Showing posts with label Cyber - Crime and Criminal. Show all posts
Showing posts with label Cyber - Crime and Criminal. Show all posts

Saturday, April 2, 2011

Risau 'dibogelkan' dalam Facebook


MANGSA (kiri) menunjukkan gambar lelaki yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada Michael Chong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Fakulti Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menerima ugutan daripada seorang penggodam internet yang mahu menyebarkan gambar lucah menerusi teknik pertindihan (superimpose) dirinya.

Pelajar tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 20, menerima ugutan itu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Rao dan mendakwa bekerja sebagai pereka laman web.

Devi memberitahu, dia menerima ugutan tersebut selepas mengesahkan permintaan lelaki berkenaan untuk menjadi rakan di laman sosial Facebook pada 24 Mac lepas.

Dia mendakwa, selepas itu lelaki berkenaan bertindak mengambil gambarnya yang ada di dalam album di laman sosial itu serta mencuri alamat akaun miliknya.

“Lelaki berkenaan juga menukar kata laluan akaun alamat laman carian Yahoo! milik saya hingga membolehkan dia mengakses dan menukar maklumat peribadi saya sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pengaduan Awam MCA di sini semalam.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Thursday, March 24, 2011

Cinta RM300,000

Cinta RM300,000

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KECEWA...Azlina (kiri) menceritakan kepada Chong (tengah) bagaimana dia ditipu.
KECEWA...Azlina (kiri) menceritakan kepada Chong (tengah) bagaimana dia ditipu.

KUALA LUMPUR: Akibat ‘mabuk cinta’ dengan seorang lelaki warga Pakistan melalui perkenalan di Internet sejak September tahun lalu, seorang wanita menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian RM300,000.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Azlina, 49, berasal dari Pulau Pinang tidak pernah bersua muka dengan ‘kekasihnya’ itu, tetapi terpesona dengan perwatakan suspek seolah-olah alim dan mampu membimbingnya sebagai suami yang soleh.


Azlina yang bertugas sebagai sebagai kerani berkata, kisah cinta bersama kekasih yang dikenali sebagai Hassan, 50, yang mendakwa berasal dari Atlanta, Amerika Syarikat dan bekerja sebagai ahli perniagaan bermula di satu laman web sosial.

Lelaki berkenaan sentiasa berbicara mengenai hukum Islam dan perhubungan kami berjalan lancar,” kata Azlina ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan MCA, semalam.


Menurutnya, Hassan juga tidak ingin menggunakan kamera web kerana mendakwa dia tidak ingin melihat tubuh badan seperti yang dilakukan lelaki lain kerana ia adalah salah di sisi agama sebaliknya mereka saling bertukar gambar.


Katanya, melalui gambar pasport yang dihantar kepadanya, Hassan menyerupai lelaki warga Pakistan dan mendakwa dia adalah rakyat Amerika dan mempunyai kacukan Pakistan.

“Pada Oktober tahun lalu, dia melamar dan meminta saya berhijrah ke Amerika selepas berkahwin dengannya dan saya pun bersetuju,” katanya.


Bagaimanapun, lelaki itu mula menunjukkan tembelangnya apabila meminta dipinjamkan RM300,000 dengan alasan mengalami masalah kewangan.

Azlina memberikan wang berkenaan selepas mengeluarkan simpanan dan dipinjam daripada keluarga.


“Saya menghantar wang berkenaan secara berperingkat melalui khidmat syarikat penghantaran wang sejak November lalu hingga bulan ini,” katanya.


Azlina berkata, dia menerima panggilan terakhir daripada Hassan pada Khamis lalu, bagaimanapun terkejut apabila dua hari kemudian, seseorang yang mengaku rakan Hassan memaklumkan lelaki berkenaan meninggal dunia di Hospital St Mark, Atlanta, Georgia akibat dibunuh.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 12 kes membabitkan penipuan Internet Afrika direkodkan pihaknya sejak tahun lalu.


“Kami dapati semua mangsa ditipu melalui taktik sama,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/CintaRM300_000/Article

Padah percaya arahan Internet

KUALA TERENGGANU: Terpedaya dengan e-mel yang disangka datangnya dari sebuah bank, seorang lelaki kerugian RM700 apabila dia mengemas kini data akaun bank miliknya mengikut arahan yang tertera dalam Internet, Ahad lalu.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal dari Dungun mengemas kini akaun miliknya melalui Internet dengan mengikut arahan tertera dalam e-mel berkenaan.


Bagaimanapun dia curiga selepas itu kerana sebelum ini bank berkenaan tidak pernah meminta pelanggannya membuat kemas kini akaun melalui Internet dan memberi arahan menerusi e-mel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata mangsa memeriksa akaun simpanannya pada hari berikut dan mendapati ia berkurangan RM700.


