Showing posts with label SAR - Sek Agama Rakyat. Show all posts
Showing posts with label SAR - Sek Agama Rakyat. Show all posts

Sunday, April 3, 2011

Pelajar dipukul hampir dua jam

Pelajar dipukul hampir dua jam

Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

  PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.


http://www.hmetro.com.my/articles/Pelajardipukulhampirduajam/Article/artikelMA

Murid dipukul guru meninggal

ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul seorang guru di asrama sebuah sekolah agama rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu.


Mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya berkata suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.


http://www.hmetro.com.my/articles/Muriddipukulgurumeninggal/Article/artikelMA

Thursday, March 31, 2011

Adun DAP gesa sedia peruntukan besar untuk SAR

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 30 Mac: Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31599:adun-dap-gesa-sedia-peruntukan-besar-untuk-sar&catid=1:utama&Itemid=50

Tuesday, December 28, 2010

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30039:kelantan-belanja-rm80-juta-bantu-sar&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, December 25, 2010

Konvensyen Pendidikan Islam malam ini, esok

Harakahdaily

SHAH ALAM, 25 Dis: Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 yang diadakan Hotel Grand Bluewave, di sini bermula malam ini dan esok antaranya akan membincangkan isu yang membabitkan perkembangan akhlak pelajar yang semakin kritikal.

Ianya meliputi masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, IPTA dan IPTS seperti isu pergaduhan, penyalahgunaan dadah, arak, samun, seks bebas, membuli, mengandung tanpa nikah dan membuang bayi, merempit, merokok, pembunuhan dan lain-lain lagi memperlihatkan bahawa sistem pendidikan negara gagal dalam mendidik dan membangun para pelajar.

Turut dibincangkan ialah isu pembiayaan pendidikanjuga turut dipersoalkan apabila RMK-10 telah mengurangkan bajet untuk tujuan pendidikan, isu pembiayaan pelajar di IPTA yang masih tidak berkesudahan dan isu pinjaman PTPTN yang membebankan pelajar IPT.

Soal lain ialah soal sistem pengukuran dan penilaian yangterpaksa dilalui oleh pelajar sekolah sehingga guru-guru, ibu bapa dan pelajar memberi tumpuan terhadap keperluan sistem tersebut yang kesannya lahirlah budaya ”exam-oriented” sehingga mengabaikan pembentukan akhlak pelajar kerana ibu bapa dan guru berbangga dengan pencapaian akademik sahaja tetapi bukan akhlak anak-anak.

Isu transformasi pendidikan yang tidak diuruskan secara sistematik dan sengaja mengabaikan kepentingan bahasa Melayu dan Pendidikan Islam dalam kurikulum sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti kerana setiap perubahan yang dicapai tidak dibincangkan dengan lebih mendalam dengan pakar-pakar pendidikan sebelum dikuatkuasakan di samping isu kerajaan mengabaikan pendidikan Islam di sekolah Agama Rakyat dan kurikulum sekolah.

Tujuan konvensyen itu ialah untuk memahami dan menguasai isu-isu pendidikan terkini berdasarkan penyelidikan dan fakta yang diyakini agar mampu melahirkan masyarakat yang peka terhadap keperluan sistem pendidikan yang mampu membentuk sahsiah para pelajar seterusnya mampu mengurangkan isu gejala sosial dalam kalangan remaja masa kini.

Ia juga untuk mengenalpasti dan mendapatkan pandangan positif dan realistik daripada pakar dan masyarakat terhadap perjalanan dan kemajuan pendidikan negara masa kini ke arah pembentukan masyarakat yang sihat dan seimbang dari aspek jasmani, rohani dan intelek di samping mengumpul tenaga pakar, pemikir, penggerak dan pengamal pendidikan untuk merealisasikan sistem Pendidikan Islam sebagai alternatif utama menyelesaikan permasalahan masyarakat.

Selain itu, konvensyen juga bertujuan untuk memastikan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak mengabaikan perkembangan pendidikan Islam terutama Sekolah Agama Rakyat dalam perancangan perkembangan pendidikan negara.

Bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam ini diisi dengan wacana bertajuk “Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan” di mana ahli panel terdiri daripada Prof. Madya Haji Zainal Abidin Kidam, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Dr. Mohd Nor Manuty, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (SHURA).

Pagi esok, majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan ucapan pengarah program, Azrin Ab Majid, diikuti ucaptama oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bertajuk “Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia” yang merupakan tema konvensyen.

Seterusnya pembentangan kertas kerja 1 bertajuk “Falsafah dan Hala Tuju Pendidikan Malaysia: Satu Tinjauan dan Kesesuaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Noor Hisham Md. Nawi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan, “Pendidikan Islam: Tajdid Gerakan Islam” oleh Dr. Asiah Ali, Pengarah Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah (ILHAM).

Ucapan Pleno 1 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains Dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, diikuti pembentangan kertas kerja 3 “Membangun Pendidikan Prasekolah di Malaysia: Pengalaman PASTI” oleh Azrin Ab Majid, Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia, “Sumbangan dan Peranan PAS dalam Bidang Pendidikan di Malaysia” oleh Ustaz Riduan Mohd Nor, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, “Bahasa dan Integrasi Kaum di Malaysia” oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan, UPSI.

Pembentangan dan soal jawab kertas kerja 6 bertajuk “Di bawah Bayangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) : Undang-undang dan Mahasiswa” oleh Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar, Universiti Malaya, “Nilai dan Moral (Akhlak): Kepentingannya dalam Pendidikan” oleh Ustazah Wahibah Tahir, “Permasalahan Remaja di Malaysia Masa Kini: Pengabaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Che Noraini Hashim, “Membina Generasi Ulul Albab dalam Sistem Pendidikan di Malaysia : Konsep, Aplikasi, Cabaran dan Harapan” oleh Prof. Madya Dr. Ishak Sulaiman.

Ucapan Pleno 2 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor dan pembentangan kertas kerja 10 “Sekolah Agama Rakyat dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan : Realiti, Cabaran dan Masa Depan” oleh Encik Azizi Umar.

Pada jam 4.30 petang, Ustaz Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan PAS Kebangsaan (MPPK) akan menyampaikan ucapan penutup.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30015:konvensyen-pendidikan-islam-malam-ini-esok&catid=1:utama&Itemid=50

PMR: Maahad Muhammadi Perempuan catat 99%

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 24 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini memprolehi 99 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 berbanding 98 peratus pada 2009.

Pencapaian peratus kelulusan itu melepasi target pihak sekolah apabila seramai 109 pelajar mendapat ‘A’.

Pengetuanya, Ustaz Mohd Mansor Mohd Daud ketika mengumumkan keputusan Peperiksaan PMR 2010 memaklumkan pencapaian keputusan PMR 2010 meningkat berbanding 2009.

“Pencapaian pelajar mendapat ‘A’ juga meningkat kepada 26 peratus, seramai 109 pelajar berbanding pencapaian 2009, 24 peratus seramai 88 pelajar,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau yang juga mantan Pengetua Maahad Tahfiz Wal-Qiraat Pulai Chondong itu memaklumkan, antara program dilaksanakan MMP dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan pelajar dalam Peperiksaan PMR membabitkan empat program khusus.

“Program yang menjadi factor kecemerlangan ini, selain daripada factor kesungguhan para pelajar berkenaan iaitu program dijalankan MMP membabitkan empat program khusus.

“Pertama, Program Imtiaz iaitu program diatur berftujuan untuk memilih pelajar cemerlang dan terbaik, manakala program kedua mewujudkan kumpulan dengan pencapaian 100 peratus mengikut target sekolah.

“Mengikut target kita, pencapaian pelajar dalam PMR bagi 2010 seramai 100 orang, namun pencapaian sebenar yang diperolehi 109 orang, alhamdulillah, melebihi target kita,” katanya.

Menurutnya, kumpulan ketiga ialah Kumpulan Lonjakan di mana golongan itu merupakan golongan pelajar pencapaian ‘pertengahan’ di mana (target) lonjakannya daripada ‘B’ dan ‘C’ kepada ‘A’.

Sementara golongan keempat ialah apa yang disebut sebagai ‘An-Nusrah’ iaitu golongan pelajar yang mencapaiannya (dalam Peperiksaan Percubaan PMR) adalah rendah.

