Showing posts with label KBPA (MCA). Show all posts
Showing posts with label KBPA (MCA). Show all posts

Wednesday, January 28, 2009

Dua isteri mangsa sepak terajang suami kaki judi


KUALA LUMPUR: Bahagia dicari tapi derita yang terpaksa ditanggung dua isteri apabila perkahwinan dibina atas dasar kasih bertukar umpama neraka apabila suami bertindak seperti ahli gusti.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai, Goh, 36, berkata dia sering menjadi mangsa pukul suami yang juga tahi judi.

“Saya berkahwin atas dasar cinta dengan seorang lelaki pada 2007. Pada mulanya dia memang budiman, namun saya tidak menyangka dia seorang kaki judi seterusnya menjadikan kehidupan saya bagai malapetaka yang dahsyat.

“Jika dia bermain judi dan kalah, saya akan menjadi mangsa apabila rambut saya digunting, malah anggota badan saya menjadi habuan sepak terajang bertubi-tubi,’’
katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Lebih menyedihkan kata Goh berasal dari Sabah itu, dia turut ditendang dari belakang ketika sarat mengandung Jun tahun lalu.

Menceritakan lanjut, katanya kesakitan akibat ditendang dengan kuat itu menyebabkan dia melahirkan anak tidak cukup bulan.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Cheng, 26, dari Sibu, Sarawak, berkata dia tidak sangka rumah tangga yang dibina beberapa tahun lalu bersama jejaka dari Kajang berakhir dengan perceraian.

Perceraian itu katanya, terpaksa dilakukan apabila suami sering memukulnya, malah menuduhnya ada hubungan dengan lelaki lain.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128091216/Article/index_html

Friday, January 23, 2009

Pondok buruk tempat berteduh


am@hmetro.com.my


Tiga beranak harap bantuan JKM RM300 sebulan, rumah tiada bekalan asas

PORT DICKSON: Akibat kedaifan hidup, sebuah keluarga tinggal di pondok buruk dalam ladang kelapa sawit di Kampung Jawa, Bukit Pelanduk, dekat sini, tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik sejak dua tahun lalu.

Malah, Goh Ah Chee, 71, bersama isterinya, Jenifer Kaban, 49, dan anaknya Goh Hock Lay, 8, bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan turut menumpang di tanah milik penduduk, Ali Napi, 74.

Goh yang berasal dari Tanjung Sepat, Selangor, berkata sebelum ini, dia bercucuk tanam sebagai hasil pendapatan tetapi kini tidak bekerja kerana sudah berusia dan mengharap belas ihsan jiran selain bantuan bulanan JKM.

Menurutnya, dia pernah berkahwin sebelum ini tetapi isteri pertamanya meninggal dunia dan mempunyai tiga anak tinggal berasingan, tetapi tidak meminta bantuan kerana mereka hidup susah lalu mengambil keputusan menetap di tempat tinggal sekarang.

“Inilah tempat kami berteduh sejak dua tahun lalu. Anak-anak bersama isteri pertama tidak banyak membantu saya kerana kehidupan mereka susah, jadi saya tidak mahu menjadi beban mereka.

“Kami bercucuk tanam secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri selain mendapat simpati daripada pihak yang prihatin,” katanya.

Jenifer yang berasal dari Surabaya, Indonesia menetap di negara ini hampir 11 tahun lalu, berkata dia sudah sembilan tahun mendirikan rumah tangga bersama Goh.

Katanya, anak mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yik Chaoh, Bukit Pelanduk, namun semua perbelanjaan persekolahan itu adalah percuma kecuali alat tulis yang perlu dibeli.

“Ali banyak membantu kami dalam bentuk tenaga dan wang ringgit dan kami berterima kasih kepadanya,” kata Jenifer.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat keluarga itu, berkata biro kebajikan parti berkenaan sedang berusaha mencari penaja bagi membantu keluarga itu.

Beliau turut memuji sikap dan keprihatinan Ali membantu keluarga berkenaan walaupun dia sendiri berada dalam serba kekurangan.

“Ini contoh terbaik dalam menyemai perasaan harmoni dan toleransi tanpa mengira kaum dapat memupuk semangat kekeluargaan serta perpaduan antara kaum,” katanya.

Menurutnya, sumbangan atau derma boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di talian 019-6616999 atau 06-6672624.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084825/Article/index_html

Thursday, January 22, 2009

Angkara pesaing bisnes


Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


HANGUS...Chou (kiri) bersama Kua (dua dari kanan)
melihat kesan kebakaran pikap di depan rumah sewanya.