“Terkejut dengan kehilangan wangnya, mangsa membuat semakan dengan bank dan diberitahu dia sudah membuat urusan dengan laman web palsu.


“Pihak bank mendakwa tidak pernah mengarahkan pelanggannya membuat kemas kini akaun menerusi internet dan tidak memberi sebarang arahan kepada pelanggannya menerusi e-mel,” katanya.

Beliau berkata, merasa tertipu dengan keadaan berkenaan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Paka pada jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu.


“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tindak balas apabila menerima sebarang e-mel daripada mana-mana pihak untuk mengelak daripada ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila dihubungi pihak bank melalui internet, orang ramai yang merasa curiga mesti menghubungi bank berkenaan untuk mendapat kepastian mengenai kesahihan e-mel diterima,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana capaian kepada sistem komputer tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PadahpercayaarahanInternet/Article/index_html

Thursday, March 3, 2011

Kes tipu perbankan Internet


BERHATI-HATI apabila dihubungi seseorang yang meminta anda mengemaskini akaun bank melalui perbankan Internet.


KUALA LUMPUR – Pelanggan perbankan Internet dinasihatkan supaya berhati-hati kerana penipuan melibatkan perkhidmatan tersebut terutama Maybank2u meningkat lima kali ganda pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah menerima sebanyak 353 kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta membabitkan perbankan Internet.

Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat mendadak berbanding tahun 2009 iaitu polis hanya menerima sebanyak 75 kes membabitkan kerugian sebanyak RM215,131.

“Penjenayah perbankan Internet akan menggunakan teknik phishing iaitu dengan mewujudkan satu laman web palsu sesebuah bank dan menghantar e-mel kononnya mengenai keselamatan akaun (Security Alert).

“E-mel itu meminta pengguna mengemaskini akaun mereka kononnya untuk mengelakkan sebarang penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” kata beliau di sini semalam.

Kamarudin memberitahu, ketika membuat proses kemaskini itu, pengguna akan diminta supaya memasukkan beberapa data peribadi seperti nama, kata laluan dan nombor TAC (nombor empat digit pengesahan transaksi).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Wednesday, February 23, 2011

Penjawat awam terpedaya dengan kekasih 'Mat Salih'

RAUB: Perkenalannya dengan seorang lelaki ‘Mat Salih’ melalui laman rangkaian sosial facebook tidak sampai dua bulan, tetapi sudah cukup membuatkan seorang penjawat awam wanita berpangkat pegawai mempercayai lelaki terbabit sepenuh hati hingga dia kerugian RM10,000.

Mangsa berusia 40-an berkenalan dengan lelaki terbabit pada 1 Januari lalu dan suspek mengaku berbangsa Inggeris berasal dari United Kindom.


Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, sepanjang perkenalan itu, suspek menggoda mangsa dengan memanggilnya menggunakan panggilan manja.

“Pada 14 Februari lalu, mangsa menerima mesej mengatakan suspek akan datang ke negara ini dengan membawa wang yang banyak.


“Pada 17 Februari, mangsa menerima panggilan daripada suspek mengatakan barang yang dibawanya ditahan pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meminta mangsa bercakap dengan pegawai bertugas,” katanya.


Lelaki terbabit memberitahu bahawa mangsa perlu membayar denda sebanyak RM15,000 untuk membebaskan rakannya itu, namun mangsa hanya dapat membayar sebanyak RM10,000.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang berkenaan ke akaun persendirian di sebuah bank di bandar ini sebelum bertolak ke KLIA untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.


Wan Mohd Samsudin berkata, pada 18 Februari lalu kira-kira jam 11.30 malam, mangsa tiba di KLIA dan berhubung dengan pegawai Imigresen di situ tapi diberitahu rakannya itu tidak memasuki negara ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PenjawatawamterpedayadengankekasihMatSalih/Article/index_html

Monday, February 21, 2011

'Hadiah mahal' kekasih siber

SEPANG: Lagi wanita menjadi mangsa cinta Internet, kali ini seorang wanita kerugian RM5,000 selepas terpedaya helah seorang teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sosial sejak Januari lalu.

Lelaki terbabit yang berlakon sebagai kekasih romantis memperdayakan mangsa yang juga seorang warga Singapura berusia 49 tahun apabila memberitahu menghantar barang berharga kepada wanita berkenaan pada awal bulan ini sebagai tanda persahabatan, namun bungkusan itu kini ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Menurut sumber, lelaki dikenali sebagai David Micheal itu berjanji akan menghantar barang kemas dan jam tangan berjenama sebagai tanda perkenalan mereka menyebabkan mangsa termakan kata-kata manis itu.

“Bagaimanapun, selang beberapa hari kemudian suspek memberitahu barang yang dihantar itu tidak tiba tepat pada masanya kerana ditahan kastam Malaysia.


