Showing posts with label Planet. Show all posts
Showing posts with label Planet. Show all posts

Thursday, December 16, 2010

Planet baru ditemui penyelidik Qatar


LAKARAN artis menunjukkan planet Qatar-1b.


DOHA - Sepasukan ahli astronomi diketuai Qatar bagi mencari planet baru di cakerawala telah menemui sebuah planet yang mengelilingi sebuah bintang yang terletak sejauh 500 tahun cahaya dari Bumi.

Planet tersebut dinamakan Qatar-1b, sempena nama negara Asia Barat itu.

Planet itu sebahagian besarnya terbentuk daripada gas dan 20 peratus lebih besar berbanding Musytari iaitu planet kelima dan terbesar dalam sistem suria.

Yayasan Qatar Bagi Pembangunan Pendidikan, Sains Dan Komuniti semalam memberitahu, penemuan planet baru itu akan dilaporkan dalam jurnal bulanan, Monthly Notices of the Royal Astronomical Society.

"Penemuan planet Qatar-1b merupakan pencapaian yang hebat sekali gus membuktikan komitmen Qatar untuk menjadi pelopor dalam bidang sains inovatif dan penyelidikan," kata ketua bancian sistem planet luar suria yang juga pengarah penyelidikan yayasan berkenaan, Dr Khalid Al Subai.

Seorang lagi ahli astronomi dalam penyelidikan itu, Professor Keith Horne dari Universiti St. Andrews di Scotland berkata, planet Qatar-1b membuat pusingan lengkap mengelilingi bintangnya setiap 1.4 hari bermakna satu tahun di planet itu menyamai 34 jam di Bumi.

Sebahagian planet itu menghadap bintangnya berbeza dengan Bumi yang berputar pada setiap 24 jam yang menyebabkan berlakunya siang dan malam. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Saturday, November 20, 2010

Planet dari galaksi lain ditemui


GAMBAR lakaran artis menunjukkan planet baru yang ditemui ahli-ahli astronomi Eropah di luar galaksi Bima Sakti.


WASHINGTON - Ahli-ahli astronomi Eropah buat pertama kalinya menemui sebuah planet di luar galaksi Bima Sakti yang menempatkan Bumi, menurut satu penyelidikan yang disiarkan kelmarin di Amerika Syarikat (AS).

Planet baru yang mengelilingi sebuah bintang itu lebih besar daripada planet Musytari.

Ia terletak sejauh 2,000 tahun cahaya dari Bumi.

Menurut penyelidikan yang disiarkan dalam jurnal Science Express, planet dan bintang itu dipercayai sebahagian daripada sekumpulan bintang selepas galaksi mini yang hilang ditelan Bima Sakti kira-kira sembilan tahun lalu.

Ahli-ahli astronomi berjaya mengesan planet baru itu yang diberi nama HIP 13044 b dengan menumpukan ke atas pergerakan bintang tersebut.

Planet itu ditemui dengan menggunakan teleskop yang dimiliki Makmal Eropah Selatan di Balai Cerap La Silla di Chile.

Menurut ahli-ahli astronomi, planet itu agak panas kerana ia mengelilingi dekat dengan bintang tersebut.

Planet itu mengambil masa mengelilingi orbit selama 16 hari untuk menamatkan satu pusingan, kata mereka. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Friday, October 1, 2010

Planet digelar Bumi Baru ditemui


LAKARAN artis menunjukkan planet Gliese 581g.

--------------------------------------------------------------------------------


LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.

Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.

Bintang itu diberi nama Gliese 581.

Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.

Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.

Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.

Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.

Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.

Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.

Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.

Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.

Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Wednesday, March 24, 2010

Rupa bumi Marikh


GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan imej rupa bumi planet Marikh.


WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menyiarkan imej beberapa bentuk bumi bergunung-ganang di planet Marikh.

Gambar-gambar itu dihasilkan berdasarkan rakaman kamera Resolusi Tinggi Pengimejan Eksperimen Sains (HiRISE) pada sebuah kapal angkasa penjelajah Marikh miliknya.

Ia turut menunjukkan permukaan Kawah Mojave di bahagian yang dikenali sebagai Xanthe Terra, di tenggara planet itu.

Kawah berkenaan mempunyai keluasan 60 kilometer dan merupakan antara kawah paling baru di Marikh. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...