JOHOR BAHRU: Gara-gara dipercayai dicemburui pesaing, keluarga seorang pembekal tong gas memasak nyaris maut apabila kediaman mereka di Jalan Jelatang 27, Taman Cahaya Kota Masai, di sini, dibaling dengan bom petrol, minggu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi Ahad itu, Chou Taik Loong, 35, dan isterinya terselamat apabila jiran mereka segera membantu mengawal kebakaran selain menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang.

Chou berkata, walaupun kejadian itu seminggu berlalu, dia dan isteri masih ketakutan kerana bahagian depan rumah sewa itu musnah bersama sebuah pikap.

“Ini kejadian pertama sejak saya menyewa di rumah ini, kira-kira tujuh bulan lalu dan menyebabkan kerugian mencecah RM10,000. Selepas menyedari kebakaran, saya dan isteri bertindak pantas menyelamatkan diri mengikut pintu belakang kediaman dan mengalihkan kereta Proton Satria dari halaman rumah itu ke luar pintu pagar bagi mengelakkan ia dijilat api.

“Kami bimbang dan panik kerana kebakaran itu boleh menjadi lebih serius sekiranya 10 tong gas dalam pikap saya meletup. Kami bernasib baik kerana anggota bomba yang tiba selepas setengah jam dapat mengawal kebakaran itu dengan cepat dan mengelakkan api merebak ke kediaman jiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Chou berkata, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada sikap cemburu pesaingnya dalam perniagaan kerana beberapa hari sebelum itu, dia menerima amaran berunsur ugutan daripada sebuah syarikat pembekal gas.

Sehubungan itu, katanya, dia bertindak melaporkan ugutan terbabit di Balai Polis Seri Alam, di sini, pada 3 Januari lalu kerana khuatir sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Menerusi ugutan berkenaan, seorang wanita dan teman lelakinya berusia dalam lingkungan 40-an melarang saya membekalkan gas di kawasan Taman Megah Ria dan Permas Jaya kerana mendakwa akan mengganggu perniagaan mereka.

“Saya tidak menyangka ada pihak sangggup melumpuhkan perniagaan saya dengan membakar pikap dan halaman rumah hingga mengakibatkan kami terpaksa berpindah rumah ke Taman Permas Jaya,” katanya.

Insiden yang menimpa Chou itu mendapat perhatian Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA negeri, Kua Song Tuck dan Ketua Skop Pencegahan Jenayah MCA Pasir Gudang, Shium Chan Teck yang meninjau tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, berkata pihaknya menyiasat dari pelbagai sudut mengenai ugutan dan serangan menggunakan bom petrol itu.

“Kami memandang serius kejadian berkenaan dan akan mendapatkan maklumat daripada saksi serta pembekal gas berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119095546/Article/index_html

Monday, December 15, 2008

Belanja kahwin lebih

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Hanya kerana menurut kehendak hati yang mahu berkahwin lebih dua atau melayan kehendak seks serta berjudi, ada individu sanggup meminjam dengan wang ah long.

Kecenderungan itu membabitkan peminjam keturunan Melayu manakala Cina dan India dikatakan lebih memerlukan wang untuk berjudi.

Tidak cukup dengan alasan kahwin lebih, ada peminjam kaum Melayu terpaksa mendapatkan bantuan ah long untuk melabur dalam skim cepat kaya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong dalam analisisnya terhadap bentuk aduan kegiatan ah long berkata, semuanya boleh berlaku gara-gara sikap segelintir masyarakat yang bertindak melulu tanpa mengira akibat kesan buruk perbuatan mereka.

Menurutnya, senario itu memang sukar diterima akal namun manusia zaman sekarang sanggup melakukan apa saja walau terpaksa bergolok-gadai atau berhutang nyawa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Monday, December 1, 2008

Terkejut terbeli kereta potong

Oleh AZIZI MAJID
berita@kosmo.com.my



VERNON (kiri) bersama Michael Chong pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Malang menimpa seorang juruteknik, Vernon Ernest Tan, 27, apabila dia bukan sahaja terbeli sebuah kereta potong dan tidak boleh dipakai, malah turut disaman pihak bank kerana gagal melunaskan pinjaman kereta tersebut.

Menurut Vernon, dia telah membeli kereta tersebut iaitu Honda Civic terpakai bernilai RM41,000 daripada seorang jurujual di Johor Bahru pada November 2005.

Namun ujarnya, kira-kira sebulan kemudian, ketika dia menghantar keretanya itu untuk dicat baru, pihak kedai memberitahu bahawa kereta tersebut terdapat kesan potong di bahagian tengahnya.