“Pada 10 Februari, seorang lelaki warga Korea menelefon mangsa supaya memasukkan wang RM5,000 atas nama Ross Stephanie yang kononnya Setiausaha Kastam Malaysia bagi melepaskan barang itu,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang itu kerana terlalu percayakan lelaki terbabit.

“Mangsa yang sudah membayar wang itu dan menyangka segala urusan elesai terkejut apabila lelaki terbabit sekali lagi menghubunginya memberitahu barangan itu masih ditahan dan perlu memasukkan RM10,000 lagi bagi menyelesaikannya.


“Mangsa yang mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengan taktik lelaki terbabit pergi ke KLIA bagi membuat pengesahan berkaitan barangan itu,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang berjumpa pegawai menguruskan penghantaran barangan itu terkejut apabila diberitahu bungkusan kotak yang didakwa dihantar lelaki terbabit tidak wujud.


“Ketika itu mangsa menyedari sudah ditipu lelaki terbabit.


“Mangsa membuat laporan di Balai Polis KLIA untuk tindakan susulan,” katanya.


Difahamkan, sindiket penipuan Internet menyasarkan wanita yang lebih berusia dan kesepian bagi menjalankan modus operandi mereka seterusnya bermain-main kata supaya wanita yang baru dikenali ‘jatuh cinta’ kepada mereka.


Mangsa hanya menyedari perwatakan romantis lelaki terbabit lakonan semata-mata apabila ditipu selepas wang diberikan lesap.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hadiahmahalkekasihsiber/Article/index_html

Wednesday, February 16, 2011

Derita fitnah facebook

Oleh Noor Hastikah Hassan dan Nur Qhurratul Ainn Maznee
am@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: “Saya menerima lebih 20 panggilan setiap hari sejak 2 Februari lalu daripada ramai lelaki yang meminta saya melayani nafsu seks mereka.

“Walaupun sudah puas saya mengatakan orang dicari itu bukan saya, tetapi saya masih tetap diganggu sehingga hari ini menyebabkan saya serik menjawab panggilan telefon terutama selepas tengah malam,” kata seorang wanita dikenali sebagai Fyza yang mendakwa menjadi mangsa jenayah siber.


Fyza, 25, berkata selepas tidak tahan dengan gangguan berkenaan, dia memberanikan diri bertanyakan kepada seorang pemanggil dari mana mereka mendapat nombor telefonnya dan terkejut apabila dimaklumkan ia diperoleh dari laman sosial Facebook menggunakan nama Puteri Farah.

Katanya, selepas mendapat maklumat berkenaan, dia mengambil inisiatif untuk mencari individu menggunakan nama Puteri Farah terbabit sebelum tergamam apabila melihat paparan nombor telefon serta nama samarannya di laman sosial itu.


“Ketika membuka laman sosial berkenaan pada 5 Februari lalu, saya mendapati maklumat peribadi dan gambar yang diletakkan bukan diri saya. Saya kecewa dan malu apabila nombor telefon dan nama samaran milik saya.


“Saya mengesyaki ia dilakukan individu yang mengenali saya yang berniat memalu dan menjatuhkan maruah saya.

“Saya tidak pernah meletakkan nombor telefon di dalam akaun Facebook sendiri,” katanya ketika ditemui, semalam.


Sementara itu, tinjauan ke atas laman sosial Facebook milik individu yang menggunakan nama Puteri Farah itu mendapati ia mengandungi maklumat seperti tempat tinggalnya di Butterworth, Pulau Pinang selain pekerjaannya sebagai seorang jururawat.

Puteri Farah itu turut menyatakan dia pernah menyambung pengajian ke Converse College pada 2007 selain menawarkan khidmat seks seperti memuaskan nafsu, urut badan dan batin.


Dalam laman terbabit juga, Puteri Farah menceritakan perihal dirinya yang tidak memilih dan suka berkawan dengan semua orang selain menyifatkan bahawa hidup mesti dinikmati.


Fyza berkata, dia pernah mengadukan hal itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi terkilan apabila jawapan diberikan mereka tidak dapat mengesan individu terbabit.


Disebabkan gangguan berterusan dari individu tidak dikenali selain ingin membersihkan maruahnya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda pada 7 Februari lalu.


“Bagi saya, tukar nombor telefon saja masih tidak cukup kerana saya mahukan pembelaan selain ingin melihat individu melakukan perkara terkutuk itu menerima balasan setimpal atas perbuatannya selain membersihkan nama baik serta maruah saya yang sudah tercalar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Deritafitnahfacebook/Article

Monday, February 14, 2011

Geng ‘ayat-ayat cinta’ Internet tumpas

KUALA LUMPUR: Lima ahli sindiket yang menyamar rakan sembang di beberapa laman sosial sebelum ‘menjerat’ mangsa dengan kata-kata cinta sejak lebih setahun lalu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan elit di Kepong, di sini, pagi kelmarin.

