Showing posts with label Graduation. Show all posts
Showing posts with label Graduation. Show all posts

Sunday, February 6, 2011

Kikis wang lelaki

Kikis wang lelaki

Oleh ISMA ISMAIL dan FIRDAUS SAHAT
metahad@hmetro.com.my

LALA... jadi pekerja sosial mudah.
LALA... jadi pekerja sosial mudah.
LIYANA... umpan gambar berahi di laman sosial seperti Tagged dan Facebook.
LIYANA... umpan gambar berahi di laman sosial seperti Tagged dan Facebook.

KUALA LUMPUR: Mereka cantik, muda dan berpelajaran tinggi. Namun kerana mahukan kesenangan dengan cara mudah, segelintir gadis yang mendakwa graduan sanggup menjual tubuh, menawarkan khidmat urut dan menipu lelaki hidung belang.

Itu haluan hidup gadis berkenaan bagi meraih pendapatan lima angka sebulan tanpa perlu bekerja keras berbanding bekas rakan sekuliah yang hanya mampu memperoleh antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan, bergantung kepada jenis pekerjaan.

Gadis berkenaan licik mencari pelanggan dengan menggunakan kepandaian dan kepetahan dimiliki untuk mengikis wang dan menipu lelaki miang yang dahagakan belaian.

Selepas mengesan aktiviti songsang mereka menerusi laman sosial, wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki dan menemubual tiga graduan berkenaan bagi mengetahui punca mereka memilih jalan ‘sesat’ hingga mensia-siakan pengorbanan ibu bapa membiayai pelajaran ke menara gading.

Malah, bagi membuktikan dakwaan itu benar, mereka menunjukkan diploma dimiliki kepada wartawan dan bukan sekadar ‘iklan’ promosi diri di laman sosial.



LALA, 24:

“SAYA menggenggam segulung diploma dalam jurusan pelancongan dari sebuah kolej di Melaka tahun lalu, namun persaingan dalam dunia pekerjaan menjadi penyebab saya beralih menjadi pekerja sosial.

‘Pekerjaan’ ini mudah dan tidak memerlukan masa panjang untuk mendapatkan gaji lumayan. Saya tidak perlu bekerja lebih seperti mana eksekutif kanan pelbagai syarikat lain. Lagipun, pekerjaan seperti itu belum menjamin pendapatan tinggi.

Jika ada yang menawarkan gaji sehingga lima angka sebulan, ia memerlukan komitmen tinggi dan masa yang banyak.

Sebab itu saya beralih kepada kerja seperti ini. Cukup senang. Walaupun dipandang hina, masih ramai lelaki hidung belang mahukan khidmat kami. Bagaimanapun, sebagai orang Islam, saya tetap terfikir mengenai soal halal dan haram.

Mungkin, apabila mengumpul wang secukupnya, saya akan berhenti melakukan kerja seperti ini dan memulakan perniagaan sendiri,” kata gadis berasal dari Kedah itu.


BABY, 26:

“SEBELUM ini saya pernah bergelar penari profesional dan kerap mengiringi pelbagai persembahan artis popular dalam dan luar negara.

Walaupun bergelar graduan dalam bidang itu di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Lumpur, persaingan dan pendapatan diperoleh kurang memuaskan.

Saya pernah bekerja beberapa tahun sebagai penari profesional. Namun gaji diberi cukup makan saja. Malah, terlalu banyak bil dan komitmen lain perlu diselesaikan.

Selepas itu, saya diajak seorang rakan untuk menjalankan khidmat ini. Pada mulanya saya keberatan, namun selepas menerima gaji diberi, saya tidak berfikir panjang lagi.

Usia seperti saya sekarang ini susah untuk mendapatkan pendapatan yang kadangkala melebihi lima angka. Jika saya bekerja di syarikat lain atau terus bekerja sebagai penari, mungkin 20 tahun lagi baru saya mendapat pendapatan sebanyak ini.

Tidak cukup sekadar bekerja di pusat kesihatan atau spa sebagai gadis urut, saya turut menawarkan khidmat seks dengan menyewa bilik hotel sekitar ibu kota.

Kegiatan ini dilakukan selepas pulang daripada kerja dan ia hanya dibuat apabila mendapat tempahan di sebelah malam.

Jika di spa, saya tidak mendapat bayaran penuh. Jadi, untuk mendapatkan bayaran menarik, saya terpaksa melakukan kerja seperti ini.

Bagaimanapun, bukan selalu saya menjalankan aktiviti ini. Jika ada tempahan, baru saya menyewa bilik hotel dan menanti pelanggan.

Sekurang-kurangnya saya dapat mengumpul RM3,000 hingga RM4,000 dengan melakukan kerja luar terbabit.

