Showing posts with label Tourist - Express Bus. Show all posts
Showing posts with label Tourist - Express Bus. Show all posts

Sunday, March 20, 2011

Dengar bunyi pelik

Dengar bunyi pelik

Oleh ARIFIN SALLEH
am@hmetro.com.my

TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.
TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.

ALOR GAJAH: “Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan.”

Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.

“Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk,” kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.

Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

“Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

“Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

“Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

“Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

“Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain.


http://www.hmetro.com.my/articles/Dengarbunyipelik/Article/artikelMA

Thursday, December 30, 2010

Bas 2 tingkat tidak sesuai perjalanan jauh

PETALING JAYA: “Cadangan memperkenalkan lesen memandu khas bagi bas dua tingkat dan high decker tidak praktikal,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak.

Sebaliknya beliau berkata, sepatutnya bas berkenaan tidak boleh digunakan sebagai bas perjalanan jauh di negara ini kerana bentuk muka bumi yang tidak sesuai seperti berbukit-bukau.


“Bas jenis itu hanya sesuai digunakan sebagai bas dalam bandar kerana jika dipandu mendaki bukit tinggi akan mengganggu keseimbangan bas lebih-lebih lagi ketika dipenuhi penumpang dan akan membahayakan semua yang berada dalam bas.

“Saya berpendapat syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas dua tingkat ini hanya ingin mengaut keuntungan kerana bas jenis itu mampu memuatkan lebih ramai penumpang sedangkan ia tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh,” katanya ketika ditemui di pejabat TWU di sini, semalam.


Justeru, Zainal mencadangkan supaya penggunaan bas dua tingkat sebagai bas perjalanan jauh di negara ini diharamkan untuk mengelakkan lebih banyak kemalangan maut.


Beliau mengulas cadangan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) supaya kerajaan menimbangkan lesen khas bagi bas dua tingkat seperti lesen lori di negara ini bagi mengurangkan kemalangan maut berpunca daripada kekurangan kemahiran pemandu. Sementara itu, Zainal mendakwa alat ganti tiruan kini antara faktor utama kemalangan membabitkan bas ekspres di negara ini, malah ia sudah lama berlaku.

“Penggunaan alat ganti seperti itu sudah berleluasa di kalangan syarikat bas kerana ia lebih menjimatkan kos selain mudah didapati,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bas2tingkattidaksesuaiperjalananjauh/Article/index_html

Tuesday, December 28, 2010

Dua parah bas ekspres terbalik

RAUB: Seramai 39 penumpang bas dua tingkat Mahligai Ekspres yang dalam perjalanan ke Klang dari Kota Bharu, Kelantan, menempuh detik cemas apabila bas itu terbabas dan terbalik, di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, dua penumpang, Wan Roshani Yacoob, 32, serta Muhamad Yusri Abdul Latif, 34, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raub (HR) untuk rawatan.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Shamsuddin Wan Osman, berkata bagaimanapun, Wan Roshani terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan akibat kecederaan di perut.

Menurutnya, Muhamad Yusri dikatakan masih menerima rawatan lanjut di HR akibat kecederaan di kepala dan patah tulang rusuk manakala baki penumpang bas berkenaan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Katanya, siasatan awal mendapati, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kerana ia berlaku di permukaan jalan yang lurus manakala keadaan cuaca ketika itu baik.


Wan Samsuddin berkata, siasatan turut mendapati bas berkenaan baru sebulan beroperasi.

“Ujian air kencing turut dilakukan ke atas pemandu berusia 46 tahun itu dan keputusannya didapati negatif namun siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Menurutnya, pada masa sama, tiga penumpang bas ekspres sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Benta, Lipis, kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, tiga penumpang terbabit didapati positif dadah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaparahbasekspresterbalik/Article/index_html

Bas ekspres terbabas, enam cedera

Dis 26, 10 5:00pm

Enam cedera, dua daripadanya patah tulang rusuk apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas di KM363, Jalan Raub-Bentong, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, bas ekspres Mahligai berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa 39 penumpang.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing bukit berdekatan.

Katanya penumpang yang mengalami patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sementara empat lagi penumpang menerima rawatan di Hospital Raub.

"Penumpang selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di Temerolh hari ini.

Katanya hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu bas mendapatinya bebas dadah.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151708

Wednesday, December 22, 2010

Pesawat Tentera Thai Bawa Pulang Mangsa Kemalangan Berlepas Ke Bangkok

Rabu Disember 22, 2010

KUALA LUMPUR: Mayat 25 pelancong Thai yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lepas dibawa pulang dengan dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand, Rabu.

Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang di sini pada pukul 5 petang.