Modus operandi sindiket terbabit yang terdiri daripada warga Nigeria, Thailand, Filipina dan warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk tiga wanita itu dan seorang daripadanya baru melahirkan anak ialah melayan seberapa ramai pelayar dalam laman sosial di Internet menggunakan ayat-ayat cinta dengan tujuan memikat mangsa. Mereka akan menyamar sebagai kenalan dari luar negara.


Apabila mangsa sudah terpikat dan mabuk ‘cinta’, mereka akan memperdaya mangsa kononnya hendak menghantar barangan berharga sebagai tanda cinta.

Ketika proses penghantaran itu akan muncul pula ahli sindiket sama menghubungi mangsa dengan memaklumkan barangan yang dihantar ‘tersangkut’ di lapangan terbang dan perlu membuat bayaran tertentu jika mahu barangan berkenaan dihantar terus kepadanya.


Menurut sumber, rumah mewah yang disewa sindiket terbabit diserbu sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi kelmarin.


Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah teres tiga tingkat itu sebagai markas utama kegiatan mereka, malah seorang wanita yang juga ahli sindiket itu masih berpantang berikutan baru melahirkan anak dua minggu lalu, namun masih melayari laman sembang bagi memerangkap mangsa terbaru.

http://www.hmetro.com.my/articles/Geng__8216_ayat-ayatcinta__8217_Internettumpas/Article

Saturday, February 5, 2011

Masuk perangkap Datuk Kabi

KUALA LUMPUR – Biarpun dalam perintah sekatan daerah, kegiatan penipuan seorang lelaki yang menggunakan gelaran nama Datuk Kabi tiada berkesudahan.

Baru-baru ini, lelaki berusia 30-an yang dikenakan perintah sekatan selama dua tahun di sebuah daerah di Johor itu dipercayai menipu seorang lelaki tempatan dengan menggunakan dua keping cek palsu yang kesemuanya berjumlah RM180,000.

Sumber berkata, kedua-dua cek tersebut dikeluarkan oleh Datuk Kabi kepada mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat insurans di ibu negara bagi urusan pembelian sebuah kenderaan mewah Toyota Alphard bernilai RM180,000.

Penjualan kenderaan mewah itu diiklankan menerusi sebuah laman web di Internet. Datuk Kabi kemudian menghubungi mangsa dan dalam perbincangan itu, suspek mendakwa dia hanya menjadi saksi pembelian kenderaan itu kerana ia akan dibeli atas nama ibunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, selepas bersetuju dengan syarat yang ditetapkan pemilik kenderaan itu, Datuk Kabi pada mula menyerahkan sekeping cek bernilai lebih RM2,000 sebagai wang pendahuluan.

Baki kesemua harga kenderaan itu dibayar melalui cek kedua yang diserahkan kepada mangsa seminggu selepas cek pertama.

Selepas menyerahkan dua keping cek itu, Datuk Kabi menerima kenderaan Toyota Alphard itu daripada mangsa pada 6 Januari lalu.

Namun, kata sumber itu, mangsa mula menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas gagal menunaikan cek pertama yang didapati cek tendang kerana tiada wang di dalam akaun tersebut.

Cek kedua bernilai RM161,000 pula yang diserahkan beberapa hari kemudian kepada pengurus tersebut pula didapati lewat tarikh tunai.

Jelas sumber itu, mengikut perjanjian suspek perlu membuat pembayaran penuh ke atas kenderaan mewah itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh perjanjian.

Katanya, mangsa dan suspek telah berjumpa sepanjang urusan pembelian kenderaan tersebut namun tidak menyedari lelaki tersebut banyak terlibat dalam kes penipuan sebelum ini.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Travers di sini pada awal Januari lalu.

“Polis menumpukan siasatan ke atas cek pertama kerana ia kes tipu manakala bagi cek kedua pula, masih belum terbukti kesalahannya,” katanya yang memberitahu pihaknya belum membuat sebarang tangkapan kerana suspek masih menjalani perintah sekatan.

Datuk Kabi sebelum ini pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan cek mencecah jutaan ringgit dalam urusan pembelian hartanah dan menggunakan cek tendang di beberapa buah negeri di negara ini.

Pada 2 Januari 2009, Datuk Kabi pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang atas tuduhan menipu seorang jurujual melibatkan RM75,000.

Dia didakwa menipu dan memperdaya seorang jurujual, Ng Cheiw Beng, 43, dengan menyerahkan sekeping cek Am Bank (M) Bhd. bertarikh 5 April 2006 bernilai RM75,000 sebagai bayaran membeli sebuah kereta sedangkan cek itu tidak sah. Kes itu masih dibicarakan di mahkamah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya telah merampas kenderaan mewah itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Friday, January 28, 2011

Penipuan Internet: Tiga Rakyat Tempatan Rugi Lebih Setengah Juta

Khamis Januari 27, 2011

LABUAN: Tiga rakyat tempatan, termasuk dua wanita rugi RM567,230 didakwa ditipu kenalan yang dikenali dalam laman web sosial Facebook dan blog yang merupakan kes pertama di pulau itu.