Jika dicampurkan dengan gaji bekerja di spa, paling sikitpun saya mampu memperoleh RM10,000 sebulan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu yang menamatkan pengajian di peringkat diploma tahun lalu.


LIYANA, 25:

“SAYA licik menipu ratusan lelaki dengan ‘menjual’ pelbagai gambar mengghairahkan di laman sosial seperti Tagged dan Facebook yang kononnya menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Menerusi profil dipaparkan, saya secara terang-terangan menawarkan khidmat urut, ringan-ringan, urut badan ke badan (b2b) selain khidmat seks. Bagaimanapun, semua tawaran itu adalah palsu untuk saya mendapat wang mudah.

Senang saja untuk memperdayakan lelaki gatal yang dahagakan seks.

Malah jika benar-benar mahukannya, mereka sanggup lakukan apa saja, termasuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun saya walaupun tidak mengenali siapa saya.

Sekurang-kurangnya, sehari saya mampu memperdaya lima atau enam lelaki. Sebelum berjumpa saya, mereka harus memasukkan RM100 atau RM150 ke dalam akaun.

Namun selepas duit dimasukkan, saya menghilangkan diri atau memberi bermacam-macam alasan,” katanya yang masih menganggur selepas menamatkan pengajian pertengahan tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Kikiswanglelaki/Article/artikelMA

Wednesday, November 3, 2010

Konvokesyen UUM ditangguh

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) terpaksa menangguhkan sesi kelima dan keenam Sidang Kedua Majlis Konvokesyen ke-23 semalam berikutan kejadian banjir di beberapa daerah di Kedah sejak kelmarin.

Naib Canselornya, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, majlis konvokesyen bagi dua hari pertama sebelum ini yang bermula 31 Oktober hingga 1 November 2010 berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, katanya, sesi kelima dan keenam pada hari terakhir konvokesyen itu terpaksa ditangguhkan kerana banjir di kawasan sekitar universiti.

Jelasnya, jalan utama yang menghubungkan UUM dengan bandar Alor Setar membabitkan Lebuh Raya Utara-Selatan ditutup kepada semua kenderaan manakala beberapa laluan alternatif tidak selamat untuk digunakan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Monday, May 31, 2010

Belajar dan berserah

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/31

SHAH ALAM: “Petua saya mudah. Belajar dan terus belajar. Yang lainnya berserah kepada Tuhan,” kata Dg Noraiana Ag Kadir, 22, pelajar Diploma Sains pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini, semalam.

Anak pesara polis tinggal di Penampang, Sabah itu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.


Dg Noraiana yang bercita-cita menjadi seorang doktor. Dia dijangka mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda perubatan bulan depan.


Ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, dia berkata cita-citanya untuk menjadi seorang doktor menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh berikutan bidang itu susah selain persaingan sengit. “Setiap semester saya dapat 3.9 ke atas dan cuma semester kelima saja saya dapat 3.75, itu pun kerana banyak tesis yang perlu saya siapkan.


“Kejayaan yang saya capai ini bukan senang. Saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin dan menjadi ‘ulat buku’,” katanya. Dg Noraiana yang juga anak keenam daripada sembilan beradik mengikuti Diploma Sains selama tiga tahun bermula tahun 2007 di kampus UiTM, Jengka, Pahang.


Dia berkata, lima pelajar terbaik setiap semester dalam bidangnya akan diberi pingat oleh Persatuan Diploma Sains sebagai tanda penghargaan persatuan di atas kejayaan pelajar dalam bidang itu.


Selain itu, Dg Noraiana bersyukur kerana walaupun tinggal berjauhan daripada ahli keluarga, namun mereka kerap berhubung untuk bertanya khabar mengenai pelajaran dan kebajikannya.


“Ketika mula-mula sampai di sini, saya agak kekok untuk menyesuaikan diri, terutama melihat pembangunan pesat di ibu kota.


“Saya terpaksa mengambil masa hampir sebulan untuk menyesuaikan diri di sini dan berterima kasih kepada rakan-rakan ,”
katanya.


Sementara itu, bagi Faezah Che Omar, 23, yang juga mengambil diploma dalam bidang sama menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh bagi membantu keluarganya.


“Ayah saya penoreh getah, manakala ibu tanam sayur untuk dijual secara kecil-kecilan di Kuala Berang, Terengganu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belajardanberserah/Article

Balas jasa ibu

2010/05/31

SHAH ALAM: Seorang anak peniaga kedai runcit tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, kelmarin.

Pada konvokesyen itu, Siti Humaira Ramly, 26, dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dan Seni Reka.


Beliau mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.84 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.


Ditemui selepas konvokesyen, Siti Humaira berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan seorang adik menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.


“Ayah meninggal dunia ketika usia saya baru 15 tahun dan selepas itu, ibu meneruskan perniagaan kedai runcit berkenaan kerana ayah pernah berpesan selagi sihat tubuh badan jangan tutup kedai itu.


