Showing posts with label Car and Motorbike. Show all posts
Showing posts with label Car and Motorbike. Show all posts

Monday, July 11, 2011

K'jaan tak longgar syarat guna cermin gelap

Jul 11, 11 12:49pm

Kerajaan tidak bercadang melonggarkan syarat penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian walaupun atas faktor-faktor tertentu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata langkah ini diambil ekoran kerajaan khuatir kelonggaran yang diberikan akan disalahgunakan oleh pihak tertentu dalam menjalankan kegiatan jenayah selain menjejaskan aktiviti penguatkuasaan serta keselamatan agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Setakat ini kerajaan masih belum bercadang untuk melonggarkan syarat penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian.

"Walaupun terdapat cadangan untuk melonggarkan syarat tersebut atas faktor peningkatan suhu dan kes jenayah, namun kerajaan khuatir kelonggaran yang diberikan akan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam menjalankan kegiatan jenayah selain menjejaskan aktiviti penguatkuasaan serta keselamatan," katanya menjawab soalan Senator Datuk Nor Hayati Onn.

Nor Hayati ingin tahu sama ada syarat penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian bakal dilonggarkan atau tidak atas sebab suhu serta kes jenayah yang meningkat.

Selain itu, Jelaing berkata kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) juga mendapati penggunaan cermin gelap boleh menghalang penglihatan pemandu dan boleh menjadi punca kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan untuk memasang cermin gelap atas alasan kesihatan sekiranya diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan atau jika terbukti adanya ancaman keselamatan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169551

Friday, June 17, 2011

Kerajaan teliti pindaan Akta Sewa Beli

Jun 15, 11 6:18pm

Penjual kereta, pengedar dan pengguna diminta bertenang kerana kerajaan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berhubung pelaksanaan Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) yang mula dilaksanakan hari ini.

NONEMenteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata ketiga-tiga pihak ini bimbang, kerana akta tersebut memperuntukkan pemeriksaan tambahan ke atas kereta terpakai sebelum ia dijual, yang menurut mereka akan mengakibatkan kos tambahan dan kelewatan.

Oleh kerana itu mereka bimbang, termasuk dalam soal peruntukan baru berhubung penyediaan wang muka, katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Pada 9 Jun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa penjual kenderaan terpakai dikehendaki membayar RM90 sebagai yuran pemeriksaan kepada Puspakom yang melakukan pemerikaan sebelum jualan boleh dibuat.

Di bawah akta ini, penjual boleh meminta deposit 10 peratus daripada pembeli.

Selain itu terdapat tambahan 14 item kenderaan yang perlu menjalani pemeriksaan tidak seperti sebelumnya hanya empat item.

NONE"Saya akan berbincang dengan menteri (Ismail Sabri) dan cuba mengemukakan penyelesaian yang baik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Kereta Kuala Lumpur & Selangor dan Syarikat Kredit (KLSCDCCA) Khoo Kah Jin berkata pemeriksaan empat item sekarang adalah memadai untuk perlindungan keselamatan.

Selepas sidang akhbar itu, Koh bertemu Ismail Sabri untuk membincangkan perkara berkenaan dengan wakil-wakil dari KLSCDCCA.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/167036

Friday, March 18, 2011

Pemilik upah lelaki rosakkan Lamborghini miliknya


BEBERAPA orang yang diupah merosakkan kereta Lamborghini Gallardo di Qingdao, wilayah Shandong, China.


BEIJING - Seorang ahli perniagaan China mengupah sekumpulan lelaki dari Shandong untuk merosakkan kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang berharga AS$804,301 (RM2.45 juta) dengan menggunakan tukul di Qingdao kelmarin.

Tindakan itu dibuat selepas beliau sangat kecewa dengan perkhidmatan servis pengedar kereta terbabit yang gagal menyelesaikan pelbagai kerosakan yang dialami Lamborghini miliknya.

Ahli perniagaan itu turut mendapati terdapat kerosakan yang dilakukan seseorang ke atas kereta miliknya di bahagian depan dan kerangka kereta sport itu semasa ia sedang dibaiki.

Orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki merosakkan kereta mewah itu yang sering rosak sejak dihantar kepada tuannya pada Oktober tahun lalu.