Seorang daripada 10 pelancong Thai yang cedera dalam kejadian itu juga dibawa pulang ke Bangkok menerusi penerbangan itu.

Kesemua mayat itu dibawa dengan sebuah treler dan sebuah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan tiba di Subang pada 3.30 petang.

Tiga mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Bukit Kayu Hitam untuk dihantar ke Haadyai manakala enam lagi masih menerima rawatan di Ipoh.

Kemalangan terburuk dalam sejarah negara itu turut mengorbankan pemandu bas dan pemandu pelancong, kedua-dua warga Malaysia. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/22/mstar_berita/20101222173215&sec=mstar_berita

Pesawat khas bawa pulang 25 warga Thailand

IPOH: Jenazah 25 rakyat Thailand yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, kelmarin dibawa pulang ke negara asal mereka dalam tempoh terdekat menggunakan pesawat penerbangan khas.

Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangrana berkata, pihaknya berusaha supaya penerbangan khas ke Bangkok itu berlepas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.


“Permohonan dibuat kepada kerajaan Thailand supaya pesawat khas diterbangkan ke Malaysia bagi tujuan itu.

“Segala persediaan termasuk urusan dokumentasi dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan proses membawa pulang jenazah dibuat dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika melawat mangsa yang cedera dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.


Dalam kemalangan bas terburuk dalam sejarah negara jam 11.40 pagi kelmarin, 27 daripada 37 penumpang bas persiaran dua tingkat itu terbunuh, selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh pembahagi jalan lalu terbalik, sebelum terhumban dalam longkang di laluan bertentangan selepas terbabas ketika melalui selekoh tajam.


Daripada jumlah itu, 25 maut ialah pelancong Thailand, manakala dua lagi rakyat tempatan, pemandu bas dan pemandu pelancong. Jenazah pemandu bas, Omar Shahidan, 48, dan pemandu pelancong, Soonkorn a/l Kian, 38, sudah dituntut keluarga masing-masing.

Difahamkan, Kedutaan Thailand membawa waris mangsa dari Bangkok menerusi penerbangan komersial pagi ini untuk proses pengecaman mayat di Ipoh. Seramai 10 mangsa yang terselamat masih dirawat di beberapa wad termasuk Duranee Songserm, 59, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 11 mayat ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, enam di Hospital Batu Gajah dan masing-masing empat mayat di Hospital Sungai Siput dan Hospital Hulu Kinta.


Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pelesenan, Kementerian Pelancongan, Kudratullah Fatimy Afandi berkata, pihaknya memberi surat tunjuk sebab kepada syarikat SK Murni Travel and Tours berhubung kemalangan itu.

Katanya, syarikat itu diberi masa tujuh hari memberi laporan lengkap mengenai kemalangan terbabit.


“Kami akan mendapatkan laporan daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis mengenai punca sebenar kemalangan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pesawatkhasbawapulang25wargaThailand/Article/index_html

Tiada isu jalan licin

IPOH: Kemalangan terburuk dalam sejarah negara yang mengorbankan 27 nyawa kelmarin berpunca daripada sikap pemandu atau masalah mekanikal dan bukan disebabkan jalan di kawasan kejadian licin akibat terdapat tumpahan atau tompokan minyak.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, dua kemungkinan itu dibuat berdasarkan siasatan awal dilakukan pihaknya di lokasi kejadian di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang di sini.


“Saya ingin tegaskan bahawa polis antara pasukan terawal tiba di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tempat (jalan) itu kering. Selepas bas diangkat, baru nampak kesan tumpahan minyak berpunca daripada bas itu sendiri,” katanya sekali gus menafikan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu mengaitkan kemalangan itu berlaku disebabkan terdapat tompokan atau tumpahan minyak atas jalan di lokasi kejadian.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam, beliau berkata, hasil siasatan awal juga, pihaknya menumpukan kepada faktor pemandu atau masalah mekanikal sebagai punca kemalangan.


Menurutnya, polis menjalankan siasatan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi menentukan punca sebenar kemalangan itu. “Polis sudah mengarahkan kedua-dua pengusaha atau wakil San Travel Holidays dan SK Murni Travel & Tours datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk memberi keterangan bagi menentukan siapa pemilik sebenar bas itu.


“Keterangan kedua-dua wakil syarikat itu penting untuk mengetahui sama ada bas itu mempunyai pemandu kedua atau pemandu pelancong rakyat tempatan yang terkorban itu turut bertindak sebagai pemandu kedua selain mengetahui jadual perjalanan rombongan 35 rakyat Thailand itu,” katanya.