“Atas dasar tanggungjawab yang diberikan, setiap hari ibu akan bangun seawal jam 4 pagi untuk membeli barangan basah di pasar besar sebelum memulakan perniagaan sehingga jam 7 malam,”
katanya yang memakai pakaian dan aksesori pemberian ibu saudara untuk nampak cantik ketika menerima ijazahnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Balasjasaibu/Article

Wednesday, May 26, 2010

Farid Kamil terima ijazah sarjana muda UiTM


FARID KAMIL bersama ibu bapanya melihat ijazah sarjana muda yang diterimanya pada Konvokesyen UiTM ke-72 di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pengarah muda dan pelakon popular, Farid Kamil Zahari semalam menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) pada istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini.

Farid, 29, yang hadir ditemani bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan, 58, dan ibu, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah, 55, tersenyum bangga apabila segala usaha selama empat tahun mengejar ilmu sambil bekerja membuahkan hasil.

Dia yang juga menamatkan pengajian Seni Lakon Teater peringkat diploma di universiti yang sama bersyukur apabila berjaya mencapai cita-cita untuk mengarahkan satu filem sebelum bergelar graduan.

"Saya rasa bertuah kerana cita-cita itu tercapai apabila filem pertama arahan saya, V3 Samseng Jalanan menemui penonton sebelum majlis konvokesyen ini.

"Seterusnya, saya akan menemui penonton dengan filem terbaru lakonan saya, Lagenda Budak Setan sebelum kembali mengarah filem kedua bertajuk Kongsi hujung bulan ini," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Tuesday, May 25, 2010

Cemerlang dorongan isteri

2010/05/25

SHAH ALAM: “Mula-mula saya takut untuk meneruskan pengajian, maklumkan selepas 22 tahun meninggalkan persekolahan, baru berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

“Tetapi, mujur isteri banyak beri dorongan selain keinginan saya untuk belajar,” kata Jefri Adam, 44, ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Sri Budiman di sini, semalam.


Bapa tiga anak berusia 16, 19, dan 22 tahun yang mengambil Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Grafik dan Media Digital) mampu berbangga apabila mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89, sekali gus melayakkannya merangkul Anugerah Naib Canselor.


Jefri juga berterima kasih kepada majikannya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang memberikannya cuti bergaji bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Melaka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cemerlangdoronganisteri/Article

Kasihan lihat ibu

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/25

SHAH ALAM: Seorang anak penoreh getah tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum dinobatkan antara pelajar terbaik, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, semalam.

Noor Suzilawati Nasrudin, 22, menjadikan ibunya, Fatimah Samad, 43, seorang ibu tunggal, sebagai idolanya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan mengubah hidup keluarganya.


Pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian), Kampus UiTM Merbuk, Kedah itu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.


Noor Suzilawati berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan lima beradik lain menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.


“Dulu sebelum bekerja sebagai penoreh getah, ibu bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit (SMK), Kuala Lipis, Pahang.


“Kebiasaannya selepas tamat kerja sebagai tukang sapu, ibu akan bekerja di kantin pula manakala malam kerja dobi asrama. “Perkara ini dilakukan ibu tiap-taip hari iaitu bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 1 pagi,”
katanya.


Menurutnya, pengorbanan ibunya itu menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh dan selepas diterima masuk ke UiTM dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha siang dan malam dengan mentelaah buku pelajaran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasihanlihatibu/Article

Friday, May 21, 2010

Genggam PhD usia 29 tahun

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/05/21

SHAH ALAM: Tiga tahun lalu dia gagal merebut gelaran juara program realiti, What Women Want terbitan 8TV, namun 2010 menjadi tahun kebanggaan bagi Tom atau nama sebenarnya, Adzrool Idzwan Ismail, 29, apabila berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Seni Lukis dan Seni Reka (Fotografi) pada usia muda.

Adzrool Idzwan antara 488 lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima ijazah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-72, di sini, semalam.


Malah lebih membanggakan, dia penerima PhD paling muda dalam sejarah UiTM.


Adzrool Idzwan yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mengakui pelbagai halangan dihadapinya ketika proses menyelesaikan kertas kerja kajian.


“Saya pernah dikatakan tidak berkelayakan untuk mengambil PhD lantaran usia yang muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman, namun hari ini, dengan kejayaan diterima sudah berjaya menutup mulut mereka.


“Malah, saya terpaksa berkorban masa bersama keluarga, wang ringgit serta tenaga untuk ke luar negara seperti Indonesia, Taiwan, Korea dan Jerman semata-mata mencari bahan rujukan berikutan sumber berkenaan terhad di negara ini,”
katanya yang berasal dari Simpang Empat, Kedah.


Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, dia sangat bersyukur dan gembira apabila berjaya menunaikan hasrat bapanya, Ismail Ahmad, 69, yang inginkan dia bergelar doktor walaupun bukan dalam bidang perubatan seperti yang dihajati.


Adzrool Idzwan juga melahirkan penghargaan kepada keluarga serta pensyarah yang banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang pengajiannya selama tiga tahun itu. Selain itu, impiannya untuk menerima skrol ijazah PhD daripada Tuanku Mizan tercapai.


Mengulas perancangan masa depan, pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, pada penghujung Mei ini, Adzrool Idzwan berkata dia bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang Forensik Fotografi di India, selewat-lewatnya tahun depan.

Sementara itu, Ismail turut bersyukur dengan kejayaan anak keduanya itu dan memberitahu, dia sentiasa berdoa untuk melihat semua anaknya mendapat pendidikan terbaik sebagai bekalan kehidupan masing-masing.


Pada majlis berkenaan, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Modal Insan, daripada Tuanku Mizan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GenggamPhDusia29tahun/Article

Saturday, May 1, 2010

Graduan perubatan tempatan pilih bekerja di Singapura

KUALA LUMPURGraduan-graduan dari fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) memilih untuk bekerja di Singapura sejurus lulus peperiksaan akhir tahun.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, dijangka 80 graduan UKM akan meninggalkan Malaysia untuk berkerja di hospital-hospital di Singapura.

“Sebagai doktor pelatih, mereka ditawarkan gaji sebanyak 2,690 dolar Singapura bersamaan RM6,187 sedangkan doktor pelatih di Malaysia dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dan RM1,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Fenomena itu, katanya, berlaku sejak lima tahun lalu selepas Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan dari kedua-dua universiti tersebut.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak akan pulang untuk bekerja di negara ini walaupun kebanyakannya menerima biasiswa kerajaan sepanjang lima tahun pengajian,” katanya.

Menurut Lokman, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang doktor-doktor itu daripada lari daripada melaksanakan kewajipan terhadap negara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Saturday, October 3, 2009

Rezeki anak bertuah

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my


MARAN: “Syukur kepada Allah kerana tidak menduga anak saya yang menghidap penyakit berkaitan tulang sejak lahir mampu menjadi penerima anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-25 pada 10 Oktober ini.

“Saya berharap anugerah itu dapat menaikkan semangat anak-anak lain untuk cemerlang dalam hidup serta mendorong golongan kurang upaya supaya tidak menjadikan kecacatan sebagai penghalang untuk berjaya,”
kata guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jengka 19, Mohamad Aminillah, di sini, semalam.


Mohamad, 66, bapa kepada Syarifah, 24, pelajar ijazah Sarjana Muda Undang-undang universiti itu yang menderita penyakit tulang dikenali Cerebral Palsy dan Brittle Bone menyebabkannya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Dia ditemui di rumahnya di Felda Jengka 19, di sini, selepas dikunjungi rombongan pegawai UIAM Gombak diketuai Penolong Pengarah Pegawai Perhubungan Awamnya, Abdul Latif Abdul Rahman bagi menyampaikan kad jemputan untuk ibu bapa menghadiri konvokesyen berkenaan dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober ini.

Turut sama dalam rombongan itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM, Shahrizad Sa-idulhaj dan Pegawai Kuliyah Undang-undang UIAM, Norazimah Azharul Abidin.

“Setiap manusia ada bahagian masing-masing dalam kehidupan seperti direncana Allah. Namun, manusia diberi kudrat untuk memilih dan merubah segala ketetapan dengan doa dan usaha.

“Justeru, saya bersyukur kerana anak saya mampu mengatasi kekurangannya untuk berjaya setanding dengan insan normal lain,” katanya Mohamad.

Menurutnya, Syarifah tiada di rumah ketika keluarga mereka dikunjungi pegawai UIAM kerana bertugas sebagai peguam persekutuan di ibu pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090930083857/Article/index_html

Tuesday, August 18, 2009

Hadiah untuk ibu

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my


KANGAR: Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Alida Abdullah dari Machang, Kelantan, menganggap anugerah itu sebagai hadiah kepada ibunya yang banyak mendorongnya selepas kematian bapa.

“Ibu yang banyak mendorong saya belajar bersungguh-sungguh, selain tidak jemu berdoa untuk kejayaan saya. Allhamdullilah, saya dapat membalas pengorbanan ibu dengan memperoleh anugerah ini,” katanya selepas majlis konvokesyen berkenaan di Dewan 2020 di sini, semalam.

Alida, 23, antara dua graduan yang menerima anugerah berkenaan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Ibu saya, Che Mek Seman amat mengambil berat mengenai pendidikan serta kerap menghubungi saya bagi mengetahui perkembangan sepanjang tiga tahun saya berada di UniMAP.

