Showing posts with label Genius Student. Show all posts
Showing posts with label Genius Student. Show all posts

Friday, July 16, 2010

Kenapa isteri curang?



TERDAPAT beberapa sebab isteri curang terhadap suami seperti bersimpati dengan lelaki lain atau membalas dendam.


KALAU 15 tahun dahulu, kes isteri curang mungkin berlaku satu daripada 30 kes, tetapi kebelakangan ini kes isteri curang boleh berlaku antara lima hingga enam daripada 10 kes.

Perlu ada penerangan khusus tentang maksud curang. Sejauh mana curangnya pasangan? Adakah ia sekadar berkawan, bercinta atau sudah bersama di tempat tidur?

Bagi suami atau lelaki, kalau sekadar berkawan atau bercinta, bagi saya masih belum boleh merujuk ia sebagai curang. Berbeza dengan isteri atau wanita, syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami.

Jika isteri bercinta dengan lelaki lain, isteri itu boleh dikategorikan sebagai curang tidak kira apa pun sebabnya termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab.

Kalau suami gagal melaksanakan tanggungjawab menyebabkan isteri beralih kasih, isteri perlu keluar daripada perkahwinan dan bukan dengan bertindak curang kepada suami.

Islam menentukan, isteri perlu hormatkan suami walau dalam apa juga keadaan. Jika tidak mampu menghormati suami, keluarlah daripada perkahwinan secara terhormat.

Berdasarkan kes yang berlaku, tiga punca berlakunya isu pasangan curang, tidak kira di pihak isteri atau suami.

Cuba-cuba

Ada individu yang sekadar mahu cuba-cuba, kerana ingin tahu sama ada dirinya masih cantik dan laris di kalangan kawan-kawan di tempat kerja. Bermula hanya cuba-cuba dan apabila sudah berjaya, maka hati akan berbunga. Kemudian hubungan kawan akan mula berpanjangan dan bertukar menjadi pasangan istimewa.

Simpati berlebihan

Ada pula yang bermula dengan simpati terutama apabila saling berkongsi ujian hidup masing-masing atau berkenalan di tempat kerja.

Simpati bertukar kasihan hingga sanggup berkorban apa saja demi kawan dan akhirnya menjadi kekasih hati hingga lupa status sebenar diri yang telah mempunyai insan yang wajib dikasihi dan diberikan perhatian.

Balas dendam

Ada juga kes berpunca daripada balas dendam. Saya pernah mengendalikan satu kes awal tahun ini. Seorang isteri dibelasah oleh suami dengan getah paip hingga melecur seluruh badan (bagai terkena air panas) gara-gara terbongkar rahsia si isteri tidur dengan lelaki lain. Bagaimanapun apabila diselidiki si isteri berbuat demikian disebabkan sakit hati dengan sikap suami yang suka bertukar-tukar pasangan.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab-sebab lain termasuklah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumah tangga.

Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama juga perbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu kerana keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Seorang yang ikhlas dalam hubungan perkahwinan akan reda dan percaya, kesilapan yang dilakukan oleh pasangannya adalah sebagai ujian daripada Allah dan perlu berusaha untuk membetulkan kesilapan pasangan.


CARI jalan penyelesaian untuk menyelamatkan rumah tangga terutama terbuka mengubah sikap.


Andai gagal dibantu setelah usaha dan doa dilakukan, jalan terbaik adalah keluar daripada perkahwinan dan bukan turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada perkahwinan, malah kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling penting adalah bersikap berterus-terang, berbincang dan cuba mengatasi segala masalah yang ada.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi. Sebaiknya, bila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus-terang dan suami pula perlu bersikap terbuka.

Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiarkan dan usahakan jalan penyelesaian. Jangan sewenang-wenangnya mendabik dada berbangga inilah anda dan langsung tidak mahu berubah.

Tidak salah berubah sikap jika ia baik untuk perkahwinan dan rumah tangga. Menerima pasangan seadanya bukan bererti perlu terima kelemahan yang tidak perlu, sebalik kelemahan itu boleh dibaiki. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu mengatasi kelemahan masing-masing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0716&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm

Tuesday, June 29, 2010

Budak 13 tahun sehebat Spiderman


HIBIKI KONO menunjukkan kemahirannya memanjat dinding dengan menggunakan peralatan yang dicipta daripada mesin hampagas di King's College School, Cambridge baru-baru ini.