Selepas bertengkar dengan pengedar dan beberapa orang wakil kanan pengedar kereta Lamborghini, ahli perniagaan tersebut mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk melindungi haknya ialah dengan merosakkan kereta itu pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Sunday, February 6, 2011

FOMCA: Awas penipuan jurujual kereta

Feb 5, 11 5:00pm

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta kerana banyak kes penipuan membabitkan jurujual syarikat pengedar kenderaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata orang ramai tidak menyedari bahawa mereka telah tertipu oleh jurujual kereta sehinggalah kereta tempahan mereka tidak diterima pada masa yang ditetapkan.

"Banyak kes membabitkan penipuan penjualan kereta berlaku akibat kesilapan oleh pembeli sendiri seperti tidak menyiasat latar belakang syarikat pengedar kenderaan, berapa lama jurujual itu telah bekerja dengan syarikat berkenaan, adakah syarikat itu mempunyai rekod penipuan oleh jurujualnya dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan akhbar semalam mengenai hasrat seorang pesara tentera, Anuar Ariffin, 45, untuk memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Anuar, beliau membayar wang deposit itu dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya dan menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit sebanyak RM23,550 yang perlu dibayarnya.

Bagaimanapun jurujual tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kereta barunya selepas tiga bulan menunggu malah pihak syarikat pengedar kenderaan juga memberitahu bahawa jurujual itu telah berhenti kerja dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jurujualnya.

Anuar membuat laporan polis dan turut mengemukakan masalah itu kepada Tuntutan Tribunal Pengguna dan kesnya masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani menasihati orang ramai agar melakukan penyelidikan dahulu sebelum membeli kereta dengan tidak menumpukan terhadap satu kedai sahaja dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang mahir dalam urusan jual beli kereta.

Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa seperti polis dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar memastikan kes-kes penipuan penjualan kereta itu tidak berulang kerana ia memberi bebanan kepada pengguna.

Sekiranya pembeli itu mempunyai wang yang mencukupi mereka boleh melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes tersebut tetapi kos guaman lazimnya tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, katanya.

Beliau berkata Fomca mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani kes penipuan penjualan kereta kerana wujud individu yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang pantas.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155272

Monday, January 24, 2011

Jepun cipta beca elektronik




TOKYO - Pengangkutan lama kembali menjadi baru apabila sebuah syarikat Jepun memperkenalkan beca elektronik mesra alam pada Pameran Teknologi Automotif dan Elektronik di Tokyo, Rabu lalu.

Beca Meguru adalah kenderaan beroda tiga dengan tiga tempat duduk dan digerakkan menggunakan kuasa hanya sebuah bateri litium-ion dan mampu mencecah kelajuan maksimum 40 kilometer sejam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yodogawa, Nobuyuki Ogura berkata, kenderaan itu lebih mesra alam kerana menggunakan buluh yang dikitar semula dan dilengkapi tingkap boleh ubah, kincir angin dan selimut untuk disesuaikan dengan musim dan suhu persekitaran.

Beca berharga satu juta yen (RM37 ribu) itu juga boleh dihapuskan secara mesra alam tanpa memberi sebarang kesan buruk kepada alam sekitar.

"Kami menggunakan bahan semulajadi dalam menghasilkan beca ini jadi jika anda sudah tidak mahu menggunakannya, anda boleh menanam kenderaan ini dalam tanah," menurut Ogura.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8652518.asp

Tuesday, December 14, 2010

Ajal bawah lori 5 tan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohd Fauzi Abdullah dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my


Ajal bawah lori 5 tan

NGERI...anggota polis trafik mengangkat mayat Nor Azima, semalam.
NGERI...anggota polis trafik mengangkat mayat Nor Azima, semalam.
NOR AZIMA...maut
NOR AZIMA...maut

KUALA LUMPUR: Niat murni seorang anak gadis untuk membelikan kereta kepada ibunya tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam keadaan mengerikan akibat digilis sebuah lori hingga separuh tubuhnya hancur.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, Nor Azima Abdul Aziz, 22, maut di tempat kejadian selepas bahagian perut hingga kakinya digilis lori seberat kira-kira lima tan berhampiran Perpustakaan Negara, Jalan Tun Razak.


Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Jalan Bukit Goh, Kuantan, Pahang, menaiki motosikal bersendirian dari arah bulatan Pahang menuju ke tempat kerjanya di Jalan Semarak, di sini.