“Lagi pula saya anak bongsu daripada 11 beradik. Justeru, ibu memberi tumpuan lebih terhadap saya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan itu.

Che Mek bersama sembilan abang dan kakak Alida hadir meraikan kejayaannya. Bapa Alida, Abdullah Ibrahim, meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Mengenai cita-citanya, Alida berkata, dia akan meneruskan program pengajian dalam bidang kejuruteraan bahan sehingga ke peringkat sarjana di UniMAP sebelum merealisasikan impiannya menjadi pensyarah.

“Saya mungkin menjadi pensyarah di UniMAP selepas tamat pengajian peringkat sarjana dan secara tidak lansung membalas jasa universiti ini yang banyak membantu,” katanya.

Terdahulu, Raja Muda selaku Canselor UniMAP berkenan berangkat menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,012 graduan sempena konvokesyen berkenaan. Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Laillatul Shareen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Husin.

Sementara itu, Kamarudin pula meminta graduan supaya tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang diperoleh di UniMAP untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah serta boleh mengundang kemudaratan kepada negara.

“Saya harap mereka tidak terbabit dengan kegiatan atau diperalatkan kumpulan penganas untuk membuat bahan letupan. Graduan perlu menggunakan kemahiran untuk kebaikan negara.

“Walaupun mereka berkemampuan mencipta bahan letupan, namun saya yakin graduan kami bebas daripada kumpulan ekstrimis atau mempunyai talian dengan kumpulan pengganas,”
katanya.

Sunday, August 16, 2009

Niat tuntut ilmu


JOHOR BAHRU: Niat menuntut ilmu untuk memahirkan diri dan bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan menjadi kunci kejayaan Muhammad Zamir Othman, 21, yang dipilih penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-43, semalam.

Graduan Sarjana Muda Sains (Kimia) itu berkata, sepanjang pengajiannya beliau tidak menghabiskan banyak masa untuk mengulangkaji pelajaran setiap hari tetapi mengikuti kuliah, membaca dan melakukan latihan semata-mata kerana keikhlasan untuk menambah ilmu di dada.

“Saya hanya mengulangkaji pelajaran kira-kira tiga jam seminggu, tetapi mungkin dengan sikap ikhlas untuk menambah ilmu itu saya mudah faham dan mengingati pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

“Saya berharap dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Bristol, England, Januari depan untuk mendalami bidang berlian selepas mengambil tesis mengkaji struktur karbon ketika di peringkat Sarjana Muda.

“Saya berharap dengan mengkaji atom seperti karbon, saya berupaya menghasilkan berlian yang stabil seperti dihasilkan secara semula jadi,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, di sini, semalam.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka yang juga anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Othman Sadon, 62, dan Zahrah Rameli, 57, dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur itu memperoleh ijazah kelas pertama dengan Nilai Purata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.92.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Chin Pui Ling, 24, juga mengakui gembira sepanjang menuntut di UTM dengan melakukan pelbagai aktiviti tanpa rasa tertekan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran.

Beliau yang kini bekerja sebagai jurutera lapangan dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa, Schlumberger, selepas memperoleh CGPA 3.89 berkata, ibu bapanya tidak pernah memaksa untuk belajar tetapi memintanya menikmati kehidupan menuntut ilmu ketika di kampus dengan sebaik-baiknya.

Sudah tentu saya memberi tumpuan kepada kelas, membuat nota dan mengemukakan soalan kepada pensyarah apabila tidak memahami untuk berjaya dalam pelajaran.

“Bagaimanapun, saya tetap aktif dalam kegiatan berpersatuan dengan menjadi Presiden Golden Key International Honour Society UTM 2008 dengan berpeluang mengikuti persidangan di New Orleans, Amerika Syarikat,”
katanya.

Secara keseluruhan, kemeriahan majlis konvokesyen itu sedikit terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) apabila kehadiran ibu bapa dan tetamu didapati berkurangan manakala semua yang hadir dibekalkan penutup mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

Canselor UTM, Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tuanku Ahmad, turut mengingatkan graduan dan ibu bapa supaya sentiasa menjaga kebersihan berikutan wabak berbahaya itu.

Seramai 5,692 graduan UTM menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung selama lima hari bermula semalam.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 39 adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 636 graduan Sarjana, seorang graduan Diploma Lepas Ijazah, 3,945 graduan Sarjana Muda dan 1,442 graduan Diploma dengan 507 daripada graduan Sarjana Muda menerima kelas pertama.

Pada konvokesyen kali ini, UTM mengumumkan pelantikan bekas Naib Canselornya, Datuk Dr Muhammad Ridzuan Mohd Salleh sebagai Pro-Canselor ketiga UTM dengan watikan pelantikan disampaikan Sultanah Zanariah pada sesi pertama majlis konvokesyen berkenaan.

