Abdullah berkata penduduk tidak pernah membantah pembinaan MRT, malah menyokong usaha ini.

'Jangan sampai penduduk berdemo'


"Itulah harapan besar kita, bina bawah tanah. Kalau boleh untuk kali pertama ini, buatlah yang betul, biar mahal tidak mengapa kerana ia untuk cucu cicit kita, ia sudah terbukti di London.

"Kalau kita fikir MRT bawah tanah di London sudah menjangkau 200 tahun, walaupun kos mahal, ia lebih praktikal, kalau MRT dibina di atas, kamu boleh bayangkan susah nak bina kerana mesti lalu lintas akan menjadi sesak," katanya.

Ditanya tindakan mereka sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi kerajaan, Mohd Hatim menggesa kerajaan berfikir secara terperinci sebelum menolak cadangan tersebut.

Menurutnya, memandangkan lebih 10,000 tandatangan dikumpul daripada penduduk, kerajaan tidak wajar menolak cadangan tersebut.

"Takkan kita nak merusuh, itu boleh berlaku, kita memang nak MRT tetapi jangan sampai ke tahap penduduk pergi berdemonstrasi, halang jalan dan sebagainya," kata ahli perniagaan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Hatim berkata sekiranya kerajaan tidak mahu mendengar suara hati penduduk, kerajaan perlu memikirkan secara terperinci apakah tindakan penduduk selanjutnya selepas itu.

SPAD: Bukan cadangan baru

"Itu persoalan saya, saya tidak boleh cakap apa-apa, kalau saya nak bantu kerajaan untuk menenangkan hati penduduk, saya tidak tahu bagaimana caranya.

"Sekarang ini saya pengerusi persatuan penduduk, dua tahun lagi tak tahu siapa pengerusi, mungkin pengerusi muda lebih agresif daripada saya.Jadi kita harap kerajaan fikir secara terperinci apa yang kita cadangkan ini diterima, itu sahajalah harapan kita," katanya.

Sementara itu, Leong pula berkata, kesemua maklum balas akan dinilai dengan mendalam dan akan dikemukakan kepada kerajaan sebelum keputusan akhir mengenai penjajaran dan lokasi stesen diputuskan.

Menurutnya, cadangan membina MRT bawah tanah bukannya perkara baru dan pernah disuarakan oleh persatuan penduduk TTDI dan Bandar Utama dan NGO sebelum ini.

"Kita akan usulkan cadangan ini kepada kerajaan dan biar pucuk pimpinan tertinggi memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat," katanya.

[Lagi laporan menarik di Komunitikini]

http://malaysiakini.com/news/167227

Friday, April 1, 2011

Lebih ramai pemandu lelaki kemalangan

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Ketua Pengarah Miros Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataan semalam berkata, kajian itu turut disokong statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan sejumlah 244,336 kemalangan membabitkan pemandu lelaki berbanding 103,153 bagi wanita, pada 2009.


Mengambil kira bilangan penduduk, beliau berkata lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Bagaimanapun, katanya, Miros mendapati wanita menunjukkan peningkatan kemalangan yang kurang sihat pada 2009 berbanding 2006.


“Jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan bertambah daripada 26.4 peratus pada 2006 (berbanding lelaki 73.6 peratus) dan telah meningkat kepada 29.7 peratus pada 2009,” katanya ketika mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bahawa wanita memandu sambil lewa di jalan raya.


Ahmad Farhan berkata kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

“Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan,” katanya.


Beliau berkata dari sudut pemanduan, lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita, dan ini menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan seringkali juga “terlebih yakin“ sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan jalan raya kini sering berlaku tanpa mengira jantina. - Bernama


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lebihramaipemandulelakikemalangan/Article/index_html

Dia tak pernah mungkir janji

TELUK INTAN: “Arwah bersungguh-sungguh mahu menghantar saya menunaikan umrah dan haji ke Tanah Suci Makkah sebaik dia selesai menjalani latihan dan mula bekerja kelak. Namun, hasratnya hanya tinggal kenangan pahit,” kata Muntiah Saiin, 45, ibu kepada pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol), Muhammad Bisman Siman, 23, yang meninggal dunia, semalam.

Menurutnya, arwah menyampaikan hajat besarnya itu selepas dia terpilih menjalani latihan sebagai kadet konstabel di Pulapol sejak Januari lalu.


“Arwah tidak pernah mungkir janji. Dia akan kotakan apa dijanjikan, namun semua impian itu terkubur begitu saja.

“Malah, arwah turut berulang kali berjanji mahu menjaga kebajikan semua adik-adiknya termasuk menanggung perbelanjaan persekolahan apabila mendapat gaji pertamanya nanti,” katanya sambil berlinangan air mata.


Muhammad Bisman mangsa ketiga pelatih Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang meninggal dunia akibat jangkitan Adenovirus di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur jam 11.30 malam kelmarin.


Muntiah yang ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tiang Tengah, Bagan Datoh, di sini, berkata, arwah pernah membuat permintaan aneh supaya jangan menangis sekiranya dia meninggal dunia ketika menjalani latihan ataupun ketika bekerja.

“Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur, arwah tiba-tiba memegang tangan seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. “Sebagai ibu saya amat memahami perasaannya. Arwah seolah-olah sudah mengetahui ajalnya semakin hampir dan saya sempat membisikkan ke telinganya memberitahu semua dosanya kepada saya diampunkan. Sebagai seorang ibu hanya saya saja yang tahu betapa peritnya perasaan kehilangan anak,” katanya.


Menurutnya, penderitaan anaknya itu hanya diketahui pada 3 Mac lalu apabila arwah dimasukkan ke wad rawatan rapi berikutan keadaannya kian kritikal selepas muntah-muntah serta cirit-birit.

“Saya yang melawatnya di hospital mendapati arwah sukar bernafas dan sentiasa mengalirkan air mata. Saya menjaganya bergilir-gilir dengan suami, Siman Sappar, 63, di hospital sebelum pulang ke rumah Isnin lalu.


“Namun, saya terkejut apabila diberitahu dia menghembuskan nafas terakhirnya semalam (kelmarin). Saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.


Bapa mangsa, Simanenggan enggan mengulas dan masih kelihatan terkejut ketika menghadiri upacara pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiang Tengah, di sini.


Adik Allahyarham, Dalillah Siman, 13, berkata, arwah seorang abang yang penyayang, periang serta amat bertanggungjawab. Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa semalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Diatakpernahmungkirjanji/Article/index_html

Monday, March 28, 2011

Rakyat kena sedia hadapi gempa

KUALA LUMPUR - Penduduk di negara ini perlu lebih bersedia kerana Malaysia dijangka tidak terlepas daripada mengalami kejadian gempa bumi pada masa akan datang.

Pakar Geologi, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin berkata, kemungkinan itu ekoran daripada retakan-retakan besar (sesar) yang terdapat di dalam kerak bumi.

Katanya, walaupun ketika ini retakan itu tidak aktif tetapi gerakan pada kerak bumi yang didorong oleh gempa di sekeliling Semenanjung Malaysia boleh mengundang bencana tersebut.

"Kekerapan berlakunya gempa bumi di sekeliling Malaysia, contohnya di Indonesia, Myanmar dan Jepun akan mendorong patahan pada retakan-retakan besar ini seterusnya ia akan aktif dan menghasilkan gempa bumi.

"Apa yang dapat dipastikan, kemungkinan itu tetap ada tetapi bila ia akan berlaku sama ada mengambil masa puluhan atau ratusan tahun tidak dapat dipastikan," kata Tajul Anuar yang merupakan Pensyarah Geobencana, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Pelakon penipu

Pelakon penipu

Oleh Asmah Rusman dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).
TERPEDAYA...tiga mangsa skim MLM yang ditipu K membuat aduan kepada Nadzim (kanan).

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mualaf yang pernah berlakon dalam beberapa drama Cina terbitan produksi tempatan, rupa-rupanya turut bijak ‘berlakon’ apabila memperdaya ribuan mangsa menyertai skim perniagaan jualan langsung (MLM) dianjurkannya, menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50 juta.

Dia yang dikenali dengan nama K dan berusia awal 40-an, bijak memperdayakan mangsa melabur skim MLM didalanginya apabila menjual nama kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur dengan mendakwa dia anak angkat keluarga diraja.


Selain itu, K bijak memanipulasi statusnya sebagai saudara baru menyebabkan skim pelaburan dianjurkannya mudah mendapat ahli dengan jumlah keahlian mencecah 30,000 orang termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Kebanyakan mangsa adalah kakitangan kerajaan dan warga emas yang terpengaruh apabila K mendakwa mampu memberi pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada modal permulaan RM3,700 satu lot.


Penipuan K didedahkan tiga mangsanya, Mohd Fahmi Anuar, 32, Adam Lim, 31, dan Adlan Shah Haris, 35, yang membuat aduan kepada Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.


Mereka yang mengetuai ahli kumpulan pelaburan terbesar di Johor dan sekitar Lembah Klang berkata, K juga meyakinkan pelabur dengan memaklumkan syarikatnya mempunyai lombong berlian di Kanada dan kilang pemprosesannya di China.

Menurut Mohd Fahmi, pada mulanya dia musykil, tetapi selepas diberi penerangan kononnya pelaburan itu mempunyai lesen sah selain melihat K menggunakan kereta mewah bernombor VIP yang didaftarkan dengan alamat istana, dia tidak teragak-agak mencuba nasib.


“Saya mengajak rakan lain melabur dan gembira apabila menerima pulangan pertama seperti yang dijanjikan selepas sebulan melabur.

“Namun, sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang bayaran dan setiap kali menelefon K tidak pernah berjawab,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM250,000 melalui dua pakej yang disertai.


Mohd Fahmi berkata, dia bersama rakan lain pergi ke rumah K tetapi mendapati rumah lelaki itu dikawal ketat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selain dipasang pagar berduri.


“Saya yakin lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berdasarkan kereta dan keadaan rumah yang kemas tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana enggan bersemuka dengan kami yang ‘mengejarnya’ sejak lapan bulan lalu,” katanya.