Ibu mangsa, Rosnah Budin, 45, yang ditemui di rumahnya di Kuantan, malam tadi berkata, kali terakhir dia berjumpa Azima ialah pada Sabtu lalu apabila anak sulung daripada empat beradik itu pulang secara mengejut ke kampung.


“Dia tiba di rumah pada kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lalu dan pada jam 12.30 tengah hari keesokannya dia bertolak semula ke Kuala Lumpur. Itulah kali terakhir kami sekeluarga menemuinya.


“Dalam, perbualannya dengan saya, arwah ada menyatakan hasrat untuk membelikan kereta kepada saya bulan depan. Saya diam saja mendengar kata-katanya itu dan terharu dengan niatnya untuk membantu biarpun dia baru kira-kira seminggu bekerja,” katanya.

Menurutnya, Azima baru menamatkan pengajian diploma perakaunan di Kolej Poly-Tech Mara, di sini kira-kira empat bulan lalu dan baru mendapat pekerjaan di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara.


“Patutlah dalam dua, tiga hari ini saya selalu berasa tak sedap hati. Saya sendiri tak tahu apa puncanya, rupa-rupanya itu petanda anak kesayangan saya akan pergi meninggalkan saya,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian Azima yang menunggang di lorong tengah tiba-tiba dirempuh sebuah lori yang datang dari arah belakang. “Rempuhan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan raya sebelum digilis lori berkenaan. Akibatnya, bahagian perut mangsa hingga ke bawah hancur. Pemandu lori itu melarikan diri dari lokasi kejadian dan meninggalkan mangsa begitu saja,” katanya.

Susulan itu, anggota polis trafik Kuala Lumpur bergegas ke lokasi kejadian dan menghantar mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Rakan karib Azima, Norhafiza Zahari, 23, berkata, ketika kejadian mangsa yang tinggal menyewa rumah di Taman Shamelin, Cheras, di sini, dalam perjalanan untuk memulakan kerja pada jam 4 petang.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ajalbawahlori5tan/Article



Tuesday, December 7, 2010

'Saya dah buntu'

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Sudah hampir lima tahun saya naik turun macam-macam jabatan dan jumpa macam-macam orang atasan untuk selesaikan kes ni. Kes tak juga selesai malah saya dihimpit macam-macam masalah.

“Saya sudah penat dan tak tahu nak buat apa lagi,” kata, Zilah Mahmood, 33, yang mendakwa identitinya dipergunakan pihak tertentu untuk tujuan pembelian dua kenderaan.


Katanya, namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sejak lebih tujuh tahun lalu bagi pembelian kereta Kia Spectra dan Proton Wira di dua institusi perbankan terkemuka di negara ini namun hanya disedarinya kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila dirinya diisytiharkan muflis oleh institusi perbankan terbabit yang mendakwa dirinya gagal melunaskan hutang pinjaman pembelian kereta Proton Wira berjumlah hampir RM40,000.


“Semuanya bermula pada 2006 apabila tiba-tiba saya dapat surat kompaun letak kereta dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu.


“Nama tertera pada surat itu memang nama saya tapi masalahnya kereta Kia Spectra itu bukan saya punya. Saya bukan setakat tak ada kereta, lesen kereta pun tak ada pada masa itu malah tak tahu memandu pun.

“Dari situ saya mula tahu ada orang gunakan nama saya dan saya sudah pergi ke macam-macam jabatan dan biro untuk mengesan siapa dalang di sebalik semua ini tetapi semua pihak seakan-akan tidak mahu membantu,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Zilah berkata, ketika dia sedang berusaha mendapatkan bantuan guaman untuk menyelesaikan kes berkenaan, bank terbabit tiba-tiba menghantar surat meminta dia menjelaskan hutang pinjaman kereta Kia Spectra terbabit bernilai kira-kira RM70,000 atau dia akan diisytiharkan muflis.

Katanya, sejurus kemudian, dia pergi ke Bank Negara untuk memeriksa status muflisnya selain meminta pihak Bank Negara mengambil tindakan terhadap bank terbabit.


“Alangkah terkejutnya saya apabila saya dimaklumkan saya sudah pun dimufliskan oleh sebuah bank lain, bukan bank yang sedang saya selesaikan kesnya. “Saya pun segera ke bank yang dimaksudkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dan sekali lagi nama saya digunakan oleh pihak tertentu untuk pembelian kereta jenis Proton Wira.


