Showing posts with label PPIM. Show all posts
Showing posts with label PPIM. Show all posts

Saturday, September 10, 2011

Rakyat marah cukai atas kad prabayar

Posted by admin on September 9th, 2011

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini tidak sepatutnya membebankan pengguna dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus untuk pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bermula 15 September ini.Apa yang mereka rancang untuk lakukan itu, hanya mencerminkan sikap tamak haloba sedangkan kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini mendapat keuntungan yang sangat besar saban tahun.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sebelum ini semua syarikat telekomunikasi menanggung beban cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Kerajaan dan masih mampu mengaut keuntungan lumayan setiap tahun.

Justeru itu, adalah sangat wajar untuk syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit terus menanggung caj perkhidmatan berkenaan jangan bersifat tamak dengan meletakkan beban tersebut kepada rakyat untuk mendapatkan keuntungan yang lebih.

“Saya berpendirian bahawa syarikat-syarikat terbabit patut terus menanggung cukai perkhidmatan tersebut kerana sebelum ini pun mereka masih mengaut keuntungan berbilion setiap tahun tanpa membebankan pengguna dengan caj perkhidmatan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak senada dengan kenyataan FOMCA dan pihaknya menentang keras tindakan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan caj perkhidmatan terhadap pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan syarikat-syarikat itu seolah-olah membuli pengguna ketika kenaikan harga barangan lain dan meminta campur tangan kerajaan untuk menangani kemelut yang sedang dihadapi pengguna.

“Kami menentang sekeras-kerasnya tindakan syarikat-syarikat terbabit kerana ia membebankan pengguna.

“Kami memohon kepada Kerajaan agar bertegas dan campur tangan dalam hal ini demi kepentingan rakyat negara ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa PPIM sedang memikirkan tindakan sewajarnya kepada syarikat telekomunikasi sekiranya mereka berdegil untuk mengenakan caj perkhidmatan tersebut.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Pengguna Johor, Mohammed A. Jalal juga bersetuju dengan kenyataan FOMCA tersebut dan menuntut agar syarikat-syarikat telekomunikasi negara prihatin terhadap kepentingan pengguna negara ini.

“Tidak wajar..tidak patut sama sekali, mereka perlu prihatin kepada kepentingan pengguna dan melakukan tanggungjawab sosial mereka dengan tidak berlaku tamak untuk mengaut keuntungan sebegitu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar syarikat telekomunikasi tersebut berbincang dan mengemukakan cadangan terlebih dahulu kepada Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum mengenakan sebarang caj kepada rakyat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Perak, K. Paul Raj berkata, caj sewa bulanan yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini sudah tinggi berbanding negara lain dan tindakan mengenakan caj perkhidmatan ini akan meningkatkan kos pengunaan.

“Memang pengguna tak setuju, caj sewa bulanan telefon mobil tinggi di Malaysia, kalau kos naik, dari mana dapat wang untuk bayar,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (sms).

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengguna Air Keroh (PPAK), Safina Sulaiman berkata, caj perkhidmatan sebanyak enam peratus ini sememangnya menyusahkan pengguna, terutamanya kepada pelajar dan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

“Bagi saya, peningkatan ini memang membeban dan menyusahkan para pengguna terutama ‘student’ dan orang-orang kampung yang berpendapatan rendah”, katanya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi semalam memberitahu media mengenai pengenalan caj perkhidmatan sebanyak enam peratus yang akan dikenakan kepada para pelanggan mereka bermula 15 September ini melalui Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Akta tersebut memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan.


http://www.kl-today.com/2011/09/rakyat-marah-cukai-atas-kad-prabayar/

Thursday, August 11, 2011

RUM digesa 'berkorban', utamakan pengguna

Salhan K Ahmad
Ogos 11, 11
3:38pm


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd supaya menangguhkan rancangannya untuk menjalankan tindakan industri dalam tempoh sambutan hari raya yang dibimbangi akan menjejaskan perjalanan 50,000 orang pengguna keretapi.

Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata RUM tidak sepatutnya memilih tempoh sambutan hari raya untuk menjalankan tindakan kerja ikut peraturan itu.

NONE"Sebab pengguna dan rakyat tidak ada masalah dengan (RUM). Masalah RUM adalah dengan pengurusan mereka sendiri.

"Sempena bulan baik ini, berkorbanlah sikit, barulah ramai yang akan bersimpati dengan dia. Kalau dia berkorban sedikit mungkin lebih dipermudahkan urusan dia dengan majikan.

"Jadi tangguh dululah (kerja ikut peraturan). Janganlah jadikan pengguna sebagai tebusan," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, rayuannya itu tidaklah bermaksud untuk menafikan hak RUM bagi menjalankan tindakan industri berkenaan.

"Kita bukan belakangkan dia punya tuntutan. Kalau dia ada tuntutan yang sah, teruskanlah. Tapi cubalah beri pertimbangan kepada orang ramai," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rancangan RUM untuk menjalankan tindakan kerja ikut peraturan – tindakan yang antara lainnya didakwa akan menunjukkan kelemahan dalam pelaksanaan tahap piawaian keselamatan tren oleh syarikat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Presiden RUM, Abdul Razak Abdul Hamid berkata tanggungjawab ke atas kelemahan itu perlu diletakkan ke atas pengerusi KTMB, Dr Aminuddin Adnan.

Beliau bertegas untuk meneruskan tindakan kerja ikut masa sekiranya KTMB tidak menamatkan perkhidmatan Aminuddin.

NONEAbdul Razak juga sebelum ini berkata, KTMB menunjukkan sikap "bongkak" apabila syarikat berkenaan memberi jaminan bahawa perkhidmatan tren berkenaan tidak akan terjejas dengan tindakan industri yang akan diambil RUM.

Abdul Razak (foto) berkata demikian ketika mengulas jaminan yang diberikan KTMB sebelum ini bahawa syarikat itu telah mengatur beberapa pelan bagi menghadapi tindakan industri yang akan diambil RUM.

KTMB juga dilaporkan sedang menimbang untuk menambah bilangan koc bagi perjalanan ke Pantai Timur memandangkan tiket ke destinasi berkenaan bagi tempoh 26 hingga 29 Ogos telah habis dijual.

"(Tindakan KTMB) adalah satu tindakan yang jelas menggambarkan kesombongan, bongkak, ego serta degil," kata Abdul Razak lagi yang menjangkakan bahawa perkhidmatan tren akan terjejas sehingga 75 peratus dalam tempoh perayaan tersebut.

Tindakan industri oleh RUM itu akan melibatkan tindakan daripada 3,600 anggotanya, di mana sebahagian besarnya merupakan pemandu lokomotif dan tren komuter.

Tindakan kerja ikut peraturan itu merupakan susulan kepada bantahan RUM ke atas keputusan syarikat tersebut untuk menyerahkan pengurusan ke atas sistem tren elektriknya kepada syarikat luar.

Langkah yang akan diambil dalam tindakan berkenaan adalah dengan mengutamakan keselamatan "bagi satu tempoh kerja" – termasuk mematuhi tempoh kerja lapan jam serta semua prosedur keselamatan melibatkan syarat pelepasan dan sijil kelayakan tren, keselamatan koc, gerabak dan lokomotif.

Tindakan itu juga dibuat dengan mematuhi prosedur keselamatan penumpang termasuk kuasa yang diberikan kepada semua pekerja yang terlibat dalam pengendalian perkhidmatan tersebut, kata Abdul Razak.


http://malaysiakini.com/news/172691

Saturday, January 15, 2011

Blog papar isu penipuan





KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (:PPIM) semalam melancarkan sebuah blog yang mengumpul dan memberikan maklumat kepada pengguna mengenai isu-isu penipuan melibatkan pelaburan, syarikat jualan langsung, peniagaan online dan ‘pemasaran pelbagai aras’ (MLM).

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata pengguna boleh menyemak maklumat di dalam blog http://forumsemak.blogspot.com/ yang memaparkan pelbagai jenis penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab melibatkan jutaan ringgit sehingga serendah RM20.