Ketua Polis Labuan Penguasa Saiman Kasran berkata dua wanita yang terbabit merupakan seorang jururawat dan seorang penasihat institut pengajian tinggi kerugian, sementara seorang lelaki merupakan kakitangan kerajaan.

Jururawat itu ditipu RM430,000 pada 18 Nov lepas, kaunselor itu ditipu RM130,430 pada 21 Januari lalu dan penjawat awam pula kerugian RM6,800 pada 22 Januari lepas, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata modus operandi penipuan itu memakan masa hampir setahun dengan menggunakan taktik pujuk rayu sehingga mangsa tanpa berfikir panjang memasukkan jumlah duit yang agar besar ke dalam akaun kenalan mereka ini.

Sebaik menerima wang itu, kenalan baru mereka itu terus menghilangkan diri, katanya.

Beliau berkata unit khas polis Labuan kini sedang mengesan pemegang akaun tersebut bagi membolehkan identiti dalang sindiket itu dikenal pasti. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/1/27/mstar_jenayah/20110127211543&sec=mstar_jenayah

Sunday, January 2, 2011

Cari wang tipu wanita

Cari wang tipu wanita

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

TERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.
TERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.

KUALA LUMPUR: Dia ‘mengayat’ wanita yang tidak mempunyai rupa paras menarik dan mengikis duit mereka sebelum menggunakan wang itu untuk memikat dan menaja gadis cun hingga ramai terperangkap dengan jerat cinta palsunya.

Begitulah taktik licik seorang kasanova ‘cap ayam’ yang tidak mempunyai kelebihan daripada segi paras rupa dan bentuk tubuh, tetapi bijak bersandiwara dan meraih simpati untuk mencari mangsa.

Tembelang kasanova itu didedahkan seorang wanita yang pernah terperangkap dengan ‘cinta palsu’ dijanjikan lelaki terbabit.

Mahu dikenali sebagai Farah, 31, dia mengakui sudah ‘berhabis’ kira-kira RM20,000 untuk kasanova berusia 30-an itu.


“Dia tidaklah hensem, gemuk pula, tetapi ayat cinta yang diluahkan membuatkan saya ‘cair’. Pada masa sama dia mengaku kononnya menghidap penyakit kanser, membuatkan saya bersimpati kepadanya.

“Satu ketika, saya sanggup meminjam daripada bank sebanyak RM20,000 untuk diserahkan kepadanya selepas dia meminta wang itu untuk merawat penyakitnya.

“Dia kata dia sudah tenat dan perlukan wang dengan segera untuk berubat,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurut Farah, selepas meminjamkan wang itu, lelaki terbabit sering mengelak untuk bertemu dan menjauhkan diri.

“Sejak itu saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat siasatan sendiri, termasuk daripada ahli keluarganya, dan terbongkarlah tembelangnya. Rupa-rupanya dia kasanova yang mencari wang dengan menipu orang lain.

“Dia tipu wang wanita yang tak cun dan menggunakan wang itu sebagai modal untuk mencari cinta di kalangan wanita cun.

Wanita cun ditaja habis-habisan... dibawa bercuti dan dibelikan pelbagai barangan berjenama,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana malu diperdaya lelaki terbabit.

Farah yang berkenalan dengan lelaki itu menerusi laman sembang mengakui berjaya mengesan lapan lagi mangsa penipuan kasanova terbabit.

“Selain laman sembang, dia menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Hifi untuk mencari mangsa.

“Dia juga menipu pekerjaan dilakukan, kononnya termasuk dalam golongan profesional seperti doktor dan peguam. Walhal, dia tidak bekerja dan hanya mencari wang dengan menipu wanita,” katanya yang mengenali kasanova itu sejak awal tahun lalu.

Beberapa mangsa lain yang ditemui Farah mengakui kasanova terbabit menggunakan pelbagai nama, antaranya Carl Iskandar, dan turut menggunakan taktik sama.

Malah lebih menyedihkan, ada yang sampai ke tahap menyerahkan kehormatan kepada lelaki itu.

“Yang cun dijanjikan cinta... janji hendak berkahwin sehingga ada yang tergadai ‘body’. Mujur saya tidak sampai ke tahap itu.

“Dia hanya memeras habis-habisan wang saya untuk kepentingan dirinya,” katanya.

Farah mengakui mengenali lelaki itu adalah kesilapan paling besar pernah dilakukannya.

“Saya bukan mahu mendedahkan aib orang, tetapi ini pengajaran untuk wanita lain di luar sana. Jangan terlalu mudah mempercayai lelaki yang dikenali menerusi Internet.