“Mana mungkin saya mampu memiliki dua kereta pada satu masa sedangkan gaji saya pun tidak sampai RM1,000 sebulan. Saya pun pelik macam mana dua bank ini boleh meluluskan pinjaman kenderaan sedangkan saya tuan punya badan tak tahu apa-apa malah tandatangan yang ada dalam dokumen perjanjian juga bukan kepunyaan saya. “Saya harap masalah ini dapat segera diselesaikan dan pihak bertanggungjawab tolonglah ambil tindakan. Saya mahu pihak bersalah dihadap ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.


Segala prosedur sudah dilakukan bagi membersihkan namanya daripada pengisytiharan muflis malah laporan polis juga dilakukannya hampir 10 kali sepanjang lima tahun ini namun layanan diterima daripada pihak berkaitan amat menyedihkan.


Zilah ketika ditemui turut memberitahu dia pernah kehilangan kad pengenalan pada 2001 yang mungkin salah satu faktor namanya digunakan bagi pinjaman kenderaan terbabit.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes itu selesai.


Penyebab itu berdasarkan maklumat pihak bank yang memberitahu penjamin bagi pembelian kereta jenis Kia Spectra juga pernah mengadu dia tidak pernah menjamin kenderaan terbabit serta pernah kehilangan kad pengenalan.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes berkenaan selesai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadahbuntu/Article/index_html

Tuesday, November 30, 2010

Pokok reput penyebab ajal


ISTERI Mohd. Helmi melihat mayat suaminya yang mati dihempap batang pokok reput di Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita hanya mampu menangis apabila suaminya yang baru sahaja menghantarnya ke tempat kerja maut dihempap sebatang pokok reput di Jalan Bukit Nanas di sini semalam.

Kejadian pukul 8.30 pagi itu menyebabkan seorang kakitangan bank, Mohd. Helmi Husain, 37, (gambar kecil) mati selepas mengalami cedera parah di kepala dihempap pokok setinggi lima meter yang terletak di kiri jalan itu ketika hendak ke tempat kerjanya di Jalan Ampang.

Isterinya juga seorang kakitangan bank dan bekerja di Jalan Pudu. Dia yang menerima khabar itu beberapa minit kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hanya mampu menangis.

Sebaik sampai, dia melihat mayat suaminya masih lagi ditimpa batang pokok tersebut sebelum ia dialihkan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, setiap hari, bapa kepada lapan anak itu akan menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum dia akan ke pejabatnya pula.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, pokok tersebut tiba-tiba tumbang sebaik mangsa melalui kawasan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Tuesday, November 23, 2010

Buah pinggang mungkin rosak

Buah pinggang mungkin rosak


Oleh Suraya Roslan

BUKTI...Yati menunjukkan kecederaan yang dialami.
BUKTI...Yati menunjukkan kecederaan yang dialami.

KUALA LUMPUR: “Berkali-kali saya minta maaf daripadanya tetapi dia tak hiraukan dan terus menendang saya,” kata seorang eksekutif pentadbiran yang menjadi mangsa buli jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ampang di sini, semalam.

Lebih trauma apabila doktor mengesyaki buah pinggang wanita berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yati itu mungkin rosak akibat tendangan lelaki berusia 30-an terbabit.

Semuanya bermula ketika Yati menunggang motosikal untuk ke tempat kerja dan ketika tiba di Jalan Ampang kira-kira jam 10 pagi, kenderaannya bergesel dengan motosikal lelaki terbabit.

“Saya berjaya mengawal motosikal dan tidak terbalik, tetapi saya lihat lelaki berkenaan terjatuh di atas jalan raya menyebabkan saya berpatah balik untuk melihat keadaannya,” katanya kepada Harian Metro.

Yati berkata, ketika bertanya keadaannya sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki terbabit terus bangun dan menendang motosikalnya hingga terbalik.


“Akibatnya saya terjatuh bersama motosikal dan lelaki terbabit terus meluru serta menendang saya berkali-kali. Saya berjaya bangun semula dan meminta maaf tetapi dia terus memukul saya terutama di bahagian pinggang,” katanya.