Dengan erti bahawa target MMP ialah mahu ‘clear’ semua dengan kelulusan cemerlang.

“Semua mata pelajaran yang diambil pelajar tahun ini lulus 100 peratus, kecuali mata pelajaran Bahasa Arab apa hanya empat orang gagal.

“Dalam semua mata pelajaran peperiksaan PMR yang diambil pelajar seramai 410 orang, hanya tiga pelajar saja yang gagal mendapat ‘A’,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29999:pmr-maahad-muhammadi-perempuan-catat-99&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

Tuesday, December 7, 2010

Dana Pendidikan PAS sasar kumpul RM1 juta

Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Dana Pendidikan PAS mensasarkan untuk mengumpul RM1 juta bagi membantu pembiayaan para pelajar dan prasarana sekolah agama rakyat (SAR).

Timbalan Pengerusi Lembaga Amanahnya, Datuk Abu Bakar Chik berkata, objektif penubuhan dana itu untuk membantu SAR dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti.

Ini, katanya kerana walaupun negara telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan tetapi urusan pendidikan Islam masih menjadi tanggungjawab rakyat.

Menurutnya, tidak ketinggalan kedaifan prasarana SAR serta tidak ada pembelaan terhadap sekolah pondok.

Justeru, ujarnya dana itu juga bertujuan membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan kebajikan guru dan pelajar serta pelaksanaan program berorientasikan pendidikan.

“Dana Pendidikan PAS ini akan dikawal selia oleh Lembaga Pemegang Amanah (LPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS sementara pengurusannya diamanahkan kepada Lembaga Pengurusa Dana (LPD) yang dianggotai oleh profesional berkelayakan di dalam parti,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, memulakan langkah bagi pengumpulan dana, satu program dengan konsep makan malam bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS akan diadakan pada 29 Januari depan di Shah Alam.

“Kami mensasarkan untuk mendapat sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat serta para penyumbang untuk mengumpul RM1 juta bersempena dengan program makan malam itu,” ujarnya yang turut disertai pengarah program, Dr Azman Ibrahim.

Tambahnya, dengan dana RM1 juta yang diizinkan Allah dapat dikumpulkan dengan sokongan dan dukungan para penyumbang, LPD akan mula mengorak langkah bagi melaksanakan pelan tindakan ke arah merealisasikan objektif yang digariskan.

"Kepada Allah kami berserah dan memohon semoga diberkati setiap usaha dan sumbangan yang disumbangkan demi untuk kebaikan bersama," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29721:dana-pendidikan-pas-sasar-kumpul-rm1-juta&catid=1:utama&Itemid=50

Wednesday, November 3, 2010

SAR terima RM2j


KUALA LANGAT – Kerajaan Negeri menyerahkan peruntukkan berjumlah RM2 juta kepada 51 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk memastikan pelajar menikmati suasana pembelajaran lebih selesa.

Menurutnya, Kerajaan Selangor akan memastikan setiap rakyat negeri ini diberi peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebagai sebuah negeri yang mengutamakan berkebajikan rakyat, Kerajaan Selangor akan mengagihkan hasil negeri kepada rakyat dengan seadilnya.

“Kita juga akan terus melabur dalam sektor pendidikan yang akan membawa pulangan besar pada masa hadapan,” katanya pada majlis penyerahan cek kepada wakil SAR di Madrasah Darul Mujahidin, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia, Dr Halimah Ali.

Abdul Khalid berkata, bantuan tersebut adalah fasa kedua yang berikan Kerajaan Pakatan Rakyat kepada SAR yang layak.

Katanya, bantuan terswebut membolehkan pentadbiran sekolah membaiki infrastruktur dan menyediakan suasaran pembelajaran yang selesa.

“Setiap SAR menerima jumlah peruntukan berbeza mengikut keperluan.

“Bagi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan hampir RM2.7 juta kepada 136 SAR yang memohon,” katanya.

Majlis penyerahan peruntukan Fasa Pertama telah diadakan di Maahad Tarbiah Islamiah An-Ansar, Bestari Jaya pada 10 Ogos lalu.

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8363509.asp
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...