Showing posts with label Cerai SMS. Show all posts
Showing posts with label Cerai SMS. Show all posts

Friday, January 16, 2009

Lafaz cerai 2 kali


Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang perunding teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, dia melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap isterinya melalui percakapan dan SMS pada November tahun lalu.

Dino Rais, 31, yang juga anak Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, mendakwa dia melafazkan cerai berikutan isterinya, Riza Ainurin Ramlan, 25, keluar rumah tanpa mendapat keizinannya.

Menurutnya, lafaz cerai kali pertama dilakukan di rumah bapa saudara isterinya di Taman Keramat pada 12 November tahun lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

“Lafaz yang pertama itu berbunyi ‘Sekiranya Riza keluar rumah ini dengan anak tanpa izin suami kerana sengaja mahu menyakiti hati suami, keluar malam karaoke dan tinggalkan Iman (anak) dengan saya serta ingkar maka jatuhlah talak’.

“Ketika saya melafazkan cerai di ruang tamu rumah berkenaan, bapa saudara serta ibu saudara Riza turut berada berdekatan mereka tapi tidak masuk campur,” katanya.

Dino berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan peguam syarie Roslizam Rahim.

Dino turut mendakwa, lafaz kedua melalui SMS di rumah yang sama dengan mengatakan ‘Salam buat isteriku Riza, tarikh 25 November 2008 jam 10 malam. Selepas berbagai usaha dibuat untuk menyelamatkan rumah tangga demi anak dan berkali-kali minta cerai sekiranya Riza keluar rumah dan membawa Iman tanpa izin suami memang sengajalah Riza mencari jalan berpisah. Maka terbubarlah perkahwinan ini. Wassalam’.

Sementara itu, Riza Ainurin mendakwa tidak pasti dia berada di mana ketika lafaz cerai pertama dilakukan suaminya.

Riza memberitahu mahkamah dia pernah meminta cerai daripada suaminya tapi bukan berkali-kali.

Dia turut mengaku menerima SMS daripada suaminya pada 25 November lalu selepas dia keluar dari rumah di Taman Keramat dan ketika itu sudah hampir dengan rumah keluarganya di Taman Tun Dr Ismail.

Hakim Syarie Mohd Yunos Mohamad Zin menetapkan 3 dan 4 Februari depan untuk Dino dan Riza mengemukakan dua saksi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115092344/Article/index_html

Tuesday, November 25, 2008

Bell mahu rujuk


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nasrizal Ngasri, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Bell yang disahkan bercerai dengan isterinya, Nur Farhana Mahamd Fauri, 26, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhasrat untuk merujuk semula.

Bell yang ditemui di luar mahkamah, berkata kes perceraiannya satu pengalaman dan pengajaran berguna buatnya.

“Kesilapan saya tidak belajar mengenai ilmu kehidupan,” katanya yang mengakui masih sayangkan isterinya.

Dia berkata, masih ada jalan damai membabitkan kedua-dua pihak, bukan satu pihak saja.

“Insya-Allah kita tengok. Dia bukan daripada satu pihak saja, tetapi kedua-dua pihak. Saya tidak lupa juga kehidupan saya sendiri...kata orang jangan asyik dengan kerja saja.

“Ini salah faham. Saya ada banyak buat silap, jadi kalau ada sesiapa tersinggung dan rasa saya banyak buat silap, saya minta maaf banyak-banyak,”
katanya.

Sementara itu, ketika prosiding perceraian itu, Bell ditegur Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin apabila terlelap di tempat duduk galeri awam mahkamah.

Apabila melihat pelakon itu terlelap, Mohd Yunus menganggap Bell selaku defendan tidak serius ketika mengikuti prosiding berkenaan.

Isterinya melemparkan senyuman ke arah suaminya sebelum Bell yang terjaga disapa Mohd Yunus dengan berkata: ‘Sedar tak? Kamu tidur di belakang. Ini kes cerai dan kes serius’.

“Kamu pernah tipu isteri kamu...maksudnya sepatutnya kamu berada di Kuala Lumpur, tetapi kamu ada di tempat lain...pernah berlaku? Sebab ada orang nampak kamu di tempat lain...betul ke?,” tanya hakim.

Bell segera menafikannya selain sempat berjenaka dengan berkata: Pelanduk dua serupa...banyak sangat kembar saya.”

Mohd Yunus membalas: “Biasalah kamu artis. Ke mana-mana kamu pergi orang kenal.”

Hakim mengesahkan perceraian talak satu yang dilafazkan pelakon itu terhadap isterinya menerusi SMS pada 22 Oktober lalu.

“Mahkamah dengan ini mensabitkan jatuh talak satu kali pertama berjumlah satu talak dengan lafaz suami melalui SMS. Defendan mengaku dia menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya. Saya puas hati sabit talak pada 22 Oktober 2008.

“Masih ada peluang untuk kamu rujuk dan kalau nak (mahu) rujuk pergi sama-sama ke jabatan agama...rujuk di depan pegawai agama,”
katanya kepada pasangan terbabit.

Bell menerusi kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana mengakui ada melafazkan perkataan cerai berbunyi: ‘Aku ceraikan kau. Thank you...selamat berjaya’.

‘Ayat-ayat cerai’ itu diakui Bell ketika diminta Mohd Yunus untuk menatap kembali kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana sebelum ia disimpan isterinya.

