Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Wednesday, August 3, 2011

PKR bawa isu pekerja Dawama ke Dewan Rakyat

Ogos 2, 11 2:49pm

PKR akan membangkitkan isu 380 pekerja Dawama Sdn Bhd - penerima konsesi Dewan Bahasa dan Pustaka - yang mendakwa dicutikan tanpa gaji untuk tempoh tidak pasti ke Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (bawah) berkata, beliau akan mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa pemotongan gaji untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar oleh majikan.

NONE"Ini adalah jenayah serius yang perlu diambil tindakan yang tegas," katanya yang juga anggoa parlimen Gombak.

Beliau juga berkata, PKR memberi tanggungjawab kepada aktivis kesatuan sekerja parti itu Abdullah Sani bagi mengangkat isu itu ke Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.

"Di harapkan agar masalah ini dapat diselesaikan segera dan pekerja-pekerja terbabit mendapat keadilan serta kebajikan mereka terjamin," katanya.

Sebelum itu, Azmin pada pagi ini menerima memorandum daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dawama Zainal Awit di hadapan Kompleks Dawama di Hulu Kelang berkenaan arahan cuti tanpa gaji.

Notis berkenaan bertarikh 29 Julai dan arahannya berkuat kuasa pada 1 Ogos.

4 kali memo pada TPM

Dalam kenyataannya petang ini, Azmin menyifatkan tindakan itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, khususnya apabila notisnya dikeluarkan tatkala umat Islam menyambut Ramadan.

"Hal ini sudah tentu memberi kesan dan tekanan emosi kepada keluarga pekerja-pekerja ini," kata Azmin.

NONEBeliau juga menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak melayan atau memberikan respons walaupun sudah empat kali diberikan memorandum oleh kesatuan sekerja.

"Perkara ini juga membuktikan bahawa projek pengswastaan tajaan kerajaan BN telah gagal untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian serta menjamin kebajikan pekerja," katanya.

Katanya, sudah menjadi amalan BN apabila sesuatu projek pengswastaan gagal, pengurusan syarikat terus dilindungi dan menikmati kemudahan dan keuntungan yang besar manakala kebajikan pekerja terus diabaikan.

"Saya berpandangan bahawa alasan yang diberikan oleh Dawama bahawa syarikat sedang mengalami masalah kewangan untuk membiayai operasi harian adalah tidak munasabah.

"Hal ini memandangkan syarikat mempunyai konsesi yang besar daripada pihak kerajaan melalui Perjanjian Konsesi Pengswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka bertarikh 19 Jun 2002," katanya.


http://malaysiakini.com/news/171767

Wednesday, November 10, 2010

Zaid bukan pejuang sebenar kata Mansor

Nov 9, 10 5:54pm

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bukan pejuang sebenar, kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Mansor yang bertanding bagi satu daripada empat jawatan naib presiden berkata Zaid tidak dapat menangani tekanan daripada anggota parti di peringkat akar umbi.

"Saya tidak fikir Zaid seorang pejuang sebenar kerana apabila beliau menghadapi tekanan, beliau menyerah kalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Dewan Undangan Negeri Pualau Pinang hari ini.

Semalam, Zaid dilaporkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dengan alasan pucuk pimpinan PKR tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

Dalam kenyataannya semalam, Zaid juga mengumumkan beliau melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri (I) berkata, apabila Zaid mendapati bahawa peluangnya tipis untuk menang, beliau menarik diri.

"Beliau (Zaid) tidak menghadapi tekanan daripada pimpinan parti tetapi suara-suara akar umbi memberi petunjuk bahawa beliau mungkin kalah, jadi beliau menarik diri," katanya.

Mengenai dakwaan Zaid berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, Mansor berkata jika ada, beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu melalui saluran yang betul dan bukan melalui media.

"Kita sepatutnya tidak menggunakan media untuk menyerang parti, tetapi membawa isu berbangkit pada mesyuarat parti untuk penyelesaian," katanya.

Bagaimanapun, Mansor yang kecewa dengan keputusan Zaid, juga mengakui bahawa parti itu kini dalam dilema bagi menangani masalah anggota baru parti yang mencari kedudukan.

"Mereka masih baru di dalam parti dan apabila gagal dalam cubaan untuk mendapatkan jawatan dalam parti, mereka membenarkan diri mereka dikawal 'musuh' untuk menyerang parti," katanya.

Friday, October 8, 2010

Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bintang Keluar Parti

Jumaat Oktober 8, 2010

KUALA LUMPUR: Pengerusi MCA bahagian Bukit Bintang Datuk Dr Lee Chong Meng, Khamis, mengumumkan keputusan beliau untuk keluar dari parti itu dan dengan rasminya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Lee, yang popular dengan panggilan "Doktor ayam" berkata beliau sudah menghantar surat perletakan jawatannya dapat parti kepada ibupejabat MCA tengah hari Rabu selepas beliau kembali dari luar negara.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis beliau berkata pada mulanya memang beliau keberatan untuk meninggalkan parti.

"Namun apabila presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengumuman yang saya akan digantung keanggotaan atas tuduhan menyalahguna peruntukan kerajaan, saya memutuskan sudah tiba masaya saya tinggalkan parti," katanya.

Lembaga Disiplin MCA sebelum ini mencadangkan supaya keaggotaan Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan beliau menyalah guna peruntukan yang diberikan kerajaan pada 2008.

Khabar angin mengenai penyertaan Lee dalam PKR sudah bermula sejak Jun lepas apabila beliau mengaku ada mengisi borang permohonan keanggotaan parti itu, namun tidak menandatanganinya.

