Showing posts with label Man and Current Issue. Show all posts
Showing posts with label Man and Current Issue. Show all posts

Thursday, August 11, 2011

Banduan penjara di Kelantan dakwa dibogelkan

Banduan penjara di Kelantan dakwa dibogelkan
Ogos 11, 11 3:09pm


Seorang bekas banduan di Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan mendakwa hak asasinya dicabul sepanjang dua minggu penahanannya itu.

NONEAhmad Syauqey Abdul Ghani berkata dia dan 113 banduan lain diarahkan oleh warden penjara untuk berbogel beramai-ramai pada hari dia dihantar ke penjara iaitu pada 23 Jun lalu.

“Saya dalam keadaan takut dan keliru bersama-sama dengan rakan banduan yang lain terus menelanjangkan diri beramai-ramai. Keadaan sedemikian sangat mengaibkan saya.

“Arahan diberi secara berperingkat melibatkan 10-20 banduan pada satu-satu masa. Kami kemudiannya sekitar 20 orang diarah untuk pergi berak. Keadaan ratusan manusia bogel sangat dasyat, memalukan dan di luar perikemanusiaan,” tulisnya kepada Malaysiakini dalam emel.


Bekas sukarelawan dengan pemantau pilihan raya Mafrel itu sempat melakarkan beberapa keping lukisan bagi menggambarkan keadaan di situ.

Katanya, dia dan rakan yang lain kemudian diminta untuk berjalan dalam keadaan telanjang bulat ke kawasan bilik air.

NONE“Kami terpaksa melalui rakan-rakan sel penjara yang lain sepanjang laluan, yang melihat secara jelas keadaan kami yang bertelanjang bulat... Kami (juga) diarahkan untuk berak secara terbuka, secara berbaris di depan satu sama lain,” katanya.

Ahmad Syauqey juga mendakwa tempat kurungan di penjara itu begitu sempit dan berlaku kesesakan.

Hak bersolat

“Keluasan sel ini sekitar 6 kaki x 12 kaki. Kami hanya dibekalkan sehelai selimut, tanpa tilam. Kami juga dibekal satu baldi besar air untuk kegunaan basuh kencing dan berak. Satu bekas kecil air minuman.

“Kami terpaksa berhimpit-himpit dan sebahagian daripada kami terpaksa meletakkan kaki ke atas dinding kerana tidak muat untuk berlunjur. Ramai di kalangan kami tidak dapat tidur kerana kepanasan dan kesesakan,” dakwanya lagi.

Menurut Ahmad Syauqey, sepanjang penahananya itu dia dalam kepanasan kerana hanya ada satu pintu depan dan lubang angin kecil di atas bilik yang menempatkan sepuluh hingga 12 banduan itu.

NONEDakwanya lagi, banduan-banduan yang beragama Islam juga dinafikan hak untuk bersolat dengan sempurna.

“Dengan penyediaan bekas air baldi bulat berukuran melebihi 1½ kaki x 2 kaki, menurut mazhab Syafie secara teori ia boleh digunapakai untuk berwuduk. Namun secara praktikal, hampir mustahil dapat dielakkan daripada air tersebut menjadi air mustakmal, yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan bagi mengambil wuduk,” katanya.

Ahmad Syauqey berkata selepas dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis berhubung layanan tidak berperi-kemanusiaan itu di balai polis Kota Bharu dan bercadang mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Hak asasi Manusia (Suhakam) setelah menghantar emel kepada mereka.

azlanKetika dihubungi, pengarah Penjara Pengkalan Chepa Husni Johari berkata siasatan berhubung dakwaan itu sedang dijalankan.

"Buat masa ini, kami tidak mahu mengulas kerana siasatan sedang dijalankan. Ia akan lengkap tidak lama lagi,” kata Husni.

Ahmad Syauqey ditangkap pada 20 Jun mengikut Seksyen 186 Kanun Jenayah kerana menghalang tugas aggota polis dan di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak sopan di balai polis.

Beliau dikenakan tahanan reman dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa dan dibebaskan pada 5 Julai lalu setelah jaminan dibayar di mahkamah majistret di Bachok.


http://malaysiakini.com/news/172685

Saturday, April 16, 2011

Renjatan jantung Malek Noor


MALEK tidak berhenti mengucap syukur selepas sedar dari pengsan.


MINGGU lalu, jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, rebah di padang bola sepak di Ipoh, Perak selepas mengalami sesak nafas.

Dia dikejarkan ke Hospital Pantai Ipoh dan doktor yang memeriksanya mendapati dua saluran arteri jantung milik penyandang enam kali Mr. Asia kategori heavyweight itu tersumbat.

Ekoran masalah itu, Malek telah diberi rawatan angioplasti iaitu pembedahan untuk membentuk semula pembuluh darah. Keadaannya bertambah baik dan stabil selepas itu.

Ditebak soalan punca serangan tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini masih mencari jawapannya.

“Saya terkejut dengan serangan tersebut kerana menurut doktor kandungan kolesterol dalam badan saya tidak terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sudah beransur sihat dan boleh pulang ke rumah. Pengalaman diserang penyakit jantung memang sukar untuk digambarkan.