“Jangan percaya dengan lelaki yang kita tidak tahu latar belakangnya. Walaupun dia melutut menagih simpati, biarkan saja kerana saya sudah merasa peritnya ditipu apabila terpaksa ‘mengikat perut’ membayar balik pinjaman yang dibuat, malah masa saya juga banyak terbuang melayan kerenahnya,” katanya.

Farah turut yakin, sehingga hari ini lelaki itu masih bergiat aktif menipu wanita di laman web sosial.

“Ada ahli keluarganya beritahu dia sentiasa ada wang. Bagaimana ada wang jika tidak bekerja?” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Cariwangtipuwanita/Article

Friday, December 10, 2010

Kawal bergaul cara maya

KUALA LUMPUR: Takrifan pergaulan bebas tanpa batasan di zaman kemajuan siber tidak lagi bermaksud bertemu secara fizikal, malah fenomena pergaulan menerusi laman sosial ketika ini turut disifatkan boleh menjerumuskan individu terjebak dalam bencana akhlak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar), berkata pelayar laman sosial selalunya terperangkap mendedah identiti diri dan rahsia menerusi pihak tak bertanggungjawab dengan niat memperdaya.


Menurutnya, apabila mangsa sudah terpedaya hingga sanggup mempamerkan diri termasuk penyerahan gambar tak bermoral sama ada diambil secara sedar atau tidak sedar, pihak yang menganiaya itu akan mula mengambil kesempatan lain seperti ugutan dalam bentuk seks atau wang.

“Bahaya (pergaulan bebas di laman sosial) sama seperti pergaulan bebas secara bersemuka. Secara prinsipnya, sebagai contoh wanita memegang status isteri yang asyik chatting (berbual maya) dengan bukan mahram hingga menaikkan nafsu tetap berdosa walaupun tidak bertemu fizikal.


“Sebenarnya orang yang mampu berinteraksi di laman sosial adalah orang yang ada kepandaian. Tetapi akibat jati diri lemah, orang yang pandai akan menjadi tidak bijak seterusnya mudah terpedaya,” katanya.


Menurutnya, kemajuan teknologi termasuk terciptanya laman sembang sosial seharusnya dimanfaatkan untuk perkara lebih bermakna seperti majlis ilmu, meluaskan pengetahuan atau berguru dengan pensyarah dari jarak jauh.

Katanya, adalah sangat merugikan apabila kita bukan saja ketinggalan, malah menjadi mangsa teknologi daripada kemudahan di laman sembang sosial.


Wan Mohamad berkata, masyarakat kena berpegang kepada prinsip tak boleh bergaul bebas walau apa cara sekalipun dengan gaya hidup yang berubah sepantas teknologi.

“Bagaimanapun, saya nasihat kepada yang terlanjur dan pernah jadi mangsa supaya segera bertaubat. Tinggalkan budaya buruk sebelum hati menjadi keras mendekati Allah.


“Semua pihak perlu menyokong memulihkan kembali kehidupan mangsa kes sebegini. Kita tak boleh terus-terusan mengecam sebab perbuatan itu menyebabkan mangsa akan murung dan berputus asa,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan kes seorang wanita bukan saja ditipu puluhan ribu ringgit, malah sanggup bersekedudukan dengan lelaki warga asing dari Pakistan yang kononnya mahu berkahwin dan memberikan kesenangan kepadanya.


Semuanya bermula melalui perkenalan di sebuah laman sosial pada Julai tahun lalu sebelum wanita dikenali Ida berusia 26 tahun itu jatuh cinta selepas dijanjikan kemewahan oleh lelaki itu yang dikenali dengan nama Malik, 24.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kawalbergaulcaramaya/Article/index_html

Thursday, December 9, 2010

Penangan e-mel wanita England


PENGGUNA Internet dinasihatkan agar lebih berhati-hati sekiranya mendapat e-mel yang mengajak mangsa untuk berkenalan bagi mengelak dari ditipu. - Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU - Sikap miang seorang lelaki warga emas untuk berkenalan dengan seorang wanita England bernama Alice mengundang padah apabila dia bukan sahaja kempunan untuk menatap wajahnya malah kerugian RM2,500 apabila diperdaya satu sindiket Sabtu lalu.

Episod malang mangsa yang merupakan pesara guru tersebut bermula apabila dia menerima satu e-mel yang dihantar Alice pada 2 Disember lalu menyatakan hasratnya untuk berkenalan dengannya. Ketika itu mangsa berada di Bandar Jertih dekat sini.

Mangsa yang teruja terus membalas e-mel tersebut. Dua hari kemudian, Alice sekali lagi menghantar e-mel kepadanya menyatakan hasratnya untuk datang ke negara ini untuk bertemunya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, pada 6 Disember, mangsa menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Alice meminta lelaki itu supaya menghubunginya.

