Showing posts with label PENGASIH. Show all posts
Showing posts with label PENGASIH. Show all posts

Monday, January 17, 2011

Penghijrahan terbesar

Penghijrahan terbesar

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAKILAWATI ABD RAHMAN
metahad@hmetro.com.my

INSAF... Radhi menandatangani perjanjian menjalani pemulihan sambil diperhatikan pegawai Pengasih, Razak Mohd.
INSAF... Radhi menandatangani perjanjian menjalani pemulihan sambil diperhatikan pegawai Pengasih, Razak Mohd.

KUALA LUMPUR: Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali,33, yang mengaku penangan dadah yang diambil sejak 1997 memusnahkan hidup dan kariernya, memasuki pusat pemulihan kelolaan Pengasih sejak Isnin lalu.

Enggan menuding jari kepada sesiapa, Radhi mengaku semua ini adalah silapnya. Dia tidak kuat melawan najis yang meragut banyak nyawa itu hinggalah berdepan musibah bertimpa-timpa tahun lalu.


Dia tidak mahu tabiat buruknya itu mengecewakan anak tunggalnya, menyebabkan naluri meronta-ronta mahu melakukan penghijrahan terbesar da lam hidupnya.

Berkat dorongan ramai dan atas rasa suka rela, Isnin lalu dia secara rasmi menjadi ahli keluarga baru Pengasih.


“Saya nekad dan memandu sendiri ke Pengasih. Syukur, Allah SWT masih beri saya peluang berpijak dalam industri. Saya sifatkan ini peluang terakhir.


“Sungguh... saya menyesal. Saya asyik ulang kesilapan sama dan sebagai bapa, ia tidak sepatutnya berlaku. Kegagalan rumah tangga, kehidupan peribadi yang kucar-kacir dan ketidakstabilan karier menyedarkan saya.

“Saya tidak mahu anak membesar dalam suasana tidak sihat. Pasti hatinya hancur jika saya hanyut dalam kancah sosial.


“Lima tahun saya hilang daripada industri disebabkan tabiat buruk ini. Pernah sebelum ini saya cuba bebaskan diri daripada dadah dengan mengikuti beberapa program pemulihan, tapi tak berjaya. Mungkin masuk Pengasih jalan terbaik.

“Lagipun Pengasih badan profesional dan diiktiraf pelbagai pihak. April lalu, Pengasih pernah tawarkan saya mendapatkan rawatan tetapi saya tolak kerana yakin mampu mengatasi sendiri masalah ketagihan ini.


“Bagaimanapun, saya gagal dan diharap keputusan yang saya ambil kali ini boleh pisahkan terus saya daripada dadah,” katanya kepada Metro Ahad.


Menjadikan penyanyi tersohor, Jamal Abdillah sebagai mentor, dia yakin usaha disusuli doa pasti membuahkan hasil positif.


Sikap terbuka Jamal sedikit sebanyak menyuntik keberanian dalam hatinya untuk berterus-terang dan telus dengan masyarakat.


“Setidak-tidaknya saya tidak menipu diri sendiri dan peminat. Ramai artis di Malaysia berdepan masalah seperti saya, tapi mereka hipokrit. Mereka sanggup simpan masalah ini sendirian hingga memakan diri sendiri.


“Saya tidak malu mengaku saya ambil dadah. Sebagai penyanyi, saya hak masyarakat dan menjadi tanggungjawab saya berkongsi cerita ini dengan mereka. Saya tidak melihat ia sebagai perkara mengaibkan.


“Sepanjang di Pengasih, saya akan berkongsi pengalaman supaya ia dapat jadi iktibar dan dalam masa sama memangkin semangat penagih tegar lain untuk sama-sama membebaskan diri daripada cengkaman dadah.


“Jika tiada aral, saya akan abadikan pengalaman saya dalam buku berjudul Seksa Dada dan Rock n Roll. Diharap dalam Pengasih nanti saya dapat berkongsi lebih banyak tips dengan Abang Jamal,” katanya.


Radhi berkata, dia berterima kasih kepada keluarga, bekas isteri, Shazlin Sharif, anak, Mohd Rifdhi Muslim, rakan dan peminatnya yang sentiasa memberi sokongan sehingga menguatkan semangatnya untuk menjalani pemulihan di Pengasih.


“Saya juga mahu memohon maaf di atas segala perlakuan dan masalah yang saya timbulkan sebelum ini. Kepada keluarga, rakan, individu dalam industri muzik dan wartawan... maafkan saya,” katanya.