Tersumbat

“Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, rasanya seperti mati hidup semula. Sebaik saja sedar, saya hanya mampu mengucap kalimah syahadah sambil menangis,” katanya.

Serangan jantung Badang Asia itu mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana dia bukan sahaja bertubuh sasa bahkan diiktiraf sebagai seorang jaguh bina badan. Malah, dia kini merupakan pengarah eksekutif di sebuah pusat kecergasan.

Namun, insiden baru-baru ini membuktikan manusia yang terkenal dengan rutin bersukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam pengambilan makanan sihat pun masih terdedah kepada serangan jantung.

Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya memberitahu aktif bersukan tidak semestinya sihat.

“Kerap bersukan tidak bermakna anda sihat secara sempurna.

“Ini kerana banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diambil berat selain senaman.

“Benar, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan tetapi ia perlu disokong dengan pengambilan makanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat.

“Memang ada orang yang mengamalkan rutin senaman atau bersukan tiga atau empat kali seminggu, tetapi bersenam sahaja tidak cukup untuk tampil sihat sekiranya kadar kolesterol dalam badan tidak dijaga.

“Begitu juga dengan pengambilan gula, tekanan darah tidak stabil dan merokok,” jelasnya.

Bukan untuk menakut- nakutkan, tetapi serangan jantung di atas padang yang membawa maut sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.


MALEK ceria mendukung anak angkatnya Nik Nur Amalin Aishah Nik Mahmud selepas dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini.


Ini termasuk vokalis kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45.

Popular dengan panggilan Shamrin, arwah dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, November tahun lalu.

Dalam kalangan atlet profesional, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.

Ditanya mengenai punca utama serangan jantung mengejut, Shaiful memberitahu, penyumbatan pada saluran arteri jantung, masalah kongenital dan injap jantung yang sempit boleh mendatangkan serangan tanpa sebarang tanda.

“Kolesterol adalah halangan utama yang mengganggu kelancaran saluran darah di bahagian jantung.

“Terdapat tiga urat besar di jantung kita yang diameternya sekitar tiga atau empat milimeter sahaja.

“Kehadiran lemak sering menyempitkan saluran tersebut dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan perokok dan penghidap kencing manis.

“Bagi dua golongan ini, lemak pada urat jantung mereka mudah rosak dan pecah. Apabila pecah, lemak akan bercampur dengan darah.

Pecah

“Percampuran antara lemak dan darah tersebut menjadikan darah membeku dan bergumpal.

“Gumpalan darah beku tersebut akan menghalang saluran darah dan urat akan tersumbat. Keadaan ini menyebabkan ada kawasan jantung yang tidak menerima darah.

“Akibatnya, jantung boleh mendapat renjatan dan gagal berfungsi. Pesakit pula pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal,” jelasnya.

Tidak hairanlah jika rawatan kecemasan tidak diberikan pada tiga minit pertama serangan, risiko untuk mangsa diselamatkan adalah tipis.

Melihat data kes yang dikendalikan di IJN sepanjang tiga tahun lepas, institut tersebut telah menangani 8,366 kes serangan jantung yang memerlukan pesakit diberi rawatan angioplasti.

Daripada jumlah itu, 24 peratus daripada pesakit berusia bawah 50 tahun dan 80 peratus daripadanya menghadapi masalah kolesterol tinggi.

“Dengan gaya hidup yang serba segera, serangan jantung dalam kalangan umur 25 hingga 27 tahun bukan lagi perkara yang mengejutkan.

“Masyarakat perlu lebih prihatin tentang kesihatan tubuh mereka.

“Jika bahagian tubuh luar yang cedera, kita dapat lihat, tetapi organ dalaman kita tidak tahu sedangkan ia lebih penting.

“Jalani pemeriksaan kesihatan berkala walaupun anda baru berusia 20-an. Jika usia sudah meningkat, kekerapan perlu ditambah kepada enam bulan sekali,” katanya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

‘Meninggal’ 40 minit

‘Meninggal’ 40 minit

Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my

GEMPAR...ahli keluarga lelaki terbabit menunggu di Hospital Seberang Jaya, semalam.
GEMPAR...ahli keluarga lelaki terbabit menunggu di Hospital Seberang Jaya, semalam.

SEBERANG JAYA: Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) gempar apabila seorang lelaki yang diisytiharkan sudah ‘meninggal dunia’ oleh pegawai perubatan, secara tiba-tiba hidup kembali, dalam satu kejadian, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 65 tahun itu dikejarkan ke HSJ apabila tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika bertengkar dengan abangnya.


Dalam kejadian di rumah mangsa di Tanah Liat, kira-kira jam 11.30 pagi semalam, lelaki yang dikenali sebagai Hock bertengkar dengan abangnya berusia 70 tahun sebelum tolak menolak berlaku.

Dalam pergaduhan itu, mangsa tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke HSJ untuk rawatan.


Menurut sumber, ketika menerima rawatan kecemasan di Unit Kecemasan hospital itu, mangsa didapati tidak bernafas dan berikutan itu, dia disahkan meninggal dunia.


