Showing posts with label e-Coli Bacteria. Show all posts
Showing posts with label e-Coli Bacteria. Show all posts

Wednesday, December 8, 2010

Pakar Akuakultur Tropika Sahkan Tasik Kenyir Bebas Dari Pencemaran

Published: Rabu Disember 8, 2010 MYT 7:59:00 PM

HULU TERENGGANU: Tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di Tasik Kenyir malah tasik terbesar buatan manusia itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Profesor Dr Faizah Shaharom berkata, kualiti air tasik itu juga tidak berbahaya atau membimbangkan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan semalam.

Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan saintis universiti itu dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri pelepasan peserta pertandingan memancing Piala Kenyir yang melibatkan kira-kira 80 warga negara China di Tasik Kenyir, hari ini yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beberapa akhbar tempatan telah melaporkan air Tasik Kenyir dikhuatiri dicemari bakteria e-coli berpunca daripada sisa kumbahan daripada beberapa rumah bot yang beroperasi di dalam tasik itu, menyebabkan air tasik itu tidak selamat.

Dr Faizah berkata, berdasarkan kajian itu, kepanasan berlaku kemungkinan disebabkan oleh 'thermal bar' iaitu lapisan air yang panas yang sering berlaku di dalam tasik-tasik yang mempunyai kedalaman sehingga 100 meter.

Katanya, sehingga ini ada dua tasik di dunia iaitu di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan yang mengalami masalah seperti itu iaitu lapisan air yang panas yang boleh menyebabkan hidupan air seperti ikan mati.

Bagaimanapun ia tidak memberi mudarat kepada manusia.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata kajian yang dibuat itu mendapati suhu air di tasik berkenaan mencapai kepanasan sehingga 31 darjah Celsius walaupun ketika hujan ataupun pada waktu malam.

"Jadi, sekiranya air di kawasan Sungai Comor itu panas berterusan, kita sarankan pengusaha ikan sangkar yang ada di situ supaya memindahkannya ke kawasan air yang lebih sejuk," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Tasik Kenyir Bakar Mamat ketika ditemui melahirkan rasa kesal terhadap laporan media massa.

"Media tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang tidak benar sehingga boleh membantutkan kedatangan pelancong ke sini dan menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208195422&sec=mstar_berita

Tuesday, December 7, 2010

Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli

TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.
TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.

HULU TERENGGANU: Air Tasik Kenyir di sini, disahkan dicemari bakteria e-coli serta berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kebanyakan rumah bot menggunakan mangkuk tandas jenis cangkung dengan sistem ‘flushing domestik’ manakala air buangan daripada sinki dapur yang mengandungi minyak masak serta sisa makanan dibuang terus ke dalam tasik.


“Kajian dilakukan Universiti Malaysia Terengganu mendapati berlaku peningkatan bakteria e-coli dalam air di tasik itu dan ia boleh menjejaskan sumber dan hidupan air di situ.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kita akan membina tandas dan menyediakan sistem buangan sisa lebih sistematik percuma kepada 37 rumah bot sedia ada serta mewajibkan rumah bot baru menyediakan sistem air buangan sebelum lesen dikeluarkan,” katanya pada sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pangkalan Gawi di sini, semalam.


Pertandingan memancing Kenyir Cup membabitkan 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan diadakan selama tiga hari mulai esok menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000.


Hadir sama pada majlis itu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaini Sulaiman.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti air Tasik Kenyir sentiasa bersih, kerajaan negeri memperuntukkan RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem kumbahan sisa makanan di atas rumah bot terbabit.


Abdul Rahin berkata, pemasangan tandas membabitkan peruntukan RM2,775 setiap unit akan dilakukan mengikut beberapa fasa dan fasa pertama membabitkan 18 rumah bot yang digunakan sempena pertandingan memancing Kenyir Cup nanti.

Menurutnya, dengan pemasangan tandas itu, air kumbahan dan sisa makanan akan disalurkan ke dalam tangki takungan berkapasiti 200 liter.


Beliau berkata, isu pembuangan sisa kumbahan turut dibangkitkan ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Tasik Kenyir sebagai destinasi eko-pelancongan pada mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jun lalu.


“Bagi memastikan flora dan fauna serta hidupan air kekal, perancangan termasuk menyediakan sistem sokongan terutamanya pengurusan sisa kumbahan perlu disediakan agar tidak mengganggu ekosistem sedia ada,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TasikKenyirdicemaribakteriae-coli/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...