Selain itu, baginda menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada dua bekas tokoh akademik UTM, Prof Datuk Wira Ir Dr Mohammad Noor Salleh dan Prof Dr Azman Awang, serta mengurniakan Ijazah Doktor Kehormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Prof Ir Dr Judin Abdul Karim.

Friday, August 14, 2009

Raih Anugerah Pelajaran Diraja berkat solat Dhuha

BANGI: “Saya tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan melainkan mengamalkan solat Dhuha setiap hari untuk mendapatkan ketenangan dan keberkatan dalam pelajaran,” kata Nur Najwa Hanani Abdul Rahman, 24, yang bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja, pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula Sabtu ini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam itu berkata, amalan solat sunat itu dilakukannya selain memberi sepenuh tumpuan dalam dewan kuliah.

“Menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja memang sesuatu yang mengejutkan, namun saya amat bersyukur kerana usaha serta doa dimakbulkan sehingga berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan,” katanya yang ditemui dalam sidang media di UKM di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Nur Najwa Hanani berkata, dia amat berbangga kepada berpeluang melanjutkan pelajaran di UKM kerana mendapat pendedahan yang banyak terutama dalam bidang dakwah.

“Dalam bidang ini, penuntut didedahkan dengan aktiviti dakwah yang kebanyakan dilakukan di perkampungan Orang Asli selain mendekati remaja yang sering dikaitkan dengan gejala sosial.

“Memang banyak cabaran yang kami hadapi terutama untuk memperkenalkan keindahan Islam namun ia menjadi satu pendedahan serta pengalaman berguna kepada saya,”
katanya.

Penerima Anugerah Naib Canselor, Adilah Zaira Abu Bakar, 23, berkata dia bercadang menyambung pelajaran di peringkat sarjana.

“Saya mendapatkan kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam bidang ini penuntut mendapat pendedahan lengkap mengenai elektrik dan elektronik yang amat berguna mencari kerjaya sesuai,”
katanya.

Air mata berlinang

Oleh Ihsan Noorzali
am@hmetro.com.my


TANJUNG MALIM: “Mak usah risau, saya akan bina rumah baru menggantikan rumah kita sekarang bila saya sudah mengajar nanti.”

Luahan kata-kata itu pernah disuarakan bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rosmarinda Mat Yusof, 24, kepada ibunya, Rahimah Ab Razak, 55, yang tidak kesampaian apabila dia yang dirawat di Hospital Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Mei lalu.

Rahimah ketika ditemui berkata, arwah anaknya yang sentiasa menitikberatkan kebajikan keluarga juga berhasrat membelikan pakaian raya untuknya dan adiknya menggunakan wang biasiswa pengajian biayaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hari ini saya hanya dapat melihat ijazah ini dan tak tahu macam mana menyambut Ramadan tanpa dia di sisi kami lagi,” katanya sebak.

Suasana sayu dan memilukan itu menyelubungi suasana Dewan SITC, UPSI pada sesi keempat hari ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-11 Sidang Kedua ketika majlis penyampaian Anugerah Anumerta berlangsung semalam.

Rahimah yang juga ibu tunggal tidak mampu menahan kesedihan dan menangis sambil melangkah ke atas pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas untuk Rosmarinda yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42 .

Rahimah yang hadir bersama adik-adik Rosmarinda dan saudara-mara dari Rantau Panjang, Kelantan, ketika ditemui berkata anak ketiga daripada enam beradik itu sememangnya menjadi harapan mengubah nasib keluarga.

Allahyarhamah menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Taman Tasik Permaisuri, Cheras, dan sebelum menerima tawaran melanjutkan pelajaran di UPSI, Rosmarinda pernah ditawarkan kerjaya pramugari dan polis.

“Dengan kudrat yang ada, saya akan terus menyara anak dengan bekerja mengambil upah membawa barangan peniaga Malaysia dari Thailand di Rantau Panjang,” katanya.

Rahimah berkata, Rosmarinda adalah anak yang amat baik dan berbudi bahasa serta bertanggungjawab kerana setiap kali pulang ke kampung dia akan membeli pelbagai barangan dapur.

“Walaupun Rosmarinda sudah tiada, kami sanggup datang menerima anugerah untuknya dengan menyewa kereta dan van. Kami berterima kasih kepada UPSI yang menyediakan penginapan untuk kami sekeluarga di sini,” katanya.