Bell memberitahu hakim dia ada menghantar SMS cerai kepada isterinya yang berada di rumah ketika dalam penggambaran sebuah drama dilakonkannya pada 22 Oktober lalu.

Malah, Nur Farhana berkata, SMS itu dihantar selepas dia melahirkan anak pertama dan baru habis pantang.

“Ketika itu, saya tidak tahu defendan berada di mana. Saya tidak ada menghubunginya. Mungkin dia di Negeri Sembilan. Saya terima SMS yang dihantar defendan ketika di rumah dan kami bergaduh dalam SMS itu,” katanya.

Bell yang ditanya Mohd Yunus mengenai punca dia melafazkan cerai melalui SMS, menafikan berpunca daripada pihak ketiga, sebaliknya akibat salah faham antaranya dan isteri.

“Lafaz cerai itu berlaku akibat perselisihan faham. Ketika saya buat penggambaran, ada orang beritahu isteri bahawa saya berada di tempat lain. Dia (isteri) tidak mahu terima apa yang saya cakap.

“Saya belum merujuk dan saya tidak ada hantar SMS lain. Kandungan perkataan ‘aku’ merujuk kepada diri saya dan ‘kau’ pula merujuk kepada dia (isteri). Bagaimanapun, saya tidak melafazkan berapa kali talak,”
katanya.

Pelakon yang juga anak kepada bekas penyampai radio dan juga pengacara RTM, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu diijabkabulkan dengan Nur Farhana pada 30 Mac tahun lalu di Masjid Al Khairyah, Taman Sri Gombak.

Hasil perkahwinan itu, Bell yang kini menunggu tayangan filem terbaru lakonannya, ‘Antoo Fighter’ dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Nasfazril Nasrizal, tujuh bulan.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20081125085012/Article

Bell-Farhana sah cerai - Mengaku buat silap, cadang rujuk semula

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



NASRIZAL ketika bercakap kepada wartawan semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Aku ceraikan kau... TQ... selamat berjaya."
Itulah antara ayat dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar dramatis terkenal, Nasrizal Ngasri, 28, kepada isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri (gambar), 26, pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 3 petang.

Akibatnya, lafaz cerai yang dilakukan melalui SMS itu disahkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin dan jatuh talak satu kali pertama.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas mendengar penjelasan Nasrizal yang lebih dikenali dengan nama Bell dan Nur Farhana atau Syasya.

Menurut Syasya, Bell telah menghantar SMS tersebut kepadanya pada 22 Oktober lalu dan pada ketika itu dia berada di rumah manakala Bell di lokasi penggambaran.

Ketika ditanya hakim punca SMS itu dihantar, Bell memberitahu, semuanya salah faham kerana ada orang memberitahu Nur Farhana ternampak Bell di suatu tempat dan bukannya menjalani penggambaran.


--------------------------------------------------------------------------------

Rentetan daripada itu, kedua-dua pasangan itu bergaduh melalui SMS sehinggalah Bell mengirimkan SMS cerai.

Nur Farhana ketika ditanya hakim apa yang Bell lakukan selepas itu, katanya, Bell menghubunginya dan bertanya sama ada menerima kiriman SMS itu atau tidak dan Syasya menjawab, ada.

Bell kemudian memberitahu kemungkinan orang yang dilihat itu adalah pelanduk dua serupa dengan berkata: "Banyak sangat kembar saya."

Sementara itu di luar mahkamah, Bell yang tertidur ketika hakim memanggil kesnya sehingga dikejutkan oleh Syasya memberitahu pemberita, dia mengakui kesilapannya itu dan ia merupakan pengalaman dan pengajaran buat dirinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wednesday, November 19, 2008

Cerai SMS Raja Azhar sah


Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



RAJA AZHAR dan Charmaine semasa saat bahagia.

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - Lafaz cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh pelukis dan artis terkenal, Raja Azhar Raja Lop terhadap isterinya, Charmaine Winifred Idris pada Ogos lalu diputuskan sah oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam penghakimannya menyatakan bahawa SMS bertarikh 6 Ogos 2008 itu merupakan lafaz cerai berbentuk tulisan iaitu secara lafaz kinayah (tidak jelas) telah ditulis sendiri oleh si suami kepada isterinya.

"Talak dalam bentuk tulisan oleh suaminya secara khusus kepada isteri merupakan lafaz kinayah yang sah jika ia disertakan dengan niat.

"Mahkamah mendapati bahawa defendan (Charmaine) telah melanggar taklik dalam tempoh 48 jam. Plaintif (Raja Azhar) pula ada niat untuk ceraikan defendan pada 8 Ogos 2008 berdasarkan pengakuannya bahawa dirinya dalam keadaan sedar dan tidak dipaksa oleh sesiapa ketika mengirimkan SMS tersebut," katanya.

Pasangan suami isteri itu telah tinggal berasingan sejak 22 Disember 2007 dengan defendan pulang ke Australia.

Rentetan daripada itu, Raja Azhar, 56, yang diwakili peguamnya, Rubiah Jaafar menghantar SMS kepada isterinya yang berusia 53 tahun pada 6 Ogos lalu yang berbunyi:

"Jika kamu, Charmaine Winifred Idris tidak kembali ke rumah kelamin di Malaysia, Bukit Antarabangsa sejak kamu pergi lapan bulan lepas dalam tempoh 48 jam dari tarikh hari ini, saya akan ceraikan kamu dengan talak satu".

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...