Dia bernasib baik apabila beberapa pengguna jalan raya berhampiran tempat kejadian segera bertindak menenangkan lelaki itu sebelum polis, ambulans tiba dan membawa kedua-dua mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya tahu saya bersalah sebab cuai ketika menunggang motosikal sehingga bergesel dengan motosikal lelaki itu, tetapi kecederaannya hanya sedikit, di bahagian siku saja dan dirawat sebagai pesakit luar di HKL,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman mengesahkan laporan kes itu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Buahpinggangmungkinrosak/Article

Friday, November 19, 2010

Nyawa remaja direntap ketika senja


PELESIT rempit melakukan aksi wheelly untuk menunjuk-nunjuk kehebatan kepada rakan-rakan mereka. - Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU - Keseronokan tiga pelesit rempit berlumba haram di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang belum dibuka dekat sini dengan membuat aksi berbahaya ala Superman berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka terbunuh selepas motosikal yang dinaiki bertembung sesama sendiri kelmarin.

Kejadian pukul 6.50 petang berdekatan Kampung Bukit Guntong di sini itu mengakibatkan seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun, Solihhuemi Harun dari Kampung Hulu Jeram, Tepu; Md. Abdul Rahman Md. Jusoh, 20, dari Kampung Raja, Tepu; dan Mohd. Firdaus Nawi, 20, dari Kampung Sungai Ikan, Tepu dekat sini maut.

Kesemua mangsa cedera parah dengan kepala dan tangan kiri salah seorang daripada mereka hampir putus. Seorang mati di lokasi kejadian. Dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ketika kejadian kesemua mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Honda Cub C70 dan Honda EX5 yang telah diubahsuai dengan kelajuan melebihi 100 kilometer sejam. Honda EX5 itu dipercayai kenderaan curi.

Difahamkan, sebelum kejadian, penunggang Honda Cub C70 dan Honda EX5 dari arah yang sama telah bergesel ketika berlumba sambil membuat aksi Superman manakala penunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah bertentangan yang juga sedang melakukan aksi sama merempuh mereka.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku ketika kesemua mereka menunggang pada kelajuan tinggi sambil membuat aksi berbahaya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Sunday, November 14, 2010

Kereta sport elektrik pertama Britain


JUTAWAN Dale Vince bergaya di sisi kereta elektriknya yang berharga £1 juta.


LONDON - Seorang jutawan di Britain, Dale Vince, 48, membelanjakan hampir £1 juta (RM5 juta) untuk membina kereta sport berkuasa elektrik pertama di Britain, lapor sebuah akbar semalam.

Dinamakan Nemesis, kereta elektrik tersebut yang memiliki 330 kuasa kuda (bhp), mampu memecut 0-160 kilometer sejam (km/h) dalam masa cuma 8.5 saat iaitu lebih laju daripada sebuah Ferrari.

Vince yang merupakan pengasas sebuah syarikat pembekal tenaga berasaskan kincir angin di Britain, mengupah sepasukan jurutera untuk membina kereta sport itu berdasarkan platform kereta Lotus.

Ia mampu bergerak sejauh 2,500 kilometer sebelum dicas selama dua jam dengan menggunakan soket pengecas segera atau 8 hingga 9 jam jika dicas di rumah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Tuesday, November 9, 2010

Sondol gajah

Sondol gajah

Oleh Ramli Ibrahim

CEDERA...Mohd Fikri menunjukkan kecederaan di dahinya.
CEDERA...Mohd Fikri menunjukkan kecederaan di dahinya.

GUA MUSANG: “Ketika memecut kenderaan, tiba-tiba pandangan saya gelap. Sedar-sedar, saya dapati kereta saya terperosok di bawah perut gajah,” kata Kamal Syazwan Kamarulzaman, 19, yang cedera selepas kereta dipandu merempuh gajah, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 3 pagi di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, ketika Kamal Syazwan bersama isteri dan seorang rakan dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk pulang ke rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh Satu.

Kemalangan itu menyebabkan dia dan rakan, Mohd Fikri Mat Nasir, 20, cedera ringan di muka dan menerima rawatan di Pusat Kesihatan Besar Bandar Chiku manakala isterinya, Nur Afiqah Abdul Hamid, 18, bernasib baik kerana tidak cedera.

Kamal Syazwan yang memandu Proton Iswara Aeroback berkata, dia tidak menyedari seekor gajah liar secara tiba-tiba keluar dari kawasan hutan dan berdiri di tengah jalan menyebabkan dia tidak sempat menekan brek.