“Pelbagai jenis aduan penipuan yang kita terima selama ini kita kumpulkan dan paparkan di dalam blog ini seperti penipuan melalui SMS (sistem pesanan ringkas) serta online, gores dan menang, pinjaman melalui koperasi, MLM dan banyak lagi.

“Kami harap blog ini dapat beri kesedaran dan maklumat kepada orang ramai supaya tidak tertipu, sebelum buat komitmen atau menerima sebarang tawaran semak dulu contoh-contoh penipuan dalam :blog ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran blog itu di sini.

Nadzim berkata, pihaknya yang menerima 20 hingga 30 aduan sebulan daripada orang awam yang tertipu turut: menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan yang semakin licik itu.

“Mungkin disebabkan tawaran tinggi dan sesetengahnya disertakan dengan tandatangan atau gambar menteri, jadi orang mudah percaya dengan penipu-penipu yang semakin bijak ini,” katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8625169.asp

Bakar patung bantah peguam minta perlahan azan

Bakar patung bantah peguam minta perlahan azan
Abdul Rahim Sabri
Jan 14, 11
3:07pm

Kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.

NONEDengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu.

Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

Semalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

NONEKetua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.

Zakaria yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) Lembah Pantai menegaskan bahawa azan adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam dan telah lama dipraktikkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk di bawah akta hasutan, atau menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendakwa ia menggugat keharmonian kaum.

Zakaria juga menuntut peguam berkenaan memohon maaf, serta mendesak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyatakan pendiriannya berhubung isu ini.

NONETurut menyertai perhimpunan itu adalah Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, ketika ditemui media, wakil Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah Fauzi Che Ahmad mempersoalkan tindakan peguam itu yang menurutnya, seolah-oleh "tidak faham sensitiviti" umat Islam di situ.

"Islam adalah agama rasmi, sepatutnya beliau menghormati sensitviti orang Melayu dan Islam demi keharmonian satu Malaysia," katanya.

Orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut turut membawa kain rentang bertulis "Laungan azan, laungan keramat" dan "Kami rela mati demi mempertahankan agama Islam".

Manakala beberapa keping poster turut dipamerkan antaranya bertulis "Jangan main api", "Jangan kurang ajar" dan "Ini negara aman, kenapa bikin panas".

NONEPerhimpunan selama setengah jam mulai 2 petang itu, berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kira-kira 20 anggota polis mengawal di sekitar masjid tersebut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Nurul Izzah berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran secara beradab.

"Kesederhanaan dan keharmonian harus dipelihara," kata naib presiden PKR itu, sambil mengajak pihak yang terbabit untuk bersama dengannya mencari kebenaran dalam isu azan di Masjid Al-Ikhlasiah.

Beliau yang menggesa agar umat Islam mendapatkan penjelasan bertulis daripada pihak berkuasa agama, sama ada wujudnya garispanduan berhubung laungan azan di masjid dan surau.

[GALERI FOTO]

http://malaysiakini.com/news/153413

Monday, January 3, 2011

Bekalan minyak masak habis


SEORANG pemilik kedai runcit, Nora Che Hussain mendakwa stok minyak masak di kedainya di Taman PKNK, Alor Setar habis sejak dua minggu lalu.


KUALA LUMPUR - Bekalan minyak masak di Lembah Klang dan beberapa negeri dilaporkan habis sejak seminggu lalu dengan ramai pengguna mengeluh kerana terpaksa mencari di banyak premis semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Selain Kuala Lumpur, negeri lain yang terlibat ialah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa ada pihak menyorok bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga naik sebanyak 40 sen sekilogram.

Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

"Jika spekulasi itu benar, ia akan menyusahkan pengguna yang kebanyakan menggunakan minyak masak setiap hari," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hasil tinjauan Kosmo! semalam mendapati isu bekalan minyak masak menjadi rungutan ramai peruncit dan pengguna, malah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) setakat ini sudah menerima 50 aduan mengenai isu tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Monday, December 13, 2010

Kisah duka ditipu syarikat jualan langsung


DUA mangsa penipuan menunjukkan salinan laporan polis dan surat perjanjian sebuah syarikat jualan langsung pada sidang akhbar di pejabat PPIM di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Labur RM30,000 dapat RM60,000.

