Showing posts with label Used Car Problem. Show all posts
Showing posts with label Used Car Problem. Show all posts

Friday, July 15, 2011

Penjual: Pindaan Akta Sewa Beli jejas jualan kereta

Jul 14, 11 11:59am


Para peniaga kereta meragui sama ada sasaran peningkatan 2.1 peratus jualan kenderaan keseluruhan kepada 618,000 unit tahun ini boleh dicapai atau tidak, berikutan penguatkuasaan pindaan Akta Sewa Beli, yang walau pun disasarkan untuk melindungi hak pengguna, telah melembapkan tempahan.

Beberapa syarikat jualan kereta mengadu bahawa tempahan harian mereka, yang kebanyakannya bagi kereta, telah merosot pada purata 20-30 peratus sejak pindaan akta itu berkuat kuasa pada 15 Jun.

Peserta automotif tempatan, sambil menghargai pindaan akta itu yang mementingkan hak dan kepentingan pengguna, telah mulai merasai keperitan jualan yang tidak berubah, yang mereka jangka akan berterusan bagi tempoh beberapa bulan akan datang berikutan keperluan di bawah akta itu.

Sekurang-kurangnya tiga pengedar kereta -- Proton, UMW Toyota dan Edaran Tan Chong, yang menguasai agihan pasaran disatukan lebih 50 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV), berkata mereka kemungkinan perlu menyemak semula sasaran jualan awal syarikat-syarikat berkenaan.

Pindaan akta itu telah menyebabkan mereka mengalami masalah aliran tunai kerana fi tempahan maksimum yang dikenakan hanya 1.0 peratus daripada harga jualan keseluruhan kereta yang dikenakan pada pembeli, yang terlalu kecil berbanding dengan keperluan 10 peratus sebelum ini.

Bagi memburukkan lagi keadaan, jika urus niaga itu dilaksanakan, pembeli akan menerima semula 90 peratus daripada fi tempahan, yang menyebabkan mereka mendapat sebahagian kecil wang itu.

Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd Datuk Ang Bon Beng berkata para pelanggan juga boleh menukar fikiran walau pun pada saat akhir, selain fi tempahan yang rendah itu.

Dengan lain perkataan, mereka tiada komitmen pada urus niaga itu, katanya, sambil menyatakan bebanan hubungan tidak komited itu perlu ditanggung oleh peniaga kereta atau prinsipal syarikat automotif.

Selain itu, para pelanggan juga hanya perlu menandatangani perjanjian belian apabila kereta sudah sedia ada dan ditunjukkan kepada pelanggan dan jika pelanggan memilih tidak membeli kereta itu, para peniaga akan turut mengalami kerugian.

Jika kereta itu tidak terjual, ia akan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan kerana tempahan telah dibuat mendapatkan kereta itu.

Hasilnya, peniaga kereta kini mencatatkan kemerosotan tempahan 20-30 peratus sehari berikutan keperluan proses yang lama mendapatkan sesebuah kereta di bawah pindaan akta itu kerana pembeli kini perlu berurus niaga dengan bank yang bermakna peningkatan kerja dokumentasi dan pemprosesan.

Sebelum ini, seseorang peniaga akan dapat mengendalikan keseluruhan proses dokumentasi dan pembelian sesebuah kenderaan.

"Kami (Tan Chong) pernah mencatatkan kira-kira 200 tempahan sehari tetapi kini ia turun kepada kira-kira 100 tempahan sahaja," kata Ang.

Tambahan pula, berikutan fi tempahan yang rendah, para peniaga kereta tidak dapat membezakan antara pembeli tulin atau yang tidak serius kerana ramai yang memilih untuk menukar kepada kereta lain pada saat akhir.

Para peniaga juga mengadu seseorang pembeli boleh membuat tempahan tidak serius di beberapa perniagaan kereta tanpa membayar fi tempahan, yang menyebabkan pembaziran sumber permohonan pinjaman dan ketidakefisienan bagi bank dan peniaga kereta.

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ismet Suki yang akur dengan hasrat kerajaan bagi memastikan pengguna tidak tertipu dan diterima oleh kesemua peserta industri, merasai terdapat kelemahan pada pindaan akta itu.

"Akta itu terdapat kecacatan pada perspektif automotif kerana banyak segmen, iaitu pengilangan, pengeluaran dan sistem tempahan (kenderaan), mengalami gangguan," katanya.