Katanya, ramai pelabur mengalami kerugian dan ada antara mereka sanggup menjual kebun, membuat pinjaman bank, menjual barang kemas dan juga meminjam daripada along.


Adlan Shah pula berkata, banyak janji K tidak ditepati malah pelbagai alasan direka bagi melepaskan diri.


“Awalnya kami dimaklumkan proses pembayaran mempunyai sedikit masalah selepas berlaku pertukaran dalam sistem elektronik bagi penambahbaikan dan dia meminta kami menunggu hingga hujung bulan.


“Dia berjanji membayar tunggakan keuntungan kepada ahli melalui pembayaran cek sebaik saja masalah membabitkan sistem itu selesai tapi sehingga sekarang kami tak mendapat apa-apa,” katanya yang mendakwa kerugian hingga RM4 juta, hasil pelaburan bersama beberapa orang bawahannya.


Menurutnya, K juga bijak memerangkap ketua kumpulan sepertinya untuk melepaskan diri daripada dimarahi ahli.


“Selepas cek keuntungan diserahkan kepada ketua kumpulan K akan memaklumkan kepada semua ahli kononnya bayaran dibuat. “Namun, belum sempat kami menunaikan cek dia membekukan akuan bank menyebabkan cek tidak boleh ditunaikan, tapi ahli memarahi kami kerana menyangka dia benar-benar memberikan duit,” katanya.


Adlan Shah juga mendakwa, K memeluk agama Islam hanya sebagai usaha untuk meyakinkan mangsanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan laporan itu.


http://www.hmetro.com.my/articles/Pelakonpenipu/Article

Sunday, March 27, 2011

Titik gempa hampiri Malaysia




KUALA LUMPUR – Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Monday, March 21, 2011

Empat pelatih masih di ICU

KUALA LUMPUR: Empat pelatih inspektor dan konstabel Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) yang terkena jangkitan Adenovirus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 21 lagi di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh sehingga petang, semalam.

Seramai 12 pelatih dirawat di HKL manakala 13 di Hospital Sungai Buloh.
Mereka yang dirawat di ICU adalah seorang pelatih konstabel, seorang pelatih inspektor lelaki dan dua lagi pelatih inspektor wanita.


Komandan Pulapol KL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula 336 berbanding 389 kelmarin.

Daripada jumlah pengasingan terbabit, 117 pelatih inspektor wanita, 180 pelatih inspektor lelaki dan 33 konstabel selain enam kakitangan Pulapol.

Akhbar ini melaporkan dua pelatih Pulapol maut akibat jangkitan terbabit.

Mangsa, Mohd Riduan Ishak, 26, meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi, 17 Mac lalu dan seorang lagi pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, meninggal dunia 8 Mac lalu.



Berikut adalah pelatih yang ditempatkan di HKL dan Hospital Sungai Buloh:

Pelatih inspektor lelaki (seorang di ICU) - Mohd Muharram Mohd Ariffin, G Gopinath A/L Govindran, Noor Azlan Zaidi, Zarul Shahrin Mohd Mustafa, Izsrole Al Halmy Mohd Ismail, Simon A/L Vadelu, Muhammad Azizi A Rahman, Kalidasan A/L Rajakumar, Mohd Izat Ab Rahaman.

Pelatih inspektor wanita (dua di ICU) - Nor Hafizah Ilias, Nur Asyikin Othman, Saidatul Akmar Shariffuddin, Shanthanamary A/P Shunmigan, Nadhrah Hazwani Taufik, Nadia Mohd Husin, Nurul Shazrina Nazri, Nor Amanina Mohd Yusob, Nurol Akmal Abdullah, Parameswary A/P Sinasamy, Shazrin Irda Ezanee, Roshila Harun.

Pelatih konstabel lelaki (seorang di ICU) - Mohammad Siman, Ahmad Taufiq Abd Halim, Wan Azman Wan Ismail, Muhamad Najihin Musa.

Ahli keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas, Pulapol KL untuk maklumat lanjut.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/EmpatpelatihmasihdiICU/Article/artikelMA

Sunday, March 20, 2011

Hasrat kahwin setiap bulan

Hasrat kahwin setiap bulan

Oleh ISMA ISMAIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

TEKAD BALAS... empat ‘madu’ melihat gambar lelaki yang memperdayakan mereka.
TEKAD BALAS... empat ‘madu’ melihat gambar lelaki yang memperdayakan mereka.

KUALA LUMPUR: Tembelang seorang lelaki yang bercita-cita hidup senang dengan mengikis wang wanita bukan saja terbongkar, malah dia kini tidak keruan apabila terpaksa berdepan pakatan empat ‘madu’ yang berganding bahu untuk memporak-perandakan hidupnya.

Pakatan berkenaan membabitkan tiga mangsa yang dijanjikan untuk dikahwini dalam tempoh selang sebulan, bermula bulan depan, manakala bekas isteri lelaki itu mahu melunaskan dendam selepas menyedari suaminya curang.

Sebagai wanita, dia berang kerana suaminya memperdaya mangsa hingga ada yang mengandung, ditipu lebih RM10,000 dan diperbodoh-bodohkan.