"Saya pelik kerana sebelum kereta itu diserahkan kepada saya, jurujual terbabit ada memberikan kepada saya surat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Kuala Lumpur.

"Saya yang tidak puas hati kemudiannya terus membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pada 6 Disember 2005," katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Jalan Ampang semalam.

Tambah Vernon yang berasal dari Johor Bahru, dia yang tidak berpuas hati kemudiannya menghantar kereta itu ke Puspakom di Johor Bahru sehari selepas membuat laporan polis berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan ujian pemeriksaan di Puspakom mengesahkan kereta tersebut gagal ujian pemeriksaan dan tidak boleh digunakan di jalan raya kerana casisnya disambung.

"Saya kemudian berjumpa semula dengan jurujual terbabit tetapi dia enggan bertanggungjawab," katanya.

Mangsa tambah tertekan apabila pihak bank menyamannya kerana tidak menjelaskan pinjaman bank selain jurujual tersebut sudah menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dia akan membawa kes tersebut kepada menteri yang berkenaan.

"Jika surat Puspakom kali pertama itu adalah tulen dan dikeluarkan pihak terbabit, saya mahu tahu bagaimana pemeriksaan kali pertama boleh lulus," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Thursday, November 27, 2008

Isteri hilang lepas sebulan kahwin


Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my




KENG YAK menunjukkan gambar isterinya pada sidang akhbar anjuran Biro Pengaduan Awam MCA negeri di Melaka semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA - Baru sebulan berkahwin namun isteri yang dikenali melalui agensi mencari jodoh sudah menghilangkan diri.

Itulah nasib yang menimpa seorang tukang masak, Lok Keng Yak, 27, apabila isterinya, Ngu Yen Thien My Lien, 19, seorang warga Vietnam yang dikahwininya pada 8 Oktober menghilangkan diri sejak 12 November lalu.

Menurut Keng Yak, beliau mengenali isterinya itu melalui agensi mencari jodoh di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

"Setelah beberapa kali bertemu, saya akhirnya mengambil keputusan untuk mengahwini My Lien," katanya pada sidang akhbar anjuran Biro Pengaduan Awam MCA negeri di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Biro Pengaduan Awam Kebangsaan, Wong Nai Chee.

Keng Yak yang enggan menyatakan jumlah yang telah dibayar kepada agensi tersebut memberitahu, perkahwinannya dengan My Lien turut dihadiri bapa isterinya yang menetap di Vietnam.

Dia yang bekerja di salah sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor pulang ke rumahnya di Kuala Sungai Baru, Melaka seminggu sekali berkata, pelbagai usaha telah dilakukannya untuk mengesan My Lien termasuk menghubungi keluarga isterinya di Vietnam namun tidak berhasil.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Tuesday, November 25, 2008

150 wanita cari suami


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


ADU...Huang membuat aduan kepada Micheal selepas
mendakwa diperdaya lelaki tempatan dikahwininya.



KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu merasa keseronokan beristeri lebih, ramai lelaki tempatan dikesan aktif berkahwin secara haram dengan wanita asing di luar negara dengan menjual temberang kononnya masih bujang walaupun usia menjangkau 50 tahun.

Difahamkan kebanyakan lelaki tempatan ini berkahwin dengan wanita warga asing tanpa mendaftarkan perkahwinan bagi mengelakkan penipuan mereka dihidu isteri dan ahli keluarga di Malaysia.

Bagaimanapun penipuan terbabit terbongkar apabila beratus ‘isteri simpanan’ berkenaan didapati sanggup datang ke Malaysia bagi menjejaki suami masing-masing yang pulang ke tanah air.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, gejala tidak sihat ini semakin parah apabila seramai 150 wanita asing datang ke pejabatnya sejak awal tahun ini bagi mendapatkan bantuan menjejaki suami mereka yang juga rakyat Malaysia.


Menurutnya, majoriti wanita asing terbabit mengadu ditinggalkan suami tanpa diberikan nafkah sedangkan ada antara mereka sudah melahirkan zuriat hasil perkongsian hidup sementara itu.


“Kemelut ini yang mencemarkan imej negara bukan hanya membabitkan wanita atau gadis dari tanah besar China, malah turut membabitkan gadis dari Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Hasil soal selidik dilakukan, kebanyakan perkahwinan haram ini berlaku ketika lelaki warga Malaysia ini pergi ke negara berkenaan atas urusan perniagaan, mencari pekerjaan sementara atau bercuti,”
katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki Malaysia ini yang dianggap mempunyai saham tinggi mudah menarik minat gadis warga asing sebelum mengambil keputusan berkahwin.