Katanya, polis sudah dimaklumkan waris dan ahli keluarga rakyat Thailand semua mangsa yang terbunuh dijangka tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini tengah hari ini bagi membuat pengecaman ahli keluarga mereka.


Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk mengkaji melakukan penambahbaikan jalan raya Simpang Pulai-Cameron Highlands terutama di laluan Kilometer 15.

Pengarahnya, Datuk Dr Safry Kamal berkata, walaupun pihaknya berpendapat jalan raya berkenaan selamat digunakan, JKR bersedia melakukan penambahbaikan di kawasan terbabit seperti menambah papan tanda amaran serta memasang alat mengurangkan kelajuan kenderaan.


“Daripada segi struktur dan binaan jalan, laluan berkenaan adalah baik kerana JKR melakukan penyelenggaraan setiap bulan manakala satu pasukan pemantau sentiasa berada di situ setiap hari,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadaisujalanlicin/Article/index_html

Struktur bas dua tingkat bukan penyebab utama

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berpendapat struktur bas dua tingkat tidak seharusnya dijadikan penyebab utama kemalangan maut yang meragut 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cemeron Highlands, kelmarin.

Yang Dipertuanya, Tajudin Mohd Yunus berkata, sebaliknya kemalangan ngeri itu dapat dielak sekiranya had laju dan peraturan ditetapkan dipatuhi dengan cara pemanduan berhemah.


“Tidak adil menilai hanya dari segi struktur bas semata-mata, kerana tidak kira sama ada bas satu atau dua tingkat sekiranya dipandu dalam keadaan baik perkara seperti ini dapat dielakkan.

“Ini terbukti kerana ratusan bas dua tingkat yang dimiliki ahli Pembawa dapat dikendalikan dengan baik dan membawa penumpang dengan selamat biarpun melalui jalan berbukit dan berselekoh yang banyak terdapat di laluan Pantai Timur dan Utara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan bas bertingkat di laluan sukar termasuk kawasan berbukit dan bercerun bagi mengelak kemalangan ngeri berlaku. Kajian itu dikatakan perlu secara menyeluruh bagi mengelakkan kemalangan yang meragut nyawa ramai penumpang tidak berulang. Laluan seumpama itu juga dikatakan memberi kesan tidak baik terhadap bas yang berbadan lebih tinggi yang mungkin menyebabkan kemalangan berulang beberapa kali di negara ini.


Tajudin berkata, kemalangan meragut nyawa boleh dielak sekiranya bas dipastikan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dengan diselenggara secara berkala serta pemandu mematuhi had laju.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Strukturbasduatingkatbukanpenyebabutama/Article/index_html

Pemandu kakitangan San Express Holidays

JITRA: Syarikat SK Murni Travel & Tours (SK Murni), yang berpangkalan di sini, semalam, menafikan pemandu bas persiaran dua tingkat terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, Perak yang mengorbankan 27 mangsa kelmarin sebagai kakitangan syarikat itu.

Pengarahnya, R Shanmugan berkata, pemandu terbabit, Omar Shahidan, 48, antara mangsa yang maut dalam kejadian itu adalah pekerja syarikat San Express Holidays Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kangar, Perlis.


Menurutnya, semua urusan pakej pelancongan, pengangkutan pelancong dari Thailand serta pemandu diuruskan San Express Holidays.

Bas persiaran berharga RM300,000 itu adalah milik bersama SK Murni dan San Express Holidays. Kita membuat keputusan untuk berkongsi modal membeli bas itu kerana tidak layak menerima dana pelancongan Kementerian Pelancongan sebanyak RM900,000 kerana tidak melepasi syarat peratusan status Bumiputera ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, kos penyelenggaraan bas itu turut ditanggung San Express Holidays dan ia turut ditempatkan di ibu pejabat syarikat itu di Kangar.


Akhbar semalam melaporkan Omar pekerja SK Murni dan bas itu dimiliki San Express Holidays. Akhbar turut melaporkan Kementerian Pelancongan sudah memulakan siasatan terhadap SK Murni berhubung kejadian itu.

Shanmugan turut mengesahkan pihaknya sudah dihubungi wakil kementerian dan sudah menjelaskan perkara sebenar.


Sementara itu, Pengarah Urusan San Express Holidays, Sor Eng Hock, ketika dihubungi mengesahkan Omar kakitangan mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PemandukakitanganSanExpressHolidays/Article/index_html

Monday, December 20, 2010

27 Terbunuh Kemalangan Bas Di Simpang Pulai

KEMALANGAN MAUT...Seramai 27 penumpang, kebanyakannya pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas pesiaran membawa pelancong negara itu terlibat dalam satu kemalangan di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi Isnin.