Antara perancangan empat mangsa lelaki yang selayaknya digelar kasanova kaki temberang itu adalah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki berkenaan dan muncul di majlis perkahwinannya dengan seorang lagi mangsa.

“Kami menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar lelaki itu selepas tembelangnya pecah. Kami juga mendapat maklumat dia akan berkahwin dengan seorang lagi mangsanya beberapa bulan lagi.

“Tunggulah kehadiran kami,” kata seorang mangsa mewakili kumpulan wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nani, 28.

Nani ditemui Metro Ahad bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Miza, 42; Dira, 51, dan bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Alin, 29.

Menurut Nani, tembelang lelaki itu terbongkar selepas dia, Miza dan Dira yang masing-masing berstatus ibu tunggal berhubung antara satu sama lain di laman sosial yang menjadi punca kepada perkenalan mereka dengan lelaki terbabit.

Katanya, mereka mengenali lelaki itu sekitar Ogos tahun lalu menerusi laman sosial dan segala-galanya terbongkar dua bulan lalu.

“Dalam laman sosial itu, Miza dan Dira turut menjadi kenalan saya. Apabila berhubung antara satu sama lain, masing-masing bercerita mengenai ‘drama king’ itu dan terbongkarlah rahsia.

“Dalam menjalin hubungan cinta dengan saya, rupa-rupanya dia turut bercinta dengan dua rakan saya. Taktiknya sama, antaranya menggunakan panggilan diri ‘papa’ dan menagih simpati dengan mengatakan ibunya terlantar di hospital dua tahun akibat koma,” katanya.

Nani berkata, lelaki itu turut merayu supaya diberikan RM15,000 untuk menanggung kos rawatan ibunya.


“Dengan saya dia minta RM15,000, begitu juga Miza dan Dira. Kerana tertipu dengan janji manisnya, sepanjang perkenalan, saya menyerahkan lebih RM10,000.

“Paling menyedihkan, saya sanggup meminjam RM5,000 daripada along untuk diberikan kepadanya,” katanya yang turut mengakui menyerah tubuhnya kepada lelaki itu sehingga kini mengandung dua bulan.

Menurut Nani, satu lagi tembelang yang dibongkar, lelaki yang pada mulanya mengaku bujang itu rupa-rupanya berkahwin.

“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya dan menggantikan dengan ‘telefon buruk’ miliknya. Saya mengesan satu nombor tanpa nama dan menghubunginya.

“Alangkah terkejutnya saya, individu yang saya hubungi adalah isterinya. Isterinya tidak terkejut kerana tahu kerenah suaminya yang banyak skandal dengan wanita, malah pada masa sama mengakui tidak tinggal sebumbung dan akan bercerai,” katanya.

Selepas mengenali satu sama lain sebulan lalu, Nani bersama Miza, Dira dan Alin mengadakan pertemuan dan terbongkarlah lebih banyak rahsia lelaki itu.

“Dalam pertemuan itu Alin mengesahkan sudah bercerai. Walaupun masing-masing sakit hati tetapi apabila bercerita, lucu pula jadinya.

“Ketika menjalin hubungan dengan kami, dia sudah ada isteri. Dengan saya dia janji nak kahwin April tahun ini dan dengan dua lagi ‘kekasihnya’ (Miza dan Dira), dia janji nak kahwin pada Mei dan Jun. Justeru, kami ini empat madulah jadinya,” katanya.

Menurut Nani, dakwaan lelaki itu bahawa ibunya sakit juga dusta semata-mata.

“Kami sudah berjumpa ibunya. Memang dia raja drama sebab ibunya sihat saja di rumah. Kami juga bertemu seorang adik beradiknya dan ternyata dia memang penipu,” katanya.

Nani mengakui ‘tewas’ dengan ayat manis lelaki itu dan kini menyesal.

“Saya pun sukar menyatakan mengapa saya jatuh hati dengannya sebab boleh dikatakan dia masuk dalam kategori kasanova ‘cap ayam’. Nak kata tampan, tak adalah pula, perut buncit adalah.

“Cuma, dia guna ayat manis untuk memikat sehingga saya terpikat. Kini, saya menanggung akibatnya,” katanya.

Bagi Miza pula, dia kerugian kira-kira RM1,000 selepas ‘buta-buta’ menyerahkan wang kepada lelaki itu.

“Lelaki itu memang pandai memujuk rayu. Kerjanya asyik minta wang... tambah nilai kredit telefon bimbit pun minta dengan saya.

“Kira-kira RM1,000 sudah saya beri kepadanya. Selepas tembelangnya terbongkar, saya akan menuntut kembali wang saya,” katanya.

Dira pula berkata, dia kerugian kira-kira RM500 sepanjang berkenalan dengan lelaki itu.

“Eloklah tembelangnya pecah sebab belum apa-apa, sudah terserlah sikap buruknya. Kerjanya asyik cemburu, mengongkong dan memaki saja.

“Nasiblah siapa mangsanya selepas ini. Orang seperti itu tidak akan berhenti menipu dan menyusahkan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Alin mengakui sehingga hari ini dia menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali melepaskan kemarahan dan menuntut wang.

“Saya memang ada menggunakan nombor telefon bekas suami. Justeru, ada wanita yang dikenakan bekas suami menghubungi nombor telefon itu.