Lee menafikan beliau menyalah guna peruntukan kerajaan pada 2008, dan menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu adalah untuk aktiviti Tahun Baru Cina di mana beliau sendiri mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/8/mstar_berita/20101007230837&sec=mstar_berita

Thursday, August 27, 2009

Sebat Kartika hampiri syariah: PKR

Dr Muhammad Nur Manuty
Ogos 27, 09
3:04pm

Polemik yang melanda negara mengenai isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang sedang hebat diperkatakan sekarang ini menampakkan dengan jelas kekeliruan banyak pihak – orang Islam dan bukan Islam - mengenai prinsip keadilan Islam dalam melaksanakan syariah.

Isu ini hendaklah dilihat dalam satu perspektif yang tepat dan holistik. PKR berpandangan bahawa ia bukan berpunca dari keraguan kepada keadilan syariah Islam, tetapi ia lebih disebabkan oleh lunturnya kepercayaan ke atas integriti sistem pentadbiran dan pelaksanaan syariah itu sendiri.

Sebagaimana integriti sistem kehakiman negara yang terhakis lantaran pelbagai gejala skandal, maka perkara yang hampir sama jugalah terjadi kepada pelaksanaan hukum syariah kita.

Jelasnya, ia telah dicemari oleh pengaruh sistem politik negara masakini yang dibarahi dengan pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.

Maka akibatnya, kita melihat pelbagai ketempangan dan ketidakadilan berlaku dalam pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

Banyak kes yang melibatkan golongan atasan dan berpengaruh tidak diadili dengan seadilnya dan akhirnya mereka dibebaskan daripada sebarang tindakan undang-undang syariah.

Memadailah kami memberikan dua contoh berikut:

Mufti Selangor yang dipecat lantaran mempertahankan tindakan undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri tersebut.

Kegagalan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan bertindak segera menyiasat aduan fitnah liwat yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Amat ketara, agensi pelaksana hukum syariah tidak mampu melaksanakan keadilan kerana tekanan dari parti yang memerintah. Akibatknya, mereka dilihat gagal menangani pelbagai isu secara tuntas, menyeluruh dan seadilnya tanpa mengira status dan gender.

Hasilnya, kredibiliti agensi-agensi ini akan sentiasa dipandang rendah dan tidak meyakinkan rakyat.

Fenomena yang sama sedang dialami dalam kes jenayah arak. Ia hanya melibatkan hukuman terhadap orang awam yang lemah, rakyat yang miskin dan kaum wanita.

Pihak berkuasa dilihat gagal untuk bertindak dan menghukum para usahawan, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang industri arak ini.

Dalam kes Kartika Dewi, PKR berpandangan bahawa dalam keadaan para ulama sendiri berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan, hukuman yang dijatuhkan (terhadap wanita ini) "mendekati" hukuman Islam.

Namun begitu, sikap Kartika yang mengakui dan menyesali kesalahannya, serta tidak membantah hukuman yang dikenakan amatlah dipuji.

Ia menampakkan, sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.

Kita juga berpandangan bahawa Kartika berhak mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya dan pihak bertanggungjawab wajib mempertimbangkan rayuannya itu.

Sehubungan hal di atas, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sepotong ayat al-Qur'an yang bermaksud:

"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melaksanakan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ma'idah: 38-39)

Sebagai jalan keluar, dalam usaha ke arah mengakhiri permasalahan di atas untuk jangka pendek PKR ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:

- Kartika Dewi perlu diberi peluang untuk membuat rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya.
- Semua pihak berkuasa termasuk pemimpin-pemimpin politik hendaklah memberi kebebasan kepada autoriti perlaksanaan syariah bagi melaksanakan tugas mereka secara professional.
- Mengiktiraf hakikat kuasa mentadbir hukum syariah adalah milik seutuhnya umat Islam.

Untuk jangka panjang, agensi pelaksana hukum syariah hendaklah diperkasakan melalui:

- Program-program tarbiyyah mendidik masyarakat Islam supaya mengelakkan diri dan meminum arak hendaklah dilancarkan secara besar-besaran oleh semua pihak –agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan NGO.
- Latihan-latihan yang lebih professional dalam pelbagai bentuk berkaitan.
- Usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman hukuman syariah segera dilakukan diseluruh negara.
- Rakyat perlu mempastikan wujudnya barisan kepimpinan negara yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal keagamaan dan berintegriti.
- Selagi sistem politik negara gagal dirobah dan direformasikan, maka selagi itulah perjalanan mahkamah syariah kita tidak akan dapat berjalan dengan seadilnya. Kegagalan melaksanakan Islam secara adil akan menjadikan Islam terus dipandang lemah oleh orang bukan Islam dan di mata masyarakat antarabangsa.



Artikel ini kenyataan Dr Muhammad Nur Manuty, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), kini pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR

http://www1.malaysiakini.com/news/111533

Friday, November 21, 2008

Anwar yakin satukan parti utama pembangkang Sabah, Sarawak hadapi pilihanraya




Jumaat November 21, 2008

KOTA KINABALU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat menyatukan semua parti utama dalam barisan pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan seorang calon sahaja menentang calon Barisan Nasional (BN) di setiap kawasan pada pilihanraya umum akan datang.


Katanya formula seumpama itu, yang diilhamkan oleh PKR, DAP dan Pas di semenanjung, ternyata telah membawa kejayaan yang besar kepada pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum lepas.


