Showing posts with label Road Safety. Show all posts
Showing posts with label Road Safety. Show all posts

Friday, January 23, 2009

Serban besar bakul pun tak semestinya dianggap lebai - Nik Aziz



22 Jan 2009 9:25PM

KB: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju pakaian serban digantikan dengan topi keledar bagi penunggang motosikal yang mahu memakainya, jika ia didapati boleh mencegah daripada kecederaan apabila berlaku kemalangan.

Mursyidul Am PAS itu berkata, jika serban dipakai dengan ikatan kemas dan boleh mencegah kecederaan, ia boleh digantikan dengan topi keledar yang dianggap lebih selamat.

Malah, katanya, topi keledar yang keras itu tidak selamat jika tidak dipakai kemas dan diikat dengan betul.

"Kadang-kadang serban dan semuntal yang diikat kemas lebih selamat, kerana ia lembut apabila berlaku hentakan kuat berbanding topi keledar yang keras itu.

"Topi keledar pun jika tidak dipakai dengan kemas dan diikat dengan betul boleh menyebabkan penggunanya tidak selamat apabila berlaku kemalangan, kerana mudah tercabut atau kecederaan dalaman akibat hentakan kuat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh di sini, pada dua hari lalu dijatuhi hukuman denda RM90 atau penjara dua hari kerana didapati bersalah tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal sebaliknya memakai serban.

Bagaimanapun, pelajar pondok terbabit, Ahmad Nasir Darus, 28, memilih untuk menjalani hukuman penjara dua hari.

Nik Abdul Aziz berkata, umum mengetahui berapa ramai penunggang motosikal yang terbunuh akibat nahas jalan raya walaupun mereka memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal.

Katanya, soal ia merupakan pakaian pak lebai atau golongan haji tidak berbangkit walaupun undang-undang dan peraturan jalan raya mengklasifikasikan begitu dan beliau tidak mahu campur urusan agama dengan peraturan jalan raya.

"Cuma bagi saya, mereka yang memakai pakaian serban tidak harus dikenakan tindakan, jika ia dipakai dan diikat dengan kemas," katanya.

Menurut Nik Aziz, serban bermakna dalam bahasa Melayu asal ialah ikatan kain kepala, seperti juga semuntal bagi pakaian tradisi orang Melayu Kelantan sedikit masa dulu.

Beliau berpendapat, jika masyarakat keturunan Sikh yang memakai serban dan boleh dikecualikan daripada undang-undang jalan raya, tidak ada sebab orang Islam yang memakai serban tidak boleh dikecualikan daripada peraturan itu.

"Saya tidak mahu ganggu soal agama. Lebai atau jahil, bukan boleh dinilai pada pakaian kerana ini mengikut tafsiran masing-masing, kerana ada orang lebai atau haji tetapi tidak pakai serban atau kupiah, dan ada juga yang pakai serban sebesar bakulpun tetapi tidak dianggap lebai," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula peraturan itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul seperti apa yang terjadi kepada kes berkenaan. / Bernama

http://www.klpos.com/news/2009/01/22/3.html

Sunday, January 18, 2009

Saman boleh dibatalkan - Suret

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my



PEGAWAI JPJ membantu penumpang menggunakan tali pinggang belakang dalam
operasi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. Gambar hiasan.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Saman terhadap mana-mana pemandu kenderaan persendirian yang dikenakan pihak berkuasa kerana kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang belakang dalam kenderaan yang tidak dilengkapi kemudahan itu boleh dibatalkan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh pembatalan saman itu boleh dibuat kerana kereta berkenaan masih belum dipasang dengan tali pinggang.

"Jika ada kenderaan yang belum dipasang tali pinggang belakang tetapi mereka telah disaman, itu bukan dasar kami kerana dasar kami ialah untuk saman mereka yang ada peralatan itu tetapi tidak memakainya.

"Kami janji akan batalkan saman itu. Ini a janji saya,"
katanya selepas menyempurnakan program penggalakan pemakaian topi keledar di kawasan luar bandar dan bandar di Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan) semalam.

Suret memberitahu, pihaknya mendapat maklumat terdapat pemandu yang disaman pihak berkuasa kerana kesalahan tersebut sedangkan kereta mereka tiada peralatan tali pinggang belakang.

"Kita ada terima beberapa kes seperti ini di Johor dan Pulau Pinang.

"Jika ada pihak dianiaya atau tindakan salah diambil oleh segelintir pegawai yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan JKJR, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka (pemilik kenderaan) boleh merayu,"
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Friday, January 9, 2009

Kulit labu jadi topi keledar


SEORANG pembonceng motosikal memakai 'topi
keledar' buatan sendiri di Lagos kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


KANO - Gara-gara harga topi keledar yang mahal di Nigeria, ramai pengguna motosikal mencuba pelbagai helah bagi mengelak disaman polis, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis Nigeria pening kepala selepas mereka menangkap sejumlah penunggang motosikal memakai kulit buah labu, belanga dan cebisan tayar di kepala sebagai ganti topi keledar.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan mereka. Kami memberikan cukup masa untuk pemilik motosikal membeli topi keledar," kata Komander Suruhanjaya Keselamatan Jalan Persekutuan, Yusuf Garba di bandar raya Kano, utara Nigeria.

Menurutnya, mana-mana penunggang motosikal yang tidak mengendahkan peraturan itu akan dikenakan denda dan polis juga akan merampas motosikal mereka.

Undang-undang yang mewajibkan penunggang dan pembonceng motosikal supaya memakai topi keledar mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu tetapi ia mencetuskan kekecohan di kalangan pemilik kenderaan dua roda tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...