Ismet berkata proses dokumentasi dan kertas kerja yang lama antara bank, peniaga kereta dan pelanggan sebenarnya melambatkan sistem serahan kerana proses memuktamadkan perjanjian pembelian kereta memakan masa tambahan 3-4 hari.

Pengilang dan pemasar kereta Toyota serta pengedar kenderaan berjenama Lexus juga menyatakan bahawa isu utama sekarang bukan jualan kereta tetapi mengambil risiko mengeluarkan kereta mengikut tempahan bank, tanpa mengetahu sama ada tempahan itu tulin atau akan dipenuhi.

Pengurus Besar Pemasaran Proton Edar Sdn Bhd Sidik Abdul Hamid berkata di segi kereta nasional, reaksi terhadap pindaan akta itu dari para pelanggan adalah positif.

Bagaimana pun, katanya syarikat itu sedang mengkaji untuk menyemak semula sasaran jualan awal 173,000 kereta ke bawah kerana pemain automotif utama itu telah mencatatkan penurunan 30 peratus tempahan kereta sejak 15 Jun.

Berikutan masalah yang dihadapi penjual kereta itu, kerajaan pada bulan lepas berjanji menyelesaikan masalah berikutan pelaksanaan pindaan akta itu.

- Bernama



http://malaysiakini.com/news/169878

Tuesday, January 27, 2009

Jangan jual kereta bersama geran


REMBAU – Jika perlu jual kereta yang telah rosak teruk (total loss) kepada bengkel kenderaan, jangan serahkan sekali geran.

Itu antara cadangan bagi membendung kegiatan sindiket curi kereta yang ada hubung kait dengan kereta total loss atau kenderaan yang dikategorikan sebagai barang buangan, kata Hanif Mualud (gambar).

Beliau yang berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang insurans memberitahu, jika kereta seumpama itu dijual kepada bengkel berserta geran, maklumat pada casisnya boleh diguna semula.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Thursday, January 22, 2009

Geng klon terjerat


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


RAMPAS...Ahmad Amir melihat sebahagian kereta 'klon'
yang dirampas.


KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan bermaharajalela, sindiket curi dan lupus kenderaan yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang lumpuh apabila lima lelaki ditahan polis dalam beberapa serbuan, baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket itu memulakan kegiatan haram mereka dengan membeli kereta rosak di beberapa bengkel kenderaan dan mendakwa kononnya hanya mahu mengambil kepingan besi atau alat ganti.

Mereka seterusnya mencuri kenderaan sama seperti kereta rosak terbabit sebelum mengikis atau memadamkan nombor casis dan ‘menampalnya’ umpama keadaan asal.

Sejurus kerja ubah suai selesai, kenderaan ‘klon’ berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya.

Sindiket itu turut menggunakan ‘orang dalam’ syarikat insurans untuk mendapatkan kad pendaftaran dengan kadar bayaran tertentu sekali gus memudahkan kereta terbabit dijual sama ada kepada individu atau kedai kenderaan terpakai.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila kelima-lima mereka berusia 30 hingga 43 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata serbuan itu hasil penemuan sebuah Perodua Kelisa yang nombor casis dan enjinnya sudah diubah suai sindiket berkenaan.

“Melalui maklumat dan risikan diperoleh pada hari sama, kami (polis) menahan seorang lelaki dipercayai ahli sindiket itu di sekitar Kajang, Selangor.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan empat lagi rakan suspek termasuk pemilik bengkel di daerah sama dan Nilai, Negeri Sembilan,”
katanya pada sidang media di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091319/Article/index_html

Monday, December 1, 2008

Terkejut terbeli kereta potong

Oleh AZIZI MAJID
berita@kosmo.com.my



VERNON (kiri) bersama Michael Chong pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Malang menimpa seorang juruteknik, Vernon Ernest Tan, 27, apabila dia bukan sahaja terbeli sebuah kereta potong dan tidak boleh dipakai, malah turut disaman pihak bank kerana gagal melunaskan pinjaman kereta tersebut.

Menurut Vernon, dia telah membeli kereta tersebut iaitu Honda Civic terpakai bernilai RM41,000 daripada seorang jurujual di Johor Bahru pada November 2005.

