Showing posts with label Death Sentence. Show all posts
Showing posts with label Death Sentence. Show all posts

Friday, April 1, 2011

Nangis dihukum mati

Nangis dihukum mati

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.
BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.


Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

“Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.


http://www.hmetro.com.my/articles/Nangisdihukummati/Article

Tuesday, November 9, 2010

Kerajaan Belum Cadang Mansuh Hukuman Mati - Nazri

Selasa November 9, 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan hukuman mati kerana ia akan memberi impak besar kepada sistem perundangan negera, sidang Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat kepada undang-undang jenayah yang tertentu sekiranya hukuman mati mahu dimansuhkan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan menyambut baik apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak yang menyokong supaya hukuman mati dimansuhkan.

"Cadangan itu akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya setelah kajian yang menyeluruh dan penelitian yang rapi dibuat dalam pelbagai aspek dan juga setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bersedia meminda kesemua undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati dengan alternatif hukuman penjara seumur hidup selaras dengan keadaan di India di mana hukuman mati adalah dirizabkan hanya untuk kes-kes yang jarang berlaku.

Kepada soalan Datuk Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Mohamed Nazri berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk mengenakan hukuman mati terhadap perogol.

"Sepatutnya Malaysia harus mengikuti trend dunia untuk mengurangkan jenayah yang mensabitkan hukuman mati.

"Kalau rogol dikenakan hukuman mati bermakna kita menambah (hukuman mati), maka kerajaan tidak mencadangkan untuk melaksanakan hukuman mati kepada perogol," katanya.

Beliau menjelaskan kerangka perundangan negara yang mengekalkan hukuman mati hanya dalam kes jenayah serius dan berat adalah selaras dengan prinsip undang-undang hak asasi antarabangsa.

"Pelaksanaan hukuman mati mandatori di negara ini tertakluk kepada perlindungan tertentu seperti diperuntukkan oleh undang-undang, contohnya perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang dalam Perkara Tujuh Perlembagaan Persekutuan.

"Hak untuk merayu kepada mahkamah lebih tinggi dan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan juga adalah dijamin oleh undang-undang," katanya.

Mohamed Nazri berkata hukuman mati di negara ini juga tidak dilaksanakan terhadap wanita mengandung, individu hilang akal dan individu yang berusia di bawah 18 tahuun semasa perlakuan jenayah itu, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Katanya kerajaan juga melalui agensi-agensi yang berkenaan seperti Jabatan Peguam Negara sedang meneliti kewajaran untuk meminda Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-kes Keselamatan) 1975 bagi tujuan menyelaraskannya dengan Akta 611 serta obligasi antarabangsa Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Kepada satu lagi soalan Karpal, sama ada kerajaan bercadang untuk mengembalikan semula sistem juri yang dilihatnya sebagai sistem yang baik bagi menentukan tiada kesilapan dilakukan oleh hakim, Mohamed Nazri berkata ia boleh dibincangkan kembali sekiranya kerajaan terus mempertahankan supaya hukuman itu dilaksanakan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/9/mstar_berita/20101109130427&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...