Showing posts with label Roketkini com. Show all posts
Showing posts with label Roketkini com. Show all posts

Sunday, July 10, 2011

BERSIH BERJAYA!

9 July 2011

KomentarRoketkini

9 JULAI – Walau cuba ditipu, dibohongi dan dimomok oleh kerajaan UMNO-BarisanNasional, rakyat Malaysia tidak mudah diperdayakan.

Walau diancam, diugut dan dizalimi pihak berkuasa yang menjadi alat kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak takut dengan gertakan.

Walau terpaksa berdepan dengan gas pemedih mata, pancutan meriam air dan bantaian cota polis, rakyat Malaysia tidak gentar dengan keganasan pihak berkuasa.

Walau berita palsu disebarkan oleh media arus perdana milik kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak lagi percaya dengan tohmahan dan fitnah yang disebarkan oleh pemimpin politik yang sedang nazak di puncak kuasa.

Daripada ratusan ribu yang amat berani melangkah ke medan perjuangan di Kuala Lumpur hari ini, jutaan lagi rakyat Malaysia menumpahkan air mata gembira melihat perubahan yang sedang berlaku di ibu pertiwi tercinta.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 menjadi medan keganasan pihak berkuasa. Tetapi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak pula berdendam kesumat benci walau ada yang parah dipukul polis dan ramai pula yang disumbatkan ke dalam lori-lori polis.

Baik yang berpangkat tinggi dalam politik mahu pun yang marhaen, tua dan muda, lelaki dan perempuan, rakyat Malaysia berbagai bangsa dan kaum tidak lagi takut dengan ancaman kerajaan UMNO-BN yang terlalu angkuh dengan kuasa yang sedikit itu.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 telah terbukti berjaya.Perhimpunan aman yang menjadi tonggak kebebasan rakyat menyuarakan isi hati terhadap kerajaan yang zalim dan bongkak.

Memorandum tuntutan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih telah Berjaya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, walau pun ramai penganjur Bersih 2.0 telah ditahan pihak berkuasa lebih awal hari ini.

Perjuangan Bersih 2.0 memang Berjaya tetapi ia belum selesai. Selagi pilihanraya masih dikongkong, kotor dan tidak adil, selama itu juga perjuangan Bersih dalam bentuk-bentuk yang dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan perlu diteruskan.

Rakyat mahu kepada perubahan kuasa untuk membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk secara adil, bersih dan demokratik. Caranya bukan dengan rampasan kuasa atau apa-apa cara lain yang tidak demokratik, kecuali melalui pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Maka itu Bersih menuntut pilihanraya yang bebas, bersih dan adil untuk memastikan hanya yang benar-benar layak menjadi kerajaan dapat dipilih secara terhormat dan bertamadun.

Tahniah buat Bersih 2.0. Kepada mereka yang berada di ibukota pada 9 Julai 2011 untuk menyuarakan hasrat rakyat, jutaan terima kasih buat mereka atas keberanian, keikhlasan dan kejujuran dalam memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kebebasan. – Roketkini.com

Nota: Roketkini mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia prihatin yang telah gigih berusaha merakamkan gambar-gambar sepanjang perhimpunan aman Bersih 2.0. Jutaan maaf juga dipohon atas ketiadaan kredit untuk gambar-gambar yang disiarkan ini kerana terlalu ramai yang telah memuatnaikkan di alam maya tanpa dapat dikenal pasti dengan tepat.


http://roketkini.com/2011/07/09/bersih-berjaya/

Apabila tangan menjadi kaki – oleh Aishah


6 July 2011

Mengenangkan kata-kata A.Samad Said tentang penulis yang carma (cari makan), langsung teringat pada satu sajak yang bernuansa hampa oleh Muhammad Hj Salleh;

suaranya mengajarkan dengan kuasa ulang,

dengung dan rentaknya mengatur kehendak.

dialah penonton dirinya

yang memahami akan kesan suka kata

dan lonjak rasa di anak lidah.

kata-kata jadi banjir

kadang-kadang tiada tembok untuknya,

makna ditembusi bunyi

atau tertanam pada dasar diri,

kata hati tercerai dari kata mulut,

rasa berdosa disembunyi oleh kerajaan.