“Saya nak buat macam mana. Pekakkan telinga sajalah,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Hasratkahwinsetiapbulan/Article/artikelMA

Friday, March 18, 2011

Pelatih Pulapol Meninggal Dunia Jangkitan Adenovirus

Published: Khamis Mac 17, 2011 MYT 12:19:00 PM
Updated: Khamis Mac 17, 2011 MYT 4:33:45 PM

Pelatih Inspektor dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) Mohd Redzuan Ishak ,26, yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Adenovirus di Hospital Kuala Lumpur di sini, awal pagi Khamis. Allahyarham merupakan mangsa kedua kes jangkitan Adenovirus dan jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Buaya Rawang.-Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis akibat jangkitan Adenovirus, mangsa kedua yang meninggal dunia akibat serangan virus itu bulan ini.

Inspektor pelatih Mohd Redzuan Ishak, 26, yang menerima rawatan di situ sejak seminggu yang lalu, meninggal dunia pada 4.20 pagi ini, demikian menurut polis dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Bandar Sungai Buaya di Rawang pagi ini untuk dikebumikan.Adenovirus mula dikesan menyerang Pulapol pada 4 Mac lepas.

Mangsa pertama, seorang konstabel pelatih lelaki berusia 21 tahun berasal dari Kuala Kangsar, meninggal dunia pada 9 Mac.

Sehingga 8 pagi semalam, 34 orang pelatih dirawat di HKL dan enam di Hospital Sungai Buloh. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/17/mstar_berita/20110317121804&sec=mstar_berita

Tuesday, March 15, 2011

Baby insaf

Baby insaf

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.
BERSYUKUR...pengalaman dipenjara menginsafkan Nur Dhiya.

KUALA LUMPUR: “Cukuplah pengalaman tujuh bulan dipenjarakan di luar negara selepas menjadi keldai dadah,” kata Nur Dhiya Ain Rosman, 20, yang dibebaskan dari penjara Cape Town, Afrika Selatan, 9 Mac lalu.

Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Jalan Tun Sambathan 4, Brickfields, di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada jam 6 pagi hari sama.

Nur Dhiya dipenjarakan di Cape Town selama tujuh bulan bermula 14 Ogos tahun lalu hingga 9 Mac lalu selepas ditahan dan didapati bersalah kerana membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu.

Menurutnya, ketika ditahan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai dadah itu dan terkejut selepas menyedari ditipu rakan baik yang dikenali sejak kecil.

Katanya, dia bersetuju melancong ke Cape Town selepas diajak rakan baiknya itu yang menawarkan tiket penerbangan dan penginapan percuma selama empat hari ke negara itu, tetapi rakannya membatalkan percutian pada saat akhir menyebabkan dia terpaksa pergi seorang diri.

“Rakan saya itu meyakinkan saya akan selamat kerana akan ditemani wakil syarikat yang menguruskan pelancongan percuma itu dan bakal ditempatkan di sebuah hotel mewah selama empat hari.

Selama di sana saya dilayan dengan baik dan apabila tiba saat untuk pulang pada 14 Ogos tahun lalu, seorang wanita yang mendakwa wakil syarikat itu yang menemani saya menyerahkan sebuah beg kecil sebagai sagu hati tanpa diketahui isinya.

“Ketika di lapangan terbang kira-kira jam 10 malam selepas melalui pemeriksaan pengimbasan, saya ditahan pegawai imigresen negara itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam.

Nur Dhiya berkata, sebaik ditahan, dia hanya berdoa kerana tidak mengetahui motif rakan baiknya serta wakil syarikat pelancongan itu berbuat demikian dan hanya mengetahui dirinya dikhianati selepas dipenjara.

“Saya sungguh insaf dengan pengalaman ini kerana pertama kali berjauhan dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini.

“Saya menasihatkan remaja supaya berhati-hati dengan rakan sendiri dan orang yang baru dikenali kerana kebanyakan mereka mempunyai muslihat,” katanya yang dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Tinggi Cape Town memutuskan dia tidak bersalah dalam kes pengedaran dadah.

Menurutnya, walaupun dilayan dengan baik, pengalaman tinggal dalam penjara bersama tahanan warga Afrika amat menginsafkan kerana mereka sering bergaduh menyebabkan dirinya tertekan selain berjauhan orang tersayang.

Harian Metro pada 15 Ogos tahun lalu melaporkan Nur Dhiya ditahan di lapangan terbang Cape Town selepas dikesan membawa 1.2 kilogram syabu dan ditempatkan di sebuah pusat tahanan.

Sementara itu, ibu dan bapanya, Roslah Abd Jani, 44, dan A C Musa Abu Chik, 43, bersyukur kerana mimpi ngeri keluarganya berakhir apabila Nur Dhiya atau lebih dikenali sebagai Baby dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarga.

Roslah berkata, sebelum ini dia tidak boleh tidur malam dan setiap hari berusaha menghubungi Kedutaan Malaysia di Cape Town untuk mengetahui keadaan anak gadisnya itu.