"Di Sabah dan Sarawak, memang ada calon (daripada pakatan) yang bersaing sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan undi untuk parti pembangkang.


"Inilah yang kita mahu elakkan,"
katanya selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat untuk kawasan Kota Kinabalu di Jalan Damai, Luyang dekat sini hari ini.


Menjawab soalan, Anwar berkata usaha mempelawa Parti Maju Sabah (SAPP), yang keluar daripada BN baru-baru ini, untuk menyertai Pakatan Rakyat sedang dibuat dan mengesahkan yang beliau sudah menemui presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hari ini.


"Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh Pakatan Rakyat di semenanjung pada pilihanraya Mac lepas," katanya.


Mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil parlimen Pensiangan, Anwar berkata sekiranya pilihanraya kecil itu diadakan, PKR akan tetap meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_mutakhir/20081121191046&sec=mstar_mutakhir

Thursday, November 20, 2008

Zainal: PKR Sarawak ramal pilihan raya negeri diadakan tahun depan




Rabu November 19, 2008

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meramalkan pilihan raya negeri ke-10 akan diadakan pertengahan tahun depan ekoran perkembangan terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan bekas pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) menyertai parti itu.


Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Senusi, yang membuat ramalan itu, hari ini berkata kemasukan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ngemah, Gabriel Adit Demong, bekas anggota Parlimen kawasan Sri Aman, Jimmy Donald dan beberapa pemimpin BN dan hampir 12,000 anggota BN akan memperkukuhkan PKR di Sarawak.


"Saya optimistik bahawa lebih ramai pemimpin BN akan menyertai PKR dalam waktu terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau mendakwa terdapat petunjuk yang penduduk Sarawak mahukan perubahan terutama berhubung dasar tanahnya.


Adit, 58, yang memenangi kerusi itu atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri 20 Mei, 2006, menghantar permohonan untuk menyertai PKR Sabtu lepas. Dengan kemasukannya, parti itu kini mempunyai dua anggota dalam Dewan Undangan Negeri.


Seorang lagi ialah Dominic Ng yang juga pengerusi PKR negeri dan wakil rakyat Padungan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/19/mstar_berita/20081119151408&sec=mstar_berita

Tuesday, November 18, 2008

Nik Aziz: Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Islam



Selasa November 18, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.


Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.


"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.


"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.


Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.


"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.


"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam,"
katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_mutakhir/20081117235549&sec=mstar_mutakhir

Thursday, November 13, 2008

Pengakuan Zaki: Usul kedua ditolak, Karpal buat laporan polis



Rabu November 12, 2008

KUALA LUMPUR: Usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah ditolak buat kali kedua hari ini.


Justeru, Karpal akan memfailkan laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 3 petang esok.


"Nampaknya tiada lagi cara lain supaya isu ini dibahaskan atau dibincangkan kerana Dewan Rakyat telah menolak usul yang saya failkan sebanyak dua kali," kata Pengerusi DAP itu di lobi Parlimen hari ini.


Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai kepentingan awam kerana ia melibatkan kredibiliti seorang Ketua Hakim Negara.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.


Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri.


"Kelakuan hakim-hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali atas sesuatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh pihak kurang daripada satu perempat daripada bilangan ahli Majlis Parlimen," katanya.


Namun Karpal tetap tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat itu kerana menurutnya isu yang dibangkitkannya adalah yang berkaitan sewaktu Zaki berkhidmat sebagai peguam.


"Isunya di sini ialah apa yang berlaku pada tahun 1987 seperti yang beliau (Zaki) nyatakan sebelum ini iaitu pernah memberi rasuah.


"Kita bukan mahu bincangkan mengenai sifatnya atau kelakuannya kini sebagai seoarang Ketua Hakim Negara,"
katanya.


Pada sidang media berasingan, Pandikar Amin menjelaskan sebab beliau membauat penolakan tersebut.


"Peraturan Mesyuarat itu jelas mengatakan bahawa apa jua yang berkaitan dengan sifat atau kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan di Parlimen.


"Memang Yang Berhormat Bukit Gelugor katakan bahawa isu yang beliau bawa adalah yang berlaku dahulu semasa Tan Sri Zaki menjadi peguam, tapi kalau saya biarkan usul ini dibahaskan, tidakkah mereka akan tetap kaitkan dengan sifat-sifat beliau... ini pasti berlaku,"
katanya.


Ditanya kemungkinan persepsi masyarakat bahawa beliau hanya menolak usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, beliau tidak kisah dengan persepsi sedemikian.


"Saya tak kisah apa mereka akan kata. Saya hanya jalankan tugas bagi memastikan perjalanan mesyuarat lancar.


"Tapi anda harus ingat bahawa semua usul yang saya terima hanya daripada pembangkang,"
katanya.


Jelas beliau, jika ada usul yang dikemukan pihak kerajaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, beliau akan tetap melakukan perkara yang sama.


"Kalau pihak penyokong kerajaan juga ada usul yang tak memenuhi syarat, saya akan tolak juga," katanya.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112143747&sec=mstar_berita

Tuesday, November 11, 2008

Perak digesa batalkan lesen GRO asing




Nov 11, 08 1:44pm

Polis menggesa kerajaan Perak dan pihak berkuasa tempatan
(PBT) membatal lesen pengusaha pusat hiburan yang menggunakan wanita-wanita asing sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).

Ketua polis negeri Datuk Zulkefli Abdullah berkata, cadangan itu berikutan pihaknya banyak menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada suri rumah yang mengadu suami mereka sering menghabiskan wang dan masa di luar dengan mengunjungi premis-premis hiburan.