Katanya, sebaik dihubungi, wanita itu mendakwa dia telah ditahan oleh pihak Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa barangan berlebihan dan meminta bantuannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Saturday, November 27, 2010

Penipu Internet

SEREMBAN: Orang ramai diminta berwaspada dengan sindiket penipuan dipercayai didalangi warga asing yang cuba memperdayakan mangsa menggunakan taktik meminta ribuan ringgit untuk memproses transaksi urusan jual beli barangan melalui Internet.

Difahamkan, sindiket licik yang mendakwa menetap di luar negara itu menyasarkan mangsa yang mengiklankan penjualan barang di Internet.


Mangsa kemudian menerima e-mel daripada sindiket yang kononnya bersetuju membeli barangan berkenaan melalui pembayaran secara dalam talian (online) dan meminta mangsa membuka akaun dalam satu sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.

Sejurus mangsa menghantar e-mel tuntutan melalui sistem itu, maklum balas diberikan ahli sindiket menyatakan transaksi pembayaran sudah dibuat melebihi harga barangan dijual. Melalui emel itu, transaksi perlu terlebih dulu menggunakan pihak ketiga iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di luar negara dan mangsa diminta menjelaskan bayaran ribuan ringgit ke dalam akaun diberikan melalui satu ‘sistem penghantaran wang keluar negara’ sebelum diluluskan.


Bagaimanapun, apabila diperiksa, mangsa dimaklumkan pihak berkaitan bahawa perkara itu palsu.


Ini didedahkan penjawat awam yang nyaris menjadi mangsa, kelmarin.

Mohd Hanafi Abd Rahim, 33, ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, perkara itu dikesan sejurus mengiklankan set perabot kerusi jati miliknya yang mahu dijual dengan harga RM2,300 di sebuah laman web tempatan.


“Tidak lama kemudian, saya menerima e-mel daripada seorang pembeli yang memperkenalkan diri sebagai ‘John James’ memaklumkan mahu membeli perabot berkenaan.

“Lelaki yang mendakwa menetap di luar negara itu bagaimanapun meminta saya membuka akaun melalui sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.


“Selepas menghantar e-mel tuntutan kepadanya, saya menerima maklum balas kononnya pembayaran sudah dibuat ke dalam akaun sistem berkenaan iaitu RM4,500 merangkumi kos barangan (RM2,300) dan syarikat perkapalan (RM2,200),” katanya.


Katanya, dia terkejut apabila menerima e-mel daripada syarikat sistem akaun jual beli antarabangsa itu yang menyatakan semua wang itu akan diterimanya, namun perlu dibuat melalui pihak ketiga iaitu sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di United Kingdom, namun perlu menjelaskan RM2,200 terlebih dulu kepada pihak ketiga melalui akaun bank diberikan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PenipuInternet/Article/index_html

Wednesday, November 24, 2010

Kawan sembang 'makan' kawan

PETALING JAYA: Malang bertimpa-timpa. Niat mahu membantu rakan yang baru dikenali melalui laman sembang membawa padah kepada seorang ahli perniagaan apabila dia kerugian RM75,000 selepas diperdayakan tiga individu dipercayai anggota sindiket penipuan.

Oleh Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my Mangsa yang berusia 37 tahun pada mulanya mengenali seorang lelaki Julai lalu dalam laman sembang yang mengaku dia anggota polis dan memerlukan wang untuk menguruskan polisi insurans yang didakwa milik bapanya yang baru meninggal dunia bernilai RM1 juta.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa memasukkan wang RM30,000 ke dalam akaun lelaki terbabit yang berjanji akan membayar kembali wangnya selepas segala urusan selesai.

“Bagaimanapun, selepas wang terbabit dimasukkan mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada lelaki terbabit dan ketika dia menanti jawapan itu seorang wanita pula menghubunginya.


“Wanita itu mendakwa dia seorang pegawai daripada syarikat insurans dan memberitahu anggota polis yang dikenali mangsa sudah meninggal dunia, namun dia ada meninggalkan wasiat untuk mangsa,” katanya.


Menurutnya, wanita itu memberitahu mangsa yang dia terpaksa membayar yuran untuk memproses wasiat yang ditinggalkan lelaki terbabit.

“Wanita terbabit meminta mangsa memasukkan lagi RM30,000 ke dalam satu akaun dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang seperti diminta.


“Mangsa memasukkan wang berkenaan beberapa kali ke dalam akaun itu, bagaimanapun selepas beberapa lama menunggu tiada sebarang jawapan daripada wanita terbabit,” katanya.

Katanya, mangsa menghubungi wanita terbabit dan dimaklumkan dia baru lepas bersalin dan meminta mangsa bersabar.


“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kakitangan sebuah bank dan memberitahunya segala proses sudah siap dan cek untuknya sudah dikeluarkan.


“Bagaimanapun, wanita terbabit meminta mangsa memasukkan RM7,000 lagi kononnya untuk pembayaran yuran transaksi dan meminta dia menunggu panggilan selepas segala proses selesai,” katanya.