Bagaimanapun, kira-kira 40 minit kemudian, mangsa didapati bernafas semula menyebabkan kakitangan di unit berkenaan terkejut sebelum bertindak menghantar mangsa ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Mangsa tidak langsung bernafas ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan dan kira-kira 40 minit kemudian mangsa bernafas semula,” katanya.


Sementara itu, ahli keluarga mangsa ketika ditemui enggan memberi sebarang kenyataan mengenai kejadian itu dan wartawan yang menunggu di hadapan wad ICU melihat isteri dan dua anak lelaki mangsa berbincang dengan doktor mengenai keadaan mangsa.

Kira-kira sejam selepas itu, ketiga-tiganya dilihat meninggalkan hospital selepas melawat mangsa.


http://www.hmetro.com.my/articles/2011041502171220110415021712/Article

Monday, April 4, 2011

Perniagaan ikut syarak

Perniagaan ikut syarak

Oleh HADZLAN HASSAN dan FIRDAUS SAHAT
am@hmetro.com.my

ALIH BIDANG... pejabat Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang.
ALIH BIDANG... pejabat Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang.
FITNAH... Akhil Hayy dituduh menipu.
FITNAH... Akhil Hayy dituduh menipu.

KUALA LUMPUR: “Ana cari makan cara halal, kenapa harus ada pihak yang cuba menidakkan atau memfitnahnya? Jika benar perniagaan yang dijalankan berunsurkan penipuan dan menyalahi hukum syarak, sila kemukakan bukti dan ana sedia bertanggungjawab.

“Memang tiada perkara atau benda yang akan membuatkan semua pihak berpuas hati, jadi tidak hairanlah jika apa saja yang ana lakukan, pasti ada yang tidak kena.

“Bagaimanapun, ingin ana tegaskan di sini, perniagaan yang baru ana mulakan ini tidak berasaskan perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM) seperti yang didakwa kerana kami lebih menitikberatkan perniagaan berteraskan 'trading' atau pemasaran satu tingkat (SLM),” kata artis dan penceramah bebas, Akhil Hayy.

Beliau diminta mengulas tohmahan yang dilemparkan terhadapnya melalui blog kononnya perniagaan yang dijalankannya berteraskan sistem piramid, malah menggunakan kredibiliti sebagai pendakwah untuk ‘cari makan’ dalam perniagaan MLM.


Antara kandungan blog yang mencercanya berbunyi: “Amende mamat kat atas ni angkat tangan macam Ayah Pin? Mintak murah rezeki daripada skim piramid yang dilancarkannya itu ke apa?”

Penyanyi nasyid itu dituduh menjalankan perniagaan membekal dan pengeluar produk minyak wangi dan produk kesihatan untuk orang Melayu yang ketinggalan zaman dan tidak berpelajaran. Dalam masa sama, dia juga didakwa menipu orang Melayu dengan skim piramid yang dilancarkan.

Ketika dihubungi Metro Ahad semalam, beliau berkata syarikatnya Akhil Hayy Network yang beroperasi di Kajang pada mulanya hanya menjual produk kesihatan untuk kaki dan minyak wangi tetapi kini mula mengembangkan operasi dengan memperkenalkan pakej umrah dan haji selain urusan berkaitan insurans.

Metro Ahad yang cuba mendapatkan gambaran sebenar perniagaan penceramah bebas itu di pejabatnya di Kajang semalam mendapati pintu utama pejabatnya lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan dua tingkat itu berkunci kira-kira jam 3 petang.

Setakat ini, katanya, perniagaan yang dibuka secara rasmi 26 Ogos tahun lalu itu diuruskannya sendiri manakala isterinya, Waheeda sibuk dengan aktiviti dakwah.

“Buat masa ini, ana sendiri yang menguruskannya dengan dibantu beberapa kakitangan.

“Bukan dia langsung tidak membantu, tetapi tidak secara menyeluruh kerana ana tidak mahu membebankannya,” kata bekas vokalis kumpulan D’riyadh itu.

Dia yang dihubungi dari Pulau Pinang menganggap dakwaan itu tidak berasas dan sengaja ditimbulkan oleh golongan tertentu yang kurang senang dengan kejayaannya.

Menurut Akhil, dia kecewa apabila ada pihak yang bukan saja mempertikaikan perniagaannya, malah mendakwa gambar pada papan iklannya seakan-akan memohon bantuan daripada Ayah Pin.

“Siapakah dia (Ayah Pin) untuk ana minta pertolongan? Mungkin orang yang memfitnah ana itu lebih kenal Ayah Pin daripada ana kerana tahu cara dan gaya ketua ajaran sesat berkenaan,” katanya berseloroh.

Katanya, jika dia menjalankan perniagaan secara haram, mustahil untuknya mendaftarkan perniagaan dan mempromosikannya melalui laman web.

“Ana bukan bodoh untuk berbuat demikian, malah sebelum memulakan perniagaan, ana sudah berbincang dengan beberapa ulama dan pakar agama bagi mengetahui sama ada perniagaan yang dilakukan ini menyalahi syarak atau tidak.

“Memang ada MLM yang menyalahi (syarak) tetapi bukan perniagaan seperti yang ana uruskan ini,” katanya.