"Kita tidak boleh mengabaikan aduan yang dibuat oleh suri-suri rumah
berkenaan kerana nanti dikatakan pihak polis tidak berbuat sesuatu tetapi saya berharap pihak PBT juga turut membantu menangani masalah ini," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan ketua polis Perak hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh Januari hingga September 2008 seramai 983 wanita warganegara asing telah ditahan dalam 305 serbuan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika bekerja di premis berkenaan.

"Kebanyakan wanita pekerja asing itu, berasal dari China, Indonesia dan Vietnam, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau menggunakan visa melancong untuk bekerja di premis berkenaan yang merupakan satu kesalahan.

"Saya berharap kerajaan negeri atau PBT dapat membatalkan premis-premis terbabit yang dikesan sering mengambil pekerja asing tanpa sebarang dokumen bekerja di premis mereka kerana ia turut menggalakkan perbuatan maksiat," katanya.

Zulkefli juga meminta syarat lebih ketat diletakkan bagi permohonan lesen itu memandangkan ada bilik-bilik khas atau tempat persembunyian GRO terbabit ketika pihak polis menjalankan operasi di pusat-pusat hiburan berkenaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/92853

Saturday, November 8, 2008

Kes liwat Anwar kekal di mahkamah sesyen


Nov 7, 08 3:58pm

dikemaskini Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh didengar di mahkamah yang sama.

Hakim SM Komathy Suppiah mendapati sijil untuk memindahkannya ke
Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Keputusan itu diambil selepas ketua pembangkang dan penasihat PKR itu membantah kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan mempertikaikan kesahihan sijil pemindahannya yang ditandatangani oleh Abdul Gani dengan alasan Peguam Negara sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah berhubung satu laporan oleh Anwar, mendakwa Abdul Gani memalsukan keterangan
dalam siasatan insiden "mata lebam" yang dialaminya semasa ditahan pada 1998.

Sewaktu mengetepikan permohonan pendakwaan, Komathy berkata sijil itu berlawanan dengan jangkaan Anwar bahawa Abdul
Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

Hakim kemudian menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan.

Pada 10 September lalu, hari kes itu disebut, peguam mantan timbalan perdana menteri itu membantah permohonan pendakwaraya untuk memindahkan kes tersebut.

Peguam utamanya Sulaiman Abdullah berkata, mahkamah sesyen memenuhi semua keperluan untuk terus mendengar kes tersebut dan menegaskan bahawa hakim berkenaan layak mendengarnya.


Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan pendakwaraya kanan Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang juga ketua unit pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, mengetuai pendakwaan.

Sementara Sulaiman mengetuai pasukan pembelaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/92652

Friday, November 7, 2008

Tegas mahu Rosmah disingkirkan dari Unisel


Abdul Rahim Sabri Nov 6, 08 3:59pm

kemaskini 7:48pm Pemuda Pakatan Rakyat bertegas ingin isteri timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan daripada jawatan canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan tidak bercadang menggugurkan Rosmah Mansor seperti desakan Pemuda Pakatan Rakyat semalam.

Kerajaan negeri ingin mengekalkan keputusan lembaga pengarah Unisel - dimiliki sepenuhnya oleh Selangor - yang melantik isteri Najib pada Ogos 2006.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha DAP negeri Lau Weng San berkata pemimpin Pemuda ketiga-tiga parti itu akan membangkitkan isu kedudukan Rosmah dalam pertemuan dengan barisan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat malam ini.

Pertemuan peringkat negeri Selangor itu yang diadakan di kediaman rasmi Abdul Khalid akan disertai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi.

Dalam surat bantahan yang diserahkan kepada menteri besar semalam, mereka mendakwa Rosmah Mansor "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."

Lau, Khairul Anuar dan Sallehen yang menegaskan pendirian mereka untuk menggugurkan Rosmah dijangka turut membangkitkan kedudukan ahli-ahli lembaga pengarah Unisel dalam pertemuan di Shah Alam, dijadual bermula 8.30 malam ini.

Kekosongan naib canselor Unisel belum lagi berganti selepas perkhidmatan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus ditamatkan oleh Abdul Khalid, sebagai pengerusi syarikat yang mengurus universiti itu, mulai akhir Jun lepas.

Penamatan kontraknya berkuatkuasa 31 Julai lepas.

Lau, yang juga wakil rakyat Kg Tunku, menyifatkan tindakan Abdul Khalid mahu merujuk ahli lembaga pengarah Unisel terlebih dahulu berhubung kedudukan Rosmah "satu tindakan yang adil dan mengikut prosedur".

"Tetapi kami berharap beliau (Tan Sri) mempertimbangkan pendirian yang kami buat. Tidak ada sebab Rosmah dilanjutkan sebagai canselor," katanya lagi.

Dihubungi hari ini, Sallehen berkata perkara lain yang dijangka turut dibincangkan termasuklah isu pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang baru.

Pemangku jawatan tersebut Low Siew Moi, timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS, mencetuskan bantahan kerana beliau bukan pemimpin Melayu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92590

Kelab Penyokong Muda PAS dilancar 15 Nov

Nov 4, 08 4:23pm

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) ekoran sokongan dan kepercayaan rakyat, khususnya anak muda pelbagai kaum, terhadap parti itu dalam pilihanraya umum yang lalu.

Kelab tersebut akan dilancarkan oleh Ketua DPP, Salahuddin Ayub, yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, pada 15 November ini bertempat di pejabat agung PAS di ibunegara.

