Showing posts with label Fikrah Dr Salam. Show all posts
Showing posts with label Fikrah Dr Salam. Show all posts

Saturday, December 18, 2010

Haram nikahi cucu isteri

Dr.Salam


Lelaki baru kahwin janda, haram nikahi cucu isteri


MENURUT hukum fiqah perkahwinan antara lelaki dan perempuan menjadi haram apabila ada pertalian yang terlarang di antara mereka iaitu (1) atas sebab nasab, (2) atas sebab pertalian kahwin atau semenda dan (3) atas sebab pertalian sesusuan.

Ini dapat dilihat dalam al-Quran yang berbunyi: "Dan
janganlah kamu kahwini (wanita) yang diperisterikan bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa yang lalu. "Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita berikut): ibumu, anakmu, saudaramu (adik-beradik), saudara bapamu dan saudara ibumu, anak saudaramu yang lelaki, anak saudaramu yang perempuan, ibumu yang menyusukan kamu, saudara susuanmu, ibu isterimu, anak tiri yang dalam pemeliharaanmu daripada isteri yang kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya.

"Dan bekas isteri anakmu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, (mengahwini) isteri orang, kecuali hamba yang kamu miliki. Itulah ketetapan hukum Allah ke atasmu. Dan dihalalkan bagi kamu wanita selain daripada itu, untuk kamu kahwini dengan hartamu secara bernikah bukan berzina. "Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya sebagai suatu ketetapan. "Dan tiadalah kamu berdosa mengenai suatu yang dipersetujui bersama, sesudah ditetapkan mas kahwin itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa' ayat 22-24).

Berkenaan cucu isteri anda di atas, dia termasuk dalam wanita yang haram dinikahi kerana hubungan atau pertalian pernikahan yang terbahagi kepada empat iaitu: (1) Isteri ayah (ibu tiri) dan terus ke atas (nenek daripada ibu tiri dan seterusnya); (2) Ibu isteri (mentua perempuan), nenek isteri daripada pihak ayah atau ibu dan terus ke atas, (3) Anak perempuan isteri dengan syarat isteri itu (ibu anak perempuan) yang sudah digauli, cucu perempuan isteri, dan terus ke bawah.

Demikian pula anak perempuan daripada anak lelaki tiri sebagaimana pendapat dan (4) Isteri daripada anak lelaki kandung (menantu) dan terus ke bawah.

Oleh itu, bersentuhan dengan cucu perempuan isteri tidak membatalkan wuduk. Anda juga diharamkan daripada mengahwininya apabila sudah berkahwin dan bersetubuh dengan neneknya.

Bagaimanapun, cucu perempuan isteri itu tidak termasuk dalam kategori waris untuk harta pusaka kerana tiada hubungan nasab.

Terlupa baca Qunut ketika Subuh

Dr.Salam

MEMBACA qunut dalam solat Subuh menurut mazhab Imam Syafie termasuk dalam sunat ab'adh iaitu perkara sunat dalam solat yang mesti dilakukan.

Selain qunut, sunat ab'adh termasuk membaca tasyahhud awal, selawat atas nabi selepas tasyahhud awal, selawat atas keluarga nabi selepas tasyahhud akhir, duduk bagi membaca tasyahhud awwal dan akhir serta selawat atas nabi dan ahli keluarga selepas qunut.

Jika seseorang tertinggal atau meninggalkan satu sunat ab'adh maka dikehendaki sujud sahwi.

Sujud sahwi disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai.

Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut atau tasyahhud awal.

Dalam kes anda, apa yang sepatutnya dilakukan ialah meneruskan solat seperti biasa dan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana tertinggal qunut.

Apabila sudah sujud dengan sempurna, anda tidak dibenarkan bangun kembali untuk membaca qunut.

Ini kerana ia dikira menambah sesuatu dalam solat dan boleh membatalkan solat.

Kecuali anda ingat sebelum sujud secara sempurna (iaitu selepas meletakkan seluruh tujuh anggota), maka anda boleh kembali membaca qunut.

Bagaimanapun, jika anda terlupa atau jahil mengenai perkara terbabit, tidak batal solat berkenaan.

Beza harta sepencarian, nafkah

Dr.Salam

MEMANG terdapat perbezaan antara harta sepencarian dan nafkah. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil daripada usaha suami isteri dan termasuk pendapatan yang diperoleh daripada modal sendiri hasil kerjasama mereka.

Jika berlaku perceraian, harta yang diperoleh boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Harta berkenaan dapat dibahagikan bersama antara mereka dengan persetujuan mahkamah.

Manakala nafkah pula merujuk kepada tanggungjawab suami kepada isteri iaitu dalam masa perkahwinan isteri berhak mendapat nafkah daripada suaminya.

Ini termasuk nafkah makanan, tempat tinggal, pakaian dan perubatan.

Kadar nafkah diambil kira dengan kemampuan suami berdasarkan pendapatannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah ayat 233)

Apabila dicerai, isteri berhak mendapat nafkah untuk masa idah (Surah at-Talaq: 6).

Mutaah jatuh martabat wanita

Dr.Salam

NIKAH Mut'ah secara umumnya adalah nikah kontrak yang menetapkan tempoh perkahwinan pada masa-masa yang tertentu seperti sebulan, setahun dan sebagainya.

Apabila tamat tempoh itu, perkahwinan terbatal dengan sendiri dan sekiranya ada anak yang lahir daripada perkahwinan itu, ia tidak dinasabkan kepada bapa atau suami perempuan berkenaan.

Pernikahan sebegini hanya diamalkan dalam mazhab Syiah berdasarkan hujah tertentu yang tidak tepat dan wajar. Seluruh mazhab Sunni termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali mengharamkan perkahwinan Mut'ah kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan dalam Islam yang tidak mengehadkan waktu perkahwinan dalam tempoh tertentu.

Akad sedemikian dikira batil dalam Islam. Selain itu, ia juga dilihat sebagai menjatuhkan martabat wanita dan maslahat umum pembentukan sebuah keluarga.

Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan pernikahan Mut'ah. Sekiranya ia dipraktikkan oleh mana-mana individu, pihak berkuasa agama boleh mendakwa pasangan terbabit di Mahkamah Syariah.

Umat Islam diingatkan supaya tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan aliran fikah yang tidak selari dengan pendapat majoriti umat Islam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...