Bukan saja sebagai ahli perniagaan tetapi juga sebagai pendakwah, dia turut dikutuk apabila pihak tertentu mendakwa dia tidak mendapat tauliah untuk berbuat demikian.

“Mungkin ramai tidak tahu ana mendapat tauliah daripada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan kini dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya yang bakal menunaikan umrah bersama isteri, Mawi dan Ikin 8 April ini.

Ditanya sama ada beliau dan Waheeda kini bersiap sedia untuk menerima ‘orang baru’, beliau berkata: “Kami hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan, jadi ana tumpukan perhatian kepada anak ana dan perniagaan yang dijalankan itu.”


http://www.hmetro.com.my/articles/Perniagaanikutsyarak/Article/artikelMA

Sunday, April 3, 2011

Pelajar dipukul hampir dua jam

Pelajar dipukul hampir dua jam

Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

  PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.


http://www.hmetro.com.my/articles/Pelajardipukulhampirduajam/Article/artikelMA

Murid dipukul guru meninggal

ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul seorang guru di asrama sebuah sekolah agama rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu.


Mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya berkata suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.


http://www.hmetro.com.my/articles/Muriddipukulgurumeninggal/Article/artikelMA

Seri Bayu meninggal dunia



GAMBAR terakhir Seri Bayu yang dirakamkan pada 2 Mac lalu.


KUALA LUMPUR - Komposer dan penulis lirik, Jamaludin Sulik atau lebih dikenali sebagai Seri Bayu, 44, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi.

Menurut anak angkat Allahyarham, Sarina Abdul Ghani, 29, Seri Bayu meninggal pada pukul 8.30 malam akibat penyakit saraf motoneuron yang dihidapinya sejak tahun 2004.

"Arwah kritikal sejak tiga hari lalu sebelum dia dimasukkan ke Hospital Port Dickson semalam (kelmarin),'' katanya ketika dihubungi semalam.

Sarina berkata, usaha mereka untuk menghubungi keluarga dan anak Seri Bayu gagal.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Culik kekasih sendiri

SEREMBAN: Seorang graduan sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dikesan menggunakan taktik licik dengan menghamburkan kata-kata manis melalui pelbagai kaedah penyamaran sebelum memperdaya mangsa termasuk menculik dan memeras ugut.

Lebih mengejutkan apabila lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai terbabit 14 kes jenayah di negeri ini serta Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah yang rata-ratanya membabitkan kes penipuan sejak tiga tahun lalu.


Perbuatan suspek terbongkar apabila dicekup polis di Ipoh, Perak, Selasa lalu, ekoran laporan kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun yang juga kekasihnya di bandar ini, sejak minggu lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata penahanan suspek dibuat apabila pihaknya menerima laporan ahli keluarga wanita itu yang didakwa diculik dan diarah memberi wang tebusan RM30,000.

“Berdasarkan hasil siasatan, lelaki berasal dari selatan tanah air itu bekerja dengan seorang ahli keluarga mangsa (kekasih) sejak sebulan lalu selepas melihat iklan di akhbar mengenai kekosongan jawatan sebagai jurujual di sebuah syarikat sistem penggera keselamatan di daerah ini.


“Pada pertengahan bulan lalu, suspek membawa mangsa bercuti di utara tanah air dan menghubungi seorang ahli keluarga wanita itu menyerahkan wang RM10,000 sekiranya tidak mahu dicederakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Menurutnya, ahli keluarga yang bimbang akan keselamatan mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun diberikan suspek, namun wanita itu tidak diserahkan kepada mereka, 21 Mac lalu.

Kata Hamdan, bertindak atas laporan keluarga mangsa, polis mengesan suspek dan wanita berkenaan di sebuah hotel di Ipoh, Perak, kira-kira jam 6.45 petang Selasa lalu.


“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek dikenali sebagai Daniel@Steve@Vincent yang menggunakan pelbagai helah itu mempunyai 14 rekod jenayah membabitkan kes penipuan, peras ugut, curi kenderaan, samun dan pecah amanah.


“Polis meminta orang ramai atau mangsa yang pernah terpedaya dengan kegiatan suspek supaya tampil dengan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Culikkekasihsendiri/Article/index_html

‘Sedia maaf jika dia lupakan ayah’

MUAR: “Saya bencikan dia dunia dan akhirat. Bagaimanapun, saya sedia maafkan jika dia sanggup lupakan ayah kandungnya,” kata Salmah, 54, ibu kandung Azli ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Salmah, tindakannya itu berpunca daripada perceraiannya dengan suami kira-kira 16 tahun lalu.


“Saya ditinggalkan sebatang kara, malah dibiarkan tanpa nafkah untuk menyara anak sedangkan dia (suami) lari bersama perempuan lain.

“Tanpa sebarang sebab atau pertikaian, saya diceraikan melalui surat,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurut Salmah, sejak itu, dia tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk menyara kelima-lima anak termasuk Azli.


Bagaimanapun, Salmah yang berpenat lelah membesar dan menyara anaknya itu tersentak apabila Azli menemui bekas suaminya semula lima tahun lalu dan mempelawa lelaki berkenaan tinggal bersama.