Sekarang di puncak usianya

Dia diagungkan oleh bunyi-bunyi merdu,

Tapi dikebumikan oleh kata-kata kosongnya sendiri.

tidak kukenalinya lagi

kawan lama

yang pernah peka pada bahasa

dan irama jiwa jejak lurus.

Ahli Politik, 23 November 1975

Kata orang dalam puisi kita temukan keperibadian penciptanya, kadang-kadang. Mungkin atas percaya-kata tidak mampu terlepas daripada kepentingan penciptanya, yang niatnya suci atau tercemar. Jika manusia itu produk sosial, bahasa pun tak lari jauh.

Biasa bagi penyair menzahirkan kehidupan ideal dalam puisi. Boleh jadi sebagai kritik sosial. Dan ada juga dibayar untuk mencipta kehidupan kedua, novel-novel cinta kasih, rindu dendam, rahsia kelambu, semuanya menjauhkan masyarakat daripada realiti. Penerbit buku suka ini. Bahasa yang dicari-cari ramai orang. Tak percaya? Cuba tanya PENERBIT BANGUNLAH HOI. Akhirnya, tulisan Kereko yang lebih dihargai lipas dan tikus.

Begitulah..

Ada yang ditidurkan dengan lullaby, ada yang dibangunkan dengan kata ala welstanchung – entah dari daerah mana dan ada yang melatah dengan p**kimak, kata kesat lagi keras bunyinya. Dan tidak banyak juga dengan kata laillaha ilallah. Tidak kurang juga dengan Zzzzzz. Macam-macam.

Burung juga masih kenal tempatnya, di atas dahan, anamatopeia yang tidak difahami melainkan bangsanya, mungkin itu lagu kebebasan. Bukan menuntut melainkan meraikan. Penyedap telinga bagi orang yang memikirkan masalah negara, agama, motosikal atau kekasih lari dikebas binatang.

Manusia itu sungguh pelik, di belakang katanya tajam kalah pedang, di depan manis daripada gula, Ya Tuan. Kata-kata ini berubah-ubah agar ia dapat digunakan lagi dan lagi. Jika terlalu jujur, tiada siapa-siapa yang ingin mendengar tetapi menuduhnya gila!

ini bukan daerah berterus terang.

janganlah bicara dengan suara percaya.

jangan menjawab soalan,

yang diminta hanyalah pujian dan ukir bahasa.

ini bukan daerah berterus terang

jikalau kau bercita-cita,

belajarlah menyembunyikan keris di belakang

dan menusuk di waktu memaling pandang

luangkan waktu untuk istiadat,

tekunlah menghantar dan menyambut tuan,

aturkan supaya selalu hadir di pertemuan rasmi

tapi jangan lupa, usaplah kepala anaknya.

sebelum pulang tanyakan harga kereta barunya

dan bagaimana dia mengilatkannya.

dalam sedikit masa

kau pula akan berpangkat,

merangkai huruf di belakang nama,

malah, lebih beruntung, juga di depannya.

Kau akan jadi ketua

Dan menuntut semua ini dari anak buahmu.

Ini Bukan Daerah Berterus terang oleh Muhammad Hj Salleh

Gila kerana terlalu berani. Gila kerana tak sedar diri. Tetapi itu jugalah Melayu, memilih untuk berdiam, diam itu emas katanya. Namun, di sisi lain, diamnya ada makna! Ingat-ingat pesan Usman Awang, merendah bukan menyembah, dan hebat amuknya (Melayu) tak kenal lawan.

Dan apabila tangan menjadi kaki di bumi, ia menusuk lawannya dengan peraturan sendiri. – Roketkini.com

NOTA PENGARANG:

  • Dalam satu majlis pada Ahad lalu, Sasterwan Negara Datuk A Samad Said mahu para intelek berhenti bersikap “carma” (cari makan) untuk menjadi berani menegaskan pendirian dalam soal kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan. Baginya, para intelek termasuk penulis dan wartawan jarang sekali menyatakan pendirian terbuka kerana kebanyakan mereka adalah manusia “carma”. Sikap sedemikian telah mengakibatkan kebejatan biak berkembang.
  • Empat Sasterawan Negara – Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan – dalam satu kenyataan semalam menyatakan: “Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi. Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini. Sajak “Unggun-Bersih” sepatutnya diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya, dan berada di atas perkiraan politik. Adalah menjadi salah satu peranan penulis untuk memindahkan denyut kehidupan anggota masyarakat ke dalam karya, atau menzahirkan dalam pelbagai bentuk manifestasi atau tindakan yang difikirkan sesuai oleh seseorang pengaran.”
  • Keempat-empat Sasterawan Negara itu turut menyuarakan tentang tangkapan pihak polis terhadap rakyat yang mahu kepada pilihan raya bebas, adil dan bersih: “Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan. Sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam”.