“Saya mengorbankan segala-galanya demi menyelamatkan Baby kerana dia masih muda dan masa depannya masih panjang,” katanya yang menghabiskan ribuan ringgit untuk membebaskan anaknya dengan pertolongan pelbagai pihak.


http://www.hmetro.com.my/articles/Babyinsaf/Article

Friday, March 11, 2011

Dua suspek kena tahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai suspek kejadian menyimbah asid di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Bangsar, baru-baru ini, hingga menyebabkan lapan murid tahun enam cedera dicekup, petang kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 30-an ditahan di Bangsar ketika mereka menunggang motosikal. Ketika ditahan, sebuah botol berisi cecair dipercayai klorin dijumpai dalam raga motosikal mereka.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata penahanan suspek hasil siasatan pihaknya sejak hari kejadian dan pemantauan secara kerap di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 2 petang dan seorang daripada suspek mempunyai enam kesalahan jenayah lampau,” katanya.


Menurutnya, motif serangan masih dalam siasatan dan pihaknya juga menjalankan tugas statik di kawasan berkenaan bagi mengelak insiden terbabit berulang.


Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 2 Mac lalu, lapan murid tahun enam termasuk empat murid perempuan cedera pada muka dan badan apabila terkena cecair dipercayai asid yang dibaling seorang individu tidak dikenali ketika mereka menunggu van sekolah untuk pulang ke rumah.


Suspek menunggang motosikal Yamaha Lagenda melempar bungkusan plastik berisi cecair itu sebelum melarikan diri.

Difahamkan, kejadian khianat itu kes kedua berlaku di sekolah berkenaan manakala kes pertama pada dua minggu lalu mengakibatkan tiga individu cedera termasuk seorang murid.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duasuspekkenatahan/Article/index_html

Saturday, March 5, 2011

‘Susah nak cari makan’

Oleh Norasikin Daineh dan Shuhada Mansor
am@hmetro.com.my

MAHAL...harga daging meningkat mendadak.
MAHAL...harga daging meningkat mendadak.

KUALA LUMPUR: “Harga minyak naik, harga barang pun naik, susah peniaga nak cari makan,” keluh peniaga burger, Asraf Ahmad, 24 berikutan kenaikan beberapa harga barang yang memberikan kesan kepada perniagaan yang diusahakannya di sini.

Katanya, harga sedozen roti burger yang dibelinya sebelum ini RM9, namun baru-baru ini ia naik sehingga RM12.80 sedozen.


“Selain itu, harga sos, mayonis dan kicap turut mengalami kenaikan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di sini mendapati beberapa barang kegunaan harian mengalami kenaikan harga, malah ada beberapa barang makanan utama mengalami peningkatan harga sehingga menyebabkan peniaga serba salah untuk menaikkan harga.


Kenaikan itu dakwa mereka kerana harga ditawarkan pemborong amat tinggi berbanding harga sebelumnya.


“Payah sebab kami nak jaga pelanggan, tapi harga daging naik pula,” kata Kamarulzaman Ghazali, 55, yang kini berada dalam dilema untuk menaikkan harga daging dalam pasaran.

Menurut Kamarulzaman, harga borong bagi sekilogram daging tempatan RM18 dan harga daging import antara RM12 hingga RM13, namun berlaku perubahan harga yang mendadak baru-baru ini.


“Harga baru kami terima dari pemborong semalam RM24.50 bermakna harga daging tempatan naik RM6.50,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kenaikan harga barang membebankan mereka. Menurut Rafei Jamil, 32, harga makanan mentah utama tidak perlu dinaikkan kerana ia akan membebankan.


“Sepatutnya harga makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan tidak perlu naik kerana harga sekarang pun membebankan,” katanya.


Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketika mengulas isu kenaikan harga barangan, berkata keadaan ini sukar untuk dikawal memandangkan sifat tamak sesetengah peniaga yang mengaut keuntungan mudah menaikkan harga barang sesuka hati.


Katanya, sifat tamak peniaga sukar untuk dikikis memandangkan mereka tahu pembeli pasti akan membeli barangan keperluan harian berkenaan.


Menurutnya, bagi menangani masalah ini pengguna mempunyai hak bagi membasmi penularan kenaikan harga barang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011030401494520110304014945/Article/index_html

Thursday, March 3, 2011

Sekolah tutup seminggu ekoran H1N1


PARA pelajar SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang diarah pulang setelah salah seorang dari mereka dijangkiti H1N1.


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini tutup selama seminggu bermula hari ini setelah seorang pelajarnya disahkan meninggal dunia akibat menghidap virus selesema babi (H1N1) pada 24 Februari lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, penutupan sekolah itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan punca wabak H1N1 menular ke sekolah terbabit.

Katanya, kematian pelajar terbabit bagaimanapun hanya dilaporkan kepada pihaknya pada 28 Februari lalu oleh pengurusan sekolah terbabit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

‘Goyang lalok’ rai hari lahir

‘Goyang lalok’ rai hari lahir

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu meraikan hari lahir rakan secara luar biasa, 25 lelaki dan lima wanita ditahan ketika ‘goyang lalok’ dalam satu parti liar dadah dan arak yang dianjurkan mereka di sebuah hotel di Jalan Pudu, Pudu Ulu di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ketika asyik menari dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.