“Tindakannya membuatkan saya jauh hati kerana pengorbanan selama ini langsung tidak dihargai Azli. Tergamak dia membawa lelaki yang pernah menghancurkan hati saya tinggal bersamanya.


“Sejak itu saya sengaja buat cerita supaya Azli tertekan, seterusnya menghalau ayahnya daripada tinggal bersamanya,” katanya.

Azli tinggal bersama bekas suami Salmah di rumah lain menyebabkan ibu tunggal itu tidak mahu ke rumah Azli kerana terlalu benci untuk melihat wajah bekas suaminya.


“Hati saya pedih kerana dia melupakan saya selepas bertemu bapanya, malah bertambah pedih apabila kedua-duanya datang sekali,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011040203204620110402032046/Article/index_html

‘Ini hukuman paling wajar’

‘Ini hukuman paling wajar’

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

SEREMBAN: “Ini adalah hukuman paling wajar dan tidak boleh diringankan kerana kesalahan adalah amat serius apatah lagi membabitkan kepentingan awam,” kata Hakim Amran Jantan.

Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim, 53, yang didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan surat sokongan penjualan pasir, tiga tahun lalu.


Terdahulu, tertuduh yang memakai sut hitam dan kemeja putih hanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan mahkamah.

Amran dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak boleh memberi hukuman lebih ringan berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.


“Hukuman ini sesuai bagi kesalahan dilakukan tertuduh. Jika hukuman ringan dikenakan, maka ia akan memberi gambaran salah kepada masyarakat seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes seumpama itu.


“Selain itu, matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah seperti terkandung dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga tidak akan dicapai,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mustafa yang juga bekas guru didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada M Manimaran, 38, sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan penjualan pasir di sebuah restoran di Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008.


Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Amran bagaimanapun membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan dan Mustafa diarah membayar denda RM20,000 dan wang jaminan RM10,000 pada Isnin depan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Penguasa Kanan Jasmi Buang dan Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya.


Sementara itu, Mustafa yang dikerumuni wakil media sejurus keluar dari mahkamah hanya berkata dia akan membuat rayuan.


http://www.hmetro.com.my/articles/2011040202562020110402025620/Article

Pelawak cabul pelajar diburu

Pelawak cabul pelajar diburu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Na’imah Mohamed
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pelawak berusia 63 tahun yang popular sejak era 70-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa dicabul lebih tiga kali lelaki itu.

Lebih keji, pelawak otai yang lebih memberi tumpuan dalam bidang pengarahan itu dikatakan menyogok sejumlah wang kepada pelajar berusia 13 tahun itu dengan harapan mangsa patuh kepada arahan, selain tidak membongkar kejadian itu kepada ahli keluarga serta orang ramai termasuk ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.


Difahamkan, pelajar malang itu dicabul lebih tiga kali sejak Disember 2010 hingga pertengahan Mac lalu, di dua kediaman berasingan milik ibu saudara mangsa di Kepong dan Klang, selain beberapa kali di luar kediaman berkenaan apabila mereka bertemu.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kira-kira jam 10 pagi semalam.


Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 malam Disember tahun lalu di sebuah rumah di kondominium di Kepong apabila mangsa dicabul di kediaman ibu saudaranya itu.


Beliau berkata, ketika kejadian suspek berkunjung ke rumah berkenaan kononnya melawat ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

“Bagaimanapun, selepas berbual lebih 30 minit, ibu saudara mangsa mendakwa letih dan mahu tidur sebelum mengarahkan suspek berehat dalam bilik tetamu jika tidak mahu pulang.


“Suspek bersetuju sebelum masuk ke bilik berkenaan. Lima minit kemudian suspek keluar semula sebelum memanggil mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan meminta mangsa mengurut badannya,” katanya.

Mangsa pada mulanya menolak, namun bersetuju berbuat demikian selepas dipujuk suspek.


“Sebaik masuk ke dalam bilik itu, suspek dikatakan mencium mulut dan pipi mangsa serta memegang bahagian sulit mangsa.


“Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa berlari keluar dari bilik. Bimbang mangsa mengadu kepada ibu saudaranya, suspek memohon maaf, selain berjanji tidak akan mengulanginya.


“Termakan pujukan suspek, mangsa bersetuju merahsiakan perbuatan itu. Malah, suspek dikatakan menyogok RM100 kepada mangsa sebelum berpura-pura insaf dengan keterlanjurannya itu,” katanya.


Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pertengahan Mac lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah lagi rumah ibu saudara mangsa di Klang.


“Kejadian berlaku dalam tandas di rumah berkenaan apabila suspek meluru masuk sebelum mencabul mangsa yang ketika itu ingin membuang air. Kali ini, bertindak lebih ganas ketika memegang bahagian sulit dan payudara mangsa,” katanya.


Difahamkan, suspek sekali lagi memberikan wang RM100 kepada mangsa untuk menutup mulut.


Biarpun mangsa enggan menerima wang berkenaan, suspek dikatakan meletakkan wang itu di atas meja sebelum meninggalkan rumah berkenaan.


Sumber berkata, disebabkan mangsa masih mendiamkan diri selepas insiden itu, dia dikatakan dicabul lagi suspek setiap kali bertemu ataupun apabila suspek berkunjung ke kediaman ibu saudaranya itu.


Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memberitahu ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan di balai polis.


Katanya, sehingga kini, suspek masih belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.


http://www.hmetro.com.my/articles/Pelawakcabulpelajardiburu/Article

Benci lihat muka anak

Benci lihat muka anak

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.

MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.

“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.


Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.

“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.


“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.


Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.

Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.


Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.

Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.


“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.


“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.


Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.


Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.


Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.


“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.


Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bencilihatmukaanak/Article

Saturday, April 2, 2011

Malek tidak henti menangis



MALEK NOOR menerima rawatan sakit jantung di Hospital Pantai Ipoh sejak kelmarin.


IPOH - Suasana sedih menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam apabila bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar tengah hari semalam.

Mr. Asia sebanyak enam kali itu amat terharu apabila mendapati beliau dikelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor untuk melawat beliau sejak malam kelmarin.

Menurut adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, abang ketiganya itu mula sedar pada pukul 12.15 tengah hari selepas diberi ubat penenang bagi rawatan jantung yang dijalaninya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Shiney Ahuja Dihukum Penjara Kerana Rogol Pembantu Rumah

Jumaat April 1, 2011

Shiney Ahuja dikerumuni wartawan berhubung kes rogol pembantu rumah.

MUMBAI: Sebuah mahkamah di India pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun ke atas pelakon Bollywood, Shiney Ahuja,37, selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada Jun 2009.

Selain rogol, pelakon itu turut didakwa mengugut dan mengurung pembantu rumahnya itu.

Hakim PM Chouhan mendapati pelakon itu bersalah selepas mendengar keterangan daripada pihak polis, tidak hanya merujuk kepada pengakuan mangsa sahaja sebagai bukti, lapor agensi media Press Trust, Rabu.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah di Bollywood itu bagaimanapun membantah hukuman tersebut dan akan merayu di Mahkamah Tinggi Mumbai, menurut peguamnya, Srikant Shivade kepada wartawan.

Mahkamah melakukan persidangan secara tertutup dan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Ahuja yang membintangi beberapa filem Bollywood termasuklah Hazaaron Khwaishein Aisi (A Thousand Desire), Gangster dan Life In Metro.

September tahun lalu, seorang pembantu rumah berusia 20 tahun telah mengadu dirogol dan minta ia dilaporkan kepada polis melalui seorang wanita yang membawanya bekerja dengan bintang filem tersebut.

Akibat laporan itu, Ahuja telah direman untuk siasatan sehingga dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Selepas keluar dari penjara, dia sempat membintantgi filem terbarunya.

Ahuja merupakan pelakon terbaru di India yang ditahan sejak beberapa tahun lalu selepas Sunjay Dutt yang didapati bersalah kerana membeli senjata melalui satu sindiket pengeboman berani mati pada tahun 2007.

Sebelum itu pada tahun 1993, pelakon Salman Khan juga didapati bersalah kerana memburu haiwan yang dilindungi di India. - AFP


http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/4/1/mstar_hiburan/20110331180921&sec=mstar_hiburan

Malek Noor rebah

Malek Noor rebah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.
MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.

IPOH: Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, yang ‘tumbang’ akibat serangan jantung malam kelmarin, dipercayai ada kaitan dengan buah durian kampung yang dimakan bersama rombongan rakan atlet lain.

Difahamkan, Malek sempat menjamah jamuan buah durian selepas makan tengah hari dan melawat ladang rock melon milik koperasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Tanjung Tualang di sini sebelum menyertai perlawanan bola sepak bersama pasukan pilihan Menteri Besar Perak, malam kelmarin.


Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar berkata, Malek sebelum itu dilihat ceria dan bersemangat untuk menyertai perlawanan berkenaan yang berlangsung jam 8.40 malam kelmarin.

Menurutnya, Malek masuk ke padang untuk melakukan sesi pemanas badan dan berjalan menuju ke arah tiang gol stadium untuk memulakan perlawanan.


“Namun, lima minit selepas wisel perlawanan ditiupkan, Malek dilihat seolah-olah rebah namun sempat bergayut pada jaring di pintu gol berkenaan.


“Ketika itulah pengurus keahlian Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir, segera meluru masuk ke dalam padang bersama doktor pakar yang disediakan pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, Malek hanya memberitahu pening lalu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Hospital Pantai, Ipoh.


“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana Malek sempat berseloroh petang kelmarin, menasihati saya supaya jangan terlalu kuat bekerja kerana bimbang diserang penyakit jantung,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang ditemui berkata, Malek mulanya menyangka dia hanya diserang angin dalam tubuh dan tidak mahu dihantar ke hospital.


“Ketika dirawat di hospital, Malek berulang kali memberitahu serangan mendadak dialami berpunca dari panas dan angin dalam badan. Namun, selepas doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit jantung, Malek terus tergamam dan terkejut.


“Saya percaya dia sendiri tidak tahu dia ada penyakit itu, namun saya bersyukur kerana doktor kedua-dua hospital cepat memberi bantuan kecemasan kepadanya,” katanya selepas melawat Malek di wad ICU, Hospital Pantai, di sini.