“Memang ketika itu jalan berkenaan sunyi dan tiada kenderaan lain yang lalu menyebabkan saya memecut agak laju,” katanya.

Menurutnya, sebaik menyedari kereta dipandunya terperosok di bawah perut gajah, dia bersama isteri dan rakan dalam keadaan kelam- kabut bergegas keluar daripada kereta yang remuk kerana bimbang dipijak haiwan itu.

“Kami bersyukur kerana apabila keluar dari kenderaan, gajah berkenaan meninggalkan kawasan itu dan memasuki kawasan kebun penduduk di Kampung Sungai Lakit,” katanya yang tidak pasti sama ada gajah terbabit cedera atau tidak.

Kamal Syazwan berkata, dia diberi bantuan penduduk berhampiran yang bergegas keluar dari rumah selepas terdengar bunyi dentuman kuat kenderaannya merempuh gajah.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sondolgajah/Article

Tuesday, October 12, 2010

Nombor casis sama kereta di Jepun, Mercedes disita

12/10/2010 5:04pm

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLS 350 bernilai RM500,000 setelah didapati menggunakan nombor casis yang sama dengan sebuah kereta di Jepun.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Mohd. Nadzri Osman berkata, perkara itu terbongkar bulan lepas apabila Jabatan Kimia mengesahkan lima digit nombor casis itu mempunyai persamaan dengan kereta lain di Jepun, selepas melalui proses pendaftaran di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Pengedar kereta itu ingin melakukan proses pendaftaran di Puspakom pada 24 Jun lepas tetapi tidak diluluskan kerana terdapat gangguan pada nombor casis dan meminta pihak JPJ membuat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, JPJ kemudiannya mengenal pasti nombor casis itu pada bahagian bawah tempat duduk pemandu.

"Kita telah buka dan kikis bahagian tempat duduk itu untuk periksa nombor casis dan minta pihak Jabatan Kimia untuk pengesahan nombor itu sama ada ia mempunyai persamaan dengan kereta lain,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Interpol untuk membongkar perkara itu.

Beliau berkata, kereta terpakai yang berusia lima tahun itu diimport dari United Kingdom sebelum dijual di negara ini. - Bernama

Monday, October 11, 2010

Mercedes tarik balik C-Class, E-Class



Mercedes Benz C-Class.


WASHINGTON - Pengeluar kereta Mercedes-Benz mengumumkan penarikan semula kira-kira 85,000 unit kenderaan model C-Class 2010 dan model E-Class Coupe serta Cabriolet 2011 kerana masalah stereng.

Menurut agensi berita AP semalam, sistem stereng kenderaan itu mungkin gagal berfungsi sepenuhnya ekoran kebocoran cecair stereng.

Laporan mengenai masalah itu dikemukakan kepada Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA).

Menurut pengeluar kereta itu, satu penyambungan pada saluran stereng kuasa didapati tidak berfungsi dengan sempurna sekali gus mengakibatkan cecair untuk stereng mengalami kebocoran.

"Pemilik-pemilik mungkin tidak mempunyai kawalan yang mencukupi ke atas kereta itu ketika berada dalam keadaan seperti mahu meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang memerlukan kuasa maksimum stereng," kata pengeluar kereta tersebut dalam satu laporan kepada NHTSA yang didedahkan oleh LA News Monitor.com.

Syarikat pengeluar kereta dari Jerman itu mengetahui masalah itu berdasarkan aduan daripada beberapa pengguna kenderaan berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Friday, October 8, 2010

Panggilan Semula Gen2 Dan Satria Neo Beri Impak Minimum Ke Atas Proton

Jumaat Oktober 8, 2010

KUALA LUMPUR: Proton Holdings hanya mengalami impak minimum berikutan panggilan semula kereta Gen2 dan Satria Neo, kata MIDF Research pada Jumaat.

"Kami menjangkakan menerima reaksi negatif akibat panggilan itu, namun penyusutan harga saham Proton mungkin menyediakan peluang untuk membeli saham-saham pada paras rendah," katanya dalam nota kajiannya Jumaat.

MIDF bagaimanapun berkata ia mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.80.

Pada Khamis, pembuat kereta nasional itu membuat panggilan semula sukarela Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan "clock spring" yang boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu, yang merupakan sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global, melibatkan 15,911 (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh empat tahun.