Malah, ada dakwaan mengatakan kumpulan terbabit turut melakukan hubungan seks ketika meraikan majlis hari lahir seorang daripada mereka. Semua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya Eramin 5, methapetamin dan Ecstasy.


Menurut sumber, sepasukan polis bergegas menyerbu bilik hotel bertaraf tiga bintang itu selepas menerima aduan daripada penghuni lain kerana kumpulan terbabit dikatakan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman mereka.


“Ketika serbuan dilakukan, ada segelintir daripada kumpulan terbabit masih menari kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kumpulan terbabit.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, 19 daripada mereka termasuk dua wanita didapati positif dadah. Malah, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah yang digunakan dalam parti berkenaan.


“Mereka semua akan direman sehingga hari ini (semalam) dan akan dihadapkan ke mahkamah esok (hari ini),” katanya.


Mohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Saya menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/2011030201325620110302013256/Article

Wednesday, March 2, 2011

Nik Aziz offers PM a lesson on mosque and Islamicity

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Feb 28: Kelantan Menteri Besar has derided a statement by prime minister Najib Razak criticising the PAS-led state government for having built only two mosques in Kelantan during its twenty years in power.

Nik Aziz (left) says Najib has only exposed his ignorance

In a posting on his popular Facebook page, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat said by tying the number of mosques to a government's Islamicity, Najib had only exposed his deep ignorance about Islam.

Najib, speaking at a school in Kuala Krau, was reported by right wing Malay daily Utusan Malaysia as questioning PAS's Islamic credentials because the latter had only constructed two mosques in the whole of Kelantan in the two decades it has been in power.

In his response, Nik Aziz wondered if Najib would have given a similar view if he were living in Madinah during the time of Prophet Muhammad.

"If he were living during the time of the Prophet (peace and blessings upon him), would he have said such a thing upon discovering that the Prophet had only built one mosque during the ten years he administered Madinah?" asked Nik Aziz.

Nik Aziz added that Najib's thinking had been 'poisoned' by a secular frame of mind, not unlike the ultra-secularist Turkish leader Mustafa Kamal Attaturk, who founded modern Turkey on the ruins of the Ottoman empire which he helped to end.

Nik Aziz also went on to clarify that it was not only PAS which strove in the name of Islam, simply because it adapted such slogans as "Progress with Islam", and stressed that a person's Islamicity should not be measured by the length of one's beard, or his turban or dress.


http://en.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2358:nik-aziz-offers-pm-a-lesson-on-mosque-and-islamicity&catid=34:primary&Itemid=56

Monday, February 28, 2011

Cabul sebelum rotan

Cabul sebelum rotan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

BEGINI...mangsa menunjukkan cara guru terbabit memeriksa mereka.
BEGINI...mangsa menunjukkan cara guru terbabit memeriksa mereka.

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu menjadi ‘doktor’, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan, Jumaat lalu.

Difahamkan, guru lelaki berusia lewat 30-an itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dahulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.

Menurut sumber, ketika guru disiplin itu melakukan rondaan, dia melihat kumpulan 12 pelajar perempuan tingkatan tiga berkenaan berada dalam kelas sebelum memarahi mereka.


“Guru disiplin terbabit mahu mengambil tindakan terhadap semua pelajar berkenaan kerana tidak mengikuti perhimpunan.


“Biarpun semua pelajar cuba menjelaskan keadaan sebenar, guru terbabit tidak mempedulikan alasan itu, sebaliknya memberitahu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap semua mereka sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Sumber berkata, guru disiplin itu dengan bersahaja memberitahu akan memeriksa tahap degupan jantung mereka.


“Dia mendakwa bimbang tahap kesihatan pelajar berkenaan akan menyebabkan mereka pengsan atau mengalami masalah jika dirotan membuta tuli.

“Guru lelaki terbabit memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan. Difahamkan, dia mengambil masa kurang daripada 10 saat untuk melakukan pemeriksaan bagi setiap pelajar pada peringkat pertama,” katanya.


Sumber berkata, disebabkan ketakutan, semua pelajar terbabit akur dengan tindakan guru terbabit.


“Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi.


“Kali ini, dia didakwa memasukkan tangan ke dalam baju semua pelajar perempuan terbabit. Selepas berpuas hati, guru disiplin itu merotan tangan semua pelajar dan meninggalkan kelas berkenaan,” katanya.


Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, pelajar perempuan berkenaan mengadu perbuatan guru terbabit kepada waris.


“Waris yang mendapatkan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.


Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis menahan guru disiplin itu berhampiran sekolah menengah berkenaan, kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu .


Difahamkan, dia direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan selain penahanan guru terbabit.


http://www.hmetro.com.my/articles/Cabulsebelumrotan/Article

Sunday, February 27, 2011

Menteri arah IGP pantau kumpulan Hindraf

Feb 26, 11 4:45pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memantau secara peribadi dan mengambil tindakan tegas jika kumpulan Hindraf mencetuskan kekecohan di negara ini.