Arjunaidi berkata, mangsa sekali lagi mengikut arahan diberikan, namun selepas beberapa lama menunggu dia langsung tidak menerima sebarang khabar atau panggilan daripada wanita terbabit.


“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis, kelmarin selepas dia gagal menghubungi semua suspek. “Berikutan itu, dia mengalami kerugian RM75,000 keseluruhannya dan polis percaya ini sindiket yang merancang untuk menipunya,” katanya.


Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kawansembang_makan_kawan/Article/index_html

Tuesday, November 23, 2010

PAS: Panduan siber untuk buta, pekakkan rakyat

Nov 22, 10 2:36pm

PAS menyifatkan tindakan kerajaan yang mahu memperkenalkan garis panduan berkaitan hasutan dalam dunia siber sebagai satu lagi usaha untuk membuta dan memekakkan rakyat untuk mendapat maklumat sebenar.

Ketua penerangannya Idris Ahmad mendakwa, tindakan itu lebih kepada usaha untuk membendung "maklumat penyelewengan" kerajaan BN daripada diketahui rakyat.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu"Seperti yang kita sedia maklum Umno-BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini.

"Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini, walaupun mereka mengupah individu untuk melemparkan fitnah kepada PAS dan Pakataan Rakyat," katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan berkata, garis panduan yang memberi definisi terperinci mengenai kesalahan hasutan dalam internet akan diperkenalkan dan dijangka siap minggu ini.

internet media and print mediaTanpa menyatakan bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata, ia sedang diperhalusi.

Dalam kenyataan hari ini, Idris mempersoalkan, tidak cukup lagikah "kongkongan" terhadap rakyat melalui akta sedia ada seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Hasutan.

"Kerajaan boleh bertindak mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Adakah salah rakyat pada hari ini mendapat maklumat yang benar supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat untuk melantik pemegang amanah khazanah di negara ini?" soalnya lagi.

Menurut Idris, jika maklumat yang didedahkan berkaitan dengan rahsian ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa, kerajaan masih boleh bertindak dengan akta sedia ada.

http://malaysiakini.com/news/148824

Akta siber: Kerajaan mahu rakyat buta, pekak

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Nov: PAS mendakwa tindakan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan garis panduan, definisi hasutan kepada pengguna internet sebagi satu lagi usaha untuk 'membuta dan memekakkan' rakyat.

Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, tindakan tersebut lebih kepada usaha menyekat maklumat sebenar sampai kepada rakyat.

"PAS berpandangan tindakan ini lebih kepada usaha untuk membendung maklumat penyelewengan kerajaan BN.

"Umno BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini.

"Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi, seluruh jentera Umno sudah tidak bermaya, dan hanya bergantung kepada media radio dan televisyen sahaja.

Malahan setengah tempat ujarnya, Umno terpaksa menswastakan program penerangan melalui NGO yang pro mereka agar boleh menarik orang datang.

"Jika tidak, orang tidak mahu datang jika atas lambang umno.

"Sebab itu tidak hairan kepada kita BN sudah membuka peluang kepada NGO untuk bersama BN dalam mesyuarat majlis tertinggi.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan itu dengan asas bahawa telah banyak akta-akta yang diwujudkan untuk mengatasi masalah tersebut.

Ianya seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan.

"Kerajaan boleh bertindak mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju jika tindakan diambil kepada mereka yang mendedahkan maklumat ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa.

"Tetapi jika maklumat yang didedahkan ialah penyelewingan yang merugikan negara dan rakyat, kenapa perlu kerajaan takut untuk menghadapi penghakiman yang akan dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya umum akan datang," soalnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29520:akta-siber-kerajaan-mahu-rakyat-buta-pekak&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, November 20, 2010

Penggodam M'sia ditahan 'curi' 400,000 kad kredit

Nov 19, 10 10:42am

Seorang penjenayah siber Malaysia dikatakan berjaya menggodam rangkaian komputer Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit, kata pejabat Peguam Negara di New York.

cyberterrorismLin Mun Poo, seorang warga negara Malaysia ditahan 21 Oktober lalu selepas memasuki Amerika Syarikat dihadapkan di mahkamah juri, semalam. Beliau dituduh atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika di cawangan Cleveland, Ohio dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Beliau juga didakwa kerana memecah beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.

Poo yang kini dalam tahanan untuk perbicaraan dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat," kata pejabat Peguam Negara Amerika.

internet media and print mediaPasukan perkhidmatan perisikan Amerika memberkas Poo yang berusia 32 tahun itu beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

“Ejen perisikan merampas komputer bimbit Poo yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman," katanya.

Ketua perkhidmatan perisikan Amerika, Brian Parr, berkata antara kegiatan Poo yang dikesan ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang 'mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif'.

- AFP


http://malaysiakini.com/news/148586
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...