Ditanya pengalamannya di Pengasih, Radhi mengakui pada peringkat awal sememangnya mencabar, namun tekadnya untuk berubah membuatkan dia bersedia mendepani cabaran yang dilalui.


“Mental kena kuat, tetapi saya tenang di sini. Selain mahu meninggalkan terus dadah, saya juga mahu mendalami ilmu agama yang saya abaikan sebelum ini, termasuk belajar mengaji,” katanya.


Pelakon Antoo Fighter ini tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur apabila Warner Music Malaysia sudi melamarnya sebagai artis syarikat rakaman biarpun kerjaya seninya tercalar teruk dek penangan dadah.


Kepercayaan diberikan syarikat rakaman itu secara tidak langsung melahirkan semangat baru dalam dirinya untuk tampil lebih serius selepas ini.


Kata Radhi, dia sudah merakam beberapa lagu dan single akan diperdengarkan selepas kontrak bersama Warner ditandatangani.


“Saya berbesar hati dengan keyakinan diberi Warner. Mereka faham keadaan saya yang memerlukan sokongan mental dan spiritual. Barangkali pengalaman menjaga Jamal selama lima tahun memudahkan mereka berurusan dengan saya.


“Setakat ini saya selesa dengan Warner. Sebelum keluar dengan album penuh, saya akan hasilkan album kompilasi terlebih dulu. Anggaplah ia sebagai salam pengenalan saya apabila kembali aktif di persada muzik tanah air.


“Biarpun bermastautin di Pengasih, aktiviti seni saya akan berjalan seperti biasa. Saya akan menjayakan persembahan dan merakam lagu di studio tetapi dengan kawalan ketat pekerja Pengasih. Dalam keadaan sekarang, saya perlukan orang untuk mengawasi saya.


“Mohon saya pada rakyat Malaysia, doakanlah saya pulih sepenuhnya. Moga keputusan saya masuk Pengasih menjadi ikutan penagih lain,” katanya yang kini menemui cinta baru.

http://www.hmetro.com.my/articles/Penghijrahanterbesar/Article/artikelMA

Thursday, November 18, 2010

Wanita Diingatkan Waspada Dengan Minuman Dicampur Dadah

Khamis November 18, 2010

KUALA LUMPUR: Kaum wanita dinasihatkan berhati-hati dengan pelawaan makan dan minum individu yang baru dikenali kerana dibimbangi bahan tersebut telah dicampur dengan dadah perangsang seks.

Yang Di-Pertua Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi mendakwa, sesetengah wanita terpedaya sehingga menjadi mangsa rogol.

Katanya, pihaknya mengetahui modus operandi tersebut selepas menjalankan proses temuduga dengan beberapa mangsa yang ditempatkan di Pengasih.

"Kebanyakan mangsa terpedaya dengan rakan-rakan mereka sendiri walaupun mereka tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seks.

"Kenalilah pasangan anda, berhati-hatilah dengan orang asing supaya tidak terjebak dalam penipuan ini. Mereka yang berniat jahat sentiasa tunggu saat dan ketikanya untuk memperdaya mangsa. Tip saya ialah berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Aidiladha di sini, Rabu.

Kira-kira 150 warga dan kakitangan Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai ibadah korban itu.

Sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing sumbangan individu dan ahli-ahli keluarga kakitangan Pengasih dikorbankan kali ini.

Mohd Yunus mengingatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati pelawaan daripada mereka yang tidak atau kurang dikenali.

"Pegang dan goncang botol minuman tersebut untuk memastikan sama ada ia bocor atau tidak. Kalau bocor, bermakna sudah ada usaha untuk menyuntik bahan minuman itu dengan dadah atau bahan perangsang seks," jelasnya.

Sementara itu, penyanyi terkenal, Jamal Abdillah yang turut hadir dalam majlis itu menyumbangkan seekor kambing sebagai korban.

Katanya, ini adalah kali keempat dia melakukan korban sempena Aidiladha.

Jamal menyifatkan ibadah korban yang ditunaikannya sebagai pengorbanan untuk mencapai satu kehidupan yang lebih bermakna.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/18/mstar_berita/20101117225301&sec=mstar_berita

Sunday, May 30, 2010

Sukar bendung

2010/05/30

KUALA LUMPUR: Gejala remaja sekolah terbabit dengan dadah sudah dianggap tidak menghairankan kerana berdasarkan kajian penagihan, biasanya bermula pada usia muda seawal 13 hingga 14 tahun.