Pengerusi Lanjah Perpaduan Nasional (LPN) DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, inisiatif penubuhan kelab tersebut adalah selaras dengan dasar PAS dan juga Islam yang memberikan hak dan keadilan
kepada seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, Kelab Penyokong PAS (KPP) telah ditubuhkan, tetapi pada masa yang sama, wujud kehendak dari kalangan golongan muda bukan Islam untuk terlibat aktif secara langsung bersama PAS
dalam memperjuangkan hak-hak rakyat, khususnya bukan Islam.

"Setelah PAS berjaya melancarkan KPP pada tahun 2004 dan kini keahliannya sudah pun mencecah 18,000 orang, maka DPPP mengambil inisiatif untuk membentuk KPMP yang akan lebih cenderung ke arah aktiviti yang berbentuk pemudaaan.

"KPP sedia ada dilihat lebih dianggotai oleh golongan dewasa serta aktivitinya tidak banyak menjurus kepada golongan muda," kata Khairul Faizi dalam satu kenyataan hari ini.

'Himpunan Anak Muda'

Menurutnya, majlis perasmian tersebut akan diserikan dengan beberapa acara seperti persembahan kumpulan anak muda dari KPMP, pelancaran misi dan visi KPMP, penyerahan borang keahlian KPMP dan majlis memperkenalkan jawatankuasa penaja KPMP.

Khairul Faizi berkata, KMPM juga akan ditubuhkan di peringkat negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, katanya, LPN akan bergerak ke seluruh negara untuk melancarkan KPMP di peringkat negeri, selepas pelancarannya pada 15 November depan.

Beliau berkata, kemuncak penubuhan KPMP akan diadakan pada bulan Mei 2009.

Khairul Faizi berkata ia merupakan satu himpunan Anak Muda KPMP yang akan menghimpunkan kesemua jawatankuasa penaja yang telah berjaya ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri-negeri.

"Himpunan Anak Muda KPMP telah dipersetujui untuk diadakan di sekitar Lembah Klang," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92431

Pemuda: Gugurkan isteri Najib di Unisel

Jimadie Shah Othman Nov 4, 08 1:31pm

kemaskini 3:35pm Pemuda Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Selangor menggantikan isteri timbalan perdana menteri, Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

Universiti milik penuh kerajaan negeri itu melantik isteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.

Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bersama Pemuda PAS Selangor dan DAP Selangor akan menyerahkan surat bantahan kepada Abdul Khalid esok.

Dalam surat bantahan itu, Pemuda Pakatan mahu Unisel mencari seorang calon canselor yang "lebih bermoral dan berintegriti."

"Rosmah mempunyai nilai moral yang dipertikaikan oleh masyarakat. Rosmah bukan untuk gedung ilmu, tetapi lebih tepat untuk gedung membeli-belah," kata ketua AMK negeri Khairul Anuar Ahmad Zainudin.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, beliau bagaimanapun menafikan bantahan itu bermotifkan politik.

"Ini bukan soal musuh politik, ini tentang maruah universiti," katanya, yang juga naib ketua Pemuda PKR.

Menurutnya lagi, secara teknikalnya, penggantian jawatan itu boleh dijalankan dalam masa sebulan.

Mengulas calon yang bakal menggantikan bakal wanita pertama itu, Khairul Anuar berkata:

"Ramai lagi tokoh-tokoh dalam Pakatan, dalam PKR, DAP dan PAS yang layak mengisi jawatan itu.

"Contohnya naib presiden PKR Dr Syed Hussin Ali sendiri yang lama bergiat dalam politik dan yang mempunyai penguasaan akademik dalam bidang antropologi."

http://www1.malaysiakini.com/news/92401

PKNS: Umno harap Khalid buat pilihan betul

Jimadie Shah Othman Nov 3, 08 3:48pm


Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berharap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dapat melantik pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru "yang betul".

"Harap (menteri besar) lantik yang betul, bukan cari punca hendak mengorek," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut maksud "mengorek" itu.

Sejak Isnin lalu, jawatan itu dipangku sementara oleh Low Siew Mo - mengambil alih tugas Datuk Harun Salim yang bersara.

Keputusan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low telah dibantah enam persatuan kakitangan PKNS yang menyerahkan memorandum dan mendesaknya menarik balik pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mencari calon bumiputera untuk mengisi jawatan tersebut.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahman yang juga timbalan pengerusi Persatuan Pelajar Melayu Selangor mengakui jawatan itu patut diberikan kepada golongan bumiputera.

‘Harap MB faham'

Ditanya sama ada beliau akan menggerakkan suatu bantahan besar kumpulan NGO seperti yang pernah dilakukannya Julai lalu, beliau berkata tidak perlu kerana bantahan yang dibuat sudahpun cukup.

"Tidak, sudah cukup (bantahan yang dibuat). Harap beliau (menteri besar) fahamlah. Takkan tidak faham lagi," katanya.

Pada 3 Julai lalu beliau dilaporkan memimpin 200 anggota pelbagai NGO bagi menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam hal ehwal Islam.

Diminta mengulas proses penelitian jawatan tertinggi PKNS itu oleh jawatankuasa pemilihannya yang akan memulakan temuduganya bermula Khamis ini, Abdul Rahman berkata, pelantikan itu merupakan hak menteri besar dan terpulanglah kepada kerajaan negeri untuk memutuskannya.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor kelmarin dilaporkan berkata, permohonan sebagai pengurus besar akan diteliti oleh jawatankuasa pemilihan yang dianggotai Ketua Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ariff Ab Rahman; peguam Zain Azhari dan akauntan bertauliah, Datuk Azlan Hashim.