Isnin Disember 20, 2010

IPOH: Seramai 27 penumpang, kebanyakannya pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas pesiaran membawa pelancong negara itu terlibat dalam satu kemalangan di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata 22 orang mati di tempat kejadian manakala empat lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di sini.

Katanya bas dua tingkat itu milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah, membawa 37 pelancong Thai manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia.

Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.

Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang.

Menurutnya, identiti dan jantina mangsa yang terbunuh belum dikenal pasti.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/12/20/mstar_jenayah/20101220143635&sec=mstar_jenayah

Friday, December 17, 2010

Terkulai ratapi anak mati

Terkulai ratapi anak mati


Oleh Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana, Fardy Bungga dan Norasikin Daineh

BANTU...anggota perubahan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan apabila bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung, semalam.
BANTU...anggota perubahan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan apabila bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung, semalam.
KELUARKAN MANGSA...anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terbunuh.
KELUARKAN MANGSA...anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terbunuh.

KOTA KINABALU: Seorang ibu terkulai selepas meratapi kematian anak lelaki kesayangannya, Sabirin Murad, 29, yang terbunuh selepas bas dinaiki bersama 25 kakitangan Jabatan Penjara Tawau terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter, semalam.

Kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa itu berlaku di Kilometer 32 Jalan Penampang - Tambunan di sini, kira-kira jam 10.40 pagi.

Sitimah Musah, 55, berkata, kali terakhir dia berbual dengan anaknya itu ketika menghubunginya dua kali iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhirnya yang bersungguh-sungguh menyuruh menyediakan makan tengah hari di rumah.

“Saya sedih kerana kami memang jarang makan bersama kerana dia bertugas di Tawau dan saya tidak sangka, panggilan dua kali itu adalah kali terakhir saya mendengar suaranya,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, semalam.

Sitimah yang menetap di Kampung Rampaian Manggatal berkata, anaknya ada menghubungi memaklumkan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu kira-kira jam 9 pagi.

“Selepas itu, dia menghubungi semula sejam kemudian dan memberitahu sudah berada di Penampang, selain menyuruh seorang adiknya menunggu di Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, Nurul Syakinah Muslimin Mohammad, 15, berkata, sebelum kejadian, ayahnya, Muslim Mohamad, 36, pemandu kedua bas terbabit yang turut terbunuh ada menyatakan mahu membeli persiapan persekolahan termasuk baju dan kasut baru sebaik tiba di Kota Kinabalu.

“Ayah berjanji untuk berjumpa di Kota Kinabalu tetapi saya terkilan kerana hajat kami berkubur," katanya.

Menurut Nurul Syakinah, beberapa jam sebelum kejadian, dia dihubungi ayahnya yang memberitahu bas dinaiki baru bergerak ke Kota Kinabalu.

“Tidak sampai beberapa jam selepas itu, emak dari Tawau menghubungi saya memberitahu ayah terbabit dalam kemalangan dan saya bergegas ke hospital, tetapi diberitahu ayah sudah meninggal dunia," katanya.

Penumpang bas berkenaan, Moha Hafiz Rahim, 14, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan sempat berpaut pada kerusi untuk mengelak terhumban keluar daripada bas yang bergolek jatuh ke dalam gaung.

“Ketika itu terlintas kemungkinan ajal saya sudah sampai apabila menyedari bas mula menjunam ke gaung dan bergolek beberapa kali sebelum berhenti.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya tidak berfikir apa-apa, selain menyelamatkan diri dan keluar daripada bas berkenaan,” katanya.

Penumpang, Ulil Amri, 28, yang sedang tidur di kerusi penumpang bahagian tengah bas terkejut apabila mendengar jeritan yang mendakwa bas hilang kawalan.

"Selepas itu, saya mendengar dentuman kuat dan bas bergolek beberapa kali. Saya bersyukur kerana tidak cedera serius, cuma sakit di peha dan dada akibat hentakan kuat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Terkulairatapianakmati/Article

Thursday, December 2, 2010

Renungan terakhir bakal pengantin


ABDUL RAHMAN melakonkan semula bagaimana dia keluar selepas memecahkan cermin depan bas yang terbalik dalam kejadian di Kampung Pulau Kerengga, Marang semalam.


MARANG - Tindakan seorang bakal pengantin membelok ke simpang tanpa memberi isyarat membawa padah apabila dia mati dilanggar sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran simpang Gong Beris, Pulau Kerengga dekat sini semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu mengakibatkan pekerja kilang yang bakal berkahwin pada Jun tahun depan, Shahabudin Sudin, 24, mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Kemalangan itu juga mengakibatkan 10 penumpang termasuk pemandu bas City Express cedera selepas kenderaan itu berpusing lalu merempuh sebatang tiang elektrik sebelum terbalik di tepi jalan laluan bertentangan.