Komponen "clock spring" menghubungkan suis dengan beg udara ke radio, hon dan kawalan "cruise".

OSK Research berkata saham Proton dijangkakan menyaksikan reaksi negatif sementara hari ini memandangkan tanggapan kualiti yang dipertingkat, akan dinilai semula oleh pelabur berpotensi.

"Ini akan memberi tekanan ke atas jualan Proton sehingga lebih banyak penjelasan dan statistik diberikan dan bagaimana kes itu muncul," katanya dalam nota penyelidikan.

Ia juga mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran RM5.67.

"Tekanan menurun hari ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul ketika kami terus mengekalkan unjuran positif ke atas Proton," katanya.

OSK bekata Proton tidak memperlihatkan sebarang impak ketika panggilan terakhir membabitkan 34,000 kereta Proton Savvy berikutan kemungkinan masalah galas roda yang boleh menyebabkan air memasuki tayar, pada April 2008.

Meskipun begitu, perolehan tidak terjejas memandangkan jualan Proton kekal berdaya tahan kerana Savvy bukan penyumbang utama kepada jumlah jualan berikutan jumlahnya yang kecil.

Ia berkata harga saham Proton tidak terjejas semasa panggilan semula itu berdasarkan potensi pendapatan daripada pelancaran baharu Proton Saga ketika itu.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/8/mstar_berita/20101008124456&sec=mstar_berita

Tuesday, September 28, 2010

Jutawan skuter mati naiki skuter


GAMBAR fail menunjukkan bekas pelumba kereta, Stirling Moss menunggang skuterSegway di The Mall, London pada 12 September lalu.


LONDON - Pemilik firma skuter futuristik Segway, Jimi Heselden meninggal dunia selepas kenderaan beroda dua yang dinaikinya itu terjatuh dari sebuah gaung ke dalam sungai, kata polis semalam.

Heselden, 62, merupakan seorang jutawan warga Britain.

Seorang jurucakap polis Yorkshire Barat memberitahu, mayatnya ditemui di dalam Sungai Wharfe berhampiran kediamannya di bandar Boston Spa, utara England kelmarin.

"Sebuah kenderaan Segway ditemui di tempat kejadian," kata jurucakap berkenaan yang turut menyatakan polis dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima laporan bahawa seorang lelaki terjatuh dari sebuah gaung.

"Kemalangan itu dipercayai bukan akibat perbuatan yang mencurigakan," jelasnya.

Heselden mengetuai sepasukan pelabur Britain yang membeli Segway Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) pada Disember tahun lalu. Firma berkenaan mengeluarkan dan mengedar skuter itu.

Dijana dengan kuasa motor elektrik, skuter tersebut merupakan sebuah pengangkutan peribadi dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam.

Penunggang skuter itu boleh menggerakkannya ke kanan atau ke kiri dan ia bolah dicas semula dengan menggunakan soket elektrik di rumah.

Sementara itu, beberapa laporan menyatakan Heselden meninggal dunia selepas seminggu dia menjadi antara dermawan paling utama di Britain dengan menyumbang £10 juta (RM48.9 juta) kepada sebuah badan amal.

Sepanjang hayatnya, Heselden yang memiliki syarikat HESCO Bastion, telah menghulurkan derma berjumlah £23 juta (RM112.6 juta).

Dia memiliki kekayaan mencecah £166 juta (RM814.14 juta) dan berada pada kedudukan ke-395 senarai Manusia Terkaya Sunday Times dengan mengatasi Simon Cowell iaitu pengasas program pencarian bakat nyanyian, X Factor. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Friday, September 3, 2010

Kereta Ferrari ditarik balik selepas terbakar


GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Ferrari yang terbakar di Paris, Perancis.


ROM - Pengeluar kereta terkenal Itali, Ferrari kelmarin menarik balik semua model 458 yang dikeluarkan sebelum Julai lalu di seluruh dunia selepas beberapa buah kereta itu terbakar secara tiba-tiba, lapor sebuah akhbar semalam.

Penarikan 1,248 buah model terbaru itu dengan nilai £212 juta (RM1.02 bilion) dibuat ekoran lima kes kebakaran misteri yang melibatkan kereta tersebut dilaporkan berlaku di California, Paris, Switzerland dan China.

Syarikat pembuat kereta Ferrari itu mula melakukan siasatan pada minggu lalu.