Calon yang disenarai pendek dilaporkan akan dirujuk kepada sebuah lagi jawatankuasa teknikal, terdiri daripada anggota beberapa persatuan berkaitan untuk semakan dan pengesahan kejayaan kerjaya calon terpilih.

PKNS dijangka mengumumkan keputusan dalam masa sebulan.

http://www1.malaysiakini.com/news/92350

Elaun guru agama di S'gor dinaikkan ke RM1,000

Nov 3, 08 3:16pm

Elaun bagi guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan dinaikkan kepada RM1,000 sebulan mulai Januari tahun depan berbanding RM738 sekarang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, seramai 6,262 orang guru berkenaan akan menerima kenaikan tersebut.

Abdul Khalid berkata dalam masa dua atau tiga tahun lagi jika keadaan kewangan kerajaan negeri mengizinkan, elaun itu mungkin dinaikkan di atas garis kemiskinan RM1,500 sebulan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menurut Bernama, Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi telah meminta kerajaan negeri agar menimbang semula kadar elaun itu yang agak rendah, di tengah-tengah kenaikan
harga barangan keperluan pasa masa ini, selain ia terletak di bawah paras kemiskinan RM1,500 sebulan.

Abdul Khalid berkata sehubungan dengan kenaikan elaun tersebut, para guru SRA dan KAFA mungkin diberikan kemahiran yang lebih, seperti mampu membina pangkalan data anak-anak murid mereka untuk rujukan Jais dan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian di majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jais dan meraikan kakitangan Jais yang bersara di Shah Alam hari ini.

Beliau turut merasmikan talian online JAIS "NCR Online" yang dibangunkan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat Islam dalam urusan perkahwinan dan penceraian.

http://www1.malaysiakini.com/news/92345

Thursday, November 6, 2008

BPR: Siasatan kes 'mata lebam' Anwar selesai

Oct 31, 08 3:05pm

Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah selesai menjalankan siasatan kes insiden "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan 10 tahun lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagaimanapun tidak dapat menyatakan dengan tepat bila siasatan itu selesai dan menurutnya kertas siasatan sedang dalam proses penelitian.

"Dari segi siasatan dah selesai tapi sekarang sedang dikaji oleh panel bahagian pendakwaan kita," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Mengenai bila keputusan siasatan tersebut akan diketahui, Ahmad Said dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, ia terserah kepada panel bahagian pendakwaan untuk menentukannya.

Siasatan itu dijalankan laporan yang dibuat oleh Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.

Abdul Gani pada ketika itu adalah timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Pada 15 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa siasatan kes insiden 'mata lebam' Anwar sudah selesai dan hasil laporan itu mendapati terdapat elemen penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mohamed Nazri menjelaskan siasatan kes itu dijalankan BPR dan bukan oleh Pejabat Peguam Negara seperti yang didakwa ahli Parlimen DAP bagi Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Mengenai kes kehilangan wang bukti berjumlah RM40,000 dalam peti keselamatan di pejabat BPR Sibu pada September lalu, Ahmad Said berkata kes itu diserahkan kepada polis untuk siasatan manakala BPR turut menjalankan siasatan dalaman.

"Seorang pegawai (BPR Sibu) yang disyaki terlibat telah pun dipindah ke Kuala Lumpur dan sedang disiasat ," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92216

Friday, October 24, 2008

Belanjawan mesti di semak kerana Scorpene dan Eurocopter

Abdul Aziz Mustafa

Thu Oct 23, 08 7:31:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Hrkh) - Belanjawan negara yang dibentangkan 30 Ogos lalu perlu disemak semula oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama berhubung pembelian kapal selam Scorpene, kos pembelian Eurocopter yang sama-samar dan begitu mahal, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kos pembelian Eurocopter RM0.387 bilion lebih tinggi dari dari peruntukan asal RM1.93 bilion oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Umum Keadilan itu juga menempelak agihan kekayaan negara yang banyak dimonopoli oleh kroni-kroni yang rapat dengan kepimpinan negara.

Beliau melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan kerajaan memaksa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan dana sebesar RM5 bilion yang akan dibahagi-bahagikan kepada syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai penyelamat kepada beberapa syarikat pelaburan yang lemas dalam kesulitan malah di peringkat nyawa-nyawa ikan.

Anwar mengupas secara terperinci dan menyeluruh tentang kepincangan dan defisit belanjawan negara yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, banyak kelemahan yang terdapat di dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Soal-soal kesihatan, pelajaran dan pendidikan, pembaziran kewangan, pertahanan negara, moral dan beberapa lagi isu berbangkit.

Anwar juga menumpukan tegurannya terhadap amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi terutama di kalangan para pemimpin negara ini.

Sidang media yang diadakan di Parlimen itu turut di sertai bersama oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar._

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17522&Itemid=1

Thursday, October 23, 2008

"Tidur disiang hari" Anwar


'Mereka bukan saja bermimpi, malah tidur di siang hari,' kata Anwar

14 Oct 2008 10:26AM

KL: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggunakan peluang berucap dalam sesi pembahasan selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dengan meminta kerajaan membentangkan Belanjawan 2009 baru.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata pemimpin kerajaan kini 'tidur di siang hari' sedang sistem kewangan sejagat mengalami keruntuhan.