Rahimah mahu anaknya yang lain, Muhd Redzuan, 21, yang sedang menuntut di semester tiga bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya; Noraini, 15, serta Amir Syafik, 10, mencontohi kesungguhan Rosmarinda mengejar cita-citanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814065501/Article/index_html

Thursday, August 13, 2009

Isi borang bebas H1N1

JOHOR BAHRU: Semua graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal menerima ijazah pada majlis Konvokesyen Ke-43 UTM mulai Sabtu ini, perlu mengisi borang pengisytiharan bebas Influenza A (H1N1).

Pengarah Pusat Kesihatan Mahasiswa UTM, Dr Ismail Ahmad, berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak terbabit yang mudah berjangkit, terutama di tempat umum.

Katanya, graduan mengalami demam, batuk atau selesema saja dikehendaki menjalani ujian saringan H1N1 dikendalikan kakitangan pusat kesihatan universiti itu sebelum diberikan ubat.

“Mereka akan diberi ubat mengurangkan batuk atau selsema, serta dikehendaki memakai topeng penutup mulut dan hidung yang diberi percuma sebelum dibenar masuk ke dalam dewan,” katanya.

“Ibu bapa yang dijemput tetapi mengalami simptom sama, dinasihat tidak hadir atau menggantikan tempat dengan individu yang sihat,” katanya.

Konvokesyen itu akan berlangsung selama lima hari membabitkan 5,693 graduan dalam dan luar negara.

Sesi konvo tak lebih 4 jam

BANGI: Bagi membendung penularan wabak Influenza A (H1N1), sesi konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula Sabtu ini akan dilaksanakan tidak melebihi empat jam untuk mengurangkan risiko pendedahan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata Konvokesyen UKM ke-37 itu, akan berlangsung sebanyak 10 sidang membabitkan 7,674 penerima pelbagai anugerah termasuk lima Profesor Emeritus dan dua Ijazah Kehormat.

“Bagaimanapun kita menasihatkan graduan yang mempunyai simptom H1N1 supaya tidak menghadiri sidang konvokesyen tetapi jika masih mahu hadir, mereka perlu memaklumkannya supaya topeng muka dapat dibekalkan,” katanya dalam sidang media di UKM, di sini, semalam.

Beliau berkata, graduan juga dinasihatkan supaya tidak membawa bersama golongan berisiko tinggi misalnya ahli keluarga yang lanjut usia, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit diabetes.

“Memang kita faham, ada ahli keluarga mahu turut serta bersama graduan di majlis konvokesyen tetapi kita perlu berbuat sesuatu bagi mengurangkan risiko mereka terdedah dengan H1N1,” katanya.

Dr Sharifah Hapsah berkata, pasukan pelajar Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) juga akan digembleng untuk membantu kakitangan di pos kesihatan dengan memberi topeng muka dan menyediakan cucian tangan kepada tetamu.

“Graduan juga diminta tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Canselor atau Procanselor semasa menerima skrol,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menunjukkan peningkatan kepada 207 orang menjadikan ia satu petanda baik kepada UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, UKM secara berturut-turut mengeluarkan graduan PhD melebihi 100 orang iaitu seramai 116 pada 2005, 125 (2006), 135 (2007) dan 188 (2008) malah menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi, UKM menghasilkan graduan PhD tertinggi.

“Pada tahun ini, 48 graduan PhD adalah dari luar negara manakala 159 lagi tempatan sekali gus selaras dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan,”
katanya.

Rahsia untuk cemerlang

SERDANG: Sikap mengehadkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan dalam kuantiti paling minimum menjadi rahsia kecemerlangan Fatimah Mustapai, 22, hingga memperoleh Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan Peringkat Diploma pada majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) - Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ke-11 di sini, semalam.

Fatimah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.8 sepanjang mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer dari Kolej Teknologi Bestari, Setiu, Terengganu.

Selain menjaga pemakanan, anak kelima daripada enam beradik itu sentiasa mengamal dan menunjukkan rasa hormat yang tinggi kepada ibu serta tenaga pengajar.

“Minuman bergas dan makanan ringan boleh menjejaskan tumpuan belajar serta menumpulkan daya ingatan. Sebab itu, sejak zaman persekolahan lagi saya jarang sangat mengambilnya.

“Selain itu saya amalkan memakan kismis dan makanan berkhasiat lain. Saya juga sentiasa berdoa setiap kali lepas solat memohon kepada Allah untuk memudahkan pembelajaran serta hormati orang tua terutama ibu, guru dan pensyarah supaya lebih diberkati,” katanya yang ditemani ibu, Zaiwariah Ali, 52, ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Zaiwariah berkata, Fatimah memang sejak kecil menunjukkan peribadi murni, malah sanggup memberinya duit belanja menggunakan lebihan wang pinjaman ketika belajar di kolej terbabit.

“Bapa Fatimah meninggal dunia sejak dia berusia lapan tahun dan sejak itu saya ajar dia untuk berdikari dan berjimat-cermat,” katanya.