"Saya telah minta Ketua Polis Negara memantau dan mengambil tindakan secara langsung...beliau akan bertanggungjawab untuk pastikan gerakan haram ini tidak menjejaskan keadaan dan suasana," kata Hishammuddin ketika ditemui selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf bagi memastikan pertubuhan haram itu tidak muncul kembali.

Hindraf dilapor merancang mengadakan perarakan raksasa di ibu negara esok dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hingga ke Jalan Dang Wangi.

Hishammuddin berkata, Hindraf dilihat cuba mewujudkan suasana seperti di negara Timur Tengah namun ia tidak mendapat sambutan orang ramai.

"Kita tahu niat dan hasrat mereka, kita tahu ada pihak-pihak tertentu yang nak cuba membawa sentimen yang kita lihat berlaku di Timur Tengah ke sini, tetapi keadaan di sini berbeza dan tidak menjurus ke arah itu," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih berdegil untuk menyertai perhimpunan haram itu esok.

Beliau berkata perhimpunan itu tidak mendapat permit polis.

Katanya perhimpunan itu akan memberi kesan buruk terutamanya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam terutama apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

"Kepada pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini, saya ingatkan janganlah diadakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak Surau Baitul Rahman di Taman Perumahan Aman Perdana di Klang.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail berkata ancaman seperti hasutan dan tuntutan tertentu yang melampau memberi kesan tidak baik dan boleh menggugat ketenteraman awam.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/157124

Saturday, February 26, 2011

Pengemis raih simpati di masjid kena berkas


BEGINILAH keadaan beberapa pengemis warga asing apabila ditahan JKM Wilayah Persekutuan dalam operasi di Masjid Zaid Harithah di Gombak semalam.


KUALA LUMPUR - Tangisan kuat beserta air mata yang bercucuran tidak menjadikan kanak-kanak warga asing dengan ibunya yang mengemis di Masjid Zaid Harithah, Gombak dekat sini terselamat daripada tindakan penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Biarpun meronta-ronta untuk cuba melarikan diri ketika didatangi oleh pegawai JKM secara mengejut namun lima wanita berusia di antara 30 hingga 45 tahun dan empat kanak-kanak warga Myanmar itu berjaya dikawal dan ditahan atas kesalahan mengemis.

Malah ada antara mereka yang dilihat seperti cuba merayu kepada pegawai JKM meminta agar mereka dilepaskan dengan bahasa yang tidak fahami.

Menurut Timbalan Pengarah 2, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabar Puteh Mahadi, dalam operasi yang dinamakan Ops Masjid itu, pihaknya menerima aduan daripada jawatankuasa masjid tersebut mengenai kewujudan pengemis-pengemis asing yang meminta sedekah di situ sejak tiga bulan lalu terutama pada hari Jumaat.

Katanya, pengemis di situ bertindak agak agresif apabila ada dalam kalangan mereka yang cuba memaksa jemaah supaya memberikan mereka wang.

"Kesemua wanita yang mempunyai status UNHCR (Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian) itu akan ditempatkan selama 30 hari di Desa Bina Diri Kuala Kubu Bharu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Ibu tunggal tertekan

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal kehilangan kerja berikutan tertekan apabila anak perempuan sulungnya hilang dipercayai melarikan diri dari rumah sejak enam bulan lalu.

Ibu malang yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 37, berkata, anaknya, Nur Amiera Liana, 17, meninggalkan rumah neneknya di Pekan, Pahang, selepas keluar dengan alasan mahu ke pasar malam.


“Saya hantar ke rumah neneknya untuk sementara sebelum proses pertukaran sekolahnya dari Gombak ke Pahang selesai. Dia hanya duduk di situ dua bulan sebelum menghilangkan diri.

“Sebelum Liana menghilang, tidak ada sebarang pertengkaran berlaku. Tapi, kira-kira jam 7 petang pada 28 Ogos tahun lalu, Liana meminta kebenaran daripada neneknya untuk ke pasar malam, tetapi tidak pulang semual ke rumah,” katanya.


Panik dengan kejadian terbabit, beliau sekeluarga mencarinya di kawasan sekitar, namun gagal ditemui.


“Liana tidak ada rakan di kampung, jadi saya agak risau sekiranya berlaku kejadian yang tidak baik memandangkan banyak berita-berita yang tidak elok tersiar di akhbar.

“Saya menghubungi rakan karibnya, tapi saya hanya diberitahu, anak saya kini berada di Kuala Lumpur. Mereka yang selalu berhubung melalui laman sosial Facebook, kini hilang petunjuk selepas anak saya menamatkan akaun laman sosialnya, seperti mengetahui saya sedang mencarinya melalui laman web terbabit,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar.


Sementara itu, Ina, yang sudah membuat laporan mengenai kehilangan anaknya, memohon anaknya pulang kerana rindu dan bimbang akan keselamatan anak pertama daripada empat adik beradik itu. “Saya pernah bermimpi keadaan Liana tidak terurus. Saya berharap dia berada dalam selamat. Nenek dan ayah kandungnya, turut rindu dengannya.

Liana kali terakhir dilihat, hanya berbaju tidur tanpa membawa pakaian dan wang kecuali kad pengenalannya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibutunggaltertekan/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...