Menurut beliau, bajet yang dibentang sebelum ini tidak mengikut keadaan semasa.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan Malaysia masih mendakwa bahawa ekonomi negara itu masih kukuh, sedangkan Singapura, yang mempunyai ekonomi lebih rancak, kini mengalami kemelesetan teknikal.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan akan berdepan dengan kesukaran meraih dana untuk menampung belanjawan yang dibentangkan sebelum ini.

'Mereka bukan saja bermimpi, malah tidur di siang hari,' kata Datuk Seri Anwar.

'Jika Menteri Kewangan yang baru (Datuk Seri Najib Tun Razak) benar-benar bertanggungjawab, beliau mesti membentangkan bajet baru,' jelas beliau.

Datuk Seri Anwar menambah bahawa pembangkang mampu membentangkan belanjawan yang lebih baik dengan menarik pelaburan asing.

Pada 18 September lalu, beliau mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia itu.

Semalam, Datuk Seri Anwar, bagaimanapun, berkata pembangkang akan 'menghentikan' sementara usul undi tidak percaya itu bagi memberi tumpuan kepada perbahasan Belanjawan 2009.

Sementara itu, Datuk Seri Abdullah menganggap tarikh 8 Disember yang ditetapkan oleh Datuk Seri Anwar untuk membentuk kerajaan baru sebagai 'karut' dan 'membuang masa'.

Menurut beliau, tidak ada sebarang sebab untuk anggota Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu dan menyertai Pakatan Rakyat.

'Barisan Nasional ialah pemenang dalam pilihan raya umum lepas dan kami ada kerja yang perlu dibuat.

'Mungkin ada perbezaan pendapat di antara kami dan sesetengahnya bukan mudah diselesaikan tetapi hakikatnya ialah kami telah diberi amanah oleh rakyat,' kata Datuk Seri Abdullah. / Agensi

http://www.klpos.com/news/2008/10/14/1.html

Tak sampai 20 orang MP BN yang dengar hujah Anwar semalam


Kebanyakannya berada di luar di cafeteria berbual-bual kosong dan minum

14 Oct 2008 10:45AM
Oleh Mohd Sayuti Omar

SUASANA Parlimen hari ini tidak sesesak semasa Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2009, 29 Ogos lalu. Keadaan dan pemerhati sidang Parlimen hari ini biasa saja, walaupun umum sudah tahu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan membentangkan perbahasan Bajet berkenaan. Seolah pembentangan perbahasan oleh bekas Menteri Kewangan itu tidak penting.

Suasana Parlimen lenggang dan banyak ruang yang boleh dimuat. Kawalan keselamatan juga biasa saja tidak ada kawalan tambahan.

Namun apa yang berlaku di dalam Dewan ternyata lebih menarik dan panas daripada ketika Abdullah Ahmad Badawi membentang Bajet tempoh hari.

Ternyata Anwar dapat melakukan kejutan, menghidupkan Parlimen menjadi hangat dan membuat ahli Parlimen BN ternganga mendengar hujah-hujah konkrit yang disampaikan kadang-kadang serius dan kadang penuh jenaka dan simpatis.

Apa yang menariknya, beliau telah meminta Menteri Kewangan membentang Bajet baru kerana Bajet yang dibentang sebelum ini sudah tidak relevan lagi atau lapok ekoran perkembangan ekonomi semasa.

Unjuran pendapatan dan perbelanjaan, angka-angka yang dibentangkan dalam Bajet tempoh hari sudah tidak boleh dipakai.

Alasannya, kata beliau unjuran dibuat menerusi Bajet itu dulu berdasarkan harga minyak semasa yang jauh lebih mahal berbanding sekarang ini.

Ketika Bajet itu dibuat harga minyak melebihi UD125, kini harga minyak turun hingga USD75. Kedudukan harga minyak menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pendapatan negara.

Justeru itu beliau mencadangkan supaya angka itu dipindah ataupun diadakan sebagai menyesuaikan keperluan dengan perbelanjaan dan pendapatan.

Pandangan atau cadangan beliau mendapat sokongan ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang yang bangun beberapa kali meminta agar Bajet dibentang semula ataupun dilakukan pindaan.

Keseluruhan Parlimen hari ini selepas sessi soal jawab dikuasai oleh Pembangkang sepenuhnya baik perbahasan dan juga ruang Parlimen.

Kerusi di blok A kerajaan dan BN banyak yang kosong. Menteri Kewangan baru, Mohd Najib Razak dan menteri-menteri atau timbalan menteri, kecuali Shahrir Abdul Samad yang sepatutnya mendengar perbahasan itu juga tidak ada atau enggan masuk ke dalam dewan bagi mengikut perbahasan Anwar.


Jumlah wakil BN berada dalam Dewan semasa Anwar membentang perbahasan tidak sampai 20 orang. Kebanyakannya berada di luar di cafeteria berbual-bual kosong dan minum.
Hanya dua orang saja ahli Parlimen yang memberanikan diri mencelah minta penjelasan wakil Batu Pahat, Puad Zarkashi dan Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden di mana mereka juga secara tidak langsung menjadi punching beg untuk ditumbuk bertubi-tubi oleh pembangkang.

Ketiadaan ahli Parlimen BN menimbulkan kekecewaan Anwar dan menjadi bahan sindiran pedasnya yang menyifatkan ahli BN itu penakut dan menjadi hamba abdi kepada pemimpin dan tidak sanggup duduk mendengar hujah dan perbahasannya demi rakyat dan negara.

Sehubungan itu beliau mengkritik Abdullah yang hendak melakukan reformasi agar melakukan reformasi ke atas ahli-ahli Parlimen BN yang penakut dan tidak bertanggungjawab!