CAMBRIDGE - Impian seorang budak lelaki untuk menjadi hebat seperti wira pujaannya, Spiderman tercapai setelah dia mencipta sejenis alat yang dapat membantunya memanjat dinding, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak lelaki itu, Hibiki Kono, 13, memanjat dinding sekolahnya baru-baru ini dengan menggunakan pad pelekap yang direka daripada mesin pembersih hampagas yang dibeli di sebuah pasar raya.

Hibiki menghabiskan masa lima bulan untuk menghasilkan peralatan tersebut di kelas rekaan teknologi di sekolahnya, King's College School di sini, Britain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Gadis 21 tahun jadi doktor

Gadis 21 tahun jadi doktor


RACHEL FAYE HILL


LONDON - Rachael Faye Hill yang baru berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila dia menjadi doktor paling muda di Britain selepas memperoleh ijazah sarjana muda bidang perubatan daripada Universiti Manchester pada 14 Julai depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachael 'merampas' gelaran itu daripada Heenal Raichura yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti St. George pada tahun 2008 ketika berusia 22 tahun.

Kebanyakan institusi pendidikan tidak akan menerima pelajar memasuki bidang perubatan sehingga pemohon berusia 18 tahun.

Tempoh pengajian pula memakan masa selama enam tahun menyebabkan graduan bidang itu biasanya berusia 23 atau 24 tahun.

Namun, Rachael dibenarkan untuk mengikuti pengajian perubatan hanya beberapa minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-17.

Tidak lama lagi, Rachael akan memulakan latihan selama dua tahun di Hospital Royal Preston.

"Ibu saya merupakan seorang doktor veterinar. Tetapi saya rasa lebih sesuai membantu manusia. Akhirnya saya memohon menyertai sekolah perubatan di England ketika berusia 15 tahun," jelasnya.

Pada mulanya, Rachael belajar di Kolej Colegio Hispano Britanico di Lanzarote sebelum guru-gurunya mengenal pasti potensi dan membenarkannya untuk 'lompat kelas' selama beberapa tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Sunday, May 9, 2010

Maksiat gadis genius


HANIM kini dibelenggu persoalan sama ada taubatnya diterima Tuhan.


PINTAR akademik nampaknya tidak memadai untuk menjadikan Hanim, 15, individu yang sempurna.

Kerana tidak memahami hukum agama dan tidak diselarikan dengan akidah yang mantap, keputusan cemerlang 5A yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebaliknya menjadi tiket untuk Hanim berbuat sesuka hatinya.

Aktif dengan aktiviti kokurikulum semasa di sekolah rendah, namun semuanya berubah sebaik sahaja dia melangkah masuk ke sekolah menengah.

Kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR, ibu dan bapa tidak kisah kalau saya keluar malam. Saya bebas melakukan apa sahaja yang diingini kerana mereka percaya saya mampu menilai perkara baik dan buruk.

“Lagipun mereka sibuk dengan perniagaan, jadi mereka tidak ada masa untuk memberi sepenuh perhatian kepada saya,” ujarnya.

Dengan kesempatan itulah, hobinya yang sebelum ini rajin belajar diubah kepada kerap ponteng sekolah. Lokasi melepak semasa dia ponteng ialah di Pasar Seni, KLCC, MidValley dan restoran makanan segera.

Licik melindungi jejaknya, Hanim yang menyalin pakaian sekolah dengan kemeja dan seluar jean ketika ponteng sekolah akan kembali menyarung identiti pelajarnya sebaik mahu pulang ke rumahnya yang terletak di Kepong.

Black Metal

Namun, daripada sekadar ponteng sekolah, Hanim, tanpa dirancang, terjebak dalam kejadian yang paling hitam dalam hidupnya.

“Asalnya saya dan rakan ingin menyambut tahun baru di KLCC tetapi akhirnya saya ditinggalkan sendirian kerana kawan-kawan mempunyai agenda masing-masing di lokasi lain.

“Jadi setelah berpecah dengan rakan-rakan pada malam itu saya dihampiri seorang gadis. Dia mengajak saya berbual-bual se hingga saya tertarik untuk mengikutnya pulang ke rumah,” katanya.

Gadis itu rupa-rupanya anggota sebuah kumpulan Black Metal. Hanim mengikuti gadis itu ke sebuah rumah di Hulu Langat, Selangor. Di situlah Hanim secara rasmi menjadi ahli Black Metal.