Namun ujarnya, kira-kira sebulan kemudian, ketika dia menghantar keretanya itu untuk dicat baru, pihak kedai memberitahu bahawa kereta tersebut terdapat kesan potong di bahagian tengahnya.

"Saya pelik kerana sebelum kereta itu diserahkan kepada saya, jurujual terbabit ada memberikan kepada saya surat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Kuala Lumpur.

"Saya yang tidak puas hati kemudiannya terus membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pada 6 Disember 2005," katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Jalan Ampang semalam.

Tambah Vernon yang berasal dari Johor Bahru, dia yang tidak berpuas hati kemudiannya menghantar kereta itu ke Puspakom di Johor Bahru sehari selepas membuat laporan polis berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan ujian pemeriksaan di Puspakom mengesahkan kereta tersebut gagal ujian pemeriksaan dan tidak boleh digunakan di jalan raya kerana casisnya disambung.

"Saya kemudian berjumpa semula dengan jurujual terbabit tetapi dia enggan bertanggungjawab," katanya.

Mangsa tambah tertekan apabila pihak bank menyamannya kerana tidak menjelaskan pinjaman bank selain jurujual tersebut sudah menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dia akan membawa kes tersebut kepada menteri yang berkenaan.

"Jika surat Puspakom kali pertama itu adalah tulen dan dikeluarkan pihak terbabit, saya mahu tahu bagaimana pemeriksaan kali pertama boleh lulus," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Wednesday, November 5, 2008

Padah terbeli kereta curi


Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my



KIAN FU menunjukkan salinan laporan polis dan dokumen mahkamah selepas dia terbeli kereta curi semasa sidang akhbar di Kelab Wartawan Cina di Johor Bahru semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU - Sudah jatuh ditimpa tangga.

Itulah nasib malang seorang pegawai pemasaran, Tan Kian Fu, 26, yang kini disenarai hitam oleh bank dan terpaksa ke mahkamah selepas terbeli sebuah kereta curi tujuh tahun lalu.

Kian Fu dari Parit Buloh, Batu Pahat berkata, 'igauan ngerinya' bermula apabila membeli sebuah kereta Proton Satria GL terpakai berwarna merah daripada seorang kenalan kepada rakannya pada Julai 2001.

"Selepas membuat pinjaman bank, saya kemudiannya sempat meneruskan pembayaran ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM500 dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di Rumah Wartawan Cina bersama Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck di sini semalam.

Bagaimanapun kata Kian Fu, dia mula dihubungi pihak bank yang menyedari terdapat sebuah kereta di Sungai Petani, Kedah turut mempunyai nombor pendaftaran yang sama dengan kereta yang dibelinya tiga bulan selepas itu.

"Saya yang terkejut terus bersikap jujur dan membawa kereta ke Pusat Kenderaan Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa.

"Puspakom kemudiannya mendapati ada sedikit 'gangguan' pada nombor enjin kenderaan.

"Mereka meminta saya merujuk kenderaan saya ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Kian Fu berkata, dia begitu kecewa apabila JPJ kemudiannya menyita keretanya pada tahun itu juga setelah disahkan merupakan kenderaan curi lalu membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembayaran kepada pihak bank.

Katanya, dia yang meminta penjelasan daripada rakannya juga menemui jalan buntu apabila enggan bertanggungjawab kerana ia sudah menjadi kes polis.

Jelasnya, lebih malang lagi, kenalan rakannya juga dipercayai telah menghilangkan diri sejak urusan pembelian kereta itu selesai.

"Takkan saya mahu meneruskan bayaran, tambahan pula kereta itu kereta curi.

"Nama saya juga telah disenaraihitamkan bank sehingga menyukarkan saya untuk membuat pinjaman rumah dan sebagainya.

"Lebih teruk, saya juga terpaksa ke mahkamah pada 26 November ini kerana disaman oleh bank yang mahu saya menjelaskan baki tuntutan pinjaman lebih RM44,000. Mana saya ada duit sebanyak itu, gaji pun sekitar RM1,000 sahaja sebulan," katanya sebak.

Dalam pada itu, Song Tuck menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa membeli kereta terpakai bagi mengelak ditipu seperti mana dialami Kian Fu.

"Saya akan berbincang dengan pihak bank dan cuba membantu Kian Fu yang jelas menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...