“Agak melucukan apabila gadis warga asing ini mudah ditipu kononnya lelaki berkenaan masih bujang dan terus bersetuju apabila diajak kahwin.

“Bagaimanapun perkahwinan singkat ini tidak akan kekal lama berikutan lelaki tempatan terbabit yang sudah mempunyai isteri dan anak di tanah air akhirnya akan pulang ke Malaysia,”
katanya.

Menurutnya, tindakan lelaki tempatan ini yang cuba membuang ‘isteri gelap’ terbabit dianggap agak zalim kerana bersikap lepas tangan dan tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku.

"Bagaimanapun kebanyakan wanita warga asing ini mempunyai 'hati kering' dan datang ke Malaysia untuk menjejaki suami mereka. Wanita ini tidak teragak-agak mengiklankan gambar wajah suami mereka di surat khabar selain menggunakan khidmat biro aduannya untuk membantu mencari suami mereka.

"Namun kerana bimbang perkara ini boleh mencetuskan huru-hara dan kemelut dalam rumah tangga, saya menasihati lelaki tempatan itu menyelesaikan perkara terbabit, dengan cara paling baik,"
katanya.

Dalam kes terbaru semalam, seorang wanita warga China mendakwa turut diperdaya selepas berkahwin dengan seorang lelaki tempatan yang sudah berumah tangga.

Dalam kes berkenaan, seorang wanita warga China dikenali sebagai Huang, 41, mendakwa dipermainkan seorang lelaki tempatan selepas menjalin hubungan sejak lima tahun sehingga melahirkan seorang anak lelaki.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125092459/Article/index_html

Wednesday, November 19, 2008

‘Suami hantu’


Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my



TERTIPU...Qiu (kiri) menunjukkan gambar suaminya sambil diperhatian
Chong.


KUALA LUMPUR: ‘Suami hantu’ itulah gelaran tepat kepada seorang lelaki apabila dia dipercayai bersubahat dengan sekumpulan ceti haram mendakwa diculik kumpulan terbabit untuk melepaskan diri daripada membayar hutang.

Lelaki itu mendakwa dia diculik kumpulan ceti haram berkenaan dan dibelasah selain tidak diberi makan dan minum sejak dilarikan selagi isterinya tidak tampil menjelaskan hutangnya.

Bagaimanapun taktik menipu isteri sendiri itu tidak menjadi apabila kumpulan ceti haram mendakwa menculiknya mula ‘kecut perut’ selepas wanita malang itu membuat laporan polis.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa Qiu Boa Ying, 33, warga negara China, pada mulanya amat risau dengan keselamatan suaminya yang mendakwa ditahan kumpulan ceti haram itu.

Ketika mangsa yang pulang dari kerja pada jam 1.30 pagi dia mendapati rumahnya berselerak manakala suaminya tiada di rumah.

Keesokan harinya, dia dihubungi lelaki tidak dikenali mengaku sebagai ketua kumpulan terbabit, meminta dia menjelaskan hutang suaminya sebagai tebusan sekiranya mahu dibebaskan.

Dalam perbualan singkat Khin, dirayu suaminya agar dia menjelaskan baki hutang berjumlah RM4,800 kerana tidak tahan diseksa serta tidak diberikan makan serta minum sejak diculik.

Bagaimanapun dakwaan itu menimbulkan rasa curiga wanita terbabit, serta keluarganya apabila ketua kumpulan ceti haram terbabit yang diajak untuk berunding enggan bertemu mereka dan hanya mahu berurusan melalui telefon.

“Bukan saja untuk berunding malah, kami turut mengajaknya bersemuka untuk melunaskan baki hutang itu tapi dia enggan dan meminta kami memasukkan wang tebusan dalam akaun diberikannya,” katanya.

“Amat pelik apabila kumpulan ceti haram itu seperti terdesak dan sanggup menculik seorang lelaki yang gagal menjelaskan hutang sebanyak dalam jumlah dianggap tidak berbaloi hingga sanggup menculik suaminya itu,” katanya.

Kerana rasa curiga mereka kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian, dan memaklumkan perkara itu kepada ketua kumpulan terbabit, dan dia dikatakan merasa tergugat apabila dikatakan tidak lagi menghubungi mangsa seperti biasa.

Menimbulkan tanda tanya sehingga kini suaminya yang mendakwa diculik dikatakan masih menghilangkan diri dan belum dapat dikesan.

Sementara itu Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata perkara itu sudah dirujuk kepada pihak polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081119091521/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...