“Berdasarkan kajian dibuat baru-baru ini oleh Badan Perhubungan Pengasih Sabah dan Sarawak, tiga jenis dadah paling popular digunakan remaja sekolah di sana ialah syabu, Nospam serta ubat batuk.


Nospam atau ubat selsema mudah diperoleh di farmasi dan berdasarkan temu duga dibuat membabitkan empat remaja sekolah yang sudah insaf, mereka menggunakan antara 20 hingga 30 biji sehari diminum dengan air bergas,” katanya.


Menurut beliau, ini menunjukkan gejala pengambilan pelbagai jenis dadah di kalangan remaja sekolah sukar dibendung jika tiada sebarang tindakan lebih konkrit diambil dari sekarang.


Dadah terbabit pula semakin mudah diperoleh kerana remaja sekolah mempunyai rangkaian atau kumpulan sendiri yang sentiasa bersedia membekalkannya pada bila-bila masa.

“Pengasih melihat kemudahan teknologi maklumat disalahgunakan oleh kumpulan remaja sekolah terbabit. Paling mudah, mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan cara lain ialah melalui Facebook.


“Bagi memastikan ketagihan dapat dipenuhi, remaja sekolah perempuan pula sanggup menyerahkan diri masing-masing untuk dijadikan habuan seks atau seks oral sebagai bayaran pakej dadah dipesan, dan ia juga satu daripada penyebab gejala mengandung luar nikah serta buang anak,”
katanya.


Selain itu, kajian Pengasih turut mendapati ada di kalangan anggota sindiket membekalkan dadah kepada remaja sekolah membabitkan remaja lepasan sekolah sama. Golongan terbabit pula dinaungi sindiket lebih besar.


“Ia adalah perniagaan menguntungkan, dan jika tidak dibendung, ia bukan saja bakal memusnahkan masa depan remaja sekolah malah pengedar yang juga terdiri di kalangan remaja sendiri,” katanya.


Menurut Yunus, keluarga juga menjadi punca utama anak remaja mereka terbabit dengan dadah kerana kebiasaannya, keluarga hanya mementingkan intelektual atau akademik anak-anak saja.


Bagaimanapun, keluarga tidak mementingkan aspek emosi anak-anak menyebabkan mereka beralih kepada rakan yang kononnya lebih memahami.


“Memang benar kecemerlangan akademik menjadi tumpuan utama keluarga terhadap anak masing-masing tetapi jika komunikasi dalam hal-hal lain dengan anak kurang, bagaimana mereka mahu merasakan kasih sayang atau keprihatinan keluarga terhadap mereka.

“Jangan pandang remeh perkara itu kerana semuanya bermula dari rumah. Jika remaja mendapat perhatian sewajarnya, sukar untuk mereka terbabit dalam gejala dadah atau sosial lain,” katanya.


Sementara itu, pakar motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, “Di Barat, perbuatan begini (merelakan tubuh diratah lebih daripada seorang lelaki) bagaikan ‘budaya’ di sana. Kini, ia sudah menular dikalangan masyarakat kita malah agak menyedihkan kebanyakannya terdiri daripada yang beragama Islam. Sekiranya tidak dibendung, tidak mustahil perangai jijik ini akan menjadi racun tanpa penawar buat mereka.”

Izuddin nyata terkejut dan menyelar aktiviti jijik dilakukan remaja belasan tahun itu dan berkata pelbagai faktor boleh menjadi pendorong kepada remaja terbabit mencuba perkara yang dilaknat Allah itu. “Salah satu punca kepada masalah itu datangnya daripada keluarga sendiri. Zaman ini, ibu dan bapa sering sibuk mencari nafkah dan kadangkala langsung tidak meluangkan masa terhadap anak sendiri.


“Dek kurangnya perhatian dan kasih sayang, wujud satu ruang kosong dalam jiwa remaja itu.


“Cara mudah untuk menghalang masalah ini daripada berlarutan adalah daripada keluarga sendiri. Ibu bapa harus peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan disusuli dengan perbincangan, nasihat dan langkah pencegahan. “Bagaimanapun, jika tidak dapat dipulihkan juga, tindakan undang-undang adalah yang terbaik. Namun, jangan salah sangka, ia bukan untuk menghukum remaja itu sebaliknya ia cara sesuai untuk memulihkan akhlak agar tidak mengulangi masalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarbendung/myMA/myArticle/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...