Menurutnya, Malek baru saja pulang dari mengerjakan umrah 19 Mac lalu dan banyak menghabiskan masa bersama anak angkatnya, Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmod, setahun tujuh bulan.


Sementara itu, tinjauan mendapati Malek yang juga Pengarah Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd dilihat masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.


Pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Ipoh, Doktor Chan Chong Guan yang ditemui berkata, keadaan Malek akan dipantau rapi sepanjang tempoh 48 jam bagi memastikan dia kembali stabil.


Menurutnya, penyakit jantung dialami Malek akibat saluran darah koronari tersumbat tapi belum di tahap serius dan tidak memerlukan pembedahan segera.


“Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana diberikan bantuan kecemasan dan segera dibawa ke hospital. Ketika kejadian denyutan jantungnya terlalu perlahan dan hanya peralatan di hospital dapat menyelamatkan nyawanya.


“Pemeriksaan perubatan dilakukan mendapati tahap kolesterolnya tidak terlalu tinggi dan dia dijangka keluar dari wad ICU selewat-lewatnya esok sebelum dipindahkan ke wad biasa,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/MalekNoorrebah/Article

Friday, April 1, 2011

Lebih ramai pemandu lelaki kemalangan

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Ketua Pengarah Miros Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataan semalam berkata, kajian itu turut disokong statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan sejumlah 244,336 kemalangan membabitkan pemandu lelaki berbanding 103,153 bagi wanita, pada 2009.


Mengambil kira bilangan penduduk, beliau berkata lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Bagaimanapun, katanya, Miros mendapati wanita menunjukkan peningkatan kemalangan yang kurang sihat pada 2009 berbanding 2006.


“Jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan bertambah daripada 26.4 peratus pada 2006 (berbanding lelaki 73.6 peratus) dan telah meningkat kepada 29.7 peratus pada 2009,” katanya ketika mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bahawa wanita memandu sambil lewa di jalan raya.


Ahmad Farhan berkata kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

“Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan,” katanya.


Beliau berkata dari sudut pemanduan, lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita, dan ini menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan seringkali juga “terlebih yakin“ sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan jalan raya kini sering berlaku tanpa mengira jantina. - Bernama


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lebihramaipemandulelakikemalangan/Article/index_html

Dia tak pernah mungkir janji

TELUK INTAN: “Arwah bersungguh-sungguh mahu menghantar saya menunaikan umrah dan haji ke Tanah Suci Makkah sebaik dia selesai menjalani latihan dan mula bekerja kelak. Namun, hasratnya hanya tinggal kenangan pahit,” kata Muntiah Saiin, 45, ibu kepada pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol), Muhammad Bisman Siman, 23, yang meninggal dunia, semalam.

Menurutnya, arwah menyampaikan hajat besarnya itu selepas dia terpilih menjalani latihan sebagai kadet konstabel di Pulapol sejak Januari lalu.


“Arwah tidak pernah mungkir janji. Dia akan kotakan apa dijanjikan, namun semua impian itu terkubur begitu saja.

“Malah, arwah turut berulang kali berjanji mahu menjaga kebajikan semua adik-adiknya termasuk menanggung perbelanjaan persekolahan apabila mendapat gaji pertamanya nanti,” katanya sambil berlinangan air mata.


Muhammad Bisman mangsa ketiga pelatih Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang meninggal dunia akibat jangkitan Adenovirus di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur jam 11.30 malam kelmarin.


Muntiah yang ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tiang Tengah, Bagan Datoh, di sini, berkata, arwah pernah membuat permintaan aneh supaya jangan menangis sekiranya dia meninggal dunia ketika menjalani latihan ataupun ketika bekerja.

“Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur, arwah tiba-tiba memegang tangan seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. “Sebagai ibu saya amat memahami perasaannya. Arwah seolah-olah sudah mengetahui ajalnya semakin hampir dan saya sempat membisikkan ke telinganya memberitahu semua dosanya kepada saya diampunkan. Sebagai seorang ibu hanya saya saja yang tahu betapa peritnya perasaan kehilangan anak,” katanya.


Menurutnya, penderitaan anaknya itu hanya diketahui pada 3 Mac lalu apabila arwah dimasukkan ke wad rawatan rapi berikutan keadaannya kian kritikal selepas muntah-muntah serta cirit-birit.

“Saya yang melawatnya di hospital mendapati arwah sukar bernafas dan sentiasa mengalirkan air mata. Saya menjaganya bergilir-gilir dengan suami, Siman Sappar, 63, di hospital sebelum pulang ke rumah Isnin lalu.


“Namun, saya terkejut apabila diberitahu dia menghembuskan nafas terakhirnya semalam (kelmarin). Saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.


Bapa mangsa, Simanenggan enggan mengulas dan masih kelihatan terkejut ketika menghadiri upacara pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiang Tengah, di sini.


Adik Allahyarham, Dalillah Siman, 13, berkata, arwah seorang abang yang penyayang, periang serta amat bertanggungjawab. Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa semalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Diatakpernahmungkirjanji/Article/index_html

Thursday, March 31, 2011

Selamat bekas suami

Selamat bekas suami

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

CARI...Shafie (kanan) bersama Hafizi mencari barangan berguna selepas rumah mereka ranap dilanda ribut.
CARI...Shafie (kanan) bersama Hafizi mencari barangan berguna selepas rumah mereka ranap dilanda ribut.