Ghairah mendengar keuntungan tersebut, seorang peniaga mendakwa akhirnya menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan langsung dan kini terpaksa menanggung hutang kira-kira RM300,000.

Kes pertama: Sani (bukan nama sebenar), 23, mendakwa, pulangan lumayan selain keinginan hidup mewah menyebabkan ahli keluarganya sanggup membuat pinjaman bank untuk menyertai syarikat tersebut.

"Sudahnya saya dan ahli keluarga yang menyertai syarikat terbabit terpaksa bergolok bergadai apabila syarikat tersebut gagal menunaikan janji membayar balik wang yang dilaburkan.

"Lebih teruk lagi, hubungan saya dengan ahli keluarga semakin renggang kerana saya yang menarik mereka menyertai syarikat tersebut," katanya pada sidang akhbar di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini semalam.

Dakwa Sani, syarikat itu masih lagi beroperasi dan giat menjalankan kegiatan penipuan mereka menggunakan nama syarikat lain tetapi masih mengekalkan modus operandi yang sama.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Thursday, December 9, 2010

Tabung bantuan penuntut Malaysia di Mesir

09/12/2010 8:03pm

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan Tabung Bantuan Kecemasan Pelajar Islam Malaysia di Mesir untuk membantu penuntut perubatan yang tidak mendapat tajaan.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman berkata, tabung itu akan membantu lebih 2,000 penuntut bidang profesional seperti perubatan, farmasi dan pergigian yang gagal mendapat pinjaman atau biasiswa.

"Objektif utama kita menubuhkan tabung ini adalah untuk membuat kutipan sumbangan dari semua sumber dan dana yang terkumpul akan disalur untuk membantu pelajar-pelajar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, PPIM akan memastikan pelajaran penuntut yang berpotensi tidak terganggu disebabkan masalah kewangan semasa.

Maamor berkata, lebih kurang RM30,000 akan disumbangkan kepada penuntut yang layak untuk setiap tahun.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun CIMB: 14370003771050. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

Friday, October 29, 2010

Satu panggilan hutang berganda

Oleh Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.
BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, mereka yang meminjam wang dari ceti haram atau along menanggung hutang 15 kali ganda daripada jumlah asal.

Itulah taktik terbaru digunakan satu rangkaian dipercayai along untuk memaksa peminjam membayar kembali hutang dan pada masa sama menyebabkan kadar pinjaman meningkat kepada jumlah yang tidak munasabah.


Taktik itu tambahan daripada prosedur sebelum ini yang memaksa peminjam membayar kadar bunga tertentu setiap kali lewat membuat bayaran.


Lebih mengejutkan apabila ada peminjam tidak menyedari mereka berurusan dengan 31 along serentak yang terdiri daripada satu rangkaian sama.

Mangsa dikenali Hanim berusia 40-an berkata, pada awalnya dia meminjam RM6,000 daripada along selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.


Katanya, along berkenaan menetapkan syarat dia perlu membayar 10 peratus sebagai bunga sekiranya gagal melunaskan bayaran pada masa ditetapkan.

“Disebabkan masalah kewangan, saya lewat membayar pinjaman selama beberapa bulan. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi seorang lelaki menawarkan pinjaman mudah.


“Tanpa memikirkan risiko, saya menerima tawaran pinjaman itu dengan niat mahu melangsaikan hutang terdahulu. Sekali lagi saya gagal membayar hutang dan kali ini seorang lagi lelaki menghubungi saya menawarkan pinjaman serupa,” katanya.


Katanya, selepas beberapa bulan, dia membayar RM13,000 menerusi dua transaksi, namun apa yang mengejutkannya, dia dimaklumkan jumlah perlu dibayar kepada along berkenaan mencecah RM85,000.


Tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Hasil pertemuan yang diaturkan bersama PPIM minggu lalu, mangsa dimaklumkan bahawa perlu membayar RM77,000, namun berubah menjadi RM85,000 beberapa hari kemudian.


Tidak cukup dengan itu, dia menerima ugutan gambarnya ditampal di seluruh kawasan rumahnya dengan niat memalukannya.


“Mereka juga datang ke rumah sambil membuat bising menuntut saya membayar baki wang yang masih tertunggak sedangkan saya sudah melangsaikan semua hutang saya,” katanya.


Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Pegawai Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah wanita itu.


Katanya, PPIM juga berusaha membantu setiap mangsa along mendapatkan nilai ansuran yang minimum dan mampu dibayar kepada along berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satupanggilanhutangberganda/Article/index_html

Monday, April 27, 2009

Tidak logik minyak kurang - PDAM


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) tidak percaya wujudnya perbezaan kuantiti minyak yang dijual antara stesen.

Timbalan Presidennya, Datuk Zulkifli Mokti berkata, ia tidak mungkin berlaku memandangkan pam di semua stesen telah diselaraskan untuk mengeluarkan dan menyukat bahan api itu pada kuantiti yang sama.

Katanya, pengguna tetap akan mendapat kuantiti minyak yang sama, tidak kira mereka mengisi minyak dengan laju atau perlahan.

"Jika isi minyak RM10, jumlah minyak yang masuk ke dalam tangki kenderaan juga tetap sama seperti bacaan yang ditunjukkan pada pam minyak.

"Ini satu standard yang dipakai di semua stesen minyak di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa kandungan minyak akan berkurangan sedikit sekiranya diisi dengan laju walaupun dibayar pada harga yang sama.

Dakwaan PPIM itu bagaimanapun tidak disokong oleh kajian saintifik.

Zulkifli bagaimanapun mengakui kes minyak berkurangkan boleh berlaku akibat proses pemeluwapan (meruap).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Coklat enak import didakwa ada lemak babi


KEBANYAKAN coklat import dari Eropah dan Amerika Syarikat didakwa mengandungi campuran lemak babi. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Banyak jenis coklat import bukan sahaja dihasilkan dengan campuran minuman keras tetapi tidak kurang juga yang menggunakan lemak haiwan yang tidak halal termasuk babi.

Dakwaan ini dibuat berasaskan kepada penemuan bahan kimia emulsifier yang dikatakan mengandungi lemak haiwan berkenaan dalam adunan coklat.

Emulsifier secara asasnya agen pewarna, penambah perisa dan memudahkan penyebatian serta menjadikan coklat berkilat.

Orang ramai boleh mengesan dengan mudah mana-mana jenama coklat yang mengandungi emulsifier ini dengan merujuk kepada daftar kod saintifik seperti E-100 hingga E-904 yang biasanya tertera pada belakang pembungkus coklat.

Ada sesetengah jenama coklat hanya mencetak perkataan emulsifier dan ia bahan tambahan daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula mendedahkan, pengusaha coklat di kebanyakan negara Barat lebih gemar menggunakan lemak babi kerana penternakannya meluas terutama di Amerika Syarikat, Denmark, Jerman dan Perancis.

Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, emulsifier memang ada dihasilkan daripada tumbuhan tapi penggunaannya sangat kecil.

“Ada juga yang menggunakan lemak binatang seperti lembu tapi itu juga sangat kecil, mereka lebih gemar guna lemak babi kerana kandungan lemaknya sangat tinggi,’’ jelasnya.

Secara saintifiknya, tubuh babi mempunyai hampir 70 peratus lemak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

PPIM dakwa pam laju keluarkan sedikit minyak


SEORANG pembeli termenung melihat dua botol petrol yang sama harga tetapi kandungan sukatannya berbeza yang dibeli dari dua buah stesen minyak berlainan di Kuantan semalam.


KUANTAN - Jika bil air tinggi disebabkan air yang dipam bersama tekanan udara, demikian juga ketika mengisi minyak di stesen minyak.

"Pam dengan perlahan kita dapat banyak minyak. Pam dengan laju, dapat sedikit," demikian dakwa Pengurus Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin.