Majlis terbabit turut menyaksikan Nurul Saidah Ibrahim, 25, yang belajar di kolej sama menerima Anugerah Graduan Cemerlang Peringkat Bacelor sementara Roskamaazlira Jusoh, 28, graduan Kolej Shahputra, Kuantan, memperoleh Anugerah Graduan Cemerlang Akademik Peringkat Diploma.

Nurul Saidah berkata, dia bersyukur kerana beroleh kejayaan itu yang disifatkannya pemangkin motivasi untuk terus berjaya dalam pelbagai bidang.

“Saya sentiasa melakukan solat hajat secara konsisten dan ternyata Allah mendengar dan memakbulkan permintaan saya untuk cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Bagi Roskamaazlira, usia bukan penghalang untuk melakukan terbaik sepanjang mengikuti pengajian.

“Dengan anugerah ini, saya sudah buktikan mampu cemerlang walaupun belajar pada usia agak lewat. Yang penting, hindari perasaan malu dan sentiasa fokus di dalam kelas,” katanya.

Seramai 550 graduan membabitkan 71 graduan bacelor dan 479 (diploma) berjaya menamatkan pengajian di enam IPTS yang menjalankan program berkembar bersama UPM dengan penyampaian skrol dilakukan Naib canselor, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah.

‘Saya kumpul kekuatan’

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


SERDANG: Peristiwa menyayat hati dua tahun lalu apabila kedua-dua ibu, bapa selain dua adiknya maut serentak dalam tragedi kebakaran tidak mematahkan semangat Faezah Noor Kasmuri, 22, dari Batu Pahat, Johor, untuk meneruskan pengajian hingga selesai sekali gus menggenggam segulung ijazah.

Graduan Bacelor Pengkhususan Bahasa Inggeris itu berkata, sungguhpun pada awalnya patah semangat, dia berjaya kuatkan tekad untuk tidak mengaku kalah akibat kejadian meruntun perasaan itu.

Katanya, dia berharap keazaman ditunjukkan untuk meneruskan pengajian akan dituruti adik-adiknya hingga berjaya dalam hidup sekali gus membawa keluarga mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

“Saya anak sulung dan kerana itu mahu tidak mahu perlu juga berjuang meneruskan pengajian bagi membantu tiga adik lain yang terselamat dalam kejadian itu.

“Malah, kejadian itu menyebabkan kami adik beradik jadi lebih peka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi. Selain saya, dua adik, Salahuddin, 21, dan Juliana sedang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sementara Farhana berada di tingkatan lima,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Menceritakan tragedi meragut nyawa empat orang paling disayanginya itu, Faezah Noor berkata, ketika kejadian, dia berada dalam tahun dua di universiti terbabit.

“Luluh hati ketika diberitahu mengenai kejadian itu hingga kering air mata dibuatnya. Tapi bila sedar hakikat takdir dan mengenangkan adik-adik lain, saya kumpul kekuatan untuk teruskan juga pengajian,” katanya.

Ditanya perancangan masa terdekatnya, Faezah Noor berkata, dia sedang berusaha mencari apa juga kerja yang boleh menampung keperluan diri dan tiga adiknya.

“Sekarang ini kami tinggal dengan nenek yang serba kedaifan. Saya harap selepas ini segera dapat kerja untuk membolehkan saya membantu keluarga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090813001825/Article/index_html

Monday, December 22, 2008

Tidak malu jadi anak penjaja – Fauziah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
berita@kosmo.com.my



FAUZIAH (kanan) dan Lijawati memegang pingat Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Ke-6 USIM, Putrajaya kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fauziah Hassan, 25, membuktikan anak peniaga gerai makan tepi jalan juga mampu untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan peringkat tinggi.

Beliau yang kini Eksekutif Perhubungan Media di sebuah agensi berita di sini berkata, dirinya tidak berasa malu walaupun dilahirkan sebagai anak penjaja kerana itulah yang menjadi pendorong kepada kejayaannya.

“Walaupun saya dilahirkan bukan dari keluarga yang senang tetapi itu bukanlah alasan mengapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain,’’ katanya pada media selepas majlis Konvokesyen Ke-6 USIM di sini kelmarin.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada tiga beradik itu turut diberi peluang berucap mewakili graduan lain di depan ribuan ibu bapa, pensyarah dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin selaku Canselor USIM .

Graduan dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian itu memberitahu, kejayaannya bertitik tolak daripada sikap yang tidak pernah jemu mendapatkan ilmu.

“Sebelum ke kelas saya mengulang kaji pelajaran dulu. Sewaktu di kelas saya akan fokus 100 peratus. Jika masih ada perkara yang saya tidak faham, saya akan rujuk kepada pensyarah,’’ katanya yang juga mendapat Anugerah Dekan tujuh semester berturut-turut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...