ALOR SETAR: Tindakan pantas bekas isteri berjaya menyelamatkan warga emas daripada maut apabila rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya ranap dalam kejadian ribut di Kampung Simpang Empat Kuar, Alor Janggus, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, rumah Shafie Othman, 72, yang didiami bersama anaknya, Mohd Hafizi, 22, runtuh dan hanya tinggal bilik air akibat dilanda ribut selama kira-kira 10 minit.

Bekas isterinya, Che Dah Rashid, 52, berkata secara kebetulan sebelum kejadian, dia ke kampung berkenaan menziarahi rakannya yang tinggal kira-kira 10 meter dari rumah bekas suaminya itu.

“Ketika angin kencang itu, saya melihat Shafie berdiri di depan pintu rumah. Pada masa sama, dinding di sebelah kanannya mula runtuh. Saya menjerit memanggilnya tetapi tidak diendahkan kerana dia mengalami masalah pendengaran.

“Saya berlari ke arahnya dan sebaik saja saya menarik tangannya keluar, rumah itu runtuh. Saya tidak tahu apa akan terjadi jika tidak sempat menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, dia dan Shafie bercerai sejak 14 tahun lalu dan kini dia tinggal di Kodiang bersama suami barunya, namun kerap ke kampung berkenaan menziarahi bekas suami dan anaknya itu.

Dalam pada itu, Shafie ketika ditemui, berkata ketika kejadian dia tidak menyedari dinding rumahnya runtuh kerana tidak mendengarnya.

“Mujur Che Dah sempat menyelamatkan saya. Jika tidak tentu nasib saya lebih buruk,” katanya.

Shafie berkata, dia mendiami rumah PPRT berkenaan sejak 12 tahun lalu dan tidak pernah mengalami masalah walaupun kampung itu kerap dilanda angin kencang.

“Walaupun semua harta benda musnah, saya tetap bersyukur kerana terselamat tanpa kecederaan,” katanya yang menumpang di rumah anak perempuannya, Norhaslinda, 24, di Simpang Empat, Perlis.

Selain mengalami masalah pendengaran akibat ketumbuhan dalam telinga, Shafie turut mengalami masalah mata berselaput menyebabkan penglihatannya kurang.


http://www.hmetro.com.my/articles/Selamatbekassuami/Article

Monday, March 28, 2011

Zul Huzaimy, Isteri Cerai Talak Dua

Isnin Mac 28, 2011

Zul Huzaimy

PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon popular Zul Huzaimy, 33, Nor Dalilah Muhammad, 29 mengesahkan mereka sudah bercerai talak dua dan didaftarkan pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kajang.

Menurut Dalilah sebelum itu, mereka pernah mengalami konflik pada hujung tahun 2009 dan masing-masing telah menetapkan syarat untuk berbaik semula selepas kejadian berkenaan.

"Memang selepas itu Zul banyak berubah dan dia tidak seperti dahulu. Malah selepas penceraian tersebut, Zul berhasrat untuk merujuk semula dan merancang ingin melangsungkan perkahwinan secara rasmi.

"Bagaimanapun, mungkin kami tidak ada jodoh, perancangan itu tidak menjadi dan kami berpisah secara baik. Anak kami, Awal Haziq, 5, pun dah faham dengan keadaan yang berlaku," katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Tambah Dalilah, walaupun umum tidak tahu tentang hal penceraian mereka, rakan-rakan terdekat serta keluarganya sudah pun mengetahui hal tersebut.

Zul bersama Dalilah dan anaknya, Awal. Foto KOSMO!

Berikutan penceraian itu kata Dalilah mereka tidak berhasrat membuat sebarang tuntutan hak penjagaan anak mahupun harta sepencarian kerana kedua-dua mereka sudah bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan bersama.

"Kami tak mahu membawa isu hak penjagaan anak dan pembahagian harta sehingga ke mahkamah kerana ia akan jadi lebih rumit. Tentang nafkah pula, saya tidak kisah jika Zul mahu beri ataupun tidak.

"Rumah yang diduduki kami sebelum ini pula berkemungkinan akan dijual," tuturnya.

Ditanya adakah kemungkinan mereka akan berbaik semula Dalilah memberitahu tidak akan berbuat demikian kerana mereka mahu membawa haluan sendiri.

"Kami dah tidak ada kaitan suami isteri lagi dan hanya akan bercakap tentang hal anak sahaja.

Lagipun saya ada dengar cerita yang dia sudah pun ada seseorang. Apa pun, saya mendoakan kebahagian diri serta kerjayanya," ujar Dalilah.

Sementara itu, Zul gagal dihubungi mStar untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya tentang penceraiannya itu.

Gosip keretakan rumah tangga Zul Huzaimy sudah kedengaran sejak tahun lalu tapi pelakon itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia adalah kisah peribadi yang tak perlu dihebohkan.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/28/mstar_hiburan/20110327190308&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...