Menurutnya, keadaan itu tidak disedari kebanyakan pengguna kerana mereka tidak peduli kuantiti sebenar minyak yang dipam.

Wartawan Kosmo! yang ingin menguji dakwaan Noor Nirwandy itu telah mengisi minyak ke dalam dua botol di dua stesen minyak berasingan dan mendapati kuantitinya berbeza walaupun harga yang dibayar adalah sama.

Noor Nirwandy berkata, keadaan tersebut berlaku apabila petrol yang diisi telah bercampur wap semasa dipam.

"Ia menjadikan paparan digit pada mesin pam menunjukkan minyak yang dipam adalah satu liter namun kuantitinya sedikit berbeza disebabkan kemasukan bersama udara (wap). Bagaimanapun, kami belum membuat kajian terperinci mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya juga kerap menerima aduan dan mengakui perkara tersebut memang berlaku namun hasilnya bergantung kepada cara pengguna mengisi minyak.

"Lebih baik isi minyak dengan perlahan bagi mengelak kemasukan udara yang banyak ke dalam tangki kenderaan.

"Pengguna juga boleh mengelak kemasukan udara bersama minyak dengan mengisi petrol pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk kerana jumlah wap di dalam tangki petrol bawah tanah adalah lebih rendah berbanding ketika cuaca panas," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Wednesday, January 7, 2009

Kempen boikot produk Yahudi dilancar


MA’AMOR (tiga dari kiri) dan ahli-ahli PPIM bersemangat ketika melancarkan kempen memboikot barangan Yahudi di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak orang ramai memboikot produk Yahudi sebagai membantah kekejaman negara itu terhadap Palestin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ma’amor Osman berkata, satu kempen memboikot produk keluaran syarikat milik Yahudi akan dimulakan Jumaat ini di Masjid Negara, sebagai isyarat yang jelas kepada Israel dan negara sekutunya supaya tidak terus menzalimi penduduk negara Islam berkenaan.

“Boikot ini adalah bagi membantah kebiadapan dan kezaliman Israel dan sekutunya ke atas rakyat Palestin dan saya harap semua rakyat negara ini turut serta dengan tidak menyokong produk- produk Yahudi,’’ katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Ma’amor turut menggesa Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk menarik balik sijil halal yang diberikan kepada syarikat pengeluar produk terpilih milik Yahudi.

“Perbuatan mereka menzalimi penduduk Palestin terutama wanita dan kanak-kanak jelas tidak halal dan menyokong produk keluaran itu seolah-olah menyokong perbuatan mereka yang bencikan keamanan dan keadilan sejagat.

“Selain itu, pelancaran boikot ini antara lain adalah bagi menggalakkan orang ramai untuk menyokong penggunaan produk keluaran tempatan terutama membabitkan perniagaan kaum bumiputera,’’
katanya.

Ma’amor berkata, negara mempunyai produk tersendiri yang setanding dengan produk negara luar, terutama produk-produk makanan yang tidak kurang hebatnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Thursday, December 25, 2008

Bantah cadangan ambil alih IJN - PPIM

Rabu Disember 24, 2008

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah hasrat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang ingin mengambil alih 51 peratus kepentingan Institut Jantung Negara (IJN) untuk diswastakan kerana berpendapat ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.


Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Nordin berkata perkara itu perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.


"Jangan kerana hanya gah untuk memastikan IJN dikenali di seluruh dunia dan mempunyai peralatan yang terkini tetapi rakyat Malaysia hanya mampu melihat dari jauh...apa gunanya kita mempunyai pusat rawatan jantung canggih," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, jaminan Sime Darby bahawa kos rawatan bagi golongan pendapatan rendah dikekal adalah tidak munasabah memandangkan kos perkhidmatan akan meningkat apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan.


"Memang tidak dinafikan bahawa setiap agensi yang diswastakan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding perkhidmatan sedia ada tetapi ini tidak bermakna jika perkhidmatan yang diberikan tidak mampu dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah kerana kos rawatan yang tinggi," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224172053&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...