http://roketkini.com/2011/07/06/apabila-tangan-menjadi-kaki-oleh-aishah/

Ahli falsafah Yunani Plato berkata..

8 July 2011

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng pada 8 Julai 2011 di Kuala Lumpur

Ahli falsafah Yunani Plato berkata bahawa “kita boleh memaafkan kanak-kanak yang ketakutan ketika gelap; tragedi hidup yang sebenar ialah apabila manusia takutkan cahaya”.

Ia akan muncul di Malaysia, di mana lelaki yang memegang jawatan tinggi takut untuk berdepan dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk memperjuangkan hak- hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendapat dalam menangani permasalahan seperti kelemahan pilihan raya. Saya ingin mengulangi pendirian DAP dalam menyokong demonstrasi secara aman dan mengutuk demonstrasi ganas.

Perbuatan mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu, dengan menghalang mereka daripada berhimpun dan tidak membenarkan mereka memasuki kawasan- kawasan tertentu di Kuala Lumpur pada Sabtu ini adalah tidak masuk akal dan mendedahkan ketakutan yang tidak rasional kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein dan pihak polis.

Kami bersetuju bahawa konflik dan demonstrasi ganas harus dielakkan tetapi dari peringkat awal, perhimpunan Bersih 2.0 adalah merupakan perhimpunan aman. Sememangnya tidak ada unsur keganasan, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan yang menggambarkan sebaliknya.

Malah, perhimpunan Bersih 2.0 telah mendapat perkenan diraja apabila Yang di- Pertuan Agong sendiri menimbang tempat yang sesuai untuk orang ramai kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberikan persetujuan diraja untuk mengadakan perhimpuan di mana-mana stadium yang penganjur Bersih inginkan.

Perdana Menteri sendiri telah menasihatkan Bersih untuk menggunakan stadium, tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan Bersih untuk menggunakan mana-mana stadium di Lembah Klang, malah, mereka kini telah mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu termasuk semua pemimpin Bersih. Ini tidak termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas termasuk 6 dari PSM di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960!

Apa yang telah berlaku di negara kita apabila pemimpin kita dianggap seperti orang asing di tanah kita sendiri?

Senarai individu yang dihalang bukan sahaja pemimpin Bersih, Datuk S.Ambiga tetapi juga Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ahli EXCO Negeri Selangor, Teresa KOK, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu dan pemimpin- pemimpin PR yang lain. Bagaimana begitu ramai pemimpin yang telah dipilih di negara ini ditahan kerana kononnya mempunyai elemen-elemen bahaya?

Jangan kita pernah lupa bahawa bekas Presiden Majlis Peguam Negara Datuk Ambiga Sreenevasan telah dikurniakan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa oleh Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Michelle Obama. Pemimpin- pemimpin dunia mengangkatnya sebagai wanita yang berani tetapi di Malaysia, beliau dicerca sebegitu teruk dan dianggap sebagai musuh awam di mana pemimpin-pemimpin UMNO mendesak agar kerakyatan beliau dibatalkan.

Sesungguhpun Plato benar untuk mengatakan bahawa ia merupakan hari yang tragis bagi Malaysia apabila lelaki dewasa seperti Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin tewas kepada ketakutan untuk berdepan dengan cahaya. Atau adakah polis dan Hishamuddin masih merupakan kanak- kanak yang takut kepada kegelapan dan masih belum matang?

LIM GUAN ENG


http://roketkini.com/2011/07/08/ahli-falsafah-yunani-plato-berkata-bahawa-%E2%80%9Ckita-boleh-memaafkan-kanak-kanak-yang-ketakutan-ketika-gelap-tragedi-hidup-yang-sebenar-ialah-apabila-manusia-takutkan-cahaya%E2%80%9D/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...