Ketika ditanya mengapa dia sanggup menjadi ahli Black Metal, kata Hanim dia sekadar ingin mencuba.

“Pada masa itu, saya berada di sebuah bilik yang gelap. Syarat untuk menjadi ahli ialah saya perlu minum darah kambing yang dicampurkan dengan darah saya. Perbuatan itu juga dilakukan di hadapan kepala kambing hitam.

“Selepas minum darah itu menggunakan sebuah mangkuk kecil, saya terus pening dan pengsan,” katanya.

Seks songsang

Sambung Hanim, sebaik tersedar, dia mendapati dirinya bogel tanpa seurat benang pun di tubuh. Malah, selepas itu dia mendapat tahu dirinya dirogol lima lelaki.

Dia bertanya kepada ketua kumpulan Black Metal itu yang dikenali dengan nama Man mengapa dia diperlakukan sebegitu, Man hanya menjawab seks bebas dan hubungan sejenis adalah perkara biasa bagi kumpulan Black Metal.

Bermula saat itu, Hanim terus terjerumus ke lembah maksiat. Seks bebas, hubungan sejenis dan minum arak menjadi perkara wajib bagi dirinya.

Tiada istilah teman wanita bagi seorang ahli Black Metal. Malah teman wanita boleh dikongsi bersama. Seks beramai-ramai merupakan perkara biasa sehingga saya pernah melakukan seks dengan 13 individu termasuk wanita dalam satu masa.

“Selain itu, kami akan minum arak beramai-ramai dan menari bogel sambil menyanyi. Hidup kami ibarat burung hantu. Waktu siang kami tidur, sebelah malamnya pula kami aktif,” ujarnya.

Sebagai remaja yang belum mencecah 15 tahun, Hanim ternyata jauh berpengalaman dalam hubungan kelamin berbanding mereka yang seusianya.

Namun, permintaan teman lelakinya untuk melakukan seks seperti biasa ditolak Hanim setelah dia mula berasa bosan dengan kehidupan tanpa arah sebegitu.

“Dia (teman lelaki) memberitahu Man tentang reaksi saya itu menyebabkan Man naik marah kerana saya mempertikaikan peraturan yang ditetapkan. Akibatnya saya dipukul hingga tinggal separuh nyawa.

“Nasib baik ada sekumpulan lelaki yang kebetulan berkhemah di situ mendengar jeritan saya dan mereka datang membantu. Man dan ahli kumpulan kami yang lain melarikan diri,” katanya.

Hanim kemudiannya dihantar oleh kumpulan lelaki tadi ke rumah kakak angkatnya di Kajang kerana khuatir Man dan kumpulannya akan mencarinya semula.

Malangnya, kejadian itu masih belum mampu menginsafkan Hanim. Sebaliknya dia menjadi lebih liar. Dia menjadi gadis kelab malam yang merelakan dirinya diratah oleh seberapa ramai lelaki selain menjadi minah rempit.

Gugur kandungan

Hanim juga rela dirinya menjadi objek seks yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh lelaki dengan rakus walaupun upahnya sekadar segelas air berkarbonat.

Lokasi tempat dia melampiaskan nafsu ialah di hotel murah, rumah sewa, tepi pantai dan lorong-lorong gelap di sekitar Lembah Klang.

Dia juga melakukan seks dengan bapa kakak angkatnya dan lebih malang keluarga kenalannya itu menganggap perkara itu biasa dalam kehidupan zaman moden kini.

“Hanyut saya ketika itu. Malah pelbagai jenis dadah seperti ganja, heroin dan pil khayal telah saya cuba. Saya juga pernah menggugurkan kandungan lebih daripada sekali,” katanya lagi.

Namun, Allah masih menyayanginya. Hanim diberi peluang untuk berubah.

Keluarganya berjaya mengesannya selepas hampir dua tahun dia melarikan diri dari rumah.

Keluarganya menghantar Hanim ke pusat pemulihan akhlak Baitul Islah di Bukit Beruntung, Rawang untuk menjalani rawatan.

“Mereka cukup sedih dan tidak menyangka anak sulung harapan mereka telah menjadi ‘gadis syaitan’. Mulanya saya memberontak ingin bebas tetapi semakin lama saya sedar akan lautan dosa saya.

“Terfikir juga sama ada dosa-dosa saya akan diampunkan oleh Allah kelak,” ujarnya pilu.

Nama sumber bukan nama sebenar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...