Bagaimana pun apa yang diperlakukan Anwar hari ini cukup menarik bagi wartawan dan media massa yang selamanya sukakan isu sensasi, berita panas dan hujah yang bernas dan bernilai.

Bagi mereka kemunculan Anwar pertama kali membahas belanjawan selepas 10 tahun meninggalkan Parlimen sesuatu yang ditunggu-tunggu dan tidak sia-sia.

Sebaik sahaja Anwar melangkah keluar Dewan sewaktu berhenti rihat jam 1:00 tengah hari puluhan wartawan dan jurugambar dalam dan luar negeri mengerumuni untuk mendapat komen dan pandangan beliau.

Ketika pembangkang keluar, pintu A laluan keluar menteri dan ahli Parlimen BN langsung tidak menjadi tumpuan wartawan.

Disebelah petang tadi ketika menyambung perbahasan Anwar terus mengemukakan kritikan ke atas beberapa langkah dan tindakan Kerajaan yang diambil menerusi Bajet itu dikira merugikan negara.

Antara yang ditimbul ialah soal kelulusan segera oleh Menteri Pertahanan sebelum bertukar jawatan berhubunng pembelian helikopter dan penjualan saham yang tidak munasabah dan sebagainya.


* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/14/4.html

Tuesday, October 21, 2008

PAS beralih angin - kini yakin '16 Sept'

Jimadie Shah Othman Oct 14, 08 6:00pm
dikemaskini 6:44pm PAS akhirnya yakin dengan "projek 16 September" Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti itu menyertai mesyuarat pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP.

Keputusan biro politik parti itu minggu lalu telah pun direstui mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimennya kelmarin.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin kanan yang diberikan mandat untuk mengetuai delegasi parti itu termasuklah timbalannya Nasharudin Mat Isa, dua naib presiden Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain dikritik akibat berunding dengan Umno, Nasharudin sebelum ini tidak pernah dilaporkan terlibat rundingan bersama Pakatan Rakyat, manakala Mohamad menyatakan keraguannya berhubung rancangan penasihat PKR itu.


Abdul Hadi pula, walaupun pernah menyertai mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin PKR dan DAP, dianggap menolak projek perubahan kerajaan Anwar - asalnya diuar-uarkan menjelang 16 September - selepas berkata beliau enggan menjadi "ahli politik Mat Jenin" apabila mengulas kemungkinan beliau dicadangkan sebagai perdana menteri apabila Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan.

Rundingan dengan Pakatan sebelum ini didominasi golongan pro-kerjasama dengan Pakatan seperti Husam, Kamaruddin, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan bendahari Dr Mohd Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti dibuat kerana perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru "sampai ke tahap lebih tinggi" yang melibatkan perbincangan dasar-dasar dan persediaan membentuk jemaah menteri.

Salahuddin berkata, keputusan menghantar pemimpin kanan itu dibuat kerana usaha menumbangkan kerajaan BN sudah "sampai ke tahap akhir" dan "setiap tindakan memerlukan keputusan segera".

"Dulu, kita lebih kepada (hal-hal) teknikal seperti (menyusun) agenda bertindak... boleh katakan sekretariat. Sekarang kita berada pada tingkat lebih tinggi yang memerlukan perbincangan tentang dasar-dasar politik," katanya.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, menurutnya lagi, perbahasan tentang delegasi lima pemimpin tertinggi PAS berlangsung dengan "sangat positif" dan mesyuarat bersetuju sebulat suara menerima mereka.

Suasana perbincangannya digambarkan sebagai "berterus-terang" dan dalam keadaan "bebas mengeluarkan pandangan".




Barisan pemimpin atasan PAS sebelum ini terbelah dua berhubung isu pertukaran kerajaan persekutuan, khususnya antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu dan juga ahli strategi parti Datuk Mustafa Ali, menjelang 16 September lepas.

Mohamad, yang pernah berkata "PAS bersikap tunggu dan lihat terhadap 16 Septermber", berkata beliau menerima keputusan itu.

"Itu keputusan parti, saya terima," katanya, yang hadir di mesyuarat itu, kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sebab kelima-lima pemimpin berprofil tinggi itu, beliau berkata: "Hendak pilih lima orang, kita pilih limalah. Kalau enam, kita pilih enamlah. Kalau lapan, kita pilih lapanlah."

Husam - disebut-sebut sebagai penggerak utama dalam PAS yang mendukung usaha Anwar - pula menyifatkan barisan pemimpin tertinggi yang dipilih itu "bukan wakil baru", "tidak ada perubahan" dan "tidak berbangkit".

"Saya ingat salah faham. Tiada yang istimewa," katanya, mengulas keputusan dalam mesyuarat biro politik parti itu minggu lalu.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad yang dikatakan pihak pertama mencadangkan idea menghantar pimpinan utama PAS berkata "semua khilaf dan salah faham sudah selesai".


"Sebelum ini mungkin ada yang tidak nampak bangunan Parlimen. Sekarang tidak ada khilaf lagi," katanya, yang menganggotai biro politik PAS, hari ini.

Khalid bagaimanapun mendakwa khilaf yang dimaksudkan itu hanya di peringkat teknikal akibat sumber-sumber maklumat yang berbeza antara pemimpin parti.

"Tetapi akhirnya, dengan semua sumber itu, semuanya saling melengkapi," katanya, yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Tambahnya, salah faham dalam parti itu mula reda hasil pertemuan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dengan Anwar di Kota Bharu hujung bulan lalu (foto atas, kiri).

http://www1.malaysiakini.com/news/91255
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...