Namun, semalam, ia mengumumkan satu kecacatan dikesan pada lingkungan roda belakang model itu yang dipasang dengan sejenis gam khas sehingga menjadikan ia mudah cair.

Kecacatan itu menyebabkan bahagian kemasan roda yang bersentuhan dengan paip ekzos panas sekali gus mengakibatkan lapisan aluminium pada kereta tersebut cair dan akhirnya berlaku kebakaran.

Pihak Ferrari telah menghubungi pemilik kereta itu dan menawarkan untuk membaik pulih tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Kereta yang rosak teruk akan diganti dengan yang baru secara percuma jika kerosakan berlaku akibat daripada masalah tersebut.

Model 458 dijual pada harga £170,000 (RM816,937). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Friday, June 26, 2009

Proton rugi RM20j

KUALA LUMPUR: Kegagalan projek usaha sama Proton Holdings Berhad (Proton) dengan Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd (Goldstar), Dongguan, China, mengakibatkan Proton kerugian kira-kira AS$5.78 juta (RM20 juta), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerugian itu juga merangkumi modal pusingan dalam syarikat usaha sama itu.

“Kontrak usaha sama itu dengan jelas memperuntukkan semua pertikaian harus dirujuk kepada timbang tara. Oleh itu, selaras dengan Perjanjian Timbang Tara pada 6 Julai 2007, Proton Automobiles (China) Ltd (PAC) sudah memulakan prosiding timbang tara terhadap Goldstar di Singapura,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Lim bertanyakan mengapa projek usaha sama Proton dengan Goldstar di Dongguan, China gagal, dan nilai kerugian yang dialami serta kemungkinan Proton boleh menang dalam kes tindakan undang-undang yang diambil Goldstar di Singapura.

Najib berkata, Proton mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya dalam prosiding timbang tara itu kerana tindakan Glodstar memulakan prosiding mahkamah di Mahkamah Rakyat di Dongguan City, jelas bertentangan dengan perjanjian.

Thursday, June 18, 2009

Deposit kereta RM10,730 lesap


NUR ZAIDATUL menunjukkan laporan polis dan resit pembelian kereta di pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi terpaksa berputih mata apabila impiannya untuk memiliki sebuah kereta Perodua Viva tidak tercapai selepas wang deposit RM10,730 yang dibayar dilarikan oleh seorang jurujual palsu.

Mangsa, Nur Zaidatul Hafizah Ab. Ghani, 26, tidak menyangka jurujual yang ditemui untuk melakukan urusan pembelian kereta baru itu rupa-rupanya sudah lama diberhentikan daripada syarikat tempat dia bekerja ekoran dakwaan telah melakukan banyak penipuan.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengurus besar syarikat tersebut di Bandar Seri Permaisuri di sini ketika mangsa datang mencari jurujual yang berusia lingkungan 30-an berdasarkan alamat yang diberi.

Cerita mangsa, beliau mengenali suspek menerusi seorang kenalan yang pernah berurusan dengan lelaki tersebut dalam satu pertemuan di Gombak pada awal tahun lalu.

Pada pertemuan tersebut, suspek telah meminta mangsa membayar wang pendahuluan sebanyak RM3,000 dan berjanji akan menghubunginya semula pada satu tarikh yang akan diberitahu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Kereta hidrogen dipamerkan


SEBUAH kereta hidrogen yang dberi nama Riversimple Urban Car dipamerkan di tengah London semalam.



LONDON - Sebuah kereta berkuasa hidrogen yang direka untuk kegunaan di bandar dipamerkan di sini semalam.

Kereta dua tempat duduk itu boleh bergerak sejauh 386 kilometer tanpa mengisi semula minyak dengan beratnya 350 kilogram.

Berhubung aspek penggunaan minyak, ia boleh bergerak sejauh 106 kilometer bagi setiap satu liter dan mengeluarkan air.

Projek bagi membina kereta itu melibatkan Sebastian Piech iaitu cicit Ferdinand Porsche yang terkenal kerana mengeluarkan kereta Porsche pada tahun 1930-an.

Pihak pengeluar berharap kereta yang dikenali dengan namaRiversimple Urban Car itu dapat dikeluarkan pada 2013.

Kereta itu mampu bergerak selaju 80.47 kilometer sejam.

Namun kereta itu tidak dijual tetapi disewa kepada orang ramai pada harga AS$330 (RM1,161) sebulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...