Ia ekoran, pemandu bas, Abdul Rahman Daud, 52, sebelum itu cuba membrek dan mengelak motosikal yang ditunggang mangsa. Kesemua mereka dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan dari Melaka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Lapan tercampak

Lapan tercampak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

REMUK...keadaan bas  yang remuk selepas melanggar bahagian belakang bas ekspres lain di  kilometer 420.8 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Bukit Tagar,  petang semalam.
REMUK...keadaan bas yang remuk selepas melanggar bahagian belakang bas ekspres lain di kilometer 420.8 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Bukit Tagar, petang semalam.
ROSAK...bahagian belakang bas ekspres selepas dilanggar bas ekspres lain.
ROSAK...bahagian belakang bas ekspres selepas dilanggar bas ekspres lain.

HULU SELANGOR: Seorang pemandu bas ekspres dan sembilan penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres lain yang turut terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Tagar, di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, kejadian membabitkan dua bas ekspres dan sebuah lori kira-kira jam 6.15 petang semalam berlaku selepas bas ekspres yang membawa sembilan penumpang dari Setiawan, Perak, cuba mengelak melanggar lori di hadapannya yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.


“Pemandu bas terbabit terkejut apabila sebuah lori di lorong paling kiri lebuh raya tiba-tiba memasuki laluan hadapannya menyebabkan dia cuba mengelak sambil menekan brek.

“Pada masa sama, sebuah lagi bas ekspres lain yang mengekori belakang bas berkenaan gagal mengelak sebelum merempuh bas di hadapannya itu. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu bas di belakang sekali yang juga dari Setiawan, Perak menuju Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang, cedera parah di kaki akibat tersepit,” katanya.


Menurutnya, lapan daripada 18 penumpang yang berada dalam bas di belakang sekali cedera apabila kebanyakan mereka tercampak di dalam bas yang remuk di bahagian hadapan.


“Kebanyakan mangsa yang cedera diselamatkan orang ramai sebelum dibawa keluar dari bas terbabit. Kebanyakan mangsa yang masih dalam keadaan terkejut dan kesakitan diberi rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.

“Tidak sampai 15 minit kemudian empat ambulans dari Hospital Tanjung Malim, Hospital Kuala Kubu Baru dan Hospital Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian sebelum membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya.


Bagaimanapun, katanya semua penumpang bas ekspres yang melanggar bahagian belakang lori berkenaan terselamat.

Seorang mangsa yang cedera, Fauziah Abdilah, 41, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan penumpang lain.


Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata apabila bas berkenaan tiba-tiba bergegar sebelum berhenti mengejut.


“Akibatnya saya tercampak dan kepala melanggar kerusi di hadapan. Hentaman kuat menyebabkan kepala saya berpinar dan hampir pitam,” katanya sambil memegang dahinya yang lebam.


Fauziah berkata, keadaan mungkin menjadi tragedi lebih dahsyat sekiranya bas berkenaan dipandu laju atau tercampak ke laluan bertentangan.


“Walaupun bersyukur kerana terselamat, saya mungkin terlepas penerbangan pesawat Air Asia untuk ke Kota Kinabalu, Sabah, malam ini. Kemalangan ini boleh dielak jika bas berkenaan dipandu dalam jarak selamat,” katanya.


Sementara itu, pemandu bas, Muhammad Asraf Nordin, 36, yang terselamat berkata, dia cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang tiba-tiba memasuki laluannya tanpa memberikan lampu isyarat.


Menurutnya, dia cuba menekan brek, tetapi terlanggar sisi lori terbabit menyebabkan cermin hadapan bas pecah.


“Namun, belum sempat saya menarik nafas lega, sebuah lagi bas ekspres merempuh kuat belakang bas dipandu saya. Namun, saya dan sembilan penumpang lain bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan terbabit dan akan mengambil keterangan dua pemandu bas dan seorang pemandu lori berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Lapantercampak/Article

Saturday, October 30, 2010

Tragedi bas pelancongan: JPJ sahkan pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu

KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.


"Pemandu bas itu sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Che Husin berkata, pemandu itu yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.


Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu itu mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan berkenaan.

"Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar," katanya.


Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada 7.50 malam tadi.


Bas itut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.


Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada jam 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada 8 pagi semalam.


Pada 7 malam tadi, rombongan itu bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Tragedibaspelancongan_JPJsahkanpemandubastidakmempunyailesenmemandu/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...